Category: Semasa

  • ‘’Tak perlu lantik TPM, saya sudah ada empat menteri kanan’’

    ‘’Tak perlu lantik TPM, saya sudah ada empat menteri kanan’’

    WALAUPUN Perikatan Nasional (PN) mendakwa ada perjanjian antara gabungan itu dan Perdana Menteri berhubung pelantikan bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri, namun Ismail Sabri menegaskan, beliau tidak ada keperluan berbuat demikian kerana sudah pun disokong oleh empat menteri kanan dalam Jemaah Menteri.

    “Saya dah ada empat menteri kanan yang membantu saya. Maknanya, seolah-olah ada empat timbalan perdana menteri. Seolah-olah saja walaupun tidak. Benda (kemudahan) yang diperolehi hampir sama – ada ‘rider’ (pengiring berkenderaan), ada ‘bodyguard (pengawal peribadi), macam-macam lah. Lebih kurang TPM.

    “Jadi setakat ini, tidak menyusahkan (atau) membebankan saya lah tanpa TPM sebab keempat-empat menteri kanan saya sudah pun mewakili parti yang dah ada,” kata Ismail yang juga naib presiden UMNO, kepada FMT dan wakil beberapa media lain dalam temubual sempena setahun Keluarga Malaysia.

    Empat menteri kanan dalam Jemaah Menteri Ismail Sabri adalah DatuK Sewri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Radzi Jidin dari Bersatu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (UMNO) dan Datuk Seri Fadilah Yusof (Gabungan Parti Sarawak).

    Ismail Sabri menegaskan,  secara umum, komposisi Jemaah Menteri yang ada sekarang diterima baik “semua orang” dan tidak mahu perkara itu dijadikan “isu besar yang boleh merosakkan hubungan antara kita.”

    “Yang cakap banyak tu orang di luar. Yang dalam Jemaah Menteri tak pernah timbul isu pun,” kata Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera.

    Kalangan pemimpin Bersatu sebelum ini menyelar Ismail Sabri kerana dikatakan tidak mematuhi perjanjian yang diikat dengan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perlantikan TPM dan beberapa perkara lain.

    Perjanjian itu dikatakan dimeterai sebelum Ismail dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos 2021.

    Khamis lalu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata beliau telah menulis surat memohon tarikh baharu untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan Ismail.

    Hamzah turut mengesahkan pertemuan beberapa pemimpin PN dengan Ismail sebelum ini secara tidak rasmi dan lebih kepada sembang santai.

  • Wanita rentung kereta terbakar dalam kemalangan

    Wanita rentung kereta terbakar dalam kemalangan

    SEORANG wanita rentung selepas kereta Perodua Kelisa yang dinaiki terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori jenis Isuzu 5 tan di Kampung Gong Batu di sini petang tadi.

    Insiden pada 5.35 petang itu menyaksikan Nurul Emylia Natasha Zulkifli, 20, ditemukan dalam keadaan rentung akibat kebakaran tersebut manakala manakala pemandu Mohammad Ikhwan Hakim Daud, 21, terselamat dan mengalami kecederaan di bahagian leher.

    Ketua Polis  Daerah Setiu DSP Affandi Hussin berkata pemandu lori turut cedera di bahagian leher manakala dua penumpangnya tidak mengalami kecederaan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu lori memberi isyarat untuk membelok ke kanan jalan dari arah Kuala Terengganu ke Kampung Raja di Besut, ketika tiba di lokasi kejadian.

    “Tiba-tiba datang kereta Perodua Kelisa dari arah sama cuba memotong namun gagal lalu melanggar bahagian kanan lori menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar,” katanya.

    Beliau berkata mangsa lain berjaya keluar dari kenderaan masing-masing kecuali Nurul Emylia Natasha yang berasal dari Kampung Pulau Lima,  Pasir Puteh, Kelantan.

    “Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan,” katanya sambil menambah siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Seorang saksi, Abd Muhaimi Ab Halim, 34, berkata selepas Perodua Kelisa mula terbakar di bahagian hadapan, orang awam dilihat mengeluarkan pemandu kereta itu.

    Beliau berkata beberapa pengguna jalan raya pada awalnya cuba menyelamatkan Nurul Emylia Natasha namun gagal membuka pintu di bahagian penumpang hadapan kerana ketika itu api semakin marak.

    “Selepas itu, saya bersama beberapa pengguna jalan raya lain cuba menghampiri semula kereta yang sedang terbakar untuk mengeluarkan mangsa tetapi bunyi api sangat kuat dan semakin marak.

    “Saya cuba mendapatkan pemadam api daripada pengguna jalan raya lain namun tiada seorang pun mempunyai alat tersebut. Jadi kami hanya berserah kepada Allah dan berasa sedih kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa,” katanya. -BERNAMA

  • Hubungan saya dengan Zahid amat rapat, biar mahkamah tentukan kes – PM

    Hubungan saya dengan Zahid amat rapat, biar mahkamah tentukan kes – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob menyifatkan hubungannya dengan  Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai amat rapat, namun, tegas menolak sebarang persepsi yang cuba mengaitkan beliau kepada perjalanan perbicaraan rasuah Presiden UMNO itu.

    “Presiden saya dengan saya tiada isu. Saya tiada isu. Saya kenal presiden dah lama, waktu saya sekolah lagi. Presiden macam abang saya dan kawan baik. Kalau saya ponteng sekolah pun tumpang tidur bilik dia. Saya kenal keluarga dia. Isu peribadi tidak timbul. Orang luar sahaja yang bercakap soal pecah dalam UMNO ini.

    “Jadi kalau orang nak kata saya ‘drag’ (heret) kes dia, sampai dia kena, tak kena; itu kita tak tahu. Itu (hak) mahkamah pun. (Hanya) Mahkamah boleh buat keputusan,” kata Ismail Sabri laporn FMT.

    Ismail ditanya soalan itu ketika wawancara khas bersama pelbagai media sempena genap setahun beliau menjadi Perdana Menteri mengenai spekulasi bahawa beliau mengambil kira “pergolakan dalam parti” dan isu beliau dengan Zahid dalam perkiraan pilihan raya, kononnya kes-kes mahkamah akan “diheret” untuk peluang beliau sendiri.

    Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akal Budi.

    Beliau juga berdepan 33 tuduhan kes rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan tujuh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, berkaitan Sistem Visa Luar Negara.

    Beliau mengaku tidak bersalah.

    Hubungan Zahid dan Ismail menjadi tumpuan dan sering mencetuskan pelbagai spekulasi kerana ini kali pertama dalam sejarah Umno, seorang naib presiden UMNO menjadi perdana menteri, bukannya presiden parti.

    Dua pemimpin itu turut menjadi fokus ketika Umno mempersiapkan diri untuk menghadapi PRU15 dan kemudiannya pemilihan parti yang terbuka kepada segala kemungkinan mengenai persaingan yang boleh berlaku di peringkat tertinggi parti.

    Pada wawancara itu, Ismail berpegang kepada pendirian UMNO-Barisan Nasional untuk bertanding secara bersendirian pada PRU15.

    “Parti sudah buat keputusan. Kita akan ‘go solo’. Maknanya, kita akan pergi sendiri. Kita akan bersama dalam kerajaan seperti ini sehingga pilihan raya. Setakat hari ini lah. Tapi ‘direction’ parti saya tak boleh nak cakap lebih. Sebab saya nombor tiga (dalam parti sebagai naib presiden), saya ada bos. Soalan itu perlu (diajukan) kepada Presiden parti saya.”

    Kerajaan pimpinan Ismail dibentuk Ogos tahun lalu dengan sokongan Barisan Nasional, Perikatan Nasional, dan beberapa parti dari Sabah dan Sarawak serta Ahli Parlimen bebas.

    UMNO secara rasmi menolak kerjasama dengan Bersatu yang menjadi tonggak PN bawah pimpinan Muhyiddin Yassin. Hubungan Umno dengan PAS, yang juga parti komponen PN, juga disifatkan renggang ketika ini.

  • Banyak pertimbangan perlu dibuat sebelum bubar Parlimen – Ismail Sabri

    Banyak pertimbangan perlu dibuat sebelum bubar Parlimen – Ismail Sabri

    SAMA ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini atau tahun depan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia memerlukan banyak pertimbangan sebelum keputusan untuk membubarkan Parlimen dibuat.

    Beliau berkata keutamaan kerajaan sekarang ialah menyelesaikan pelbagai isu rakyat dan negara termasuk isu projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang belum diketahui kesannya serta cabaran kelembapan ekonomi dunia yang diramal berlaku tahun depan.

    Perdana Menteri berpandangan bahawa PRU15 boleh diadakan sekiranya kedua-dua faktor isu dan ekonomi dapat diseimbangkan.

    “… kita takut tentang ketidaktentuan ekonomi tahun depan (dan) kalau kita tunggu lagi susah, mungkin tahun ini.

    “Tetapi kalau kita kata tahun ini, isu-isu terlampau banyak berlaku sekarang dan banyak perkara yang perlu diselesaikan. Sebab itulah agak sukar untuk membuat penentuan,” katanya pada temu bual Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia bersama Perdana Menteri di Seri Perdana.

    Hari ini  genap setahun Ismail Sabri  menerajui kerajaan Keluarga Malaysia. Beliau mengambil alih jawatan nombor satu negara selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

    Diajukan soalan yang banyak berkisar tentang pilihan raya dan politik, Naib Presiden UMNO itu akur bahawa mandat perlu dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

     “Ya, rakyat perlu diberi peluang untuk memilih kerajaan baharu, sebab dah berubah tiga (kali) kerajaan. Ada yang mengiktiraf, ada yang tak mengiktiraf, lebih baik pulangkan balik mandat ini kepada rakyat. Tetapi isu pun banyak yang saya kata perlu diselesaikan… dari segi ekonomi, pendapatan, pekerjaan.

    “Walaupun antara Januari sampai sekarang kita dah menyediakan 400,000 pekerjaan kepada rakyat kita, tetapi seperti saya kata, dari segi upah (gaji minimum) RM1,500 itu sesuai ke tak sesuai, mungkin perlu ditingkatkan lagi. Setengah-setengah tu kata tak mencukupi… jadi banyak isu yang perlu diselesaikan,” kata beliau dalam nada berterus-terang menzahirkan keprihatinannya terhadap isu dan hal kebajikan rakyat.

    Mandat lima tahun kerajaan semasa akan tamat pada Julai 2023 dan PRU15 mesti diadakan dalam tempoh 60 hari pembubaran Parlimen.

    Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri ketiga yang dilantik dalam tempoh tiga tahun sejak PRU14 pada 9 Mei 2018, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan dan tumbang pada Februari 2020.

    Muhyiddin, yang menerajui Perikatan Nasional (PN), mengambil alih kepimpinan kerajaan sehingga Ogos 2021.

    Meskipun dilanda pandemik COVID-19, Malaysia  menyaksikan empat pilihan raya negeri diadakan iaitu Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor. Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula Melaka dan Johor, selain membentuk kerajaan di Sabah bersama Gabungan Rakyat Sabah.   

    Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera, berkata kejayaan ditempa BN pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor tidak boleh dijadikan sebagai penanda aras kepada kejayaan gabungan parti itu pada PRU15.

    BN merekodkan prestasi cemerlang pada PRN Melaka yang diadakan pada November tahun lepas dan PRN Johor, Mac lepas, dengan masing-masing merekodkan majoriti lebih dua pertiga.

    Bagi PRN Johor, beliau berkata kemenangan BN mungkin disebabkan jumlah pengundi yang keluar mengundi kurang, dan keadaan itu katanya amat berbeza ketika pilihan raya umum.

    “Kalau kita buat GE (Pilihan Raya Umum), dia (pengundi) kata aku kena pergi juga mengundi maka kita pun tak tahu. (Pilihan Raya) Negeri mungkin bagi sesetengah orang tak mustahak untuk menentukan negeri ini menang atau tidak.

    “Tapi (di peringkat) persekutuan, amat berbeza walaupun tengah COVID pun mereka akan keluar mengundi hanya untuk pastikan parti dia menang untuk membentuk kerajaan. Saya berpendapat tak boleh dijadikan sebagai sandaran. Sebab itu saya beritahu kemenangan di Melaka, kemenangan di Johor tak boleh jadi penanda aras untuk kita melihat kepada sokongan kepada kita (BN),” katanya.

    Mengenai saranan Top Five UMNO mahukan PRU15 diadakan tahun ini, Perdana Menteri berkata kesemua pemimpin berkenaan termasuk beliau boleh mengemukakan apa sahaja pandangan, namun keputusan akhir untuk membubarkan Parlimen adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

     “Top Five boleh bincang apa saja… kalau saya bawa ke Kabinet, Kabinet setuju untuk pilihan raya, bila tarikh sekian untuk saya bubarkan, saya bawa kepada (Yang di-Pertuan) Agong, (Yang di-Pertuan) Agong tak setuju… tak jadi,” katanya.

     Top Five merujuk kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.

    Berbeza dengan sebelum ini, Ismail Sabri berkata keputusan pembubaran Parlimen perlu dibincangkannya di peringkat Kabinet memandangkan BN bukan lagi gabungan yang membentuk kerajaan secara bersendirian.

    Kerajaan Persekutuan pimpinan Ismail Sabri, yang dibentuk pada Ogos 2021, adalah kerajaan campuran BN, PN, Gabungan Parti Sarawak.

    — BERNAMA

  • Rakyat berhak diberi penjelasan isu LCS, tidak boleh jadi seperti 1MDB – Ismail Sabri

    Rakyat berhak diberi penjelasan isu LCS, tidak boleh jadi seperti 1MDB – Ismail Sabri

    RAKYAT berhak mendapat penjelasan berhubung isu pembekalan kapal tempur pesisir (LCS) dan kerajaan tidak akan berselindung dalam hal ini kerana ia berkait soal integriti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau menegaskan isu pembekalan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu yang melibatkan kontrak berjumlah RM9.13 bilion perlu dijelaskan dengan teliti supaya tidak berlaku spekulasi dan rakyat tidak membuat keputusan sendiri.

    “Kegagalan kerajaan dahulu apabila timbul isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) gagal menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat. Itu yang akhirnya rakyat membuat spekulasi dan membuat keputusan sendiri (tentang) apa yang berlaku, walaupun apa yang mereka fikir itu tidak berlaku, tidak seperti dijangkakan.

    “Tetapi kerana kita gagal untuk memberi penjelasan yang betul, akhirnya isu itu menjadi besar,” katanya pada temu bual Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia bersama Perdana Menteri di Seri Perdana.

    Hari ini genap setahun Ismail Sabri, 62, menerajui kerajaan Keluarga Malaysia. Pada 21 Ogos tahun lepas, beliau mengambil alih jawatan nombor satu negara selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

    Pada 4 Ogos lepas, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 Nov 2020 mendapati tiada satu pun kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu, yang diberikan secara rundingan terus telah dibayar sebanyak RM6.083 bilion untuk menyiapkan lima kapal harus disiap dan diserahkan pada Ogos 2022.

    Pembekalan enam buah LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) itu menjadi isu ‘panas’ selepas pendedahan bahawa projek berkenaan yang sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun mulai 3 Okt 2013 hingga 2 Okt 2023 hanya siap 53.29 peratus setakat 31 Mei 2019.

    Berdasarkan laporan siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dinyahklasifikasikan pada Rabu, Kementerian Pertahanan telah membayar sebanyak RM5.94 bilion kepada BNS daripada kos keseluruhan projek berkenaan berjumlah RM9.13 bilion setakat ini.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata disebabkan itu, beliau mengambil keputusan untuk mendedahkan hasil laporan jawatankuasa siasatan terbabit yang sebelum ini diklasifikasikan sulit kepada rakyat.

    “Kita percaya, rakyat percaya atau tidak mesti diberikan penjelasan dan kita tak boleh berlindung… sebab itu saya terus membuat keputusan laporan audit forensik itu dinyahklasifikasikan supaya kita mesti telus, biar rakyat tengok,” katanya.

    Naib Presiden UMNO itu percaya isu LCS akan terus dimainkan pembangkang sepertimana isu 1MDB sebelum ini, namun apa yang penting ialah bagaimana kerajaan mengambil tindakan balas selanjutnya dalam mengembalikan kepercayaan rakyat.

    “Sekarang ini satu kes, seorang dah dibawa ke mahkamah, saya difahamkan ada satu dua lagi akan dibawa ke mahkamah… tapi saya percaya siapa pun dibawa ke mahkamah isu ini akan terus dimainkan.

    “Jadi nak kata isu ini akan terhenti bila kita tak tahu… yang pentingnya bagi saya… dalam Kabinet saya kata penjelasan kepada rakyat tentang isu ini penting,” katanya.

    — BERNAMA

  • Zahid mahu segera, Ismail Sabri kata bubar Parlimen tergesa-gesa ibarat bunuh diri

    Zahid mahu segera, Ismail Sabri kata bubar Parlimen tergesa-gesa ibarat bunuh diri

    BEBERAPA Jam selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera bagi menggelakkan Barisan Nasional (BN) tewas, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menegaskan, pembubaran Parlimen tergesa-gesa ibarat ‘perbuatan bunuh diri’.

    Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk persediaan rapi dan dapatan kajian sama ada BN boleh menang atau kalah dalam pilihan raya berkenaan.

    Sehubungan itu Perdana Menteri berkata, tiada guna beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sedangkan BN belum tentu boleh menang.

    Beliau menegaskan, pembubaran Parlimen akan dibuat jika terdapat bukti kukuh BN boleh menang dan kekal berkuasa selepas PRU15 nanti.

    “Tarikh PRU15 bukan boleh diumumkan begitu sahaja, banyak perkara perlu diambil kira termasuk, pertama hasil kajian sikap dilakukan oleh Wanita UMNO.

    “Jika kita adakan PRU15 tanpa mengambil kira sama ada BN boleh menang tiada gunanya. Bagi saya jika nak adakan PRU15 kita wajib menang jangan jadi macam PRU14 kita kata menang tapi akhirnya kalah teruk. Kalau nak sedap kita kena jadi Perdana Menteri, kalau saya jadi Ketua Pembangkang semula tidak sedap,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap  pada perasmian berkelompok Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Bahagian Bera 2022, di Bera, hari ini.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera turut menegaskan, PRU15 bukan boleh diadakan begitu sahaja kerana tanpa persiapan rapi, BN akan kalah teruk dan menjadi pembangkang semula.

    “Kalau kita silap masuk dan tiada bukti boleh menang PRU15 dan akhirnya kita menjadi pembangkang adalah satu kerugian kepada BN. Sebab itulah saya katakan saya hanya akan bubarkan Parlimen jika ada bukti kukuh BN boleh menang PRU15.

    “Saya pernah cakap semasa Konvensyen BN baru-baru ini bahawa saya sedia membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 jika kajian sikap dilakukan Wanita UMNO, MIC dan MCA menunjukkan kita akan menang PRU15 nanti. Tiada guna kita masuk PRU15 jika kita tidak boleh menang,” ujarnya.

    Ismail Sabri berkata, BN juga perlu mengambil kira impak pelbagai isu yang timbul ketika ini termasuk soal kelewatan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang hangat diperkatakan.

    “Adakah isu ini boleh menyebabkan kemerosotan undi dan BN kalah dalam PRU15 ini? Jadi kita kena tengok kajian sikap adakah orang kampung peduli atau tidak kapal LCS berkenaan belum siap.

    “Kalau kajian menunjukkan kesan isu kelewatan pembinaan kapal LCS adalah sama seperti kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dulu, maka kemungkinan kita terpaksa tangguh niat nak adakah PRU15 dalam masa terdekat,” katanya.

    Susulan itu, Ismail Sabri mengarahkan UMNO Bahagian Bera supaya mula membuka bilik gerakan pilihan raya mulai 1 September ini.

  • Lelaki ancam, ugut Ketua Hakim Negara ditahan – PDRM

    Lelaki ancam, ugut Ketua Hakim Negara ditahan – PDRM

    POLIS telah menahan seorang lelaki berusia 30 tahun berhubung ancaman dan ugutan yang dibuat menerusi media sosial terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, baru baru ini.

    PDRM hari ini menerusi kenyataan Ketua Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, Asisten Komisioner Skandarguru Ananda mengesahkan perkara itu.

    “Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima laporan polis mengenai ancaman dan ugutan di media sosial terhadap Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘Apiez Bond’.

    “Hasil daripada laporan tersebut, tangkapan telah dibuat ke atas seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Puchong, Selangor pada 19 Ogos 2022 sekitarnya jam 11.15 malam.

    “Turut dirampas daripada suspek satu unit telefon bimbit berserta kad sim yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran ugutan tersebut,” jelasnya memetik laporan Astro Awani.

    Suspek kini direman selama empat hari sehingga 23 Ogos depan bagi siasatan lanjut. Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan berkencenderungan menghasut, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimerdia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

    “PDRM memandang serius perkara ini dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan isu ketenteraman awam yang boleh menganggu gugat keamanan.

    “Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan platform media sosial untuk mengancam keselamatan,” katanya.

    Terdahulu, tular di media sosial tindakan lelaki terbabit yang mengeluarkan komen di laman sosial berbaur ugutan dan ancaman terhadap Ketua Hakim Negara.

    Tindakan terbabit mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya netizen yang mengecam tindakan lelaki terbabit.

  • [VIDEO] Langgar lampu isyarat, lelaki melambung dirempuh kereta

    [VIDEO] Langgar lampu isyarat, lelaki melambung dirempuh kereta

    PADAH langgar lampu isyarat merah, seorang penunggang motosikal cedera parah dirempuh sebuah kereta di simpang empat lampu isyarat Jalan Besar-Jalan Bandar, Pasir Gudang, pada Jumaat.

    Kejadian pada pukul 1.43 petang itu menyebabkan mangsa lelaki berusia 29 tahun itu dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk menerima rawatan.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Proton Saga dan motosikal jenis Yamaha.

    Katanya, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berumur 47 tahun dalam perjalanan menuju ke Mount Austin, di sini.

    “Setibanya di tempat kejadian, lelaki itu meneruskan perjalanan setelah lampu isyarat telah bertukar hijau, namun tiba-tiba datang sebuah motosikal jenis Yamaha ditunggang oleh seorang lelaki dari simpang kanan.

    “Pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan yang disyaki tidak mengikut isyarat lalu lintas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Remaja 17 tahun tunggang motosikal curi tanpa lesen dari Perak ke Pulau Pinang

    Remaja 17 tahun tunggang motosikal curi tanpa lesen dari Perak ke Pulau Pinang

    TINDAKAN berani seorang remaja berusia 17 tahun menunggang motosikal curi dari Batu Gajah, Perak pulang ke rumahnya di Balik Pulau, Pulau Pinang semalam memakan diri selepas dia ditahan polis semalam.

    Malah, ketika ditahan di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, remaja berkenaan yang tidak mempunyai lesen turut membonceng seorang lagi remaja lelaki berusia 13 tahun manakala seorang lagi rakan mereka berusia 16 tahun menunggang sebuah motosikal lain.

    Kedua-dua buah motosikal itu ditahan polis selepas ditunggang dalam keadaan mencurigakan selain tidak mengikut lorong motosikal di jambatan kedua Pulau Pinang terbabit.

    Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, siasatan lanjut mendapati motosikal yang ditunggang remaja berusia 17 tahun itu merupakan motosikal curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

    “Semakan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di Teluk Kumbar bulan lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya hari ini.

    Menurut Fisol, dua remaja iaitu berusia 13 dan 17 tahun didapati masih bersekolah manakala remaja berusia 16 tahun tidak bersekolah.

    Bagaimanapun tambahnya, remaja berusia 16 tahun memiliki lesen dan motosikal yang digunakan didaftarkan atas namanya sendiri.

    “Polis mengeluarkan empat saman ke atas remaja terbabit tersebut kerana beberapa kesalahan termasuk mengubah suai motosikal yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan,” katanya.

    Tambahnya, ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah dan polis turut menyita kedua-dua motosikal untuk siasatan lanjut.

    Ujar beliau, remaja berusia 17 tahun ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan manakala dua lagi remaja dibebaskan dengan jaminan polis.

  • Salah beri ubat: Jabatan Kesihatan Sabah mohon maaf

    Salah beri ubat: Jabatan Kesihatan Sabah mohon maaf

    JABATAN Kesihatan Negeri Sabah hari ini memohon maaf kepada keluarga pesakit berhubung insiden pesakit diberi ubat yang salah oleh pegawai perubatan semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Felda Sahabat, Lahad Datu, baru-baru ini.

    Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, berdasarkan siasatan, terdapat kelemahan komunikasi antara pegawai perubatan yang memberikan rawatan kepada pesakit berkenaan.

    “Pegawai perubatan terbabit telah melihat buku rawatan yang dibawa oleh pesakit ke Klinik Kesihatan Felda Sahabat iaitu pesakit mempunyai rekod diberi ubat kencing manis.

    “Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengesyaki buku rawatan yang dibawa pesakit bercampur dengan buku rawatan isteri pesakit, ini menimbulkan kekeliruan kepada pegawai perubatan berkenaan yang meneruskan pemberian ubat kencing manis kepada pesakit.

    “Mengikut rekod, pesakit sebenarnya mempunyai sejarah perubatan penyakit darah tinggi dan pembengkakan kalenjar prostat,” katanya dalam kenyataan di Lahad Datu.

    Dr Rose Nani berkata, sepatutnya pegawai perubatan memberikan penerangan kepada pesakit dan keluarga pesakit tentang status penyakit yang dihidapi serta jenis ubat yang diberikan.

    “Sekiranya proses penerangan dilaksanakan sudah tentu kekeliruan dapat dielakkan,” katanya lagi.

    Justeru katanya, pihaknya akan memastikan para pegawai perubatan yang bertugas di kawasan pedalaman di negeri itu agar mendapatkan latihan secara berkala berkaitan merawat pesakit termasuk komunikasi berkesan. – Bernama