RAKYAT berhak mendapat penjelasan berhubung isu pembekalan kapal tempur pesisir (LCS) dan kerajaan tidak akan berselindung dalam hal ini kerana ia berkait soal integriti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menegaskan isu pembekalan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu yang melibatkan kontrak berjumlah RM9.13 bilion perlu dijelaskan dengan teliti supaya tidak berlaku spekulasi dan rakyat tidak membuat keputusan sendiri.

“Kegagalan kerajaan dahulu apabila timbul isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) gagal menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat. Itu yang akhirnya rakyat membuat spekulasi dan membuat keputusan sendiri (tentang) apa yang berlaku, walaupun apa yang mereka fikir itu tidak berlaku, tidak seperti dijangkakan.

“Tetapi kerana kita gagal untuk memberi penjelasan yang betul, akhirnya isu itu menjadi besar,” katanya pada temu bual Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia bersama Perdana Menteri di Seri Perdana.

Hari ini genap setahun Ismail Sabri, 62, menerajui kerajaan Keluarga Malaysia. Pada 21 Ogos tahun lepas, beliau mengambil alih jawatan nombor satu negara selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Pada 4 Ogos lepas, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 Nov 2020 mendapati tiada satu pun kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu, yang diberikan secara rundingan terus telah dibayar sebanyak RM6.083 bilion untuk menyiapkan lima kapal harus disiap dan diserahkan pada Ogos 2022.

Pembekalan enam buah LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) itu menjadi isu ‘panas’ selepas pendedahan bahawa projek berkenaan yang sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun mulai 3 Okt 2013 hingga 2 Okt 2023 hanya siap 53.29 peratus setakat 31 Mei 2019.

Berdasarkan laporan siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dinyahklasifikasikan pada Rabu, Kementerian Pertahanan telah membayar sebanyak RM5.94 bilion kepada BNS daripada kos keseluruhan projek berkenaan berjumlah RM9.13 bilion setakat ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata disebabkan itu, beliau mengambil keputusan untuk mendedahkan hasil laporan jawatankuasa siasatan terbabit yang sebelum ini diklasifikasikan sulit kepada rakyat.

“Kita percaya, rakyat percaya atau tidak mesti diberikan penjelasan dan kita tak boleh berlindung… sebab itu saya terus membuat keputusan laporan audit forensik itu dinyahklasifikasikan supaya kita mesti telus, biar rakyat tengok,” katanya.

Naib Presiden UMNO itu percaya isu LCS akan terus dimainkan pembangkang sepertimana isu 1MDB sebelum ini, namun apa yang penting ialah bagaimana kerajaan mengambil tindakan balas selanjutnya dalam mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Sekarang ini satu kes, seorang dah dibawa ke mahkamah, saya difahamkan ada satu dua lagi akan dibawa ke mahkamah… tapi saya percaya siapa pun dibawa ke mahkamah isu ini akan terus dimainkan.

“Jadi nak kata isu ini akan terhenti bila kita tak tahu… yang pentingnya bagi saya… dalam Kabinet saya kata penjelasan kepada rakyat tentang isu ini penting,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here