Category: Semasa

  • Mahkamah tetapkan perbicaraan Yasin pada Mac tahun depan

    Mahkamah tetapkan perbicaraan Yasin pada Mac tahun depan

    MAHKAMAH Sesyen di Petaling Jaya hari ini menetapkan 15 hari bermula Mac tahun depan bagi perbicaraan tiga pertuduhan dadah yang dihadapi penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman, 47.

    Keputusan tersebut ditetapkan Hakim Jamaludin Mat iaitu perbicaraan pada Mac 2023 selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh-tarikh yang dicadang dan ditetapkan.

    Astro Awani melaporkan, tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 6 hingga 10, 13 hingga 17 Jan 20 hingga 24 Mac.

    “Walaupun kita telah cuba seawal mungkin namun kami percaya bahawa mahkamah juga ada keutamaan dan juga ada susunan susur atur kes yang lebih lama selain kes Yasin. Jadi kami menghormati keputusan mahkamah itu,” kata peguam yang mewakili Yasin Ariff Azami Hussein yang ditemui media di ruang luar mahkamah.

    Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah memaklumkan telah menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan dan ketiga-tiga kes dibicarakan bersama.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Oktober ini untuk pengurusan kes seterusnya sebelum perbicaraan bermula.

    Pada 6 Julai lalu, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan mengedar ditarik dan Yasin dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

    Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di Kuala Lumpur pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).

    Yasin yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

    Sementara itu bagi satu lagi pertuduhan, Yasin turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan, terdakwa bberdepan dengan peruntukan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

    Tertuduh turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

    Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu abang tertuduh, Zain Sulaiman, 50, yang turut hadir pada sesi di mahkamah hari berharap agar ada perkembangan yang lebih baik dalam kes membabitkan adiknya itu.

    “Insya-Allah kami amat harapkanlah ada sesuatu yang baik di penghujung kes ini dan kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada semua yang memberi sokongan kepada Yasin,” katanya ketika ditemui media di sini.

  • KPM terima 19 aduan kes buli, kata Dr. Radzi

    KPM terima 19 aduan kes buli, kata Dr. Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menerima sebanyak 19 aduan berkaitan kes buli melalui portal aduan yang dilancarkan baru-baru ini.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, jumlah itu melibatkan 16 aduan diterima daripada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) KPM dan tiga lagi daripada aplikasi WhatsApp.

    “Kementerian sedang membuat penelitian sebelum mengambil tindakan sewajarnya berhubung aduan yang diterima.

    “Setiap aduan kita teliti terlebih dahulu dan dapatkan maklumat lanjut untuk pastikan apa sebenarnya yang berlaku.

    “Melalui e-mel setakat ini kita masih belum menerima sebarang aduan atau maklum balas, manakala menerusi talian khas aduan buli kita terima sebanyak lima panggilan yang berkaitan dengan pertanyaan, bukan aduan.

    “Melalui telefon bimbit pula, terdapat dua panggilan pertanyaan dan WhatsApp ada 10 pertanyaan dan tiga aduan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelantar Pembelajaran Digital Kementerian Pendidikan Malaysia Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) di Putrajaya, hari ini.

    Mohd. Radzi menjelaskan, jumlah tersebut merupakan data terkini yang diterima KPM selepas pelancaran portal aduan buli pada 18 Ogos lalu.

    Ujarnya, ibu bapa khususnya dan pemegang taruh dalam sektor pendidikan melihat portal berkenaan sebagai satu platform yang boleh digunakan bukan sahaja untuk membuat aduan tetapi juga pertanyaan dan menyalurkan maklumat.

    “Yang paling penting, kita mahu setiap aduan tersebut dibuat dengan maklumat lengkap yang membolehkan kita membuat siasatan lanjut supaya proses ini menjadi lebih cekap dan berkesan,” katanya.

    Ditanya mengenai statistik aduan yang diterima, beliau memaklumkan tidak mempunyai data terperinci mengenai lokasi sekolah yang terlibat dengan kes buli yang dilaporkan dalam portal.

    “Kita tidak menganaktirikan sama ada sekolah bandar atau luar bandar,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Apa yang penting katanya, satu sistem diwujudkan dan sekiranya terdapat kes-kes berlaku yang perlu dilaporkan secara terus, maka KPM akan mempunyai laporan tersebut.

    “Isu buli tidak kenal bandar, luar bandar atau negeri mana. Yang penting, sistem ini memberi impak yang optimum dan maklumat akan sampai kepada kementerian secepat mungkin dan kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

  • Dua lelaki menyamar pegawai imigresen, rogol wanita ditahan

    Dua lelaki menyamar pegawai imigresen, rogol wanita ditahan

    POLIS menahan dua lelaki yang disyaki menyamar sebagai pegawai Imigresen dan menyamun serta merogol seorang wanita warga Indonesia, Sabtu lepas.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kedua-duanya yang berusia 35 dan 40 tahun ditahan di sebuah rumah teres di Taman Seri Asahan, Jasin, Melaka, kira-kira 3 pagi tadi.

    Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 6.50 pagi itu, kedua-dua suspek mengaku sebagai pegawai Imigresen dan ingin melakukan pemeriksaan pasport serta permit dua wanita tersebut berhampiran sebuah hospital di Pandan Indah di Ampang, Selangor, seterusnya meminta mereka menaiki kereta jenis Honda City.

    “Selepas itu kedua-dua wanita berkenaan dibawa ke kawasan Serdang dan semasa dalam perjalanan, suspek telah mengambil barang kemas dan wang tunai milik mangsa.

    “Seorang daripada mangsa kemudian diturunkan di tepi jalan di kawasan berkenaan manakala seorang lagi dibawa ke sebuah hotel di kawasan Balakong dan dirogol,” katanya ketika dihubungi.

    Menurutnya hasil serbuan di rumah di Jasin itu, polis merampas wang tunai, seutas rantai leher, rantai tangan serta kenderaan yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian terbabit.

    Beliau berkata siasatan lanjut mendapati lelaki berusia 40 tahun itu mempunyai 18 rekod jenayah lampau dan dadah termasuk tiga rekod dikehendaki manakala lelaki berusia 35 tahun pula mempunyai 13 rekod jenayah lampau dan dadah termasuk satu rekod dikehendaki.

    Mohamad Farouk berkata kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam. – Bernama

  • Sumpah tak seleweng duit SRC, Mujahid dakwa Najib permain sentimen agama

    Sumpah tak seleweng duit SRC, Mujahid dakwa Najib permain sentimen agama

    BEKAS menteri hal ehwal agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bimbang terhadap sumpah yang dilafazkan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang sedang menghadapi kes di mahkamah.

    Memetik laporan Malaysiakini, Dr Mujahid berkata, tindakan Najib membuat sumpah laknat di Masjid Kampung Baru semalam amat dikesali.

    “Ia adalah usaha untuk mempermainkan sentimen agama di kalangan penyokongnya sahaja ketika Mahkamah Persekutuan sedang bersidang bagi membicarakan beliau.

    “Tindakan ini dibuat selepas pelbagai usaha untuk menangguhkan perbicaraan beliau ditangguhkan, namun gagal.

    “Lebih dikesali lagi apabila beliau mengumpulkan penyokong beliau bersama untuk menyaksi kan sumpah beliau itu termasuk seorang penceramah agama,” kata naib presiden Amanah itu hari ini.

    Mujahid yang juga ahli Parlimen Parit Buntar berkata sumpah Najib itu dilakukannya ketika Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap bekas perdana menteri itu.

    “Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan telah menjatuhkan hukuman beliau bersalah dan kini lima hakim Mahkamah Persekutuan pula bersidang untuk menentukan nasib beliau,” jelasnya.

    “Saya bimbang dengan pendekatan yang diambil oleh Datuk Seri Najib dan penyokongnya.

    “Apakah ini wajah Melayu yang kita inginkan atau Melayu yang lebih bermaruah dan memegang nilai-nilai agama dengan sebaik-baiknya bukan Melayu yang boleh dimainkan emosinya dengan sentimen perkauman dan agama yang sempit.

    “Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada semua rakyat negara ini, buat masa sekarang berilah kepercayaan kepada Mahkamah Persekutuan pimpinan Ketua Hakim Negara (Tengku Maimun Tuan Mat) untuk membuat keputusan dengan adil dan berdasarkan bukti dan saksi dalam perbicaraan,” kata Mujahid.

    Najib malam tadi sekali lagi melafazkan sumpah mubahalah (saling laknat melaknati) bagi menafikan pembabitannya dalam penyelewengan dana SRC International.

    Perkembangan itu hadir menjelang prosiding rayuan akhir kes bekas perdana menteri itu di Mahkamah Rayuan pada Selasa ini.

    Najib berkata, lafaz sumpah kali ini bertujuan untuk membersihkan nama keluarganya dan kedua ibu bapanya.

    “Aku tidak pernah pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana RM42 juta datangnya dari syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung.

    “…Aku tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun bank aku untuk apa-apa tujuan pun,” kata Najib.

    Bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan itu juga mendakwa dia tidak terlibat dalam mesyuarat kabinet bagi meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) sebanyak RM4 billion kepada syarikat SRC untuk tujuan mendapatkan habuan haram.

    “Sekiranya aku berdusta di atas sumpah ku ini, ya Allah…Maka ya Allah halallah laknat ke atas diriku,” kata Najib dalam sumpahnya itu.

    Untuk rekod, pada 2019, Najib pernah melafazkan sumpah bagi menafikan dakwaan pembabitannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

    Pada 28 Julai 2020 pula, Najib melafazkan sumpah serupa berhubung kes SRC bagi menyatakan bahawa dia tidak tahu mengenai RM42 juta yang disalurkan ke akaunnya.

    Dia kemudiannya sekali lagi melafazkan sumpah laknat pada 8 Dis 2021 secara dalam talian bagi menyatakan tidak bersalah di atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International.

  • Maritim Malaysia tahan kapal layar beroperasi tanpa dokumen

    Maritim Malaysia tahan kapal layar beroperasi tanpa dokumen

    OLeh RIZQI ZABIDI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah kapal layar yang beroperasi tanpa dokumen di sekitar perairan Langkawi, lewat petang kelmarin.

    Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, kapal layar itu ditahan semasa bersauh di 0.2 batu nautika timur laut Pulau Tuba kira-kira pukul 6.55 petang kelmarin.

    Hasil pemeriksaan mendapati, kapal layar yang membawa dua pemilik kapal layar serta dua kru masing-masing berumur 46 tahun hingga 56 tahun beserta lapan penumpang itu, gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk menjalankan aktiviti rekreasi di laut.

    Kapal layar tersebut dipercayai membawa pelancong melihat pemandangan matahari terbenam atau ‘Sunset Cruise’.

    Kapal layar bersama kru dan pemilik bot tersebut kemudian ditahan dan dibawa masuk ke jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

    kapal layar itu ditahan semasa bersauh di 0.2 batu nautika timur laut Pulau Tuba kira-kira pukul 6.55 petang kelmarin

    Kes disiasat dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen yang sah.

    Maritim Malaysia turut menegaskan supaya semua pengusaha kapal layar yang menjalankan aktiviti ‘Sunset Cruise’ untuk mematuhi segala keperluan perlesenan, insuran dan keselamatan bagi menjaga keselamatan pelancong dan penumpang kapal layar.

    Maritim Malaysia juga mengingatkan supaya pelancong lebih peka untuk memilih pengusaha kapal layar yang berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

    Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kesalahan undang-undang di laut melalui talian 04-9662750.

  • Mahkamah tolak permohonan Syed Saddiq cabar kredibiliti saksi

    Mahkamah tolak permohonan Syed Saddiq cabar kredibiliti saksi

    MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pihak pembelaan bagi mencabar kredibiliti seorang saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

    Pembelaan memohon untuk mencabar kredibiliti bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia Rafiq Hakim Razali berhubung dakwaan terdapat perbezaan dalam keterangan lisan saksi pendakwaan ke-13 itu di mahkamah dan rakaman percakapan yang direkod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid ketika membuat keputusan itu berkata tiada keperluan untuk mencabar kredibiliti saksi berkenaan.

    “Selepas meneliti keterangan lisan dan rakaman percakapan saksi itu, mahkamah mendapati terdapat perbezaan kecil yang tidak terjumlah kepada percanggahan yang material atau serius. Oleh itu, permohonan pembelaan untuk mencabar kredibiliti saksi ditolak,” katanya.

    Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq kemudiannya memohon supaya salinan percakapan yang dirakam SPRM itu diserahkan kepada pihak pembelaan dan mahkamah menetapkan petang ini untuk mendengarnya. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

    Pada 25 Julai lepas, Azhar mengarahkan pihak pendakwaan supaya menyerahkan salinan rakaman percakapan Rafiq Hakim kepada mahkamah untuk penelitian bagi mengesahkan perbezaan yang terdapat dalam keterangan lisan dan rakaman percakapan berkenaan, sebelum permohonan untuk mencabar kredibiliti saksi diputuskan.

    Percanggahan itu merujuk kepada masa dan tempat arahan yang didakwa diberikan oleh Syed Saddiq kepada Rafiq Hakim dan Penolong Setiausaha Armada Ahmad Redzuan Mohamed Shafi untuk mengeluarkan RM1 juta dan tujuan acara kutipan dana di Muar.

    Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

    Ahli Parlimen Muar itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.- BERNAMA

  • Rafizi dakwa isteri Dr Latiff terlibat projek LCS

    Rafizi dakwa isteri Dr Latiff terlibat projek LCS

    TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa, isteri kedua kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mempunyai kaitan dengan penyelewengan berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS).

    Memetik laporan Astro Awani, bekas Ahli Parlimen Pandan itu mendedahkah, kertas siasatan dalaman LCS menunjukkan Zainab Mohd Salleh terlibat dalam dua syarikat pesisir luar pantai – Alizes Marine Limited dan Alizes Marine Labuan.

    Dakwanya lagi, berdasarkan siasatan dalaman terhadap kedua-dua syarikat berkenaan termasuk dengan pendedahan Paradise Papers, terdapat beberapa bentuk penyelewengan berlaku.

    “Pertama, syarikat-syarikat sebegini dilantik menjadi jururunding teknikal (sedangkan mereka tiada kepakaran) kepada projek. Mereka menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakan. Sebanyak RM23.37 juta diselewengkan menggunakan kaedah ini di awal pelaksanaan projek sekitar 2011 hingga 2014.

    “Kedua, Alizes Marine juga dilantik sebagai pembekal alat-alat gantian (“spare parts”) kepada projek LCS. Lantikan itu berdasarkan maklumat palsu kononnya ia mempunyai lesen dari kerajaan Perancis untuk menjadi pengeksport global alat gantian pertahanan (sedangkan ia tidak mempunyai lesen itu),” dakwa Rafizi dalam catatan terbaharu di Facebooknya.

    Bahkan Rafizi turut mendakwa, semakan dengan pangkalan data Paradise Papers mengesahkan kewujudan syarikat Alizes Marine Limited yang dimiliki oleh seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh.

    Selain itu katanya, Zainab juga pemegang saham sebuah lagi syarikat pesisir luar pantai yang ditubuhkan di Malta bernama Intralogistics Limited, antara pemegang saham di dalam Alizes Marine Labuan.

    Rafizi berkata, projek LCS telah membayar sekitar RM210 juta bagi alat-alat gantian yang kononnya dibekalkan oleh syarikat Perancis tetapi bayaran diselewengkan ke syarikat-syarikat palsu yang ditubuhkan di Malta dan Labuan.

    Mengulas mengenai Zainab, Rafizi berkata, berdasarkan pendedahan Paradise Papers, wanita itu merupakan isteri kepada Dr Abdul Latiff, yang pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Pertahanan (2008 – 2013) sewaktu penyelewengan LCS dikatakan berlalu.

    “Semakan saya menunjukkan bahawa skim menyeleweng dana awam dari projek LCS ini dibuat selama bertahun-tahun dan dengan penuh perancangan.

    “Saya juga boleh mengesahkan bahawa ada pelbagai bentuk kontrak pertahanan lain yang melibatkan (Dr) Latiff Ahmad dan LCS bukan satu-satunya projek yang melibatkan syarikat-syarikat berkait dengan beliau.

    “Ada beberapa projek pertahanan negara yang lain yang turut melibatkan Alizes Marine dan beberapa syarikat lain yang dimiliki dan dikawal oleh dia sendiri (Latiff) atau isterinya,” katanya lagi.

    Rafizi berkata, pendedahan terbaharu yang dibuat beliau bertujuan untuk menutup mulut UMNO dan Barisan Nasional yang cuba menyalahkan pesara-pesara tentera laut apabila skandal tersebut ‘meletup’.

    “Skandal sebesar ini tidak boleh berlaku tanpa ada dalang dari kalangan pimpinan UMNO yang membuat keputusan-keputusan besar pada ketika itu, sedangkan pesara-pesara tentera laut hanya bersubahat melaksanakan penyelewengan.

    “Saya juga berharap pimpinan Perikatan Nasional dari Bersatu dan Pas mula sedar bahawa skandal LCS ini akan turut mengheret mereka kerana pimpinan kanan mereka, Latiff Ahmad dan keluarganya terlibat secara langsung di dalam syarikat-syarikat palsu yang menyelewengkan dana projek LCS,” dakwa Rafizi lagi.

  • Itu bukan isteri saya – Abdul Latiff

    Itu bukan isteri saya – Abdul Latiff

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad menafikan isterinya memiliki syarikat palsu berkaitan yang terlibat dalam skandal penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS).

    “Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek LCS, saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut.

    “Sebagai Anggota Kabinet, saya bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Hari ini, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa, dua syarikat palsu yang terlibat dalam skandal penyelewengan projek LCS dimiliki oleh isteri kepada salah seorang menteri kabinet ketika ini.

    Beliau berkata, kewujudan kedua-dua syarikat berstatus syarikat pesisir luar pantai (offshore) menggunakan nama Alizes Marine tetapi didaftarkan di dua negara berbeza itu terbongkar melalui siasatan dalaman LCS dan semakan lanjut yang dilakukannya.

    Berdasarkan semakan kata Rafizi, syarikat bernama Alizes Marine Limited didaftarkan di Malta dan sebuah lagi syarikat bernama Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan, Sabah ‘digunakan’ untuk menjadi pembekal alat-alat ganti kepada projek kapal LCS.

    Menurutnya lagi, laporan turut menunjukkan pemilikan syarikat oleh wanita itu juga berlaku ketika suaminya yang pada ketika itu merupakan Timbalan Menteri Pertahanan.

  • Remaja 16 tahun tunggang motosikal ala Superman antara 4 lelaki ditahan berlumba

    Remaja 16 tahun tunggang motosikal ala Superman antara 4 lelaki ditahan berlumba

    REMAJA berusia 16 tahun antara seramai empat remaja lelaki yang ditahan polis selepas dikesan melakukan aksi ‘ala Superman’ ketika menunggang motosikal serta berlumba secara berkumpulan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Cheung Eu, Georgetown, Pulau Pinang semalam.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, dalam Ops Samseng Jalanan itu, tiga lagi remaja lelaki yang ditahan berusia 18 dan 19 tahun.

    Menurut beliau, remaja ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Barat Daya serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang.

    “Berdasarkan siasatan awal, kesemua mereka didapati menunggang motosikal secara berkumpulan serta melakukan aksi ‘ala Superman’ sambil menduga kelajuan.

    “Sehubungan itu, mereka telah direman selama tiga hari sehingga esok untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, dalam operasi sama sebanyak tujuh buah motosikal disita termasuk motosikal yang digunakan oleh pesalah Seksyen 42 (1) APJ 1987 manakala sebanyak 28 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

    Sementara itu, beliau menegaskan polis akan sentiasa memantau aktiviti samseng jalanan terutama ketika hujung minggu.

    ”Ibu bapa juga perlu menasihati dan memantau anak-anak supaya tidak terlibat dengan aktiviti berbahaya seperti ini,” katanya.

  • Kakitangan hospital maut dalam nahas dua kereta

    Kakitangan hospital maut dalam nahas dua kereta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG wanita yang bekerja di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang maut dalam kemalangan di Kilometer 86.5 Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kluang, pukul 5 petang semalam.

    Mangsa, Noorazimah Ismail, 40, yang juga isteri kepada Pegawai Bomba Kanan PBK II Mohd. Nezam A Rahman yang bertugas di Kluang meninggal dunia semasa dirawat di HEBHK .

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kemalangan tersebut melibatkan kereta Proton Wira dan Perodua Myvi dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira masuk ke laluan Perodua Myvi dan merempuh bahagian hadapan kereta tersebut.

    “Mangsa iaitu pemandu Myvi cedera parah dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital berkenaan akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, pemandu Proton Wira itu yang berusia 40-an mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka dan serta masih dirawat di HEBHK.

    Wanita berkenaan cedera parah dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital berkenaan akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan

    Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melalui talian 07-7784256, katanya.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Noorhakim Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 5 petang.

    Susulan itu katanya seramai sembilan anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kedua-dua mangsa telah tersepit. Pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan khas dan kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan.

    “Mangsa diberikan rawatan awal oleh unit EMRS dan kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital. Operasi tamat pada jam 5.17 petang,” katanya.