Category: Semasa

  • PRU-15: Teruskan rundingan satu lawan satu – Fadhli

    PRU-15: Teruskan rundingan satu lawan satu – Fadhli

    KEPIMPINAN Pakatan Nasional (PN) digesa terus mengadakan rundingan bagi memastikan pertandingan satu lawan satu berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

    Ketua Pemuda PN, Fadhli Saari berkata, satu lawan satu adalah ramuan terbaik memastikan UMNO-Barisan Nasional ditumbangkan.

    “Saya bimbang jika kita ulangi pertandingan banyak penjuru kita akan mengulangi cerita di Pilihan Raya Kecil (PRK) Melaka dan Johor,” katanya berucap pada Konvensyen PN 2022 di Sedang pada Sabtu.

    Sehubungan itu Fadhli berkata, ramuan berbeza perlu dirangka bagi mempersiapkan PN di PRU-15.

    “Meskipun kita akui faktor calon boleh menang, namun kalau perlu kita tampilkan profesional muda, kita tampilkan anak muda. PRK Melaka telah memperlihatkan bagaimana calon-calon muda berjaya memberi saingan dan hampir menang. PRK Melaka telah memperlihatkan bagaimana calon-calon muda berjaya memberi saingan dan hampir menang,” katanya.

  • PN tadbir lebih baik dari BN walau singkat – Radzi

    PN tadbir lebih baik dari BN walau singkat – Radzi

    MESKIPUN hanya menjadi kerajaan selama 17 bulan, Perikatan Nasional (PN) menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN) yang selama lebih lebih enam dekad mentadbir negara, kata Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin.

    Dalam ucapannya di Konvensyen PN hari ini, Radzi memberi beberapa contoh kejayaan PN antaranya melupuskan hutang peneroka Felda serta program yang memberi manfaat kepada penduduk di Sabah dan Sarawak.

    “Pengerusi (Muhyiddin Yassin) memimpin kerajaan sekitar satu tahun lima bulan… tempoh ini kita ada track record amat cemerlang.

    “Dalam banyak-banyak gabungan parti di Malaysia ini, gabungan di peringkat persekutuan yang paling baru adalah PN. Tempoh singkat dua tahun tapi track record dan impak ditinggalkan kepada rakyat amat jelas.

    “Sahabat-sahabat di Sabah, Sarawak bercakap bagaimana (dalam) tempoh singkat ini manfaat sampai ke Sabah, Sarawak yang ditunggu berpuluh tahun sejak BN,” katanya sebagaimana lapor Malaysiakini.

    Radzi berkata, sementara BN menganggap Sabah dan Sarawak sebagai “deposit tetap” ketika pilihan raya, PN pula menjadikan dua negeri itu sebagai “sahabat”.

    Radzi yang juga menteri pendidikan ketika pentadbiran PN dan juga sekarang turut memberi contoh hutang peneroka Felda yang sering dibangkitkan setiap tahun.

    “Lepas berpuluh tahun siapa yang selesaikan lebih RM8.3 bilion hutang peneroka Malaysia diselaraskan.

    “Ini impak baru setahun lima bulan jadi PM. Cuba bagi penuh penggal, Insya-Allah kita akan lihat impak pada rakyat jauh lebih baik,” katanya.

    Mengimbas semula ketika Covid-19 yang melanda negara, Radzi berkata prestasi PN juga dapat dilihat dengan bagaimana krisis kesihatan itu diuruskan.

    Untuk rekod, pentadbiran PN pernah dikritik antaranya berhubung pengendalian perintah kawalan pergerakan (PKP) – yang merangkumi beberapa tahap sekatan – dengan ada yang dibuat di saat akhir.

    Antaranya pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) PKP.

    Malah, Radzi ketika memegang jawatan yang sama dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabari Yaakob turut dikritik antaranya dalam isu pemeriksaan haid di kolej dan sekolah serta jenaka seksual di sekolah.

  • Dua kenderaan TDM rosak pada raptai sambutan Hari Kebangsaan

    Dua kenderaan TDM rosak pada raptai sambutan Hari Kebangsaan

    TENTERA Darat Malaysia (TDM) mengesahkan bahawa dua kejadian kerosakan kenderaan Tentera Darat yang terlibat dengan raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2022.

    Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian pertama berlaku pada semalam melibatkan sebuah kenderaan PT-91M Pendekar yang terlibat dalam acara perbarisan sambutan itu mengalami kerosakan di Jalan Damansara susur keluar Carcosa ke KL Sentral, di sini.

    Menurut kenyataan itu, PT-91M Pendekar baru sahaja selesai menjalani raptai perbarisan itu dan dalam perjalanan ke tempat parkir Kenderaan Jenis A (KJA) sebelum berhenti secara tiba-tiba akibat masalah enjin yang dihadapi pada 10.30 pagi itu.

    Armoured Recovery Vehicle telah diaturgerakkan memberi bantuan menarik kenderaan itu dan telah berjaya dialihkan ke tempat parkir KJA di Muzium Negara, di sini pada 11 pagi itu untuk kerja-kerja pembaikan.

    “Kejadian kedua berlaku pada hari ini iaitu pada 11.26 pagi tadi di Muzium Negara melibatkan sebuah Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai yang dalam perjalanan balik ke Kem Perdana Sungai Besi mengalami masalah enjin tidak dapat dihidupkan,” menurut kenyataan itu.

    “Berikutan itu, anggota mekanik diatur gerak ke lokasi dan membuat kerja pembaikan dan kenderaan tersebut siap dibaiki pada 12.30 tengah hari tadi dan meneruskan kembali perjalanan.

    “Untuk makluman, sebanyak 129 aset kenderaan tentera darat terlibat dalam perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2022.

    “Oleh yang demikian, Tentera Darat memohon maaf susulan dua insiden yang berlaku,” menurut kenyataan itu.

    Tentera Darat juga akan memastikan kejadian sedemikian tidak berulang dan jika berlaku, Recovery Team bersama Kembalik (kenderaan trak tunda tentera) yang telah berada di lokasi berhampiran akan bertindak pantas menunda kenderaan tersebut bagi mengelak kesesakan lalu lintas.- BERNAMA

  • Lori kontena rempuh tiga kenderaan di LPT: Empat mangsa maut dikenal pasti

    Lori kontena rempuh tiga kenderaan di LPT: Empat mangsa maut dikenal pasti

    IDENTITI empat mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 135.7 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) hala Kuantan awal pagi tadi melibatkan empat buah kenderaan, telah dikenal pasti.

    Mereka ialah penumpang kereta Proton Exora Mohmed @ Mohamed Shamsuddin, 75, isterinya Kamariah Hamzah, 72, serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikenali sebagai Danis, serta pemandu trak tunda Mohd Azuan Zainal Abidin, 53.

    Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata kemalangan yang dipercayai berlaku pada 3.10 pagi tadi, juga menyebabkan lapan lagi penumpang Proton Exora itu yang berusia antara dua hingga 30 tahun cedera.

    Sementara itu, pemandu kereta Proton Waja yang berusia 36 tahun koma, manakala dua anak perempuannya berusia 11 dan lima tahun cedera ringan dan isterinya, 36, tidak mengalami kecederaan. 

    “Pemandu lori (kontena) berusia 56 tahun dan berasal dari Kedah, juga cedera ringan dalam kemalangan tersebut dan kini ditahan bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

    Mohd Azhar berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori kontena melanggar ketiga-tiga kenderaan terbabit (Proton Exora, Proton Waja dan trak tunda) yang berada di lorong kecemasan.

    “Lori kontena dipercayai merempuh trak tunda yang semasa itu dalam proses menaikkan Proton Exora untuk ditunda,” katanya.

    Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian diminta datang ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    Mayat mangsa dan semua yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

    — BERNAMA

  • Tuan Ibrahim garis tiga strategi semasa Konvensyen PN

    Tuan Ibrahim garis tiga strategi semasa Konvensyen PN

    KONVENSYEN Perikatan Nasional (PN) 2022 perlu memantapkan sekurang-kurangnya tiga strategi dalam membentuk kekuatan gabungan itu.

    Memetik laporan Harakahdaily, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pertama ialah konvensyen itu adalah sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Kedua kata beliau, setiap perkara yang dibicarakan dalam konvensyen itu memerlukan tindakan susulan, iaitu memperkasakan agenda bertindak di peringkat negeri, bahagian dan kawasan.

    “Kita perlu menggarapkan kekuatan semua organisasi dan ketiga yang juga paling penting ialah kepatuhan kepada keputusan parti dalam menghadapi PRU15.

    “Bagi menghadapi cabaran ini, kita perlu menyedari bahawa PN mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.

    “Namun, kita yakin kekuatan yang ada dan rakan kita memerlukan suatu garapan bagi membentuk satu kekuatan,” katanya pada Konvensyen PN 2022 di MAEPS Serdang, hari ini.

    Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, PN juga perlu membicarakan persamaan sesama parti, sama ada di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

    Katanya, ini memerlukan keikhlasan dalam perjuangan dan pada masa sama, ahli perlu patuh dan mendukung keputusan parti, bukan merajuk dalam PRU15.

    “Pas bersama rakan dalam kerajaan mendukung Rang Undang-Undang Antilompat yang dibentangkan di Parlimen dan kita juga ke arah mewujudkan pendanaan politik supaya negara menuju ke arah berintegriti dan bebas rasuah,” katanya.

    Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, PN yang berusia dua tahun, suatu tempoh yang singkat dalam konteks muafakat politik berdepan pelbagai cabaran.

    Menurutnya, dua tahun adalah tempoh bagi meletakkan asas bagi pengukuhan muafakat politik dan cabaran yang dihadapi kali ini tentu jauh berbeza berbanding situasi sebelum ini.

    “Saya suka berkongsi sedikit pengalaman PAS dalam pembentukan Muafakat Nasional (MN) bersama Barisan Nasional (BN) pada awalnya dan kemudian kita menjemput Bersatu untuk bersama dalam MN.

    “Pada waktu itu, BN bersama PAS dalam MN membuat keputusan mengekalkan Tan Sri Muhyidddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Ini bermakna sebenarnya, mereka (BN) juga menerima kepimpinan Muhyiddin. Dalam pengukuhan ini, kita perlu menggarapkan semua kekuatan yang ada,” katanya.

  • Remaja perempuan 14 tahun larikan bayi tiada masalah mental

    Remaja perempuan 14 tahun larikan bayi tiada masalah mental

    POLIS Pulau Pinang mengesahkan remaja perempuan berusia 14 tahun yang melarikan bayi dalam kejadian di Bukit Mertajam pada Selalu lalu tidak mempunyai sebarang masalah atau gangguan mental.

    Sebaliknya kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, suspek utama berkenaan bertindak demikian hanya kerana tertarik dan mahu menjaga bayi perempuan berkenaan seperti anak sendiri.

    Sehubungan itu tambah beliau, polis mendapati tiada unsur cuba menjual bayi berkenaan kepada mana-mana sindiket dalam kejadian penculikan tersebut.

    “Hasil soal siasat mendapati, suspek tidak sakit sebaliknya datang daripada keluarga yang berpecah-belah dan tidak membesar seperti remaja lain,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga bayi berkenaan di rumah mereka di Taman Pauh, Bukit Mertajam hari ini.

    Dalam kejadian pukul 5.30 petang Selasa lalu, bayi berusia sembilan bulan itu dilarikan dari rumah pengasuhnya oleh remaja perempuan terbabit dengan sebuah motosikal.

    Mangsa kemudian berjaya diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

    Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, suspek utama dan teman lelakinya yang berusia 18 tahun kini disambung reman selama empat hari sehingga 30 Ogos ini mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

    Jelas beliau, mereka akan didakwa di mahkamah manakala tiga lagi individu yang turut ditahan bersabit kes itu akan menjadi saksi pendakwaan.

  • [VIDEO] Saya tidak tunduk dengan gangguan politik, tidak gadai prinsip integriti – Muhyiddin

    [VIDEO] Saya tidak tunduk dengan gangguan politik, tidak gadai prinsip integriti – Muhyiddin

    BIARPUN digasak dengan gangguan politik ke atas beliau ketika menyandang jawatan Perdana Menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa beliau tidak pernah tunduk dengan tekanan sedemikian.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin menjelaskan bahawa beliau turut tidak pernah menggadaikan prinsip integriti semata-mata untuk memuaskan hati pihak yang mendesak.

    Katanya, beliau teguh dengan perkara itu kerana tahu ia satu perbuatan yang salah.

    “Saya tidak perlu mengulas panjang mengenai gangguan-gangguan politik atau pengkhianatan politik terhadap saya dan Kerajaan PN sebelum ini.

    “Cukuplah saya katakan bahawa gangguan-gangguan ini berlaku semata-mata kerana saya selaku Perdana Menteri pada waktu itu tidak mahu tunduk kepada kehendak beberapa pihak yang sekiranya saya layan, saya terpaksa menggadaikan prinsip integriti semata-mata untuk mengekalkan kuasa.

    “Saya tidak mahu memilih jalan itu kerana saya tahu itu adalah jalan yang salah,” katanya dalam ucap tama Konvensyen Perikatan Nasional (PN) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) hari ini.

    Terdahulu, Muhyiddin tidak menafikan wujud banyak gangguan politik sepanjang menjadi Perdana Menteri.

    Bagaimanapun, menurut Muhyiddin lagi, beliau menegaskan bahawa dirinya menepis perkara itu demi meletakkan fokus terhadap usaha-usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat daripada ancaman Covid-19.

    Selain itu, katanya, beliau tidak tunduk dengan desakan dan menggadaikan prinsip integriti juga untuk membantu mereka meringankan beban kehidupan yang amat sukar pada ketika itu.— SB

  • Muhyiddin jadi PM jika Perikatan Nasional menang PRU-15

    Muhyiddin jadi PM jika Perikatan Nasional menang PRU-15

    PERIKATAN Nasional (PN) akan terus menamakan pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri mereka dalam usaha untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Memetik laporan Astro Awani, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dominic Lau yang juga Presiden Gerakan berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu akan tetap mendapat sokongan kesemua parti dalam gabungan tersebut sebagai Perdana Menteri ke-10 negara.

    Sehubungan itu, PN tegas beliau, akan memberi tumpuan mengukuhkan kekuatan dan perpaduan dalam usaha mendapat sokongan rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan Persekutuan.

    “Kita akan ambil alih kerajaan Persekutuan dan menjadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10,” kata Dominic.

    Sehubungan itu, PN tegas beliau, akan memberi tumpuan mengukuhkan kekuatan dan perpaduan dalam usaha mendapat sokongan rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan Persekutuan.

    “Kita akan ambil alih kerajaan Persekutuan dan menjadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10,” kata Dominic.

    Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu Konvensyen Perikatan Nasional 2022, serta ulang tahun kedua penubuhan gabungan tersebut, di sini, pada Sabtu.

    Namun, Dominic mengakui, usaha untuk memenangi PRU15 bukanlah bukan sesuatu yang mudah, memandangkan dinamika politik yang berbeza pada masa kini.

    “Untuk mencapai impian ini PN perlu mendapatkan mandat dan sokongan undi daripada kesemua rakyat Malaysia,” tegasnya lagi.

  • Wanita PN siap siaga hadapi PRU-15

    Wanita PN siap siaga hadapi PRU-15

    JENTERA Wanita Perikatan Nasional (PN) sentiasa bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa sahaja, kata Ketuanya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit@Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata kesediaan jentera sentiasa berada pada tahap memuaskan susulan khabar angin mengenai PRU15.

    “Wanita PN sudah pun bersedia. Jentera kami turun sebagai satu nama PN. Paling lewat pun PRU Julai tahun depan.

    “Maksudnya bukan hanya Srikandi Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Dewan Muslimat PAS atau Wanita Gerakan, tetapi kita turun dengan membawa (nama) Wanita Perikatan Nasional,” katanya.

    Rina berkata Wanita PN sudah lama turun padang bagi mendekati rakyat, mendalami permasalahan mereka serta menghulurkan bantuan tanpa mengira pegangan politik.

    “PN pun baru dua tahun penubuhannya. Janji kita bantu rakyat. Dari segi jentera, kita sudah bergerak bersama dan insya-Allah kita bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa,” katanya.

    Baru-baru ini Timbalan Pengerusi PN Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan berkata PN sudah bersedia sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat dan yakin dengan kerjasama semua parti komponen dalam gabungan itu.- BERNAMA

  • PRU-15: Pemuda PN minta 30 peratus orang muda jadi calon

    PRU-15: Pemuda PN minta 30 peratus orang muda jadi calon

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) menuntut sekurang-kurangnya 30 peratus golongan muda untuk diangkat sebagai calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Pengerusi Pemuda PN, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, perkara itu penting bagi memberi keyakinan kepada golongan muda, khususnya hampir enam juta pengundi baharu, bahawa PN memiliki penyelesaian untuk segala masalah mereka.

    Beliau berkata, Pemuda PN yakin tindakan gabungan itu mengangkat calon anak muda akan memberi gambaran kepada pengundi muda bahawa parti itu mampu membawa aspirasi mereka apabila menjadi kerajaan.

    “Saya ingin merayu pada semua pimpinan PN untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon anak muda pada PRU-15, yang boleh membawa suara dan aspirasi anak muda dalam kerajaan.

    “Ketika ini, ada 5.8 juta pengundi baharu yang layak mengundi secara automatik, dengan 20 peratus daripadanya berusia 18 tahun hingga 20 tahun, manakala sekitar separuh rakyat Malaysia berusia bawah 30 tahun.

    “Ertinya, anak muda adalah ‘king maker’ pada PRU-15. Jika tidak mampu memahami aspirasi, masalah dan cabaran mereka, mana-mana parti pun akan berdepan kesukaran yang cukup besar,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PN 2022, di Serdang, hari ini.