Category: Semasa

  • Data 46 juta nombor telefon bocor: Komputer riba jadi tumpuan siasatan

    Data 46 juta nombor telefon bocor: Komputer riba jadi tumpuan siasatan

    POLIS sedang menyiasat bukti baharu dikaitkan dengan kebocoran data kira-kira lima tahun lalu yang dilapor membabitkan 46 juta nombor telefon bimbit rakyat Malaysia.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, bukti baharu itu dipercayai berkisar tentang penggunaan sebuah komputer riba sangat selamat dari premis Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengakses pelayan yang mengandungi data semua pelanggan telefon bimbit di negara ini.

    FMT difahamkan penemuan pasukan forensik digital yang memeriksa komputer itu buat julung kali bercanggah dengan kenyataan saksi berhubung penggunaan komputer terbabit.

    Difahamkan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sudah meminta dokumen berkaitan diserahkan untuk semakan.

    Timbalan pendakwa raya dipercayai bersetuju satu kertas siasatan dibuka, dengan lebih ramai individu mungkin dipanggil untuk disoal siasat.

    Siasatan baharu itu menyusul laporan polis yang dibuat berhubung aduan sumpah bohong oleh seorang saksi, kemungkinan penyalahgunaan rangkaian komputer, potensi kecurian data membabitkan lebih 46 juta nombor telefon bimbit dan cubaan menutup tindakan jenayah.

    Bukti baharu itu dipercayai timbul ketika prosiding timbang tara yang dikemukakan kontraktor SKMM, Nuemera (M) Sdn Bhd dan suruhanjaya itu.

    Kontrak syarikat itu ditamatkan selepas kebocoran data yang membawa kepada syak wasangka berhubung sistem sekatan perkhidmatan selular awam yang dibina dan dikendalikan Neumera untuk SKMM. Sistem ini mengandungi pangkalan data pusat semua pelanggan telefon bimbit di negara ini.

    SKMM berkata, kontrak itu ditamatkan kerana melanggar perkhidmatan. Tetapi, Neumera berkata, selepas siasatan selama enam bulan pada 2018, polis tidak menemui bukti syarikat atau kakitangan itu terbabit dalam kebocoran atau penjualan data di internet.

    Syarikat itu mengambil tindakan timbang tara, menuntut ganti rugi daripada SKMM kerana penamatan salah kontraknya dan relif lain.

    Dalam prosiding itu, penggunaan komputer riba yang selamat dipersoalkan buat julung kali, menurut sumber yang rapat dengan siasatan berkenaan.

    Ia tidak diserahkan kepada polis ketika siasatan awal dan Neumera meminta panel timbang tara memerintahkan ia diperiksa secara profesional.

    Hasil penemuan pakar forensik digital yang memeriksa komputer itu bercanggah dengan kenyataan saksi yang mengatakan ia disimpan dengan selamat, tidak diakses oleh saksi atau sesiapa pun di SKMM dan ia tidak pernah keluar dari premis suruhanjaya itu.

    Ketika dihubungi FMT, wakil Nuemera enggan mengulas mengenai kes itu.

  • Warisan umum barisan kepimpinan 2021-2024

    Warisan umum barisan kepimpinan 2021-2024

    PRESIDEN Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, hari ini, mengumumkan barisan kepimpinan parti untuk penggal 2021 hingga 2024 setelah Perhimpunan Agung Tahun Warisan 2021 dan pemilihan selesai dilaksanakan semalam.

    Mohd Shafie, menerusi kenyataan, berkata beliau yakin barisan kepimpinan itu sudah bersedia dan akan sentiasa turun padang untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Barisan kepimpinan itu menyaksikan Mohd Shafie mempertahankan jawatan Presiden selepas menang tanpa bertanding dan jawatan Timbalan, Presiden, dan tiga Naib Presiden juga menang tanpa bertanding.

    Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis juga menang tanpa bertanding jawatan Ketua Wirawati, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif menang jawatan Ketua Wanita dan Ketua Bahagian Warisan Kinabatangan, Ismail Ayub menang jawatan Ketua Wira.

    Seramai 20 orang dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) antaranya Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman; Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan; ADUN Bongawan, Dr Daud Yusof; ADUN Banggi, Mohammad Mohamarin; ADUN Karamunting, George Hiew Vun Zin; ADUN Tanjong, Kapor Ben Chong Chen Bin; ADUN Darau, Azhar Matussin; ADUN Merotai, Sarifuddin Hata dan ADUN Gum-Gum, Arunarnsin Taib.

    Jawatan dilantik menyaksikan Datuk Loretto Padua Jr kekal sebagai Setiausaha Agung dan ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah kekal Ketua Penerangan.

    Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman, yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Wira kerana memberikan laluan kepada pemimpin muda, tiada dalam senarai kepimpinan.

    Kuota bagi jawatan dilantik iaitu dua Naib Presiden, satu Bendahari Agung dan 11 AMT belum diumumkan.

    Berikut senarai penuh barisan kepimpinan Warisan 2021-2024:

    Presiden: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

    Timbalan Presiden: Datuk Darell Leiking

    Naib Presiden: Datuk Dr Jaujan Sambakong, Datuk Junz Wong dan Terrence Siambun.

    Setiausaha Agung: Datuk Loretto Padua Jr

    Ketua Penerangan: Datuk Awang Ahmad Sah

    Ketua Wanita: Norazlinah Arif

    Ketua Wira: Ismail Ayub

    Ketua Wirawati: Isnaraissah Munirah Majilis

    Ahli Majlis Tertinggi :

    1. Dr Daud Yusof
    2. Mohammad Mohamarin
    3. Mudi Dubing
    4. Ahmad Hassan
    5. George Hiew Vun Zin
    6. Mohd Zinin Adong Ajak
    7. Mazliwati Abdul Malek Chua
    8. Datuk Honorsius Bosuin
    9. Ben Chong Chen Bin
    10. Azhar Matussin
    11. Charles Ebbie
    12. Ma’mun Sulaiman
    13. Datuk Ahmad Shah Tambakau
    14. Sarifuddin Hata
    15. Arunarnsin Taib
    16. Japar Awang
    17. Mahadi Mumin
    18. Nicholas Chak
    19. Datuk Aidi Moktar
    20. Mohd Taib Isai
    • Bernama
  • Remaja rentung dalam tandas awam

    Remaja rentung dalam tandas awam

    SEORANG remaja berusia 16 tahun ditemui rentung dalam sebuah tandas awam di Puncak Alam yang terbakar hari ini.

    Kejadian disedari orang awam yang kemudian bertindak menghubungi bomba untuk tindakan lanjut.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, bomba yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.35 petang kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

    “Operasi itu disertai sepasukan 10 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama.

    “Pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan sebuah tandas awam yang berada di kawasan lapang.

    “Anggota bomba kemudian menemui remaja lelaki itu yang disahkan sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Norazam berkata, tandas itu terbakar sebanyak 20 peratus dan api berjaya dipadamkan dalam tempoh lima minit.

    Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

  • Bukit Aman panggil Presiden PAS berkait ‘ucapan kebencian’

    Bukit Aman panggil Presiden PAS berkait ‘ucapan kebencian’

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuatnya, majoriti perosak politik dan ekonomi adalah golongan bukan Islam dan Bumiputera.

    Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A Skandaguru dalam satu kenyataan mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Marang berhubung laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai perkara itu.

    Menurut beliau, pihaknya telah menerima sebanyak 28 laporan polis ke atas Abdul Hadi berhubung isu tersebut.

    Katanya, siasatan dijalankan oleh unit siasatan jenayah terkelas, bahagian pendakwaan/undang-undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

    “Kes disiasat di bawah seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

    “Selain itu, siasatan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya malam ini.

    Mengulas lanjut, Skandaguru berkata, Abdul Hadi akan dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuat.

    Katanya, siasatan masih dijalankan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

    “PDRM juga menyeru orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang boleh menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat.

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

  • Pas akan pastikan PH tidak kembali berkuasa

    Pas akan pastikan PH tidak kembali berkuasa

    PAS nekad untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi kembali berkuasa di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Penerangannya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, ini kerana PH terbukti gagal sepanjang 22 bulan mentadbir kerajaan Malaysia.

    Katanya, Perikatan Nasional (PN) kemudian lahir dalam keadaan yang luar biasa sebagai wadah alternatif kepada rakyat.

    “Kerajaan PH adalah sebuah kekesalan dalam episod sejarah politik tanah air apabila mereka memerintah dalam keadaan tidak bersedia, berpecah belah dan jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain.

    “Lebih malang lagi apabila PH yang dalam keadaan kucar-kacir serta hilang fokus ketika mentadbir, cuba merobek prinsip-prinsip tunjang dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang menjadi asas kepada jati diri negara dan rakyat Malaysia,” dakwanya menerusi satu kenyataan di Facebook beliau, hari ini.

    Khairil Nizam menjelaskan, mimpi ngeri sepanjang 22 bulan PH mentadbir itu menjadi pengajaran bermakna buat rakyat Malaysia dan menjadi pedoman buat generasi Undi18 akan datang.

    Menurutnya, PN telah menyambut ulang tahun kedua penubuhannya dan diraikan pada Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Sabtu.

    Pas menyokong penuh gagasan PN dalam konvensyen itu katanya, iaitu ‘Prihatin Rakyat dan Malaysia Sejahtera’ sebagai tawaran baru kepada pengundi menuju PRU15 akan datang.

    “Pas akan memastikan agar kesemua jentera parti memberikan fokus 100 peratus bagi menghadapi PRU15,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

  • Hina mahkamah, SPRM, Agong:Amanah buat laporan polis terhadap Ahmad Zahid esok

    Hina mahkamah, SPRM, Agong:Amanah buat laporan polis terhadap Ahmad Zahid esok

    PARTI Amanah Negara (Amanah) akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi esok.

    Menurut Biro Mobilisasi Amanah, laporan itu akan dibuat kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa menghina dan memfitnah institusi kehakiman negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong.

    “Perbuatan itu dilakukan ketika Ahmad Zahid ketika berucap dalam Taklimat Khas Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur(WTCKL), semalam.

    “Merujuk ucapan penuh Presiden UMNO pada Taklimat Khas Presiden UMNO, beliau telah menghina dan memfitnah institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, SPRM dan Yang di-Pertuan Agong.

    “Oleh itu satu laporan polis berhubung isu ini akan dibuat pada jam 11 pagi secara serentak di seluruh negara,” jelasnya menerusi hantaran dalam Facebook hari ini.

    Dalam Taklimat Khas Presiden UMNO semalam, dilaporkan bekas peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd mengkritik institusi mahkamah.

    Selain itu, ucapan-ucapan pemimpin UMNO antaranya Ahmad Zahid; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said turut menyentuh berkaitan kes Najib itu.

  • PN sedia hadapi pertembungan tiga penjuru pada PRU-15

    PN sedia hadapi pertembungan tiga penjuru pada PRU-15

    AHLI Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Radzi Jidin sedia berdepan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “PN bersedia pada bila-bila masa,” katanya yang juga Menteri Kanan Pendidikan mengulas persediaan PN dalam berdepan saingan PRU-15 susulan mesej disampaikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Konvensyen Perikatan Nasional (PN) 2022 semalam.

    “Mesej disampaikan beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) semalam jelas menunjukkan politik adalah dinamik dan sebarang kemungkinan boleh berlaku.

    “Macam mana kita nak laksanakan itu, kalau tiga penjuru, tiga, kalau dua, dua. Kalau tiga penjuru sekalipun kami PN bersedia pada bila-bila masa. Lihat sokongan dan dokongan kemudian usahakan yang terbaik,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat di Kajang, hari ini.

    Semalam, Muhyiddin menggesa semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU-15 adalah Barisan Nasional (BN).

    Katanya, rundingan berkenaan pernah dijalankan sebelum ini, khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun tiada keputusan muktamad dibuat ketika itu.

  • ‘Tunggu…tunggu’ kata PM mengenai PRU-15

    ‘Tunggu…tunggu’ kata PM mengenai PRU-15

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob enggan mengulas mengenai spekulasi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) didakwa diawalkan susulan perbincangan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi.

    Perdana Menteri meminta semua supaya menunggu mengenai tarikh pilihan raya umum itu.

    “Tunggu…tunggu,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai pembubaran Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 diadakan, lapor BH Online.

    Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Taklimat Khas Presiden di hadapan lebih 2,000 ahli parti itu berkata, MKT akan berbincang mengenai desakan supaya PRU-15 diadakan segera.

    Namun, MKT yang bermesyuarat malam tadi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung hasil mesyuarat terbabit setakat ini.

    Media sebelum ini melaporkan Bajet 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober ini akan dibentang tiga minggu lebih awal.

    Ia dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini, selepas diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet Jumaat lalu.

    Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Beliau turut mengesahkan perjalanan Takwim Dewan Rakyat yang menggariskan mesyuarat ketiga penggal kelima bermula Oktober ini juga diawalkan.

    Perkembangan itu membuka spekulasi bahawa PRU-15 mungkin diadakan dalam masa terdekat.

  • Akmal Nasrullah dakwa terima ugutan sebelum pejabat PKR JB dibakar

    Akmal Nasrullah dakwa terima ugutan sebelum pejabat PKR JB dibakar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir mendedahkan menerima pesanan suara berbaur ugutan pada Khamis dan Jumaat lalu.

    Dakwanya, ugutan itu diterima melalui peti mesej Facebook dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden kebakaran bangunan Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Johor di Larkin Idaman, Johor Bahru, awal pagi ini.

    “Individu tersebut telah menghantar satu mesej bertulis dan 27 mesej suara berbaur ugutan, bahasa kesat serta makian.

    “Mesej itu saya sedari hari ini. Terdapat suara lelaki dan berdasarkan percakapan daripada mesej itu, dia merujuk kepada kes yang berlaku di mahkamah minggu lepas.

    “Saya telah pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan hari ini untuk membuat laporan terhadap kejadian ugutan tersebut. Saya sudah serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya di Pejabat PKR Cabang Johor Bahru, hari ini.

    Pejabat PKR Cabang Johor Bahru di Johor Bahru terbakar hampir 10 peratus dalam kejadian pada pagi tadi.

    Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 pagi mengakibatkan bahagian pintu ‘roller shutter’ di hadapan pejabat itu rosak teruk selain kesan asap dan debu kelihatan di luar dan dalam bangunan.

    Berkenaan insiden itu, Akmal Nasir berkata, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berhampiran dan tinjauan di tempat kejadian mempercayai kebakaran dimulakan dengan lima biji tayar dibakar depan pintu pejabat itu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan ada menerima laporan berhubung dua kejadian berkenaan.

    Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya.

    “Laporan polis berhubung kes ugutan baharu diterima dan kita akan membuka siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

  • RUU Antilompat dibentang di sidang DUN Khas Sabah dalam waktu terdekat – Hajiji

    RUU Antilompat dibentang di sidang DUN Khas Sabah dalam waktu terdekat – Hajiji

    KERAJAAN Sabah akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan perlembagaan berkaitan antilompat parti pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

    Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kabinet Negeri bersetuju untuk membawa perkara itu ke Persidangan DUN selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan yang menghalang wakil rakyat bertukar parti, baru-baru ini.

    Katanya, langkah itu sejajar komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah setelah sekian lama berdepan keadaan politik yang tidak menentu.

    “Kita menyokong anti lompat parti dan kita akan bentangkan di DUN tidak lama lagi. Apa yang berlaku dulu itu, dululah, sekarang kita mahukan kestabilan politik di Sabah.

    “Kabinet sudah bersetuju untuk membawa pindaan perlembagaan itu pada persidangan khas DUN untuk mewujudkan anti lompat parti supaya kita boleh tidur lena.

    “Tidak lagi kena jaga sana sini, lompat sana sini. Apa yang lepas cukuplah, kita mahu kestabilan politik,” katanya ketika melancarkan Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Keningau Di Dewan Masyarakat Keningau, pada Ahad, seperti dilaporkan Astro Awani.

    Jelajah pertama GRS selepas dilancarkan pada Mei lalu itu turut dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen GRS daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

    Beliau berkata, satu lagi pencapaian kerajaan negeri ialah penyerahan kuasa kawal selia tenaga elektrik dan bekalan gas daripada kerajaan Persekutuan kepada negeri selewat-lewatnya tahun hadapan.

    Menurutnya, agensi-agensi berkaitan dalam kerajaan Persekutuan dan negeri sedang membuat tindakan susulan untuk persiapan dari aspek teknikal dan perundangan kerana hala tuju ini akan melibatkan proses perundangan di kedua-dua peringkat iaitu Parlimen dan DUN Sabah.

    Katanya, sebagai persiapan kerajaan Negeri akan menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah.