Category: Semasa

  • Isu LCS:Rafizi sedia beri keterangan kepada polis

    Isu LCS:Rafizi sedia beri keterangan kepada polis

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sedia bekerja memberi keterangan kepada polis susulan laporan dibuat terhadapnya semalam berkenaan dakwaannya mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS).

    Laporan polis berkenaan adalah berkenaan dakwaan beliau terhadap pembabitan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad dalan projek LCS.

    Walaupun sedia beri keterangan, Rafizi mempersoalkan mengapa Abd. Latiff belum dipanggil polis memberi keterangan sedangkan laporan polis terhadapnya berhubung isu projek LCS telah dibuat Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir sebelum ini.

    “Situasi ini akan memberi tanggapan negatif orang awam terhadap ketelusan dan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan.

    “Nampak tidak cantik di mata rakyat kerana Akmal Nasrullah telah membuat laporan polis sebelum ini tetapi Abd. Latiff tidak dipanggil dan tidak ada sebarang reaksi ataupun kenyataan daripada polis.

    “Namun sebaik sahaja pegawai khas menteri berkenaan membuat laporan polis, hari seterusnya itu terus ada kenyataan rasmi daripada polis,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor di Ibu Pejabat PKR negeri, di Johor Bahru malam tadi.

    Semalam, polis dilaporkan akan memanggil Rafizi untuk dirakam keterangan susulan laporan polis dibuat terhadapnya berkaitan dakwaannya mengenai projek LCS membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas).

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat pegawai khas menteri berkenaan pada pukul 9.28 malam kelmarin.

    Bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut menggesa supaya tidak berlaku sebarang bentuk campur tangan dalam isu tersebut memandangkan ia membabitkan pemimpin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Tegasnya, PDRM sepatutnya diberikan ruang sepenuhnya untuk menjalankan siasatan secara meyeluruh tanpa prejudis.

    “Kenapa Abdul Latiff langsung tidak disiasat, langsung tidak diambil kenyataan sedangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut dipanggil memberi keterangan baru-baru ini.

    “Sementara saya mengalu-alukan diri ini dipanggil ke balai polis, saya harap dia (Abd Latiff) juga menyusul dipanggil untuk beri kenyataan di balai polis.

    “Itu baru adil, barulah rakyat akan merasa yakin dengan pihak yang menguatkuasakan undang undang di negara ini,” katanya.

  • Duda maut dipukul rakan serumah

    Duda maut dipukul rakan serumah

    SEORANG duda meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa belasahan rakan serumah sejak sebulan lalu, dalam kejadian di Taman Gemilang Sungai Lalang, Bedong, Sungai Petani.

    Mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ketika dikejarkan untuk rawatan kecemasan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, Kedah semalam.

    Kematian lelaki berusia 39 tahun itu disahkan pegawai perubatan sejurus tiba di Zon Merah Jabatan Kecemasan HSAH pada 3.40 petang.

    Memetik laporan BH Online, sumber berkata, susulan pemeriksaan perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan di seluruh badan, menyebabkan pegawai perubatan terbabit melaporkannya kepada polis.

    “Susulan itu, sepasukan anggota polis bergegas ke hospital menjalankan siasatan dan doktor yang membuat pemeriksaan mendapati kesan kecederaan di tubuh mangsa berlaku akibat dia dipukul sejak sebulan lalu.

    “Pemeriksaan perubatan turut mendapati telinga kanan mangsa bengkak, kesan luka tangan kanan dan kiri, kesan pukul di kedua-dua peha serta luka di badan,” katanya.

    Katanya, susulan kejadian itu, polis mengambil keterangan daripada ahli keluarga mangsa dan seorang wanita yang juga bekas isterinya.

    “Bekas isteri lelaki itu memberitahu yang mangsa bersama seorang anak mereka tinggal di rumah rakan yang juga suspek kes terbabit.

    “Hasil siasatan lanjut, beberapa jiran juga mendakwa ada terdengar pergaduhan di antara dua rakan terbabit, namun takut untuk membuat laporan polis kerana bimbang diancam suspek yang juga ahli kongsi gelap,” katanya.

    Sumber berkata, susulan daripada itu polis menahan suspek yang berusia 36 tahun dan hasil siasatan awal dia mengaku pernah memukul mangsa menggunakan kayu dan tangan sejak sebulan lalu.

    “Suspek mendakwa dia bertindak begitu terhadap mangsa yang juga rakan serumahnya itu kerana si mati tidak mahu bekerja, selain kerap memukul anaknya sendiri.

    “Pemeriksaan awal mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah dan dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

  • Hantaran jelik terhadap PM:Lokman Nor Adam berdepan 2 pertuduhan

    Hantaran jelik terhadap PM:Lokman Nor Adam berdepan 2 pertuduhan

    BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua tuduhan membuat hantaran jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri smail Sabri Yaakob.

    Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam satu kenyataan memberitahu, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Jenayah (Siber) Kuala Lumpur.

    “Pertuduhan itu membabitkan dua kes yang kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Dua kes itu membabitkan penghantaran video berniat jahat dan kenyataan menghina kerajaan dan Perdana Menteri melalui akaun Facebook Lokman Noor Adam Official,” kata kenyataan itu, lapor Berita Harian.

    Lokman sebelum ini dilaporkan melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan kerajaan sekarang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan 12 tahun susulan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atasnya berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd.

  • PKR Johor mahu tanding 14 kerusi pada PRU-15

    PKR Johor mahu tanding 14 kerusi pada PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Keadilan Rakyat ( PKR) Johor akan bertanding 14 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Namun Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Rafizi Ramli tidak menolak lebih banyak kerusi disasarkan kerana negeri itu merupakan tumpuan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.

    Katanya, ini kerana jumlah kerusi Parlimen yang ditandingi tentu akan bertambah.

    “Cuma saya tidak boleh umumkan di mana PKR hendak bertanding di Johor. Ini kerana agihan kerusi masih belum diputuskan.

    “Ini akan dibincang terlebih dahulu dalam kalangan parti komponen PH. Rundingan kerusi di peringkat Pusat akan bermula pada Khamis.

    “Rundingan kerusi di peringkat PH Pusat melibatkan kerusi ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka selesai akhir September,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri ( MPN) Johor di Ibu Pejabat PKR Johor di Johor Bahru malam tadi.

    Pada PRU-14, parti itu bertanding pada lapan kerusi parlimen dan menang enam daripadanya iaitu Tebrau, Pasir Gudang, Johor Bahru, Sekijang, Segamat, Batu Pahat dan Ledang.

    Rafizi berkata, kerusi yang ditandingi parti komponen PH iaitu PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP pada PRU-14 akan kekal.

    Jelasnya, rundingan cuma libatkan kerusi yang dahulunya ditandingi Bersatu.

    “Proses rundingan kali ini jauh lebih mudah berbanding sewaktu PRU-14. Disebabkan itu, saya yakin rundingan kerusi akan selesai dalam tempoh sebulan. Menjelang akhir September, PH akan selesai agihan kerusi seluruh negara,” katanya.

    Tambah Rafizi, rundingan kerusi turut mengambil kira soal kebolehmenangan setiap parti komponen PH di sesuatu kawasan.

    “Contoh rekod menunjukkan PKR menang di Parlimen Batu Pahat. Ini membuktikan PKR sudah bertapak di situ sejak 2013 dan 2018 manakala di Parlimen Segamat dan Tebrau pula PKR merupakan parti pertama bukan daripada BN yang menang di kerusi itu.

    “Soal calon ‘melompat’ itu soal lain daripada faktor kemenangan. Sebab itu rundingan berdasarkan kekuatan dan potensi parti untuk menang bukannya individu,” katanya.

    Seramai tiga Ahli Parlimen PKR di Johor beralih arah menyertai Bersatu dan menyokong Perikatan Nasional (PN) iaitu Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr R. Santhara Kumar (Segamat) dan Steven Choong (Tebrau).

    Pada November tahun lalu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik menyertai PKR.

  • Suami isteri maut, kereta terbabas

    Suami isteri maut, kereta terbabas

    SEPASANG suami isteri meninggal dunia selepas kereta dinaiki terbabas ke bahu jalan di Kilometer (km) 292.4 Lebuhraya Utara-Selatan (LRUS) hala utara di Kampar, tengah malam tadi.

    Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan kejadian kemalangan pada pukul 12.34 tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pemandu, Tsia Kwai Weng, 61, yang parah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan lanjut.

    “Namun dimaklumkan meninggal dunia ketika menerima rawatan Unit Kecemasan hospital berkenaan, 5.40 pagi tadi.

    “Sementara penumpang Hooi Lai Kwean, 53, maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihak Balai Bomba Penyelamat (BBP) Gopeng menerima panggilan pada pukul 12.02 tengah malam.

    “Anggota mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas seterusnya menyerahkan mangsa yang cedera kepada pihak ambulans, manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, dengan operasi tamat pada 1.29 pagi.

  • Pemain bola Sri Pahang, Lee Tuck kini warganegara Malaysia

    Pemain bola Sri Pahang, Lee Tuck kini warganegara Malaysia

    PEMAIN tengah Sri Pahang FC Lee Tuck kini sah mendapat taraf warganegara Malaysia selepas melengkapkan proses naturalisasi. 
     

    Perkembangan itu diumumkan oleh pemain berusia 34 tahun itu menerusi hantaran dalam Instagram beliau malam tadi. 
     

    “Hari ini (semalam) akhirnya dan secara rasminya saya boleh katakan saya warganegara Malaysia. 
     
    “Saya sangat bersyukur mendapat kewarganegaraan Malaysia. Proses ini perjalanan yang sukar dengan membuat pengorbanan untuk sampai ke sini tetapi ia peluang yang tidak dapat saya lepaskan,” tulisnya. 

     
    Pemain kelahiran Huddersfield, England itu melahirkan penghargaannya kepada pemimpin tertinggi Sri Pahang terutama pemilik kelab bola sepak itu Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kerana menyokong beliau sepanjang proses naturalisasi berjalan. 

     
    “Saya juga ingin berterima kasih kepada keluarga tercinta dan kawan rapat,” katanya. 
     

    Tuck telah bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M) sejak 2017 apabila menyertai pasukan Negeri Sembilan sebelum berhijrah ke Terengganu FC pada 2018 dan bersama Sri Pahang pada musim lepas. 

     
    Sri Pahang sebelum ini dilaporkan cuba untuk menjadikan Tuck dan pemain kelahiran Argentina, Sergio Aguero sebagai pemain naturalisasi, bagaimanapun status Aguero yang bermain dalam Liga-M sejak 2017, masih belum dapat disahkan lagi.  

    Untuk rekod, Malaysia sebelum ini sudah mempunyai tiga pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya. 

  • Pendakwaan bantah permohonan Rosmah supaya Hakim tarik diri

    Pendakwaan bantah permohonan Rosmah supaya Hakim tarik diri

    PIHAK pendakwaan hari ini membantah permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes rasuahnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

    Rosmah, 70, memfailkan permohonan itu di saat akhir atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lepas berkenaan berlakunya kebocoran penghakiman kes itu yang disediakan oleh pihak lain.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata ‘penghakiman’ bocor yang dirujuk oleh Rosmah pemohon bukanlah penghakiman bertulis.

    “Jelas daripada dokumen itu sendiri bahawa ia adalah penyelidikan dan penulisan pendapat yang disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya.

    Sri Ram berhujah bahawa permohonan itu sepenuhnya berdasarkan kepada keterangan dengar cakap serta niat jahat dan pemohon tidak mengemukakan sebarang bukti yang boleh dipercayai dan kukuh untuk menyokong tuduhannya yang berat sebelah dan ketidakwajaran kehakiman terhadap Hakim Mohamed Zaini.

    “Kami sedia berhujah dan kami membantah sebarang permohonan penangguhan dan penyampaian penghakiman. Jika mereka tidak bersedia, kami minta ia (permohonan) ditolak,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi membalas permohonan peguam Datuk Jagjit Singh supaya menangguhkan prosiding permohonan itu kerana mereka memerlukan lebih masa untuk mengumpul fakta.

    Peguam itu membangkitkan perkara tersebut ketika prosiding bermula pada 9.28 pagi.

    Jagjit juga berkata pihak pembelaan memerlukan masa untuk menjawab afidavit disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn yang membantah permohonan Rosmah.

    Hakim berkata pihak pembelaan telah memfailkan sijil perakuan segera biasanya bermakna perkara itu harus didengar secepat mungkin.

    “Jika tidak pada hari yang sama, ia harus didengar pada hari berikutnya. Apabila kamu memfailkan sijil perakuan segera sehari sebelum hari Merdeka, saya telah mengarahkan pegawai saya supaya menyediakan prosiding hari ini,” katanya.

     Hakim bertanya kepada pihak pembelaan idea siapa permohonan itu difailkan dan Jagjit menjawab, “Kami bertindak atas arahan.”

    “Kamu mahu (prosiding) permohonan itu ditangguhkan ke hari lain? Permohonan ini akan bersifat akademik selepas saya menyampaikan keputusan saya,” kata hakim.

    Beliau juga mengambil maklum dakwaan dalam permohonan agar beliau menarik diri itu berkaitan kononnya penghakiman ditulis oleh pihak ketiga bagi pihaknya.

    Bagaimanapun, hakim itu berkata beliau seorang sahaja yang akan menjawab perkara itu dan meminta pihak pembelaan berhujah mengenai permohonan tersebut sebelum menangguhkan prosiding itu.

      “Saya akan tunggu. Beritahu saya apabila sudah bersedia,” katanya.

    Hakim dijadual menyampaikan keputusan kes itu hari ini.

  • Pemuda gesa Pas muktamad segera siapa kawan, siapa lawan

    Pemuda gesa Pas muktamad segera siapa kawan, siapa lawan

    Oleh BADLISHAH MAT

    PEMUDA Pas menggesa kepimpinan parti itu untuk segera memuktamadkan siapa kawan dan siapa yang harus mereka berlawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

    Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, mereka mahukan satu panduan yang jelas dan segera diturunkan kepada jentera, bersama pengarahan taktikal berstrategi untuk menghadapi pilihan raya itu.

    “Dengan pilihan raya sudah sangat hampir, Pas sudah tentu perlu memuktamadkan soal pembahagian kerusi dan penentuan calon.

    “Biar jelas siapa yang boleh dihadap, siapa yang boleh dibuat kawan. Jangan nanti tabuh berbunyi, baru keris mahu diasap, baru tanjak mahu dicari.

    “Gelanggang telah lama ditari oleh musuh, rentak dan gendang sudah lama beraksi, anak muda kita sedang menunggu arahan pimpinan, sebarang isyarat dan arahan akan kami junjung atas batu jemala kami,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-63 di Alor Setar, hari ini.

    Pas sehingga kini masih bersifat terbuka untuk menjalin kerjasama politik termasuk dengan UMNO agar dapat mengekalkan Muafakat Nasional (MN) yang ditubuh beberapa tahun lalu.

    Namun, parti itu baru-baru ini menegaskan untuk menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.

  • Pas tidak lupa RUU355

    Pas tidak lupa RUU355

    Oleh BADLISHAH MAT

    PAS menegaskan mereka tidak pernah lupa terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 setelah bergelar kerajaan.

    Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pas kini sedang mempergiat usaha menyediakan draf RUU berkenaan bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.

    “Pelbagai sudut telah dilihat khususnya aspek perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU355 tersebut lebih komprehensif, seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.

    “Kita juga di dalam usaha untuk memperkasa dan memartabatkan kedudukan mahkamah syariah setanding dengan mahkamah sivil,” katanya ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-63 di Alor Setar, hari ini

    Ahmad Fadhli berkata, aspek pemerkasaan mahkamah syariah meliputi pelbagai perkara penting seperti meningkatkan tahap kompetensi hakim syarie, pendakwa syarie dan pegawai penguat kuasa agama.

    Selain itu, penambahbaikan aspek tadbir urus dan prasarana mahkamah syariah, penggubalan dan pindaan undang-undang syariah sedia ada dan penyeragaman dan penyelarasan undang-undang syariah antara diberi perhatian.

    “Malah, langkah yang telah diambil untuk memperkasa dan menaik taraf mahkamah syariah supaya sesuai dengan perkembangan semasa adalah dengan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji dan menggubal RUU Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2022.

    “Pas bukan sekadar beretorik tentang Islam. Apabila diamanahkan dengan kepimpinan, keindahan dan kesyumulan Islam akan diterjemahkan dalam pemerintahan dan urusan negara.

    “Inilah komitmen dan usaha yang ditunjukkan oleh Pas. Alhamdulillah kesannya, rakyat semakin yakin dengan kemampuan Pas di dalam tadbir urus serta kepimpinan berkualiti yang ditonjolkan oleh kepimpinan dan ahlinya,” katanya.

    Tambah beliau, kewibawaan dan kemampuan urus tadbir yang cemerlang serta integriti tinggi ditunjukkan di negeri-negeri yang ditadbir serta di kementerian-kementerian yang diamanahkan memberikan suatu ‘vibe’ yang sangat positif kepada rakyat Malaysia.

    Katanya, Pas telah membuktikan walau hanya separuh penggal di dalam kerajaan, pencapaian urus tadbir yang ditunjukkan adalah ‘commendable’ dan membanggakan yang menandakan parti itu mampu memimpin.

  • PRU-15:Rafizi nafi mahu bertanding di Johor

    PRU-15:Rafizi nafi mahu bertanding di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat ( PKR), Rafizi Ramli menolak dakwaan akan bertanding kerusi Parlimen di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Beliau menafikan pelantikan dirinya sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor baru-baru ini adalah bagi memudahkannya bertanding nanti.

    Tegas bekas Ahli Parlimen Pandan itu, pelantikannya bukan bertujuan mencari kerusi Parlimen yang akan ditandingi di negeri ini sebaliknya perlu memantapkan gerak kerja PKR neger.

    “Ini kerana Johor adalah negeri tumpuan pada PRU15. Saya tidak akan bertanding di Johor, itu muktamad. Keputusan pimpinan Pusat memilih saya sebagai Pengerusi MPN Johor bukan bermaksud untuk saya bertanding di sini.

    “Cuma dalam kalangan pimpinan Pusat yang lain, saya mempunyai rekod lebih lama bekerjasama dengan pimpinan dan cabang di negeri ini. Maka kelebihan itu dilihat mampu memudahkan penyelarasan kempen PRU15 dari peringkat pusat ke Johor,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri ( MPN) Johor di Ibu Pejabat PKR negeri di Johor Bahru, malam tadi.

    Hadir sama, Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

    Sebelum ini timbul spekulasi bekas Rafizi akan bertanding di Johor selepas dilantik sebagai Pengerusi MPN bagi Wilayah Persekutuan dan Johor pada 4 Ogos lalu.

    Sementara itu, Rafizi berkata kemelut politik yang melanda Wanita PKR Johor susulan lantikan Ketua Wanita negeri yang baharu, akan dibawa ke pucuk pimpinan untuk dibincangkan bersama Ketua Wanita PKR Pusat.

    “Isu ini antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat malam ini (malam tadi). Bagi saya, isu ini melibatkan pandangan yang berbeza-beza dalam Wanita PKR Johor, namun ia bukan masalah yg besar.

    “Saya yakin sehari dua lagi kemelut ini akan dapat diharmonikan. Cuma nasihat saya, kalau pun kepimpinan itu, mungkin tidak puaskan hati semua dalam keadaan PRU-15 semakin dekat, keutamaan perlu diberikan untuk stabilkan parti dan beri ruang kepada semua untuk jalankan tugas masing-masing.

    “Disebabkan itu, saya akan kembali ke Johor dalam tempoh dua minggu lagi, untuk bermesyuarat bersama kepimpinan negeri, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita. Saya harap semua pihak bersedia dan tumpu kepada persiapan berdepan PRU-15 pada mesyuarat itu nanti,” katanya.

    Semalam, sebanyak 10 daripada 14 sayap wanita PKR di negeri ini dilaporkan mempersoalkan pelantikan Ketua Wanita PKR Johor Bahru, Zuraidah Zainab sebagai Ketua Wanita PKR Johor yang baharu.

    Ketua Wanita PKR Cabang Pasir Gudang, Norfazilah Mohamad Nor berkata, ini kerana majoriti sayap wanita di negeri ini memilih Ketua Wanita PKR Cabang Kluang, Haryati Abu Nasir sebagai ketua sayap negeri yang baharu.