Category: Semasa

  • Rosmah bersalah tiga pertuduhan projek solar

    Rosmah bersalah tiga pertuduhan projek solar

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mendapati Datin Seri Rosmah Mansor bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya berhubung projek solar di Sarawak.

    Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, pihak pembelaan isteri bekas Perdana Menteri itu gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Berita lanjut menyusul

  • Penyanyi Salamiah Hassan menamatkan zaman solo dengan lelaki Australia

    Penyanyi Salamiah Hassan menamatkan zaman solo dengan lelaki Australia

    PENYANYI senior terkenal, Salamiah Hassan, 71, kembali mendirikan rumah tangga apabila selamat diijabkabulkan dengan Gerry Hughes, 68, dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Burnie, Tasmania, Australia hari ini.

    Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Menghitung Hari dan Gelombang itu, dia dan Hughes mula mengenali antara satu sama lain sekitar 15 tahun lalu sebagai kenalan biasa.

    “Bagaimanapun takdir mengubah segala-galanya apabila kami sepakat untuk membawa hubungan persahabatan ke fasa yang lebih serius.

    “Semuanya berlaku sangat pantas. Selepas berbincang dari hati ke hati serta mengambil kira pandangan seluruh ahli keluarga, kami memilih disatukan sebagai suami isteri.

    “Alhamdulillah, segala urusan berjalan lancar dan dipermudahkan. Saya bersyukur Allah menemukan saya dengan seorang lelaki yang budiman selepas sekian lama saya bersendirian,” kata Salamiah kepada Astro Awani ketika dihubungi melalui panggilan video sebentar tadi.

    Memandangkan sudah bergelar isteri, Salamiah memberitahu, akan menetap di Australia bersama suaminya.

    “Bagaimanapun Malaysia akan sentiasa kekal di hati,” ujar Salamiah yang juga ibu kepada penyanyi terkenal, Atilia.

    “Saya sudah ada tanggungjawab baru di Australia, saya harus berada di sisi suami saya. Namun, Malaysia sentiasa kekal di hati, saya pasti akan berulang-alik antara Malaysia dan Australia,” katanya.

    Salamiah dah Hughes disatukan dalam majlis akan nikah yang dikendalikan oleh seorang jurunikah yang juga berasal dari Malaysia.

    Menurut Salamiah, selama hidup bersendirian selepas berpisah dengan suami pertama, beliau tidak pernah terfikir akan kembali menjadi isteri orang.

    Sebagai seorang wanita yang berdikari, Salamiah berkata, urusan jodoh dan pertemuan diserahkan kepada Allah termasuk bertemu Hughes yang berasal dari Liverpool tetapi kini menetap di Australia.

    “Alhamdulillah, saya ditemukan dengan seorang lelaki yang baik. Yang penting anak-anak dan ahli keluarga saya menerima kehadirannya dengan baik. Begitu juga dengan keluarga Hughes juga sangat menyenangi saya.

    “Saya berdoa kepada Allah agar segala urusan saya dan suami dipermudahkan,” ujar Salamiah lagi.

    Selain Atilia, Salamiah juga mempunyai seorang lagi anak lelaki, Raja Ahmad Shah.

  • Jho Low: Kenapa tak maklum kepada KDN – Hamzah

    Jho Low: Kenapa tak maklum kepada KDN – Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempersoalkan individu yang mendakwa mengetahui keberadaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low tidak memaklumkan perkara itu kepada pihaknya.

    “Pihak terbabit sepatutnya memberikan maklumat tersebut kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk siasatan lanjut dilakukan.

    “Dia tahu? Pasal apa dia tak maklumkan pada kita di mana tempat itu di China, apa semua tolong bagi tahu,” katanya menjawab soalan media ketika ditanya pada sidang media Program Visa Premium di Putrajaya, hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita berhubung keberadaan Jho Low di Disneyland, Shanghai pada malam Krismas, 2019.

    Jho Low yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa bersembunyi di negara tersebut.

    Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu didedahkan penulis bersama buku Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World, Bradley Hope menerusi episod pertama program Di Mana Jho Low yang disiarkan di aplikasi YouTube, semalam.

    Hope bersama penulis, Tom Wright turut berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di Disneyland Shanghai yang dikatakan diambil pada malam Krismas 2019.

    Rakaman wajah yang dilihat mirip Jho Low itu didakwa diterimanya daripada sumber boleh dipercayai.

  • Pas cadang runding 27 kerusi kritikal bersama UMNO

    Pas cadang runding 27 kerusi kritikal bersama UMNO

    PAS bercadang untuk meneruskan rundingan bersama UMNO dalam menentukan 27 kerusi Parlimen ‘kritikal’ bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, 27 kerusi kritikal itu merupakan kerusi yang pernah dimiliki Pas dan Umno, namun kini merupakan milik Pakatan Harapan (PH).

    “Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) perlu duduk bersama, ada 27 kerusi yang kita rasa kritikal jika bertembung. Pas terbuka dalam hal ini dan melihat kepentingan pada masa hadapan serta bersedia dalam semua situasi. Jika PN dan BN bertembung pada 27 kerusi ini, kedua-duanya akan rugi,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) Kali ke-63, di Alor Setar hari ini.

    Turut hadir, Ketua DPPM, Ahmad Fadhli Shaari, dan Naib Ketua DPPM, Hanapi Zulkapli.

    Justeru kata Tuan Ibrahim, perbincangan dan rundingan itu mungkin berlaku jika kedua-dua komponen bersetuju dan yakin tiada sebarang isu akan timbul dalam persiapan ke arah PRU-15.

    Katanya,  Pas masih mendokong Penyatuan Ummah sebagai teras dalam penyatuan politik.

    Bagaimanapun katanya, tiada sebarang rundingan bersama BN berkenaan hal itu dilakukan setakat ini, hanya bergantung kepada hubungan baik antara parti dalam kerajaan persekutuan.

    “Tiada rundingan, cuma hubungan dalam konteks kerajaan persekutuan yang sangat baik, tetapi dalam konteks parti belum (ada rundingan),” katanya.

    Pada 29 Ogos lalu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, rundingan bagi memastikan UMNO dan Pas tidak bertembung di 27 kerusi Parlimen pada PRU-15 telah selesai di peringkat akar umbi.

    Beliau berkata,  hasil tinjauannya mendapati akar umbi kedua-dua parti di 27 kawasan Parlimen terbabit memahami pertembungan antara Pas dan UMNO mesti dielakkan bagi menghalang Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa selepas PRU-15.

  • Lokman Adam didakwa buat komunikasi jelik terhadap PM, kerajaan

    Lokman Adam didakwa buat komunikasi jelik terhadap PM, kerajaan

    BEKAS Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Sesyen, di Kuala Lumpur, hari ini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan.

    Lokman, 49, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook atas nama profil ‘Lokman Noor Adam Official’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Bagi pertuduhan pertama membabitkan Perdana Menteri, beliau dituduh melakukan perbuatan itu pada 11.16 malam, 20 Ogos lepas.

    Hantaran tersebut kemudiannya dibaca pada 8.15 pagi, 24 Ogos lepas di Mutiara Villa Jalan Tung Shin, Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

    Bagi pertuduhan kedua, Lokman dituduh melakukan perbuatan sama terhadap kerajaan pada 10.28 malam, 22 Ogos lepas dan pautan itu kemudian dibaca pada 11.30 pagi, 23 Ogos lepas di sebuah restoran di Jalan Sentul di Kuala Lumpur.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd Izhar menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atau komen di platform media sosial berkaitan kes itu.

    Peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman memohon jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan anak guamnya mempunyai 11 anak yang masih bersekolah dan kini bekerja sebagai penjual sate dengan pendapatan tidak menentu.

    “Beliau juga pernah memegang jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO bagi 2008 hingga 2013 dan sangat dihormati dalam kalangan ahli keluarga serta masyarakat,” katanya.

    Hakim Nor Hasniah Ab Razak membenarkan Lokman diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tidak dibenarkan membuat apa-apa kenyataan di media sosial berkaitan kes itu.

    Sebutan semula kes ditetapkan 26 Sept.

  • Raja Petra tiada kredibiliti, hanya tahu bersembunyi di UK – Gopal Sri Ram

    Raja Petra tiada kredibiliti, hanya tahu bersembunyi di UK – Gopal Sri Ram

    PENGASAS dan penulis portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin tidak seharusnya dianggap sebagai sumber yang berkredibiliti, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

    Ketua Pendakwaan dalam kes rasuah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Raja Petra dikenali sebagai seorang pelarian, dan hanya menulis mengikut kemahuan pihak yang membayarnya.

    Sri Ram berkata, permohonan pembelaan untuk mengecualikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan dari kes tersebut perlu ditolak, kerana ia hanya berdasarkan dokumen yang diterbitkan oleh Raja Petra, yang pada pandangan beliau hanya bersifat khabar angin, dan dibuat dengan niat jahat (mala fide).

    “Saya berhujah bahawa penulis dua artikel tersebut adalah seorang pelarian dari keadilan, yang kini sedang bersembunyi di United Kingdom.

    “Keduanya dia adalah wartawan yang sukar dikawal. Dan ketiga, pandangan dia sering kali berubah mengikut jumlah bayaran yang diterima,” kata Sri Ram lapor Astro AWANI.

    Ketika ini Mohamed Zaini sedang mendengar permohonan pihak pembelaan, yang diketuai Datuk Akberdin Abdul Kadir dan Datuk Jagjit Singh untuk mengecualikan beliau dari kes tersebut.

    Rosmah dalam kenyataan afidavit sokongan berkata, permohonan tersebut dilakukan selepas tular ringkasan penghakiman berhubung kes tersebut, yang didakwa sepatutnya dibacakan di Mahkamah Tinggi pada 1 Sept (hari ini).

    Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata, beliau mendapati terdapat ketirisan atau kebocoran, selain mendapati penghakiman itu telah disediakan orang atau pihak lain, dan bukannya Mohamed Zaini sendiri.

    Pandangan pendakwaan, bagaimanapun disanggah Jagjit, yang berhujah bahawa dalam setiap diri manusia yang jahat, pasti ada kebaikan, seperti mana yang dilakukan Raja Petra.

    Beliau berkata, biar pun apa juga pandangan atau persepsi pendakwaan terhadap penulis itu, namun pendakwaan langsung tidak menyangkal bahawa dua dokumen – ringkasan serta penghakiman penuh kes Rosmah – adalah dokumen palsu.

    Dlaam pada itu Jagjit berkata, kedua-dua dokumen tersebut merupakan draf penghakiman, yang dibuat oleh pihak luar, bertujuan untuk mempengaruhi penghakiman penuh Mohamed Zaini.

    Beliau berkata, Mohamed Zaini selaku Hakim kes tersebut perlu segera mengecualikan diri, bagi menjaga integriti dan kebebasan badan kehakiman.

    Namun Sri Ram berkata, dokumen tersebut lazimnya disediakan oleh unit penyelidikan badan kehakiman, dan ia merupakan amalan yang bukan digunapakai bukan sahaja di negara-negara Komanwel, tetapi juga di Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat.

    Katanya lagi, terpulang kepada Hakim Bicara untuk menggunapakai draf atau pandangan tersebut, kerana ia bukan satu amalan yang luar biasa.

    “Perkara penting di sini, secara objektifnya, bahawa tertuduh (Rosmah) telah menerima perbicaraan yang adil, dan penghakiman itu merupakan pandangan atau keputusan Hakim sendiri, bukan orang lain,” katanya lagi.

    Rosmah ketika ini berhadapan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta, serta dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta dari Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

    Dana itu didakwa diterima melalui bekas Pegawai Khas beliau, Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta

    Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Media sebelum ini melaporkan keseluruhan projek tersebut bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

  • 2 anggota polis tahan ugut orang awam

    2 anggota polis tahan ugut orang awam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) direman empat hari bermula hari ini hingga 4 September depan kerana melakukan pemerasan terhadap orang awam.

    Perintah reman terhadap anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Khalida Farhana Abu Bakar, di Johor Bahru hari ini.

    Kedua-dua anggota berpangkat Koperal dan Lans Koperal yang berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan reman untuk membantu siasatan berhubung kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

    Terdahulu kedua-dua tertuduh sebelum itu tiba ke pekarangan mahkamah pada pukul 8.30 lagi lengkap berpakaian lokap berwarna ungu.

    Sekiranya disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan kedua-dua anggota berkenaan.

    Kedua-dua anggota berkenaan memeras ugut seorang individu sebanyak RM200 dalam satu kejadian di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada pukul 9.40 malam Khamis lalu.

    Seorang anggota berkenaan bertindak merempuh pagar kediaman rumah mangsa sebelum mengugut mangsa dan anak lelakinya.

    Kedua-dua anggota berkenaan telah ditahan pada pukul 1.46 pagi semalam.

  • Kejayaan pertuduhan kes berprofil tinggi hasil perjuangan panjang-Azam Baki

    Kejayaan pertuduhan kes berprofil tinggi hasil perjuangan panjang-Azam Baki

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendakwa, rasuah dalam sektor swasta dan awam berkembang apabila birokrasi melampau dan tiada ketelusan.

    “Aktiviti gelap antara sektor swasta dan pegawai awam yang korup mampu berkembang dalam keadaan birokrasi yang melampau dan ketiadaan ketelusan dalam proses perolehan kerajaan.

    “Jenayah kewangan masih berleluasa dan menyumbang kepada aktiviti haram yang berterusan seperti isu alam sekitar serta ketirisan dalam perolehan kerajaan untuk pembangunan negara,” katanya, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Ucaptama Persidangan Antarabangsa bertajuk Kriminologi Kewangan: Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Menerusi Ketelusan Kewangan yang berlangsung di Universiti Cambridge, United Kingdom, pada 25 hingga 27 Ogos lalu.

    Persidangan itu dianjurkan bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM), United International University, TELKOM University dan Cambridge University sebagai tuan rumah.

    Justeru katanya, ketelusan perlu diterapkan dalam kitaran perolehan yang melibatkan proses penilaian bekalan, peruntukan belanjawan, tawaran dan tender terbuka, pelaksanaan kontrak serta pengauditan dalam usaha untuk mencegah rasuah.

    Katanya, jenayah kewangan dan rasuah boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara dan pembangunan ekonomi yang stabil.

    Jelasnya, ini termasuk mengancam kelestarian alam sekitar, promosi tenaga boleh diperbaharui, usaha mencegah perubahan iklim dan matlamat mampan untuk menamatkan kebuluran dan kemiskinan.

    Sementara itu, beliau berkata, SPRM menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan pesalah dibawa ke muka pengadilan, namun, gabungan perisikan secara berkesan adalah kunci kepada penyiasatan yang berjaya.

    Menurut Azam, beberapa kes berprofil tinggi yang masih dibicarakan di mahkamah serta kes yang baru diputuskan Mahkamah Persekutuan merupakan hasil perjuangan yang panjang daripada badan pencegah rasuah itu.

    “Kerja keras SPRM untuk menyiasat kes-kes rumit, mendapatkan semula aset negara serta membantu dalam pendakwaan telah membuahkan hasil malah tanggungjawab itu masih diteruskan.

    “Sebagai orang yang menjaga integriti, tadbir urus yang baik dan antirasuah, kita perlu berdiri teguh di samping keazaman yang sempurna dan ketabahan dalam menegakkan amanah dan tanggungjawab, tidak kira apa pun cabaran yang kita hadapi, tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

    Dalam masa sama, Azam turut mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai-pegawainya atas integriti dan ketabahan mereka menghadapi tekanan yang luar biasa bersama.

    Untuk rekod, baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

  • Pas putuskan perkukuh PN, sedia ‘bertempur’ dalam PRU-15

    Pas putuskan perkukuh PN, sedia ‘bertempur’ dalam PRU-15

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas melalui Perikatan Nasional (PN)  tidak takut untuk menghadapi PRU-15 dan bersedia berdepan apa jua situasi yang mendatang pada pilihan raya berkenaan.

    Katanya, walaupun Pas terbuka jika ada sesiapa ingin berbincang dan berunding tetapi sedia bertempur dalam semua situasi jika itu menjadi pilihan.

    “Kita terbuka jika (ada) orang ingin berbincang dan berunding (dan) kita sedia bertempur dalam semua situasi kalau sekiranya itu menjadi pilihan,’’ katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-63 di Alor Setar.

    Tuan Ibrahim turut memaklumkan Pas sudah menubuhkan Jawatankuasa Perundingan kerusi di bawah PN dan perbincangan sudah dimulakan.

    “Kita dah mula bincang, Alhamdulilah ruang perbincangan sangat mudah dan baik, muafakatnya sangat utuh, kita yakin boleh selesai dalam dua ke tiga kali sesi perundingan lagi selepas ini,” katanya.

    Tuan Ibrahim turut mengulangu kenyataannya bahawa  Pas tidak boleh mengenepikan Bersatu untuk menghadapi PRU-15.

    Ia kerana tegas beliau, Bersatu  melakukan pengorbanan besar untuk Pas terus menjadi kerajaan pada hari ini.

    Sehubungan itu kata beliau, parti itu sudah memutuskan untuk terus memperkukuh gagasan PN sebagai platform bagi menghadapi PRU-15.

    Bagaimanapun katanya,  terdapat beberapa kerusi Parlimen yang perlu dibincangkan dengan parti lain yang tidak ekstrem bagi mengelak ia dimenangi Pakatan Harapan (PH).

    “Keberadaan kita dalam kerajaan Persekutuan hasil daripada rakan-rakan kita (Bersatu) yang keluar daripada PH, kita sedar betapa besar perjuangan dan pengorbanan mereka. Sebab itu bagi kita, apa jua muafakat politik kita tidak boleh ketepikan rakan kita dari Bersatu, tanpa mereka UMNO pun tak mungkin duduk dalam kerajaan hari ini.

    “Tak akan tiba-tiba menang jadi kerajaan, tiba-tiba nak ketepi rakan-rakan kita, kita kawan waktu susah senang dalam menghadapi situasi ini. Muafakat politik bukan sementara tapi menentukan hala tuju ke mana nak dibawa rakyat dan negara

    “Pemuda Pas perlu siap sedia dalam apa pun situasi yang ada dan parti akan buat keputusan penting dalam bulan ini juga dan kita tak akan berganjak untuk memperkukuh PN sebagai platform hadapi PRU15,” katanya.

  • Merusuh di tengah malam, polis Temerloh tahan 7 suspek

    Merusuh di tengah malam, polis Temerloh tahan 7 suspek

    POLIS Temerloh berjaya menahan tujuh lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian pergaduhan di tepi jalan di Mentakab, Pahang, pada awal pagi 31 Ogos.

    Suspek berusia antara 19 dan 35 tahun, ditahan sekitar bandar Mentakab, susulan pergaduhan yang dipercayai berlaku antara pukul 12.05 tengah malam dan 12.20 tengah malam semalam.

    Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff berkata, pihak polis mengesan suspek selepas rakaman video berdurasi lapan saat tersebar melalui media sosial.

    “Di dalam tayangan video itu, menunjukkan beberapa orang lelaki sedang bergaduh berhampiran tepi jalan di bandar Mentakab.

    “Sehingga hari ini, pihak polis tidak menerima sebarang aduan atau laporan berkaitan kejadian tersebut,” katanya, lapor Astro Awani.

    Menurut Mohd. Azhar, polis membuat laporan maklumat pertama untuk memulakan siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, iaitu merusuh di tempat awam, dan di bawah Seksyen 160 kanun sama, kerana melakukan gaduh gempur.

    “Saya memohon bantuan orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan.

    “Mereka yang menyaksikan kejadian itu boleh salurkan maklumat kepada pegawai penyiasat ASP Irmawathy Mohamad Yusof di talian 012-2822874 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.