Category: Semasa

  • Shahir AF kini bergelar suami kepada Jaskin

    Shahir AF kini bergelar suami kepada Jaskin

    PENYANYI Shahir AF selamat diijabkabulkan dengan Jaskin Jaludin, 30, yang berlangsung di Dewan Bizmilla Wedding Centre, One City, Subang Jaya, Selangor tepat pukul 9.10 malam tadi.

    Dengan hanya sekali lafaz, Shahir atau nama penuhnya Ahmad Shahir Zawawi, 34 sah menjadi suami kepada Jaskin yang berasal dari Sabah.

    Pasangan itu telah dinikahkan oleh bapa perempuan Jaludin Nongche yang disaksikan oleh jurunikah Muhammad Hakimi Mustapai.

    Pengantin perempuan menerima RM300 sebagai mas kahwin dan wang hantaran sebanyak RM20,000 daripada pihak Shahir.

    Selain itu, pihak pengantin lelaki menyerahkan lima dulang hantaran kepada pihak perempuan dan turut dibalas dengan tujuh dulang oleh pihak Jaskin.

    Pelantun lagu ‘Dia Yang Kau Pilih’ itu yang ditemui Gempak mengalirkan air mata kesyukuran kerana bersyukur akhirnya akad nikahnya berjalan lancar.

    “Alhamdulilah syukur akhirnya semua berjalan lancar seperti yang kami rancangkan,” katanya menurut Astro Awani yang memetik laporan portal hiburan Gempak yang ditemui ketika majlis akad berkenaan.

    Pasangan itu berkenalan pada Mei sebelum bertunang pada Julai lalu di kediaman Jaskin di Tawau, Sabah.

    Shahir dan Jaskin berkenalan dan mengenali antara satu sama lain selama empat bulan sebelum mendirikan rumah tangga.

    Pasangan ini bakal diraikan dalam satu majlis resepsi keesokkan harinya di lokasi yang sama. Ia bakal dihadiri oleh keluarga, sahabat handai dan rakan media.

  • Jadikan kes rasuah Najib dan Rosmah sebagai iktibar-Bekas Hakim Mahkamah Tinggi

    Jadikan kes rasuah Najib dan Rosmah sebagai iktibar-Bekas Hakim Mahkamah Tinggi

    RAKYAT perlu mengambil iktibar kes dan jenayah rasuah yang boleh memakan diri sama seperti yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, individu yang mahu ‘menghalalkan’ rasuah dengan alasan tidak akan diketahui oleh sesiapa perlu berfikir semasak-masaknya sebelum kemudaratan menimpa diri.

    “Jangan ambil ringan tentang perkara-perkara melibatkan rasuah seperti yang disebut hakim dalam penghakiman. Rasuah kalau tidak dibendung akan menjadi satu pandemik,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Warta Rakyat pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

    Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

    Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta, atau penjara 10 tahun, ke atas Rosmah selepas beliau didapati bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

    Beliau dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion itu.

    Pada 18 Feb tahun lepas, Rosmah diperintah membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

  • Warga emas ditemukan lemas di Sungai Kedah

    Warga emas ditemukan lemas di Sungai Kedah

    SEORANG warga emas dipercayai terjatuh di Sungai Kedah di Alor Setar, semalam, ditemukan lemas hari ini.

    Lelaki berusia 65 tahun itu ditemukan pihak bomba terapung berhampiran muara sungai tersebut pukul 7.01 pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.

    “Mayat lelaki itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat lelaki itu dan operasi mencari dan menyelamat sudah selesai.

    Dalam kejadian semalam, lelaki itu dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kedah, kira-kira 10 pagi.

    Berdasarkan maklumat daripada anak, lelaki itu adalah pesakit psikiatri dan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, namun tidak pernah keluar merayau seorang diri.

  • Pendedahan LCS: Polis ambil keterangan Rafizi 3 petang ini

    Pendedahan LCS: Polis ambil keterangan Rafizi 3 petang ini

    TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli, mengesahkan dipanggil polis untuk dirakam keterangan susulan pendedahan beliau mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS).

    Perkara itu dimaklumkan Rafizi menerusi hantaran di Facebook yang turut memuat naik surat arahan menghadiri siasatan polis.

    Katanya, beliau akan hadir pukul 3 petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

    “Saya dipanggil polis untuk dirakam kenyataan berikutan laporan polis yang dibuat minggu ini.

    “Saya harap pihak polis juga bertindak secepat mungkin (seperti ini) untuk menyiasat laporan dibuat Sdr (Saudara) Akmal Nasir (Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir) terhadap Latiff Ahmad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad), mengenai pendedahan laporan forensik LCS yang menamakannya sebagai terbabit dalam kontrak-kontrak pertahanan,” katanya, lapor BH Online, hari ini.

    Sebelum ini, Rafizi menjelaskan bersedia untuk dipanggil susulan laporan dibuat terhadapnya berkaitan dakwaannya mengenai projek LCS.

    Polis bagaimanapun memaklumkan Timbalan Presiden PKR itu dijangka dipanggil minggu depan.

    Selasa lalu, satu laporan polis dibuat oleh Pegawai Tugas-Tugas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Sayed Ahmad Mui’izzuddin Al-Sayed Mohamad terhadap Rafizi.

    Laporan itu dibuat susulan kenyataan Rafizi yang mengaitkan Abd. Latiff dan seorang wanita bernama Zainab Mohd. Salleh didakwa isteri keduanya, turut terbabit dalam penyelewengan projek LCS.

    Susulan laporan polis itu, Abdul Latiff dipanggil untuk diambil keterangan kelmarin.

    Sementara itu, Eng Lai berkata, pihaknya mengesan dua video berkaitan kenyataan Rafizi yang dimuat naik menerusi akaun TikTok dan Instagram miliknya pada 25 Ogos lalu.

  • 32 mangsa terperangkap dalam kejadian kepala air

    32 mangsa terperangkap dalam kejadian kepala air

    SEBANYAK 32 individu termasuk 13 kanak-kanak terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar, Sungai Tong di Setiu petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Setiu DSP Afandi Hussin berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, fenomena kepala air itu melanda tempat orang ramai beriadah, mandi manda dan berkhemah sehingga menyebabkan enam kereta turut terperangkap.

    Katanya, ketika pasukan penyelamat tiba di kawasan rekreasi berkenaan pada 6.30 petang, didapati tempat kejadian tidak dapat dimasuki akibat arus deras.

    “Kejadian berpunca daripada kepala air dari bahagian hulu Sungai Ulu Kasar akibat hujan lebat menyebabkan mangsa dan kenderaan terperangkap.

    “Mangsa terperangkap terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa serta 13 kanak-kanak dan mereka telah diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

    Beliau berkata semua mangsa dibawa ke Masjid Merbau Menyusut Sungai Tong pada 8.40 malam oleh pihak polis, bomba serta orang awam untuk proses dokumentasi dan didapati tiada mangsa yang hilang atau lemas.

    Afandi berkata pihaknya turut menasihati semua mangsa terlibat untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

  • Muhyiddin hadiri Muktamar Tahunan Pas ke-68

    Muhyiddin hadiri Muktamar Tahunan Pas ke-68

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Kompleks Pas Kedah, hari ini.

    Muktamar membuka tirai hari ini setelah dua hari muktamar sayap-sayap parti dijalankan di sekitar negeri Kedah sejak Khamis lalu.

    Sesi hari pertama yang bermula kira-kira pukul 9 pagi ini dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan kehormat Jabatan Amal oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Abdul Hadi akan menyampaikan ucapan dasar beliau pagi ini yang dinantikan oleh ahli dan perwakilan parti itu terutama dalam soal perpaduan ummah dan Muafakat Nasional (MN).

  • PH boleh lupa impian kembali berkuasa jika tiga parti Melayu disatukan – Nasrudin

    PH boleh lupa impian kembali berkuasa jika tiga parti Melayu disatukan – Nasrudin

    WAKIL Dewan Ulama Pas Pahang, Nasrudin Hassan menegaskan, Pakatan Harapan (PH) boleh melupakan impaian mereka untuk kembali memerintah  jika tiga parti Melayu besar iaitu Pas, UMNO dan Bersatu dapat disatukan.

    Katanya situasi politik semasa sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru secara atas kertas PH dijangka memperoleh kemenangan besar.

    “Pas akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan PH tidak kembali ke tampuk pemerintahan. Pengalaman 22 bulan di bawah pemerintahan PH, rakyat sudah merasai pengalaman yang cukup perit,” katanya ketika menyokong Usul pada Muktamar Dewan Ulama di Guar Chempedak, hari ini.

    Sehubungan itu, beliau jmenyeru perwakilan termasuk pimpinan menunjukkan sikap yang selari dengan usul dewan itu iaitu satu lawan satu dan menolak sebarang kerjasama bersama PH.

    “Jangan kita sebut kita nak menyatukan ummah melibatkan UMNO, Bersatu dan sebagainya. Tetapi dalam jiwa kita, dalam kenyataan kita, sama ada kepada media atau di media sosial kita menunjukkan sikap yang tidak menyatukan, kita layan provokasi daripada pihak yang memang mereka dihantar khusus untuk memecah belah umat Islam, orang Melayu dalam negara kita.

    “Saya minta terutamanya pimpinan dan rakan dalam Dewan Ulama di semua peringkat, kita hentikan kenyataan yang serang menyerang antara satu sama lain,” katanya.

    Katanya, ahli Pas harus berjiwa besar dan bersabar serta sentiasa mengawal setiap ucapan supaya tidak memanaskan keadaan.

    “Mengapa kenyataan kita menghiris perasaan orang lain, betul mereka mempunyai sejarah permusuhan panjang dengan kita, tetapi kita sedang berusaha menjadi apa yang koyak, kita sedang mencantum apa yang rabak dan kita harus bersabar dan berjiwa besar, kawal perasan kita supaya setiap ucapan kita, supaya tidak memanaskan keadaan orang lain.

    “Parti lain kita tak boleh nak kawal, parti kita, kita boleh kawal dengan akhlak yang dipelajari,” katanya.

    Katanya, jika perkara itu dapat direalisasi, tidak mustahil menjelang pilihan raya sejarah penyatuan ummah dapat diulang sepertimana piagam Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO serta Bersatu.

  • Dewan Ulama, Pemuda Pas teruskan misi satukan parti Melayu, tolak kerjasama dengan PH

    Dewan Ulama, Pemuda Pas teruskan misi satukan parti Melayu, tolak kerjasama dengan PH

    DEWAN Ulama Pas dan Dewan Pemuda Pas Pusat hari ini sebulat suara menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan meneruskan misi menyatukan parti-parti Melayu serta NGO Melayu.

    Pendirian kedua-dua dewan itu dijangka diperkukuhkan dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-68 esok di Kota Sarang Semut.

    Pada muktamarnya hari ini di Guar Chempedak,  Dewan Ulama Pas sebulat suara menerima dan meluluskan usul untuk parti itu menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) melalui pertandingan satu lawan satu dan menolak sebarang kerjasama dengan PH.

    Usul tersebut dikemukakan dan dibentangkan wakil Dewan Ulama Pas Kelantan, Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail dan diluluskan di peringkat sayap itu untuk dibawa ke Muktamar Pas esok.

    Kata Saripuddin, Pas hendaklah memainkan peranan secara proaktif untuk menyatukan parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya kekuatan politik Melayu-Islam dapat disatukan di bawah agenda penyatuan ummah.

    “Strategi satu lawan satu hendaklah dilaksana bagi mengelak pertembungan sesama sendiri di kawasan majoriti pengundi Melayu supaya tidak berlaku perpecahan undi yang hanya akan menguntungkan PH.

    “Seterusnya menolak sebarang kerjasama politik dengan PH dalam PRU ke-15 nanti,” katanya yang juga ADUN Selising ketika membentangkan usul berkenaan yang diterima perwakilan sebulat suara tanpa dibahaskan.

    Di Alor Setar, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli menegaskan, pendirian Pemuda Pas selari sebagaimana pucuk pimpinan yang telah menyatakan tiada rundingan dan kerjasama dengan PH.

    Tegasnya, apatah lagi terhadap pihak yang pernah menggelar Presiden Pas sebagai antara tiga jahanam, selain menyerang kerajaan diterajui Pas di Kelantan dan Terengganu.

    “Kita ada border, ada line yang tak boleh kita cross iaitu menyatakan pendirian, menyatakan pendirian. Tetapi mensyarahkan pendirian parti ialah merupakan kerja kita sebagai Pemuda. 

    “Tuan Guru Presiden pimpinan telah menyatakan bahawa tidak ada sebarang rundingan dengan Pakatan Harapan dalam pilihan raya, maka ke situlah pendirian kita. Tak perlu kita bertindak lebih bijak daripada pimpinan.

    “Dalam kenyataan yang berbentuk pendirian ini perlu untuk kita faham, perlu untuk kita hadam di dalam benak fikiran kita. Kalau saya sentiasa sebut bahawa dalam menentukan pendirian parti, kita sudah ada pemimpin,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Pas akan dilihat terus relevan selepas daripada ini berikutan pelbagai isu yang berlaku seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya, kerana parti ini jelas berintegriti.

  • Kastam rampas minuman keras lebih RM1.5 juta termasuk cukai

    Kastam rampas minuman keras lebih RM1.5 juta termasuk cukai

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah merampas dua kontena berisi minuman keras yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta termasuk cukai dalam dua serbuan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, 23 Ogos lepas.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Mohammad Sabri Saad berkata pemeriksaan ke atas kedua-dua kontena dalam serbuan pada 5 hingga 6.30 petang itu menemukan keseluruhan 42,630.66 liter minuman keras jenama Knight General, Tsingtao dan China Liquor dianggar bernilai RM334,810.

    Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diisytiharkan dalam borang kastam, dagangan itu dinyatakan sebagai ‘Nut and Washer’ dan ‘Bolt Washer’ dari negara jiran.

    “Kedua-dua kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967. Ejen atau wakil penghantaran bagi sebuah kontena telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Jabatan Kastam Zon Tengah di Kelana Jaya di sini hari ini.

    Beliau berkata pihaknya percaya minuman keras itu dibawa dari Timur Tengah selain tidak menolak penglibatan sindiket atau kongsi gelap dalam kes berkenaan.

    Menurut Mohammad Sabri, pihaknya berjaya merampas pelbagai barangan elak cukai bernilai lebih RM210 juta melibatkan 911 kes sejak Januari hingga 26 Ogos lepas dengan 75 peratus daripadanya adalah rokok dan minuman keras.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tampil membantu membanteras penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.- BERNAMA

  • Tak puas hati keputusan Mahkamah Tinggi, Rosmah kemuka rayuan

    Tak puas hati keputusan Mahkamah Tinggi, Rosmah kemuka rayuan

    DATIN Seri Rosmah Mansor hari ini mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya bagi tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Rosmah, 70, memfailkan notis rayuan tersebut menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Rayuan menerusi e-mel.

    Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    Menurut notis rayuan, Rosmah tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan semalam dan ingin merayu terhadap keputusan yang mensabitkannya mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) 2009 serta hukuman penjara dan denda di bawah Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009.

    Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan kes tersebut.

    Semalam, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta ke atas Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah.

    Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, beliau hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana Hakim Mohamed Zaini memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

    Mahkamah juga memerintahkannya dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

    Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin. 

    Hakim Mohamed Zaini dalam penghakimannya antara lain memutuskan bahawa pembelaan Rosmah hanya penafian semata-mata dan wang RM6.5 juta memang untuknya dan beliau menerima wang itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta serta Seri Perdana.

    Dalam penghakiman setebal 116 halaman, hakim itu juga memutuskan bahawa Rosmah telah menguasai suaminya, Najib dan mempunyai kawalan ke atas bekas perdana menteri itu dan jelas daripada rakaman  klip audio “Can I advise you something” antara Najib dan Rosmah yang tular sebelum ini  bahawa tertuduh memberi arahan kepada Najib berhubung urusan kerajaan.- BERNAMA