Category: Semasa

  • Rundingan UMNO-Pas masih berjalan, kerjasama bukan Zahid tentukan

    Rundingan UMNO-Pas masih berjalan, kerjasama bukan Zahid tentukan

    Oleh BADLISHAH MAT

    RUNDINGAN kerjasama UMNO dan Pas untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) masih berjalan ketika ini yang melibatkan pimpinan kedua-dua parti hingga ke peringkat akar umbi.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, UMNO bukan diwakili Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sahaja tetapi melibatkan persetujuan daripada parti berkenaan.

    “UMNO ini adalah satu parti yang memiliki Majlis Tertinggi, Naib Presiden serta kepimpinan di peringkat negeri dan bahagian. UMNO ini bukan Presiden sahaja.

    “Kita masih lagi berpegang kepada pendirian asal antara Pas dan UMNO di masa kita tubuhkan Muafakat Nasional (MN) iaitu kita bersetuju bukan hanya UMNO dan Pas, malah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Ini termasuk pertubuhan bukan kerajaan turut diterima. Sehingga kini kita masih berpegang pendirian asal,” kata Abdul Hadi pada sidang akhbar selepas perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.

    Turut hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Chai.

    Beliau berharap kenyataan bahawa UMNO akan bergerak solo dalam PRU-15 hanya kenyataan Presiden UMNO dan bukan secara kolektif melibatkan ahli UMNO akar umbi dan bukan juga semua pemimpin UMNO.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata, tidak mustahil Pas dan UMNO bekerjasama kerana sifat politik itu dinamik dan macam-macam boleh berlaku.

    “Bersandarkan sifat politik yang cukup dinamik, adalah tidak mustahil untuk rakyat di negara ini melihat kerjasama UMNO dan Pas pada PRU-15 nanti,” ujarnya.

    Kenyataan itu dilihat sama sekali bertentangan dengan beberapa penegasan dibuat Ahmad Zahid dan pimpinan lain yang sudah berkali-kali menyatakan pendirian untuk menolak kerjasama bersama Pas dalam MN.

    Ahmad Zahid dalam laman Facebooknya semalam menyifatkan kerjasama disampaikan Pas merupakan satu kerjasama politik yang dangkal.

  • Tarikh PRU-15 bukan UMNO tentukan-Hadi Awang

    Tarikh PRU-15 bukan UMNO tentukan-Hadi Awang

    Oleh BADLISHAH MAT

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan ditentukan UMNO atau mana-mana pihak.

    “UMNO hanyalah sebahagian kecil yang mewakili Kabinet dengan selebihnya dianggotai oleh Perikatan Nasional (PN).

    “Menteri-menteri UMNO termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukanlah satu-satunya pihak yang membuat apa jua keputusan Kabinet terutama soal pilihan raya.

    “Perdana Menteri susah nak tetapkan tarikh PRU kerana kalau ikut perlembagaan, yang boleh letakkan tarikh adalah Kabinet.

    “Kabinet bukan majoriti UMNO, Kabinet majoriti PN termasuk parti Sarawak. Penetapan tarikh itu hanya boleh ditentukan oleh jemaah Kabinet,” katanya dalam sidang akhbar.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.

    Turut hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Chai.

    Dalam Taklimat Khas Presiden UMNO minggu lalu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa PRU15 perlu diadakan dengan segera dan telah memberi panduan kepada Ismail Sabri mengenai tarikh yang sesuai.

    Namun, Abdul Hadi menyifatkan Ismail Sabri tidak boleh sewenang-wenangnya membubarkan Parlimen.

    “Perdana Menteri tak boleh sebarangan, tak boleh bergantung kepada resolusi Perhimpunan Agung UMNO semata-mata,” katanya.

  • Polis tahan dua beranak disyaki edar dadah

    Polis tahan dua beranak disyaki edar dadah

    POLIS menahan tiga lelaki termasuk dua beranak ditahan bersama dadah bernilai RM52,500 dalam serbuan di sebuah rumah kampung di Pinang Tunggal, Sungai Petani, dalam serbuan pukul 4.30 petang kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, seorang pemandu van berstatus duda anak dua, berusia 33 tahun disyaki dalang dalam pengedaran dadah terbabit, ditahan bersama ayahnya, seorang pekerja kilang berusia 59 tahun.

    “Seorang lagi pekerja kilang berusia 22 tahun yang berada di lokasi serbuan merupakan sepupu suspek pertama, turut ditahan.

    “Hasil pemeriksaan dalam rumah menemui 21 ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja anggaran berat keseluruhan 21.9 kilogram (kg) bernilai RM52,500 disembunyikan dalam sebuah beg hitam atas lantai dalam sebuah bilik.

    “Ujian saringan air kencing ke atas suspek utama yang merupakan pemandu van dikesan positif dadah jenis ganja,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Sungai Petani, hari ini.

    Katanya, suspek utama itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes narkotik, enam rekod jenayah dan satu kes dikehendaki polis mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Sepupunya dikesan positif dadah jenis methamphetamine mempunyai empat rekod jenayah termasuk dua kes dikehendaki polis mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala ayah suspek utama dikesan negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya.

    Jelasnya, suspek utama yang disyaki dalang itu berperanan sebagai ‘stor keeper’ manakala penglibatan ayah dan sepupunya masih disiasat.

    Difahamkan, kesemua dadah yang dirampas disyaki untuk edaran sekitar Kedah dan Pulau Pinang, boleh digunakan kira-kira 43,770 orang penagih dadah.

    Suspek utama disyak aktif sejak dua bulan lalu dalam aktiviti pengedaran dadah dan kesemua direman enam hari bermula 2 hingga 7 September 2022.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Rasuah makin berleluasa, orang Islam pun terbabit sama – Muhyiddin

    Rasuah makin berleluasa, orang Islam pun terbabit sama – Muhyiddin

    KENYATAAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan rasuah dengan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera tidak perlu lagi diperdebatkan.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini kerana jenayah rasuah kini sudah menjadi agak berleluasa di negara ini dan ia berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada orang Islam dan bukan Islam.

    “Rasuah sudah agak berlaku berleluasa. Orang yang bukan Islam pun ada melakukan rasuah, yang Islam (pun) melakukan rasuah.

    “Saya fikir tidak harus apa orang kata kita debatkan, (tetapi) apa yang ditinggal itulah yang sedang berlaku,” katanya selepas menghadiri Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, Kedah, lapor BH Online.

    Abdul Hadi sebelum ini dilapor berkata, usaha menangani penyakit rasuah wajib dilakukan secara holistik supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan yang tidak menyeluruh sehingga ke akar umbi, khususnya terhadap mereka yang menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram.

    Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan Bumiputera.

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PN mengambil pendirian tegas dan berpendirian kuat untuk menentang salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan dan pelbagai perkara lain yang sudah diputuskan sejak awal.

    Sebelum ini media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang susulan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.

    Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner A. Skandaguru berkata, Abdul Hadi akan dipanggil ke Bukit Aman dalam masa terdekat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

  • PRU-15:Pas tambah calon anak muda, wanita di kerusi boleh menang

    PRU-15:Pas tambah calon anak muda, wanita di kerusi boleh menang

    PERSEDIAAN Pas untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukan sahaja untuk menang tetapi lebih penting menampilkan calon yang berintegriti beriman, berilmu dan berakhlak mulia.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, usaha dan perjuangan tersebut penting bagi mengisi kemenangan parti tersebut kelak.

    “Peranan calon yang layak sangat penting dengan memenuhi syarat ‘boleh menang’, ‘boleh diterima’, dan ‘boleh mentadbir’ bagi mengisi kemenangan dalam memimpin negara dan negeri,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.

    Turut hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Chai.

    Katanya, Pas juga akan meningkatkan jumlah calon anak muda dan wanita untuk bertanding bagi menarik sokongan dua golongan berkenaan sebagai undi penentu pada PRU-15.

    Namun paling penting ujarnya, persediaan jentera pilihan raya di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu kuat dan mantap termasuk
    petugas unit daerah mengundi (UDM) serta pasukan kempen yang cekap dan berkesan.

    Pas juga katanya, perlu menguasai pengundi tidak berparti dengan melaksanakan pendekatan berilmu, menyalur maklumat benar selain menawarkan kepimpinan yang berkebajikan, mesra dan cakna rakyat.

    Sehubungan itu katanya, pusat khidmat masyarakat parti tersebut perlu bergerak aktif dan berkhidmat secara efektif kepada semua rakyat.

    Pada masa sama ujar beliau, Pas perlu mesra dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan boleh bekerjasama bagi mendekati kelompok pengundi tidak berparti itu menerusi aktiviti yang tidak berbau kepartian.

    Pas juga mengambil kira bilangan pengundi warga emas yang semakin meningkat di setiap Parlimen dan DUN, katanya.

    “Maka jentera pilihan raya perlu menyantuni pengundi warga emas dengan memperkasa Pasukan Kempen Assabiqun bagi mencapai sasaran strategik kemenangan Pas di Parlimen dan DUN yang ditandingi,” ujarnya.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata, bagi menembusi kawasan majoriti bukan Islam dan undi penentu di kawasan majoriti Islam, Pas akan terus membuktikan kemampuan menjuarai isu-isu rakyat serta urus tadbir yang baik.

    Ini termasuk katanya, memberikan khidmat kebajikan, melaksanakan konsep adil untuk semua dan membuktikan jaminan hak beragama kepada bukan Islam tidak akan tergugat di bawah kepimpinan parti.

    “Kepada rakan-rakan bukan Islam, berilah peluang kepada Pas untuk melaksanakan pendekatan Islam yang lebih baik dan adil dan lihatlah kegagalan ideologi ciptaan manusia yang tidak ada kaitan dengan agama dan bangsa sendiri.

    “Dalam hal ini, Islam mengajar kita bahawa manusia terdiri daripada kalangan masyarakat majmuk walaupun berbagai kaum, agama dan bangsa.
    Pas mesti memulakan langkah dalam usaha untuk memenangi hati rakyat secara seluruhnya, ujarnya.

    Antara perkara yang perlu fokuskan kata Abdul Hadi, adalah memberikan khidmat kepada masyarakat secara lebih dekat untuk menarik seramai mungkin masyarakat supaya bersama.

    “Kita juga mesti menguasai dan memanfaatkan teknologi maklumat terutamanya melalui media sosial supaya mesej sampai kepada masyarakat,” katanya sebagaimana dilaporkan Harakah Daily.

  • PAS tolak kerjasama perkara membabitkan dosa – Hadi Awang

    PAS tolak kerjasama perkara membabitkan dosa – Hadi Awang

    PAS bertegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan serta kemungkaran.

    Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas tidak boleh memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus kerana meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip.

    Sehubungan itu, beliau berkata, Pas menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta’awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran.

    “Pas memperkenal pendekatan mengikut petunjuk al-Quran berkonsepkan Keluarga Malaysia Masyarakat Majmuk. Pas menolak sebarang agenda perpaduan kaum yang sempit dan mempunyai wawasan yang terhad.

    “Pada masa sama, Pas sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam.

    “Hal ini penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-69, di Kompleks Pas Kedah, lapor BH Online.

    Turut hadir, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

  • Pas sifatkan PRU-15 bapa segala pilihan raya

    Pas sifatkan PRU-15 bapa segala pilihan raya

    Oleh BADLISHAH MAT

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai ‘bapa’ kepada segala pilihan raya.

    Beliau berkata, PRU-15 akan menyaksikan cabaran besar untuk parti itu menetapkan strategi dan hala tujunya.

    Justeru katanya, Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang berlangsung hari ini dan esok akan menjadi medan penting untuk parti itu mempersiapkan parti termasuk jenteranya.

    “Muktamar Pas kali ini merupakan muktamar terakhir sebelum PRU-15 yang disifatkan sebagai bapa segala pilihan raya.

    “Oleh itu semua perwakilan diminta mengambil kesempatan ini untuk memberi pandangan dan idea bagaimana membuat persiapan terutama strategi dan calon bagi mendapat sokongan rakyat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.

    Turut hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Chai.

    Takiyuddin berkata, saranan itu demi mempertahankan kemenangan kerusi yang sedia ada dan tambah bilangan kerusi.

    Namun katanya, persiapan dan strategi khusus berkaitan PRU-15 akan diperincikan oleh pimpinan parti selepas muktamar berkenaan.

    “Apa pun juga arahan berkaitan persiapan strategi yang khusus akan kita perincikan apabila tiba masanya. Kita serahkan kepada parti,” katanya.

    Katanya, Pas harus berada dalam keadaan bersedia untuk PRU-15 demi memenangkan parti termasuk mempertahankan kerajaan negeri di bawah pimpinannya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    “Begitu juga, meskipun Pas dan PN masih berperanan dalam kerajaan Persekutuan, namun kita lihat ketidaktentuan hala tuju yang menentukan PN untuk mengkaji tentang masa depan kita terutama untuk hadapi PRU-15.

    “Kita serahkan kepada pimpinan untuk menentukan kedudukan kita,” katanya.

  • Muktamar Pas:Isu MN tidak disentuh secara langsung

    Muktamar Pas:Isu MN tidak disentuh secara langsung

    Oleh BADLISHAH MAT

    ISU berkaitan Muafakat Nasional (MN) tidak disentuh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Pas ke-68, hari ini.

    Berucap sempena muktamar tersebut di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, Alor Setar, Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun berkata, Pas sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam.

    “Pas bertanggungjawab mengajak perpaduan umat untuk melakukan islah daripada kesilapan kerajaan terdahulu dan berusaha menyatukan parti Melayu Islam yang berselerak dengan pendekatan yang berpecah sebelum ini.

    “Seterusnya menyatukan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi membentuk sebuah negara masyarakat majmuk yang sejahtera,” katanya.

    Perkara itu kataya, sangat penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam.

    “Kerjasama dalam perpaduan ini ada sempadannya, hanya dalam perkara kebaikan dan taqwa, seperti perpaduan umat berlandaskan tali Allah (Islam) yang menegakkan adil kepada semua, melakukan kebajikan dan meninggalkan yang salah kembali ke pangkal jalan,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata, Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat akan diberikan mandat untuk meneliti setiap perkara berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi serta pasca pilihan raya tersebut.

    “Mandatnya diserahkan kepada Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi bagi menghadapi pilihan raya dan segala kemungkinan selepas pilihan raya demi memastikan Islam terus memimpin, termasuk urusan penentuan kerusi dan calon dalam menghadapi PRU-15,” katanya.

    Turut hadir Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Chai.

  • Sumpah baiah lebih berkesan daripada RUU antilompat parti-Hadi Awang

    Sumpah baiah lebih berkesan daripada RUU antilompat parti-Hadi Awang

    PRESIDEN Pas, Abdul Hadi Awang menganggap sumpah baiah yang diamalkan terhadap calon parti itu pada setiap pilihan raya lebih berkesan berbanding rang undang-undang (RUU) antilompat parti yang baru diperkenalkan.

    Tegas beliau, walaupun sifat iman dan takwa terletak dalam hati manusia, namun Islam menetapkan bahawa tiada siapa pun yang dapat mengatasi hukumnya.

    “Perkara ini ditegaskan dalam perlembagaan Pas bahawa hukum Allah dan rasulnya adalah sumber tertinggi yang mewajibkan kepada para pemimpin utama dan calon pilihan raya untuk melafazkan sumpah dan baiah, sehingga mengatasi segala undang-undang bagi memelihara integriti.

    “Langkah ini lebih berkesan daripada undang undang lompat parti yang baru sahaja diperkenalkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Muktamar Pas ke-68 di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.

    Turut hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Chai.

    Pada 28 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU antilompat parti yang menggariskan tindakan terhadap ahli parlimen yang berbuat demikian.

    RUU berkenaan antara lain menyatakan ahli parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka bertindak keluar parti atau tidak lagi menjadi ahlinya, namun ahli parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusi.

    Untuk rekod Pas sejak sekian lama mengamalkan baiah iaitu sumpah taat setia kepada parti dengan bersumpah atas nama Allah.

    Ia bagi menghalang wakil rakyatnya meninggalkan parti itu dan menyertai parti lain selepas menang dalam pilihan raya.

    Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas sepatutnya diberi lebih kepercayaan dengan adanya ikatan baiah yang menurutnya lebih hebat daripada undang-undang yang ‘luput tarikhnya’.

    Malah tegas Ahli Parlimen Marang itu, wakil rakyat yang tidak memelihara integriti pasti akan melompat sendiri kerana kepanasan walaupun ‘berada dalam bilik berhawa dingin’, atau dipecat ekoran masalah disiplin.

    “Parti tidak rosak, terus maju dan subur berkembang, sentiasa menambahkan ahli, kawasan, cawangan dan penyokong.

    “Pas membuktikan pelaksanaan yang berkesan dapat dilaksanakan di negeri-negeri yang diperintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah, dan melalui beberapa kementerian yang ditugaskan walaupun dengan bidang kuasa yang terbatas,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

  • PRU-15:Pas ikrar pertahan 3 negeri-Abdul Hadi

    PRU-15:Pas ikrar pertahan 3 negeri-Abdul Hadi

    PAS berikrar mempertahankan tiga negeri yang dipimpin parti itu iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, usaha tersebut penting kerana tiga negeri itu merupakan ‘negeri pengkalan’ bagi melaksanakan agenda Islam mengikut bidang kuasa negeri.

    Selain itu katanya, kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dimenangi di beberapa negeri juga perlu diberikan perhatian.

    “Menarik sokongan rakyat seramai mungkin mesti dilakukan dengan apa jua cara melalui kefahaman dan kesedaran, termasuk khidmat masyarakat dan kegiatan sosial

    “Ahli Pas juga digesa supaya terus wala’ kepada keputusan parti walaupun berbeza pandangan selagi ia tidak menyalahi syarak.

    “Jangan berkelahi di cawangan, kawasan, negeri, dewan-dewan dan pusat. Kita mesti bersatu padu dalam jemaah ini dan jangan berpecah.

    “Perbezaan pendapat adalah perkara biasa, yang penting menjaga adab dalam perbezaan. Mesti taat dan wala’ kepada keputusan parti dan kepimpinan, sama ada suka atau tidak, senang atau susah, selagi mana tidak menyalahi syarak,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ucapan dasar presiden Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 di Kompleks Pas Kedah, hari ini.

    Katanya, Pas juga perlu melakukan persediaan bagi mengisi kemenangan yang berintegriti berbekalkan iman, ilmu dan akhlak yang mulia.

    “Di sini peranan calon yang layak sangat penting dengan memenuhi syarat ‘boleh Menang’, ‘boleh Diterima’, dan ‘boleh Mentadbir’ bagi mengisi kemenangan dalam memimpin negara dan negeri,” ujarnya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT).

    Kata Hadi, jentera pilihan raya perlu menyantuni warga emas kerana parti itu mengambil kira saiz pengundi golongan itu yang semakin meningkat di setiap Parlimen atau DUN.