Category: Semasa

  • Perjanjian PN itu ‘cerita lama’- PM

    Perjanjian PN itu ‘cerita lama’- PM

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap perjanjian dengan Perikatan Nasional (PN) yang dibocorkan baru-baru ini, sebagai ‘cerita lama’.

    “Itu dah lama, bukan cerita baru,” ujar Naib Presiden UMNO itu ketika menjawab soalan pemberita mengenai perjanjian beliau dengan PN, di M Resort & Hotel Kuala Lumpur, Bukit Kiara, hari ini, lapor Free Malaysia Today.

    Terdahulu, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, mendedahkan maklumat yang didakwanya mengandungi perkara disunting daripada surat itu menerusi sebuah video di Facebook.

    Dakwanya, dalam surat itu, Ismail bersetuju mengekalkan Idrus Harun sebagai peguam negara. Idrus dilantik sebagai peguam negara apabila Muhyiddin menjadi perdana menteri kelapan.

    Menurut Lokman, Ismail juga didakwa berjanji akan mengekalkan jawatan menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut menepis pertanyaan mengenai kesahihan perjanjian didakwa antara Ismail dan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang dibocorkan penulis blog, Raja Petra Kamarudin.

    Menurut dokumen dibocorkan itu, Perdana Menteri didakwa bersetuju menyegerakan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di mahkamah.

    Salinan surat itu tersebar pada Julai yang mengandungi 10 perkara, namun perkara 7, 8, dan 9 telah disunting.

  • Penerima PerantiSiswa tak perlu pulang tablet, kata PM

    Penerima PerantiSiswa tak perlu pulang tablet, kata PM

    DATUK SERI Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa semua penerima tablet di bawah inisiatif kerajaan PerantiSiswa tidak perlu memulangkannya semula.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju untuk memberikan terus tablet ini kepada pelajar.

    “Jadi tak perlu pinjam, tak perlu pulang balik…kerajaan berikan terus kepada penerima.

    “Pemberian hari ini adalah sebagai pengharagaan dan adalah diharapkan menjadi pemangkin bagi penerima peranti siswa untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia di UiTM, Shah Alam hari ini.

    Peranti berjenama Samsung Galaxy itu akan diberikan kepada 400,000 penerima pelajar B40 di seluruh negara.

    Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah terfapat spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-15 akan diadakan dalam masa terdekat.

  • Dua budak rentung dalam kebakaran

    Dua budak rentung dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA beradik rentung dalam kebakaran di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru, hari ini.

    Mangsa merupakan adik beradik iaitu Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, dan Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri, 2.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 1.41 petang sebelum 14 anggota dikerjakan ke tempat kejadian.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Ridzuan Malek Rivan berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 18 x 40 kaki.

    Rumah yang mengorbankan dua beradik terbakar 60 peratus dan kebakaran berjaya dipadamkan denga bantuan orang awam sebelum dikawal pihak bomba

    “Kebakaran mengakibatkan kemusnahan 60 peratus daripada keseluruhan rumah. Terdapat dua mangsa telah ditemui rentung di ruangan bilik tidur.

    “Pemadaman awal telah dilakukan oleh orang awam menggunakan jirusan air paip. Tindakan operasi pemadaman susulan dilakukan pihak bomba sehingga keadaan pada pukul 2.20 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, semasa kejadian kedua-dua mangsa tersebut tinggal bersama-sama ibunya.

    “Kita akan menyiasat keadaan ibunya dengan teliti termasuk meminta bantuan unit anjing pengesan bomba. Unit K9 dalam perjalanan ke Johor dari Kuala Lumpur,” katanya.

    Tambah beliau, jenazah mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

  • Pemuda lemas selepas 2 budak berpaut padanya

    Pemuda lemas selepas 2 budak berpaut padanya

    SEORANG lelaki lemas selepas menyelamatkan dua kanak-kanak yang tergelincir ketika mandi di Air Terjun Lata Kertas, Dabong di Kuala Krai pada pukul 10 pagi tadi.

    Mohd. Johari Mohd. Rozali, 36, sedang mandi sebelum dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia sembilan tahun tergelincir di atas batu dan terjatuh lalu berpaut pada mangsa.

    Dalam keadaan kelam kabut, orang awam yang berada di kawasan perkelahan itu menyelamatkan kedua kanak-kanak berkenaan.

    Dalam masa sama mangsa dilihat terkapai-kapai dan lemas sebelum bapa kepada seorang kanak-kanak itu menariknya naik dan memberikan bantuan pernafasan (CPR).

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong, Pegawai Bomba Kanan II Farizal Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 10.11 pagi dan tiba di lokasi kejadian 19 minit kemudian.

    Katanya, seramai enam pegawai dan anggota termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari BBP Dabong bergegas ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di lokasi, kami mengambil alih untuk memberikan CPR kepada mangsa, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital yang hadir untuk pemeriksaan.

    “Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk tindakan lanjut.

    “Operasi berakhir pada pukul 11.15 pagi,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • PRU15: PN sedia terima keputusan tolak PH

    PRU15: PN sedia terima keputusan tolak PH

    PERIKATAN Nasional (PN) bersedia menerima apa sahaja keputusan pimpinan gabungan parti itu termasuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini kerana pihaknya bersifat terbuka serta mengambil kira pendirian Pas sebagai parti komponen PN yang tidak mahu kerjasama dengan PH pada pilihan raya berkenaan.

    Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata malah sekiranya keadaan itu berlaku, PN sudah bersedia untuk menghadapi kebarangkalian pertembungan tiga penjuru atau lebih daripada itu, pada PRU15.

    “Perkara itu (Pas tolak kerjasama dengan PH) untuk kami nak menunjukkan sikap keterbukaan tetapi apapun kami faham hakikatnya kemungkinan mereka (Pas) tidak setuju tetapi apapun situasi, PN ada pendirian dan apa keputusan yang kami akan buat ataupun telah dibuat adalah berdasarkan musyawarah secara bersama. 

    “Oleh itu, apa pun situasi atau keadaan, kami akan terima. Kemungkinan besar pilihan raya ini akan melihat pertembungan tiga penjuru atau empat penjuru namun kami sudah bersedia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-68 disempurnakan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang di Alor Setar, hari ini.

    Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata malah PN mempunyai strategi tertentu untuk memastikan kejayaan bagi gabungan parti itu dalam PRU15 nanti.

    Sebelum ini, Muhyiddin dilapor berkata idea kerjasama PN dengan pembangkang disuarakan kerana mahu menyelamatkan negara agar tidak terus terjerumus ke dalam kancah kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa dan berpendapat kepentingan negara lebih penting berbanding kepentingan parti.

    Mengenai cadangan penggunaan logo Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU15, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijangka diadakan minggu depan.

    “Kemungkinan ada strategi tertentu yang sesuai dan kami akan ambil kira. Jadi kalau itulah usul yang dikemukakan, apapun keputusan akan dibuat oleh Mesyuarat Majlis Tertinggi PN,” katanya.

  • Majikan ditahan dera amah warga Indonesia

    Majikan ditahan dera amah warga Indonesia

    SEORANG wanita tempatan ditahan bagi kerana terlibat dera pembantu rumah warga Indonesia di sebuah rumah di Batu Caves, Gombak, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, suspek, 35, yang juga majikan wanita itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan mangsa, 46, yang mendakwa didera majikannya iaitu pasangan suami isteri sejak bekerja pada Oktober 2019.

    “Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira pukul 5 petang, pada 31 Ogos lalu selepas berjaya melarikan diri dari rumah majikannya itu.

    “Mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, suspek direman lima hari bermula kelmarin sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom 2007).

    Tambahnya, polis akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memastikan siasatan lengkap dari pelbagai sudut bagi tujuan pendakwaan terhadap suspek.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Mohd Reezal Mohammad@Mohd Zain di talian 03-61262222 atau 013-3479809.

    Terdahulu, media melaporkan seorang wanita warga Indonesia berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki demi mengubah nasib keluarga di kampung, namun diperlakukan dengan kejam dan dipercayai akibat didera majikan sejak tiga tahun lalu.

    Wanita itu bukan saja ‘dikurung’ dan dipantau ketat, malah ditampar dan dicederakan menggunakan kayu di muka sehingga mengakibatkan lebam selain bekerja secara ‘percuma’ tanpa bayaran.

    Mangsa turut didakwa disimbah air panas sehingga melecur di belakang badannya mengakibatkan berat badannya menyusut sehingga 30 kilogram (kg) akibat kekurangan zat.

    Susulan itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dilaporkan berkata, beliau sudah mengarahkan JTKSM untuk menyiasat perkara itu.

    Beliau dilaporkan berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati mangsa tidak dibayar gaji oleh majikannya sejak mula bekerja dari 2019 dengan nilai tunggakan hampir RM32,000.

    Justeru, katanya, kementerian tidak akan melindungi identiti mana-mana majikan yang didapati bertindak di luar batas kemanusiaan meskipun masih di dalam peringkat siasatan.

  • Dua lelaki didenda RM5,000 selepas provokasi pegawai imigresen

    Dua lelaki didenda RM5,000 selepas provokasi pegawai imigresen

    DUA lelaki tempatan didenda RM5,000 setiap seorang selepas didapati bersalah melakukan provokasi terhadap pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selasa lalu, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

    “Tertuduh, Mior Abdul Maheer Mior Muhammad, 32, dan Jason Soo Kai Soon, 26, mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Keswati Mohamad di Mahkamah Sesyen Jenayah 12 Kuala Lumpur.

    “Dua individu itu telah dihukum denda RM5,000 setiap seorang kerana melakukan provokasi dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai imigresen yang sedang menjalankan tugas semasa operasi di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 10 Ogos lalu.

    “Seorang tertuduh juga telah meludah kepada pegawai imigresen selain kedua-dua turut merakam provokasi yang dilakukan dengan niat untuk mengaibkan petugas operasi,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, sekiranya mereka gagal membayar denda terbabit, mereka akan dikenakan hukuman lima bulan penjara.

    “Hukuman ini dijatuhkan selepas mereka mengaku salah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 56 (1) (g) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 56 (1) (aa) akta yang sama,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Beliau berkata, sebarang tindakan provokasi dan ancaman kepada mana-mana anggota dan pegawainya yang sedang menjalankan tugas akan diambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang sedia ada.

  • Polis cari Nur Haziqah Hamidi saksi penting kes ‘Long Tiger’

    Polis cari Nur Haziqah Hamidi saksi penting kes ‘Long Tiger’

    POLIS mencari seorang wanita Nur Haziqah Hamidi yang menjadi saksi penting bagi perbicaraan kes di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan berkaitan ‘Long Tiger’ atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid.

    Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat berkata wanita berusia 25 tahun itu sepatutnya perlu hadir perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak pada 7 dan 8 Sept ini, namun gagal dihubungi.

    Beliau berkata saksi telah gagal dihubungi sejak dua tahun lepas bersabit dengan satu kes pemerasan, melalui laporan yang dibuat di Balai Polis Bukit Gambir, dekat Tangkak.

    “Kami mengharapkan orang ramai yang mengenali saksi agar dapat memberitahunya agar saksi dapat hadir ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Fadhil berkata sebarang maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes Insp Intan Norathirah Mohd Suhaidi di talian 016-988 3520.

  • Mesyuarat PN minggu depan-Muhyiddin

    Mesyuarat PN minggu depan-Muhyiddin

    Oleh BADLISHAH MAT

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat minggu depan, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, mesyuarat tersebut akan menyentuh penggunaan logo Pas melibatkan negeri di bawah pimpinannya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    “Perkara ini antara yang dibincangkan oleh Majlis Tertinggi PN sebagai salah satu strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Itu kita akan bincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN. Apa-apa pun semua perkara dalam PN ini kita bincang bersama-sama. Kemungkinan ada strategi tertentu yang sesuai, kita akan ambil kira.

    “Jadi kalau itulah usul yang dikemukakan, keputusan akan dibuat Ahli Majlis Tertinggi PN dalam mesyuarat yang kita akan adakan mungkin minggu depan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.

    Perasmian disempurnakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan turut dihadiri Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Chai.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor semalam menegaskan penyokong parti itu termasuk akar umbinya alah dengan logo PN yang mempunyai warna biru seakan Barisan Nasional (BN).

    Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, persiapan pembahagian kerusi di peringkat PN, semua pihak sudah memulakan rundingan dengan semua parti dan akan diperincikan dalam masa terdekat.

    “Kita sudah mula rundingan (pembahagian kerusi) tetapi belum selesai. Tapi saya sudah diberitahu untuk disegerakan,” ujarnya.

    Ketika ditanya tempoh rundingan itu kata Muhyiddin, ia dijangka selesai dalam masa terdekat sebelum PRU-15 nanti.

    Berkaitan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kata beliau, itu sekadar pandangan tentang keterbukaan Bersatu, namun tidak menafikan ia sesuatu yang sukar kerana tentangan daripada akar umbi dan penyokong parti.

    “Itu cuma nak menunjukkan apa orang kata, sebelum ini ada pihak-pihak yang mencadangkan kalau boleh mengelakkan pertembungan. Suara itu disuarakan oleh Ketua Pemuda PN iaitu Ketua Pemuda Pas dalam konvensyen. Jadi saya bagi reaksi.

    “Tapi saya faham situasinya agak sukar. Jadi apa pun situasi kalau sudah begitu situasinya kita akan menghadapi realiti kalau ada pertembungan, kita akan lawan. Kita bersedia untuk menghadapi tiga penjurukah, empat penjurukah, tidak menjadi masalah pada kita,” katanya.

    Pendirian itu juga katanya, menandakan sikap keterbukaan Bersatu, namun parti itu tetap mendukung pendirian yang ditetapkan bersama dalam gabungan PN.

    “Kita faham juga akar umbi tidak bersetuju. Tetapi kalau apa pun situasi PN, ada pendirian dan apa keputusan yang kita akan buat atau pun telah kita buat adalah berdasarkan musyawarah secara bersama,” katanya.

  • Muhyiddin harap muktamar Pas akan perkuatkan PN

    Muhyiddin harap muktamar Pas akan perkuatkan PN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berharap Muktamar Tahunan Pas Ke -68 yang berlangsung di Alor Setar bermula hari ini akan bukan sahaja menjadi medan bagi memperkukuhkan Pas tetapi juga memperkuatkan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.

    Pengerusi PN itu turut terharu mendengar komitmen  dan iltizam berterusan Pas bagi memperkukuhkan ikatan persaudaraan dalam PN seterusnya  menetapkan hala tuju yang lebih jelas bagi menghadapi pilihan raya.

    ‘’Sebagai rakan dalam komponen PN, Bersatu menghormati setiap pandangan yang dikemukakan oleh saf kepimpinan Pas dan para perwakilan demi kebaikan bersama,’’ katanya dalam kenyataan di Facebook selepas menghadiri perasmian Muktamar Tahunan Pas hari ini.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, muktamar kali ini amat penting kerana berlangsung dalam suasana semua parti politik termasuk PN bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan pada tahun ini.

    ‘’Saya juga mengucapkan tahniah kepada Presiden Pas, YB Tan Sri  Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di atas ucapan dasar beliau yang selari dengan matlamat perjuangan PN untuk membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, berintegiriti dan bebas rasuah ke arah  mewujudkan Malaysia Sejahtera,’’ katanya.

    Sementara itu kehadiran Muhyiddin di muktamar berkenaan mencuri tumpuan pemerhati politik dan perwakilan.

    Muhyiddin yang mengenakan persalinan baju Melayu serba biru dan bersongkok duduk bersebelahan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di pentas utama Dewan Datuk Haji Fadzil Mohd Noor.

    Turut kelihatan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

    Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 turut dihadiri Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

    Sebelum itu, Abdul Hadi tiba kira-kira ham 8.40 pagi di pekarangan kompleks dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna hitam sambil diiringi motosikal berkuasa besar Alternative Riding Club (ARC).

    Difahamkan, seramai 1,300 perwakilan dari 197 kawasan seluruh negara mengambil bahagian dalam Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang berlangsung di Kedah.