TAN Sri Muhyiddin Yassin berharap Muktamar Tahunan Pas Ke -68 yang berlangsung di Alor Setar bermula hari ini akan bukan sahaja menjadi medan bagi memperkukuhkan Pas tetapi juga memperkuatkan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.

Pengerusi PN itu turut terharu mendengar komitmen  dan iltizam berterusan Pas bagi memperkukuhkan ikatan persaudaraan dalam PN seterusnya  menetapkan hala tuju yang lebih jelas bagi menghadapi pilihan raya.

‘’Sebagai rakan dalam komponen PN, Bersatu menghormati setiap pandangan yang dikemukakan oleh saf kepimpinan Pas dan para perwakilan demi kebaikan bersama,’’ katanya dalam kenyataan di Facebook selepas menghadiri perasmian Muktamar Tahunan Pas hari ini.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, muktamar kali ini amat penting kerana berlangsung dalam suasana semua parti politik termasuk PN bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan pada tahun ini.

‘’Saya juga mengucapkan tahniah kepada Presiden Pas, YB Tan Sri  Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di atas ucapan dasar beliau yang selari dengan matlamat perjuangan PN untuk membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, berintegiriti dan bebas rasuah ke arah  mewujudkan Malaysia Sejahtera,’’ katanya.

Sementara itu kehadiran Muhyiddin di muktamar berkenaan mencuri tumpuan pemerhati politik dan perwakilan.

Muhyiddin yang mengenakan persalinan baju Melayu serba biru dan bersongkok duduk bersebelahan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di pentas utama Dewan Datuk Haji Fadzil Mohd Noor.

Turut kelihatan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 turut dihadiri Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sebelum itu, Abdul Hadi tiba kira-kira ham 8.40 pagi di pekarangan kompleks dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna hitam sambil diiringi motosikal berkuasa besar Alternative Riding Club (ARC).

Difahamkan, seramai 1,300 perwakilan dari 197 kawasan seluruh negara mengambil bahagian dalam Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang berlangsung di Kedah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here