Category: Semasa

  • Ibu lihat dua anak rentung berpelukan

    Ibu lihat dua anak rentung berpelukan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    IBU kepada dua beradik yang rentung di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri di Johor Bahru, semalam menemukan dua anaknya keadaan berpelukan.

    Nurul Ain Najihah Zulkifli, 27, berkata, selepas kebakaran dapat dikawal, dia mula mencari dua anaknya itu sebelum menemukan dua beradik itu dalam bilik tidur rumah mereka.

    Dia yang berasal dari Ampang Jaya, Selangor merupakan orang pertama masuk ke rumah tergamam dan merasa teramat sedih melihat keadaan mereka.

    “Saya ‘okay’, cuma mula-mula tu saya sedih sebab saya nampak dia kat situ, dia (anak sulung) peluk adik dia. Saya redha, anak-anak saya anak syurga, saya tak risau apa,” katanya.

    Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, Taman Istimewa di sini hari ini.

    Jenazah Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3 dan Nurul Hawa Zafira, 2, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 5.30 petang selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

    Majlis pengebumian itu dihadiri kira-kira 50 ahli keluarga dari Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.

    Bapa mangsa pula, Muhammad Fikri Abdul Mubian, 28, ketika ditemui melahirkan rasa lega apabila kedua-dua anaknya sudah selamat dikebumikan.

    Dalam kejadian pada pukul 1.40 petang semalam dua beradik tersebut ditemukan rentung di belakang pintu dalam kebakaran berkenaan semasa mereka tinggal berdua di rumah itu.

  • Garis panduan kelulusan konsert disemak semula

    Garis panduan kelulusan konsert disemak semula

    KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melihat dan membuat penilaian semula garis panduan kelulusan konsert hiburan yang bakal diadakan di Kuala Lumpur.

    Memetik laporan Harian Metro, Menterinya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, semakan baharu perlu dibuat terhadap ketetapan yang diguna pakai oleh DBKL selama ini dalam memberikan kelulusan bagi setiap permohonan permit untuk mengadakan konsert.

    Katanya, ia bagi memastikan setiap konsert hiburan tidak melampaui batasan yang sepatutnya sehingga memberi pengaruh tidak sihat terutama membabitkan golongan belia di negara ini.

    “Ada yang membuat aduan mengenai beberapa konsert yang dibawa itu tidak menepati kehendak pembangunan insan semasa. Kita boleh berhibur tetapi dalam masa yang sama kita mahu ada kesan yang positif.

    “Jadi wilayah ini sebenarnya kami hanya menyediakan premis, jawatankuasa penapis yang berbuat demikian (beri kelulusan),” katanya hari ini.

    Semakan itu menurut Shahidan turut membabitkan kelulusan permit konsert yang sudah dikeluarkan oleh DBKL namun masih belum berlangsung.

    Katanya, KWP tidak akan berkompromi sekalipun membabitkan artis terkenal seandainya konsert yang ingin dianjurkan itu mendatangkan kesan negatif terhadap masyarakat terutama belia.

    Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan untuk penambahbaikan terhadap garis panduan itu belum diputuskan ketika ini dan hanya akan ditentukan sebaik menelitinya secara terperinci.

    Mengulas mengenai program HBN 2022, beliau berkata, belia di negara ini tidak lagi boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat ketika dunia sedang bergerak pantas ke hadapan dalam pelbagai bidang.

    “Aspek keagamaan juga jangan dilupakan. Letaklah agama sebagai sandaran dan panduan utama dalam kehidupan seperti prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan,” katanya.

  • Bot karam: 4 nelayan diselamatkan Maritim Malaysia

    Bot karam: 4 nelayan diselamatkan Maritim Malaysia

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang berjaya menyelamatkan empat nelayan selepas bot dinaiki mereka karam pada kedudukan 6.6 batu nautika selatan Pulau Kendi, Georgetown, awal pagi tadi.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kesemua mereka yang merupakan warga tempatan berusia antara 31 hingga 43 tahun berjaya diselamatkan kira-kira pukul 10.45 pagi.

    Menurut beliau, Pusat Operasi Maritim Malaysia Pulau Pinang menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 9.15 pagi daripada pengadu yang juga mangsa bot karam tersebut.

    Kata beliau, sebaik sahaja menerima laporan tersebut, bot PERKASA 1220  Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk membuat pencarian dan pemantauan di sekitar lokasi aduan.

    “Keadaan laut yang bergelora serta lokasi yang tidak tepat bagaimanapun menyukarkan anggota Maritim Malaysia negeri melakukan pencarian. 

    “Namun, bot PERKASA 1220 akhirnya menjumpai keempat-empat mangsa bot karam tersebut dalam keadaan selamat sedang berpaut di bot yang terbalik.

    “Kesemua mangsa dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban dekat sini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sementara itu, Abd. Razak menasihatkan setiap komuniti nelayan mengutamakan keselamatan di laut termasuk peralatan untuk ke laut dan bot sentiasa berada di dalam keadaan yang baik bagi persediaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

    Katanya, pemilik bot juga dinasihatkan berhati-hati dan menyemak ramalan kaji cuaca sebelum turun ke laut.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Larang individu ada kes mahkamah tanding PRU, Wan Junaidi tolak cadangan PAS

    Larang individu ada kes mahkamah tanding PRU, Wan Junaidi tolak cadangan PAS

    UNDANG-undang baharu bagi mengetatkan syarat kelayakan calon bertanding pada pilihan raya tidak diperlukan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahya, pada Muktamar Tahunan PAS ke-68 di Kedah, pada Jumaat, antara lain mahu kerajaan melarang individu sedang dalam perbicaraan mahkamah daripada menjadi calon.

    Wan Junaidi ketika mengulas lanjut, berkata pada peringkat pencalonan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mempunyai peraturan ditetapkan.

    Katanya, susulan itu SPR berhak menolak pencalonan seseorang jika individu terbabit didapati tidak menepati kriteria ditetapkan.

    “Dalam hal ini, saya berpandukan kepada undang-undang pilihan raya sedia ada. SPR mempunyai undang-undang yang menentukan seseorang itu layak atau tidak menjadi calon,” lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, jika SPR menolak pencalonan, individu terbabit boleh membawa suruhanjaya itu ke mahkamah.

    “Ini terserah kepada budi bicara SPR untuk menentukan, tetapi jika sesiapa yang ditolak pencalonannya dan tak puas hati, dia boleh mengemukakan rayuan di mahkamah,” katanya.

  • Pegawai Imigresen maut dirempuh kereta, polis kesan pemandu

    Pegawai Imigresen maut dirempuh kereta, polis kesan pemandu

    SEORANG pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) maut manakala rakan setugas patah kaki kanan selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang masing-masing terbabit dalam kemalangan di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala Utara, hari ini.

    Memetik laporan Harian Metro, dalam kejadian pada 9.30 pagi itu, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

    Seorang lagi mangsa, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Zaili Nizam Muhammad, 43, sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata siasatan awal mendapati dua lelaki berkenaan menunggang motosikal masing-masing iaitu Kawasaki KLE650-C dan mereka dalam perjalanan menghala ke utara.

    “Bagaimanapun, sebuah kereta yang datang dari arah sama merempuh motosikal ditunggang si mati menyebabkan ia hilang kawalan dan terbabas di lorong kecemasan.

    “Pada masa sama, rakannya yang berada di belakang serta menunggang di lorong kecemasan tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal si mati,” katanya.

    Menurutnya, mangsa yang dirempuh kereta meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala seorang lagi penunggang patah kaki kanan dan sedang menjalani ujian X-ray di kepala.

    “Hasil siasatan dan pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua penunggang motosikal berkenaan bertugas sebagai pegawai imigresen di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang.

    “Kita juga sedang mengesan pemilik kereta yang didakwa menyebabkan berlakunya kemalangan itu dan siasatan awal mendapati pemandunya dipercayai melarikan diri,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian terbabit diminta menghubungi balai polis berhampiran.

  • Suami isteri edar dadah diberkas polis

    Suami isteri edar dadah diberkas polis

    POLIS menahan suami isteri selepas disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah berikutan penemuan pelbagai jenis dadah di pangsapuri sewa mereka di bandar raya ini, Khamis lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan dilakukan pada 5 petang berjaya menahan pasangan warga tempatan berusia 42 dan 36 tahun itu di tempat letak kereta sebuah pasar raya besar di Taman Suria, di Johor Bahru.

    Katanya, polis kemudian pergi ke pangsapuri mereka di Larkin pada 8 malam sebelum merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM214,287.

    “Susulan penahanan suami isteri itu, polis menyerbu sebuah pangsapuri berpagar dan berpengawal sebelum merampas 14.32 kilogram (kg) heroin, 158 gram serbuk ekstasi, 38.23 gram syabu serta 71 gram ketamin dalam kediaman itu.

    Katanya, polis kemudian pergi ke pangsapuri mereka di Larkin pada 8 malam sebelum merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM214,287.

    “Susulan penahanan suami isteri itu, polis menyerbu sebuah pangsapuri berpagar dan berpengawal sebelum merampas 14.32 kilogram (kg) heroin, 158 gram serbuk ekstasi, 38.23 gram syabu serta 71 gram ketamin dalam kediaman itu.

    “Turut disita ialah wang tunai RM530,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin.

    Menurut Kamarul Zaman, pasangan itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak Mei lalu dengan menjadi orang tengah antara pembekal dan pembeli.

    “Suspek akan membungkus semula dadah yang diperolehi di kediaman mereka sebelum menjualnya,” katanya.

    Menurutnya, saringan ujian air kencing mendapati mereka negatif bahan terlarang.

    Katanya, semakan mendapati suspek wanita mempunyai rekod lampau berkaitan Akta Kanak-kanak 2001, manakala suspek lelaki mempunyai rekod berkaitan dadah.

    “Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 8 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • SPRM siasat individu terbabit skandal 1MDB di Kuwait

    SPRM siasat individu terbabit skandal 1MDB di Kuwait

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pembabitan individu di Kuwait berkaitan isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    SPRM menerusi kenyataan berkata, pihaknya merujuk kepada dakwaan laporan sebuah portal berita berhubung siasatan membabitkan individu berkenaan.

    “SPRM sebagai salah satu peneraju utama dalam usaha pemulihan aset menitikberatkan tindakan mendapat kembali aset dan wang yang hilang hasil penyelewengan 1MDB dan beberapa syarikat lain yang terbabit.

    “Setiap tindakan diteruskan dengan kerjasama agensi penguatkuasa luar negara melibatkan aliran wang yang amat kompleks dan rumit,” katanya dalam kenyataan itu.

    Mengulas lanjut, kenyataan itu memberitahu, sejak dua tahun lalu, SPRM sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Agensi Penguatkuasa Kuwait.

    Ketika ini katanya, SPRM masih menunggu keterangan daripada pihak di Kuwait yang dimohon menerusi Bantuan Perundangan Bersama. Perkara itu masih lagi dalam kajian pihak Kuwait.

    “Dalam pada itu, seperti kenyataan Pejabat Peguam Negara pada 16 Julai 2022, beberapa tawaran penyelesaian oleh Jho Low melalui wakilnya kepada kerajaan Malaysia telah ditolak sepenuhnya oleh Pejabat Peguam Negara,” katanya.

    Tambahnya, semua pihak dimohon tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini bagi mengelakkan kekeliruan kepada masyarakat umum serta boleh menjejaskan siasatan.

  • Ikmal Amry mohon maaf pihak terlibat kemalangan dengannya

    Ikmal Amry mohon maaf pihak terlibat kemalangan dengannya

    SELEPAS terbabit kemalangan semalam, pelakon Ikmal Amry hari ini tampil memohon maaf susulan kejadian di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) yang menyebabkan keretanya berpusing dan terbalik.

    Insiden yang juga melibatkan dua buah kenderaan lain berlaku ketika Ikmal atau Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 28, dalam perjalanan pulang ke Melaka untuk menziarahi keluarganya.

    Menurutnya, pada hari kejadian, dia memandu dalam keadaan kurang rehat setelah selesai menjalani penggambaran sehingga pukul 7 pagi.

    “Hari sebelum kejadian saya menjalani penggambaran sehingga pukul 7 pagi dan sudah berjanji untuk pulang menziarahi
    keluarga.

    “Saya hanya sempat berehat selama tiga jam. Dalam keadaan kurang rehat, saya gagahkan diri memandu. Saya akui ia satu
    kesalahan apabila memandu dalam keadaan kurang sihat,” katanya.

    Iqmal membuat penjelasan itu menerusi hantaran di Instagram Story miliknya pada Ahad.

    Menurut Iqmal, beliau meminta orang ramai tidak mengeruhkan keadaan berhubung kejadian itu.

    “Jika betul saya bersalah, pihak berwajib sahajalah yang berhak untuk selesaikan.” katanya.

    Laporan mStar sementara itu menyatakan, salah satu mangsa, pemilik MyVi biru bernama Norliana Abdul Hamid turut mendedahkan keluarganya antara yang terlibat dalam kejadian tersebut.

    Liana mendakwa Ikmal memandu laju dan enggan bertanggungjawab atas kejadian berkenaan.

  • Najib dimasukkan ke hospital kerajaan

    Najib dimasukkan ke hospital kerajaan

    DATUK Seri Najib Tun Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, telah dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

    Pegawai beliau mengesahkan perkara itu kepada Astro AWANI, dan memaklumkan keadaan bekas Perdana Menteri itu sebagai stabil.

    Menurutnya, bekas perdana menteri itu juga sedang melalui kesemua siasatan perubatan diperlukan.

    “Ya Datuk Seri dalam keadaan stabil, dan sedang melalui kesemua siasatan perubatan yang sewajarnya,” kata Pegawai itu kepada Astro AWANI.

    Sementara itu, memetik laporan The Star, seorang lagi pegawai Najib, iaitu Muhamad Mukhlis Maghribi dilaporkan berkata, Najib telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur.

    Muhamad Mukhlis berkata, beliau ingin menzahirkan penghargaan kepada pihak hospital, serta pegawai Penjara Kajang atas kerjasama yang diberikan, namun tidak memberi butiran lanjut mengenai punca Najib dimasukkan ke hospital.

  • Anwar gesa PDRM berhenti ganggu Rafizi

    Anwar gesa PDRM berhenti ganggu Rafizi

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani segera menghentikan semua bentuk tekanan dan gangguan ke atas Timbalannya, Rafizi Ramli.

    Ini susulan tindakan polis merampas telefon bimbit Rafizi, ketika beliau memberi keterangan berhubung dakwaannya berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS), semalam.

    Menerusi kenyataan di Facebook, Anwar menyifatkan tindakan polis merampas telefon bimbit Rafizi untuk tujuan siasatan agak keterlaluan.

    “Langkah ini ternyata suatu intimidasi terhadap beliau (Rafizi) dalam menentang gejala rasuah di negara ini, seperti yang pernah berlaku kepada anak-anak muda dan mahasiswa dalam himpunan turun.

    “Pihak polis juga harus berlaku adil dalam hal ini, termasuk menyiasat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad kerana laporan polis terhadap beliau turut dibuat tempoh hari.

    “Harus diingat amalan dua darjat seperti ini tidak harus diamalkan, sebaliknya perlu benar-benar telus menjalankan siasatan tanpa sebarang tekanan dikenakan,” tegas beliau.

    Rafizi mendakwa Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.

    Beliau didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog serta menyiarkan semula di Facebook, Twitter dan TikTok.

    Susulan itu, pegawai Latiff membuat laporan polis terhadapnya pada Selasa lalu yang disifatkan fitnah bertujuan merosakkan nama baik Ahli Parlimen Mersing itu.