Category: Mahkamah

  • Warga Singapura terlepas tali gantung, dipenjara 16 tahun

    Warga Singapura terlepas tali gantung, dipenjara 16 tahun

    SEORANG warga Singapura terlepas daripada hukuman gantung setelah Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan terhadap dua pertuduhan mengedar 4,026.73 gram methamphetamine dan 243,69 gram Methenedioxymethamphetamine (MDMA).

    Tan Khee Sen, 62, bagaimanapun disabitkan terhadap kesalahan memiliki dadah itu dan dijatuhi hukuman penjara masing-masing 16 tahun dan 15 tahun, berjalan serentak mulai 16 September 2016, hari dia ditangkap.

    Ini bermakna Khee Sen hanya akan menjalani hukuman penjara 16 tahun.

    Khee Sen, seorang pekerja kedai kopi, juga terlepas hukuman sebatan yang ditetapkan bagi kesalahan itu kerana undang-undang mengecualikan lelaki berumur 50 tahun ke atas daripada disebat.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah telah mengetepikan sabitan Khee Sen bagi kesalahan mengedar dadah dan sebaliknya mensabitkannya kerana memiliki dadah itu.

    Hashim, yang menyampaikan keputusan mahkamah berkata, hakim Mahkamah Tinggi telah salah arah dengan tidak menyatakan sama ada Khee Sen benar-benar atau dianggap memiliki dadah itu apabila memerintahkan dia membela diri atas kesalahan mengedar dadah.

    Hakim itu berkata, sabitan kesalahan Khee Sen kerana mengedar dadah itu tidak selamat.

    Bagaimanapun, beliau berkata terdapat bukti yang mencukupi untuk pertuduhan memiliki dadah itu.

    Khee Sen didapati bersalah atas dua pertuduhan mengedar dadah itu oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 17 Jun 2020 dan dijatuhi hukuman mati.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Taman Mount Austin, Johor Bahru, Johor pada 12.45 tengah hari pada 15 September 2016.

    Peguam yang ditugaskan oleh mahkamah Muhammad Abd Kadir telah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan Khee Sen telah berada di penjara sejak ditangkap dan tidak mempunyai sabitan jenayah lain.

    Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke berkata melihat kepada trend hukuman bagi kesalahan itu, hukuman penjara yang dikenakan ke atas pesalah adalah antara 18 tahun hingga 20 tahun penjara.

  • Najib beri keterangan kes Shahrir 22 Disember

    Najib beri keterangan kes Shahrir 22 Disember

    DATUK Seri Najib Razak akan memberi keterangan pada 22 Disember ini, dalam kes pengubahan wang haram dihadapi Tan Sri Shahrir Ab Samad, kerana gagal mengisytiharkan pendapatan diterima daripada bekas Perdana Menteri itu, berjumlah RM1 juta.

    Perkara itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin susulan bekas Perdana Menteri itu yang kini dibicarakan untuk kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), disahkan hanya berkelapangan pada waktu berkenaan.

    “Perbicaraan kes Shahrir bersambung esok. Tiada masalah Najib dipanggil hari lain (sepatutnya minggu ini). Esok pihak pendakwaan boleh panggil pegawai penyiasat (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) beri keterangan.

    “Boleh panggil semula kembali pegawai itu jika ada keperluan selepas Najib memberi keterangan pada 22 Disember ini,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian selepas selesai mendengar pemeriksaan semula oleh pihak pendakwaan kes Shahrir, terhadap saksi pendakwaan ke-21 yang juga Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tuan Zulkfli Tuan Lah, hari ini.

    Shahrir, 72, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

    Bekas Pengerusi Felda itu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib, berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Najib, 69, yang kini dipenjara selama 12 tahun pula sedang dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bagi kes 1MDB minggu ini berakhir Khamis ini.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memohon tarikh bicara Shahrir selama dua hari bermula esok dilapangkan berikutan Najib tidak dapat hadir memberi keterangan kerana sedang dibicarakan bagi kes 1MDB.

    “Kami mohon 22 dan 23 Disember bagi Najib beri keterangan kerana beliau lapang pada masa itu.

    “Bagaimanapun, ia terpulang kepada kebijaksanaan dan pertimbangan hakim, selain bantahan pihak pembelaan Shahrir,” katanya.

    Susulan itu, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali mengesahkan kes 1MDB adalah keutamaan Najib pada minggu ini.

    Sementara itu, peguam bela Shahrir Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros tidak bersetuju perbicaraan pada minggu ini ditangguhkan kerana sudah ditetapkan sebelum ini.

    “Semakin lama kes ini berlarutan, semakin lama anak guam terpaksa hadir ke mahkamah walaupun ada isu peribadi termasuk anak sakit di hospital.

    “Boleh panggil dahulu pegawai penyiasat memberi keterangan supaya tidak membuang masa mahkamah,” katanya.

    Rasyidah Murni kemudian memaklumkan mahu memberi laluan kepada Najib untuk memberi keterangan sebelum pegawai penyiasat itu membuat perkara sama.

    “Kami tiada niat untuk lengahkan kes. Kami sudah melakukan sedaya upaya untuk panggil Najib beri keterangan minggu ini,” katanya.

    Atas sebab itu, Syed Faisal Al-Edros mencadangkan pegawai penyiasat memberi keterangan minggu ini dan boleh dipanggil semula selepas Najib berbuat demikian jika mempunyai keperluan.

  • Operator kilang warga Bangladesh mohon maaf kepada Malaysia

    Operator kilang warga Bangladesh mohon maaf kepada Malaysia

    SEORANG lelaki warga Bangladesh didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Klang, hari ini, atas pertuduhan sengaja mengaibkan dan membangkitkan kemarahan seorang individu warga tempatan, yang diketahui akibatnya akan memecahkan keamanan awam pada November lalu.

    Majistret P Sarulatha menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Hosin Ab Diplap, 27, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Lapor Berita Harian, mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjarakan selama lima bulan jika gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda berkenaan.

    Mengikut kertas pertuduhan, Hosin didakwa dengan sengaja mengaibkan dan membangkitkan kemarahan seorang lelaki berusia 29 tahun, yang mana tertuduh mengetahui akibatnya akan memecahkan keamanan awam.

    Tertuduh yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang, dekat sini, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Bukit Raja, di sini, kira-kira pukul 12.40 tengah hari 26 November lalu.

    Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan membabitkan penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Jannah Aimi, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh berikutan tindakannya yang tidak menghormati Malaysia.

    Beliau menjelaskan, hukuman itu adalah untuk memberi pengajaran kepada tertuduh, manakala Hosin yang tidak diwakili peguam pula memohon maaf kepada Malaysia atas tindakannya. Malah, tertuduh turut menyatakan dirinya menyukai dan sayangkan negara ini.

    Pada 27 November lalu, media melaporkan seorang lelaki warga Bangladesh ditahan kerana didakwa memasang Jalur Gemilang secara terbalik di luar unit kediamannya.

    Tindakan lelaki itu yang disifatkan sebagai biadab, turut ditegur Pengerusi Komuniti pangsapuri berkenaan tetapi dia didakwa berdegil menyebabkan penduduk membuat laporan polis.

  • Penganggur miliki dadah dipenjara lima tahun, 10 sebatan

    Penganggur miliki dadah dipenjara lima tahun, 10 sebatan

    SEORANG penganggur yang pernah menerima hukuman atas beberapa kesalahan berkaitan dadah dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini.

    Tertuduh, Rosli Mohamad Jaafar, 41, mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Norma Ismail, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, pada 20 Julai lalu pukul 8 pagi di tangki air Felda Lui Muda didapati dalam milikannya dadah berbahaya yang mengandungi 11.2 gram Heroin dan Monoacetylmorphines.

    Berikutan itu tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Wanita didakwa ubah wang haram RM12,000 menerusi penjualan bayi

    Wanita didakwa ubah wang haram RM12,000 menerusi penjualan bayi

    SEORANG wanita warga emas yang juga bekas guru tuisyen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram menerusi aktiviti penjualan seorang bayi perempuan sebanyak RM12,000 tahun lalu.

    Tertuduh, Jamaliah Ahmad, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

    Mengikut pertuduhan, Jamaliah telah menerima wang tunai berjumlah RM12,000 yang merupakan hasil aktiviti haram di lobi sebuah hotel di Jalan Penang kira-kira pukul 7 malam, 15 Disember 2021.

    Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2021.

    Kesalahan tersebut memperuntukan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa telah mengiklankan di laman sosial Facebook dalam ‘’Group Pencarian Anak Angkat’ kepada pasangan-pasangan yang ingin mencari anak angkat.

    Pada 15 Disember 2021, tertuduh didakwa menjual bayi tersebut dengan harga RM12,000 kepada pasangan suami isteri dari Terengganu yang berminat mengambil bayi berkenaan sebagai anak angkat.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong manakala tertuduh diwakili peguam, MD. Yusuf MD. Idrdsrhd

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap 1 haribulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan kes selesai.

    Mahkamah turut menetapkan 13 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Mahkamah Persekutuan kekal hukuman mati dua anggota SMART

    Mahkamah Persekutuan kekal hukuman mati dua anggota SMART

    DUA anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan, bagi mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap mereka atas kesalahan membunuh seorang operator kolam ikan, tujuh tahun lepas.

    Panel tiga hakim yang bersidang iaitu Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, sebulat suara menolak rayuan Syazwan Saad dan Iskandar Zulkarnain Abdul Manaf, terhadap sabitan dan jatuh hukuman terhadap mereka.

    Hakim Abdul Rahman yang mempengerusikan sidang itu berkata adalah menjadi dapatan mahkamah bahawa, keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan oleh pendakwaan mencukupi untuk membuktikan kesalahan kedua-dua lelaki itu bagi pembunuhan tersebut.

    “Setelah membuat pertimbangan yang teliti, kami yakin bahawa Mahkamah Rayuan adalah tepat dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

    Syazwan, 36, dan Iskandar, 35, didapati bersalah dan dijatuhkan hukukan mati oleh Mahkamah Tinggi pada 30 Ogos 2016 kerana membunuh Alias Mat Noor, 52, di Lombong Tembatan Banjir, Lingkaran Putrajaya, Cyberjaya, Sepang, Selangor antara 11 malam pada 7 Julai 2015 dan 6 petang 10 Julai 2015.

    Rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 20 Okt tahun lepas juga ditolak, sebelum mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

    Mengikut fakta kes, pada 8 Julai 2015, si mati sepatutnya mengambil anak lelakinya untuk ke kebun duriannya, namun beliau tidak tiba. Anak lelakinya cuba untuk menghubungi beliau dan telah pergi mencari lelaki itu sepanjang hari, namun gagal.

    Pada 10 Julai 2015, pihak polis menerima maklumat bahawa satu mayat yang tidak dikenali ditemukan terapung di kolam tebatan banjir.

    Beberapa hari kemudian, anak lelaki dan wanita si mati telah mengenal pasti mayat itu sebagai bapa mereka di Hospital Serang.

    Abang mangsa yang bekerja di kebun durian milik lelaki itu, telah memberikan keterangan bahawa beliau telah melihat Alias bersama dua lelaki yang tidak dikenali pada 7 Julai 2015, dalam sebuah Pajero berwarna merah.

    Seorang lagi saksi pendakwaan yang merupakan pegawai penyelia Iskandar, memberikan keterangan bahawa beliau telah menerima mesej Whatsapp daripada Lim Chun Jie, yang mengandungi maklumat kad pengenalan mangsa dan mesej menyatakan “kasi settle”.

    Lim, seorang pengurus pemasaran, 31, dituduh bersubahat dengan Syazwan dan Iskandar untuk melakuan pembunuhan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama.

    Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya, namun Mahkamah Rayuan membebaskan dan melepaskan beliau. Pihak pendakwaan tidak merayu keputusan tersebut.

    Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Kee Wei Lon mewakili Syazwan manakala Peguam Andrew Lourdes mewakili Iskandar.

    Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Natchiar dan Aida Khairuleen Azli hadir bagi pihak pendakwaan. – BERNAMA

  • Menyamar peguam dan mencuri, bekas banduan dipenjara 18 bulan, 2 sebatan

    Menyamar peguam dan mencuri, bekas banduan dipenjara 18 bulan, 2 sebatan

    SEORANG bekas banduan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Taiping hari ini selepas mengaku salah menipu dengan menyamar sebagai peguam, Ogos lalu.

    Majistret Nur Atiqah Sapari menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, P. Maniarasan, 28, membuat pengakuan tersebut, lapor Astro Awani.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki dengan memperdaya kononnya dia seorang peguam bertauliah yang menjanjikan khidmat perundangan tidak wujud sehingga mendorong mangsa memberikan wang RM2,234 secara pindahan ke akaun bank.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu individu sama dengan mendorongnya memberikan wang tunai RM882, kedua-dua kesalahan itu dilakukan pukul 1.51 petang pada 12 Ogos dan 5 petang, 8 Ogos lalu.

    Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama serta penjara 18 bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

    Majistret Nur Atiqah Sapari bagaimanapun memerintahkan hukuman tersebut dijalankan serentak bermula Khamis lalu.

    Pada prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas tuduhan mencuri dua utas rantai milik dua wanita dalam bangunan yang dijadikan tempat kediaman di Jalan Azizul Rahman, Ipoh, antara pukul4 petang pada 2 Mei hingga 3 pagi, 5 Mei lalu.

    Dia yang didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dijatuhi hukuman penjara satu tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 23 November lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala Maniarasan diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK), T Selva.

  • Juruteknik penerbangan didenda RM7,000 hantar komunikasi lucah

    Juruteknik penerbangan didenda RM7,000 hantar komunikasi lucah

    PADAH membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah menerusi aplikasi WhatsApp, seorang juruteknik syarikat penerbangan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini.

    Mohd Redzuan Mohd Radzir, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa secara sedar melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang individu dengan niat menyakiti hati orang lain, yang dibaca di sebuah pejabat di Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam, kira-kira 11.30 pagi, 7 Feb 2018.

    Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

    Mohd Redzuan membayar denda yang diputuskan Hakim Rasyihah Ghazali itu.

    Mengikut fakta kes, pengadu membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas berasa sakit hati kerana komunikasi yang dihantar OKS menunjukkan gambar isteri pengadu dalam keadaan mengaibkan.

    Bertindak daripada aduan tersebut, sepasukan anggota polis dan pegawai MCMC membuat serbuan di beberapa lokasi serta merampas barangan juruteknik itu, antaranya telefon bimbit dan komputer riba, dan menemukan komunikasi lucah berkenaan hasil analisis forensik.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MCMC Nur Nazhzilah Mohammad Hashim manakala OKS diwakili peguam Swinder Singh Ram Singh.

  • Ahli pernigaan bebas pertuduhan terima wang deposit hampir RM1 juta tanpa lesen sah

    Ahli pernigaan bebas pertuduhan terima wang deposit hampir RM1 juta tanpa lesen sah

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini membebaskan seorang ahli perniagaan daripada pertuduhan menerima wang deposit  hampir RM1 juta tanpa lesen sah daripada seorang pakar perunding kardiologi.

    Hakim Datin Sabariah Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap T. Harikumar, 44.

    Dalam penghakimannya, Sabariah berkata mahkamah berpuas hati bahawa wujud keterangan berdokumen yang jelas menyokong pembelaan iaitu wang tersebut adalah bertujuan untuk mengembangkan perniagaan Harikumar.

    “Pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pertuduhan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

    Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi manakala Harikumar diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran, Datuk C. Vignesh Kumar, Daniel Annamalai dan Yaw Xinying.

    Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang berlangsung selama empat hari bermula 18 Ogos lepas.

    Harikumar, yang juga pemberi pinjam wang, didakwa menerima wang deposit berjumlah RM999,500 daripada Dr. Peter Jebaseelan Jesudason tanpa memiliki lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Abdullah, Bangsar di Kuala Lumpur antara 1 Ogos 2018 dan 26 Feb 2019 mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

  • Siti Bainun gagal dapatkan rakaman percakapan saksi

    Siti Bainun gagal dapatkan rakaman percakapan saksi

    PENGASAS Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali gagal dalam permohonan untuk mendapatkan rakaman percakapan 15 saksi yang ditawarkan pihak pendakwaan.

    Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati rakaman percakapan itu dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang, lapor Sinar Harian.

    Berita lanjut menyusul…