Category: Mahkamah

  • Tiga pembantu kesihatan dipenjara sehari, denda terima rasuah urus jenazah

    Tiga pembantu kesihatan dipenjara sehari, denda terima rasuah urus jenazah

    TIGA pembantu perawatan kesihatan di Hospital Kajang dipenjara sehari dan denda masing-masing antara RM3,000 dan RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

    Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Sharum Hassim, 42, Muhd Azhar Nahar, 45, dan Mohd Nizam Noordin, 42, selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 kepada Sharum manakala Azhar dan Nizam masing-masing didenda RM5,000.

    Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki terbabit menjalani hukuman penjara tersebut bermula hari ini dan dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu.

    Mengikut pertuduhan pilihan, Sharum, Azhar dan Nizam yang merupakan pembantu perawatan kesihatan di Unit Forensik Hospital Kajang, masing-masing menerima wang berjumlah antara RM300 dan RM600 daripada Nur Azlan Azmi melalui akaun mereka tanpa sebarang balasan daripada Nur Azlan yang diketahui olehnya ada kaitan dengan tugas rasmi tertuduh iaitu bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

    Sharum didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Taman Ria Jaya Sungai Petani, Kedah manakala Azhar dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Kajang, Hulu Langat dan Nizam pula dituduh melakukan kesalahan itu di Bank Islam Cawangan Kajang, Hulu Langat. 

    Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 21 Mei hingga 9 Dis 2020. 

    Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman manakala ketiga-tiga lelaki itu diwakili peguam Mohd Fikah Sanusi. – BERNAMA

  • PU Azman didakwa lagi, sudah kena 12 tuduhan jenayah seksual

    PU Azman didakwa lagi, sudah kena 12 tuduhan jenayah seksual

    PENDAKWAH selebriti, Azman Syah Alias, yang lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada 2017.

    Azman, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Rasyihah Ghazali.

    Lapor Berita Harian, mengikut pertuduhan, tertuduh yang turut dikenali sebagai Cik Man, didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah inap desa di Jalan Kebun dekat sini pada September 2017.

    Dengan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

    Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan lain-lain saksi pendakwaan.

    Peguam bela, Fahmi Adilah, memohon jaminan tidak terlalu tinggi dikenakan atas faktor kewangan tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan ketika ini selepas siasatan dilakukan terhadapnya sejak September lalu.

    Katanya, tertuduh juga sudah membayar jaminan keseluruhan RM74,000 bagi pertuduhan-pertuduhan di Mahkamah Seremban; Mahkamah Klang dan Mahkamah Ampang.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi kes serta melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Januari depan.

    Semalam, lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang dengan satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun.

    Pada 7 Disember lalu, PU Azman didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Klang atas empat pertuduhan melakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau pada tiga remaja lelaki tahun ini.

    Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada tahun sama pada 12 Oktober.

    PU Azman tidak mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan berkenaan.

  • Bekas guru besar SRA didakwa terima rasuah RM164,800

    Bekas guru besar SRA didakwa terima rasuah RM164,800

    BEKAS guru besar Sekolah Rendah Agama (SRA) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini dengan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM164,800 pada 2019 dan 2021.

    Lapor Berita Harian, suapan itu adalah bagi kerja selenggara dan naik taraf bangunan serta infrastruktur SRA dalam daerah Petaling dan Kuala Selangor.

    Kamaludin Sahlan, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Mengikut kertas pertuduhan, Kamaludin, yang sebelum ini bertugas di sebuah SRA di daerah Petaling, didakwa meminta 11 peratus daripada nilai projek dan menerima RM164,800 menerusi pindahan atas talian ke akaun bank miliknya daripada seorang lelaki berusia 52 tahun.

    Ia sebagai dorongan serta membantu individu berkenaan mendapatkan kerja selenggara dan naik taraf bangunan serta infrastruktur SRA dalam daerah Petaling dan Kuala Selangor.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta yang sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Seri Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat dan di sebuah cawangan bank di Kota Kemuning, Shah Alam, di antara Mei 2019 hingga April 2021.

    Difahamkan, Kamaludin sudah dipindahkan ke Unit Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

    Pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa, Mohd Aliff Shaharuzaman, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

    Terdahulu, pihak pendakwaan memohon tertuduh dikenakan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

    Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin RM30,000, dengan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Januari depan.

  • Buruh dituduh lakukan amang fizikal terhadap budak perempuan 10 tahun

    Buruh dituduh lakukan amang fizikal terhadap budak perempuan 10 tahun

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan melakukan amang fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun, dua minggu lalu.

    Individu berkenaan yang berusia 56 tahun dan mempunyai lima anak, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan
    dibacakan jurubahasa di depan Hakim, Jean Sharmila Jesudason.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bahagia, Mukim Guar Kepayang di Pendang kira-kira pukul 8.40 malam, 10 Disember lalu.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan maksud seksual memegang dada kanak-kanak tersebut yang difahamkan memiliki hubungan persaudaraan dengannya.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan disebat.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nor Syaliati Mohd. Sobri manakala tertuduh tidak diwakili
    peguam.

    Mahkamah menetapkan kadar jaminan sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Hakim turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa.

    Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Januari depan.

  • Bicara kes Shahrir: Najib tidak bersedia, mohon beri keterangan 5 Jan

    Bicara kes Shahrir: Najib tidak bersedia, mohon beri keterangan 5 Jan

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak bersedia untuk memberikan keterangan pada perbicaraan kes Tan Sri Shahrir Ab Samad hari ini tanpa kehadiran peguamnya.

    Najib, 69, yang merupakan saksi pendakwaan ke-23 berkata beliau tidak bersedia memberikan keterangan secara lisan tanpa kehadiran peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bertindak sebagai peguam pemerhati.

    “Saya mohon keterangan saya diberikan pada 5 Jan depan dan pada masa itu peguam saya (Muhammad Shafee) ada kerana adalah penting untuk peguam saya ada bersama saya. Dia (Muhammad Shafee) berada di luar bukan di Kuala Lumpur, jadi dia tidak dapat hadir hari ini,” kata Najib yang hadir memakai sut berwarna biru.

    Najib berkata demikian pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada beliau (Najib) melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memohon pertimbangan daripada mahkamah kerana Najib tidak dapat memberikan keterangan tanpa kehadiran peguamnya.

    Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir tidak membantah perkara itu.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian memerintahkan Najib hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangannya pada 5 Jan depan.

    Perbicaraan kemudian bersambung dengan saksi pendakwaan ke-22, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nurzahidah Yacop disoal balas pihak pembelaan.

    Shahrir, 73, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

    Bekas Pengerusi Felda itu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Mahkamah keluarkan waran tangkap terhadap Emilia

    Mahkamah keluarkan waran tangkap terhadap Emilia

    MAHKAMAH Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini sekali lagi mengenakan waran tangkap terhadap bekas isteri ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, Emilia Hanafi kerana gagal hadir dalam prosiding lawatan tiga anaknya.

    Ketika dihubungi, peguam syarie, Ummi Kartini yang mewakili SM Faisal berkata, mahkamah mengeluarkan waran itu selepas Emilia selaku responden bersama peguam syarienya, Nazri Yahya tidak hadir tanpa sebab.

    Ekoran perkara itu beliau berkata, prosiding yang dijadualkan berlangsung awal pagi, tertunda sehingga pukul 1 tengah hari kerana menunggu kehadiran responden, lapor Sinar Harian.

    Semasa prosiding di hadapan Hakim Syarie, Azzeman Omar, beliau menghujahkan bahawa responden dan peguamnya gagal untuk hadir biarpun tarikh prosiding lalu, pada 21 September dihadiri kedua-dua pihak.

    Mendengar perkara itu, mahkamah kemudiannya mengeluarkan arahan waran tangkap terhadap Emilia.

    Turut mewakili ahli perniagaan itu ialah peguam syarie, Izzah Shakirah.

    Difahamkan, ini merupakan waran tangkap kedua dikeluarkan mahkamah sama terhadap Emilia.

    Pada 27 Jun lalu, Emilia, 43, menjalani hukuman penjara tujuh hari di Penjara Kajang, kerana gagal mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung tarikh lawatan tiga anaknya.

    Keesokkan hari, Emilia memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur yang menjatuhi hukuman penjara berkenaan.

  • Saman fitnah: Rafizi diarah fail pernyataan pembelaan selewatnya 28 Dis ini

    Saman fitnah: Rafizi diarah fail pernyataan pembelaan selewatnya 28 Dis ini

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjawab saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadapnya, selewat-lewatnya 28 Dis ini.

    Tuan Ibrahim selaku plaintif memfailkan saman pada 17 Nov lepas terhadap Rafizi berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur fitnah mengenai kelulusan beberapa projek termasuk projek tebatan banjir kepada sebuah syarikat.

    Peguam Yusfarizal Yussoff mewakili Tuan Ibrahim berkata mahkamah juga mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan sebelum atau pada 11 Jan tahun depan.

    “Sekiranya terdapat permohonan interlokutori, kedua-dua pihak perlu memfailkannya sebelum pengurusan kes pada 25 Jan 2023,” katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Idamasliza Maarof secara dalam talian hari ini.

    Dalam saman itu, Tuan Ibrahim mendakwa Timbalan Presiden PKR itu mengeluarkan kenyataan fitnah pada dua sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya dan kenyataan itu turut disiarkan secara langsung di YouTube defendan (Mohd Rafizi) pada 7 dan 9 Nov lepas.

    Timbalan Presiden PAS itu mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud dalam tempoh kerajaan sementara, terdapat rundingan, perbincangan dan usaha melibatkan plaintif giat dijalankan bagi meluluskan projek bernilai RM2 bilion kepada syarikat Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus untuk kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat.

    Sehubungan itu, Tuan Ibrahim memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan, ejen atau pembantunya menyiarkan dan menerbitkan apa-apa kenyataan serta video serupa secara langsung atau tidak langsung selain menuntut ganti rugi am, teladan dan keterlaluan.

  • Kes Ebit Lew: Kumpulan WhatsApp NOBODY tidak lagi aktif – Firdaus Wong

    Kes Ebit Lew: Kumpulan WhatsApp NOBODY tidak lagi aktif – Firdaus Wong

    KUMPULAN WhatsApp yang dikenali sebagai NOBODY tidak lagi aktif selepas kesemua aduan mangsa dikendalikan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung.

    Firdaus yang juga saksi pendakwaan kes seksual melibatkan pendakwah bebas, Ebit Lew itu berkata demikian ketika sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria di Mahkamah Tenom, Tenom, hari ini.

    Merujuk kepada jawapannya sebelum ini yang menyatakan tidak bersetuju penubuhan kumpulan Whatsapp NOBODY adalah tidak selaras dengan prinsip pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskannya, Multiracial Reverted Muslim (MRM), Firdaus berkata, kenyataan terbabit diberikan kerana antara prinsip-prinsip organisasi berkenaan adalah semua perkara dilakukan hendaklah mematuhi syariat Islam.

    “Selain itu, ia juga haruslah tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

    “Maka penubuhan NOBODY adalah selaras dengan MRM disebabkan tujuannya ialah bagi mendapatkan nasihat daripada penasihat agar setiap yang dibuat selari dengan ajaran Islam,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani

    Terdahulu pada perbicaraan hari pertama semalam, Firdaus memaklumkan mahkamah, beliau ada melihat beberapa mesej serta gambar lucah secara terus daripada telefon bimbit milik ‘pengadu’ (identiti tidak didedahkan) yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp.

    Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung, 39, berkata, semua mesej dan gambar berkenaan dilihat sendiri olehnya apabila bertemu dengan ‘pengadu’ dan suami selepas laporan polis dibuat pada 7 Ogos 2021.

    Ebit pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di Tenom.

    Menerusi pertuduhan berkenaan, Ebit didakwa menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.

    Ebit dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

  • Pendakwaan bantah sekat media lapor perkataan sensitif dalam kes Ebit Lew

    Pendakwaan bantah sekat media lapor perkataan sensitif dalam kes Ebit Lew

    PIHAK pendakwaan dalam kes pendakwah terkenal, Ebit Lew membantah permohonan daripada peguam bela untuk media melaporkan perkataan sensitif yang diberitahu dalam mahkamah sepanjang prosiding kes itu berlangsung.

    Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dalam hujahannya berkata, pihak pendakwaan berpandangan sama dengan mahkamah bahawa kes itu dibicarakan dalam mahkamah awam dan media mempunyai hak untuk melaporkannya.

    “Bukti diberikan di dalam mahkamah awam. Media tidak boleh bersifat selektif untuk memilih atau memutuskan apa perkara yang sensitif kepada tertuduh atau pengadu.

    “Jadi kami tidak bersetuju dengan permintaan itu,” katanya sebelum pemeriksaan balas terhadap saksi ketiga, Firdaus Wong diteruskan, hari ini.

    Berdasarkan hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah memutuskan tidak melayan permohonan perintah larangan yang dikemukakan pihak pembelaan.

    Sebelum itu, peguam bela, Ram Singh yang mewakili Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim memohon mahkamah untuk mendapatkan perintah larangan terhadap media supaya tidak melaporkan kenyataan atau bukti yang sensitif dalam mahkamah.

    “Anak guam saya menunjukkan kebimbangan mengenai publisiti dalam media berkenaan kenyataan yang disebut dalam keterangan mengenai kes ini semasa dalam perbicaraan semalam (Selasa).

    “Saya memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah larangan (gag order) untuk tidak dilaporkan kenyataan atau bukti yang sensitif di dalam mahkamah.

    “Ini kerana sebahagian daripadanya menyakiti pengadu dalam kes ini dan juga menganggu emosi tertuduh,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum itu, Ebit, 37, diwakili barisan peguamnya iaitu Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

    Ebit berhadapan dengan berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

  • Tukang tilik warga India dituduh tipu lebih RM500,000

    Tukang tilik warga India dituduh tipu lebih RM500,000

    SEORANG tukang tilik warga India didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas dakwaan menipu seorang kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit.

    Bagaimanapun, tertuduh, N. Prakash, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menipu M. Punitha, 59, dengan memperdaya wanita itu untuk mempercayai bahawa dia boleh mengubati penyakit dan menilik nasib hingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM516,450.

    Kesalahan itu dilakukan antara 23 Mac hingga 18 Oktober lalu di No. 20 Lorong Perda Selatan 2, Bandar Perda, Bukit Mertajam.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun selain disebat dan dikenakan denda.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam, R. Kumarappan.

    Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan pasport miliknya diserahkan kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri setiap Isnin, dua minggu sekali kepada pengawai penyiasat sehingga kes tersebut selesai.

    Mahkamah turut menetapkan 31 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

    Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang tukang tilik diculik oleh sekumpulan individu kerana terlibat dengan unsur penipuan sebelum diselamatkan sepasukan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kulim, Kedah pada 11 November lalu.

    Ketika diselamatkan, lelaki tersebut dalam keadaan masih dirantai di bahagian kaki serta mengalami luka sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

    Menurut polis, suspek yang menculik tukang tilik itu juga telah menghubungi keluarga lelaki terbabit dan meminta wang tebusan sebanyak RM700,000.