Category: Mahkamah

  • Lima termasuk remaja didenda RM1,000 seorang kerana merusuh

    Lima termasuk remaja didenda RM1,000 seorang kerana merusuh

    MAHKAMAH Majistret Ayer Keroh hari ini menjatuhkan hukuman didenda RM5,000 terhadap lima rakan termasuk remaja perempuan atas kesalahan merusuh sehingga menyebabkan kecederaan seorang lelaki, 10 Disember lalu.

    Setiap tertuduh masing-masing didenda RM1,000 iaitu Nur Aishah Mohammad Najib, 21, Muhammad Asyraf Mohd Ali, 21, Hafizul Fazrin Abdul Hakim, 22, Ahmad Thahaa Jasni, 21, dan Muhammad Safuan Mohamed Taib, 25.

    Hukuman tersebut dijatuhkan selepas semua tertuduh membuat pengakuan bersalah itu sejurus dibacakan pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah.

    Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan dan mensabitkan semua tertuduh, serta menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

    Beliau turut memerintahkan setiap tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda. Semua tertuduh membayar denda berkenaan.

    Mengikut pertuduhan, semua tertuduh bersama-sama rakan sejenayah yang masih bebas sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dalam melaksanakan tujuan bersama didapati kekerasan digunakan oleh seorang atau lebih daripada mereka hingga menyebabkan kecederaan terhadap pengadu berusia 17 tahun.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang Besar, dekat sini, kira-kira jam 10 malam, pada 10 Disember lalu, lapor Berita Harian.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 147, Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Mengikut fakta kes, pengadu berjumpa dengan semua tertuduh di lokasi kejadian sebelum dipukul secara beramai-ramai oleh semua tertuduh dan rakan sejenayah yang masih bebas kerana disyaki pengadu merogol kenalan tertuduh.

    Terdahulu, semua tertuduh diwakili peguam, Ishak Mohd Kari memohon dikenakan hukuman denda yang ringan mengambil kira semua mereka mengaku bersalah sejurus dibacakan pertuduhan.

    Peguam juga berhujah bahawa semua tertuduh mendapat pengajaran sepanjang tiga hari berada dalam reman dan berjanji tidak mengulangi kesalahan pada masa depan selain bekerja dengan pendapatan rendah.

    Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh dan masyarakat untuk tidak mengulangi kesalahan sama.

  • Watie diperintah bayar lebih RM2,000 sebulan lunas hutang RM796,000 kepada Hana Elite

    Watie diperintah bayar lebih RM2,000 sebulan lunas hutang RM796,000 kepada Hana Elite

    DUA bekas anggota kumpulan Elite, Hana dan Watie hari ini setuju untuk menyelesaikan secara baik pertikaian saman penghutang penghakiman membabitkan kedua-dua belah pihak yang sudah berlarutan sejak lapan tahun lalu.

    Hana atau nama sebenarnya Norhanasafiza Mat Adnan memfailkan saman penghutang penghakiman itu pada 18 Mei 2017 susulan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang pada 10 Mac 2015 dalam kes saman induk yang memerintahkan Watie membayar ganti rugi berjumlah RM707,351.83.

    Ganti rugi itu dituntut Hana kerana mendakwa Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali gagal menjelaskan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya untuk membeli kereta Toyota Wish.

    Melalui persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak hari ini, Watie yang kini aktif berlakon drama bersetuju membuat pembayaran ansuran lebih RM2,000 sebulan sehingga penyelesaian penuh hutang berjumlah RM796,000 termasuk faedah kepada Hana.

    Peguam Mohd. Fikri Abd. Rahman yang mewakili Hana ketika ditemui pemberita berkata Hakim Mahkamah Sesyen Nor Rajiah Mat Zin merekodkan penghakiman persetujuan seperti dipersetujui kedua belah pihak dalam kamar hakim hari ini.

    Menurut peguam itu, pembayaran yang dipersetujui itu adalah seperti yang diperintahkan mahkamah sama pada 25 Oktober 2017, tetapi Watie selaku penghutang penghakiman beberapa kali tertangguh membuat pembayaran, berkemungkinan disebabkan oleh pandemik COVID-19.

    “Saya meminta supaya kes ini tidak dipanjangkan sebab Watie sudah bersetuju membuat pembayaran dan anak guam saya (pemiutang penghakiman) bersetuju menerima jumlah yang dicadangkan oleh penghutang penghakiman.

    “Hana juga kehilangan kerja dan mungkin disebabkan itu, beliau agak beremosi terapi perkara ini akhirnya dapat diselesaikan secara baik dengan terma dipersetujui, …saya minta supaya kes ini tidak dipanjangkan kerana anak guam saya setuju menerima jumlah yang dicadangkan Watie.

    “Masing-masing memerlukan sumber kewangan dan Hana mengharapkan kepada kes ini untuk Watie membayar (hutang), namun bayaran itu tertangguh. Alhamdulillah, kita dapat selesaikan secara baik dan peguam juga berbincang mencari jalan terbaik,” katanya, lapor Berita Harian.

    Menerusi prosiding itu, Watie diwakili peguam Aqila Zulaiqha Zulkifli. Kedua-dua mereka tidak hadir di mahkamah.

    Dalam saman penghutang penghakimannya itu, Hana turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah waran tangkap jika Watie gagal hadir ke mahkamah untuk memberi penjelasan kegagalannya membayar hutang itu.

    Dalam pernyataan tuntutannya melalui saman induk, Hana berkata, beliau membuat pinjaman bank sebanyak RM150,000 untuk membeli kenderaan terbabit pada September 2005 untuk Watie kerana Watie tidak layak membuat pinjaman.

    Menurut Hana, selepas memiliki kenderaan itu, Watie gagal mematuhi syarat ditetapkan termasuk tidak membuat bayaran ansuran sejak September 2010 kepada pihak bank yang menyebabkan beliau (Hana) diisytiharkan muflis pada 1 April 2013.

  • Kes rasuah RM2.8 juta: Selasa depan tentukan tarikh bela diri Bung Moktar, Zizie Ezette

    Kes rasuah RM2.8 juta: Selasa depan tentukan tarikh bela diri Bung Moktar, Zizie Ezette

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur akan menetapkan pada Selasa depan tarikh perbicaraan bela diri Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

    Peguam mewakili Zizie Izette, Datuk K. Kumaraendran, berkata tarikh itu akan diputuskan Hakim Rozina Ayob yang memerintahkan pasangan terbabit membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    “Saya tidak tahu lagi bila prosiding bela diri itu. Saya akan hadir mahkamah pada 3 Januari depan dan di sana akan diputuskan tarikh terbabit. Saya juga ingin memaklumkan pihak pembelaan tidak membuat sebarang permohonan baharu menjelang pendengaran minggu depan,” katanya kepada BH, hari ini.

    Pada 9 Disember lalu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Zizie Izette gagal menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga tuduhan rasuah.

    Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid, dilaporkan membenarkan bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How terhadap permohonan semakan yang difailkan pasangan itu.

    Pada 17 Oktober lalu, Chin How mengemukakan bantahan terhadap permohonan itu dengan alasan semakan berkenaan tidak sepatutnya difailkan melalui notis usul.

    Kaedah pemfailan notis usul itu didakwa salah dan bertentangan Seksyen 35 serta 36 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dibaca bersama Seksyen 325 dan 326 Kanun Acara Jenayah.

    Pada 2 September lalu, Bung Moktar, 64, diperintah membela diri atas tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA itu didakwa menerima rasuah daripada perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.

    Bung Moktar juga perlu membela diri atas tuduhan menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada seorang lagi perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.

    Zizie Izette, 44, pula diarah membela diri atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung tuduhan sama di tempat, tarikh dan masa sama.

    Seramai 30 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula 2 Januari 2020.

    Saksi termasuk bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; bekas Pengurus Besar Pelaburan FELCRA, Adnan Yusof; Ahli Lembaga Pengarah FELCRA, Dr. Habibah Suleiman dan dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad terbabit.

  • Peguam mengaku tidak bersalah gubah wang haram RM937,000

    Peguam mengaku tidak bersalah gubah wang haram RM937,000

    SEORANG peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tujuh pertuduhan terlibat dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM937,000, lima tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd. Zawahid Ya, 47, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid, lapor Sinar Harian.

    Mengikut semua pertuduhan, dia didakwa mengeluarkan cek berjumlah RM937,000 daripada akaun CIMB Bank Berhad milik Tetuan Mohd Zawahid & Co ke beberapa akaun bank milik tertuduh, syarikat dan individu lain.

    Kesalahan didakwa dilakukan CIMB Bank Berhad, cawangan The Strand, Petaling Jaya, di Shah Alam, pada 14 hingga 30 Ogos 2017.

    Tertuduh selaku pemilik kepada Tetuan Mohd Zawahid & Co pada masa kesalahan itu dilakukan, didakwa bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) dan dibaca bersama perenggan 87(1)(a) akta sama.

    Ia membawa hukuman penjara tidak melebihi lima 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffrey Ong mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi kesemua pertuduhan.

    Tertuduh yang diwakili peguam, Dir Kheizwan Kamarudin berkata, meskipun jumlah itu agak berat namun pihaknya menganggap ia adalah munasabah.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Emilia Kaswati membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM28,000 bagi kesemua pertuduhan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    18 Januari tahun depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

  • Lelaki ‘bertelekung’ mengaku salah curi telefon bimbit jemaah wanita

    Lelaki ‘bertelekung’ mengaku salah curi telefon bimbit jemaah wanita

    SEORANG lelaki yang menyamar dengan memakai telekung untuk mencuri di dalam masjid didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan mencuri telefon bimbit milik dua jemaah wanita pada minggu lepas.

    Mohamad Amirul Shafiq Abdullah, 20, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di dua buah masjid di Shah Alam.

    Namun Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menangguhkan hukuman terhadap Mohamad Amirul Shafiq bagi menunggu laporan sosial memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda.

    Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Amirul Shafiq dituduh mencuri sebuah telefon bimbit jenis iPhone X milik Maznah Selamat di Masjid Al-Azhariah, Seksyen 18, Shah Alam pada 6.25 pagi, 20 Dis lepas.

    Bagi pertuduhan kedua, jurujual itu didakwa mencuri sebuah telefon bimbit jenis Samsung Z Flip 3 milik Kasmunah Abd Rahman di Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18, Shah Alam pada 8.50 malam, 20 Dis lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mohamad Redza Azhar menetapkan RM3,000 jaminan bagi setiap pertuduhan dan 17 Jan ini bagi mendengar laporan sosial tersebut.

  • Peniaga mengaku tidak bersalah culik ejen produk kosmetik

    Peniaga mengaku tidak bersalah culik ejen produk kosmetik

    SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas pertuduhan menculik seorang wanita ejen produk kosmetik pada 13 Sept lepas.

    Chek Norhafizzi Chek Nor, 31, didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas menculik Rosnazirah Mohd Nain berusia 36 tahun.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, dekat Tumpat pada  5.06 petang, 13 Sept.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Itah Abu Bakar Adli dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Muhamad.

    Terdahulu, Hajarul Falenna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh telah membawa lari mangsa ke negara Thailand, namun Mohd Firdaus Zainal Abidin memohon mahkamah supaya membenarkan tertuduh dijamin kerana kes itu pramatang kerana belum dibicarakan.

    Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy tidak membenarkan Chek Norhafizzi diikat jamin kerana kes itu berisiko berikutan membabitkan nyawa orang lain dan dilakukan secara kumpulan serta berkemungkinan dirancang.

    “Jika diberikan jaminan kemungkinan tertuduh melarikan diri itu tinggi,” kata hakim yang kemudiannya menetapkan 20 Jan ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan penetapan tarikh bicara.

    Media sebelum ini melaporkan, Rosnazirah dilarikan sekumpulan lelaki dengan sebuah kereta dan ada penduduk mendakwa melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui pada 13 Sept lepas.

  • Kematian isteri dan anak akibat nahas, lelaki gagal saman LPT

    Kematian isteri dan anak akibat nahas, lelaki gagal saman LPT

    MAHKAMAH Sesyen Temerloh menolak saman sivil difailkan seorang lelaki terhadap syarikat konsesi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) susulan kematian anak dan isterinya di Pahang, dua tahun lalu.

    Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim memutuskan Redza Hassan gagal membuktikan tuntutannya terhadap Anih Bhd berdasarkan imbangan kebarangkalian, selepas mendengar keterangan lima saksi.

    Menurutnya, tindakan Redza bergantung kepada laporan media untuk membuktikan kewujudan lopak air di KM119 lebuh raya berkenaan adalah tidak mencukupi.

    Isteri Redza, Norhadiyatul Akma Jaafar maut dalam kemalangan bersama seorang anak mereka, Amer Asyraf, ketika memandu sebuah pikap dari Temerloh ke Kuala Lumpur pada kira-kira 6 petang 2 Februari 2020.

    Tiga lagi anak mereka, Ammar Wafiy, Rania Zulfa dan Adeeb Rayyan yang juga berada dalam kenderaan itu, bagaimanapun terselamat.

    “Berdasarkan keterangan lima saksi ini, mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan kecuaian di pihak pemilik konsesi lebuh raya dalam menyenggara lebuh raya berkenaan,” kata Che Wan Zaidi dalam penghakiman yang dibacakan secara dalam talian, lapor Free Malaysia Today.

    Katanya, dua saksi iaitu seorang anggota polis dan pegawai penyiasat, telah memberi keterangan bahawa tiada bukti menunjukkan kehadiran lopak di tempat kejadian seperti didakwa, yang bertentangan dengan laporan media.

    Sebaliknya, katanya, berdasarkan keterangan pegawai penyiasat, Norhadiyatul lebih berkemungkinan hilang kawalan terhadap kenderaannya akibat cara pemanduannya ketika hujan.

    Che Wan Zaidi turut tidak mengambil kira lima laporan media mengenai kemalangan di bahagian lain lebuh raya berkenaan kerana tidak relevan dengan kes ini.

    Susulan itu, Redza berkata beliau akan memfailkan rayuan dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM1.8 juta.

    KS Naicker dan Rosmaria Daud mewakili Anih Berhad, manakala Ranizan Mokhtar dan Amirul Faliq mewakili Redza.

  • Duda dipenjara 3 tahun samun warga emas di dobi layan diri

    Duda dipenjara 3 tahun samun warga emas di dobi layan diri

    SEORANG duda dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, selepas mengaku bersalah menyamun seorang wanita warga emas di sebuah dobi layan diri, dua minggu lepas.

    Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas bekas pekerja restoran Mohamed Ghibran Mohamed Yusof, 23, selepas dia mengaku melakukan samun dengan mengambil dan melarikan sebuah beg tangan mengandungi barangan peribadi dan wang tunai RM200, milik seorang pesara kerajaan berusia 64 tahun yang juga seorang ibu tunggal.

    Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa secara tiba-tiba telah merentap beg tangan yang disandang pada bahu kanan wanita itu sebelum melarikannya dengan motosikal semasa mangsa ingin memasukkan kain langsir ke dalam mesin pengering di sebuah kedai dobi di Cheras, di sini pada 7.30 pagi, 11 Dis lepas.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

    Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada dua anak itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 21 Dis lepas.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Izralizam berkata tertuduh tidak sepatutnya mengambil kesempatan melakukan jenayah terhadap ibu tunggal itu yang kematian suami.

    “Kamu masih muda dan tidak mempunyai penyakit, namun kamu memilih untuk melakukan jenayah samun bagi mendapat duit dengan mudah. Cuba bayangkan kalau mangsa itu adalah ibu kamu sendiri yang direntap. Kamu tidak fikirkan perkara itu ketika melakukan jenayah,” kata hakim itu.

    Mohamed Ghibran, yang menangis ketika berada dalam kandang tertuduh berkata, “saya tahu, Yang Arif”.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran supaya tertuduh insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama, manakala Mohamed Ghibran yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menanggung dua anak serta ibu yang sakit.

    “Saya dan isteri telah bercerai dan dua anak kami berada dalam jagaan saya. Saya minta maaf Yang Arif. Saya mohon tidak dipenjarakan kerana saya perlu jaga anak-anak saya,” kata tertuduh dalam nada sebak. – BERNAMA

  • Najib rayu keputusan mahkamah batal samannya terhadap Tommy Thomas

    Najib rayu keputusan mahkamah batal samannya terhadap Tommy Thomas

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan samannya terhadap bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa dengan mendakwanya atas pertuduhan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Peguam Yudistra Darma Dorai yang mewakili Najib ketika dihubungi hari ini berkata notis rayuan itu difailkan pada 22 Dis lepas.

    Peguam Mervyn Lai, mewakili Thomas yang mengesahkan perkara itu berkata, Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh lanjut mengenai perkara berkenaan.

    Pada 25 Nov lepas, Hakim Datuk Ahmad Bache membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman berkenaan selepas mendapati tuntutan saman Najib adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

    Thomas, melalui notis permohonan untuk membatalkan saman itu yang difailkan pada 18 Nov 2021, antara lain mendakwa jika saman Najib diterus dan dibicarakan, ia akan menyebabkan kes jenayah yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi tergendala.

    Najib, yang memfailkan saman itu pada 22 Okt 2021, mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia selari dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

    Najib, 69, mendakwa beliau telah dituduh secara salah di mahkamah dalam kes yang membabitkan 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

    Beliau memohon satu deklarasi bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan ganti rugi RM1.9 juta termasuk fi rundingan untuk pasukan audit bagi menyemak dokumentasi dalam penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya. – BERNAMA

  • 2 didakwa ubah kandungan sistem pengurusan darjah kebesaran Pahang

    2 didakwa ubah kandungan sistem pengurusan darjah kebesaran Pahang

    DUA bekas petugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan mengubah suai kandungan laman web sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat Pahang, yang didakwa dilakukan sejak dua tahun lepas. 

    Mohd Isa Mohd Yusof, 36, yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu operasi dan bekas pembantu tadbir Muhammad Amer Syafeeq Aziz, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Maimoonah Aid. 

    Mohd Isa dari Felda Sungai Panching Timur di sini, membuat pengakuan itu terhadap 26 pertuduhan yang didakwa dilakukan antara 19 Feb 2020 hingga 12 Okt 2021 di Pejabat SUK Pahang di sini, manakala Muhammad Amer Syafeeq didakwa atas tiga pertuduhan antara 18 Ogos 2021 hingga 4 Okt tahun lepas di tempat sama. 

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan nombor pengenalan yang dibekalkan kepada mereka untuk memasukkan nama 29 individu sebagai penerima darjah kebesaran Pahang yang dikurniakan oleh Sultan Pahang ke sistem laman web tersebut tanpa diberi kuasa untuk berbuat demikian.

    Sedangkan semua individu tersebut tidak disenaraikan sebagai penerima darjah kebesaran Pahang yang terlibat iaitu Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang memberikan gelaran Datuk. 

    Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

    Pada prosiding itu, Mohd Isa yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan yang ditawarkan pihak pendakwaan, atas alasan dirinya hanya mampu menyediakan wang RM20,000 bagi semua pertuduhan. 

    Dia yang beberapa kali berkata dirinya tidak mempunyai wang yang banyak juga memaklumkan telah ditukarkan ke jabatan lain. 

    Sementara itu, peguam Noor Azmi Kasani yang mewakili Muhammad Amer Syafeeq merayu jaminan itu dikurangkan kerana kewangan tertuduh yang juga berasal dari Kuantan tidak begitu baik selepas ditamatkan perkhidmatan pada 30 Jun lepas. 

    “Tertuduh kini bekerja secara sambilan dengan pendapatan antara RM500 ke RM700 sebulan. Isterinya juga tidak bekerja dan sedang mengandung, selain mereka turut mempunyai seorang anak,” katanya. 

    Maimoonah membenarkan jaminan RM130,000 bagi Mohd Isa dan RM15,000 terhadap Muhammad Amer Syafeeq, masing-masing dengan seorang penjamin serta menetapkan 13 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen. 

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim. – BERNAMA