Category: Mahkamah

  • Tukang paip tidak mengaku cuba bunuh ahli perniagaan wanita

    Tukang paip tidak mengaku cuba bunuh ahli perniagaan wanita

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang ahli perniagaan hingga parah dan tidak sedarkan diri pada 24 Disember lalu.

    Bagaimanapun tertuduh, Chan Ping Khoon, 32, yang bekerja sebagai tukang paip mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan niat melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang wanita berusia 38 tahun di sebuah syarikat pembekal penapis air di daerah Timur Laut, Georgetown pukul 7.22 malam, 24 Disember tahun lalu.

    Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda dan jika ia menyebabkan cedera hendaklah pemenjaraan yang boleh sampai 20 tahun.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan disebabkan kesalahan serius yang dilakukan tertuduh ke atas mangsa.

    Bagaimanapun, Ping Khoon yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan memandangkan mempunyai banyak tanggungan termasuk isteri dan ibu bapa yang uzur.

    Mahkamah kemudian menetapkan tiada jaminan dibenarkan dan mengarahkan tertuduh melantik peguam selain menetapkan 7 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Akhbar sebelum ini melaporkan seorang ahli perniagaan tidak sedarkan diri dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas parah pada bahagian muka dan mata akibat dipukul dalam kejadian samun pada 30 Disember lalu.

    Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku ketika mangsa berada seorang diri di kedai penapis air di Jelutong dekat Georgetown, sebelum didatangi suspek lelaki terbabit.

    Difahamkan, suspek bertindak memukul mangsa menggunakan objek tumpul pada bahagian muka menyebabkan dia mengalami kecederaan parah.

  • Pengasas Premium Big Blue Taxi mengaku tak salah tipu bekas speaker DUN Melaka

    Pengasas Premium Big Blue Taxi mengaku tak salah tipu bekas speaker DUN Melaka

    PENGASAS Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi Shamsubahrin Ismail hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan menipu menjual kenderaan mewah serta menggunakan gelaran Datuk palsu.

    Tertuduh yang berusia 57 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

    Shamsubahrin dituduh memperdaya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, 62, bagi mendapatkan kenderaan jenis Toyota Alphard model 2019 berharga RM180,000 dan nombor pendaftaran kenderaan khas VVP 7 sehingga mangsa menyerahkan wang tunai RM95,000 yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang kepada tertuduh sekiranya tidak diperdayakan.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Speaker Dewan Negeri, Dewan Undangan Negeri Melaka, Aras 2, Blok Laksamana, Seri Negeri pada 7 Dis 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, Shamsubahrin didakwa menggunakan gelaran dan kehormatan sebagai Datuk untuk tujuan keuntungan peribadi tanpa kebenaran bertulis oleh Ketua Menteri di tempat dan masa yang sama.

    Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) 1981 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 enakmen sama.

    Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak kurang setahun atau maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan.

    Peguam Loh Chon Mee memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh mempunyai empat lagi kes yang masih berjalan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Selangor, membabitkan jumlah jaminan mencecah RM110,000.

    Mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta membenarkan syarat tambahan dimohon pendakwaan dan menetapkan 7 Feb untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – BERNAMA

  • Bung Moktar, isteri sekali lagi berjaya pohon tangguh bicara kes rasuah

    Bung Moktar, isteri sekali lagi berjaya pohon tangguh bicara kes rasuah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini, sekali lagi membenarkan permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk menggantung perbicaraan membela diri pasangan itu atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan itu selepas peguam M. Athimulan memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua anak guamnya memohon untuk menggantung pendengaran kes pembelaan tersebut, sementara menunggu rayuan mereka dilupuskan di Mahkamah Rayuan.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria tidak membantah permohonan Bung Moktar dan Zizie Izette. Sepatutnya, hari ini ditetapkan perbicaraan hari pertama bela diri bagi pasangan suami isteri itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.

    Ini adalah kali kedua Bung Moktar dan Zizie Izette dapat menangguhkan prosiding bela diri selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada 23 Sept tahun lepas, membenarkan permohonan pasangan itu untuk menggantung perbicaraan kes tersebut yang dijadual berlangsung pada hari sama (23 Sept).

    Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 45, merayu terhadap keputusan Azhar pada 9 Dis tahun lepas yang menolak permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

    Menerusi notis usul difailkan pada 22 Dis tahun lepas, Bung Moktar dan Zizie Izette selaku pemohon berkata terdapat keadaan khas atau luar biasa untuk mewajarkan dan menjustifikasikan penggantungan kes bicara di Mahkamah Sesyen sehingga pelupusan rayuan pemohon di Mahkamah Rayuan.

    Kedua-dua pemohon berkata terdapat isu perundangan dalam rayuan mereka yang berkemungkinan besar akan dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan dan sekiranya penggantungan perbicaraan di Mahkamah Sesyen tidak dibenarkan, ia akan mencetuskan ketidakadilan kepada mereka.

    Menurut pasangan itu, jika perbicaraan diteruskan, ia akan menyebabkan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan menjadi akademik.

    Sementara itu, di hadapan Hakim Rozina, Athimulan memberitahu Mahkamah Sesyen berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu dan memaklumkan bahawa pengurusan kes rayuan telah ditetapkan pada 25 Jan ini.

    Bagaimanapun, Rozina mengingatkan semua pihak terlibat agar mengambil langkah positif supaya kes berkenaan dapat diteruskan dengan segera berikutan kes itu diibaratkan sebagai ‘tiada penghujung’ kerana belum selesai sejak 2019.

    “Kes masih tergantung tanpa penghujung. Saya pasti tertuduh-tertuduh juga gelisah untuk mengetahui keputusan kes. Namun, mahkamah menangguhkan prosiding bela diri hari ini dan tarikh perbicaraan pada 9 sehingga 13 Jan ini dilapangkan,” katanya yang menetapkan 27 Jan untuk sebutan kes.

    Pada 2 Sept 2022, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – BERNAMA

  • Pemilik stesen minyak didakwa tipu ahli perniagaan RM2.3 juta

    Pemilik stesen minyak didakwa tipu ahli perniagaan RM2.3 juta

    SEORANG pemilik stesen minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan dan menggunakan dokumen palsu membabitkan kerugian berjumlah RM2.3 juta, tahun lepas.

    Hanafi Husin, 39, didakwa menipu lelaki berusia 34 tahun itu dengan memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang tunai sebanyak tiga kali dan memasukkan wang ke dalam akaun bank sebuah syarikat sebanyak dua kali antara 17 Jun dan 6 Julai tahun lepas, berjumlah RM2.3 juta bagi menjalankan perniagaan minyak diesel secara sah.

    Tertuduh juga didakwa menggunakan satu dokumen palsu iaitu surat persetujuan penjualan rampasan minyak diesel bertarikh 23 Mei 2022 dari pihak pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Johor.

    Dia turut didakwa menggunakan satu dokumen palsu iaitu surat sokongan perlesenan LPG/produk petroleum daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 1, serta surat kapasiti tangki bawah tanah bagi produk diesel/petrol dan sokongan membekal RON 97/diesel bagi premis kawasan perindustrian Pasir Gudang.

    Perbuatan memalsukan dokumen berkenaan didakwa dilakukan syarikat milik tertuduh di kawasan perindustrian Pasir Gudang pada 12 Jun 2022.

    Hanafi didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hayati Muhammad Fathullah manakala   tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

    Hakim Fatimah Zahari membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 bagi keempat-empat pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Jan ini.

  • Bekas ADUN Sedili dibebaskan daripada tuduhan cabul

    Bekas ADUN Sedili dibebaskan daripada tuduhan cabul

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Majistret Muar hari ini melepas dan membebaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita pada Januari tahun lalu.

    Majistret, Analia Kamaruddin membuat keputusan tersebut terhadap Rasman, 54, setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh.

    Menurut Analia, keputusan itu dibuat setelah menilai kebolehpercayaan saksi-saksi pihak pendakwaan secara maksima sepanjang perbicaraan.

    “Oleh yang demikian, tertuduh dilepaskan serta dibebaskan dan wang jaminan dikembalikan semula,” katanya ringkas dalam prosiding berkenaan.

    Prosiding dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd. Yunos manakala Rasman diwakili peguam bela Muhammad Mohd. Nasir, Muhammad Izzad Syafiq Ismail dan Mohamad Alias Rasman.

    Terdahulu, Rasman yang hadir dengan memakai kemeja putih dan kot biru menzahirkan kesyukuran serta perasaan lega atas keputusan adil mahkamah.

    “Syukur yang tidak terhingga terhadap keputusan ini yang dapat menegakkan kebenaran bagi diri saya.

    “Saya menganggap kes ini sebagai suatu siri ujian terhadap saya dan keluarga, namun akan terus komited dalam berbakti kepada rakyat,” ujar Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kota Tinggi itu.

    Sebelum ini empat saksi pendakwaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan yang telah bermula sejak Januari tahun lalu.

    Rasman sebelum ini menghadapi pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 27 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan wanita berkenaan.

    Kesalahan itu dilakukan pada 13 Januari 2022 dalam sebuah kereta mewah jenis Toyota Vellfire kira-kira pukul 5 petang di daerah ini.

    Justeru, beliau telah didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana daripada dua seksaan itu.

  • ‘Hakim terkhilaf bebaskan Ahmad Zahid’- Pendakwaan

    ‘Hakim terkhilaf bebaskan Ahmad Zahid’- Pendakwaan

    PENDAKWAAN menyatakan ia terkilan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

    Ia berkata demikian melalui petisyen rayuan difailkan semalam, untuk mengetepikan keputusan pada 22 September lalu, berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).

    Lapor Berita Harian, pihak pendakwaan mengemukakan 14 alasan yang tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang oleh Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, terhadap persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes terbabit.

    Pendakwaan menegaskan, Mohd Yazid terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan ia gagal membuktikan kes prima facie.

    Hakim itu juga dikatakan gagal menilai secara maksimum dan menyeluruh keterangan bagi membuktikan setiap elemen kesalahan yang dihadapi Timbalan Perdana Menteri itu.

    Menurut pendakwaan, hakim bicara terkhilaf apabila menolak pembuktian elemen menerima suapan secara rasuah dan elemen mendapatkan benda berharga tanpa balasan daripada UKSB, sedangkan terdapat keterangan lisan dan dokumen yang cukup serta kukuh untuk membuktikannya.

    Dalam menolak keterangan mengenai penghantaran wang rasuah kepada Ahmad Zahid, pendakwaan berkata, hakim tersalah arah apabila membuat perbandingan fakta antara kes itu dan fakta dalam kes rasuah berhubung projek solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

    Pendakwaan menyatakan, ia adalah kerana suatu dapatan fakta bukan duluan yang mengikat (binding precedent) dan tidak wajar untuk diguna pakai sebagai otoriti.

    Pendakwaan juga menyatakan, hakim tersalah arah dalam menilai kredibiliti saksi apabila gagal mengambil kira bahawa mereka tiada motif jahat atau terselindung ketika memberikan keterangan mengenai penghantaran wang kepada Ahmad Zahid.

    “Hakim terkhilaf apabila menolak bulat-bulat keterangan saksi, yang bukan sahaja atas alasan yang rapuh dan tidak munasabah, malah mengambil kira keterangan yang tidak relevan, tidak pernah dikemukakan serta membuat rumusan berdasarkan keraguan yang diada-adakan.

    “Hakim juga terkhilaf apabila gagal untuk mengambil manfaat dan kelebihan sebagai hakim bicara ketika melihat dan mendengar saksi pendakwaan memberikan keterangan;

    “Hakim tersalah arah apabila gagal mengambil kira keterangan saksi pendakwaan bahawa sebuah lejer yang dikemukakan sebagai keterangan dokumen adalah satu dokumen semasa dan menolaknya secara total walaupun ada keterangan mencukupi untuk membuktikan sebaliknya,” katanya.

    Sehubungan itu, pendakwaan memohon Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan Ahmad Zahid dipanggil membela diri terhadap semua pertuduhan.

  • Suami isteri didakwa aniaya anak lelaki hingga cedera

    Suami isteri didakwa aniaya anak lelaki hingga cedera

    SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menganiaya anak lelaki mereka berusia lapan tahun sehingga menyebabkan kecederaan, minggu lalu.

    Tertuduh, Abu Bakar Rahman, 32, seorang buruh dan isterinya, penjual buah warga Indonesia, Andia Rosa, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak lelaki mereka  telah dengan sengaja menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah rumah di Kampung Segambut Tengah, Kuala Lumpur,pada 23 Dis lalu.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Ngoh Jess Lynn mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Abu Bakar manakala Andia tidak ditawarkan jaminan kerana wanita itu merupakan seorang warga asing.

    Bagaimanapun, Abu Bakar yang tidak diwakili peguam, merayu jaminan itu dikurangkan.

    Mahkamah membenarkan Abu Bakar diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Andia tidak dibenarkan diikat jamin dan 16 Jan depan ditetapkan untuk sebutan kes.

  • Bekas kerani didakwa jalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen

    Bekas kerani didakwa jalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen

    SEORANG bekas kerani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen sejak April tahun lepas.

    Yap Chee Siang, 25, didakwa menjalankan perniagaan itu dengan memberi pinjaman RM158,120 kepada Wong Chiew Ken, 34, berserta faedah di Bandar Baru Sentul antara 1 April 2021 hingga 19 Sept lepas.

    Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

    Peguam Abdul Rahman Zainal Abidin yang mewakili Yap memohon jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga dan tiga adik serta seorang nenek yang menghidap penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi.

    “Pada hari ini, keluarga anak guam saya cuma membawa wang jaminan antara RM7,000 dan RM8,000. Sekiranya wang jaminan tinggi, ia akan menyukarkan anak guam saya untuk menanggung keluarga,” kata peguam itu.

    Hakim M Bakri Abd Majid kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 7 Feb depan untuk sebutan kes.

  • Wanita mengandung tujuh bulan didakwa cuba rompak kedai emas

    Wanita mengandung tujuh bulan didakwa cuba rompak kedai emas

    SEORANG wanita mengandung tujuh bulan didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini atas pertuduhan cuba merompak sebuah kedai emas di sebuah pasar raya, baru-baru ini.

    Norraniza Muhamad Puslam, 35, yang menangis semasa pertuduhan dibacakan kepadanya, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

    Dia didakwa cuba merompak Nur Rabeatul Addawiyah Rasul, 16, di Kedai Emas Daz Jewellery Mydin Ayer Keroh, pada pukul 4.45 petang, 20 Dis lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin.

    Bagaimanapun peguam tertuduh, Illya Shahar memohon jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya berpendapatan sederhana, mengandung dan mempunyai dua anak berusia 5 dan 2 tahun, selain masih menanggung kedua ibu bapa dan seorang adik yang masih belajar di pusat pengajian tinggi.

    Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membenarkan Norraniza diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin serta menetapkan 10 Feb depan sebutan semula kes.

  • Majikan belasah pekerja hingga cedera didenda RM3,000

    Majikan belasah pekerja hingga cedera didenda RM3,000

    SEORANG majikan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan memukul pekerjanya hingga cedera menggunakan kerusi, kayu dan rotan kerana merakamkan gambar tempat kerja sebagai jurujual tambah nilai dalam talian, tahun lalu.

    Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ng Chong Lam, 22, selepas menerima pengakuan dan mensabitkannya dengan pertuduhan, meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

    Jika gagal membayar denda, tertuduh diperintahkan dipenjara sembilan bulan, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, Chong Lam didakwa bersama-sama tiga orang yang sudah disabitkan didapati memukul pekerja lelaki, Chok Kar Jun, 24, hingga cedera menggunakan kerusi, kayu dan rotan di sebuah rumah di Jalan Seri Duyong pada 23 Mac 2021.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan.

    Mengikut fakta kes, antara lain menyatakan pengadu dan teman wanitanya datang dari Kuala Lumpur untuk mencari kerja di sebuah kedai di Plaza Sungai Udang dan bertemu dengan seorang lelaki dikenali ‘Boss’ atau Sam selepas berurusan di Facebook.

    Kedua-dua mereka diberi kerja sebagai penjual kad tambah nilai dalam talian di Jalan PSU 1 mengikut syif 8 pagi hingga 8 malam dan 8 malam hingga 8 pagi selama 10 hari dengan dikawal lelaki dikenali ‘Apy’.

    Pada 22 Mac 2021, kira-kira 10 malam, mereka dibawa oleh Sam dan Apy ke sebuah rumah di Jalan Duyung 11, untuk bekerja menjual kad tambah nilai judi dalam talian dan disebabkan enggan, pengadu ditampar beberapa kali oleh Apy dan telefon bimbit teman wanitanya dirampas.

    Pergerakan pengadu dan teman wanitanya dikawal oleh seorang lelaki lain berusia 50 tahun dan dikurung di dalam rumah terbabit.

    Keesokannya, Sam, Apy dan rakan mereka dikenali sebagai Ah Siang datang berjumpa pengadu sebelum memukulnya dengan kayu, rotan dan kerusi plastik hingga cedera di seluruh badan kerana didapati merakam gambar di kedai telefon bimbit.

    Keempat-empat suspek kemudian ditahan polis selepas pengadu membuat laporan pada 2 April 2021 di Rawang, Selangor.

    Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman denda ringan kerana hanya berpendapatan RM1,000, namun Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau sembilan bulan penjara jika gagal bayar.