Category: Mahkamah

  • Ibu 4 anak terlepas hukuman gantung edar dadah

    Ibu 4 anak terlepas hukuman gantung edar dadah

    SEORANG suri rumah yang terpaksa melahir dan membesarkan anaknya sehingga berusia 17 bulan di penjara, terselamat dari hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di Seremban hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar kanabis seberat 237.86 gram, dua tahun lepas.

    Hakim Rohani Ismail membuat keputusan itu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh R Devaki, 34, yang hamil lima bulan ketika ditahan pada 4 Ogos 2021, di akhir kes pendakwaan.

    Dalam penghakimannya, Rohani berkata hasil penilaian daripada semua keterangan mendapati, pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan bahawa tertuduh mempunyai pemilikan dan pengetahuan terhadap dadah yang ditemui.

    “Setelah mendengar penerangan daripada saksi dan pendakwaan serta selepas menimbangkan hujahan dikemukakan oleh kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan pendakwaan gagal membuktikan satu prima facie ke atas tertuduh, oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya.

    Rohani turut menasihatkan Devaki yang juga ibu kepada empat anak itu, supaya menjaga diri dan berhati-hati ketika berkawan.

    Mengikut pertuduhan, Devaki didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 237.86 gram di sebuah rumah di Bandar Dataran Segar, Port Dickson pada 7.30 malam, 4 Ogos 2021.

    Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(а) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

    Seramai lapan saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 17 April lepas.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Maleeha Syed Hussin, manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Wan Emyra Ismail.

    Haresh ketika ditemui pemberita memaklumkan, tertuduh melahirkan seorang anak lelaki ketika berada di Penjara Sungai Udang, Melaka dan membesarkannya di situ sehingga berusia setahun tujuh bulan.

    Sementara itu, Devaki melahirkan rasa kesyukuran kerana dibebaskan daripada tuduhan tersebut, selain akan menjadikan perkara itu sebagai iktibar.

  • Arul Kanda hantar representasi gugur rayuan kes pinda audit 1MDB

    Arul Kanda hantar representasi gugur rayuan kes pinda audit 1MDB

    BEKAS CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy mengemukakan surat representasi agar pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadapnya berhubung kes meminda laporan audit 1MDB.

    Peguam Arul Kanda, Jasmine Cheong mengesahkan kepada Bernama representasi itu telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.

    Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Arul Kanda daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

    Sementara itu, peguam Alaistair Brandah Norman yang mewakili Najib berkata pihaknya belum memfailkan representasi kepada AGC untuk menarik balik rayuan itu

    Pengurusan kes dijalankan hari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof yang menetapkan 28 Ogos bagi satu lagi pengurusan kes untuk AGC mengemas kini mahkamah mengenai status representasi Arul Kanda dan status rayuan pihak pendakwaan.

    Dalam prosiding pengurusan kes itu, Cheong mewakili Arul Kanda, Alaistair hadir bagi pihak Najib manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee bagi pihak pendakwaan.

    Pada 3 Mac tahun ini, hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (yang kini hakim Mahkamah Rayuan) telah membebaskan Najib dan Arul Kanda tanpa memanggil mereka membela diri.

    Hakim itu memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua mereka.

    Dalam alasan penghakimannya, Mohamed Zaini berkata dia telah memberikan penilaian maksimum di akhir kes pendakwaan dan mendapati tiada bukti menunjukkan atau membuktikan bahawa Najib secara jelas mengarahkan pindaan yang dibuat untuk membebaskan dirinya daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah.

    Dalam kes Arul Kanda, hakim mendapati dia (Arul Kanda) konsisten sepanjang keterangannya dan keterangannya serasi dengan keterangan lain yang dikemukakan.

    Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada 9 Mac lepas.

  • Kontraktor terowong dasar laut dakwa ditipu ahli perniagaan

    Kontraktor terowong dasar laut dakwa ditipu ahli perniagaan

    SEORANG saksi pendakwa raya dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang berkata, kontraktor projek terpaksa mengambil tindakan selepas menyedari ia ditipu oleh ahli perniagaan.

    Bekas pengarah Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, Ibrahim Sahari berkata, beliau dan rakan sekerja, Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli memaklumkan kepada mesyuarat lembaga pengarah bahawa syarikat itu telah ditipu oleh G Gnanaraja.

    “Peguam kami mengeluarkan notis tuntutan kepada Gnanaraja, meminta dia pulangkan RM19 juta,” tambahnya.

    Gnanaraja dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 2019 kerana menipu Zarul. Dia mengaku bersalah bagi tuduhan alternatif bawah Akta Syarikat.

    Saksi juga mengiyakan apabila ditanya oleh peguam pembela, Gobind Singh Deo sama ada beliau tahu Zarul ‘ditekan’ Gnanaraja supaya menyerahkan RM19 juta, yang dikatakan untuk menutup siasatan pengubahan wang ke atas syarikat itu.

    “Zarul beritahu saya,” kata Ibrahim, lapor FMT.

    Saksi juga berkata ‘mustahil’ sebahagian RM19 juta itu Gnanaraja berikan kepada orang lain.

    Ditanya sama ada Gnanaraja menyerahkan RM2 juta daripada RM19 juta itu kepada Lim Guan Eng, Ibrahim menjawab: “Saya tak boleh komen”.

    Saksi berkata dirinya sebelum ini dipanggil sebagai saksi dalam kes penipuan terhadap Gnanaraja di Shah Alam.

    Perbicaraan diteruskan pada 7 Ogos di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Lim dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10 peratus daripada keuntungan projek terowong itu, dan untuk menerima RM3.3 juta daripadanya.

    Lim juga dituduh menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan negeri dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong itu.

  • Tun Mahathir mohon mahkamah arah Anwar kemuka dokumen kes saman

    Tun Mahathir mohon mahkamah arah Anwar kemuka dokumen kes saman

    TUN Dr. Mahathir Mohamad sudah memfailkan permohonan, meminta Mahkamah Tinggi mengarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengemukakan dokumen yang dirujuk dalam pernyataan pembelaan beliau dalam kes saman fitnah mereka yang sedang berjalan.

    Bekas Perdana Menteri itu mahu Anwar mengemukakan dokumen mengenai dakwaan isu menyelamatkan Konsortium Perkapalan Bhd (KPB) oleh Petronas dan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) pada 1997.

    Selain itu, kontrak oleh Telekom Malaysia Bhd kepada Opcom Cables Sdn Bhd (2003), lesen fabrikasi oleh Petronas kepada Kencana Petroleum Bhd (2002) dan laporan berkaitan permintaan Perwaja Steel Bhd untuk mendapatkan dana daripada kerajaan (1998).

    KPB, kini dikenali sebagai Pos Logistics Bhd, dimiliki anak Mahathir, Mirzan manakala Mokhzani dan Mukhriz, juga merupakan pemegang saham dalam Opcom.

    Mokhzani mengasaskan Kencana Capital Sdn. Bhd., yang kemudiannya menjadi Kencana Petroleum Bhd.

    Mahathir juga mahu Anwar mengemukakan dokumen berkaitan yuran guaman yang dibayar kepada dua firma guaman, Lewis & Co dan VK Lingam & Co.

    Peguamnya, Rafique Rashid Ali memberitahu pemberita bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Zaharah Hussain telah mengarahkan peguam kedua-dua pihak memfailkan penghujahan mereka pada 8 Sept sebelum mahkamah membuat keputusan pada 2 Oktober.

    Mahathir menyaman Anwar atas kenyataan yang dibuat pada Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 18 Mac yang menggelarnya sebagai rasis dan mengatakan beliau memperkayakan keluarganya ketika memegang jawatan.

    Mahathir dalam samannya, mendakwa kenyataan Anwar dibuat atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri, oleh itu ia mempunyai kesan lebih teruk terhadapnya berbanding kenyataan sama yang dibuat rakyat biasa, lapor FMT.

  • Wei Liang diperintah bela diri tuduhan bunuh Syed Danial

    Wei Liang diperintah bela diri tuduhan bunuh Syed Danial

    MAHKAMAH  Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan Yew Wei Liang membela diri atas tuduhan membunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir di Lebuhraya Utara Selatan, empat tahun lalu.

    Hakim, Julia Ibrahim memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap bekas pekerja teknologi maklumat itu di akhir kes pendakwaan.

    Semasa membaca keputusan penghakimannya, Julia berkata, mahkamah mendapati tertuduh belum melunaskan beban pembuktian, kerana keterangan menunjukkan provokasi bermula apabila dia menyerang mangsa.

    “Mengenai isu mempertahankan diri, tertuduh bertindak melebihi haknya apabila berterusan melanggar mangsa walaupun ancaman telah dipatahkan dan mangsa sedang melarikan diri. Setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan eksibit yang dikemukakan dengan mengaplikasikan penilaian maksimum atas keseluruhan keterangan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen pertuduhan secara prima facie ke atas tertuduh,” kata hakim.

    Oleh itu beliau berkata, tertuduh diperintah membela diri terhadap pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Sejurus keputusan diketahui, Wei Liang yang hadir dengan memakai baju T berwarna putih kelihatan tenang dengan jurubahasa memberi penerangan dalam bahasa Mandarin, lapot Sinar Harian.

    Mahkamah kemudiannya memberi tiga pilihan kepada tertuduh iaitu pertama, memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi kemudian disoal balas oleh pihak pendakwaan. Pilihan kedua ialah memberi keterangan secara tidak bersumpah di kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pihak pembelaan atau ketiga, berdiam diri.

    Bagaimanapun, Wei Liang belum membuat sebarang pilihan dan memohon untuk berbincang dengan peguamnya terlebih dahulu. Mahkamah kemudiannya menetapkan prosiding bela diri bermula 16 dan 17 Ogos depan.

    Dalam kes ini, seramai 20 saksi dipanggil memberi keterangan dalam prosiding yang bermula 27 Oktober 2021 dengan 65 eksibit, dokumen serta barang kes dikemukakan.

    Pada Khamis, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aidatul Azura Zainal Abidin sementara pembelaan diwakili peguam, Wee Chong Keong.

    Pada 22 Ogos 2019, Wei Liang yang bekerja dalam bidang IT, didakwa membunuh Syed Danial, yang juga pengurus bank di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos tahun sama.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

  • 3 bekas pelajar menang saman guru tak hadir kelas 7 bulan

    3 bekas pelajar menang saman guru tak hadir kelas 7 bulan

    MAHKAMAH Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan tiga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud, dibayar pampasan masing-masing RM50,000 atas kegagalan guru Bahasa Inggeris hadir ke kelas selama tujuh bulan pada 2017.

    Hakim Leonard David Shim membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali dan Calvina Angayung yang semua berusia 22 tahun.

    Dalam penghakimannya, mahkamah memerintahkan pampasan dibayar kepada tiga bekas pelajar itu akibat trauma yang dialami mereka.

    Ketiga-tiganya dalam saman yang difailkan pada 7 Disember 2020, menamakan bekas guru mereka, Mohd Jainal Jamran sebagai defendan pertama.

    Pengetua SMK Taun Gusi ketika itu, Suid Hanapi; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia; Menteri Pendidikan; dan Kerajaan Malaysia pula masing-masing sebagai defendan kedua, ketiga, keempat serta kelima.

    Dalam penghakiman setebal 74 muka surat, mahkamah mendapati plaintif berjaya membuktikan kes berdasarkan imbangan kebarangkalian, selepas mempertimbang keterangan kedua-dua pihak dan kesemua bukti yang dikemukakan.

    Mahkamah mendapati kes itu membabitkan persoalan berhubung hak perlembagaan kepada pendidikan, selain isu yang mempunyai kepentingan awam.

    “Defendan melanggar hak perlembagaan plaintif bawah Perkara 5 yang dibaca bersama Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan.

    “Defendan juga melanggar hak perlembagaan kepada pendidikan dan hak untuk disediakan guru yang menghadiri kelas bagi mengajar serta mempersiapkan plaintif untuk peperiksaan Bahasa Inggeris,” katanya, lapor Berita Harian.

    Malah, mahkamah mendapati bukti juga menunjukkan tarikh defendan pertama tidak hadir itu adalah sama dengan rekod Jabatan Pendidikan Sabah (JPNS).

    Mahkamah turut mendapati tiada bukti menunjukkan defendan pertama sedang bercuti atau terbabit aktiviti sekolah yang lain sepanjang tempoh ketidakhadiran itu.

    Dalam perbicaraan yang bermula pada 5 September 2022, seramai 10 saksi dipanggil memberi keterangan bagi pihak plaintif.

    Perbicaraan yang tamat pada Januari 2023 itu turut menampilkan tiga saksi hadir memberi keterangan bagi pihak defendan.

    Ketiga-tiga plaintif diwakili oleh peguam, Sherzali Herza Asli.

    Peguam Kanan Persekutuan, Mohd. Hafizi Abd Halim, bersama Peguam Persekutuan, Fazrul Fardiansyah Abdul Kadir pula bertindak bagi pihak defendan.

  • Lima penjawat awam Sabah didakwa buat tuntutan palsu

    Lima penjawat awam Sabah didakwa buat tuntutan palsu

    LIMA penjawat awam di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu perpindahan melibatkan beberapa daerah di Sabah berjumlah RM61,530 antara 2017 hingga 2020.

    Rozidah Samudin, 52, didakwa mengemukakan dokumen penyata tuntutan dan elaun semasa menjalankan tugas rasmi bertarikh 23 Mei 2017 dengan membuat bil melalui Syarikat Pengangkutan Putra bernilai RM17,100 pada 2 Okt 2017.

    Dia didakwa memperdayakan prinsipal dan mempunyai kepentingan serta sebab untuk mempercayai dokumen itu mengandungi butiran matan palsu bagi pembayaran penghantaran kenderaan dari Kota Kinabalu ke Sandakan tetapi perkhidmatan tersebut tidak pernah dilakukan.

    Rozidah, yang diwakili peguam Mohd Luqman Syazwan Zabidi, turut didakwa membuat bil tuntutan pembayaran penghantaran kenderaan ke rumah di Taman Lok Kawi Perdana Taman Pantai Lok Kawi dan penghantaran barangan ke alamat sama bersama empat pekerja am berjumlah RM17,000 pada 5 Sept 2019.

    Tiga individu lain iaitu Myron Masing, 40, Alif Abdul Fatah, 35, dan Mohd Effendi Awang Damit, 31, turut berdepan pertuduhan memperdayakan prinsipal serta mempunyai kepentingan dan mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu mengandungi matan palsu iaitu resit Syarikat Pengangkutan Putra bertarikh 5 Mac 2020, 12 Jun 2019 dan 7 Mac 2020.

    Myron didakwa mengemukakan bil pembayaran penghantaran barangan rumah dan motosikal ke perumahan kerajaan Tawau berjumlah RM6,250 manakala Alif mengemukakan pembayaran penghantaran barangan rumah ke Taman Permata Apartment Sandakan bersama tiga pekerja yang berjumlah RM8,480 dan Mohd Effendi bagi pembayaran pengangkutan perpindahan barang dari Kota Kinabalu ke Tawau berjumlah RM6,250.

    Ady Said, 38, pula berdepan enam pertuduhan yang didakwa dilakukan antara 2 Okt 2017 dan September 2020 iaitu bersubahat dengan Rozidah dan Myron untuk mengemukakan tuntutan serupa bagi penghantaran kenderaan dari Kota Kinabalu ke Sandakan dan Tawau melalui syarikat pengangkutan yang sama.

    Dia juga didakwa bersubahat membantu Alif dan Mohd Effendi bagi pembayaran penghantaran barang ke rumah di Taman Permata Sandakan dan tiga pekerja lain serta pembayaran pengangkutan perpindahan barang dari Kota Kinabalu ke Tawau tetapi perkhidmatan itu tidak pernah dilakukan.

    Tertuduh turut didakwa mengemukakan dokumen penyata tuntutan dan elaun semasa menjalankan tugas rasmi bertarikh 15 Mac 2020 dengan membuat bil melalui Syarikat Pengangkutan Putra bernilai RM6,450 ke Sandakan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Sabah Rekhraj Singh dan Dzulkarnain Rousan Hasbi manakala Alif diwakili peguam Yannik Mohd Anuar dan Lim Chun Yuan manakala Myron, Ady dan Mohd Effendi tidak mempunyai peguam.

    Hakim Jason Juga menetapkan 15 Ogos depan sebagai sebutan semula kes bagi kelima-lima tertuduh manakala jaminan ditetapkan antara RM10,000 hingga RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan mereka diarah melaporkan diri ke pejabat SPRM dua bulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

  • Lelaki didakwa bakar isteri sampai mati

    Lelaki didakwa bakar isteri sampai mati

    SEORANG pengawal kelab hiburan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Manjung atas pertuduhan membunuh isterinya dengan membakar mangsa hingga mati pada minggu lalu.

    S Gabriel, 28, menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T Kavitha.

    Mengikut pertuduhan Gabriel dituduh menyebabkan kematian E Komathy, 33, di sebuah rumah di Ladang Waldbrook, Sitiawan pada 6.30 petang sehingga 7 malam, 10 Julai lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan, di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rishan Kumar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 18 Sept ini untuk sebutan semula kes.

    Sementara itu, di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine ke dalam badan.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat Polis Pantai Remis pada 12 Julai.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39C (1) akta sama yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun selain sebatan tidak melebihi tiga kali jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 25 Okt untuk sebutan semula kes.

  • Mitra: Bekas pengerusi, bendahari PWBSM didenda guna baucar bayaran palsu

    Mitra: Bekas pengerusi, bendahari PWBSM didenda guna baucar bayaran palsu

    BEKAS Pengerusi Persatuan Wanita Berjaya Sejati Malaysia (PWBSM) dan bekas bendaharinya didenda masing-masing RM3,500 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menggunakan dua baucar bayaran palsu bagi peruntukan dana di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) berjumlah RM1,600.

    J. Lalitha Mani, 48, (pengerusi) dan B. Shivaranjani, 42, (bendahari) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Mahkamah memerintahkan kedua-dua wanita itu dikenakan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Mengikut dua pertuduhan itu, mereka didakwa bersama-sama menggunakan dua dokumen palsu iaitu baucar ‘Volunteer Services For Program Pemerkasaan Wanita India’ bagi peruntukan dana di bawah Mitra bertarikh 11 Oktober yang dikeluarkan oleh PWBSM masing-masing bernilai RM800.

    Dokumen itu kemudiannya diberi kepada Priscilla Rachael, 27, dan G.Govindan, 44, di Mitra, Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya pada 26 Oktober 2020.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, pada 28 Julai 2020, Lalitha Mani yang merupakan setiausaha merangkap Pengerusi PWBSM manakala Shivaranjani bendahari persatuan berkenaan ketika itu, telah menandatangani satu perjanjian antara kerajaan (Mitra) dan PWBSM di bawah Program Pembangunan Keusahawanan dan Kerjaya Masyarakat India bagi tahun 2020 untuk mendapatkan geran kewangan Mitra berjumlah RM1.1 juta.

    Pihak Mitra telah membayar keseluruhan jumlah geran tersebut antara 12 Ogos 2020 hingga 19 Januari 2021 secara berperingkat sementara pihak PWBSM menyediakan laporan berkala berkaitan program terbabit.

    Pada 26 Oktober 2020, Shivaranjani telah menghantar Laporan Berkala Prestasi Pelaksanaan Program Pemerkasaan Wanita anjuran PWBSM bertarikh 20 Oktober 2020 yang mengandungi dua baucar bayaran palsu kepada pihak Mitra.

    Hasil siasatan mendapati, penerima baucar bayaran iaitu Priscilla dan Govindan tidak pernah menerima bayaran atau menandatangani baucar berkenaan pada 11 Oktober 2020.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Noor Syafina Mohd. Radzuan memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal dengan mengambil kira kes yang menggunakan dokumen palsu ini kerap berlaku.

    Bagaimanapun, peguam, Devanandan S.Subramaniam yang mewakili kedua-dua tertuduh, merayu agar Lalitha dan Shivaranjani dikenakan hukuman minimum.

    “Lalitha kini bekerja sebagai guru tuisyen, perlu menanggung tiga anak manakala Shivaranjani baharu sahaja bekerja sebagai seorang eksekutif perolehan tenaga kerja,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Terowong bawah laut: Pendakwa berhujah syarikat bayar RM74.8 juta

    Terowong bawah laut: Pendakwa berhujah syarikat bayar RM74.8 juta

    PIHAK pendakwaan dalam kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, syarikat Ewein Berhad membayar sebanyak RM74.8 juta untuk pemberian dua bidang tanah yang dikaitkan dengan projek terowong bawah laut Pulau Pinang dalam tempoh antara 2012 dan 2015.

    Timbalan pendakwa raya (DPP) Ahmad Akram Gharib membangkitkan perkara itu ketika perbicaraan kes rasuah membabitkan projek infrastruktur bernilai RM6.3 bilion tersebut.

    Semasa pemeriksaan utama terhadap bekas Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Akmar Omar, pendakwa raya bertanya soalan kepada saksi pendakwaan ke-35 itu mengenai pembayaran oleh Ewein, yang terlibat dalam projek berkenaan.

    Soalan terhadap Akram berkisar mengenai apakah dia sedar mengenai transaksi berkenaan, yang mana dia kemudian menjawab tidak tahu.

    DPP kemudian mendakwa pembayaran pertama dibuat pada 18 Nov 2013 sebanyak RM12.5 juta, manakala bayaran akhir sebanyak RM48.2 juta dan RM5 juta pada 30 Mac 2015, dengan jumlah keseluruhan pembayaran sebanyak RM74.8 juta.

    Akram: Pada masa itu, tanah itu dimiliki oleh siapa?

    Akmar: Kerajaan negeri.

    Apabila Akram bertanya kepada Akmar sama ada mana-mana syarikat lain menerima layanan istimewa sedemikian, saksi itu menjawab “sebelum kes ini, tiada”.

    Pada 5 Oktober 2021, dilaporkan bahawa pengasas dan pengerusi eksekutif Ewein, Ewe Swee Keng ditemui mati di luar apartmennya.

    Pada 16 Disember tahun yang sama, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang membicarakan kes rasuah Lim membenarkan keterangan Ewe yang direkodkan oleh SPRM sebelum kematiannya diterima sebagai bukti dalam kes itu.

    Bagaimanapun hari ini semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama, Gobind Singh Deo, Akmar bersetuju bahawa ia bukan layanan istimewa kerana kerajaan negeri memberi tumpuan kepada projek itu kerana ia melibatkan infrastruktur utama.

    Saksi pendakwaan itu bersetuju bahawa projek itu memerlukan perhatian khusus dan kebenaran khas kerana ia merupakan projek besar.

    Gobind: Projek ini seperti ini tidak ada projek lain (yang serupa) di Pulau Pinang?

    Akmar: Betul.

    Gobind: Memandangkan ini projek besar yang memerlukan perhatian khusus, sudah tentu kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada projek ini?

    Akmar: Betul.

    Gobind: Ini bukan layanan istimewa tetapi semata-mata untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek?

    Akmar: Ya, betul. Ia adalah untuk pembangunan oleh kerajaan.

    Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dijangka disambung pada Khamis minggu ini.

    Empat pertuduhan rasuah

    Lim sebelum ini menghadapi empat pertuduhan rasuah.

    Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengikut Seksyen 16(A)(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM kerana menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu untuk menerima suapan RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion di negeri itu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di TIngkat 28, Pejabat Ketua Menteri di Komtar, George Town, Pulau Pinang, antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

    Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.

    Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa atas kapasitinya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, meminta daripada Zarul sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang diperolehi syarikat itu sebagai balasan membantu mendapatkan projek berkenaan.

    Zarul merupakan pengarah eksekutif kanan dengan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB), yang terlibat dalam projek tersebut.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur, antara 12.30 pagi dan 2 pagi pada Mac 2011.

    Pertuduhan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

    Lim juga menghadapi dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebat dan denda.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.