Category: Mahkamah

  • Penjana Kerjaya: Pemilik syarikat didakwa kemuka dokumen palsu

    Penjana Kerjaya: Pemilik syarikat didakwa kemuka dokumen palsu

    SEORANG pemilik syarikat elektrik dan elektronik didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas lima pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 dan 3.0 berjumlah RM87,500, dua tahun lepas.

    Raymond Sim, 35, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang didakwa dilakukannya di dua cawangan pejabat Perkeso iaitu di Petaling Jaya dan Klang antara 9 Mac 2021 dan 11 Nov 2021.

    Sim didakwa mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu di dalam Borang Pengesahan Pekerja bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja Minbot Sdn Bhd, sedangkan nama pekerja dalam senarai itu tidak digaji syarikat itu, kepada tiga pegawai Perkeso.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Alif Shaharuzaman menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.

    Mohd Alif turut memohon agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, memandangkan tertuduh telah didakwa atas kesalahan serupa di mahkamah itu pada 26 Jan lalu.

    Bagaimanapun, peguam Reuben Ong mewakili tertuduh memohon jaminan rendah RM7,000 dengan alasan anak guamnya perlu menanggung kos perubatan bayinya yang tidak sihat.

    Hakim Rozilah Salleh kemudian menetapkan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan kesemua permohonan pihak pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 28 Feb untuk sebutan semula kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Pada 26 Jan lepas, Sim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif di bawah program sama berjumlah RM153,200.

  • Perbicaraan 1MDB ditangguhkan susulan kematian Gopal Sri Ram

    Perbicaraan 1MDB ditangguhkan susulan kematian Gopal Sri Ram

    MAHKAMAH Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak selepas Ketua Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram meninggal dunia semalam.

    Ini bagi membolehkan mereka memberi penghormatan terakhir dan menghadiri upacara pengebumian mendiang yang akan berlangsung pada Selasa.

    Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu, Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika perbicaraan bermula pagi ini, dan meminta kes itu disambung semula pada Khamis memandangkan Rabu adalah cuti umum sempena Hari Wilayah Persekutuan.

    Sri Ram dilantik sebagai pendakwa ad hoc dan mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB Najib serta perbicaraan laporan audit 1MDB bekas Perdana Menteri itu dan Arul Kanda Kandasamy.

    Beliau juga memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan perlu membincangkan dan mengagihkan semula skop tugasnya berikutan kematian secara mengejut Sri Ram.

    Peguam, Tan Sri Muhammad Shafiee Abdullah juga menyampaikan ucapan takziah bagi pihak pasukan pembelaan Najib.

    Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan dijangka menyelesaikan pemeriksaan balas terhadap bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu, menjelang akhir minggu ini.

    Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dakwaan penyalahgunaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014 lapor Astro Awani.

  • Dua ahli perniagaan didakwa subahat lupus wang lebih RM10.6 juta

    Dua ahli perniagaan didakwa subahat lupus wang lebih RM10.6 juta

    DUA ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan bersubahat dengan seorang lelaki sehingga menyebabkan seorang wanita melupuskan wang dua buah syarikat berjumlah lebih RM10.6 juta.

    Lim Ah Hock, 71, didakwa atas satu pertuduhan manakala  Lim Pay Chuan, 53, menghadapi tiga pertuduhan.

    Mereka didakwa dengan curang telah bersubahat dengan seorang pengurus besar syarikat pembinaan, G. Paismanathan, 52, menyebabkan seorang wanita melupuskan wang milik dua syarikat bagi pembayaran kepada satu syarikat lain berjumlah lebih RM10.6 juta membabitkan beberapa kerja yang diketahui tertuduh tidak wujud.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pestech Technology Sdn Bhd, di Ara Damansara, dekat sini antara 16 Nov 2017 dan 5 Jan 2018.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 403 Kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan maksimum lima tahun serta dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Muaz Ahmad Khairuddin memohon Ah Hock dan Pay Chuan masing-masing dikenakan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili kedua-dua tertuduh tidak membantah jumlah yang ditawarkan pihak pendakwaan tetapi memohon agar pasport kedua-dua anak guamnya tidak ditahan di mahkamah kerana mereka kerap ke luar negara atas urusan perniagaan dan kesihatan.

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah. 

    Mahkamah menetapkan 24 Feb ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Guru pukul isteri jiran kerana berebut parkir

    Guru pukul isteri jiran kerana berebut parkir

    SEORANG guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, atas dua tuduhan mencederakan isteri jirannya serta bergaduh dengan suami wanita itu berkaitan tempat letak kenderaan pada Disember lalu.

    Tertuduh, Muhammad Fuad Jahaya, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sejurus dibacakan jurubahasa mahkamah dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret, Mazana Sinin.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Aziah Omar, 54, dengan cara memukul kepala dan lengan dengan tangan di Jalan Bertam Setia 12, Taman Bertam Setia, kira-kira pukul 1 tengah hari pada 9 Disember 2022.

    Lapor Berita Harian, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

    Muhammad Fuad turut berdepan pertuduhan berasingan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu melakukan gaduh gempar dengan Rosli Baba, 60, (suami Aziah) dengan memukul di antara satu sama lain pada tarikh, masa dan di tempat sama.

    Kedua-dua mereka yang tidak diwakili peguam tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

    Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Naim Abd Jalil melakukan pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pendakwaan mencadangkan Muhammad Fuad diikat jamin RM6,000 bagi pertuduhan Seksyen 323 dan RM5,000 setiap seorang bagi pertuduhan Seksyen 160.

    Majistret Mazana kemudian menetapkan Muhammad Fuad dilepaskan dengan jaminan RM1,500 bagi kedua-dua pertuduhan, manakala Rosli yang juga pesara guru sebanyak RM500 dengan seorang penjamin masing-masing.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Mac depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

  • Bapa simbah anak bongsu air panas dipenjara enam tahun

    Bapa simbah anak bongsu air panas dipenjara enam tahun

    SEORANG bapa yang mendera anak bongsunya dengan menyimbah air panas menggelegak kerana mengganggunya tidur, dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

    Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Yasin Halik, 41, yang mengaku bersalah menyimbah air panas daripada pemanas air ke atas kanak-kanak perempuan berusia enam tahun hingga menyebabkan bahu kiri serta kanan dan kedua lutut mangsa melecur.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik sewa di Jalan Pudu di sini, pada 12 tengah hari, 1 Dis tahun lepas, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

    Norina memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 11 Dis 2022 selain mengarahkannya berkelakuan baik dengan bon jaminan  tanpa cagaran selama tiga tahun serta melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat selama 180 jam dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.

    Berdasarkan fakta kes, pada 7 malam, 1 Dis 2022, pengadu iaitu seorang wanita warga Indonesia bernama Suma pulang dari kerja dan melihat mangsa serta seorang lagi anaknya dalam keadaan bogel dengan kesan melecur pada badan dua anaknya itu.

    Wanita itu yang merupakan tukang masak di sebuah restoran telah bertanya kepada anak-anaknya dan mereka menjawab “bapa siram air panas sebab kakak dengan adik bising”.

    Pengadu hendak membawa mereka ke hospital tetapi dihalang oleh tertuduh dan pengadu telah membuat laporan polis pada 9 Dis 2022 selepas seorang daripada anaknya itu meninggal dunia.

    Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menyiram air panas menggelegak ke atas badan mangsa kerana mengganggunya tidur.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh kerana sebagai seorang bapa dia seharusnya melindungi kanak-kanak itu, bukan menyimbah air panas tanpa belas kasihan.

    Mohd Yasin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia mahu berjumpa ibu bapanya di Sabah.

    Pada 21 Dis tahun lepas, lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh anak sulungnya berusia sembilan tahun, di lokasi sama pada 9 malam, 9 Dis 2022, sebelum mayat mangsa ditanam di kawasan riadah dekat sini.

    Di Mahkamah Majistret sama, Mohd Yasin dijatuhkan hukuman penjara empat bulan selepas mengaku bersalah menyimbah air panas ke badan Suma sehingga menyebabkan mangsa melecur pada punggung kiri. – BERNAMA

  • Pengasuh mengaku tak salah cederakan bayi lapan bulan

    Pengasuh mengaku tak salah cederakan bayi lapan bulan

    SEORANG pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang bayi perempuan berusia lapan bulan.

    Siti Aqilah Shahimi, 25, didakwa menyebabkan kecederaan kepada bayi yang diasuhnya itu di sebuah rumah di Taman Limbongan Permai di sini pada 6.20 petang, 7 Sep lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa Inspektor Mohammad Naim Abd Jalil mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh.

    Siti Aqilah yang diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan rendah memandangkan tertuduh yang telah berkahwin berpendapatan RM1,800 sebagai pengasuh kanak-kanak.

    Majistret Mazana Sinin membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Warga Yemen berdepan hukuman mati, didakwa edar kanabis lebih 200kg

    Warga Yemen berdepan hukuman mati, didakwa edar kanabis lebih 200kg

    SEORANG lelaki warga Yemen berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis lebih 200 kilogram (kg).

    Tertuduh, Abdul Aziz Musaed Ahmed, 23, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

    Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati itu adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengedar dadah disyaki jenis kanabis dengan anggaran berat 231 gram (g), manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengedar dadah jenis yang sama dengan anggaran berat 1.879kg dan pertuduhan ketiga pula dia didakwa telah mengedar dadah disyaki jenis yang sama dengan anggaran berat 219.15kg.

    Abdul Aziz yang juga penganggur didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah apartmen di Puchong dekat sini pada kira-kira 10.10 malam pada 15 Jan lepas.

    Bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

    Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati hendaklah dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan.

    Di mahkamah yang sama, Abdul Aziz turut didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 atas kesalahan memasukkan dadah berbahaya jenis amphetamine, methamphetamine dan THC ke dalam diri sendiri.

    Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini, pada kira-kira 9 pagi 16 Jan lepas.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B akta yang sama.

    Di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, dia boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, manakala hukuman di bawah Seksyen 38B ADB 1952 pula, hendaklah serta-merta selepas menjalani hukuman yang dikenakan, menjalani perintah pengawasan oleh pegawai polis bagi tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada tiga tahun sebagaimana yang ditetapkan oleh mahkamah.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat manakala tertuduh diwakili peguam Zaflee Pakwanteh.

    Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 8 Mei depan untuk penyerahan laporan kimia.

    Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dadah jenis ganja seberat 221.26kg bernilai anggaran RM663,798 yang dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang. – BERNAMA

    mahkamah, dadah, polis, Yemen

  • Pengutip besi buruk dihukum gantung sampai mati

    Pengutip besi buruk dihukum gantung sampai mati

    SEORANG pengutip besi buruk dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas didapati bersalah membunuh pengawal keselamatan, lapan tahun lalu.

    Memetik laporan Sinar Harian, Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu terhadap R Saravanan, 41, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas K Gobi Nathan, 44, di belakang sebuah restoran, Laluan Klebang Restu 2, Medan Klebang Restu, Chemor antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada 5 Julai 2015.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, T Vijayandran.

    Seramai tujuh saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan telah dikemukakan sepanjang prosiding yang berlangsung sejak Disember 2021.

    Saravanan dilihat mengalir air mata menoleh ke belakang memandang wajah ahli keluarganya sebaik hukuman ditetapkan dan sempat memeluk ahli keluarganya sebelum dibawa keluar ke lokap.

    Media melaporkan seorang pengawal keselamatan ditemui mati dengan kesan tujuh tetakan di kepala dan kedua-dua belah tangan akibat diserang dua lelaki bersenjatakan parang di sebuah lorong dekat Laluan Klebang Restu di Ipoh.

    Mangsa dikatakan datang ke kawasan itu untuk membeli barangan keperluan di sebuah kedai, sebelum dikejar seorang daripada suspek itu hingga ke lorong berkenaan.

    Siasatan awal mendapati mangsa berusaha melarikan diri dalam keadaan berlumuran darah berikutan polis menemui kesan darah sejauh 80 meter dari lokasi mayat mangsa ditemui.

  • Rasuah: Jurutera dihukum penjara sebulan, denda RM210,000

    Rasuah: Jurutera dihukum penjara sebulan, denda RM210,000

    SEORANG jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dihukum penjara sebulan dan didenda RM210,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM42,000 pada Disember 2013.

    Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain turut mengarahkan Shaiful Azman Taha, 45, dipenjara 10 bulan bermula hari ini, sekiranya gagal membayar denda itu.

    Shaiful Azman yang ketika itu berkhidmat sebagai Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor Kementerian Kerja Raya Pahang didakwa menerima suapan daripada juruteknik Syarikat NZH Murni Enterprise Hamdan Mat Hasan di rumahnya di Taman Pelindung Jaya, di Kuantan antara pukul 3 hingga 4 petang, 21 Dis 2013.

    Suapan berbentuk wang tunai itu didakwa sebagai dorongan kepada tertuduh untuk mengeluarkan Sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera kepada syarikat tersebut.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menerusi Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Pada 14 Feb 2018, tertuduh dihadapkan di mahkamah sama mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

    Terdahulu peguam Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim memohon hukuman ringan dikenakan atas alasan anak guamnya telah ditahan kerja dan berpendapatan RM2,500 sebulan menanggung keluarga serta dua anak yang masih bersekolah.

    Mohd. Baharuddin juga memaklumkan Shaiful Azman menghidapi masalah kemurungan serius dan akan kehilangan keistimewaan sebagai penjawat awam selepas 14 tahun berkhidmat.

    Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rifah Izzati Abdul Mutalif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira kepentingan awam selain tindakan tertuduh yang telah mencalarkan imej dan integriti penjawat awam.

  • ‘Disebabkan video Bella, saya diugut bunuh setiap hari’

    ‘Disebabkan video Bella, saya diugut bunuh setiap hari’

    PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa dia dikecam dan diugut bunuh, setiap hari disebabkan video kanak-kanak perempuan sindrom Down, Bella.

    Semasa membaca membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, Siti Bainun, 31, berkata, dia hilang pekerjaan dan perniagaan makanan yang diusahakan selepas dipulaukan.

    Dia yang hadir tanpa diwakili peguam berkata, tindakan saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin, 40, menyebarkan video Bella yang disunting turut menyebabkannya hilang segala-galanya.

    Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali ketika hadir bagi prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpuri, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya takut untuk keluar dari rumah kerana ugutan yang saya terima.

    “Ketika mendapatkan rawatan di hospital, ada juga jururawat yang cuba membahayakan saya sehingga peguam terpaksa masuk campur untuk pastikan keselamatan saya,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dia yang menangis ketika membaca pernyataan saksi itu berkata, perasaan curiga mula timbul apabila Zurianty merakam dan menyebarkan video itu kerana pembantu pengurus kewangan sebuah syarikat swasta itu tidak pernah mengambil tahu tentang Bella.

    Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.