Category: Mahkamah

  • Belasah bapa dengan kayu, lelaki dipenjara enam tahun

    Belasah bapa dengan kayu, lelaki dipenjara enam tahun

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan memukul bapanya berusia 71 tahun menggunakan sebatang kayu.

    Tertuduh, Yaumiheris Nordin, 42, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap bapa kandungnya, Nordin Dengker, 71, dengan memukul bahagian muka dan badan mangsa menggunakan sebatang kayu.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Paya Keladi, Kampung Bukit Darat dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 7 malam, 26 Januari lalu.

    Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius dan mangsa merupakan bapa kandungnya sendiri.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman terhadapnya dikurangkan.

    Hakim Mohd. Sabri kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan dari tarikh ditangkap pada 27 Januari lalu.

    Dalam prosiding berasingan, tertuduh juga mengaku bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman atas pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut bapanya dengan mengacukan parang.

    Bagi kesalahan itu dia turut dijatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh ditangkap lapor Astro Awani.

  • Bekas guru mengaku tak bersalah cederakan guru

    Bekas guru mengaku tak bersalah cederakan guru

    SEORANG bekas guru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka hari ini atas tuduhan mencederakan guru wanita lain sehingga parah, September lepas.

    Nurul Hidayah Khairuddin, 24, dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Nurul Nadirah Ahmad Ropei, 24, di dalam sebuah kelas Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Taman Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2.40 petang 28 Sept 2022.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha mencadangkan jaminan RM3,000 dikenakan terhadap tertuduh.

    Nurul Hidayah yang diwakili peguam Mohd Fahmy Mohd Sulaiman bagaimanapun memohon agar jaminan rendah diberikan atas alasan dia telah diberhentikan selepas kejadian itu.

    Majistret Mazan Sinin membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dan menetapkan 13 Mac ini untuk sebutan semula kes.

  • Keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya Parlimen Masjid Tanah ditangguh 7 Februari

    Keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya Parlimen Masjid Tanah ditangguh 7 Februari

    MAHKAMAH Tinggi Melaka hari ini menangguhkan keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

    Lapor Astro Awani, Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menetapkan 7 Februari ini sementara mendapatkan hujahan tambahan daripada peguam, Mohd Faizi Che Abu yang mewakili Mas Ermieyati dan peguam Rosfinah Rahmat yang mewakili calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid.

    Hujahan tambahan adalah berkaitan interpretasi rasuah, urusan stem guaman dan pelantikan ejen pilihan raya oleh calon yang bertanding.

    Anselm Charles sebelum ini menetapkan hari ini untuk keputusan bantahan awal petisyen berkenaan.

    Ia selepas, Abdul Hakim pada 3 Januari lalu dilaporkan memfailkan petisyen itu atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15.

    Bantahan awal yang difailkan oleh Mas Ermieyati sebagai responden, antara lain mendakwa petisyen tersebut difailkan di luar waktu ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Selain itu, Abdul Hakim selaku pempetisyen didakwa melakukan kesilapan kerana tidak menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam petisyen tersebut.

    Pada PRU15 lalu, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman daripada parti Muda dan Handrawirawan Abu Nakar daripada Gerakan Tanah Air (GTA).

  • Pegawai kesihatan dipenjara sehari, denda RM10,000 terima suapan RM5,200

    Pegawai kesihatan dipenjara sehari, denda RM10,000 terima suapan RM5,200

    SEORANG pegawai kesihatan persekitaran dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM5,200 dengan mengesyorkan syarikat milik adiknya berhubung kerja-kerja pembekalan peralatan pada 2016.

    Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Sumardi Yazid, 41, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

    Mengikut kertas pertuduhan, Sumardi yang ketika itu bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran didakwa menerima untuk dirinya suatu barang yang berharga dengan tanpa balasan iaitu wang tunai berjumlah RM5,200 dengan membuat syor memilih syarikat yang dimiliki adiknya bagi melaksanakan kerja membekal peralatan bekalan am.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 8 Mac 2016 di Pejabat Kesihatan Seberang Perai Tengah (SPT) Berapit, Bukit Mertajam.

    Oleh itu, dia telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, peguam tertuduh, Ang Chun Pun memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana tertuduh sudah digantung tugas selain perlu menyara isteri, seorang anak berusia 14 tahun dan ibu mentua yang diserang strok.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee meminta mahkamah menjatuhi hukuman setimpal kerana kesalahan rasuah boleh mendatangkan kerosakan kepada masyarakat sekiranya tidak dibendung.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 yang mana jika denda itu gagal dibayar boleh dipenjara selama lima bulan.

    Difahamkan tertuduh membayar denda itu hari ini.

  • Pemandu lori didakwa pukul anjing dengan kayu

    Pemandu lori didakwa pukul anjing dengan kayu

    SEORANG pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Selangor hari ini atas pertuduhan memukul seekor anjing dengan sebatang kayu sehingga cedera.

    Mohd Zainal Mat Daham, 41, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa melakukan perbuatan tersebut sehingga menyebabkan haiwan itu mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan hadapan dan belakang.

    Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di hadapan pos pengawal sebuah kawasan perumahan di Bandar Puncak Alam pada 8.30 malam, 29 Okt tahun lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor Mohd Sharif Sabran memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah atas alasan dia penanggung utama keluarga.

    “Saya tidak mampu puan, saya mohon jaminan yang seringan-ringannya,” katanya.

    Hakim Zafirah Zainal Abdidin membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 28 Feb ini untuk sebutan semula kes.

    Mohd Zainal membayar jaminan tersebut.

  • Wanita dituduh bunuh pemandu e-hailing

    Wanita dituduh bunuh pemandu e-hailing

    WANITA didakwa di Mahkamah Majistret Tawau hari ini atas pertuduhan membunuh pemandu e-hailing di ladang kelapa sawit di Batu 5 Jalan Apas, dekat Tawat, awal bulan ini.

    Tertuduh, Nurima Juli, 33, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Dzul Elmi Yunus.

    Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Nurimah bersama beberapa individu yang masih bebas dituduh membunuh Nurman Bakaratu, 61, antara 7.30 malam hingga 10.30 malam pada 13 Januari lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu rekuisisi, laporan kimia dan laporan bedah siasat.

    Terdahulu, tertuduh yang berpakaian t-shirt hitam dan seluar jeans biru tiba di mahkamah kira-kira 2.22 petang sambil diiring anggota polis sebelum dibawa ke bilik bicara.

    Media sebelum ini melaporkan tertuduh bersama lapan pegawai dan anggota polis termasuk seorang pegawai kanan direman bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh terbabit.

  • Nelayan antara tiga didenda RM7,300, jalan operasi judi piala dunia

    Nelayan antara tiga didenda RM7,300, jalan operasi judi piala dunia

    TIGA lelaki termasuk seorang nelayan didenda RM7,300 di Mahkamah Majistret Melaka, pada Isnin, kerana menjalankan pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2022.

    Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman memutuskan denda itu selepas Richard Danker, 54; Linus Hilary Pinto, 60; dan Lim Soon Boon, 34, mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953 dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

    Berdasarkan pertuduhan, Richard yang bekerja sebagai nelayan dan Linus seorang penganggur didapati bersalah membuat pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA Qatar 2022 secara dalam talian dengan menggunakan telefon bimbit bernilai RM150,250.

    Kesalahan itu dilakukan di Medan Portugis, Kampung Portugis pada pukul 4 dan 4.10 pagi, 14 Disember tahun lalu.

    Seorang lagi tertuduh, Soon Boon yang bekerja di restoran mengaku bersalah melakukan kesalahan sama berjumlah RM75,000 di tepi Jalan Daranjo, Kampung Portugis, Melaka, pada pukul 6.40 petang, 10 Disember tahun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas kesalahan dilakukan mereka.

    Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda ringan dikenakan terhadap mereka, lapor Sinar Harian.

    Mahkamah kemudian menetapkan Richard didenda RM2,500 selain Linus dan Soon Boon masing-masing RM2,400 atau sebulan penjara jika gagal bayar.

  • Rayuan lucut hak RM21.7 juta daripada 11 entiti termasuk UMNO Pekan ditarik balik

    Rayuan lucut hak RM21.7 juta daripada 11 entiti termasuk UMNO Pekan ditarik balik

    PIHAK pendakwaan hari ini menarik balik rayuannya untuk melucut hak wang berjumlah RM21.7 juta milik 11 entiti dan individu, termasuk  UMNO Pekan dan Badan Perhubungan UMNO Johor, yang didakwa ada kaitan dengan dana 1Malaysia Development Bhd (IMDB).

    Yang lain ialah daripada Jakel Trading Sdn Bhd, Jakel Trading, Barisan Nasional bahagian Johor Bahru, Mediaedge CIA Malaysia Sdn Bhd, Parti Rakyat Bersatu Sarawak, pengarah firma penyelidikan Sim Sai Hoon, AGA Touch Malaysia Sdn Bhd, Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (Yayasan PBAKM) dan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam.

    Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar memaklumkan perkara itu kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa pihak pendakwaan telah menarik balik rayuannya terhadap 11 responden.

    Notis pemberhentian rayuan telah difailkan pada 27 Jan.

    Kamal Bahrin juga memberitahu mahkamah bahawa wang yang dirampas akan dikembalikan kepada responden.

    Datuk Seri Kamaludin Md Said yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian, kemudian membatalkan rayuan itu.

    Pihak pendakwaan tidak berjaya di Mahkamah Tinggi untuk melucut hak RM700,000 daripada UMNO Pekan, RM100,000 daripada Yayasan PBAKM, RM628,314 daripada Jakel Trading, RM10,747,042.77 daripada Jakel Trading Sdn Bhd, RM677,872.55, daripada Badan Perhubungan Umno Johor, RM957,395.65 daripada Barisan Nasional Johor Bahru.

    Mahkamah Tinggi yang berasingan juga telah menolak rayuan pihak pendakwaan untuk melucut hak RM100,000 daripada Kasitah, RM3 juta milik AGA Touch (M) Sdn Bhd, sebuah firma IT, RM41,261.64 daripada Sim, pengarah firma penyelidikan Centre for Strategic Engagement Sdn Bhd, RM188,138.26 daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak dan RM4,631,602 daripada Mediaedge CIA.

    Sementara itu, mahkamah menetapkan 28 Mac untuk mendengar rayuan yang dikemukakan oleh Badan Perhubungan MCA Pahang, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan keluarga bekas Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua UMNO Bahagian Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail.

    Ini bagi membolehkan mereka memfailkan representasi masing-masing kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berikutan keputusan pihak pendakwaan untuk menarik balik rayuannya bagi 11 kes itu.

    Kamaludin, yang mengetuai panel hakim itu, berkata perlu ada konsistensi memandangkan pihak pendakwaan telah menarik balik rayuannya bagi 11 kes tersebut.

    Beliau kemudian mencadangkan supaya peguam bagi ketiga-tiga kes itu mengemukakan representasi mereka kepada AGC.

    Hakim itu kemudian memerintahkan ketiga-tiga pihak ke peringkat pengurusan kes.

    Pengurusan kes kemudiannya diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli yang kemudiannya menetapkan 28 Mac untuk pendengaran ketiga-tiga rayuan itu. Beliau juga memberi tempoh sehingga 10 Feb kepada pihak-pihak untuk mengemukakan representasi mereka kepada AGC.

    Tiga Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucuthakkan wang berjumlah RM2.1 juta daripada Badan Perhubungan MCA Pahang, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan keluarga Abdul Manan.

    Empat belas kes hari ini adalah antara 41 entiti yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusaha mendapatkan semula aset yang dikatakan telah dibayar menggunakan dana 1MDB.

  • Subkontraktor TM antara 14 dituduh curi, hapus kabel

    Subkontraktor TM antara 14 dituduh curi, hapus kabel

    SERAMAI 14 individu dihadapkan di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang pagi ini atas pertuduhan mencuri dan menghapuskan kabel milik Telekom Malaysia (TM) dalam kejadian awal bulan ini.

    Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang antaranya bekerja sebagai subkontraktor; pengawal keselamatan, penternak ikan, penjual vape, kerani dan sebagainya mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret R. Manomani.

    Bagi pertuduhan pertama, 11 tertuduh didakwa telah mencuri kabel milik Telekom Malaysia pada pukul 5 pagi 10 Januari lalu, di persimpangan lampu isyarat Tanjung Bungah.

    Mereka ialah Mohd. Danial Mohd. Nasib, 42; Mohd. Helmie Iswandi Ismail, 40; Muhamad Faiz Yahaya, 31; Mohd. Hishammudin Mohd. Razak, 45; Muhammad Farhan Ridzuan, 31; Muhammad Zulfaqar Ismail, 31; Syed Hasnisham Syed Hassan, 37; Abdul Wafi Fazil, 38; Muhamad Ridzuan Jamaludi, 36; Ahmad Finhas Fazil, 40, dan Muhammad Nasrul Mohamas Rashidey, 30.

    Mereka dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

    Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang kemudian boleh dihukum dengan pemenjaraan dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua pula, 11 tertuduh yang sama serta tiga lagi tertuduh iaitu, Sande Baijuri Abd. Rahman, 40; Ahmad Zulaswad Ismail, 36, dan Muhamad Fauzal Roselan, 27, didakwa dengan sengaja menolong menghapuskan harta curi iaitu kabel milik TM.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 5 dan 7 Januari lalu, kira-kira pukul 6.30 pagi di Kampung Matang Gedong, Sungai Petani, Kedah.

    Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd. Azuyar manakala tertuduh diwakili peguam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq dan Naqieya Zulkernain.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya memohon supaya kesemua tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi pertuduhan pertama serta RM1,500 bagi pertuduhan kedua dengan seorang penjamin selain menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pada 15 Januari lalu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, seorang subkontraktor Telekom Malaysia (TM) antara yang ditahan polis kerana terbabit kegiatan curi kabel milik syarikat telekomunikasi itu di sekitar Pulau Pinang dan Kedah dengan kerugian keseluruhan RM910,448.

    Kegiatan kumpulan itu terbongkar susulan penahanan 11 lelaki tempatan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di persimpangan lampu isyarat Jalan Tanjung Bungah, pukul 2.40 pagi pada 10 Januari lalu.

  • Warga emas didakwa terima, pindah, lupus wang aktiviti haram lebih RM1.2 juta

    Warga emas didakwa terima, pindah, lupus wang aktiviti haram lebih RM1.2 juta

    SEORANG warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas sembilan pertuduhan menerima, memindah dan melupus wang aktviti haram berjumlah RM1.27 juta, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Ahmad Yusri Mohd Yunus, 67, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hakim Kamarudin Kamsun, pagi tadi, lapor Utusan TV.

    Mengikut empat pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerima wang yang merupakan hasil aktiviti haram secara berasingan berjumlah RM705,625 daripada akaun bank milik AYMY Multitouch Enterprise.

    Selain itu, tertuduh turut didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000 daripada akaun bank miliknya secara atas talian sebagai bayaran, kepada akaun bank milik tiga buah syarikat berlainan.

    Sementara dua lagi pertuduhan, dia didakwa melupuskan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM490,285 yang juga merupakan hasil aktiviti haram menerusi akaun bank miliknya.

    Ahmad Yusri Mohd Yunus,67, menghadapi sembilan pertuduhan menerima, memindahkan dan melupuskan wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan jumlah lebih RM1.2 juta selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank tempatan di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur antara 6 hingga 13 November 2020.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (akta 613), dan boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

    Dia berdepan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berkenaan.

    Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memohon supaya mahkamah mengurangkan kadar ikat jamin berikutan tertuduh sudah diisytiharkan muflis, tidak bekerja, menghidap kencing manis dan baru menjalani pembedahan lutut.

    Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 7 Mac depan bagi sebutan semula kes.