Category: Mahkamah

  • Mahkamah tolak permohonan Zahid pasport dikembalikan secara kekal

    Mahkamah tolak permohonan Zahid pasport dikembalikan secara kekal

    MAHKAMAH Tinggi di Petaling Jaya menolak permohonan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi agar pasportnya dikembalikan secara kekal bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasminya.

    Bagaimanapun, Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan dokumen perjalanan peribadi Zahid dikembalikan buat sementara agar beliau boleh mendapatkan pasport diplomatik.

    Sequerah berkata, Zahid, yang menghadapi 47 tuduhan rasuah, mesti mengembalikan pasport peribadinya kepada mahkamah sejurus selepas pasport diplomatik dibuat.

    Beliau berkata, permohonan Zahid agar pasport peribadinya dikembalikan tidak dibenarkan kerana kedudukan semua orang atau tertuduh adalah sama rata mengikut undang-undang.

    “Tiada perbezaan antara seorang tertuduh dengan yang lain. Justeru, permohonan (Zahid) agar pasport peribadinya dilepaskan secara kekal ditolak,” katanya, lapor FMT.

  • Laporan Shahrir terhadap Thomas diklasifikasi ‘NFA’

    Laporan Shahrir terhadap Thomas diklasifikasi ‘NFA’

    LAPORAN polis oleh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad terhadap bekas peguam negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan salah guna kuasa diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).

    Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai berkata, polis tidak akan menyiasat laporan itu kerana Thomas bertindak mengikut undang-undang.

    “Seorang peguam negara mempunyai kuasa mutlak untuk mendakwa sesiapa mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Peruntukan itu menyatakan bahawa “peguam negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di Mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera”.

    Shahrir dibebaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram RM1 juta bulan lalu selepas pihak pendakwaan memberitahu mahkamah ia tidak mahu meneruskan kes itu.

    Ini berlaku selepas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu mahkamah, Thomas berkeras mahu mendakwa bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu walaupun kertas siasatan kes tidak lengkap.

    Shahrir, bekas pengerusi Felda, kemudian membuat laporan polis terhadap Thomas kerana didakwa menyalahguna kuasa.

    Beliau juga mendakwa terdapat unsur pendakwaan berniat jahat dilakukan terhadapnya selaku seorang ahli politik dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

    Pada masa sama, beliau mendakwa kes mahkamah itu mencemarkan nama baiknya dan keluarga yang turut sama diheret dan diaibkan.

  • LHDN dapat penghakiman terus saman cukai RM1.8b terhadap bapa Jho Low

    LHDN dapat penghakiman terus saman cukai RM1.8b terhadap bapa Jho Low

    MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan kembali RM1.8 bilion tunggakan cukai daripada Tan Sri Larry Low Hock Peng, bapa kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

    Penghakiman terus adalah apabila mahkamah membuat keputusan mengenai satu kes tanpa mendengar keterangan saksi.

    Hakim Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah yang menyampaikan keputusan itu semalam membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan Hock Peng membayar kos RM3,000.

    Mahkamah turut menolak permohonan Hock Peng untuk membatalkan saman yang difailkan kerajaan melalui LHDN.

    LHDN diwakili Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad, Al-Hummidallah Idrus dan Muhammad Aiman Abdullah manakala peguam Yatiswara Ramachandran, Francis Tan dan Oh Chong Ghee bertindak bagi pihak Hock Peng.

    Pada 24 Mac 2021, kerajaan selaku plaintif memfailkan permohonan untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Hock Peng selaku defendan sebanyak RM1,884,098,662.55 dengan faedah pada lima peratus setahun dari tarikh penghakiman ini (1 Feb) hingga tarikh realisasi dan kos.

    Permohonan itu dibuat antaranya atas alasan cukai yang terhutang dan kenaikan-kenaikan yang dikenakan di bawah peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967 boleh didapatkan kembali sebagai suatu cukai yang genap masanya dan kena dibayar.

    Hock Peng memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 22 Mac 2021, antaranya kerana taksiran-taksiran untuk tahun 2011 dan 2012 serta taksiran tambahan bagi 2013 dan 2014 adalah tidak sah kerana taksiran tersebut dilakukan melebihi lima tahun daripada tahun taksiran ke atas pendapatan yang didakwa telah terakru tanpa mematuhi Seksyen 91 (3) Akta Cukai Pendapatan 1967.

    Kerajaan yang memfailkan saman itu pada 19 Jan 2021, mendakwa Hock Peng gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012 dan Tahun-tahun Taksiran Tambahan bagi 2013, 2014, 2015 dan 2018 termasuk kenaikan yang dikenakan berjumlah RM1,884,098,662.55.

    Pada 18 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan kembali RM1.05 bilion tunggakan cukai daripada Jho Low. – BERNAMA

  • Ibu tunggal menangis, sujud syukur, terlepas hukuman gantung

    Ibu tunggal menangis, sujud syukur, terlepas hukuman gantung

    SEORANG ibu tunggal menangis dan melakukan sujud syukur apabila terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Melaka membebaskannya atas dua pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah seberat 1.6 kilogram.

    Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu terhadap Huda Humairah Liang Moi Yin, 43, yang juga ibu kepada empat orang anak.

    “… selepas meneliti dan mengambil kira laporan forensik dan analisis DNA pada sikat dan tuala mendapati bukan saja DNA tertuduh dan orang kena tuduh dua tetapi terdapat orang lain yang tidak dikenali.

    “Tuala dan sikat yang dijumpai dalam tandas di apartmen tersebut adalah bersambung dengan bilik yang dijumpai dadah tersebut. Didapati juga beberapa orang dan set kunci dijumpai yang mempunyai akses ke bilik utama tersebut, ” kata Anselim.

    Mahkamah turut membebaskan wanita itu daripada empat pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah dan racun.

    Bagaimanapun mahkamah mendapati Huda Humairah bersalah atas satu pertuduhan memiliki dadah seberat 20.25 gram dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun bermula dari tarikh tangkap pada 13 Okt 2018.

    Penjual buah itu didakwa melakukan semua kesalahan tersebut di kawasan meletak kenderaan dan di sebuah unit apartmen di Pinggiran Bunga Raya di sini.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan; Seksyen 12 (2) ADB dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

    Perbicaraan bermula pada 15 Sept 2020 dengan 19 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan memberi keterangan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilarif Mohd Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Quek Kia Ping. – BERNAMA

  • Buruh didakwa pukul isteri guna top keledar

    Buruh didakwa pukul isteri guna top keledar

    SEORANG buruh dijatuhi hukuman penjara 15 bulan di Mahkamah Majistret Gua Musang, hari ini, atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan topi keledar, 25 Januari lalu.

    Mohd. Shamsuri Rokman Yusuf, 35, mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja memukul Siti Norhashikin Che Mat, 35 menggunakan topi keledar.

    Perbuatan itu dilakukan di hadapan kedai makan di Paloh 2 Gua Musang, 5 petang, 25 Januari 2023.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen dalam akta yang sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ahmad Firdaus Abdul Hamid.

    Ahmad Firdaus merayu supaya mengurangkan hukuman kerana lelaki itu mempunyai tanggunggan lima anak dan menjaga ibu yang sakit.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan yang bermula daripada tarikh ditangkap, 28 Januari lalu.

  • Pemuda dituduh bunuh warga emas

    Pemuda dituduh bunuh warga emas

    SEORANG pemuda dituduh di Mahkamah Majistret di Jasin hari ini sini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas berusia 91 tahun di Kampung Pulai Darat.

    D. Peter, 20, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Tan Chai Wei namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

    Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah membunuh seorang wanita, Misah Md. Amin, 91, di Kilometer 16 Kampung Pulai Darat Merlimau, kira-kira pukul 1.30 pagi pada 20 Januari lalu.

    Pendakwaan dikendalikan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam, lapor Sinar Harian.

    Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan mendapatkan laporan bedah siasat.

    Media pada 20 Januari lalu melaporkan seorang warga emas ditemukan mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kilometer 16 Kampung Pulai Darat, Merlimau.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd. Fadzli Othman berkata, mangsa, Misah Md. Amin, 91, ditemui terbaring di bahagian dapur rumah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

  • Edar dadah dalam kompleks penjara, warden ke tali gantung

    Edar dadah dalam kompleks penjara, warden ke tali gantung

    SEORANG warden penjara dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis dan methamphetamine dengan berat keseluruhan 410.07 gram (g) di kompleks penjara, empat tahun lepas.

    Hakim Nurulhuda Nur’aini Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Elmy Arif Hamid, 40, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan berkenaan.

    Mohd Elmy Arif didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Penjara Sungai Buloh, Sungai Buloh pada 11 pagi, 18 Jun 2019 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

    Tertuduh turut didapati bersalah bagi empat pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah iaitu heroin (4.25g), monoacetylmorphines (1g), etilzolam (38.67g) dan clozapine (50.80g) di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

    Bagi empat kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan bagi kesalahan memiliki heroin, masing-masing penjara satu tahun (monoacetylmorphines dan etilzolam) serta penjara enam bulan (clozapine).

    Nurulhuda Nur’aini turut memerintahkan hukuman pemenjaraan tersebut berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 18 Jun 2019.

    Seramai sembilan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh, telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 24 Ogos 2021.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim manakala Mohd Elmy Arif diwakili peguam Zameri Mat Nawang. – BERNAMA

  • Wanita fail kebenaran rayu keputusan mahkamah kembalikan status agama

    Wanita fail kebenaran rayu keputusan mahkamah kembalikan status agama

    WANITA berusia 37 tahun yang terlibat dalam pertikaian undang-undang berhubung status agamanya membawa kesnya ke Mahkamah Persekutuan dalam usaha untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikannya statusnya sebagai seorang Islam.

    Peguamnya A. Surendra Ananth, ketika dihubungi mengesahkan anak guamnya telah memfailkan notis usul semalam, memohon kebenaran untuk meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan.

    Pada 13 Jan lepas, Mahkamah Rayuan, dalam keputusan majoriti 2-1 telah membenarkan rayuan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri Selangor untuk mengembalikan semula status wanita itu sebagai seorang Islam.

    Rayuan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membatalkan status beragama Islam wanita itu pada 21 Dis 2021.

    Dalam kes sivil, pihak litigan mesti mendapat kebenaran daripada mahkamah sebelum boleh memfailkan rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan.

    Dalam permohonannya, wanita itu mahu Mahkamah Persekutuan menentukan empat persoalan undang-undang, antaranya ialah keadaan di mana perintah Mahkamah Syariah tidak sah, bolehkah perintah itu dicabar secara kolateral di Mahkamah Tinggi Sivil dan sama ada Perkara 121 (1A) Persekutuan Perlembagaan adalah terpakai.

    Persoalan lain ialah sama ada Seksyen 74(3) Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 menghapuskan bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk menentukan kesahihan pemelukan agama Islam seorang bawah umur.

    Dalam saman pemulanya, wanita itu yang semasa dilahirkan pada 1986, berbapa seorang penganut agama Hindu dan ibu penganut agama Buddha, memohon perisytiharan bahawa dia bukan seorang yang menganut agama Islam.

    Dia berkata ibunya memeluk Islam pada 1991 dan secara unilateral telah mengislamkannya, yang ketika itu berusia lima tahun, di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

    Wanita itu mendakwa penukaran agama itu berlaku semasa ibu bapanya dalam proses perceraian, yang kemudian dimuktamadkan pada 1992. Pada tahun berikutnya, ibunya berkahwin dengan seorang lelaki beragama Islam manakala bapanya meninggal dunia dalam kemalangan tiga tahun kemudian.

    Wanita itu mendakwa walaupun memeluk Islam, ibu dan bapa tirinya membenarkan dia terus mengamalkan kepercayaan Hindu, agama yang dianuti sejak dilahirkan. Dia mendakwa tidak mengamalkan ajaran Islam.

    Pada 12 Dis 2013, wanita itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia tidak lagi beragama Islam namun pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya. Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017.

    Selepas gagal di Mahkamah Syariah, wanita itu kemudiannya memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam. Dia kemudiannya berjaya mendapat pengisytiharan bahawa dia bukan beragama Islam.

    Surendra berkata Mahkamah Persekutuan menetapkan 2 Mac untuk pengurusan kes bagi permohonan kebenaran merayu.

  • Bapa mengaku salah sebabkan kematian bayi tiga bulan

    Bapa mengaku salah sebabkan kematian bayi tiga bulan

    SEORANG bapa mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan kematian bayinya berusia tiga bulan, awal bulan ini.

    Amirul Hakim Muhamad Fadzil, 27, mengaku cuai sehingga menyebabkan kematian anak lelakinya itu akibat kecederaan di bahagian kepala, di sebuah rumah di Flat Sri Langkawi, Gombak di sini, pada 4.15 petang, 3 Jan lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin manakala Amirul Hakim yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia yang bekerja sebagai ejen insurans perlu menanggung keluarga.

    Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Feb ini untuk fakta kes dan hukuman.

  • Dua lelaki didakwa bunuh jurukimpal warga Bangladesh

    Dua lelaki didakwa bunuh jurukimpal warga Bangladesh

    DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang jurukimpal warga Bangladesh yang mayatnya ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki diikat di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang, tahun lepas.

    Buruh kilang besi Md Mojibur Rahman, 30, yang juga warga Bangladesh dan penganggur warga tempatan K. Visvanathan, 57, masing-masing mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 5 April ini untuk mendapatkan laporan kimia serta bedah siasat.

    MD Mojibur Rahman,30, dan K.Visvanathan,57, didakwa membunuh seorang lelaki warga asing selepas dihadapakan ke Mahkamah Majistret Selayanng, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Mereka didakwa bersama-sama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas kenalan mereka, Khalek Sheikh, 41, di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang, Batu Arang di sini antara 9 malam hingga 9.40 malam, 29 Dis 2022.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sebelum ini, media melaporkan mayat seorang lelaki ditemukan di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang dalam keadaan tangan dan kaki diikat serta mempunyai kesan cedera di kepala.

    Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan cedera parah di kepala dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul.