Category: Mahkamah

  • Anggota tentera didakwa rogol anak saudara

    Anggota tentera didakwa rogol anak saudara

    SEORANG anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di Melaka hari ini, atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya, dua tahun lalu.

    Tertuduh yang berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun tanpa kerelaannya di sebuah rumah di Taman Semabok Jaya, di Melaka kira-kira pukul 12 tengah hari, 29 Disember 2021.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minima 10 tahun dan maksima 30 tahun serta sebatan.

    Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dengan cara mencium mulut dan meraba anggota sulit kanak-kanak itu.

    Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11 malam, 28 Disember 2021 lalu di lokasi sama.

    Justeru, tertuduh yang juga bapa kepada dua anak perempuan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

    Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

    Bagaimanapun hujahnya, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa mahupun saksi pendakwaan.

    Ini kerana, ujarnya, tertuduh merupakan adik ipar kepada ibu mangsa dan sewaktu kejadian mangsa di hantar ke rumah tertuduh untuk dijaga oleh isterinya sepanjang tempoh persekolahan.

    Tertuduh yang diwakili peguam Cassian Anthony dan Kent Tan Chow Teng bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan rendah dan menangung isteri serta dua anaknya yang berusia 11 dan 14 tahun.

    Mohd. Sabri pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 serta membenarkan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

    Mahkamah turut menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia menurut Astro Awani.

  • Datuk Seri mengaku tidak bersalah guna invois palsu

    Datuk Seri mengaku tidak bersalah guna invois palsu

    SEORANG pengarah syarikat perumahan bergelar Datuk Seri didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini, atas satu pertuduhan menggunakan invois palsu, tiga tahun lalu.

    Chin Kok Foong, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nadia Othman.

    Mengikut pertuduhan, dia dituduh menggunakan suatu dokumen yang diketahui palsu iaitu invois bertarikh 28 September 2019 dan 5 Mei 2020 milik sebuah syarikat, pada awal Oktober 2020 di Jalan Stesen Sentral 2, di Kuala Lumpur.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan P. Nom Phot tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh.

    Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Wan Muhd. Ariff Ameer Wan Normazlan merayu agar diberikan ikat jamin pada kadar yang rendah.

    “Dia perlu menjaga bapa, isteri dan dua anak berusia 14 dan 15 tahun,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nadia membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes.

  • Kes dana 1MDB: Saya tak pernah ragu Jho Low adalah penasihat Najib – Saksi

    Kes dana 1MDB: Saya tak pernah ragu Jho Low adalah penasihat Najib – Saksi

    SEORANG bekas pengurus perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpuor hari ini bahawa beliau tidak pernah meragui ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah penasihat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, yang ketika itu pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Joanna Yu Ging Ping, 52, berkata Jho Low memperkenalkan dirinya sebagai penasihat kepada Najib dan pihak atasan pengurusan 1MDB yang lain juga merujuk Jho Low sebagai ‘bos’.

    “Semua pertemuan kami dengan 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (ketika itu ketua pegawai eksekutif 1MDB), Nik Faisal Ariff Kamil, (ketika itu ketua pegawai pelaburan 1MDB) dan Terence Geh (ketika itu timbalan ketua kewangan 1MDB pegawai) merujuk Jho Low sebagai ‘bos’ dan Datuk Seri Najib sebagai ‘bos besar’.

    “Beliau (Jho Low) sangat berperanan dalam urusan mereka mengenai 1MDB dan bagi saya, saya percaya beliau adalah penasihat kepada Datuk Seri Najib.

    “Bagaimanapun, saya tidak melihat Datuk Seri Najib di pejabat 1MDB, tetapi saya telah melihat Jho Low. Saya percaya apabila Shahrol Azral dan Nik Faisal bercakap tentang urusan, mereka selalu merujuk semula kepada Jho Low. Jadi, saya tidak meragui Jho Low mewakili Datuk Seri Najib,” katanya sambil menambah bahawa beliau telah diperkenalkan Jho Low pada 2007.

    Yu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada perbicaraan Najib dalam kes penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

    Semasa ditanya Ahmad Akram sama ada terdapat mana-mana individu yang memberitahunya bahawa Jho Low bukan penasihat Najib, Yu menjawab tiada.

    Saksi pendakwaan ke-41 itu berkata satu lagi komunikasi oleh Jho Low yang membuatkan beliau yakin ahli perniagaan itu mewakili Najib ialah mesej melalui BlackBerry Messenger (BBM) berhubung isu kad kredit AmBank bekas perdana menteri itu.

    “Saya tidak mempunyai sebab untuk meraguinya (Jho Low), apabila beliau berkata (dalam mesej BBM) bahawa cek telah ditulis, apabila berkata kad kredit tidak boleh digunakan, ada transaksi ditolak, dan apabila berkata ada masuk dana ke akaun Datuk Seri Najib, saya tidak sangsi beliau mewakili Datuk Seri (Najib) apabila beliau berkomunikasi dengan saya.

    “Saya tidak meragui Jho Low berhubung dengan Datuk Seri Najib, terutamanya mengenai kad kredit di Itali bahawa bank itu menolak transaksi tertentu, saya berasa amat terkilan kerana menolak transaksi kad kredit PM. Yang itu saya bimbang akan ada kesan dan saya percaya Jho Low berkomunikasi dengan Datuk Seri (Najib) dan beliau (Low) menerima arahan,” kata Yu.

    Ditanya sebab beliau menghubungi Jho Low berhubung akaun Najib dan tidak menyemak secara peribadi dengan Najib, Yu menjawab: “Ini juga kerana Najib adalah Perdana Menteri Malaysia. Saya tidak fikir saya akan pergi atau menghubungi pejabatnya, itu bukan peringkat saya.”

    Sementara itu, menjelaskan bagaimana akaun Najib sentiasa ditambah setiap kali pengeluaran berlebihan, Yu berkata akaun itu menerima dana di kaunter daripada dua individu dikenali sebagai Kee Kok Thiam dan Josie.

    Ahmad Akram: Adakah mereka orang Arab?

    Yu: Tidak. Setahu saya, mereka (Kee dan Josie) adalah orang Cina Malaysia.

    Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

    Bagi pertuduhan rasuah, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014, manakala pertuduhan pengubahan wang haram didakwa dilakukan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 27 Feb.

  • Adakah orang Arab yang masukkan dana dalam akaun Najib?

    Adakah orang Arab yang masukkan dana dalam akaun Najib?

    PENDAKWAAN hari ini menimbulkan persoalan sama ada orang Arab yang berterusan memasukkan sejumlah wang tunai yang banyak setiap kali baki dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak tidak mencukupi.

    Perkara itu dibangkitkan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika menyoal bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping yang bertanggungjawab menguruskan akaun peribadi bekas Pedana Menteri itu, pada sesi pemeriksaan semula.

    Joanna yang menjelaskan bagaimana akaun peribadi Najib sentiasa ditambah, berkata akaun terbabit menerima dana melalui urusan di kaunter daripada dua individu yang didakwa sekutu Jho Low iaitu Kee Kok Thiam dan wanita hanya dikenali sebagai Josie.

    Ahmad Akram: Adakah mereka orang Arab?

    Joanna: Setahu saya mereka Cina Malaysia … Mereka rakyat Malaysia

    Menurut saksi ke-41 pendakwaan itu, beliau mengenali Kok Thiam dan Josie ketika berurusan dengan Jho Low yang menjadi pelanggan di AmBank sejak tahun 2007.

    Katanya, Najib selaku pemegang akaun tidak pernah bertanyakan kepada bank mengenai transaksi di kaunter yang dilakukan oleh dua individu berkenaan.

    Dalam prosiding sebelum ini, Joanna berkata seorang individu akan dihantar secara fizikal memasukkan wang tunai dalam jumlah yang besar ke dalam akaun peribadi Najib pada tahun 2014 apabila baki tidak mencukupi.

    Akaun itu kadangkala akan menjadi overdraf, dan beliau akan memaklumkan kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan pemegang mandat akaun, Nik Faisal Ariff Kamil.

    Katanya, Kok Thiam kemudian akan menambah dana ke dalam akaun berkenaan, lapor Berita Harian.

  • Anak Allahyarham JJ gagal dapat kebenaran merayu berhubung saham lebih RM1 bilion

    Anak Allahyarham JJ gagal dapat kebenaran merayu berhubung saham lebih RM1 bilion

    ANAK bekas menteri Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Mohd Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter pada 2015, gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan mereka berhubung kemasukan saham Rantai Wawasan Sdn Bhd bernilai RM1.044 bilion dalam senarai harta pusaka bapa mereka.

    Ikhwan Hafiz Jamaludin, 35, dan Nur Anis Jamaludin, 37, memohon kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan memihak kepada nenek mereka, Aminah Abdullah, untuk memasukkan tiga juta saham Rantai Wawasan dalam senarai harta pusaka bapa mereka.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli dan hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Rhodzariah Bujang menolak permohonan kebenaran merayu itu berserta kos RM30,000 dalam keputusan 2-1.

    Abdul Rahman dan Rhodariah memutuskan keputusan majoriti manakala Nallini sebaliknya.

    Dalam keputusan majoriti mahkamah yang disampaikan secara dalam talian, Abdul Rahman berkata, kebenaran merayu ditolak kerana dua persoalan undang-undang yang permohon mahu mahkamah putuskan adalah berkaitan dengan penemuan fakta oleh dua mahkamah sebelum ini.

    Beliau berkata, permohonan kebenaran mereka gagal memenuhi keperluan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

    Nallini dalam penghakimannya yang bertentangan mengatakan kebenaran harus diber,ikan kerana tiada penemuan fakta serentak oleh mahkamah sebelum ini.

    Pada 3 Jan 2019, Aminah, 88, menyaman cucunya, mendakwa saham tiga syarikat iaitu saham Rantai Wawasan, enam juta saham Alpine Motion bernilai RM233 juta dan dua saham Ivory Insights bernilai RM80 juta, perlu dipertimbangkan sebagai sebahagian harta pusaka anaknya.

    Pada 13 Ogos 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Aminah untuk pengisytiharan bahawa tiga juta saham Rantai Wawasan Sdn Bhd dimasukkan dalam senarai harta pusaka Jamaluddin.

    Mahkamah Tinggi, bagaimanapun, menolak permohonan Aminah untuk pengisytiharan saham dua lagi syarikat.

    Mahkamah Rayuan, pada 19 Ogos tahun lepas, menolak rayuan kedua-dua anak Allahyarham itu dan Aminah serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

    Ikhwan Hafiz dan Nur Anis kemudiannya memfailkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan mahkamah mengenai saham Rantai Wawasan.

    Aminah, bagaimanapun, tidak memfailkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan mahkamah berkaitan saham Alpine Motion dan Ivory Insights.

    Peguam Saheran Suhendran, Frank Wong dan Rodney Gan mewakili Ikhwan Hafiz dan Nur Anis manakala peguam Zainur Zakaria, Pawancheek Marican dan Suzilawati Ismail mewakili Aminah.

    Jamaluddin yang lebih dikenali sebagai JJ, merupakan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, terbunuh dalam nahas helikopter ketika dalam perjalanan dari Pekan, Pahang, ke ibu negara pada 4 April 2015.

  • Lelaki dijel laku seks luar tabii terhadap adik tiri usia 8 tahun

    Lelaki dijel laku seks luar tabii terhadap adik tiri usia 8 tahun

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas seorang lelaki atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap adik tirinya pada 2018.

    Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman berkenaan selepas lelaki berumur 23 tahun itu mengaku bersalah terhadap kesalahan itu yang dilakukan ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ketika kejadian.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah pangsa, Jalan Sungai Baru, Kampung Baru di Kuala Lumpur pada 2 petang, mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.

    Tasnim memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 15 November 2021 dan mengikuti sesi kaunseling di dalam penjara selain berada dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai hukuman.

    Mengikut fakta kes, pada awal November 2021, semasa mangsa bersama ibunya di rumah, wanita itu berpesan kepada mangsa untuk tidak membenarkan orang lain memegang di tempat yang tidak sepatutnya seperti buah dada serta kemaluan.

    Kanak-kanak itu kemudian diam lalu menangis dan menyatakan bahawa abang serta bapanya ada melakukan perkara yang tidak sepatutnya terhadap mangsa semasa ibunya tiada di rumah, namun tidak memberitahu sesiapa kerana takut.

    Semasa rayuan terhadap hukuman, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap perlu menyara dua adiknya berumur 20 dan 18 tahun yang masih belajar.

    Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh kerana semasa kejadian mangsa berumur lapan tahun dan sebagai abang, dia sepatutnya menjaga serta mendidik adiknya yang masih kecil dengan perkara yang baik, bukan bertindak sedemikian.

    “Akta Kanak-Kanak masih terpakai kepada tertuduh kerana semasa kejadian tertuduh berumur 18 tahun dan masih lagi seorang kanak-kanak.

    “Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman pemenjaraan terhadap tertuduh dan dia perlu menjalani sesi kaunseling di dalam penjara selain berada dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman,” kata Julaila.

  • Perbicaraan kes Ebit Liew tangguh kepada Mei ini

    Perbicaraan kes Ebit Liew tangguh kepada Mei ini

    MAHKAMAH Majistret Tenom, hari ini, membenarkan permohonan peguam bela meminta perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew, ditangguhkan ke satu tarikh baharu.

    Majistret, Nur Asyraf Zolhani, memaklumkan perbicaraan bakal berlangsung pada 11 sehingga 12 Mei depan.

    Peguam bela, Ram Singh, ketika sesi penghujahan menyatakan permohonan itu dibuat bagi membolehkan pihaknya membuat semakan dokumen berkaitan 90 imej lucah di Mahkamah Tinggi berkaitan langkah memanggil Inspektor Yip Chang Ching sebagai saksi pendakwaan ketujuh.

    Mahkamah membenarkan Chang Ching memberi keterangan, namun menyatakan peguam bela turut mempunyai hak meminta masa munasabah bagi meneliti dokumen itu, selain memeriksa mana-mana saksi berhubung dengan dokumen itu.

    Nur Asyraf berkata, demi kepentingan keadilan bersama, mahkamah membenarkan penangguhan prosiding sehingga semakan selesai didengar dan diputuskan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, menyatakan pihak pendakwaan tiada bantahan dan bersetuju dengan cadangan mahkamah.

    Dalam prosiding sebelum ini, Zahida memaklumkan kepada mahkamah, bahawa imej yang ada di dalam pemacu kilat mengandungi imej tertuduh dan pengadu yang bersifat seksual, selain terdapat 90 imej lucah di dalamnya.

    Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara Mac hingga Jun 2021, lapor BH.

  • Penyelia syarikat keselamatan didakwa edar heroin

    Penyelia syarikat keselamatan didakwa edar heroin

    SEORANG penyelia di sebuah syarikat keselamatan berdepan hukuman mati di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 1.4 kilogram awal Februari ini.

    Mohd. Amali Masturo,36, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

    Sinar Harian melaporkan, bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan tertuduh.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dikatakan mengedar dadah jenis heroin yang mengandungi berat kasar 1,424.45 gram.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan TU 60, Taman Tasik Utama berhadapan Pangsapuri Sri Utama, Ayer Keroh di Melaka, pada pukul 9 malam, 2 Februari lalu.

    Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob manakala tertuduh diwakili peguam Andrew Lourdes.

    Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

  • Penganggur berdepan tuduhan bunuh warga emas

    Penganggur berdepan tuduhan bunuh warga emas

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG lelaki yang tidak bekerja didakwa di Mahkamah Majistret Kulim, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas pada Oktober tahun lalu.

    Tertuduh, Shariefuddin Arshad, 57, mengaku faham setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret B. Sri Pracha Nanthini.

    Dia dituduh membunuh dengan menyebabkan kematian Fatimah Saleh, 79, di sebuah rumah yang beralamat di Kampung Durian Burung, Kulim antara 9 pagi hingga 10.30 pagi, 4 Oktober lalu.

    Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan dia boleh dihukum mati.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Arthini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 12 Mac ini untuk tarikh sebutan semula kes.

    Pada 5 Oktober lalu, polis menerima laporan daripada waris mangsa yang mengesyaki kematian warga emas itu disebabkan perbuatan jenayah susulan kehilangan gelang emas, dua bentuk cincin dan telefon bimbit mangsa.

    Sehari kemudian, kubur mangsa yang terdahulu ditemukan meninggal dunia dalam rumahnya terpaksa digali semula.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, suspek ditangkap di Serdang, Kulim setelah laporan Jabatan Kimia mengesahkan satu profil asid deoksiribonukleik (DNA) lelaki dikesan di tempat kejadian.

  • Bekas pemandu teksi rogol pelancong kekal dipenjara 20 tahun

    Bekas pemandu teksi rogol pelancong kekal dipenjara 20 tahun

    MAHKAMAH Rayuan hari ini memutuskan seorang bekas pemandu teksi kekal dipenjara 20 tahun dan disebat 16 kali atas dua pertuduhan kerana mengugut serta merogol seorang pelancong wanita warga Indonesia di sebuah hotel.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama Datuk Supang Lian dan Datuk Ahmad Nafsy Yasin, membuat keputusan itu secara sebulat suara terhadap tertuduh, Abdul Ghani Abdul Karim.

    Kamaludin berkata, ia selepas pihaknya mendapati Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini sudah mempertimbangkan semua fakta masing-masing ketika menjatuhkan serta mengekalkan hukuman berkenaan.

    “Dua sabitan pertuduhan itu selamat dan berkaitan hukuman, tiada sebab untuk mengganggu dapatan mahkamah terbabit yang mempertimbangkan segala fakta.

    “Hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan untuk kedua-dua pertuduhan,” katanya.

    Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman terbabit terhadap Abdul Ghani, 48, pada 23 Julai 2020, manakala Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman pada 20 Mei 2021.

    Mengikut pertuduhan, Abdul Ghani, merogol wanita warga Indonesia, 34, dan mengugut mangsa hendak menyebabkan kematian dengan menggunakan pemutar skru di bilik sebuah hotel di Taman Seputeh, Kuala Lumpur, antara pukul 1.30 hingga 2 pagi, 24 Disember 2018.

    Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) dan 506 Kanun Keseksaan (KK).

    Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili Abdul Ghani, Muhamad Izwan Ishak, memohon Mahkamah Rayuan mempertimbangkan dua isu utama berhubung hukuman terbabit.

    Yang pertama, keterangan bercanggah oleh saksi pendakwaan pertama yang juga pekerja hotel dan mangsa sebagai saksi pendakwaan kedua berhubung kejadian rogol.

    “Saksi pendakwaan pertama kata jika ada jeritan dalam bilik, dia atau penyelia hotel boleh dengar. Bila saksi pendakwaan kedua menjerit untuk hentikan perbuatan rogol, saksi pendakwaan pertama langsung tak dengarnya.

    “Isu kedua pula pada peringkat pembelaan, ada dikemukakan tangkap layar perbualan (pada telefon) antara perayu (Abdul Ghani) dan abangnya.

    “Ketika kejadian itu, perayu sedang menjaga ibu bapa yang sakit. Abang perayu ada bertanyakan mengenai keadaan ibu bapa, selain pergi ke rumah mereka pada masa itu,” katanya.

    Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal, menafikan berlaku percanggahan antara kedua-dua saksi pendakwaan berkenaan.

    Katanya, mangsa memaklumkan dalam keadaan lemah menyebabkannya tidak berdaya untuk menjerit ketika kejadian rogol itu.

    “Kalau nada suara menjadi lebih keras, mangsa kata akan dipukul oleh tertuduh. Bagi alibi berada di rumah ibu bapa, tertuduh tidak menidakkan berada di tempat kejadian kepada pegawai penyiasat.

    “Sabitan pertuduhan adalah selamat terhadap perayu yang juga pesalah berulang bagi jenayah rogol dan Mahkamah Sesyen sudah mengambil kira keterangan saksi sebelum membuat penghakiman,” katanya lapor BH.