Category: Mahkamah

  • Zeti tidak tahu tentang pembukaan akaun Najib untuk derma Arab

    Zeti tidak tahu tentang pembukaan akaun Najib untuk derma Arab

    BEKAS gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberi keterangan bahawa bank pusat itu tidak mengetahui bahawa wang daripada 1MDB disalurkan ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Saksi pendakwaan ke-46 itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dirinya selaku gabenor BNM telah menulis surat kepada Najib antara 2014 dan 2015 untuk membangkitkan kebimbangannya terhadap tahap hutang firma pelaburan negara itu yang semakin tinggi dan cabaran pembayaran balik yang membawa kepada penstrukturan semula pinjaman daripada bank tempatan.

    “Perlu dinyatakan bahawa apabila surat yang disebut itu dikeluarkan oleh BNM kepada Najib, dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, BNM tidak mengetahui hakikat bahawa dana yang dimaksudkan untuk pelaburan oleh 1MDB telah dihantar ke akaun yang tidak berkaitan dengan pengisytiharan pelaburan 1MDB.

    “Malah, pada masa itu, BNM tidak mempunyai pengetahuan bahawa dana dalam akaun Najib adalah daripada 1MDB,” kata Zeti, 74, semasa memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion membabitkan Najib.

    Beliau berkata, BNM mendapati bahawa AS$700 juta daripada dana AS$1 bilion yang bertujuan untuk usaha sama antara 1MDB dan Petrosaudi International Limited sebaliknya telah dialihkan ke dalam akaun Good Star Limited yang diperbadankan di Seychelles, sebuah entiti milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low).

    Zeti berkata, BNM menerima maklumat daripada pihak berkuasa asing yang turut memantau aliran kewangan monetari antarabangsa masuk dan keluar dari Malaysia.

    Beliau mengulangi penafiannya sebelum ini terhadap dakwaan Najib yang dibuat semasa temu bual dengan Malaysiakini pada 2018 bahawa beliau mengetahui tentang aliran masuk RM2.6 bilion ke dalam akaunnya di AmBank dan bahawa beliau tidak membangkitkan sebarang soalan mengenainya.

    Ulangnya, pada 2018, Najib memintanya untuk memaklumkan kepada umum bahawa Perdana Menteri tidak melakukan kesalahan daripada segi transaksi kewangan.

    “Semua pemegang akaun dalam sistem kewangan kami dilindungi oleh peruntukan kerahsiaan perbankan dalam perundangan kami.

    “Tiada sesiapa boleh mempunyai akses kepada mana-mana akaun melainkan institusi kewangan terbabit mengesan aktiviti mencurigakan dalam akaun itu dan melaporkannya kepada bank pusat,” katanya.

    Semasa prosiding di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, Zeti menafikan pernah dimaklumkan bahawa Najib bercadang untuk membuka akaun bank pada awal 2011 untuk menerima derma Arab AS$100 juta.

    Keterangannya bercanggah dengan keterangan oleh saksi pendakwaan ke-39, sebelum ini, iaitu pengarah urusan AmBank ketika itu Cheah Teck Kuang.

    Cheah dalam keterangan, mememaklumkan bahawa beliau berjumpa dengan Zeti semasa kunjungan hormat pada 28 Januari 2011 dan memberitahunya tentang tujuan Najib untuk membuka akaun.

    Membaca daripada kenyataan saksi bertulis setebal 17 muka surat, Zeti berkata, dalam pertemuan itu, beliau memberitahu Cheah bahawa pada masa hadapan untuk merujuk semua perkara tersebut kepada Timbalan Gabenor Bank Negara ketika itu.

    Timbalan Gabenor dipertanggungjawabkan untuk memantau kewangan dan penyeliaan sistem kewangan di Malaysia.

    “Tiada apa-apa lagi yang dibincangkan dan perjumpaan adalah singkat.

    “Sepanjang perjumpaan ini, Cheah Teck Kuang tidak pernah menyebut tentang sebarang derma yang akan dimasukkan ke dalam akaun ini,” kata Zeti.

    Akaun berkod AmPrivate Banking-MR itu, kemudian dikaitkan dengan dakwaan derma daripada kerabat diraja Arab Saudi berjumlah AS$681 juta pada 2013.

  • Kes PU Azman: Firdaus Wong dakwa wujud perbuatan liwat

    Kes PU Azman: Firdaus Wong dakwa wujud perbuatan liwat

    PENDAKWAH bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendakwa wujud perbuatan liwat dalam kes amang seksual melibatkan Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias dengan dua mangsa di rumahnya di Sendayan pada Ogos lalu.

    Pada hari keempat perbicaraan di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, beliau yang merupakan saksi ke-10 memaklumkan kepada mahkamah, perkara terbabit diceritakan sendiri oleh kedua-dua mangsa dalam pertemuan di Hotel Akapela, di Shah Alam pada 27 Ogos tahun lalu.

    “Seingat saya, saya ada tanya mangsa utama, adakah Cik Man ada meminta untuk diliwat dan dalam perjumpaan pertama di SACC Center 18 Ogos ketika itu, dia kata tiada.

    “Tapi dalam perjumpaan di Hotel Akapela, mangsa tersebut memberitahu ‘uncle saya ingat balik saya pun ada’ selepas mangsa lain menceritakan bagaimana Cik Man meminta mangsa meliwatnya,” katanya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

    Jelas Firdaus, mangsa memberitahu dia tidak menceritakan kejadian itu dalam perjumpaan pertama kerana tidak ingat disebabkan kepalanya masih sakit akibat terlibat dalam kemalangan.

    Malah katanya, kedua-dua mangsa juga dilihat geram dan marah terhadap insiden berlaku serta mahukan keadilan, namun takut sekiranya orang tidak percaya apa yang diceritakan.

    “Ini kerana Cik Man merupakan seorang selebriti dan sangat popular. Mereka juga bimbang jika buat laporan polis, akan di saman oleh tertuduh.

    “Maka saya kongsi dengan mereka bahawa jika mahu dapatkan keadilan dan tegak kebenaran, mereka boleh buat laporan bagi membolehkan siasatan dilakukan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu ditanya peguam Norman Mohd. Nasir yang mewakili PU Azman, bagaimana kejadian liwat terbabit berlaku, Firdaus memberitahu yang mangsa menceritakan mereka telah dipujuk oleh tertuduh.

    Bagaimanapun beliau tidak ingat jika mangsa ada memaklumkan berapa lama perbuatan terkutuk itu berlaku begitu juga bagaimana posisi badan tertuduh ketika kejadian berkenaan.

    “Yang saya ingat seorang mangsa beritahu, ketika dia sedang mandi di rumah Cik Man, tertuduh mengetuk pintu bilik air dan memintanya untuk buka dan berkata ‘akan dengan ayah pun nak malu’, kerana itu bahasa digunakan.

    “Kemudian mangsa keluar bilik air dengan bertuala, tapi Cik Man kemudian minta ‘main’,” katanya.

    Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria mempersoalkan perkataan digunakan mangsa ketika menceritakan kejadian berlaku sama ada ‘main’ atau liwat.

    Firdaus menjelaskan yang diberitahu mangsa ialah ‘main’ dan perkataan liwat digunakan hanya untuk menggambarkan kejadian berlaku.

    Hakim Datin Surita Budin sekali lagi mempersoalkan Firdaus bagaimana dia tahu berlaku liwat sedangkan mangsa menggunakan perkataan main dan beliau memberitahu ada juga istilah ‘main belakang’.

    Pada 12 Oktober 2022, PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

    Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai tahun lalu.

    Selain itu, PU Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.

  • ‘1MDB tak diurus seperti syarikat tersenarai lain’, kata saksi

    ‘1MDB tak diurus seperti syarikat tersenarai lain’, kata saksi

    BEKAS Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai memberitahu mahkamah hari ini, beliau menyedari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat berkaitannya tidak diurus seperti syarikat tersenarai lain.

    Katanya, lembaga pengarah 1MDB juga tidak terbabit dalam transaksi syarikat manakala akaun syarikat dibuka melalui penandatangan iaitu pegawai pengurusan.

    “Bagaimanapun, adalah dijangka kebenaran lembaga pengarah diperlukan apabila membabitkan urus niaga dengan jumlah yang besar,” katanya.

    Saksi pendakwaan ke-44 itu berkata demikian pada sesi pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P. Kunyalam, dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

    Swampillai turut menyatakan tidak didorong sebarang tawaran daripada mana-mana pihak sama ada di dalam atau luar negara, selain tidak meminta tawaran untuk memberikan keterangan di mahkamah.

    “Ini adalah yang benar belaka dan tidak ada apa-apa yang tidak benar,” katanya, lapor Berita Harian.

    Swampillai selesai memberi keterangan hari ini dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz akan memberikan keterangan selaku saksi pendakwaan ke-45 petang ini.

    Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Prosiding dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak selaku Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

  • Bekas timbalan pengarah kanan DBKL bersalah atas 2 tuduhan rasuah

    Bekas timbalan pengarah kanan DBKL bersalah atas 2 tuduhan rasuah

    PIHAK pendakwaan berjaya dalam rayuannya selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini mendapati bekas timbalan pengarah kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersalah atas dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

    Sebelum ini, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Sabudin Mohd. Salleh daripada pertuduhan itu sebelum pendakwaan menfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

    Hakim, K. Muniandy, memutuskan perkara berkenaan selepas mendapati Hakim, Rozina Ayob, membuat kesilapan dan tersilap arah apabila membebaskan tertuduh pada akhir kes pembelaan.

    “Atas sebab itu, Mahkamah Tinggi membuat keputusan untuk membenarkan rayuan itu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen.

    “Dengan ini, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan hukuman atas pertuduhan terbabit,” katanya, lapor Harian Metro.

    Bagaimanapun, hakim menetapkan 15 Ogos ini untuk menjatuhkan hukuman.

    Pada 2 Jun lalu, pihak pendakwaan menegaskan bahawa Mahkamah Sesyen keliru dengan dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja yang dihadapi Sabudin.

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, dilaporkan berkata, hakim perbicaraan kemudian menyalahkan pendakwaan kerana gagal menunjukkan bahawa terdapat keperluan bagi Sabudin untuk meminta rasuah daripada saksi utama pendakwaan, Wong May Kuan iaitu subkontraktor kepada syarikat Dusari Niaga.

    Peguam, K. Theivaendran mewakili Sabudin pula berkata, Mahkamah Sesyen sudah membuat dapatan yang betul ketika membebaskan anak guamnya berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh saksi.

    Pada 15 September 2022, Sabudin menitiskan air mata selepas kali kedua dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen daripada dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

    Keputusan itu dibuat Hakim, Rozina Ayob, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya mematahkan serta menyangkal kes pendakwaan dengan memberikan penjelasan yang jujur.

    Pada 4 Julai tahun lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil lima saksi termasuk Sabudin untuk memberi keterangan pada prosiding bermula 12 Mei lalu.

    Pada 24 Mac tahun sama, Mahkamah Tinggi memerintahkan Sabudin membela diri atas dua pertuduhan itu, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 18 Disember 2020, yang melepas dan membebaskannya daripada dua pertuduhan itu.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Sabudin yang ketika itu Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, didakwa memperoleh suapan wang tunai RM200,000 daripada Wong May Kuan.

    May Kuan adalah subkontraktor kepada Dusari Niaga yang melaksanakan Cadangan Kerja-kerja Pengisaran dan Penurapan Semula Jalan bagi Bekas Lubang Gali Syarikat Utiliti Di Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk DBKL Bagi Tahun 2018/2020 (2017/A214)’ sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.

  • Buruh kontrak dituduh rogol anak sendiri

    Buruh kontrak dituduh rogol anak sendiri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG buruh kontrak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Alor Setar hari ini atas tiga pertuduhan merogol anaknya antara Disember 2016 hingga Februari 2017.

    Tertuduh yang berusia 52 tahun bagimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut di depan Hakim, Zaihan Mohamad Ali.

    Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ketika anaknya berusia 16 tahun di bilik air rumah mereka di Kampung Paya Sena, Pendang kira-kira pukul 2.30 petang pada Disember 2016.

    Sementara pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di bilik tidur rumah tersebut pada Disember 2016, kira-kira pukul 4 petang.

    Tertuduh kemudiannya didakwa merogol anaknya itu buat kali ketiga di bilik tidur rumah sama pada Februari 2017, pukul 9 pagi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan manakala tertuduh diwakili peguam, A. Surendran.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula dengan tertuduh turut dibenarkan diikat jamin sebanyak RM18,000 bagi tiga pertuduhan tersebut.

  • Pernah jadi rakan kongsi Jasmine Loo: Peguam Najib mungkin minta hakim tarik diri

    Pernah jadi rakan kongsi Jasmine Loo: Peguam Najib mungkin minta hakim tarik diri

    PASUKAN pembelaan Datuk Seri Najib Razak sedang menimbang kemungkinan memohon hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada perbicaraan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion terhadap bekas Perdana Menteri itu.

    Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah berkenaan perkara itu susulan pendedahan Sequerah semalam yang beliau pernah menjadi rakan kongsi dalam firma guaman yang sama dengan Jasmine Loo.

    Jasmine Loo merupakan individu yang kini dalam tahanan berkaitan skandal 1MDB, lapor Malaysiakini.

  • Warga emas bunuh jiran dipenjara 38 tahun

    Warga emas bunuh jiran dipenjara 38 tahun

    SEORANG elaki warga emas terlepas tali gantung selepas dijatuhi hukuman penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini setelah didapati bersalah membunuh jirannya yang berusia 77 tahun, tiga tahun lepas.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed memerintahkan Mohamad Shaharudin Zakaria, 68, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 3 Mei 2020.

    “Si mati dijerut dan dicampakkan ke dalam parit. Tertuduh sememangnya berniat membunuh si mati. Selain itu, terdapat kecederaan lain seluruh badan si mati seperti ditunjukkan post-moterm,” kataTimbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi ketika memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

    Mohamad Shaharudin didakwa menyebabkan kematian Zaharah Khalid, di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung, Manjung pada kira-kira pukul 8 malam pada 3 Mei 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dengan peruntukan yang sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, dalam prosiding hari ini, salah seorang anak mangsa, Hawa Isa, 48, tidak dapat menahan sebak apabila dipanggil memberi keterangan oleh pihak pendakwa tentang kesan kejadian pembunuhan itu kepada keluarga mereka.

    “Memang meninggalkan kesan kepada kami sekeluarga semasa bulan puasa. Kami semua rapat dengan arwah mak terutamanya anak saya yang Orang Kurang Upaya (OKU) yang sehingga kini akan mengamuk apabila teringatkan opahnya.

    “Semasa kejadian baru berlaku, orang kampung cakap macam-macam, tuduh mak saya walaupun tidak bersalah. Saya harap apa berlaku kepada mak saya, dia jerut mak saya, pijak mak saya, saya minta dia dapat hukuman yang setimpal,” kata anak ketujuh daripada 12 beradik itu.

    Liyana Zawani memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati meskipun terdapat pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, kerana mangsa dibunuh dengan kejam oleh tertuduh. 

    Bagaimanapun peguam M. Saravanan yang mewakili tertuduh merayu supaya mahkamah mengurangkan hukuman anak guamnya yang sudah berusia dengan hukuman penjara.

    “Sekurang-kurangnya biarlah dia menghabiskan saki-baki hidupnya di penjara dengan tenang. Janganlah ditambahkan deritanya dengan memberinya hukuman gantung kerana ada kemungkinan Shaharudin mungkin tiada lagi bila tibanya hari untuk dia digantung,” katanya.

    Seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, manakala hanya seorang mewakili pihak pembelaan sepanjang prosiding berlangsung sejak 2021.

  • Suami isteri terlepas hukuman gantung

    Suami isteri terlepas hukuman gantung

    SEPASANG suami isteri berpelukan dan menitis air mata kesyukuran apabila terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini, melepas dan membebaskan mereka atas tuduhan mengedar dadah tiga tahun lepas.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membacakan keputusan tersebut setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Muhammad Yasmi Mohammad Yasin, 48, dan isterinya Rossuhili Ikhsan, 47, lapor Bernama.

    Pasangan suami isteri itu didakwa mengedar dadah berbahaya, iaitu 10.9 gram heroin dan 9.0 gram monoacetylmorphines di sebuah rumah di Jalan Melati, Kg Sri Klebang, Chemor, Kinta  pada 27 Sept 2020. 

    Berdasarkan fakta kes menyatakan semasa serbuan dilakukan pada 6 petang, polis telah menemukan sebungkus plastik hitam di atas lantai di dalam rumah berkenaan selain satu alat penimbang digital, satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi plastik-plastik lutsinar kosong serta beberapa peralatan lain.

    Mereka yang bekerja sendiri itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Saifulakmal Mod Said manakala kedua-dua tertuduh diwakili Mohamad Hafiz Jalaludin.

    Seramai enam saksi telah dipanggil sejak perbicaraan kes itu dijalankan bermula Oktober 2022.

  • Bekas Ketua Staf Perisikan Esscom mengaku tak bersalah  subahat bunuh pemandu e-hailing

    Bekas Ketua Staf Perisikan Esscom mengaku tak bersalah subahat bunuh pemandu e-hailing

    ENAM  anggota polis dan seorang orang awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Tawau hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu e-hailing awal tahun ini.

    Sementara itu bekas Ketua Staf Perisikan Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) SAC Datuk Mat Zaki Md Zain mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama hari ini terhadap dua pertuduhan bersubahat membunuh pemandu e-haling itu awal tahun ini.

    Pertuduhan terhadap Mat Zaki, 58, dan enam anggota polis Rosdi Rastam, 44, Denis Anit, 44, Fabian Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan John Kennedy Sanggah, 44, serta orang awam Vivien Fabian, 34, dibacakan di hadapan Hakim Dr Lim Hock Leng.

    Rosdi, Denis, Fabian, Khairul Azman, Mohd Azlan dan Vivien didakwa secara bersama-sama membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5, Tawau antara 7.30 malam hingga 11.30 malam pada 13 Jan lepas.

    Mereka dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Sementara John Kennedy didakwa membunuh Nurman bersama lima anggota polis dan seorang orang awam terbabit di tempat, tarikh dan masa yang sama.

    Mat Zaki pula menghadapi dua pertuduhan iaitu bersubahat membunuh Nurman bersama enam tertuduh itu dan satu lagi bersama John Kennedy mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

    Mahkamah menetapkan 2 Jan hingga April tahun depan untuk perbicaraan kes ini. 

    Pendakwaan dikendalikan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Manoj Kurup dibantu Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, Khairul Azreem Mamat serta Low Qin Hui.

    Mat Zaki, Khairul Azman, Mohd Azlan, Vivien dan John Kennedy diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Chen Wen Jye, Timothy Dave dan Kimberly Ye.

    Rosdi diwakili peguam Datuk Ansari Abdullah, Abdul Gani Zelika dan Erveana Ansari Ali; Dennis diwakili peguam Hairul Vaiyron Othman dan Luke Ressa Balang manakala Fabian diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Zahbia Ophent dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.

    Pihak pendakwaan dijadual memanggil  25 hingga 30 saksi termasuk  beberapa pakar untuk memberi keterangan manakala pihak pembelaan dijangka memanggil 32 saksi.

    Pada 8 Feb lepas, Rosdi, Denis, Fabian, Khairul Azman, Mohd Azlan serta Vivien, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman, manakala Mat Zaki didakwa bersubahat dengan enam tertuduh itu membunuh lelaki itu.

    John Kennedy pula, pada awalnya merupakan saksi kes pendakwaan, namun pada 11 April lepas lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini bagi pertuduhan membunuh.

    Pada 7 Julai lepas, Mat Zaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini kerana bersubahat dengan John  Kennedy untuk membunuh Nurman.

  • Pereka grafik didakwa sebabkan kematian teman wanita

    Pereka grafik didakwa sebabkan kematian teman wanita

    SEORANG pereka grafik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian teman wanitanya dua minggu lalu.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Sean Edward Kenneth Quinn, 30, yang sekadar mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin, pagi ini.

    Pengakuan tertuduh tidak direkodkan memandangkan kes itu adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Utusan TV.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian kekasihnya yang merupakan seorang penolong pengurus sebuah restoran, Nurin Najmina Mohd Radzuan berusia 25 tahun.

    Sorang pereka grafik, Sean Edward Kenneth Quinn, 30, dituduh menyebabkan kematian teman wanitanya ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Sareeka Balakrishnan sementara tertuduh yang juga berdarah kacukan Kanada itu diwakili oleh Vivek Sukumaran.

    Mahkamah menetapkan 25 September depan bagi sebutan semula kes.

    Beberapa jam sebelum kejadian, mangsa dan tertuduh difahamkan bertengkar sebelum mangsa ditemui tidak bernyawa dipercayai terjatuh dari tingkat 10 kondominium itu.