Category: Mahkamah

  • Dua pengarah syarikat didakwa salah guna kuasa harta syarikat

    Dua pengarah syarikat didakwa salah guna kuasa harta syarikat

    DUA pengarah syarikat Revenue Group Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan harta milik syarikat mereka tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah, lima tahun lepas.

    Dua beradik itu Ng Shih Chiow, 50, dan Ng Shih Fang, 47, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menyebabkan seorang pegawai CIMB Bank Berhad, melupuskan harta iaitu sebuah kereta jenis Toyota Vellfire milik syarikat Revenue Group Berhad tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu, dengan mendaftarkan kereta tersebut atas nama Shih Fang (tertuduh kedua).

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pengangkutan Jalan di Jalan Genting Kelang di Kuala Lumpur, pada 3 Okt 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

    Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili adik-beradik itu, memohon anak guamnya dilepaskan dengan bon jaminan sendiri, atas alasan mereka memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

    “Mereka tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana masing-masing mempunyai isteri dan anak di negara ini, malah mereka hadir ke mahkamah untuk membersihkan nama mereka daripada pertuduhan ini serta mempertahankan syarikat mereka,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

    Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 14 April untuk sebutan kes.

    Sebelum ini media melaporkan, Revenue Group Bhd menggantung fungsi eksekutif Shih Chiow dan Shih Fang berkuat kuasa serta merta, sementara menunggu siasatan lanjut berhubung aduan tertentu terhadap mereka.

  • Mahkamah Rayuan tolak rayuan terhadap fatwa isytihar SIS ‘sesat’

    Mahkamah Rayuan tolak rayuan terhadap fatwa isytihar SIS ‘sesat’

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak rayuan terhadap fatwa Selangor yang melabelkan Sisters in Islam (SIS) sebagai kumpulan sesat.

    Panel tiga anggota yang dipengerusikan oleh Hakim Has Zanah Mehat, dalam keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan oleh kumpulan hak wanita itu.

    Has Zanah bersama Hakim Che Mohd. Ruzima Ghazali membentuk keputusan majoriti manakala Hakim M. Gunalan membuat keputusan tidak bersetuju.

    Rayuan itu adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bidang kuasa sivil) pada 24 Jun 2016, yang menolak semakan kehakiman kumpulan itu terhadap fatwa 2019 pihak berkuasa agama Selangor yang melabelkan mereka sebagai sesat.

    Semasa membacakan keputusan majoriti pagi ini, Ruzima berkata, mereka memutuskan hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk menentukan isu fatwa itu.

    Menurut mereka, SIS sepatutnya membangkitkan isu fatwa tersebut di hadapan mahkamah syariah dan bukannya mahkamah sivil, lapor Malaysiakini.

  • 31 Mac keputusan permohonan Najib semak sabitan kes SRC International

    31 Mac keputusan permohonan Najib semak sabitan kes SRC International

    MAHKAMAH Persekutuan akan menyampaikan keputusannya berhubung permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International pada 31 Mac.

    Peguam Farhan Shafee, anggota pasukan guaman bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka menerima e-mel daripada pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan awal hari ini.

    Panel lima hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli mendengar hujahan daripada kedua-dua pasukan pembelaan Najib dan pihak pendakwaan selama enam hari antara 19 Jan dan 28 Feb.

    Hakim lain dalam panel itu terdiri daripada Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais, lapor FMT.

    Pada 28 Julai 2020, Najib disabitkan kesalahan oleh Hakim Nazlan Ghazali, ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

    Rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021.

    Najib kemudian menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan memfailkan usul untuk menyemak semula keputusan itu pada September tahun lalu atas alasan mahkamah melanggar prinsip keadilan asasi, termasuk haknya untuk mendapatkan khidmat guaman dan perbicaraan adil.

    Jika semakan itu dibenarkan, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos akan diketepikan dan panel baharu akan mendengar semula rayuan.

    Sekiranya semakan ditolak, pilihan terakhir Najib adalah mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong. Dia sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan.

  • Lelaki ‘wanted’ didenda RM5,000 cuba rasuah polis

    Lelaki ‘wanted’ didenda RM5,000 cuba rasuah polis

    MAHKAMAH Sesyen Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap seorang penganggur selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi rasuah kepada anggota polis, Selasa lalu.

    N. Suresh Rao membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan wang tunai berjumlah RM200 kepada seorang koperal polis di hadapan kedai di Jalan Persiaran Batu Gajah Perdana, Batu Gajah, kira-kira jam 6 petang, 7 Mac 2023.

    Ia sebagai dorongan untuk anggota polis berkenaan tidak melakukan tangkapan ke atas tertuduh kerana mempunyai rekod pesalah yang dikehendaki oleh pihak polis bersangkut ‘Kepong Report 00010118/14’.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh berhadapan hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan, lapor Astro Awani.

    Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah RM200 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Hafidz Roshdi diperintah jalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia

    Hafidz Roshdi diperintah jalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia

    MAHKAMAH Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini, memerintahkan pelakon, Hafidz Roshdi dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri.

    Perintah itu dikeluarkan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak selaku Majistret selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

    Aktor berkenaan sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan isterinya di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya pada 2 Mac lalu.

    Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Siti Fatimah, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan pertuduhan, pelakon itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, dengan cara menumbuk menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di Kuala Kubu Bharu, pukul 3.30 pagi pada 2 Mac lalu.

    Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

    Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Nurul Qistini manakala Hafidz diwakili peguam Datuk Akbardin Abdul Kader.

    Terdahulu Hafidz ditahan pada 10 Mac lalu bagi membantu siasatan dalam kejadian menumbuk isterinya ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

    Bagaimanapun, pelakon drama Kan Ku Kejar Cinta Kamu itu dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.

    Media sebelum ini melaporkan seorang ahli keluarga Shuhada mengesahkan wanita itu menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga mengalami kecederaan pada bahagian muka.

    Shuhada memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam dan kes pengesahan lafaz cerai itu akan disebut pada 21 Mac ini.

    Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.

  • Muhyiddin dibenar guna ikat jamin RM2 juta di Mahkamah KL

    Muhyiddin dibenar guna ikat jamin RM2 juta di Mahkamah KL

    MAHKAMAH Shah Alam hari ini membenarkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepaskan mengguna pakai ikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin, yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

    Hakim Rozilah Salleh berkata demikian selepas membenarkan permohonan daripada pihak pendakwaan.

    Beliau berkata, ini termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    “Tertuduh dilepaskan dengan jaminan yang sama untuk kehadiran kes di Kuala Lumpur dan mahkamah membenarkan kes ini dipindahkan ke sana,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam kes berkenaan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohd. Fadhly Mohd Zamry, Zander Lim Lai Keong, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.

    Muhyiddin pula dibarisi peguam, Datuk K Kumaraendran, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Amiratu Al Amirat Saleh Mohamed Garbaa, Mohd Isa Mohamad Basir, Shahir Ab Razak, Teh See Khoon, Varsha Chelvi dan Raja Syuhada Raja Khairuddin.

    Semasa prosiding, Ahmad Akram memohon mahkamah supaya mengguna pakai ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan yang ditetapkan ke atas tertuduh sebelum ini.

    “Saya juga memohon kes ini dipindahkan ke Kuala Lumpur memandangkan ia berkaitan perbicaraan sama serta tarikh sebutan serupa, pada 26 Mei ini,” katanya.

    Mendengar perkara itu, Kumaraendran berkata, pasukan pembelaan tidak membantah cadangan tersebut.

    Turut hadir dalam prosiding hari ini ialah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md .Jidin dan Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Susulan pertuduhan ini, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh di mahkamah atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama.

    Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir bagi menghadapi pertuduhan Akta pencegahan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan dan hasil daripada aktiviti haram di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau juga menjadi pemimpin Bersatu ketiga didakwa berhubung kes jenayah, selepas bekas Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

    Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful didakwa di mahkamah ini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah.

    Pada hari sama, Adam Radlan dituduh atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

    Muhyiddin pula didakwa pada Jumaat lalu, sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51, dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd .serta Mamfor Sdn. Bhd., bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Bagi dua lagi pertuduhan, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu pada 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

  • Hafidz Roshdi tak mengaku salah cederakan isteri

    Hafidz Roshdi tak mengaku salah cederakan isteri

    PELAKON, Hafidz Roshdi didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya dalam kejadian pada 2 Mac lalu.

    Bagaimanapun Hafidz, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai majistret.

    Terdahulu, Hafidz yang berdepan pertuduhan menumbuk isterinya sempat menyapa petugas media ketika tiba di pekarangan Mahkamah pada pukul 8.30 pagi memberikan salam kepada wartawan, jurugambar dan juruvideo sebelum memasuki bangunan mahkamah.

    Beliau yang berbaju kemeja berwarna hijau dan jaket kelabu serta berseluar hitam hadir diiringi pasukan peguamnya yang diketuai, Datuk Akberdin Abdul Kader.

    Media pada Jumaat lalu melaporkan pelakon itu akan didakwa di mahkamah atas pertuduhan menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pelakon tersebut akan dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    Isteri Hafidz, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, pada 2 Mac lalu membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata dan muka.

    Hafidz berdepan kontroversi apabila kisah rumah tangganya menjadi perbualan hangat ekoran dakwaan dia berlaku curang terhadap isterinya.

    Rentetan itu pelakon itu turut menceraikan isterinya dengan talak satu pada 23 Februari lalu.

  • Pengamal media penuhi Mahkamah Sesyen Shah Alam

    Pengamal media penuhi Mahkamah Sesyen Shah Alam

    LEBIH 30 pengamal media memenuhi pekarangan Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini bagi membuat liputan kes bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

    Terdapat petugas media tiba seawal jam 7 pagi untuk memastikan mereka tidak terlepas membuat liputan kes berkenaan.

    Muhyiddin sekali lagi akan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA), lapor Sinar Harian.

    Antara pengamal media yang hadir membuat liputan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. – Foto Sinar Harian

    Mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

    Pada Jumaat, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan meliputi empat menggunakan kedudukan untuk rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

    Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Pendakwaan terbabit menjadikan beliau sebagai bekas perdana menteri kedua yang terkenal dengan panggilan ‘Abah’ didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan wang haram selepas Datuk Seri Najib Razak.

  • Muhyiddin mengaku tidak bersalah terima hasil aktiviti haram RM5 juta

    Muhyiddin mengaku tidak bersalah terima hasil aktiviti haram RM5 juta

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5 juta berkaitan dengan program Jana Wibawa.

    Bagaimanapun Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Rozilah Salleh pagi ini.

    “Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” ujar Ahli Parlimen Pagoh itu, lapor Malaysiakini.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa menerima RM5 juta hasil daripada daripada Bukhary Equity Sdn. Bhd., yang disalurkan ke dalam akaun Bersatu, pada 7 Jan 2022.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, pada 7 Januari tahun lalu.

    Pertuduhan pengubahan wang haram, yang dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) akta yang sama.

    Beliau boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram berkenaan dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohd. Fadhly Mohd. Zamry, Zander Lim Wai Keong, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.

    Muhyiddin pula diwakili sembilan peguam iaitu K. Kumaraendran, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Amiratu Al Amirat Saleh Mohamed Garbaa, Mohd. Isa Mohamad Basir, Shahir Ab. Razak, Teh See Khoon, Varsha Chelvi dan Raja Syuhada Raja Khairuddin.

    Terdahulu Muhyiddin tiba di kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, pagi tadi pada pukul 8.20 pagi dengan ditemani isterinya, Datin Seri Noorainee Abdul Rahman serta beberapa pimpinan parti antaranya Ronald Kiandee dan Mohd Radzi Md Jidin.

    Kenderaan membawanya tiba di pekarangan diiringi sebuah kereta polis dan empat kereta lain.

    Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin, 75, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu.

    Beliau mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta.

    Hakim Azura Alwi kemudian membebaskan Muhyiddin dengan jaminan sebanyak RM2 juta bersama dua orang penjamin serta diperintah menyerahkan pasport antarabangsanya.

  • Muhyiddin tiba di mahkamah Shah Alam

    Muhyiddin tiba di mahkamah Shah Alam

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, sebentar tadi untuk menghadapi pertuduhan ketujuhnya, hari ini.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dikatakan akan berdepan pertuduhan pengubahan wang haram.

    Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tiba di kompleks berkenaan pada pukul 8.20 pagi dengan ditemani isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta beberapa pimpinan parti antaranya Datuk Ronald Kiandee dan Datuk Dr Mohd. Radzi Md. Jidin.

    Kenderaan membawanya tiba di pekarangan diiringi sebuah kereta polis dan empat kereta lain, lapor Malaysiakini.