Category: Mahkamah

  • Roger Ng dakwa kerajaan Malaysia ambil semua wangnya

    Roger Ng dakwa kerajaan Malaysia ambil semua wangnya

    BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng yang dihukum penjara 10 tahun pada minggu lalu kerana terbabit skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mendakwa tidak mampu memenuhi tuntutan pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) untuk dia turut membayar AS$35 juta (RM157.18 juta).

    Beliau mendakwa, ini kerana Kerajaan Malaysia sudah mengambil semua wangnya.

    Pendakwa raya persekutuan telah memohon Hakim Margo Brodie di Brooklyn, New York, supaya memerintahkan Ng dilucuthakkan jumlah itu berikutan wang diperoleh secara haram daripada konspirasi merompak dana kekayaan Malaysia, ketika dijatuhi hukuman pada 9 Mac lalu.

    Peguam Ng, Marc Agnifilo, berhujah bahawa tiada penalti lain diperlukan dan anak guamnya tidak mempunyai dana dalam sebarang kes, menurut laporan Bloomberg.

    Brodie tidak membuat keputusan berhubung isu pelucuthakan berkenaan pada minggu lalu.

    Rabu lalu, hakim berkenaan memerintahkan kedua-dua belah pihak terbabit untuk mengemukakan hujah sama ada jumlah diminta pendakwa raya itu melanggar Pindaan Kelapan yang melarang denda berlebihan berserta hukuman kejam atau luar biasa.

    Pihak Ng, 51, berhujah bahawa Kerajaan Malaysia sudah merampas lebih AS$35 juta (RM157.18 juta) dari 11 akaun yang dipegang keluarganya.
    Dalam satu pemfailan di mahkamah, Agnifilo menegaskan rampasan itu bertujuan sebagai hukuman dan bukannya pemulangan dana.

    “Pegawai polis di Malaysia amat jelas bahawa polis mahukan semua wang dalam akaun berlainan itu; bukan sekadar pemulangan dana 1MDB yang dikesan,” tulis Agnifilo, menurut Berita Harian yang memetik laporan Agensi.

    Walaupun mendakwa terdapat asas lain untuk menolak tuntutan AS berhubung pelucuthakan itu, Agnifilo turut berhujah bahawa ia melanggar Pindaan Kelapan.

    Brodie berkata, beliau percaya pelucuthakan ‘diperlukan mengikut undang-undang’ bagi jenayah yang disabitkan ke atas Ng, namun mahu kedua-dua pihak menangani hujah Ng bahawa tuntutan AS$35 juta itu adalah sangat tidak wajar.

  • Hisyam Teh ketuai pembelaan Sam dalam kes basikal lajak

    Hisyam Teh ketuai pembelaan Sam dalam kes basikal lajak

    PEGUAM kanan, Hisyam Teh Poh Teik kini akan mengetuai rayuan kerani Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya dalam kes basikal lajak.

    Perkara berkenaan disahkan Hisyam kepada FMT selepas menghadiri pengurusan kes hari ini.

    Sebelum ini, bekas hakim Mahkamah Persekutuan mendiang Gopal Sri Ram dilantik mengetuai pasukan pembelaan Sam. Beliau meninggal dunia pada 29 Jan.

    Rayuan Sam akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 31 Mac.

    Warta Rakyat sebelum ini melaporkan, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Sam, 27, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lalu.

    Wanita berkenaan dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 serta seorang penjamin, sementara rayuannya didengar di mahkamah berkenaan.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk P. Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut membenarkan permohonan Sam untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April lepas.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

    Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas, yang melepas dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

    Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada pukul 3.20 pagi 18 Februari 2017.

    Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

  • Datuk Roy ditahan semula SPRM, dijangka dibawa untuk reman esok

    Datuk Roy ditahan semula SPRM, dijangka dibawa untuk reman esok

    DATUK Roy yang direman susulan kes membabitkan dana Jana Wibawa sebelum ini, ditahan semula selepas dibebaskan dengan jaminan polis pagi tadi.

    Lelaki berusia 54 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 3.45 petang dan dijangka dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Putrajaya pagi esok.

    Terdahulu, Datuk Roy dilepaskan Majistret Kuala Lumpur Noorelynna Hanim Abd Halim, selepas pihak SPRM tidak mengemukakan permohonan untuk melanjutkan tempoh reman ke atasnya yang tamat hari ini.

    Majistret sebelum ini memerintahkan lelaki itu direman tiga hari berakhir hari ini, bagi membantu siasatan berhubung dana Projek Jana Wibawa atau nama penuhnya Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa.

    Sementara itu, peguam bela lelaki terbabit, Fahmi Abd. Moin ketika dihubungi mengesahkan anak guamnya sudah dilepaskan dengan jaminan, namun ditahan semula SPRM Putrajaya untuk membantu siasatan kes lain.

    “Lanjutan reman akan dimohon esok,” katanya, lapor Berita Harian.

    Datuk Roy ditahan kali pertama ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 di pejabat SPRM di Kuala Lumpur, pada pukul 3 petang Isnin lalu.

    Sebelum ini, Datuk Roy diburu SPRM kerana didakwa menjadi perancang utama dalam siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM400,000 bagi mengelakkan siasatan membabitkan program Jana Wibawa.

    Empat individu termasuk seorang pegawai SPRM ditahan, namun dibebaskan dengan jaminan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berkenaan atas tujuan sama.

    Datuk Roy yang beralamat di Kuantan, Pahang, pernah dipenjara kerana terbabit kes rasuah.

  • Bekas guru liwat remaja lelaki kekal dijel 14 tahun

    Bekas guru liwat remaja lelaki kekal dijel 14 tahun

    MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 14 tahun terhadap seorang bekas guru sekolah rendah kerana kesalahan mencabul dan meliwat seorang remaja lelaki.

    Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Lim Chong Fong, sebulat suara, menolak rayuan Mohamad Shafie Abdul Rani, 53, kerana sabitan atas kesalahan tersebut adalah selamat.

    Dalam menyampaikan keputusan itu, Hakim Hadhariah berkata hakim perbicaraan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kesilapan dalam fakta dan undang-undang dalam mendapati perayu bersalah seperti pertuduhan.

    Mohamad Shafie disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 27 Julai 2021 atas tiga pertuduhan mencabul mangsa ketika berusia 11 tahun di dalam bilik sebuah sekolah dan di pusat latihan guru di kawasan itu, daerah Hilir Perak, pada tahun 2012 dan 2013.

    Dia juga didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan meliwat mangsa yang sama pada ketika itu berumur 17 tahun di sebuah rumah di Langkap, daerah Hilir Perak, pada Disember 2018.

    Mohamed Shafie diperintah menjalani hukuman penjara secara berasingan dari tarikh ditangkap pada 8 Feb 2021 dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas itu.

    Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara pada 26 Mei tahun lepas.

    Perayu diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fuad Abdul Aziz.

  • Pengedar dadah dihukum gantung sampai mati bunuh rakan

    Pengedar dadah dihukum gantung sampai mati bunuh rakan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Tinggi Johor Bahru hari ini menjatuhkan gantung sampai mati terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah membunuh seorang tokan dadah, tujuh tahun lalu.

    Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu ke atas tertuduh, Abu Bakar Mahamad, 44, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

    “Mahkamah ini telah menimbangkan mitigasi peringanan dan hujahan pemberatan oleh Timbalan Pendakwa Raya, mahkamah telah mengambil kira tindakan tertuduh secara keseluruhannya bertinda tanpa keinsafan melakukan pembunuhan ke atas mangsa.

    “Mahkamah dengan ini menjatuhi hukuman gantung dileher tertuduh sehingga mati pada tarikh, masa dan tempat yang akan ditetapkan kelak.

    “Semua eksibit melainkan dokumen diserahkan kepada polis untuk simpanan sehingga proses rayuan (jika ada) diselesaikan,”katanya.

    Mengikut kertas pertuduhan, Abu Bakar didakwa membunuh Saffat Taliman, 36, (ketika kejadian) antara awal Mac sehingga 9 Ogos 2016 di Jalan Besar Jalan Seelong Senai-Kota Tinggi, Kulai.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati.

    Berdasarkan fakta kes, dia telah pergi ke sebuah felda di kawasan Kota Tinggi untuk mencari si mati sebelum membawa balik si mati dengan cara menyumbat mangsa dalam tempat letak barang kereta jenis Mercedes ke sebuah rumah di Austin, Johor Bahru.

    Di rumah tersebut mangsa dalam keadaan lembik dan dipukul menggunakan tangan, kaki dan kayu besbol oleh tertuduh selain mulut si mati disumbat dengan dadah syabu, shampoo, tawas dan air beteri.

    Tertuduh bertindak membogelkan si mati dan meletakkan di atas kerusi dan diangkat masuk ke dalam tandas sebelum kemaluan si mati disimbah dengan petrol dan dibakar.

    Si mati dibiarkan sendirian dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sebelum sehari kemudian selepas itu tertuduh ini menyuruh rakannya untuk membuang mayat si mati dengan cara mayat si mati dibalut dengan toto dan diikat menggunakan dawai punai.

    Mayat si mati dimasukkan dalam almari lama sebelum dibuang di Jalan Besar Jalan Seelong Senai-Kota Tinggi, Kulai sebelum mayat tersebut dijumpai orang awam pada 9 Ogos 2016.

    Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali yang memanggil 14 saksi pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Anita Vijaya Rajah.

    Terdahulu, Abu Bakar pernah disabitkan dengan kesalahan membunuh Md. Az’rai Saim, 38, (ketika kejadian pada tahun 2016) oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada tahun 2021.

    Tertuduh bertindak membunuh kedua-dua mangsa kerana hutang dadah.

  • Sindiket penipuan antarabangsa: Dua warga UK dipenjara, denda

    Sindiket penipuan antarabangsa: Dua warga UK dipenjara, denda

    DUA lelaki warga United Kingdom (UK) yang terbabit sindiket penipuan pelaburan antarabangsa berjumlah lebih RM600,000 dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

    Hakim Rozilah Salleh memutuskan demikian selepas Andrew Mark Peters, 55, dan Darren Anthony Mcnicholas, 51, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris.

    Andrew yang juga orang kurang upaya (OKU) turut didenda RM180,000, manakala denda terhadap Darren Anthony sebanyak RM140,000, lapor Harian Metro.

    Mahkamah memerintahkan kedua-duanya hukuman penjara ditambah masing-masing 22 bulan dan 16 bulan (Darren) jika gagal membayar denda dengan hukuman penjara bermula tarikh ditangkap, 21 Februari lalu.

    Mengikut pertuduhan, Andrew Mark sebagai dalang sindiket penipuan antarabangsa bersubahat dengan mengarahkan Darren Anthony melalui ejen dikenali ‘David Henshaw’ dan ‘Henry Paxton’ menipu warga Scotland, lan Strachan.

    Ia bagi memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa akan dijamin mendapat keuntungan yang tinggi daripada satu pelaburan jangka masa singkat, yakni pembelian saham di syarikat dikenali Novocure Limited serta Lithion Power Corp yang kedua-dua tertuduh ketahui tidak wujud.

    Dengan itu, mereka dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan AS$5,672.41 (RM25,528.68) dan EURO€121,200 (RM577,691.87) ke dalam akaun OCBC Bank dan CIMB Bank (M) Berhad milik Premier Tranfers Ltd, di Menara Mitraland, Jalan PJ 5/1, Selangor, pada 21 Mei dan 27 Jun 2019.

    Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan.

    Terdahulu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh memohon hukuman minimum atas alasan mereka adalah pesalah pertama dan memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dilakukan.

    “Andrew Mark ada tiga anak dan lima cucu, selain mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan rawatan. Dia menghadapi kekangan untuk bergerak ke tempat awam kerana memerlukan kerusi roda.

    “Darren Anthony pula ada isteri dan anak warga Malaysia. Hukuman dikenakan akan memberi impak kepada keluarga tertuduh.

    “Pengakuan bersalah oleh kedua-dua anak guam menjimatkan kos dan masa mahkamah serta pendakwaan, selain mereka menzahirkan rasa menyesal dan memohon maaf atas kesalahan terbabit,” katanya, lapor Harian Metro.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.

    “Kena ambil kira kekerapan dan penularan kes penipuan itu bukan saja di Malaysia tetapi serata dunia.

    “Mengikut fakta kes, sindiket penipuan antarabangsa itu berpangkalan di Malaysia sejak 2015. Hukuman setimpal supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan.

    “Hukuman terlalu rendah kepada tertuduh akan memberi mesej kepada rakyat Malaysia bahawa mahkamah tidak mengambil berat kesalahan seperti ini,” katanya.

    Media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket pelaburan antarabangsa didalangi warga UK dalam serbuan secara berasingan di 24 premis pada 21 Februari lalu.

    Op Tropicana dijalankan serentak termasuk di tiga pusat panggilan, syarikat dan kediaman ahli sindiket di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang tanpa kehadiran pihak polis.

    Difahamkan, sindiket itu mengaut hampir RM200 juta daripada mangsa warga Australia dan UK, malah dipercayai memberi suapan kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh terus beroperasi.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam sidang media pada 22 Februari lalu berkata, serbuan dibuat selepas siasatan berasaskan risikan, penyiasatan kewangan, penyamaran dan beberapa kaedah lain.

    Katanya, risikan juga dijalankan dengan kerjasama antara agensi di Australia serta beberapa negara luar dan juga dibuat oleh Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM.

  • Mahkamah keluar waran tangkap exco Terengganu

    Mahkamah keluar waran tangkap exco Terengganu

    MAHKAMAH Pilihan Raya Kuala Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap Exco kerajaan negeri, Mohd. Nor Hamzah yang tidak hadir hari ini untuk menyambung keterangan dalam pendengaran petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang.

    Peguam Amin Othman, yang bertindak bagi pempetisyen Jasmira Othman berkata, hakim Hassan Abdul Ghani mengeluarkan waran tangkap apabila Mohd Nor tidak hadir pada prosiding hari ini.

    Jasmira merupakan calon BN bagi kawasan itu semasa pilihan raya umum lalu.

    “Pada 14 Mac, Hassan Abdul Ghani telah mengarahkan Mohd Nor untuk kembali ke mahkamah pada 16 Mac untuk menyambung semula keterangannya.

    “Bagaimanapun pada pagi 16 Mac iaitu hari ini, Mohd. Nor gagal hadir ke mahkamah.

    “Oleh itu, atas permohonan peguam pempetisyen, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor.

    “Perbicaraan petisyen pilihan raya Parlimen Marang akan disambung pada 19 Mac,” kata Amin kepada Malaysiakini.

    Media sebelum ini melaporkan petisyen itu difailkan pada 3 Jan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Ketua UMNO Terengganu, DatuK Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, antara perkara yang dibangkitkan dalam petisyen itu ialah dakwaan Pas telah merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student – antara 15 dan 17 Nov 2022 menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Abdul Hadi mempertahankan kerusi Marang dengan majoriti 41,729 undi, menewaskan tiga calon lain – Jasmira, Azhar Ab Shukur (Pakatan Harapan) dan Zarawi Sulong (Parti Pejuang Tanah Air).

    Sementara itu, peguam Yusfarizal Yusoff yang bertindak bagi responden menjelaskan, Mohd. Nor pada mulanya memohon untuk hadir pada sebelah petang memandangkan saksi ada urusan penting yang perlu diselesaikan.

    Peguam itu menjelaskan bahawa mahkamah pilihan raya bagaimanapun tidak membenarkan dan mahu saksi itu datang pagi ini dan waran tangkap dikeluarkan apabila saksi tidak hadir.

    “Mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap untuk YB (Mohd. Nor) untuk terus memberi keterangan pada Ahad,” kata Yusfarizal ketika dihubungi.

    Hari kelepasan am Terengganu adalah pada hari Jumaat dan Sabtu, oleh itu mahkamah di negeri ini beroperasi pada hari Ahad hingga Khamis (jika tiada sebarang cuti umum lain).

  • Mahkamah Paris kekalkan penangguhan diberi kepada Malaysia terhadap tuntutan kumpulan Sulu

    Mahkamah Paris kekalkan penangguhan diberi kepada Malaysia terhadap tuntutan kumpulan Sulu

    MAHKAMAH Rayuan Paris mengekalkan penangguhan yang diberikan kepada Malaysia terhadap penguatkuasaan final award kepada kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu.

    Sekretariat khas kerajaan yang mengendalikan isu berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan, mahkamah tersebut memutuskan bahawa cabaran waris kumpulan Sulu terhadap perintah penangguhan itu, tidak boleh diterima.

    “Oleh itu, penangguhan yang diperoleh Malaysia pada 12 Julai 2022, untuk penguatkuasaan final award itu, kekal,” menurut kenyataan itu.

  • Saman fitnah: MP Kepong diarah bayar RM2 juta pada syarikat, pengasas

    Saman fitnah: MP Kepong diarah bayar RM2 juta pada syarikat, pengasas

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Monspace (M) Sdn. Bhd. dan pengasasnya Jessy Lai, berhubung saman fitnah yang difailkan syarikat itu.

    Hakim Akhtar Tahir turut mengarahkan Lim untuk membayar kos RM250,000 kepada Lai dan syarikatnya.

    Ketika dihubungi, peguam Lim, Guok Ngek Seong mengesahkan keputusan itu yang dibuat dalam prosiding dalam talian hari ini, lapor Malaysiakini, hari ini.

    Lai dan Monspace memfailkan saman sivil terhadap Lim pada 2019 berhubung dakwaannya yang syarikat itu terlibat dalam skim pelaburan yang gagal memberi pulangan kepada pelabur seperti dijanjikan.

    Pada tahun sama, media juga melaporkan beberapa pengasas syarikat didakwa di mahkamah berkaitan kes skim piramid.

  • Polis mengaku tidak bersalah 34 tuduhan rasuah

    Polis mengaku tidak bersalah 34 tuduhan rasuah

    SEORANG anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah atas 34 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM12,500 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.

    Tertuduh, Mohd. Izzham Halim, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu sarjan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman secara rasuah menerima suapan melalui akaun banknya daripada seorang individu.

    Tertuduh didakwa menerima suapan antara RM50 hingga RM3,200 bermula 26 Disember 2019 hingga 10 Mac tahun lalu, lapor Harian Metro.

    Suapan itu bagi melakukan perbuatan iaitu menyalurkan maklumat pergerakan operasi pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

    Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

    Hakim Mohd. Azhar kemudiannya menetapkan 3 April depan untuk pengurusan kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM11,000 dengan seorang penjamin.

    Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke pejabat SPRM antara satu hingga lima haribulan setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh dan Nur Athirah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Najmi Adila Md. Nasir.