Category: Mahkamah

  • Edar minuman keras tanpa cukai, dua beradik didakwa sogok polis RM25,000

    Edar minuman keras tanpa cukai, dua beradik didakwa sogok polis RM25,000

    DUA beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memberikan rasuah sebanyak RM25,000 kepada seorang penolong penguasa polis agar tidak diambil tindakan kerana mengedar minuman keras tanpa cukai sah pada Jun tahun lalu.

    Kedua-dua tertuduh, Ragubathi Anamaley, 42, dan Vijayakumar Anamaley, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi, pagi ini.

    Mengikut kertas pertuduhan, dua beradik itu didakwa secara bersama-sama dengan niat telah secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang sebanyak RM25,000 kepada seorang ejen Kerajaan Malaysia, iaitu penolong penguasa polis yang bertugas di Cawangan Perisikan Dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

    Suapan itu adalah sebagai dorongan untuk melepaskan mereka daripada dikenakan tindakan di bawah seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana kesalahan mengedar minuman keras tanpa cukai yang sah.

    Perbuatan itu dilakukan di satu premis restoran dan bar di Metro Prima, Kepong, Kuala Lumpur pada 28 Jun 2022.

    Justeru, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras menawarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 setiap seorang dengan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sebulan sekali.

    Bagaimanapun, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Mahendren Naidu memohon jaminan rendah dengan alasan jumlah jaminan yang ditawarkan keterlaluan dan membebankan selain dua beradik itu juga menganggung ibu bapa yang menghidap strok.

    Hakim Azura kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warganegara selain syarat menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sebulan sekali sehingga kes selesai.

    Mahkamah kemudian menetapkan 23 Mei bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen, lapor Utusan TV.

  • Zahid dapat pasport ke luar negara secara kekal

    Zahid dapat pasport ke luar negara secara kekal

    MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke luar negara tanpa kebenaran mahkamah.

    Presiden UMNO itu yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dibenarkan mendapatkan semula pasport peribadi dan diplomatiknya secara kekal.

    Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hanipah Farikullah membenarkan permohonan Zahid selepas mahkamah berpuas hati ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

    “Permohonan untuk dilepaskan pasport kepada beliau dibenarkan,” katanya, lapor FMT, hari ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memberitahu mahkamah, beliau mendapat arahan untuk tidak membantah permohonan itu.

  • Bayi mati selepas lahir, hospital swasta diarah bayar RM700,000

    Bayi mati selepas lahir, hospital swasta diarah bayar RM700,000

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan sebuah hospital swasta membayar ganti rugi RM700,000 kepada sepasang suami isteri yang kematian bayi mereka selepas dilahirkan di pusat perubatan itu tujuh tahun lalu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Akhtar Tahir memerintahkan bayaran ganti rugi teladan RM500,000, selain RM200,000 untuk penderitaan kepada Nur Amalina Ismail dan suaminya, Syed Afi Said Merah.

    Pasangan itu yang diwakili peguam Farhana Abdul Halim, turut menerima bayaran kos RM30,000.

    Menurut Akhtar, terdapat kelewatan melampau di pihak doktor yang merawat Nur Amalina, menyebabkan komplikasi pada bayi dalam kandungan sehingga membawa kepada kematian.

    “Tiada penjelasan munasabah mengenai kelewatan ini, selain sikap tidak endah doktor terhadap tugasnya,” katanya dalam alasan bertulis yang dikeluarkan semalam.

    Akhtar berkata, beliau mempertimbangkan sikap doktor itu cenderung kepada “kesemberonoan dan kecuaian jenayah”.

    “Ia sebagai pengajaran kepada profesional perubatan dalam menjalankan tugas mereka. Satu mesej jelas perlu disampaikan bahawa sikap sedemikian tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi jika ia menyebabkan kematian,” katanya.

    Keputusan lisan itu disampaikan pada 17 Jan lalu terhadap doktor itu dan Hospital Pusrawi Sdn Bhd sebagai defenden kedua.

    Kedua-dua defendan yang diwakili Razlan Hadri Zulkifli dan P Tishondra, merayu kuantum itu ke Mahkamah Rayuan.

    Hakim berkata, Nur Amalina mengalami kecemasan selepas air ketubannya pecah pada 6 Nov 2016 ketika berada di hospital itu untuk melahirkan anaknya.

    Katanya, doktor menyerahkan kepada jururawat dan hanya melawat Nur Amalina keesokannya.

    Ketika memeriksa Nur Amalina, doktor itu segera mengarahkan pembedahan kecemasan dilakukan.

    Ketika dilahirkan, leher bayi itu didapati terbelit tali pusat menyebabkan bayi itu meninggal dunia sehari kemudian.

  • Peniaga mengaku tidak salah tipu jual beli kereta

    Peniaga mengaku tidak salah tipu jual beli kereta

    SEORANG peniaga dalam talian didakwa di tiga Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan memperdayakan tiga peniaga lain dalam urusan jual beli kereta berjumlah RM30,200, tahun lalu.

    Chuan Kian Voon, 46, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, Nadia Othman dan Noorelynna Hanim Abd Halim.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu seorang lelaki dan dua wanita berusia 30 hingga 55 tahun dengan memperdayakan mereka dalam urusan jual beli kenderaan jenis Mercedes GLA 250, Porche Macan dan Honda Civic dengan deposit berjumlah RM30,200.

    Tertuduh dengan curangnya mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang itu ke beberapa akaun bank milik pihak lain, termasuk secara tunai yang mana mereka tidak akan menyerahkan jumlah tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

    Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pasar raya di Cheras, pada bulan Jun dan 12 Disember 2022.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Amirul Mukminin Mohd Sufian.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan Kian Voon diikat jamin sebanyak RM14,000 bagi kesemua pertuduhan, dengan seorang penjamin.

    Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 dan 16 Mei depan.

  • Bekas juruteknik mengaku tidak bersalah tujuh pertuduhan rasuah berkaitan permit kerja

    Bekas juruteknik mengaku tidak bersalah tujuh pertuduhan rasuah berkaitan permit kerja

    SEORANG bekas penolong juruteknik Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen Labuan hari ini atas tujuh tuduhan menerima rasuah berjumlah RM8,500 berhubung dokumentasi permit kerja.

    Mazeran Mohamad Zain, 38, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui transaksi dalam talian antara 31 Okt 2019 dan 20 Dis 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Hakim Jason Juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dan seorang penjamin tempatan serta perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

    Mahkamah menetapkan 22 Mei untuk sebutan kes.

    Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Joe Randy Juster, manakala tertuduh diwakili Datuk Seri Rakhbir Singh.

  • Bekas Penolong Setiausaha Eksekutif MPNM diarah bela diri kes pecah amanah

    Bekas Penolong Setiausaha Eksekutif MPNM diarah bela diri kes pecah amanah

    MAHKAMAH Sesyen Ayer Keroh di Melaka hari ini memerintahkan bekas Penolong Setiausaha Eksekutif Majlis Pengakap Negeri Melaka (MPNM) membela diri atas 30 pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan bayaran sewa bangunan berjumlah RM63,400, lapan tahun lepas.

    Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Daniel Osman, 33, bagi kesemua pertuduhan.

    “Mahkamah mendapati anggapan undang-undang mengikut Seksyen 409B Kanun Keseksaan yang dihujahkan pendakwaan bahawa tertuduh mempunyai niat curang menyalahgunakan wang sewaan itu adalah terpakai bagi semua tuduhan. 

    “Atas alasan-alasan ini dan merujuk kepada Seksyen 173 Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh dipanggil membela diri terhadap semua pertuduhan,” katanya ketika memberi keputusan di akhir kes pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 8, 9 dan 22 Jun depan untuk Ahmad Daniel membela diri.

    Ahmad Daniel didakwa menyalahgunakan harta milik MPNM iaitu bayaran sewa tiga premisnya berjumlah RM63,400 yang tidak dimasukkan ke akaun pertubuhan, tetapi diguna untuk kegunaan sendiri.

    Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut sekitar negeri ini sejak 15 Oktober 2015 hingga 30 Januari 2018.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebat dan denda bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

    Sepanjang perbicaraan bermula 13 Sept 2022, pihak pendakwaan memanggil 21 saksi memberi keterangan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh diwakili peguam P Purshotaman dan R. Senthil. 

  • SM Faisal, bekas isteri akan runding selesai kes luar mahkamah

    SM Faisal, bekas isteri akan runding selesai kes luar mahkamah

    MAHKAMAH Majistret hari ini diberitahu, Emilia Hanafi dan bekas suaminya, SM Faisal SM Nasimuddin akan berunding secara baik untuk menyelesaikan kes berhubung dakwaan wanita itu dicederakan oleh ahli perniagaan tersebut, di luar mahkamah.

    Peguam pemerhati Nazri Yahya yang mewakili Emilia, memaklumkan kepada Majistret Nadia Othman bahawa kedua-dua pihak berhasrat menyelesaikan kes di luar mahkamah secara serius, dan memohon untuk melapangkan prosiding perbicaraan pada hari ini sebelum mengetahui status rundingan pada tarikh akan datang.

    “Hari ini, Emilia yang merupakan saksi terakhir dan pengadu dalam kes ini, sepatutnya perlu memberi keterangan.

    “Bagaimanapun saya ingin memaklumkan bahawa pihak-pihak (Emilia dan SM Faisal) berhasrat untuk berunding secara serius untuk menyelesaikan kes.

    “Perkara ini sudah dimaklumkan kepada peguam SM Faisal dan kami akan memaklumkan status rundingan itu kepada mahkamah sebelum atau pada 30 Mac,” kata peguam itu pada prosiding yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin.

    Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal turut mengesahkan perkara itu dan rundingan akan dilakukan mengikut cadangan yang tertakluk kepada terma anak guamnya.

    “Saya memohon mahkamah merekodkan, sekiranya tiada penyelesaian, pihak kami tidak mahu membuang masa dan akan meneruskan perbicaraan pada 30 Mac.

    “Saya tiada bantahan terhadap permohonan untuk melapangkan kes hari ini,” katanya.

    Majistret Nadia kemudian menetapkan 30 Mac ini untuk mengetahui status rundingan berkenaan.

    Sementara itu, ketika ditemui media di luar mahkamah, Akberdin mengesahkan rundingan itu termasuk kes tuntutan harta sepencarian dan mutaah pasangan itu di Mahkamah Syariah.

    “Kalau ada penyelesaian, kita berhasrat untuk selesai semua kes termasuk di Mahkamah Syariah. Ia bergantung kepada terma dan persetujuan kedua-dua pihak.

    “Kes ini sudah berjalan terlalu lama, kita mahu tamatkannya,” katanya.

    SM Faisal, 43, didakwa mencederakan Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang 22 Nov 2015, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Bernama

  • Syamsul mohon doa orang ramai, mula proses JKP dengan Puteri Sarah hari ini

    Syamsul mohon doa orang ramai, mula proses JKP dengan Puteri Sarah hari ini

    PENGARAH sensasi, Syamsul Yusof mahu orang ramai mendoakan yang terbaik agar proses penyelesaian melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP) seperti diputuskan Mahkamah Syariah yang bermula hari ini, menjadi penamat terhadap kemelut rumah tangga bersama isteri pertama, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.

    Terdahulu, Syamsul tiba di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada pukul 9.35 pagi, disusuli Puteri Sarah, yang ditemani adik perempuannya, Raja Sofea, kira-kira sejam kemudian.

    “Hari ini, kami jalani proses JKP. Semoga daripada sesi ini, Sarah boleh berbaik dan berbincang dengan saya.

    “Saya difahamkan Sarah ditemani ahli keluarga. Tidak tahu lagi macam mana, doakan yang terbaik dan kita jumpa selepas ini,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di pekarangan JAWI, pagi tadi, lapor Berita Harian.

    Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

    Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

    JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

    Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

    Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.

    Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan perceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

    Berdasarkan dokumen diperoleh, antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai adalah sudah tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri, menurut hukum syarak.

    Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

  • Kes Zahid saman fitnah terhadap Tun M, perbicaraan 6 November

    Kes Zahid saman fitnah terhadap Tun M, perbicaraan 6 November

    SAMAN fitnah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad akan dibicarakan selama empat hari mulai 6 November depan.

    Peguam defendan Mior Nor Haidir Suhaimi mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa tarikh perbicaraan dari 6 hingga 9 November ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pagi ini.

    Peguam Intan Hanis Afiqah Razali mewakili Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

    Pada April tahun lepas, Presiden UMNO, Zahid memfailkan saman sivil terhadap bekas Perdana Menteri itu berhubung dakwaan bahawa plaintif telah bertemu defendan untuk cuba memihak kepada Dr. Mahathir kerana Zahid menjangkakan beliau akan menghadapi pertuduhan jenayah.

    Bagaimanapun, pertemuan tersebut dilaporkan berlaku sebelum Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri pada 2018.

    Kenyataan Dr. Mahathir itu didakwa dibuat semasa sidang media di Putrajaya pada 23 Februari tahun lepas. Beliau menjawab soalan jika Zahid pernah bertemu dengannya semasa menjadi Perdana Menteri untuk membincangkan kes mahkamah rasuah yang terakhir.

    Zahid, dalam pernyataan tuntutannya, menafikan pernah bertemu Dr. Mahathir untuk membincangkan kes mahkamahnya atau sebarang tindakan agensi penguatkuasaan sebelum Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan Dr. Mahathir itu fitnah dan berniat jahat.

    Bekas Perdana Menteri itu pada 2 Mac tahun lalu menafikan memfitnah Zahid dalam jawapan kepada notis samannya.

    Zahid menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta injunksi untuk Dr. Mahathir, pegawai, pembantu atau ejennya daripada mengulangi kenyataan yang didakwa memfitnah itu, serta mengarahkan bekas Perdana Menteri itu untuk berusaha memadam atau mengedit rakaman kenyataannya yang disiarkan oleh media.

  • Mahkamah Rayuan benar kurangkan ganti rugi kepada waris pemuda mati ditembak

    Mahkamah Rayuan benar kurangkan ganti rugi kepada waris pemuda mati ditembak

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini membenarkan rayuan kerajaan dan polis untuk mengurangkan jumlah ganti rugi kepada keluarga tiga pemuda yang terbunuh akibat ditembak dalam kejadian di zon perindustrian Glenmarie di Shah Alam, Selangor, 13 tahun lepas.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang membenarkan rayuan itu, mengurangkan jumlah ganti rugi kepada RM649,200.

    Perayu, yang didapati bertanggungjawab menyebabkan kematian tiga pemuda itu, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Jun 2021, yang memberikan award berjumlah RM1.52 juta kepada keluarga ketiga-tiga pemuda itu dengan setiap keluarga menerima kira-kira RM500,000 sebagai ganti rugi.

    Tiga pemuda yang terbunuh dalam kejadian yang berlaku pada 13 Nov 2010 itu ialah Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, Mohd Hairul Nizam Tuah, 20, dan Muhammad Hanafi Omar, 22.

    Semasa menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Azizah berkata mahkamah juga mengetepikan award ganti rugi sebanyak RM100,000 yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi kepada keluarga untuk tuntutan di bawah Seksyen 8 Akta Undang-undang Sivil dan RM100,000 untuk ganti rugi teladan.

    Mahkamah juga mengetepikan RM100,000 ganti rugi am yang diberikan kepada keluarga dan menggantikannya dengan RM10,000 bagi kematian.

    Hakim itu berkata RM100,000 untuk ganti rugi teruk dan RM100,000 untuk misfeasans awam kekal.

    Mahkamah juga mengekalkan RM11,200 sebagai tuntutan tanggungan untuk keluarga Mohd Hairul dan RM8,000 dalam tuntutan tanggungan untuk keluarga Muhammad Hanafi.

    Ini bermakna setiap keluarga akan mendapat pembayaran ganti rugi sebanyak RM210,000.

    Keluarga ketiga-tiga pemuda itu pada mulanya gagal dalam saman mereka di Mahkamah Tinggi pada 2015.

    Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2016 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan polis dan kerajaan bertanggungjawab menyebabkan kematian ketiga-tiga pemuda itu.

    Mahkamah kemudian memerintahkan kes itu dibawa untuk penilaian ganti rugi di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi yang kemudiannya memberikan award berjumlah RM207,000 kepada tiga keluarga itu.

    Keluarga tersebut yang tidak berpuas hati dengan jumlah itu telah merayu kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam agar ganti rugi dinilai semula dan award berjumlah RM1.5 juta diberikan kepada mereka.

    Pada 12 Nov 2013, keluarga tiga pemuda itu telah memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi di Shah Alam terhadap ketua polis daerah Shah Alam, ketua polis Selangor, Ketua Polis Negara, kerajaan Malaysia dan pegawai polis.

    Saman itu difailkan oleh ibu bapa Shamil, Shapiei Zainal Abidin dan Norhafizah Mad Razali, ibu Hairul Hamidah Kadar dan adik Hairul,

    Norhaliza Tuah, dan ibu bapa Hanifi, Omar Abu Bakar dan Noriah Darus.

    Dalam pembelaan mereka, polis berkata mereka mengesyaki pemuda itu adalah anggota ‘Geng Minyak’, dikatakan terlibat dalam beberapa siri samun di stesen minyak tetapi disangkal oleh keluarga tersebut yang mengatakan ketiga-tiga pemuda itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

    Keluarga tersebut mendakwa pemuda itu dibunuh dalam ‘gaya pembunuhan’ berdasarkan kedudukan peluru memasuki badan mereka.

    Peguam Kanan Persekutuan Noerazlim Saidil mewakili kerajaan dan polis manakala peguam Zaid Malek mewakili keluarga pemuda.