Category: Mahkamah

  • Kesilapan peguam punca Najib meringkuk dalam penjara

    Kesilapan peguam punca Najib meringkuk dalam penjara

    HAKIM Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli berkata, kesilapan dilakukan peguam menjadi punca Datuk Seri Najib Razak terpaksa meringkuk dalam penjara.

    Abdul Rahman adalah hakim tunggal yang menentang keputusan majoriti panel hakim yang menolak permohonan Najib bagi kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapinya.

    Keputusan itu dibuat empat panel hakim iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat; Datuk Rhodzariah Bujang; Hakim Datuk Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

    Ketika membacakan penghakimannya, beliau berkata, peguam Najib pada ketika itu, Datuk Hisyam Teh Poh Teik tidak mengambil tindakan sewajarnya bagi membela tertuduh.

    Katanya, ini menyebabkan hanya satu pihak iaitu Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang mengemukakan permohonan di hadapan panel terdahulu.

    “Rayuan Najib tidak didengari dan berada dalam ketidakadilan yang besar. Beliau berada dalam keadaan kurang bernasib baik kerana tidak diwakili semasa rayuan.

    “Oleh itu, sabitan terhadap tertuduh perlu dibatalkan kerana tiada representasi undang-undang,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, tertuduh wajar dibenarkan penangguhan kerana tidak mempunyai representasi undang-undang semasa rayuan.

    “Saya menyebelahi permohonan Najib untuk menyemak tujuh pertuduhan kes menyeleweng dana SRC International terhadapnya namun keputusan majoriti menyebabkan perkara itu tidak memihak kepada bekas Perdana Menteri itu,” katanya.

    Terdahulu, hakim dalam keputusan 4-1 menolak rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu, sekali gus melepas dan membebaskannya daripada tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

    Berikutan keputusan itu, Najib kekal di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya ialah mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

  • Kes pukul imam, tertuduh dihantar ke Hospital Permai

    Kes pukul imam, tertuduh dihantar ke Hospital Permai

    LELAKI yang memukul imam jemputan di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan akan dihantar ke Hospital Permai, Johor bagi mendapatkan pemantauan dan laporan mengenai keadaan mentalnya.

    Keputusan itu dibuat Mahkamah Majistret Kuantan terhadap Ahmad Paijan Abd Rashid, 35, selepas pertuduhan dilakukan, hari ini.

    Harian Metro melaporkan, ketika prosiding, Ahmad Paijan hanya menjawab “saya terdengar suara” selepas disoal adakah dia faham pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

    Timbalan Pendakwa Raya Ezuain Farhana Ahmad dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar ke Hospital Permai bagi menjalankan pemeriksaan.

    Ezuain Farhana juga meminta tertuduh tidak diberikan sebarang jaminan sehingga mendapat laporan psikiatri dari hospital berkenaan.

    Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki menyerang imam ketika solat subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan. – FOTO IHSAN POLIS

    Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan, pada 26 Mac lalu pada pukul 6.30 pagi di ruang solat utama Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, tertuduh dengan sengaja menyebabkan gangguan kepada sembahyang subuh yang sedang dijalankan dengan sah di sisi undang-undang.

    Oleh yang demikian tertuduh melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 296 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

    Media sebelum ini melaporkan, lelaki dipercayai kurang siuman itu telah menyerang seorang imam ketika solat subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad Satu, pada 26 Mac lalu.

    Mangsa adalah pelajar Maahad Tahfiz Thurath, Ilhan Muhammad Irham yang menjadi imam jemputan untuk solat subuh sempena Program Khatam Subuh 2.0 di masjid berkenaan.

  • Warga emas mengaku tak bersalah halang anggota MBPJ tangkap anjing liar

    Warga emas mengaku tak bersalah halang anggota MBPJ tangkap anjing liar

    SEORANG lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas dalam satu operasi menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) minggu lalu.

    Tertuduh, Patrick Khoo Kian Wui, 69, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa, pagi ini.

    Mengikut kertas pertuduhan, Patrick didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu seorang anggota MBPJ daripada menjalankan tugas-tugas jawatannya.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Taman Kanagapuram, Petaling Jaya sekitar pukul 9 malam pada 22 Mac lalu.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, lapor Utusan TV.

    Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

    Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah Fuad mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000.

    Bagaimanapun peguam yang mewakili tertuduh, Rajsurian Pillai memohon jaminan minimum memandangkan Patrick bekerja sendiri dan menanggung seorang pekerjanya.

    Tambahnya, Patrick turut memberikan kerjasama penuh sepanjang disiasat oleh pihak berkuasa.

    Majistret Shahril kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin warganegara

    Mahkamah menetapkan 16 Jun depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

    Pada 24 Mac lalu, UtusanTV melaporkan satu insiden membabitkan tertuduh bergelut dengan anggota MBPJ ketika cuba melindungi beberapa ekor anjing liar daripada ditangkap.

    Kejadian itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat yang mempersoalkan prosedur operasi standard MBPJ ketika melakukan operasi tersebut.

  • Mahkamah Persekutuan tolak permohonan semakan kes SRC Najib

    Mahkamah Persekutuan tolak permohonan semakan kes SRC Najib

    (KEMAS KINI) MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

    Susulan itu, keputusan yang dibuat 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, adalah kekal.

    Empat panel hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan untuk menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu.

    Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat ketika membacakan keputusan itu memberitahu, hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan yang adil tidak dinafikan ketika pendengaran rayuan.

    Sebaliknya, katanya, peguam beliau, Datuk Hisyam Teh Po Teik enggan mengemukakan penghujahan lisan walaupun dibenarkan berbuat demikian oleh Tengku Maimun.

    Justeru, katanya, Tengku Maimun akhirnya terpaksa menolak rayuan tersebut.

    “Sehubungan itu, tiada kesilapan mahkamah ketika pendengaran rayuan Najib dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta oleh panel hakim pada tahun lalu,” katanya di Mahkamah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Astro Awani.

    Dalam keputusan majoriti 4-1, panel membuat keputusan berkenaan selepas mendapati permohonan kebenaran semakan itu adalah lebih menjurus kepada permohonan untuk menyemak merit keputusan panel dalam rayuan akhirnya pada Ogos 2022 itu.

    Keputusan yang dibacakan Vernon Ong itu disokong Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, namun Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan menentang.

    Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali mendapati Najib bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

    Mohd. Nazlan sehubungan itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 dan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

  • Adakah Mahkamah Persekutuan beri Najib bicara rayuan ‘wajar’?

    Adakah Mahkamah Persekutuan beri Najib bicara rayuan ‘wajar’?

    ADAKAH Datuk Seri Najib Razak mendapat perbicaraan sewajarnya di Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan terhadap sabitan dan hukumannya? Itu antara persoalan kritikal yang perlu ditangani mahkamah tertinggi apabila membuat keputusan pagi ini.

    Panel lima anggota diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Rahman Sebli dijangka memutuskan sama ada mahkamah tertinggi akan menyemak keputusannya yang mengesahkan sabitan dan hukuman bekas perdana menteri itu dalam kes rasuah SRC International.

    Hakim lain yang turut bersidang terdiri daripada Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.

    “Seperti yang diketahui, keputusan (mengenai merit rayuan) hanya satu setengah muka surat penghakiman,” kata peguam cara Najib, Shafee & Co, dalam hujahan bertulis yang difailkan untuk semakan.

    Katanya, draf penghakiman yang bocor terlebih dahulu melalui internet, menggunakan istilah ‘hampir serupa’ dengan penghakiman sebenar, mencadangkan keputusan rayuan telah ‘ditetapkan lebih awal’.

    Peguam-peguam Najib juga berkata, panel yang bersidang pada Ogos tahun lepas tidak memberikan bekas perdana menteri itu perbicaraan sewajarnya.

    Setelah menolak permohonan penangguhan oleh pasukan pembelaan yang baru ditubuhkan, cadangan mahkamah agar peguam utama Hisyam Teh ‘Meluangkan hujung minggu’ untuk membuat persediaan ‘berhubung mana-mana 94 alasan rayuan’ sebelum perbicaraan disambung semula pada Selasa, 23 Ogos, adalah tidak munasabah”, kata mereka, lapor FMT.

    “Hisyam (perlu) membaca rekod penuh rayuan untuk mengembangkan hujah sepenuhnya mengikut piawaian diperlukan oleh peguam mahir dan dapat mengutamakan alasan mengikut kepentingan,” tambah hujahan itu.

    Peguam-peguam itu juga mencabar cara prosiding dijalankan.

    Menurut mereka, tugas mahkamah adalah untuk mendengar semula kes itu, yang akan melibatkan pertimbangan semula semua material di hadapan hakim perbicaraan.

    Sebaliknya, Mahkamah Persekutuan ‘semata-mata menganggap rayuan itu sebagai semakan kehakiman’.

    Hakim hanya menerima kes tidak dijawab yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan memutuskan bahawa dapatan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan ‘tidak bertentangan’, tanpa memeriksa keterangan itu sendiri.

    Prosedur sedemikian hanya dilakukan dalam semakan kehakiman, yang memberikan tumpuan kepada prosedur dan proses wajar sesuatu keputusan, bukannya merit sesuatu kes, kata mereka.

    ‘Kegagalan prosedur’ ini, dakwa peguam Najib, adalah pelanggaran keadilan asasi dan melanggar hak perlembagaan beliau untuk didengar.

    Selain itu, peguam Najib juga berkata, mahkamah tidak sepatutnya menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman secara serentak.

    Tambah mereka, Mahkamah Persekutuan silap dalam menafikan pendengaran untuk Najib mengenai hukuman dan haknya untuk mengurangkannya.

    Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel lima hakim, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dipetik dalam hujahan sebagai berkata:

    “Berdasarkan keseluruhan keterangan, kami dapati sabitan perayu atas semua tujuh tuduhan kukuh. Kita juga dapati hukuman yang dikenakan tidaklah secara nyata keterlaluan.

    “Oleh itu, rayuan ini sebulat suara ditolak dan sabitan serta hukuman disahkan (kekal). Waran komital akan dikeluarkan.”

    Keputusan itu, menurut peguam Najib, ‘tidak sah di sisi undang-undang dan bercanggah dengan perlembagaan’.

    “Undang-undang menuntut perbicaraan berbeza dan berasingan untuk (hukuman) apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuan (Najib) terhadap sabitan,” hujah peguam.

    Bagaimanapun, Najib mahupun peguamnya tidak dirujuk sebelum hukuman dijatuhkan, tambah mereka.

    Tanpa penghujahan, para peguam Najib mempersoalkan bagaimana Mahkamah Persekutuan boleh membuat kesimpulan bahawa hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi tidak ‘keterlaluan’.

    Kegagalan berbuat demikian serupa melanggar keadilan asasi dan menjadi ‘ketidakadilan berat’ yang memerlukan campur tangan melalui semakan, kata mereka.

    Najib disabitkan kesalahan pada 28 Julai 2020 oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

    Kedua-dua sabitan dan hukuman dikekalkan, dengan yang pertama oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021, kemudian oleh panel lima hakim mahkamah tertinggi yang dipengerusikan oleh Tengku Maimun pada 23 Ogos tahun lepas.

    Panel tersebut turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak ketika itu, Abang Iskandar Abang Hashim, serta Hakim Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Zabidin Diah.

    Najib kini menjalani hukuman penjara, bermula 23 Ogos tahun lepas, setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.

    Dua minggu kemudian, pada 6 September, beliau memfailkan permohonan ini mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, memohon kebenaran mahkamah tertinggi untuk menyemak keputusannya.

    Panel baharu, diketuai Rahman, mendengar hujah selama enam hari antara 19 Jan dan 28 Feb, dan menangguhkan kes itu ke hari ini untuk membuat keputusan.

  • Remaja didenda RM300 buat laporan polis palsu

    Remaja didenda RM300 buat laporan polis palsu

    TINDAKAN seorang remaja memberi maklumat palsu kepada penjawat awam dua bulan lalu mengundang padah apabila dia didenda RM300 oleh Mahkamah Juvana Kuala Lumpur.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, sekiranya gagal membayar denda itu, pelajar kolej berusia 17 tahun itu berdepan hukuman penjara tujuh hari.

    Hukuman itu dijatuhkan selepas remaja itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nur Farahain Roslan.

    Remaja itu didakwa memberi maklumat palsu kepada penjawat awam, Noradilah Azmee, di Balai Polis Wangsa Maju pada 3.03 petang 3 Jan lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, selepas mendakwa kad pengenalannya hilang akibat dirompak.

    Siasatan polis bagaimanapun mendapati tiada rompakan sedemikian berlaku.

    Peguam Mohd Hafifi yang mewakili tertuduh merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan ini kesalahan pertama dan pelajar itu dijaga bapa tunggal.

  • ‘Bukan saya yang sebar video itu, rakaman untuk lindung diri’ – Isteri Musa Hassan

    ‘Bukan saya yang sebar video itu, rakaman untuk lindung diri’ – Isteri Musa Hassan

    ISTERI bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengecam tindakan individu yang menularkan rakaman video memaparkan pergaduhan mereka baru-baru ini.

    Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, berkata, pergaduhan itu berlaku berikutan tidak bersetuju dengan permintaan Musa yang mahu sebahagian harta walaupun aset terbabit dibelinya sebelum berkahwin.

    “Video tular itu dirakam bagi melindungi diri saya selain digunakan sebagai bukti di mahkamah jika perlu.

    “Bukan saya sebar, saya pun terkejut. Apa yang pasti, rakaman itu saya hanya serahkan kepada polis semasa siasatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

    “Saya sama sekali tidak berniat menjadikan rakaman itu tular apatah lagi menjatuhkan reputasi mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui selepas memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.

    Elly Afizahwati menyatakan perasaan kesal apabila video tular itu turut mendedahkan wajah anak yang baru berusia lapan tahun.

    Mengulas berkenaan perkongsian suaminya berkenan ciri-ciri isteri derhaka, ibu kepada seorang anak itu berkata, Musa sepatutnya menunjukkan tauladan yang baik terlebih dulu.

    “Dia sebagai lelaki sepatutnya menunjukkan sifat dan tauladan baik kepada anak dan isteri…dia kena betulkan diri dia dulu.

    “Sebelum ini saya ambil pendirian berdiam diri dan tidak membuat komen balas terhadap insiden berkenaan dan kenyataan media Tan Sri (Musa) kerana ada rundingan penyelesaian antara peguam syarie,” katanya, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, tiga klip video berdurasi sembilan saat, 56 saat, dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan kanak-kanak dalam rakaman itu.

    Susulan itu, Musa dalam satu ciapan di Twitter meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya susulan penularan video berkenaan.

    Polis mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung kejadian membabitkan Musa dan isterinya selepas rakaman video pertelingkahan itu tular.

    Susulan itu Musa dilapor berkata, masalah rumah tangga yang dihadapinya itu bukanlah baru sebaliknya berlarutan hampir tiga tahun malah sudah enam bulan tidak tinggal sebumbung.

    Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 2 Ogos 2013 dan dikurniakan seorang anak.

  • Pesawah mengaku tidak bersalah dera anak tiri

    Pesawah mengaku tidak bersalah dera anak tiri

    SEORANG pesawah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini, atas tuduhan mendera anak tiri di sebuah rumah di Jejawi, Arau pada awal bulan ini.

    Tertuduh, Muhammad Sofi Ramli, 31, mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

    Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Sofi didapati menganiaya kanak-kanak berusia enam tahun dengan menyebabkan kecederaan fizikal pada mangsa.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Alor Lanchang, Jejawi Dalam, Arau antara 8 hingga 14 Mac lalu, lapor Harian Metro.

    Justeru tertuduh melakukan perbuatan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

    Jun Keong dalam permohonannya meminta mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM20,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin dan dilarang sama sekali mendekati mangsa dalam tempoh jaminan itu.

    Syed Muhammad Anwar bagaimanapun menganggap jaminan RM20,000 adalah terlalu tinggi buat anak guamnya dan merayu pertimbangan mahkamah agar dapat memberikan hukuman yang minimum.

    Ini disebabkan anak guamnya hanya mengusahakan bendang padi dengan pendapatan yang tidak menentu selain menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak kecil masih bersekolah.

    Selain itu, Syed Muhammad Anwar berjanji anak guamnya itu juga akan sentiasa melapor diri ke balai polis berdekatan dan tidak akan mendekati mangsa ketika berada dalam tempoh jaminan mahkamah.

    Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh melapor diri sebulan sekali di balai polis terdekat selain tidak dibenarkan mendekati mangsa selama tempoh jaminan.

    Mangsa kini sudah ditempatkan di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis.

    Mahkamah menetapkan 3 Mei hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • SRC: Boleh semak atau tidak, nasib Najib diketahui esok

    SRC: Boleh semak atau tidak, nasib Najib diketahui esok

    MAHKAMAH Persekutuan di Putrajaya esok akan memutuskan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan untuk menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd. atau sebaliknya.

    Perkara berkenaan akan diputuskan oleh panel lima hakim iaitu dari Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

    Sekiranya mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk menyemak, panel-panel hakim akan menetapkan tarikh lain untuk prosiding berkenaan.

    Ada juga kemungkinan panel lima hakim itu mendengar hujahan semakan daripada kedua-dua pihak, pada hari yang sama iaitu esok.

    Bagaimanapun, jika mahkamah menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu, pilihan terakhirnya ialah kekal di Penjara Kajang dan mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong, lapor Sinar Harian.

    Dilaporkan, Najib sudah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan pada 2 September 2022.

    Pada 6 September tahun lalu, Najib memfailkan permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan, yang mengekalkan sabitan, hukuman dan denda terhadapnya kerana penyelewengan dana SRC.

    Menerusi notis usul memfailkan notis usul itu melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co, Najib membuat beberapa permohonan iaitu pertama, memohon perintah supaya keputusan rayuan utama beliau diketepikan dan dia dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

    Kedua, Najib memohon untuk membuat semakan terhadap keputusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos lalu yang tidak memberikan penangguhan prosiding susulan penarikan diri peguam belanya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

    Seterusnya, beliau memohon rayuannya didengar korum Mahkamah Persekutuan lain, tidak kurang tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

    Pemimpin UMNO ini turut memohon untuk mengemukakan bukti tambahan membabitkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dan pembatalan perbicaraan itu atau diisytiharkan tidak sah.

    Dalam afidavit, beliau percaya dan dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

    Dalam prosiding ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram berada di pihak pendakwaan manakala Najib selaku perayu diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

    Pada 22 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di Putrajaya mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

    Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi satu kes penyalahgunaan kedudukan.

    Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

    Sabitan dan hukuman terhadap Najib kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

    Najib yang kini berusia 70 tahun, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun lalu.

  • Askar dipecat kerana AWOL dapat semula jawatan

    Askar dipecat kerana AWOL dapat semula jawatan

    MAHKAMAH Tinggi Johor Bahru membatalkan pemecatan seorang askar atas dakwaan tidak hadir bertugas tanpa cuti rasmi (AWOL) tiga tahun lalu.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Ahmad Murad Abdul Aziz membenarkan permohonan semakan kehakiman itu dan mengembalikan pangkat koperal kepada Izwan Abu Bakar.

    Sebelum dipecat, askar itu diturunkan pangkat.

    Murad turut memerintahkan Izwan dibayar gaji dan semua manfaat lain yang layak diperolehinya.

    Ketika menyampaikan penghakimannya dalam talian, Murad berkata, hukuman yang dikenakan terhadap Izwan “tidak setara” dengan dakwaan AWOL.

    Hakim itu bagaimanapun menolak tuntutan ganti rugi untuk penahanan menyalahi undang-undang selama 60 hari, kesakitan dan penderitaan.

    Izwan, 32, yang diwakili peguam Mathan Anandaram, turut diberikan kos RM15,000.

    Izwan, yang menyertai angkatan tentera pada 2009, memilih untuk dibicarakan di hadapan pegawai pemerintahnya, Mejar Hafes Rosli di kem tentera Tebrau, Johor Bahru.

    Dia ditahan selama 60 hari selepas didapati bersalah pada 17 Jun dan diturunkan pangkat sebelum dipecat.

    Izwan, yag didakwa AWOL selama 11 hari dari 2 hingga 13 Jun, membawa kes itu ke mahkamah pada September 2020.