Category: Mahkamah

  • 24 Julai dengar permohonan Irwan Serigar, Arul Kanda batal saman 1MDB

    24 Julai dengar permohonan Irwan Serigar, Arul Kanda batal saman 1MDB

    MAHKAMAH Tinggi hari ini menetapkan 24 Julai ini untuk mendengar permohonan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy bagi membatalkan saman difailkan 1MDB terhadap mereka yang menuntut bayaran AS$6.59 bilion.

    Peguam Brendan Siva, yang mewakili 1MDB, ketika dihubungi, berkata Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes yang berlangsung secara dalam talian hari ini.

    “Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua defendan (Mohd Irwan dan Arul Kanda) memfailkan afidavit tambahan bagi permohonan mereka untuk meminda pernyataan pembelaan sebelum atau pada 31 Mei ini serta memfailkan hujahan tambahan untuk permohonan pembatalan saman sekiranya ada pada tempoh masa yang sama (31 Mei),” katanya.

    Prosiding itu turut dihadiri peguam K. Lavinia mewakili Mohd Irwan manakala peguam K. Gobinath bertindak bagi pihak Arul Kanda.

    Mohd Irwan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pada 18 Februari 2022, antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bilion dan AS$3.5 bilion.

    Arul Kanda memfailkan permohonan sama pada 2 Jun 2022 atas alasan beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kerugian yang ditanggung 1MDB hasil penyelewengan yang dilakukan oleh orang lain.

    Arul Kanda dan Mohd Irwan disaman 1MDB pada Mei 2021 berhubung dakwaan mereka telah melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

    1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

    Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

    Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

  • 20 tahun guna MyKad orang lain, warga India dihukum penjara

    20 tahun guna MyKad orang lain, warga India dihukum penjara

    MAHKAMAH Majistret Ayer Keroh di Melaka menjatuhi hukuman penjara 11 bulan terhadap seorang lelaki warga India kerana memiliki dan menggunakan kad pengenalan orang lain sejak lebih 20 tahun lalu.

    Jahabudin Ahamed Hajmalgan, 42, yang juga penjual cendol dikenakan hukuman susulan mengaku salah di hadapan Majistret Sharda Sheinha Mohd. Suleiman selepas tuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, Jahabudin didapati memiliki MyKad palsu atas nama lelaki berusia 43 tahun dan beralamat di Jalan Tamby Chik Karim, Batu Berendam.

    Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, pada 12.15 tengah hari, 31 Mac lalu.

    Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan jika disabitkan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Menurut fakta kes, bapa kepada dua anak itu ditangkap ketika hadir di JPN untuk menukar kad pengenalan baharu sebelum dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN kerana memiliki MyKad orang lain.

    Semakan rekod menunjukkan nombor kad pengenalan MyKad itu milik lelaki lain dan perbandingan kedua-dua cap ibu jari tertuduh juga tidak sepadan.

    Perbandingan gambar imej dari Sistem AFIS (Sistem Pengenalan Cap Jari Automatik) juga tiada rekod.

    Terdahulu, tertuduh yang berasal dari Theriruveli, Chennai, India dan kini menetap di Klang, Selangor merayu hukuman ringan kerana sudah insaf selain memberitahu dia berpuasa dan ingin menyambut Aidilfitri.

    Pegawai Pendakwa JPN, Ahmad Amirul Ahmad Jamal bagaimanapun berhujah supaya hukuman berat dikenakan kerana tertuduh memiliki cabutan sijil kelahiran dan kad pengenalan palsu lebih 20 tahun.

    Katanya, tertuduh juga menggunakan kad pengenalan itu untuk menukar agama daripada Hindu kepada Islam, menerima bantuan Aidilfitri Majlis Agama Islam Melaka dan membuka dua akaun simpanan di Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam.

  • Mahkamah tetap 30 Mei sebutan kes hadanah interim Farid Kamil, Diana Danielle

    Mahkamah tetap 30 Mei sebutan kes hadanah interim Farid Kamil, Diana Danielle

    MAHKAMAH Tinggi Syariah di Shah Alam pada Rabu, menetapkan 30 Mei ini untuk sebutan inter-parte (dua pihak) pasangan pelakon, Farid Kamil dan Diana Danielle berhubung hak penjagaan hadanah interim (sementara) bagi dua anak mereka yang berusia 10 dan lapan tahun.

    Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana Danielle atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, selaku pemohon berkata, mahkamah turut melanjutkan perintah interim hadanah secara ex-parte (satu pihak) kepada pelakon Gol & Gincu itu, sehingga 30 Mei.

    “Diana Daniella dan Farid Kamil selaku responden telah maklumkan kepada hakim syarie bahawa mereka mahu ambil inisiatif untuk penyelesaian bagi kesemua isu.

    “Nampaknya, ada harapan sebab pihak Farid Kamil juga sudah menyatakan kesediaan untuk berbincang dalam proses Sulh (penyelesaian pertikaian) yang ditetapkan pada 11 April ini,” katanya, lapor Sinar Harian

    Jika terdapat sebarang penyelesaian berhubung permohonan itu, peguam syarie itu berkata, kedua-dua pihak akan memaklumkan kepada mahkamah dan perlu memfailkan afidavit masing-masing.

    Sementara itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid Kamil atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 42, turut mengesahkan perkara berkenaan.

    Diana Danielle ketika hadir bagi perbicaraan tuntutan hadanah di lobi Mahkamah Syariah Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Sebelum sebutan kes pada 30 Mei, terdapat satu prosiding Sulh pada 11 April yang mana pihak-pihak akan berbincang berhubung hadanah itu,” katanya, selepas sebutan isu hadanah di hadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa.

    Pada 24 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini membenarkan permohonan Diana Danielle secara ex-parte melalui Pegiam Syarienya Puteri Ummi Kartini Abd Latiff dan memperoleh perintah interim hadhanah bagi dua anaknya itu.

    Pada 20 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, Diana Danielle memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, yang juga pelakon, Farid, awal bulan ini.

    Pelakon filem Imaginur itu membuat permohonan cerai atas alasan, tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.

    Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai tersebut.

    Difahamkan pasangan itu tidak lagi tinggal serumah.

    Pasangan itu telah berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 8.

  • Farid tetap tak nak berpisah

    Farid tetap tak nak berpisah

    PELAKON Farid Kamil, 42, tetap dengan pendirian untuk mempertahankan rumah tangga bersama isterinya, Diana Danielle, 32, bagi mengelakkan dua cahaya mata mereka, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8, terpisah.

    Beliau berkata akan berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga dibina sejak 11 tahun lalu.

    Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari gembira dapat bertemu dengan isterinya hari ini.

    “Apa yang boleh saya katakan, saya sedang berusaha menyelamatkan keluarga saya.

    “Saya dalam proses memikirkan jalan terbaik untuk mencapai jalan perdamaian. Memberi anak-anak ibu bapa mereka semula dan menjalani hidup normal seperti sedia kala.

    “Selama 11 tahun kami mengharungi pelbagai rintangan, jadi masih ada harapan. Jadi, saya letakkan harapan kepada Allah SWT supaya dapat kembali seperti biasa, suatu hari nanti.

    “Saya tak pernah berhenti berusaha mencari isteri dan anak-anak di mana berada. Tetapi, banyak kekangan, apatah lagi saya sibuk dengan kerjaya pada Ramadan ini,” katanya.

    Farid berkongsi perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi sebutan kali pertama kes hadanah dua anaknya.

    Hadanah bermaksud permohonan penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan diri sendiri sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.

    Diana Danielle ketika hadir bagi perbicaraan tuntutan hadanah di lobi Mahkamah Syariah Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sementara itu, peguam mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, dia turuti arahan Farid untuk menyelamatkan rumah tangganya.

    “Hari ini sebutan kali pertama hak jagaan sementara anak. Mahkamah sudah beri tarikh pada 30 Mei depan untuk sebutan sekali lagi kes ini.

    “Arahan Farid kepada saya nak menyelamatkan rumah tangga dan anak-anak. Itu niat Farid sejak awal lagi. Selain itu, kami tak nak ketengahkan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

    Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

    Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

    Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.

    Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.

  • Subsidi minyak masak: Anak Hamzah Zainudin didakwa di mahkamah

    Subsidi minyak masak: Anak Hamzah Zainudin didakwa di mahkamah

    MUHAMMAD Faisal, anak kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas sembilan pertuduhan mengenai pelanggaran berhubung subsidi minyak masak.

    Menurut Malaysiakini yang memetik laporan The Edge, Faisal, 39, didakwa bersama Azizul Abdul Halim, 55.

    Kedua-dua mereka adalah pengarah Rimba Merpati Sdn. Bhd., pemegang lesen minyak masak borong.

    Mereka didakwa memberikan maklumat palsu dengan mengeluarkan invois palsu mengenai penjualan minyak itu kepada syarikat peruncit tempatan yang menyalahi Seksyen 8(4) Akta Kawalan Bekalan 1961.

    Minyak masak adalah barang kawalan menurut akta berkenaan.

    Hamzah pernah menjadi menteri dalam negeri semasa pentadbiran Perikatan Nasional.

    Beliau juga berkhidmat sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu dari Julai 2015 hingga Mei 2018.

  • Nusyuz: Mahkamah tetapkan 24 Mei pengurusan kes Musa Hassan, isteri

    Nusyuz: Mahkamah tetapkan 24 Mei pengurusan kes Musa Hassan, isteri

    MAHKAMAH Rendah Syariah di Kuala Lumpur menetapkan 24 Mei ini untuk pengurusan kes lanjutan bagi permohonan nusyuz bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap isterinya, Elly Afizahwati Abdul Jalil.

    Menurut peguam syarie, Datuk Hazizah Kassim yang mewakili Elly Afizahwati, mahkamah menetapkan tarikh tersebut bagi membolehkan pihaknya melengkapkan dokumen-dokumen yang diperlukan dan penyerahan dokumen terbabit kepada plaintif (Musa).

    “Kita lawan balik dan kita juga akan mengemukakan tuntutan balas ke atas pihak belah sana. Kita ikut sahaja perjalanan kes ini nanti.

    “Untuk tarikh akan datang ini, kita akan serahkan dokumen dan melengkapkan apa yang patutnya,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini. 

    Sementara itu, Musa, 72, yang hadir ke mahkamah memakai sut biru berkemeja putih dan bersongkok, memberitahu sejak isu ini dibawa ke mahkamah, beliau tidak lagi berkomunikasi dengan isterinya itu. 

    “Tiada apa pun setakat ini, tidak bercakap pun. Kita ikut sahajalah prosedur mahkamah,” katanya sebelum meninggalkan pekarangan mahkamah. 

    Mengulas mengenai tuntutan cerai, Elly Afizahwati, 42, berkata, dia tidak mengubah keputusannya. 

    “Keputusan untuk bercerai itu diteruskan, tiada perubahan sebab sudah tidak rasa apa lagi sekarang,” katanya ringkas lapor Utusan Malaysia.

    Elly Afizahwati memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 30 Mac lalu.

    Ibu kepada seorang anak lelaki berusia lapan tahun, yang juga bekas ahli perniagaan, memfailkan permohonan berkenaan kerana shiqaq (perbalahan berpanjangan).

    Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 2 Ogos 2013 lalu dan dikurniakan seorang anak.

    Pada 9 Mac lalu, Musa berkata, masalah rumah tangga yang dihadapinya itu bukanlah baharu sebaliknya berlarutan hampir tiga tahun, malah mereka tidak lagi tinggal sebumbung sejak enam bulan lalu.

    Beliau turut menggesa orang ramai supaya menghormati privasinya.

    Sebelum ini, tiga klip video berdurasi sembilan saat, 56 saat, dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.

    Pihak polis mengesahkan, telah membuka kertas siasatan berhubung satu kejadian membabitkan Musa dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak awal Mac lalu.

  • Mekanik didakwa edar kanabis lebih 60kg

    Mekanik didakwa edar kanabis lebih 60kg

    SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di Batu Pahat hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis lebih 60kg bulan lepas.

    Mohd Borhan Saim, 37, didakwa mengedar kanabis seberat 63,120 gram di tepi Jalan Kampung Parit Selamat, Mukim 7, Yong Peng di Batu Pahat, pada 8.30 malam, 26 Mac lepas.

    Bapa seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Lelaki itu mengangguk faham selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mahkamah menetapkan 30 Mei depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Bekas suami Loh didenda RM20,000 kerana hina mahkamah

    Bekas suami Loh didenda RM20,000 kerana hina mahkamah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM20,000 ke atas bekas suami kepada ibu tunggal Loh Siew Hong kerana menghina mahkamah.

    Hakim Evrol Mariette Peters pagi ini memerintahkan Muhammad Nagahswaran Muniandy yang merupakan mualaf membayar denda dalam tempoh 14 hari, jika tidak, dia akan dipenjarakan selama 14 hari, lapor Malaysiakini.

    Pada 20 September tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan ex-parte untuk Loh memulakan prosiding komital terhadap Muhammad, yang telah dituduh menculik tiga anak mereka dan mendaftarkan mereka sebagai mualaf tanpa persetujuannya.

  • Pengarah syarikat minta dibicara kes rasuah penjualan Menara KL

    Pengarah syarikat minta dibicara kes rasuah penjualan Menara KL

    SEORANG pengarah syarikat minta dibicarakan kerana didakwa menawarkan rasuah berjumlah RM7.5 juta sebagai dorongan untuk seorang menteri mempercepatkan cadangan penjualan saham dan pengambilalihan konsesi daripada Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (Menara KL).

    Pengarah Urusan Hydroshoppe, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh yang syarikatnya telah mengambil alih konsesi itu, didakwa menawarkan RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada bekas menteri komunikasi dan multimedia, Tan Sri Annuar Musa melalui pengarah MyCreative Ventures Tan Ser Lay.

    Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM yang dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin, tawaran itu dibuat antara Julai dan Ogos tahun lalu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya, lapor Malaysiakini.

    Sebelum ini, SPRM dilaporkan menyiasat dakwaan berhubung penjualan saham yang mencurigakan dan pengambilalihan konsesi penyelenggaraan Menara KL daripada Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Telekom Malaysia (TM).

  • Mahkamah benar permohonan Guan Eng dapatkan perbualan WhatsApp dua saksi

    Mahkamah benar permohonan Guan Eng dapatkan perbualan WhatsApp dua saksi

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan pihak pendakwaan untuk mengemukakan mesej perbualan WhatsApp antara dua saksi pendakwaan utama dalam kes rasuah terowong dasar laut Lim Guan Eng yang sedang berlangsung.

    Menurut Hakim Azura Alwi, permohonan Guan Eng itu memenuhi semua keperluan undang-undang.

    “Mahkamah mendapati terdapat dua ‘versi’ tentang siapa penerima bayaran RM2 juta itu.

    “Fakta penuh perlu dikemukakan di hadapan mahkamah supaya kebenaran dapat diketahui,” katanya, lapor FMT.

    Berita lanjut menyusul…