Category: Mahkamah

  • Lelaki Nepal didakwa bunuh rakan senegara

    Lelaki Nepal didakwa bunuh rakan senegara

    SEORANG lelaki warga Nepal didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya yang mayatnya ditemukan tidak cukup sifat, Januari lepas.

    Santosh Magar, 25, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Nepal di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu. 

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan 22 Mei ini untuk sebutan semula kes.

    Mengikut pertuduhan, Santosh didakwa membunuh Raj Kar Ki, 48, di KM447 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Sungai Buloh, Shah Alam mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur Baghwant Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sebelum ini media melaporkan, satu mayat tanpa kepala, tangan dan kaki ditemukan orang awam bersama sebuah beg hitam di kawasan itu.

    Kepala, sepasang kaki dan tangan ditemukan di dalam beg berkenaan.

  • Penganggur mengaku salah tanam dua pokok ganja

    Penganggur mengaku salah tanam dua pokok ganja

    SEORANG penganggur berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku salah menanam dua pokok kanabis atau ganja di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini.

    Tertuduh, Rohaizat Abd. Aziz, 58, dari Tanjung Ipoh di Kuala Pilah, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail.

    Mengikut pertuduhan, Rohaizat didakwa menanam dua pokok kanabis di sebuah rumah di Kampung Gemetir, Tanjong Ipoh di Kuala Pilah pada 1.30 tengah hari, 3 April lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6B (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada enam sebatan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 9 Mei untuk sebutan semula kes, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi tidak menawarkan jaminan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Bekas pembantu Anwar tarik balik rayuan batal tuntutan balas

    Bekas pembantu Anwar tarik balik rayuan batal tuntutan balas

    BEKAS pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik rayuannya untuk membatalkan tuntutan balas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu terhadap dakwaan salah laku seksual.

    Yusoff Rawther turut menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan Anwar yang didakwanya tidak relevan dengan saman itu.

    Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Lee Swee Seng kemudian membatalkan rayuan itu dan membenarkan kos RM5,000 seperti dimohon peguam Anwar, Navpreet Singh, lapor FMT.

    Yusoff memfailkan saman itu terhadap Anwar pada 2021, dengan mendakwa beliau melakukan serangan seksual terhadapnya pada 2 Oktober 2018.

  • Padah langgar kontrak, Amelia Henderson diarah bayar RM90,000 kepada A. Aida

    Padah langgar kontrak, Amelia Henderson diarah bayar RM90,000 kepada A. Aida

    MAHKAMAH Sesyen Sivil hari ini mengarahkan pelakon, Amelia Henderson membayar ganti rugi sebanyak RM90,000 kerana melanggar kontrak syarikat penerbitan, A. Aida Production Sdn. Bhd.

    Hakim Zulqarnain Hassan turut memutuskan supaya pelakon terbabit memadam video mengandungi kenyataan fitnah berkaitan syarikat itu dan meminta maaf.

    Sepanjang perbicaraan bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plaintif termasuk Datuk A. Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28, memberi keterangan.

    Ketika perbicaraan, pengurus produksi A. Aida Production, Fazeyla Ahmad, 42, dilaporkan memberitahu mahkamah, syarikat itu terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dibuat Amelia, lapor BH Online.

    Namun, Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika menerima tawaran untuk membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.

    Amelia dan dan seorang lagi pelakon, Idris Khan, berdepan tindakan saman daripada A Aida selepas didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani.

    A. Aida bersama pengarah drama Sekali Lagi Cinta Kembali, Rizal Baharuddin sepakat membawa perkara itu ke muka pengadilan.

    Bagaimanapun, saman antara A. Aida dan Idris berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah, manakala Amelia memilih untuk dibicarakan.

  • Sekatan perjalanan Muhyiddin ditarik balik, mahkamah diberitahu

    Sekatan perjalanan Muhyiddin ditarik balik, mahkamah diberitahu

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu sekatan perjalanan terhadap bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah ditarik balik.

    Menurut Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, mewakili kerajaan susulan permohonan cabaran perundangan oleh Bersatu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kepada Jabatan Imigresen larangan itu ditarik balik pada 22 Mac.

    Justeru Shamsul berkata, sejak larangan itu ditarik balik, usaha Muhyiddin dan Bersatu untuk mencabar larangan itu kini telah menjadi akademik.

    “Dia (Muhyiddin) didakwa (di Mahkamah Sesyen) bulan lepas dan mahkamah telah memerintahkan dia menyerahkan pasport sebagai sebahagian daripada syarat jaminannya,” katanya, menurut laporan Free Malaysia Today.

    Mengulas lanjut Shamsul berkata, Muhyiddin boleh meminta mahkamah menyerahkan pasportnya buat sementara waktu jika dia mahu melakukan perjalanan.

    Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Pagoh itu sebelum ini mendakwa sekatan perjalanan dikenakan ke atasnya secara salah dan dia sendiri tidak dimaklumkan mengenainya.

    Beliau juga berkata, sekatan itu bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya dan seolah-olah dia telah melakukan jenayah dan cuba melarikan diri.

    Ia juga melanggar hak perlembagaannya, katanya.

    Bersatu juga telah memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan SPRM membekukan akaun banknya, atas alasan ia dilakukan dengan berniat jahat.

    Peguam Rosli Dahlan yang mewakili parti itu, memberitahu mahkamah masih terdapat isu dipertikai dan perlu didedahkan pada pendengaran substantif semakan kehakiman.

    Beliau berkata, mahkamah perlu membenarkan kes itu diteruskan ke peringkat seterusnya.

    Rosli juga menegaskan bahawa Jabatan Imigresen telah memfailkan afidavit dengan mendakwa sekatan perjalanan itu dimohon SPRM, tetapi tidak memberikan justifikasi mencukupi seperti dikehendaki.

    “Mereka hanya menyerahkan kesalahan kepada SPRM.

    “Tiada juga notis memaklumkan (Muhyiddin) disekat daripada melancong, sehinggalah dia sendiri yang mengetahuinya ketika mahu pergi berucap di forum luar negara,” katanya.

    Selain itu, peguam itu berkata, keputusan SPRM membekukan akaun Bersatu dibuat dengan niat jahat dan mahkamah perlu menyiasat proses membuat keputusan agensi itu.

    Beliau berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan pegawai kanannya, Hishamuddin Hashim, adalah individu “bermasalah” kerana Azam “sebelum ini terlibat” dalam “perdagangan saham”, dan Hishamuddin dalam “kes Teoh Beng Hock”.

    “Tiada apa yang diperkatakan tentang ‘salah laku’ mereka di bawah kerajaan ini,” kata Rosli.

    Beliau berkata, siasatan pembekuan akaun dan pendakwaan terhadap Muhyiddin dan Bersatu telah dilakukan secara kolateral oleh kerajaan untuk memusnahkan parti pembangkang.

    “Pembangkang tidak boleh dibunuh, kalau tidak demokrasi akan mati,” tambahnya.

    Sebagai maklum balas, Shamsul berkata, perintah pembekuan akaun oleh SPRM tidak boleh disemak mahkamah, kerana ia adalah sebahagian daripada proses siasatan.

    Beliau berkata, mahkamah telah mengambil pendirian bahawa “membenarkan semakan kehakiman terhadap pelaksanaan fungsi berkaitan penyiasatan jenayah akan memberi ruang awam untuk mencabar setiap pelaksanaan fungsi sedemikian, yang akan membawa kepada banyak huru-hara dan gangguan awam”.

    Hakim Ahmad Kamal Shahid menetapkan 17 Mei untuk keputusan sama ada membenarkan permohonan Bersatu untuk memulakan semakan kehakiman.

  • Bekas peguam didakwa lupus, pindah wang hasil aktiviti haram RM5.69 juta

    Bekas peguam didakwa lupus, pindah wang hasil aktiviti haram RM5.69 juta

    SEORANG bekas peguam yang kini sedang menjalani hukuman penjara, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas empat pertuduhan melupus dan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5.69 juta pada 2017 dan 2018.

    Loke Chee Min, 64, didakwa melupus dan memindahkan wang itu daripada beberapa akaun bank milik firma guamannya, The Law Office of CM Loke di tiga cawangan bank di sekitar Balakong dan Seri Kembangan dekat sini, antara 12 Okt 2017 dan 14 Mac 2018.

    Pertuduhan mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama dibaca bersama Perenggan 87(1)(a) akta sama.

    Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Amanina Wan Din tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh sedang menjalani hukuman di penjara atas kesalahan lain.

    Lelaki yang tidak diwakili peguam itu kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang bagi kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan beberapa kesalahan lain.

    Hakim Norazlin Othman kemudian menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

  • Permohonan Bersatu dapatkan semula pasport Muhyiddin, batal beku akaun 17 Mei

    Permohonan Bersatu dapatkan semula pasport Muhyiddin, batal beku akaun 17 Mei

    PERMOHONAN Bersatu untuk memulakan cabaran undang-undang bagi membatalkan pembekuan dua akaun banknya dan menarik balik larangan perjalanan ke atas pasport Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin di mahkamah akan diketahui pada 17 Mei ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan keputusan permohonan memberi kebenaran kepada parti pembangkang itu bagi meneruskan semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan SPRM serta Jabatan Imigresen.

    Hakim Ahmad Kamal Md Shahid sebelum ini mendengar hujahan lisan daripada peguam Bersatu Rosli Dahlan serta peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili kerajaan.

    Sekiranya Bersatu mendapat kebenaran, mahkamah kemudiannya akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar hujahan daripada pihak lawan mengenai merit semakan kehakiman berkenaan.

    Pada 8 Mac, Bersatu memfailkan tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan SPRM membekukan dua akaun banknya serta keputusan pihak imigresen menyenaraihitamkan bekas perdana menteri Muhyiddin.

    Bersatu, yang juga parti gabungan Perikatan Nasional mencabar keputusan SPRM untuk membekukan satu akaun di CIMB Islamic Bank Berhad dan satu lagi di AmBank (M) Berhad.

    Parti pembangkang juga berusaha untuk membatalkan keputusan Jabatan Imigresen yang mengenakan larangan perjalanan ke atas Muhyiddin.

    Menurut salinan afidavit menyokong semakan kehakiman, Setiausaha Eksekutif Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya berhujah bahawa pembekuan akaun itu sebahagian konspirasi jahat kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Ahmad Zahid Hamidi.

    Suhaimi mendakwa perkara ini ditunjukkan Anwar, pada minggu pertamanya sebagai perdana menteri, apabila dia mengeluarkan kenyataan bahawa pentadbiran terdahulu di bawah Muhyiddin telah menyalahgunakan RM600 bilion dalam pakej rangsangan ekonomi.

    Menerusi afidavit berasingan untuk menyokong cabaran terhadap larangan perjalanan pula, Muhyiddin berhujah bahawa dakwaan palsu yang dilemparkan terhadap Bersatu serta dirinya dan ahli keluarganya didorong niat memupuk kebencian dan kemarahan orang ramai terhadapnya serta memudahkan untuk memusnahkan Bersatu.

    Pada 1 Feb, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan akaun Bersatu dibekukan dan di bawah siasatan berdasarkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

  • Penyanyi Jason Lo kekal bebas tuduhan dadah

    Penyanyi Jason Lo kekal bebas tuduhan dadah

    PENYANYI Jason Lo kekal bebas atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badannya.

    Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan Jason Lo atau nama sebenarnya Jason Jonathan Lo daripada pertuduhan itu.

    “Rayuan pihak pendakwaan diketepikan dan keputusan Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan responden (Jason Lo) dikekalkan,” kata Noorin.

    Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nik Mohd Fadli Nik Azlan, manakala Jason Lo diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh.

    Pada 24 Jun tahun lepas, Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membebaskan Jason Lo yang juga ahli perniagaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

    Mengikut pertuduhan, Jason Lo, 48, didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang, di tandas pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Jalan Travers, Brickfields pada 5.15 petang, 15 Nov 2019.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan diwajibkan pengawasan di bawah seliaan pegawai pemulihan sehingga tiga tahun.

    Jason Lo ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur dengan keputusan hari ini dan berterima kasih kepada peguam yang mewakilinya dalam kes itu.

    “Saya percaya dengan sistem kehakiman di negara ini dan saya hargai jasa peguam yang telah bekerja keras dalam membantu saya dalam kes ini,” katanya. — BERNAMA

  • Jurujual dituduh pandu melulu hingga sebabkan kematian

    Jurujual dituduh pandu melulu hingga sebabkan kematian

    SEORANG jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor Isnin minggu lalu.

    Tan Min Chun, 32, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong, di sini pada 3.30 petang 27 Mac, dengan memandu kenderaan jenis Mazda CX5 secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohd Kamarul Shahril A Samad, 43.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh, namun peguam, Tan Song Yan yang mewakili Min Chun memohon ia dikurangkan atas alasan anak guamnya masih menanggung isteri dan anak berusia setahun selain menjaga ibu sudah berusia.

    Majistret Siti Zubaidah Mahat membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 April sebagai tarikh sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Pembantu perubatan didakwa bunuh anak sendiri berusia 6 bulan

    Pembantu perubatan didakwa bunuh anak sendiri berusia 6 bulan

    SEORANG pembantu perubatan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh anak kandungnya yang berusia enam bulan, Mac lepas.

    Memetik laporan Astro AWANI, tertuduh, Zahrul Ashrik Zulkaflee, 30, mengangguk faham apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana ia melibatkan kes bunuh.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian anak kandungnya yang berusia enam bulan.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh, kira-kira pukul 10 malam, 17 Mac lalu.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 12 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    pembantu perubatan, bunuh bayi, Zahrul Ashrik Zulkaflee, Kampung Kepayang,