Category: Mahkamah

  • Rogol anak kandung: Bapa dipenjara 18 tahun, 13 sebatan

    Rogol anak kandung: Bapa dipenjara 18 tahun, 13 sebatan

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 13 sebatan di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya.

    Hakim, Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 47 tahun mengaku bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan secara berasingan.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sebagai mekanik telah merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun semasa kejadian, lapor Sinar Harian.

    Perhubungan tertuduh dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang atau hukum agama atau adat atau kebiasaan yang terpakai kepada tertuduh untuk berkahwin dengannya.

    Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak sama ketika itu dia berusia 12 tahun dua bulan, yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai ayah kandung.

    Kesemua perbuatan itu dilakukan antara 20 Disember 2017 hingga 20 April 2018 di dalam sebuah bilik tidur di sebuah rumah di Bahau, Jempol.

    Oleh demikian tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16(a) akta sama.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam, dalam nada sebak merayu agar mahkamah mengurangkan hukumannya berikutan perlu menanggung isterinya yang tidak bekerja, empat anak yang masih bersekolah selain telah insaf akan perbuatan tersebut.

    Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh kerana mangsa merupakan anak kandungnya dan sepatutnya dia dilindungi sebaliknya dianiaya oleh tertuduh selain perlu mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kes.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 3 April lepas dan 13 kali sebatan.

    Mengikut fakta kes, tertuduh pernah memberitahu perkara itu kepada ibunya tetapi dinafikan tertuduh sehingga ibu mangsa tidak mempercayainya.

    Bagaimanapun, pada tahun ini, mangsa yang berusia 17 tahun memberitahu rakannya mengenai perbuatan tertuduh sebelum membuat aduan kepada guru pada 3 April lalu seterusnya dibawa membuat laporan polis pada hari sama.

  • Warga Rohingya didakwa cabul pelajar tahfiz lelaki

    Warga Rohingya didakwa cabul pelajar tahfiz lelaki

    SEORANG mudir di sebuah pusat tahfiz khas untuk etnik Rohingya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul seorang pelajar pada awal bulan ini di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

    Kanak-kanak lelaki daripada etnik tersebut berusia 11 tahun tiga bulan.

    Tertuduh, Abu Toyub Umor Abbas, 58, yang dalam keadaan menangis teresak-esak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga merupakan etnik Rohingya didakwa dengan maksud seksual telah mencabul kanak-kanak terbabit.

    Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di dalam bilik di sebuah pusat tahfiz khas di Kampung Patek Talang, Kadok sekitar pukul 3 pagi, pada 1 April lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, Rozihan Othman.

    Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh merupakan seorang warga asing yang mencari suaka atau tempat berlindung di negara ini.

    “Meskipun memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tertuduh didapati memasuki negara ini secara haram selain tiada sebarang rekod keluar dan masuk selepas berada di sini.

    “Jadi, kemungkinan besar tertuduh boleh melarikan diri atau mengganggu kanak-kanak itu selepas mengambil kira hubungannya dengan mangsa adalah guru dan pelajar,” katanya.

    Dalam pada itu, Rozihan dalam rayuannya memohon ikat jamin kerana jaminan hanya untuk menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah.

    “Selain itu, tertuduh yang sudah membuka pusat tahfiz di Kadok sejak lima tahun lalu itu juga perlu menyara seorang isteri dan seorang anak.

    “Sekiranya tertuduh melarikan diri, wang ikat jamin yang dibayar masih selamat di dalam jaminan pihak mahkamah. Jadi, saya pohon satu jaminan dibenarkan kepada tertuduh,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 17 Mei depan untuk sebutan semula kes dan lantikan jurubahasa etnik Rohingya.

  • Pecah rumah bekas isteri guna cangkul, lelaki didenda RM3,000

    Pecah rumah bekas isteri guna cangkul, lelaki didenda RM3,000

    MAHKAMAH Majistert Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap seorang jurukimpal kerana melakukan perbuatan khianat di kediaman bekas isteri, minggu lalu.

    Tertuduh, Mohd. Shariman Zul Kapri, 46, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

    Bapa kepada seorang anak itu turut diperintahkan menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh memecahkan cermin pintu depan rumah sehingga pecah dengan menggunakan sebatang cangkul hingga menyebabkan Salina Sidit, 45, mengalami kerugian melebihi RM25.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Pinji Indah, Ipoh sekitar pukul 9 pagi pada 4 April 2023.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), G. Harbhajan Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah agar tidak mengenakan hukuman penjara memandangkan tertuduh menyesali serta berjanji tidak mengulangi perbuatannya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal agar dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

    Dalam prosiding berasingan, Mohd. Shariman didakwa memasukkan dadah jenis methaphetamine ke dalam badan yang merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sekitar pukul 6.15 petang pada 5 April 2023.

    Tertuduh hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM2,000 dan menetapkan 19 Jun depan bagi sebutan semula kes dan serahan laporan patologi.

    Tertuduh telah ditahan polis pada 5 April lepas selepas video perbuatannya memecahkan cermin tular di media sosial.

    Ujian awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

  • Ahmad Zahid hantar representasi gugur pertuduhan

    Ahmad Zahid hantar representasi gugur pertuduhan

    TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bahawa representasi bagi menggugurkan tuduhan kes rasuah dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya telah dihantar kepada Peguam Negara (AG), Tan Sri Idrus Harun, pada Januari dan Februari lalu.

    Peguam, Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian ketika sebutan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan (yang bertindak sebagai hakim Mahkamah Tinggi) Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Menurutnya, representasi setebal 200 muka surat telah dialamatkan kepada Idrus dan ia perlu diteliti oleh pihak pendakwaan.

    Katanya, dokumen itu turut menyertakan fakta dan bukti baharu bagi menggugurkan tuduhan tersebut.

    “Justeru, kami memohon perbicaraan ditangguhkan sementara representasi itu diputuskan oleh pihak AG,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob mengesahkan telah menerima surat representasi yang mengandungi isu kompleks.

    Menurutnya, mereka diarahkan untuk tidak membantah permohonan untuk menangguhkan perbicaraan tersebut.

    “Terdapat dua representasi telah dihantar iaitu pada Januari dan 14 Februari lalu, yang mana ia mengandungi isu kompleks yang dibangkitkan.

    “Selepas berunding dengan pihak atasan iaitu Pendakwa Raya, kami diarahkan tidak membantah permohonan ini kerana pendakwaan memerlukan masa yang munasabah untuk menimbangkannya,” kata Abdul Malik, lapor Sinar Harian.

    Sequerah: Berapa lama masa diperlukan untuk meneliti dan membuat keputusan presentasi itu?

    Abdul Malik: Kami memerlukan masa kerana permohonan itu turut dilampirkan bersama surat daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) Tan Sri Azam Baki bertarikh 20 Februari lalu yang menyatakan agensi itu menjalankan siasatan lanjut berhubung bukti baharu berkenaan.

    Sequerah kemudiannya membenarkan perbicaraan kes itu ditangguhkan manakala perbicaraan yang ditetapkan sepanjang bulan ini hingga Julai depan, dilapangkan.

    Mahkamah menetapkan 1 Ogos depan untuk perbicaraan seterusnya atau memaklumkan perkembangan lanjut berhubung representasi itu.

    Ahmad Zahid, 70, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

  • Perbicaraan rasuah Zahid tangguh, SPRM jalankan siasatan lanjut

    Perbicaraan rasuah Zahid tangguh, SPRM jalankan siasatan lanjut

    PERBICARAAN rasuah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang kini di peringkat pembelaan di Mahkamah Tinggi ditangguhkan untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.

    Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pendakwaan hanya boleh mempertimbangkan representasi Zahid selepas hasil siasatan SPRM.

    Malik, yang membantu Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran berkata, pihak pembelaan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara pada Januari dan Februari.

    “Ia mencapai kira-kira 200 muka surat dan kami perlu meneliti dokumen itu kerana ia melibatkan isu yang rumit,” katanya.

    Malik berkata SPRM juga sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

    “Selepas berunding dengan peguam negara sendiri, saya diarahkan untuk tidak membantah permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan. Kami memerlukan masa yang munasabah untuk mempertimbangkan representasi itu,” tambahnya, lapor FMT.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Mohon pengampunan Najib modal PN tawan PRN

    Mohon pengampunan Najib modal PN tawan PRN

    KEPUTUSAN UMNO memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong terhadap bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak menjelang pilihan raya negeri (PRN) sebagai langkah ‘tidak bijak’.

    Menurut penganalisis politik dari Universiti Tasmania, James Chin, ini kerana seolah-olah memberi senjata politik kepada pembangkang menyerangnya.

    Beliau mendakwa, sentimen majoriti rakyat ketika ini menentang pengampunan diraja terhadap bekas perdana menteri itu, yang pada 31 Mac lalu gagal dalam usahanya menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda.

    “Ia mungkin boleh menyebabkan kekalahan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN selain menjejaskan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang setakat ini hanya memberi maklum balas ‘tidak timbul konflik kepentingan membabitkan dirinya yang berada dalam Lembaga Pengampunan’.

    “PN boleh ambil kesempatan dengan memberitahu orang Melayu yang Umno masih belum berubah dan sokong budaya rasuah, asalkan dapat bantu Najib,” katanya kepada FMT.

    James juga mempersoalkan waktu permohonan pengampunan diraja itu dibuat kerana Najib masih berdepan dengan beberapa lagi pertuduhan yang prosidingnya masih berjalan di mahkamah.

    “Mungkin persidangan Lembaga Pengampunan tidak dipanggil langsung (untuk memberi pengampunan kepada Najib) kerana kes lain masih berjalan,” katanya memetik laporan FMT.

    Najib ketika ini berdepan perbicaraan kes pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM27 juta, penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pecah amanah ke atas harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

    Hukuman itu dijatuhkan atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

    Pada 3 Mac lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibebaskan daripada tuduhan meminda laporan audit 1MDB.

    Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembah permohonan pengampunan diraja kepada Najib kerana parti itu percaya beliau dinafikan keadilan.

    Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpandangan, isu berkenaan dijangka tidak memberi kesan teruk kepada peluang UMNO dalam PRN di enam negeri kerana permohonan pengampunan itu dibuat berdasarkan pandangan seorang hakim bahawa Najib tidak mendapat keadilan yang sepatutnya.

    “Jadi ini berbeza dengan UMNO menyokong penyalahgunaan kuasa, walaupun empat hakim mengatakan Najib bersalah namun dengan satu penghakiman berbeza memberi kekuatan kepada parti itu untuk memohon pengampunan,” katanya.

    Azmi merujuk kepada penghakiman minoriti setebal 78 muka surat dikeluarkan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli pada 31 Mac yang menyatakan Najib tidak mempunyai representasi undang-undang apabila panel Mahkamah Persekutuan mendengar dan menolak rayuannya dalam kes rasuah SRC International.

    Sehubungan itu, Azmi berkata, kempen PN menggunakan isu itu mungkin kurang berkesan dan gabungan Bersatu serta Pas sepatutnya lebih menyasarkan kepada PH yang bersekongkol dengan UMNO dalam permohonan pengampunan untuk Najib.

  • Syamsul, Puteri Sarah hadir prosiding status JKP

    Syamsul, Puteri Sarah hadir prosiding status JKP

    PELAKON, Puteri Sarah tiba di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada pukul 9.04 pagi ini, bagi sebutan permohonan tuntutan cerai terhadap suaminya, pengarah, Syamsul Yusof.

    Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin hadir dengan memakai jubah putih dan ditemani keluarganya.

    Ibu kepada sepasang anak itu mengakui berdebar menunggu prosiding di hadapan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas berhubung status proses Jawatankuasa Pendamai (JKP), yang dibuat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), 24 Mac lalu.

    “Semalam, ibu bapa mentua saya mendoakan agar prosiding ini dipermudahkan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara suaminya yang juga Pengarah filem ‘Mat Kilau’, tiba lebih awal iaitu pukul 8.57 pagi dengan ditemani peguam syarie, Azmi Mohd. Rais.

    Pengarah berusia 38 tahun itu kelihatan segak dengan mengenakan kot hitam sempat berseloroh dengan para wartawan yang menunggu di lobi mahkamah.

    Untuk rekod, Syamsul, 38 dan Puteri Sarah, 38, berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

    Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

    Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

    Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.

    Pada 7 Mac lalu, Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas kemudiannya memerintahkan pasangan itu untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

  • Akan ada kejutan, bekas pemimpin UMNO sertai Pas, kata Tuan Ibrahim

    Akan ada kejutan, bekas pemimpin UMNO sertai Pas, kata Tuan Ibrahim

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan, akan ada beberapa bekas nama besar dan berpengaruh dari UMNO dijangka menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Beliau membayangkan perkembangan tersebut adalah ‘sesuatu berita baik buat PN’.

    “Saya fikir akan ada beberapa kejutan… ada sesuatu berita baik,” kata Tuan Ibrahim kepada FMT.

    “Negara kita ni suka terkejut-kejut, saya nampak macam terkejut belaka.”

    Beliau berkata demikian mengulas laporan beberapa bekas pemimpin UMNO akan menyertai Pas.

    Antara bekas pemimpin UMNO dilaporkan berminat menyertai Pas ialah bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang dipecat Disember lalu.

    Tindakan beberapa bekas pemimpin UMNO itu dipercayai bagi melebarkan penguasaan PN di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang, selain mengekalkan negeri dikuasai mereka seperti di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

    Sebelum ini, Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata beberapa pemimpin kecewa dengan kepimpinan parti mereka akan menyertai Pas dalam masa terdekat.

    Memetik laporan Malaysiakini pada 29 Mac, Annuar yang juga bekas menteri era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sudah mengisi borang keahlian Pas, namun bercadang mengumumkan penyertaannya selepas Aidilfitri.

    Laporan itu tidak menolak kemungkinan Annuar menjadi calon pada PRN nanti.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yakin slogan ‘PN Best’ yang berjaya menambat hati pengundi di 74 kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih bersama gabungan itu, walaupun beberapa pemimpin utamanya kini berdepan kes mahkamah.

    Katanya, majoriti pengundi mereka yang berada dalam kelompok ‘atas pagar’ memahami tuduhan dibuat terhadap pemimpin PN bersifat pendakwaan terpilih, ketika beberapa kes seperti penyelewengan dana kapal tempur pesisir (LCS) tidak dibawa ke mahkamah walaupun siasatan telah selesai.

    “Kita akui pendakwaan ini akan memberi kesan khususnya golongan atas pagar tetapi rakyat faham pertuduhan dibuat (ke atas pemimpin PN) dan bagaimana kes itu,” katanya merujuk kepada empat tuduhan salah guna kuasa yang dihadapi Muhyiddin berkait program Jana Wibawa bernilai RM232.5 juta.

    “Gelombang anak muda masih bersama kita.”

    Slogan PN Best bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ mencetuskan gelombang hijau pada PRU15 yang mana majoriti pengundi gabungan itu adalah anak muda selepas pengundi berumur 18 tahun pertama kali dibenarkan membuang undi.

  • Bekas MB Perlis mengaku tak bersalah kemuka tuntutan palsu lebih RM1 juta

    Bekas MB Perlis mengaku tak bersalah kemuka tuntutan palsu lebih RM1 juta

    BEKAS Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah atas lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM1.18 juta bagi tiket penerbangan pergi balik, penginapan dan kos pengangkutan di UK.

    Menurut kertas pertuduhan, tuntutan dibuat tanpa perjalanan sebenar dilakukan, lapor FMT.

    Azlan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2013 dan 2017.

    Beliau membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, manakala peguam Burhanudeen Abdul Wahid dan Ramli Shariff mewakili Azlan.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Peniaga didenda RM1,000, sediakan kari ayam tercemar

    Peniaga didenda RM1,000, sediakan kari ayam tercemar

    MAHKAMAH Majistret Muar hari ini menjatuhkan hukukan denda RM1,000 terhadap peniaga makanan atas tuduhan menyediakan kari ayam yang tercemar, tahun lalu.

    Tertuduh, Nur’aisyah Ismail, 64, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

    Majistret Nurfarah Syuhadah Mohd. Noh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menyediakan makanan sedia dimakan yang tercemar dengan mikroorganisma patogenik Coagulase positive staphylococci.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di restoran di Jalan Arab, di Muar pukul 3 petang, 24 Oktober 2022.

    Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 397(1) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 397(2) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa dari Pejabat Kesihatan Muar, Muhamad Shah Hanadi Khairul Anuar memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan orang awam.

    Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda yang rendah kerana sedar kesalahan dilakukan dan berjanji lebih berhati-hati serta tidak akan mengulangi kesalahan pada masa akan datang.