Category: Mahkamah

  • Tukang rumah didakwa bunuh isteri

    Tukang rumah didakwa bunuh isteri

    SEORANG tukang rumah didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh isterinya di Bukit Besi, awal bulan ini.

    Mohd Amir Hamzah, 32, yang memakai baju lokap berwarna ungu, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.

    Dia dituduh menyebabkan kematian Rubiah Sabtu, 41, di Kampung Besol, Batu 6, Bukit Besi antara 7.30 hingga 8 pagi pada 5 April lalu.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Athirah Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hafizul Faris Che Razlan.

    Media sebelum ini melaporkan, Rubiah yang parah pada bahagian muka, maut dipercayai dipukul dengan tukul besi di kediamannya selepas berlaku perselisihan faham antara pasangan suami isteri itu.

    Mangsa yang merupakan peniaga runcit kecil-kecilan, mempunyai enam anak hasil perkahwinan terdahulu dan selepas mengahwini tertuduh tahun lalu, mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga bulan.

  • Saman 1MDB terhadap anak tiri Najib dibicara penuh tahun depan

    Saman 1MDB terhadap anak tiri Najib dibicara penuh tahun depan

    SAMAN 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah US$248 juta terhadap penerbit filem Hollywood, Riza Shahriz Abdul Aziz dan dua syarikat miliknya akan melalui perbicaraan penuh pada Oktober dan November tahun depan.

    Peguam Riza, Desmond Low ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    Dia berkata kes akan dibicarakan di depan hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan pada 16 hingga 18 Oktober, 21 hingga 25 Oktober, 28 Oktober dan 1 November dan 4 November 2024.

    Desmond memaklumkan perkara itu selepas pengurusan kes saman tersebut dengan Raja Ahmad Mohzanuddin hari ini, lapor MalaysiaKini.

    Dua syarikat Riza adalah Red Granite Pictures Incorporated and Red Granite Capital Limited.

    Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan subsidiarinya memfailkan saman terhadap Riza dan dua syarikat itu atas dakwaan memperdaya dan menyalahgunakan US$248 juta miliknya untuk kepentingan peribadi, termasuk mendanai penerbitan filem dan membeli hartanah.

    Plaintif mendakwa memandangkan Riza menguruskan kedua-dua syarikat itu, dia sepatutnya tahu yang dana yang berasal dari 1MDB itu telah disalahgunakan.

    Plaintif antara lain menuntut pengisytiharan yang Riza bertanggungjawab terhadap dana tersebut dan membayarnya semula.

    Dalam pernyataan pembelaannya, Riza mendakwa wang tersebut diterima menerusi pinjaman daripada kerabat diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company (IPIC), bukannya 1MDB.

    Anak tiri Datuk Seri Najib Razak itu mendakwa sebagai penerbit filem yang tidak dikenali, sukar untuknya mendapatkan pinjaman daripada bank komersial dan ia membuatkannya perlu mencari dana daripada individu atau syarikat.

    Pada 5 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan 1MDB utnuk mendapatkan dokumen bagi saman itu.

    Dokumen yang diminta berkaitan resit dan penggunaan US$10,173,104 oleh Red Granite Pictures dan US$238 juta oleh Red Granite Capital Limited.

    Selain 1MDB, tiga lagi plaintif adalah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited.

  • Pemuda didakwa pukul, bakar anjing

    Pemuda didakwa pukul, bakar anjing

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pemuda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan menyebabkan kesakitan ke atas seekor anjing betina, pada bulan lalu.

    Braden Yap Hong Seng, 19, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu dengan zalimnya telah menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya kepada seekor anjing betina berwarna perang.

    Perbuatan tersebut dilakukan pada pukul 1.49 pagi di sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, Skudai di Johor Bahru, 27 Mac lalu.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta yang sama.

    Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan OKS telah memukul dan membakar seekor anjing berwarna perang di premis tersebut.

    Susulan aduan awam, doktor veterinar telah menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas anjing terbabit di Klinik Vetmedic Petlover, Taman Impian Emas pada 12.30 tengah hari, 28 Mac lalu.

    Hasil pemeriksaan, mendapati anjing itu berada dalam keadaan ketakutan selain terdapat kesan lebam dan terbakar di bahagian paha kiri, luka pada kaki hadapan dan pendarahan di bahagian mata sebelah kiri.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan, Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor, Mohd. Zamri Shak@Ishak manakala Hong Seng diwakili peguam, P. Rajakunaseelan.

    Bagaimanapun, peguam Rajakunaseelan memohon penangguhan bagi hukuman terhadap Hong Seng, memandangkan peguam G. K. Sritharan yang sepatutnya mewakili anak guamnya itu tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

    Katanya, peguam yang dilantik Hong Seng kini berada di Filipina dan penerbangan pulangnya ke Malaysia adalah pada minggu depan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 18 April ini untuk fakta dan hukuman terhadap Hong Seng.

  • Bekas MB Perlis mengaku tak salah terima wang haram RM1.06 juta

    Bekas MB Perlis mengaku tak salah terima wang haram RM1.06 juta

    BEKAS Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dihadapkan ke mahkamah untuk kali kedua dalam tempoh tiga hari.

    Kali ini, beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lima tuduhan pengubahan wang berjumlah RM1.06 juta.

    Azlan, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Azura Alwi.

    “Faham (pertuduhan) dan tidak (bersalah),” katanya, lapor Malaysiakini.

    Beliau kemudiannya memohon supaya dibicarakan atas lima pertuduhan pengubahan wang haram itu yang membabitkan RM1,059,675.25.

    Kesalahan itu didakwa melibatkan dua syarikat iaitu Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. dan Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. yang didakwa berlaku antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017.

    Pengubahan wang haram ialah kesalahan menyembunyikan asal usul wang yang diperoleh secara haram itu, lazimnya melalui pemindahan yang melibatkan bank asing atau perniagaan yang sah.

    Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man,64, menghadapi lima pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Mahkamah kemudian membenarkan Azlan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut semula pada 9 Jun.

    Kelmarin, Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika menjadi menteri besar Perlis.

    Azlan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh bermula hingga 2018, sebelum memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong dari 2018 hingga tahun lalu, apabila beliau ditewaskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Beliau menjadi Menteri Besar Perlis dari 2013 ke 2022.

    Azlan juga gagal mempertahankan jawatan ketua UMNO bahagian Kangar pada pemilihan parti itu, baru-baru ini.

  • Bolehkah pemandu elak langgar kucing di jalan gelap berbukit? – Hakim

    Bolehkah pemandu elak langgar kucing di jalan gelap berbukit? – Hakim

    HAKIM Mahkamah Rayuan, Datuk Hadhariah Syed Ismail, mempersoalkan sama ada seorang pemandu kereta yang sempurna boleh mengelak daripada melanggar kucing atau kura-kura di jalan gelap berbukit dan berselekoh.

    Hadhariah menegaskan perkara itu sebelum panel tiga hakim diketuainya melepas dan membebaskan kerani, Sam Ke Ting, 28, atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.

    “Ke Ting memaklumkan tidak mengetahui ada aktiviti basikal lajak itu.

    “Memang bawa (memandu) kereta tengok depan tetapi jalan itu berbukit, laluan kereta mendaki bukit, jalan berselekoh dan gelap sebab lampu jalan ditutupi pokok. Ada 30, 40 basikal depan (kereta Ke Ting) bukan?

    “Boleh tunjuk mana undang-undang mengatakan kalau dia (Ke Ting) tidak tahu, tak nampak (basikal lajak) sebab jalan berselekoh, terlindung adalah salah.

    “Kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) tak salah kerana pukul 3.20 pagi (masa kejadian) waktu orang tidur dan kenderaan tak banyak atas jalan.

    “Dia tak nampak sebab jalan terlindung dan kemalangan berlaku dalam sekelip mata, tiada masa untuk berfikir,” katanya.

    Hadhariah yang bersidang bersama Hakim Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah, membuat keputusan sebulat suara, sekali gus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ke Ting.

    Pada 13 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan kerani itu dikenakan hukuman berkenaan atas kesalahan dilakukannya pada 2017.

    Hakim Datuk Abu Bakar Katar turut memerintahkan Ke Ting menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai menjalani hukuman penjara.

    Ini sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun sama, yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan Ke Ting daripada pertuduhan berkenaan.

    Berdasarkan pertuduhan, Ke Ting didakwa melakukan kesalahan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada pukul 3.20 pagi 18 Februari 2017.

    Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd. Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14; dan Haizad Kasrin,16.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, selain lesen memandu digantung jika sabit kesalahan.

    Hadhariah berkata, pendakwaan memaklumkan kereta itu dipandu laju tanpa mengambil kira apa yang berada di hadapan sebelum melanggar remaja terbabit.

    Katanya, Ke Ting dikatakan bersalah 100 peratus kerana menyebabkan kematian remaja akibat pemanduan merbahaya.

    “Itu kes pendakwaan sebab itu kita nak tengok dan pertimbangkan yang mana yang betul dari segi undang undang.

    “Pendakwaan memihak kepada (penunggang) basikal lajak yang semuanya baik.

    “Pemandu kereta 100 peratus salah sebab langgar mati lapan orang sedangkan keterangan dalam nota bicara yang saya baca, hanya dua basikal dilanggar kereta.

    “Kereta tidak langgar lapan basikal. Boleh buat pemeriksaan, saya periksa nota keterangan. Saya tidak bergantung kepada hujahan semata-mata,” katanya, lapor Berita Harian.

  • ‘Runner insurans’ didenda RM5,000 simpan video lucah kanak-kanak

    ‘Runner insurans’ didenda RM5,000 simpan video lucah kanak-kanak

    MAHKAMAH Majistret Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap seorang ‘runner insurans’ selepas mengaku bersalah memiliki video lucah kanak-kanak dalam komputer ribanya.

    Tertuduh, Wan Azhar Wan Ismail, 57, turut berdepan hukuman penjara 12 bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda dikenakan.

    Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan dikenakan ke atasnya, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengakses serta mempunyai dalam milikan dan kawalan suatu bahan pornografi kanak-kanak iaitu rakaman video lucah dalam simpanan komputer riba.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kuala Terengganu, pada 9.30 malam, 6 April lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amalina Najwa Mohd. Ali manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

  • Bekas MB Perlis akan didakwa lagi esok

    Bekas MB Perlis akan didakwa lagi esok

    BEKAS Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang didakwa atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis akan dituduh sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes pengubahan wang haram (AMLA), esok.

    Azlan, 65, dijangka dituduh berdasarkan jemputan liputan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Selain ahli politik itu, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif, sebuah institut automotif turut dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan kes berasingan.

    “Dimaklumkan, SPRM telah mendapat izin mendakwa dua individu bagi kes berasingan pada ketetapan pada pukul 9 pagi, 12 April.

    “Sehubungan itu, wartawan dan jurugambar dijemput untuk membuat liputan pertuduhan ini,” kata kenyataan berkenaan, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir negeri itu.

  • Wanita didakwa sembunyi wang ahli perniagaan

    Wanita didakwa sembunyi wang ahli perniagaan

    SEORANG wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyembunyikan wang berjumlah USDT202,992.36 (RM894,787.12) dalam akaun mata wang kripto, milik seorang ahli perniagaan warga Singapura, tahun lepas.

    Elaine Lee, 27, yang bekerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat swasta, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

    Mengikut pertuduhan utama, tertuduh didakwa menyembunyikan wang berjumlah USDT202,992.36 (RM894,787.12) kepunyaan Sim Kwang Kai Andrian, 45, yang dimasukkan ke dalam akaun wallet address (akaun mata wang kripto) milik tertuduh yang tertuduh mengetahui wang tersebut bukan miliknya.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit apartment di Jalan Bangsar di Kuala Lumpur pada 21 Disember sehingga 23 Disember 2022, mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Elaine juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu gagal memberikan penjelasan memuaskan bagaimana dia memiliki wang tersebut pada tempat dan tarikh sama.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang membawa hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Lim Chooi Yi menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Lim Yoi Ping yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung keluarga selain memberi kerjasama baik sepanjang siasatan polis.

    Mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan kes.

  • Farid Kamil pujuk Diana Daniell, tawar pendamaian harta dan tunai RM319,700

    Farid Kamil pujuk Diana Daniell, tawar pendamaian harta dan tunai RM319,700

    PELAKON Farid Kamil menawarkan pendamaian untuk memujuk isterinya, Diana Daniell sebagai satu usaha menyelamatkan keluarga dan rumah tangganya.

    Tawaran berjumlah RM319,700 itu merangkumi beberapa aset termasuk kereta mewah, barang kemas dan wang pendahuluan nafkah.

    “Saya, Farid Kamil Zahari dengan setulus hati di bulan Ramadan penuh barakah ini ingin menawarkan kepada isteri saya, Diana Danielle Danny Beeson tawaran pendamaian sebagai usaha saya menyelamatkan keluarga yang amat saya sayangi.

    “Saya amat berharap dengan tawaran yang membawa jumlah keseluruhan sebanyak RM319,700.00 ini mampu melembutkan hati isteri demi masa depan anak-anak kami,” katanya menurut Astro Awani yang memetik laporan portal hiburan Gempak.

    Farid ditemui selepas proses sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini.

    Tawaran itu berupa sebuah kereta Toyota Vellfire bernilai RM225,000.00; barangan kemas bernilai RM10,700.00; wang pendahuluan nafkah (Mac – Jun 2023) berjumlah RM40,000.00; Bayaran balik tiket umrah yang sepatutnya adalah hadiah telah bertukar menjadi hutang yang bernilai RM44,000.00.

    Terdahulu, media melaporkan pasangan pelakon itu dinasihatkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling untuk berdamai sewaktu sebutan permohonan cerai yang difailkan Diana.

    Pelakon Imaginur itu memfailkan permohonan cerai terhadap Farid pada 10 Mac lalu dengan alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan.

    Namun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

    Menurut peguam syarie yang mewakili Diana, Akberdin, Mahkamah Tinggi Syariah juga mengeluarkan perintah hak penjagaan sementara anak (interim) kepada Diana pada 24 Mac lalu.

    Katanya, Diana juga membuat permohonan hadanah itu pada 23 Mac lalu.

    Pasangan pelakon popular itu sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz pada 3 November 2012 dan mempunyai dua anak.

  • Sam mohon maaf kepada ibu bapa mangsa kemalangan basikal lajak

    Sam mohon maaf kepada ibu bapa mangsa kemalangan basikal lajak

    SAM Ke Ting yang sebelum ini dibebaskan dalam kes basikal lajak, memohon maaf kepada ibu bapa lapan remaja yang maut dalam kemalangan di Johor Bahru pada 2017.

    Dia yang bekerja sebagai kerani mengakui permohonan maafnya tidak akan mengembalikan semua remaja terbabit dan mungkin tidak akan memberikan ketenangan kepada ibu bapa mereka.

    “Saya akan membawa perasaan ini (bersalah) hingga ke kubur,” kata Sam kepada pemberita selepas selesai prosiding mahkamah di Putrajaya hari ini, lapor FMT.

    Tambahnya, dia tidak berniat untuk menyebabkan kemalangan yang berlaku pada 18 Februari 2017 itu.

    Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan Sam daripada pertuduhan memandu secara berbahaya yang menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak itu di Johor Bahru pada 2017.

    Mahkamah rayuan memutuskan bahawa pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan adalah cacat.

    BERITA LANJUT MENYUSUL