Category: Mahkamah

  • Buruh hina Agong, bangkit isu perkauman dipenjara 6 bulan

    Buruh hina Agong, bangkit isu perkauman dipenjara 6 bulan

    SEORANG buruh dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen kerana membuat dan menghantar komunikasi jelik dengan menghina Yang di-Pertuan Agong serta menimbulkan isu perkauman di laman Facebook miliknya.

    Hakim N Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdul Rahim Abdullah, 49, selaku orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bagi pertuduhan pertama manakala penjara empat bulan bagi tiga lagi pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini.

    Bagi pertuduhan pertama, Rahim didakwa membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik berhubung isu perkauman dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Facebooknya dengan menggunakan laman profil ‘Tuk Chik’ pada 3.34 petang, 25 Jan lepas dan pautan itu kemudian dibaca di sebuah restoran di sini pada 5 petang, 8 April lepas.

    Dia didakwa atas tiga lagi pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik terhadap Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di akaun Facebook sama, antara 10.52 pagi dan 11.26 pagi, pada 2 dan 3 April lepas dan pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju pada 10.45 pagi, 5 April lalu.

    Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

    Ketika rayuan, Rahim yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia telah menyesal serta tidak berniat untuk memprovokasi mana-mana pihak, selain turut memohon maaf kepada institusi diraja atas kesalahan dilakukan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nur Azmal memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat luar, agar tidak melakukan kesalahan sama.

    “Dalam kes ini secara terang OKS telah melanggar hak kebebasan bersuara serta tidak menghayati rukun negara kedua iaitu kesetiaan kepada raja dan negara, manakala bagi hantaran isu perkauman, OKS gagal mencerminkan budaya kesopanan dan kesusilaan yang perlu ada dalam setiap rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk,” katanya.

  • Rekod belum siap, rayuan pembebasan kes pinda laporan audit 1MDB ditangguh

    Rekod belum siap, rayuan pembebasan kes pinda laporan audit 1MDB ditangguh

    RAYUAN pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, dalam kes laporan audit ditangguhkan kerana rekod rayuan belum siap.

    Peguam Jasmine Cheong, yang mewakili Arul Kanda berkata, pihak pendakwaan belum memfailkan petisyen rayuan kerana Mahkamah Tinggi belum menyusun dokumen yang diperlukan, termasuk nota bukti diambil dalam perbicaraan.

    “Oleh itu, Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes kedua pada 26 Mei,” katanya kepada FMT.

    Rayuan itu dikemukakan untuk pengurusan kes pertamanya di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Khairi Haron hari ini.

    Peguam Alaistair Norman mewakili Najib, manakala Timbalan Pendakwa Raya Parveen Hameedah Natchiar mewakili pendakwaan.

    Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuannya pada 9 Mac, enam hari selepas hakim perbicaraan Zaini Mazlan membebaskan Najib dan Arul Kanda tanpa dipanggil membela diri.

    Pada 3 Mac, Najib dibebaskan daripada pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk menyebabkan pindaan dibuat kepada laporan audit 1MDB.

    Arul Kanda dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan Najib dalam melakukan kesalahan yang didakwa itu.

    Zaini berpendapat pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Najib bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Beliau berkata, walaupun empat perkara dikeluarkan daripada laporan audit 1MDB, tiada satu pun daripada perkara itu menimbulkan kemungkinan sebarang prosiding sivil atau jenayah dibawa ke atas Najib.

    Zaini menegaskan bahawa saksi utama pendakwaan, bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang, bersetuju bahawa beliau tidak ‘dipaksa’ oleh Najib untuk membuat perubahan kepada versi awal laporan yang disediakannya.

    Najib didakwa menyalahgunakan kuasa untuk mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan pada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

    Arul Kanda dituduh bersubahat dengannya dalam melakukan kesalahan itu di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

  • Dua anggota polis nafi samun pelanggan hotel bajet

    Dua anggota polis nafi samun pelanggan hotel bajet

    DUA anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap warga asing minggu lalu.

    Tertuduh, T.S. Praveen dan Muhammad Safri Idris yang berusia 31 tahun, membuat pengakutan tersebut sejurus dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didakwa telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga Indonesia dan mengambil satu utas gelang tangan warna kuning, pasport keluaran Indonesia dan satu keping kad ATM dengan kerugian lebih kurang RM1,800 milik mangsa.

    Kesalahan itu dikatakan dilakukan di antara jam 10 malam sehingga 11.30 malam dalam hotel bajet di Plaza Mahkota dalam daerah Melaka Tengah pada 3 April 2023 lalu.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan sebatan, lapor Astro Awani.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara bersama-sama tanpa kuasa yang sah ada dalam milikan mereka pasport atau dokumen perjalan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang iaitu milik Anisa, seorang warga Indonesia.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan Kota Melaka dalam daerah Melaka Tengah, pada waktu dan tarikh yang sama.

    Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(1)(1) Akta Pasport 1966 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

    Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 setiap seorang serta memohon untuk tidak mengganggu mangsa yang merupakan saksi pendakwaan.

    Tertuduh yang diwakili peguam Andrew Lourdes bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh merupakan anggota polis dan telah berkhidmat selama tujuh tahun.

    Beliau turut memaklumkan ayah Praveen merupakan seorang pesara polis yang berkhidmat selama 41 tahun, manakala isteri Safri juga merupakan anggota polis serta mempunyai seorang anak berusia tiga bulan.

    Hakim Darmafikri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 setiap orang beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

    Mahkamah turut menetapkan 23 Mei ini sebagai sebutan semula kes.

  • Permohonan Shafee fail tuntutan balas berkait tunggakan cukai RM9.41 juta ditolak

    Permohonan Shafee fail tuntutan balas berkait tunggakan cukai RM9.41 juta ditolak

    Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan peguam Tan Sri Shafee Abdullah untuk memfailkan tuntutan balas terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atas dakwaan tunggakan cukai sebanyak RM9.41 juta.

    Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain berpendapat bahawa seseorang yang menghadapi saman untuk mendapatkan semula tunggakan cukai tidak berhak memfailkan tuntutan balas terhadap kerajaan.

    “Defendan (Shafee) berhujah bahawa pemfailan saman itu dilakukan dengan niat jahat dan merupakan serangan kolateral terhadapnya kerana mempertahankan bekas perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak).

    “Bagaimanapun, mahkamah mendapati bahawa tuntutan balas defendan adalah terhadap pihak seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara, yang bukan sebahagian daripada prosiding hari ini,” katanya, lapor FMT.

    Roz Mawar berkata, Shafee boleh membawa perkara itu terhadap kedua-dua agensi berkenaan dalam prosiding lain.

    Beliau juga berkata sebarang pertikaian mengenai taksiran cukai mesti dibincangkan dengan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT).

    “Di bawah skim cukai kita, belia (Shafee) boleh memfailkan rayuan kepada SCIT tetapi bayaran mesti dibuat terlebih dahulu,” katanya yang menambah jika pesuruhjaya kemudiannya mendapati taksiran cukai itu tidak betul, sebarang lebihan wang yang dibayar akan dikembalikan.

    Mahkamah menetapkan 26 Julai untuk mendengar permohonan LHDN bagi penghakiman ringkas terhadap Shafee.

    Ringkasan penghakiman itu diperoleh apabila mahkamah memutuskan berdasarkan afidavit yang difailkan bahawa defendan tidak mempunyai pembelaan terhadap tuntutan dan tiada isu yang memerlukan keterangan saksi pada perbicaraan penuh.

    Pada 2021, LHDN memfailkan saman terhadap Shafee atas dakwaan tunggakan cukai sebanyak RM9.41 juta.

    Ia mendakwa Shafee berhutang kepada kerajaan sebanyak RM8,543,180.28 dalam cukai belum dibayar untuk tempoh lima tahun, RM434,326.17 untuk 2011, RM978,854.11 (2012), RM3.58 juta (2013), RM1.73 juta (2014) dan RM1.82 juta (2016).

    Peguam Rajan Navaratnam mewakili Shafee, manakala LHDN diwakili peguam hasil Al-Hummidallah Idrus.

  • Pengajar kelas renang bakal berdepan 32 pertuduhan rogol anak tiri

    Pengajar kelas renang bakal berdepan 32 pertuduhan rogol anak tiri

    SEORANG lelaki yang dipercayai merogol anak tirinya berusia 16 tahun sehingga mendorong remaja berkenaan melarikan diri baru-baru ini bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh esok.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek berusia 36 tahun akan berdepan 32 pertuduhan termasuk merogol, melakukan amang seksual fizikal dan seks menggunakan objek sejak tiga tahun lalu.

    “Arahan pertuduhan telah diperolehi daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) selepas siasatan selesai dilengkapkan manakala isterinya yang sebelum ini turut ditahan tidak didakwa dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan.

    “Kes ini telah dirujuk kepada PPN dan arahan untuk pendakwaan telah dikeluarkan pada esok iaitu 12 pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 376(1) KK.

    “Suspek yang bekerja sebagai pengajar kelas renang itu juga akan didakwa bagi 12 tuduhan melakukan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, lapan lagi pertuduhan terhadapnya akan turut dilakukan di bawah Seksyen 377 CA KK kerana melakukan hubungan seks menggunakan objek.

    Katanya, siasatan awal mendapati remaja itu telah menjadi mangsa rogol ayah tirinya itu sejak tahun 2020 lagi.

    “Kejadian dipercayai berlaku di rumah mereka yang mana suspek telah merogol mangsa dalam keadaan tidak rela dan semasa kejadian, ibu kandung remaja itu sedang tidur dalam bilik tidur,” katanya, lapor Astro Awani.

    Warta Rakyat sebelum ini melaporkan, bapa tiri serta ibu kandung mangsa yang berusia 36 dan 40 tahun ditahan sejurus tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2).

    Pasangan itu dipercayai terlibat dalam kejadian merogol anak perempuan mereka berusia 16 tahun sejak tiga tahun lalu.

    Perbuatan terkutuk suspek yang dipercayai turut diketahui isterinya itu terbongkar selepas mangsa yang sebelum ini melarikan diri selama 18 hari memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak polis.

  • Bekas setiausaha politik Iris Haron mengaku tak bersalah terima suapan lebih RM400,000

    Bekas setiausaha politik Iris Haron mengaku tak bersalah terima suapan lebih RM400,000

    BEKAS Setiausaha Politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM408,736 sebagai ‘upah’ projek pembinaan masjid, enam tahun lalu.

    Tertuduh Datuk Rosli Hasan, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus 12 pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan dalam bentuk khidmat pengubahsuaian rumah milik isterinya bernilai RM323,736 di Taman Pokok Mangga antara Mei 2017 hingga Februari 2018.

    Tertuduh turut didakwa atas 11 pertuduhan secara rasuah menerima suapan wang berjumlah RM85,000 melalui bayaran kad kredit antara Mei 2017 hingga 19 Oktober 2017.

    Kesemua suapan berkenaan sebagai dorongan membantu sebuah syarikat untuk dilantik sebagai kontraktor bagi projek mereka bentuk, membina dan menyiapkan sebuah masjid, dewan serbaguna, tiga lot kedai dan rumah sampah secara reka dan bina di atas sebahagian tanah di Lot 341 dan Lot 345, Mukim Bachang, bernilai RM5.28 juta.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, lapor Astro Awani.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samad mencadangkan jaminan sebanyak RM80,000 serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain meminta tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM sekali sebulan.

    Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun memohon jaminan RM30,000 dijadikan bercagar dan RM50,000 memandangkan tertuduh perlu menanggung dua isteri dan lapan anak dengan hanya mengharapkan pencen sebanyak RM2,018 sebulan.

    Hakim Elesabet pada penghakimannya kemudian membenarkan rayuan pihak pembelaan serta cadangan syarat tambahan pihak pendakwaan dan menetapkan 16 Mei bagi untuk sebutan semula kes.

  • Kontraktor dijel 10 tahun, 6 sebatan cederakan dua bapa saudara

    Kontraktor dijel 10 tahun, 6 sebatan cederakan dua bapa saudara

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini mengurangkan tempoh hukuman penjara seorang kontraktor kepada 10 tahun dan enam kali sebatan bagi dua kesalahan menyebabkan kecederaan parah kepada dua bapa saudaranya.

    Nik Muhammad Syafir Mat Rof, 29, sebelum ini dihukum penjara 12 tahun dan lima kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen bagi setiap kesalahan.

    Bagaimanapun, dia diperintah menjalani hukuman itu secara serentak.

    Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan serta hukuman Nik Muhammad Syafir dan tertuduh kemudian mengemukakan rayuan terhadap hukuman.

    Pada prosiding pada Rabu, panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Nik Muhammad Syafir.

    Hanipah, yang menyampaikan keputusan mahkamah, berkata hukuman penjara dan sebatan yang dikenakan terhadap tertuduh adalah keterlaluan.

    Pada 30 April 2019, Mahkamah Sesyen mendapati Nik Muhammad Syafir dan sepupunya, Muhamad Pazir Yahya, 41, juga seorang kontraktor, bersalah atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap Nik Rosdi Abdullah, 43, dan Nik Rohimi Abdullah, 27.

    Nik Rosdi adalah seorang pemandu bas manakala Nik Rohimi bekerja sebagai tukang rumah.

    Menurut fakta kes, kedua-dua tertuduh bersama enam lagi telah menyerang Nik Rosdi dan Nik Rohimi menggunakan pedang, batang besi serta kayu di Kampung Gong Pasir, Daerah Pasir Putih, Kelantan pada 5 petang 20 Sept 2017.

    Mahkamah Rayuan turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhamad Pazir yang gagal hadir pada prosiding hari ini dan memerintahkan penjaminnya mengemukakan alasan munasabah berhubung perkara itu.

    Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mei untuk sebutan semula bagi kes waran tangkap itu.

    Terdahulu, peguam Cheah Poh Loon yang mewakili Nik Muhammad Syafir memohon agar hukuman tertuduh diringankan kerana insiden itu turut membabitkan individu lain yang masih bebas dan mendakwa mereka menyerang kedua-dua mangsa akibat salah faham.

    Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman pula memohon mahkamah mengekalkan hukuman penjara 12 tahun kerana kecederaan yang dialami mangsa adalah serius.

    Beliau turut merujuk kes Azman Bin Din melawan Pendakwa Raya yang menyaksikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM10,000 bagi kesalahan serupa.

    Muhamad Pazir diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.

  • Jerut leher isteri dan ugut, peniaga dipenjara 6 tahun

    Jerut leher isteri dan ugut, peniaga dipenjara 6 tahun

    SEORANG peniaga dijatuhi hukuman penjara enam tahun di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu selepas mengaku bersalah atas tuduhan menjerut leher dan mengugut isterinya, dalam kejadian pada 8 April.

    Keputusan tersebut dibuat Hakim Nooriah Osman terhadap tertuduh, Mohd. Zulfakhie Zakaria, 29, sebaik membuat pengakuan tersebut.

    Menurut pertuduhan pertama, lelaki tersebut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang berusia 30 tahun dengan menjerut lehernya menggunakan tali leher.

    Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut untuk mendatangkan bencana kepada harta mangsa dengan niat untuk menimbulkan rasa takut, lapor FMT.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di daerah itu, pada 11.15 pagi, tarikh sama.

    Bagi pertuduhan pertama, dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A KK dijatuhi hukuman penjara enam tahun.

    Dakwaan bagi pertuduhan kedua pula mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan mahkamah menjatuhi hukuman penjara 15 bulan.

    Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 9 April.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • 4 lelaki didenda RM150,000 guna Sim Box

    4 lelaki didenda RM150,000 guna Sim Box

    TINDAKAN empat lelaki menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membawa padah apabila dijatuhi hukuman denda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

    Memetik laporan Harian Metro, Hakim, N Priscilla Hemamalini, membuat keputusan itu selepas Chua Vi Vern, 32, Lu En Ci, 25, Liew Kok Chun, 28 dan Kitmikael, 22, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

    Vi Vern didenda RM60,000 kerana dua pertuduhan, manakala tiga lagi lelaki masing-masing didenda RM30,000 atas satu pertuduhan.

    Mahkamah turut mengarahkan lelaki terbabit sebagai orang kena saman (OKS) dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

    Mengikut pertuduhan, semua lelaki itu menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui mengikut Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu 52 unit Sim Box tiada jenama dan model.

    Penggunaan kelengkapan komunikasi itu di dua residensi dan sebuah kondominium di Kuchai Lama, di Kuala Lumpur, pada 25 November 2021 dan 19 Januari 2022.

    Kesalahan mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 serta Peraturan 16(3) Peraturan-Peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan sama.

    Ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, semua OKS yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dan tidak dikenakan hukuman penjara.

    Ada antara mereka yang memberi alasan tidak mampu membayar denda tinggi, perlu menyara keluarga dan bapa menghidap angin ahmar.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nazhzilah Mohammad Hashim berkata, hukuman wajar mengambil kira faktor kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi.

    “Mahkamah perlu mempertimbangkan hukuman yang setimpal, berbentuk pengajaran dan konsisten supaya OKS tidak mengulangi kesalahannya serta memberi mesej jelas kepada masyarakat mengenai keseriusan kesalahan.

    “Ingin saya menarik perhatian mahkamah bahawa trend denda atas kesalahan sama adalah antara RM5,000 hingga RM7,000,” katanya.

  • Bekas polis mahu rayu sabitan kesalahan pikat isteri orang

    Bekas polis mahu rayu sabitan kesalahan pikat isteri orang

    SEORANG bekas anggota polis mahu memohon untuk merayu sabitannya atas kesalahan memikat seorang wanita yang sudah berkahwin untuk melakukan hubungan seks dengannya.

    Azri Awang, yang perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk meneruskan rayuan, juga mahu mahkamah menentukan sama ada Seksyen 498 Kanun Keseksaan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

    Seksyen 498 menyatakan bahawa seseorang yang memikat mana-mana wanita, yang diketahuinya isteri orang lain, bagi tujuan persetubuhan yang ditegah melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

    Peguam Azri, P. Purshotaman berkata, anak guamnya memfailkan tiga persoalan undang-undang dalam usaha mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan.

    Persoalan yang pertama adalah sama ada Seksyen 498 melanggar Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan dengan mendiskriminasi lelaki.

    Kedua melibatkan pertimbangan sama ada mahkamah mempunyai kuasa bawah Perkara 162(6) dan (7) Perlembagaan untuk memansuhkan Seksyen 498, yang digubal sebelum Merdeka.

    Persoalan ketiga bertanya apa pengubahsuaian dan tafsiran yang boleh dibuat oleh mahkamah untuk memastikan Seksyen 498 tidak melanggar Perkara 5(1) dan 8(1).

    Perkara 5(1) menyatakan tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.

    Sementara itu, Perkara 8(1) menjamin bahawa setiap orang sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat mempunyai perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

    Purshotaman berkata, pihak pendakwaan telah menyatakan semasa pengurusan kes minggu lepas bahawa ia tidak akan mencabar persoalan yang dibangkitkan untuk mendapatkan kebenaran merayu.

    “Mahkamah telah menetapkan 19 Mei untuk mendengar perkara itu,” katanya kepada FMT.

    Azri, 41, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 3 Nov 2019 kerana melakukan kesalahan itu di Kuala Terengganu antara 25 November 2016 dan 17 Jun 2018.

    Pada 6 Mac tahun lepas, majistret menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,500 selepas dia didapati bersalah.

    Dia membayar denda itu dan mahkamah membenarkan hukuman penjaranya ditangguh sementara menunggu rayuan.

    Pada 23 Februari tahun ini, Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan itu, tetapi mengubah hukuman dengan menaikkan denda kepada RM6,000 dan mengetepikan hukuman penjara.

    Seksyen 498 membenarkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya, jika tertuduh didapati bersalah.

    Kali terakhir kesalahan jenis ini menarik perhatian umum adalah pada 2009 apabila bekas suami selebriti Daphne Iking menuduh seorang tokoh korporat memikat wanita itu.