Category: Mahkamah

  • Mahkamah arah Yasin dirujuk ke Hospital Bahagia untuk pemeriksaan mental

    Mahkamah arah Yasin dirujuk ke Hospital Bahagia untuk pemeriksaan mental

    MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya hari ini, mengarahkan penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak untuk pemeriksaan tahap kesihatan mentalnya.

    Astro Awani melaporkan Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan daripada pasukan pembelaan.

    Semasa prosiding, peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ itu berkata, pihaknya membuat memohon itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Menurutnya, terdapat asas yang kuat untuk kesihatan mental penyanyi berusia 48 tahun yang lebih dikenali sebagai Yasin itu diperiksa oleh pakar psikiatrik.

    “Pemerhatian juga perlu dibuat untuk memastikan sama ada Yasin layak untuk dibicarakan atau tidak. Pembelaan telah mengemukakan lima laporan perubatan antaranya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit ‘Bipolar Disorder Type I’ sejak 2007,” katanya, ketika sebutan kes hari ini.

    Beliau berkata, laporan itu juga menunjukkan Yasin pernah diserang ‘simptom manic’ yang boleh membahayakan dirinya.

    Menerusi laporan terkini yang dikeluarkan oleh Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), beliau berkata, pihak itu mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawa.

    Selain Ariff, Yasin turut diwakili peguam, Nur’ain Shahiera Khalid.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini berkata, pasukan pendakwaan tidak membantah perkara itu dan menyerahkannya kepada budi bicara mahkamah.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Jun depan untuk laporan psikiatrik.

    Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan dijalankan selama 15 hari bermula 6 Mac lalu, yang mana seramai 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

    Pada 6 Julai tahun lalu, Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

    Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

    Sementara itu bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

    Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

    Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

  • 1MDB: ’’Kita akan lihat apa akan berlaku’’ – Najib

    1MDB: ’’Kita akan lihat apa akan berlaku’’ – Najib

    TINDAKAN pihak berkuasa membawa pulang individu dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berkemungkinan mengubah perjalanan perbicaraan kes penyelewengan dana syarikat itu yang sedang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

    Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, menyifatkan perkembangan terkini itu akan memberi kesan terhadap perbicaraan kes 1MDB kerana suspek yang berjaya dibawa pulang memainkan peranan utama dalam skandal kewangan terbabit.

    Bagaimanapun, Najib yang ditemui pemberita sebelum perbicaraan kes itu hari ini, enggan mengulas lanjut kerana kes itu masih berjalan di Mahkamah Tinggi.

    “Kita akan lihat apa yang akan berlaku,” katanya lapor Berita Harian.

    Najib, 70, sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Pada 5 Mei lalu, akhbar melaporkan SPRM berjaya membawa pulang seorang individu, dipercayai sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low yang terbabit dalam kes penyelewengan dana 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

    Individu itu ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pada jam 3.30 pagi, 3 Mei lalu.

    Sebaik tiba di KLIA2, lelaki berkenaan yang menghilangkan diri sejak 2018 diserahkan Notis Perintah untuk hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada jam 10 pagi kemudian.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkembangan berkenaan dan pihaknya sedang berusaha mengesan beberapa lagi suspek dan aset lain di Singapura.

  • Bekas CEO MARii didakwa terima rasuah RM5 juta

    Bekas CEO MARii didakwa terima rasuah RM5 juta

    SEORANG bekas Ketua Pegawai Eksekutif institut automotif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di KUALA LUMPUR hari ini atas pertuduhan meminta suapan RM5 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan program latihan dan penempatan pekerja.

    Datuk Mohamad Madani Sahari, 56, didakwa meminta suapan itu daripada seorang lelaki berumur 37 tahun untuk membantu individu berkenaan mendapatkan program berkenaan berjumlah RM24 juta daripada Syarikat A2Z Technology Sdn Bhd iaitu syarikat subsidiari kepada The Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii).

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat A2Z Technology Sdn Bhd di Solaris Dutamas di sini,  antara 11 pagi hingga 3 petang, sekitar Mei 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM300,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini, lapor BERNAMA.

    “Tertuduh sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan akan didakwa lagi di mahkamah sama atas pertuduhan pengubahan wang haram pada 10 Mei dan di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 24 Mei. Pihak kami akan memohon untuk kes-kes berkenaan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di sini,” katanya.

    Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Mohamad Madani berkata pihaknya bersetuju untuk mengguna pakai jaminan tersebut.

    Hakim Suzana Hussin membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes.

    Pada 14 April lepas, Mohamad Madani didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta daripada seorang individu menerusi akaun bank sebagai upah kerana telah membantu sebuah syarikat mendapat surat penganugerahan berjumlah RM12 juta.

  • Bicara kes saman SRC terhadap Najib mula Januari depan

    Bicara kes saman SRC terhadap Najib mula Januari depan

    PERBICARAAN kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan dana SRC RM42 juta akan bermula Januari 2025 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

    Peguam Kwan Will Sen mewakili SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) selaku plaintif ketika dihubungi pemberita berkata kes itu akan didengar Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

    “Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 13 hingga 17 dan 20 hingga 24 Januari 2025 manakala Februari pada 12 hingga 14, 17 hingga 21 dan 24 hingga 26,” kata peguam itu.

    Menurut Kwan, pada pengurusan kes di hadapan Raja Ahmad Mohzanuddin Shah secara dalam talian hari ini, mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 4 Ogos depan untuk pihak-pihak mengemas kini status perbicaraan.

    SRC, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan GMSB, memfailkan writ saman pada 7 Mei 2021, mendakwa bekas perdana menteri itu sebagai defendan melakukan pecah amanah, menyalah guna kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.

    Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

    Plaintif antara lain menuntut deklarasi bahawa plaintif berhak mengikuti dan mengesan wang RM42 juta itu dan menuntut hak milik ekuiti ke atas wang berkenaan atau sebarang harta yang diperoleh Najib dengan menggunakan wang berkenaan selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.

  • Alih data syarikat bekal penstriman kandungan TV, video ke hotel, pengurus didenda RM21,000

    Alih data syarikat bekal penstriman kandungan TV, video ke hotel, pengurus didenda RM21,000

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini mendenda seorang pengurus RM21,000 kerana mengalih data sulit milik sebuah syarikat yang membekalkan penstriman kandungan televisyen dan video ke hotel tanpa kebenaran di antara 2016 dan 2020.

    Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu selepas Teo Kia Lim, 45, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan.

    Mahkamah mengenakan RM7,000 bagi setiap pertuduhan, atau penjara 30 bulan, jika Teo gagal membayar denda.

    Dia didakwa melakukan capaian tanpa kuasa terhadap data sulit milik Syarikat Vision Four Multimedia Sdn Bhd (VFMM) dengan menyalin atau mengalihkan data terbabit kepada e-mel persendiriannya untuk mendapatkan data tanpa kebenaran daripada pemilik syarikat itu, Steven Harold Day, 72.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Syarikat Vision di Jalan Liku, Bangsar di Kuala Lumpur antara 10.21 pagi hingga 4.41 petang dari 29 Dis 2016 hingga 26 Ogos 2020 mengikut Seksyen 3 (1)(b) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

    Teo Kia Lim, 45, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengalih data sulit milik sebuah syarikat yang membekalkan penstriman kandungan televisyen dan video ke hotel tanpa kebenaran di antara 2016 dan 2020 selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

    Bagaimanapun, peguam Segaren memohon tertuduh dikenakan denda minimum atas alasan Teo adalah seorang ibu tunggal dan perlu menanggung ibunya yang sudah uzur selain tiada rekod jenayah serta telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan polis.

    Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan pengasas dan Ketua Eksekutif VFMM membuat laporan polis selepas tertuduh, yang sebelum ini bekas pembantu peribadinya, didapati menggunakan maklumat sulit syarikat itu antaranya data pelanggan dan rakan kongsi perniagaan syarikat pengadu untuk mempromosi jenis perniagaan sama selepas Teo menubuhkan syarikat lain.

    VFMM menjalankan perniagaan pengedaran, pembekalan dan penstriman kandungan televisyen dan video ke hotel di negara ini.

  • Pasangan remaja ‘wheelie’ mengaku salah

    Pasangan remaja ‘wheelie’ mengaku salah

    SEPASANG remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas tuduhan melakukan aksi ‘wheelie’ pada Mac lalu.

    Pengakuan mereka direkodkan di depan Majistret Fatinah Abu Bakar selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

    Remaja lelaki yang bekerja sebagai pencuci kereta itu didakwa menunggang motosikal Honda EX-5 putih secara berbahaya, iaitu mengangkat tayar hadapan di Jalan Chendor di Kuantan menghala ke Kemaman, Terengganu pada 5.30 petang 12 Mac lalu.

    Remaja perempuan yang masih bersekolah pula didakwa membantu melakukan aksi itu selaku pembonceng pada masa dan di tempat sama.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu minimum dua tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding itu, pasangan remaja terbabit yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM2,000 setiap seorang, yang ditawarkan pegawai pendakwa Nafizah Ismail atas alasan kewangan keluarga.

    Remaja lelaki itu memaklumkan ibunya merupakan pekerja am dengan gaji RM1,500 sebulan, manakala remaja perempuan terbabit memberitahu ayahnya hanya berpendapatan RM700 hingga RM1,000 yang digunakan untuk menanggung dia tiga beradik.

    Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM800 dengan seorang penjamin masing-masing dan menetapkan 7 Jun untuk laporan akhlak serta jatuh hukum.

    Isnin lalu, polis mengesahkan penahanan sepasang remaja dipercayai kekasih di Balok, di Kuantan selepas video mereka melakukan aksi ‘wheelie’ tular di media sosial sehari sebelumnya.

    Siasatan juga mendapati motosikal yang digunakan itu milik ibu remaja lelaki berkenaan.

  • Wanita Vietnam didakwa serang polis guna gunting

    Wanita Vietnam didakwa serang polis guna gunting

    SEORANG wanita warga Vietnam yang mengacu gunting kepada pegawai polis yang cuba meleraikan pertengkarannya bersama teman lelaki bulan lalu, membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.

    Tertuduh, Nguyen Thi Cam Nhung, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan mengacukan gunting terhadap Inspektor Mohd. Shahrol Firrdaus Senawi, lapor Astro Awani.

    Kesalahan itu dilakukan di Silverscape Resident, Element Mall, Melaka Tengah, kira-kira pukul 9.30 malam 16 April lalu.

    Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh mengaku bersalah menghalang tugas penjawat awam yang dilakukan di tempat, tarikh dan masa yang sama di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

    Jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
    Bagaimanapun, mahkamah menolak pengakuannya itu susulan tertuduh tidak konsisten dengan keputusan itu.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh yang diwakili peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah.

    Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga Malaysia bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat pasport diserah kepada mahkamah.

    Mahkamah turut menetapkan kes disebut semula pada 13 Jun ini untuk serahan dokumen dan mengunakan khidmat jurubahasa Vietnam.

  • Komunikasi palsu:Pengerusi MyWatch dilepas dan dibebaskan

    Komunikasi palsu:Pengerusi MyWatch dilepas dan dibebaskan

    PENGERUSI Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R. Sri Sanjeevan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berkaitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Twitter, tiga tahun lalu.

    Hakim, Datuk M. M. Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sanjeevan, 39, selaku Orang Kena Saman (OKS), di akhir kes pendakwaan.

    “OKS dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri dan wang jaminan dikembalikan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam kes ini, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal manakala peguam, S Preakas dan Miguel Sequerah mewakili Sanjeevan.

    Perbicaraan kes itu yang bermula Jun 2020 lalu, telah memanggil lapan saksi pendakwaan.

    Pada 5 Jun 2020, Sanjeevan didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berkaitan PDRM.

    Tertuduh didakwa dengan niat menganiayai orang lain melalui aplikasi Twitter @SanjeevanSS dan dibaca di Pejabat Komunikasi, Aras 2, Menara 1, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada 7 April 2020, pada jam 3.15 petang.

    Ahli perniagaan itu juga dituduh melakukan perbuatan sama melalui aplikasi Twitter @My_CrimeWatch yang dibaca pada 17 Mei 2020, 8.15 pagi di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di Kuala Lumpur.

    Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu, pada 18 Mac, 4.20 petang dan 16 Mei 2020, pada 9.07 malam mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika disabitkan kesalahan boleh boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

    Sanjeevan ketika ditemui pemberita bersyukur dengan keputusan hari ini dan berterima kasih kepada pasukan peguam sepanjang mengendalikan kes tersebut.

  • Tembak mati rakan disangka kijang, lelaki dipenjara 1 tahun

    Tembak mati rakan disangka kijang, lelaki dipenjara 1 tahun

    SEORANG lelaki yang menembak rakannya disangkakan kijang di kawasan hutan Muka Sauk, Jelebu, minggu lalu dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol.

    Hukuman itu dijatuhkan Majistret Norshazwani Ishak selepas Amran Abd Razak, 51, mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

    Tertuduh turut didenda RM2,000 dan boleh dipenjara dua bulan, jika gagal membayar denda itu, menurut Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, Amran didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian lelaki berusia 62 tahun di kawasan hutan Muka Sauk, Jelebu, 3 pagi 24 April lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Di mahkamah sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dan 13 butir peluru hidup serta tiga butir kelongsong jenis 12 bore pelbagai warna.

    Kesalahan itu dilakukan di kawasan semak di tepi Jalan Muka Sauk, Kuala Klawang, pada 6.30 petang 26 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

    Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Sharnaaz Ahmad kemuka representasi gugur tuduhan cedera pengawal keselamatan

    Sharnaaz Ahmad kemuka representasi gugur tuduhan cedera pengawal keselamatan

    PELAKON Sharnaaz Ahmad telah mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lepas.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memaklumkan kepada Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim bahawa representasi tersebut telah difailkan oleh pihak pembelaan pada Selasa lepas (2 Mei).

    Sementara itu, peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, berkata pihaknya memohon maaf kepada mahkamah kerana baru sahaja memfailkan representasi itu pada 2 Mei berikutan terdapat beberapa dokumen perlu diselesaikan.

    “Pihak kami memohon maaf kepada mahkamah dan tidak mahu mahkamah menganggap pihak pembelaan melambatkan pemfailan representasi itu.

    “Kami mohon satu tarikh ditetapkan awal Julai ini untuk mengetahui keputusan representasi berikutan pihak pendakwaan memerlukan masa untuk meneliti representasi tersebut,” katanya ketika sebutan kes itu hari ini.

    Pelakon popular, Sharnaaz Ahmad mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki di sebuah kondominium pada jun tahun lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Majistret Atiqah Mohamed kemudian menetapkan 10 Julai ini untuk mengetahui keputusan representasi tersebut.

    Pelakon drama bersiri ‘Bukan Kerana Aku Tak Cinta’ itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas, Kuala uUmpur pada 8.30 malam, 16 Jun 2022.

    Sharnaaz dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Ketika ditemui media, selepas prosiding, Abu Bakar berkata representasi itu telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 2 Mei lalu.

    Sementara itu, Sharnaaz berkata pihaknya akan cuba menyelesaikan kes sebaik mungkin dan sekiranya tiada penyelesaian, beliau bersedia untuk perbicaraan.