Category: Mahkamah

  • Pendengaran kes Sultanah-Sarawak Report pada 22 September

    Pendengaran kes Sultanah-Sarawak Report pada 22 September

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 22 September untuk mendengar rayuan Terengganu Sultanah Nur Zahirah dalam saman fitnahnya terhadap pengasas laman pendedah maklumat Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.

    Peguam diraja Terengganu, Datuk Mohd. Haaziq Pillay ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan, lapor Malaysiakini.

    Pada 31 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tindakan sivil sultanah terhadap kenyataan dalam buku Rewcastle-Brown bertajuk The Sarawak Report – The Inside Story of 1MDB.

    Mahkamah sivil memutuskan bahawa dari perspektif pembaca yang munasabah, kenyataan yang dipersoalkan tidak memberi menimbulkan beberapa tuduhan yang disoal oleh sultanah.

    Semasa pendengaran tindakan sivil, sultanah menafikan dia terlibat dalam entiti awal 1MDB, Terengganu Investment Authority (TIA).

    Rewcastle-Brown pula mengakui bahawa dia melakukan kesilapan yang tidak disengajakan.

    Bahagian itu juga dibuang daripada edisi cetakan baru buku itu.

  • Prosiding 5 kes tuntutan palsu bekas MB Perlis dipindah ke mahkamah KL

    Prosiding 5 kes tuntutan palsu bekas MB Perlis dipindah ke mahkamah KL

    PROSIDING lima kes tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di Mahkamah Sesyen Kangar dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Harian Metro melaporkan sebutan semula kes itu ditetapkan pada 9 Jun ini di hadapan Hakim Azura Alwi, yang akan menggabungkan lima lagi pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM1.06 juta.

    Permohonan pemindahan kes itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah di hadapan Hakim Norsalha Hamzah ketika sebutan semula kes itu.

    Peguam Burhanudeen Abdul Wahid dan Ramli Shariff yang mewakili Azlan, 64, tidak membantah permohonan pemindahan kes itu.

    Terdahulu, Azlan yang hadir di mahkamah pada 9 pagi kelihatan tenang dan ceria sambil ditemani peguam dan beberapa penyokongnya.

    Pada 10 April lalu, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika menjadi menteri besar Perlis.

    Dua hari kemudian, beliau mengaku tidak bersalah atas lima lagi pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM1.06 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

  • Tarikh perbicaraan kes pengubahan wang Rosmah dikosongkan

    Tarikh perbicaraan kes pengubahan wang Rosmah dikosongkan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pagi ini membenarkan permohonan pasukan pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengosongkan perbicaraan yang dijadualkan hari ini.

    Malaysiakini melaporkan, surat representasi Rosmah memetik ‘perkembangan baru’ untuk pihak pendakwaan menarik balik kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai RM7 juta terhadapnya.

    Susulan itu, tarikh perbicaraan hari ini, 28 Jun; 6, 7, 28, dan 31 Julai; serta 1, 2, dan 11 Ogos telah dikosongkan, dengan perbicaraan ditetapkan bermula pada 24 Ogos jika Peguam Negara menolak surat representasi.

  • Perbicaraan Najib ditangguh, mash dirawat di wad akibat cirit-birit

    Perbicaraan Najib ditangguh, mash dirawat di wad akibat cirit-birit

    PERBICARAAN Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan hari ini setelah bekas perdana menteri itu masih menerima rawatan di wad kerana masalah cirit-birit.

    Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, membuat keputusan itu selepas Pakar Perubatan Klinikal Hospital Kuala Lumpur Dr Mohd Fadhli Zil Ikram Karim memberi penjelasan mengenai keadaan kesihatan Najib semasa prosiding hari ini.

    Mohd Fadhli ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata beliau telah memeriksa Najib semasa menjalankan tugas pada 7.20 pagi tadi. Najib dimasukkan ke hospital pada Selasa.

    “Apabila saya memeriksa Datuk Seri Najib, beliau mengadu masih mengalami cirit-birit dan hasil pemeriksaan mendapati beliau masih mengalami cirit-birit.

    “Kami meneruskan pemantauan dan tekanan darahnya stabil. Bagaimanapun, disebabkan cirit-birit, beliau menunjukkan tanda-tanda berisiko tinggi mengalami dehidrasi. Kami perlu menahannya di wad untuk infusi garam intravena (IV) bagi menghidrat semula dan memantaunya,” kata beliau.

    Menjawab soalan Ahmad Akram, Mohd Fadhli berkata selepas berunding dengan pegawai atasannya, mereka membuat kesimpulan bahawa Najib tidak sihat untuk hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes 1MDB kerana perlu dipantau dan diwadkan untuk infusi IV secara berterusan.

    Najib telah diberi cuti sakit selama sehari. Perbicaraan dijadualkan bersambung pada 21 Jun.

    Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    — BERNAMA

  • Bekas MP fail rayuan kes saman bekas bendahari cabang PKR

    Bekas MP fail rayuan kes saman bekas bendahari cabang PKR

    BEKAS Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan merujuk ke Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan mahkamah yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas bendahari PKR Cabang Sungai Siput dan suaminya.

    Peguamnya, Muhamad Samsul Nizam Sohhimi mengesahkan dengan Malaysiakini petang ini mengenai pemfailan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam saman fitnah terhadap bekas ahli Parlimen itu oleh R. Indrani dan S. Selvakumar.

    Menurut salinan notis rayuan yang difailkan pada 15 Mac, perayu Gobalakrishnan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sebelum ini pada 23 Februari, lapor Malaysiakini.

    Pada 23 Februari, pesuruhjaya kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memerintahkan bekas ahli Parlimen itu membayar RM150,000 kepada Indrani dan Selvakumar, yang juga juruterbang sebuah syarikat penerbangan komersial.

    Pasangan itu memfailkan tindakan fitnah terhadap defendan kerana didakwa menerbitkan tiga penerbitan berunsur fitnah pada 4 Jun 2019. Plaintif memfailkan tindakan sivil pada 7 November tahun yang sama.

    Penerbitan itu didakwa terdiri daripada dua mesej gambar WhatsApp dan mesej suara WhatsApp, menuduh pasangan itu telah menipu ramai ahli perniagaan.

    Mahkamah Tinggi telah memberikan ganti rugi kepada Selvakumar dan Indrani masing-masing RM50,000 dan RM100,000, dan juga memerintahkan Gobalakrishnan membayar kos RM40,000 kepada kedua-dua plaintif.

    Pasangan itu diwakili peguam dari firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners.

  • Dua pegawai imigresen didakwa rasuah lepaskan PATI keluar Sabah

    Dua pegawai imigresen didakwa rasuah lepaskan PATI keluar Sabah

    DUA pegawai Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di Tawau hari ini atas pertuduhan rasuah bagi melepaskan sembilan pendatang tanpa izin yang menggunakan kad pengenalan individu lain untuk keluar dari Sabah menuju ke Semenanjung, dua bulan lepas.

    Rosmaini Sapar, 40, dan Elmin Salleh, 30, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

    Rosmaini didakwa menerima rasuah RM4,500 daripada seorang individu sebagai dorongan untuk pendatang tanpa izin berkenaan melepasi kaunter pemeriksaan Imigresen 1, Lapangan Terbang Tawau antara 8.30 pagi hingga 9 pagi bagi menaiki penerbangan dari Tawau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 23 Mac lepas.

    Rosmaini, yang bertugas di Pejabat Imigresen UTC Tawau, dituduh menerima rasuah itu di Bank Muamalat cawangan Tawau, Lot 69 & 70, Ground & First Floor No G4 & G6, Kubota Square, di Tawau, pada 22 Mac lepas.

    Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

    Elmin yang bertugas di Pejabat Imigresen, Lapangan Terbang Tawau didakwa bersubahat dengan Rosmaini serta menerima suapan di lokasi dan tarikh sama.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta serupa.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Jason membenarkan Rosmaini dan Elmin masing-masing diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali, selain tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nurul Izzati Sapife.

  • Farid Ali dilepas dan dibebaskan pertuduhan tuntutan palsu pembekalan minyak masak

    Farid Ali dilepas dan dibebaskan pertuduhan tuntutan palsu pembekalan minyak masak

    PEMILIK syarikat pembungkusan minyak masak subsidi, Datuk Mohd. Farid Mohamad Ali dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan kes tuntutan palsu pembekalan minyak masak kepada syarikat-syarikat peruncit yang dihadapinya pada 2020.

    Farid menerusi kenyataan merakamkan kesyukuran selepas hakim memberikan perintah ‘dibebaskan dan dilepaskan’ (Discharge Amounting to Acquittal (DAA) sebelum perbicaraan kes ini dimulakan.

    “Sebenarnya pada 20 Jun 2022 hasil daripada justifikasi dan penerangan di dalam representasi yang dikemukakan oleh pihak saya, maka pihak pendakwa raya telah menarik balik kesemua pendakwaan ke atas saya dan susulan daripada itu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah memberikan perintah ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’ kepada saya pada tarikh tesebut.

    “Di mana segala wang jaminan dan pasport antarabangsa saya juga diperintahkan untuk dilepaskan dan dikembalikan berkuatkuasa pada tarikh 20 Jun 2022.

    “Susulan daripada itu, saya melalui peguam saya Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Mac 2023 untuk meminda keputusan ‘dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA)’ kepada ‘dilepaskan dan dibebaskan (DAA)’,” katanya.

    Beliau berkata, pada sesi pengurusan kes pada 14 April lalu, pihak pendakwaan memaklumkan mereka tiada bantahan kepada permohonannya itu.

    “Justifikasi terhadap permohonan ini adalah kerana kesemua pendakwaan ke atas saya telah ditarik balik pada 20 Jun 2022 dan segara dokumen-dokumen dan telefon bimbit juga telah dikembalikan oleh pihak SPRM sejak dari tahun lepas lagi.

    “Susulan dari itu, Yang Mulia Hakim pada hari ini 10 Mei 2023 telah memberikan perintah ‘dilepaskan dan dibebaskan (DAA)’ kepada saya,” katanya, lapor Astro Awani.

    Farid menambah berkat kesabaran dan mengambil konsep mempertahankan maruah diri, akhirnya kebenaran terbukti dengan perintah ‘dilepaskan dan dibebaskan’ yang diberikan oleh hakim pada hari ini dan lebih-lebih lagi kerana perintah itu diberikan sebelum perbicaraan kes dimulakan.

    “Saya mengambil jalan yang lebih berkat dengan menjadi pembekal utama minyak masak bersubsidi kepada asnaf Selangor walaupun keuntungannya adalah lebih kecil jika dibandingkan dengan pembekalan kepada pemborong lain. Ternyata ianya lebih berkat kerana Allah memberi rezeki di dalam bentuk perniagaan lain kepada saya,” katanya lagi.

  • Amelia Henderson fail rayuan terhadap perintah bayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A.Aida

    Amelia Henderson fail rayuan terhadap perintah bayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A.Aida

    PELAKON Amelia Henderson memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada penerbit filem dan drama A. Aida kerana melanggar kontrak penggambaran drama berjudul `Sekali Lagi Cinta Kembali’.

    Peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman, yang mewakili Amelia, 28, atau nama penuhnya Amelia Thripura Henderson ketika dihubungi pemberita berkata, notis rayuan itu difailkan pada 18 April lepas di Mahkamah Tinggi.

    Menurut peguam itu, pengurusan kes untuk rayuan tersebut ditetapkan pada 26 Mei ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rozana Husin.

    Pada 7 April lepas, Mahkamah Sesyen memerintahkan Amelia membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A. Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang menerusi syarikatnya, A. Aida Production Sdn Bhd selepas membenarkan tuntutan saman syarikat itu terhadap pelakon drama ‘Kisah Cinta Kita’.

    Hakim Zulqarnain Hassan memerintahkan Amelia selaku defendan membayar ganti rugi am RM90,000; pemulangan bayaran pendahuluan selepas menandatangani kontrak perjanjian sebanyak RM3,920 dan RM101,325 bagi pembayaran kos penggambaran serta kos RM18,000 kepada A. Aida selaku plaintif.

    Hakim itu turut membenarkan permohonan A. Aida untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Amelia daripada menerbitkan kenyataan fitnah sama terhadapnya selain pelakon itu perlu memohon maaf kepada plaintif di akaun Instagramnya @ameliath dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah dalam tempoh tujuh hari bermula 7 April.

    Pada 28 Julai 2022, A. Aida Production menyaman Amelia berhubung pelanggaran kontrak drama berkenaan apabila pelakon wanita itu menarik diri di saat akhir daripada penggambaran drama tersebut.

    Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Amelia telah menerima bayaran pertama sebanyak RM3,920 selepas menandatangani perjanjian kontrak serta bersetuju memberikan sepenuh komitmen bagi menjayakan drama tersebut.

    Bagaimanapun, plaintif mendakwa Amelia membuat keputusan untuk menarik diri walaupun terdapat rundingan antara kedua-dua pihak sebelum notis penamatan kontrak diberikan kepada pelakon itu.

  • Rogol 2 anak bawah umur, bapa dipenjara 36 tahun

    Rogol 2 anak bawah umur, bapa dipenjara 36 tahun

    SEORANG bekas pengendali kren akan menjalani hukuman penjara 36 tahun dan 20 sebatan, selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan terhadap hukumannya atas kesalahan merogol dua anak perempuan bawah umur.

    Mahkamah Sesyen sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan terhadap lelaki berusia 42 tahun itu kerana merogol anak perempuannya berusia 15 tahun pada pertengahan 2017.

    Mahkamah sama turut menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 lagi sebatan terhadapnya kerana merogol anak perempuannya berusia 13 tahun pada awal Januari 2020.

    Tertuduh mengaku bersalah ketika didakwa pada 12 Mei 2020.

    Tetapi, hakim perbicaraan mengarahkan hukuman penjara itu dilaksanakan berturut-turut, yang bermakna dia perlu menjalani hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan.

    Mahkamah Tinggi turut menolak rayuannya terhadap hukuman itu.

    Hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Kamaludin Said mengurangkan hukuman penjara daripada 20 tahun kepada 18 tahun dan 12 sebatan kepada 10 sebatan bagi setiap hukuman.

    Kamaludin, yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan Lim Chong Fong, mengarahkan hukuman penjara itu dilaksanakan berturut-turut, bermakna tertuduh akan menjalani hukuman penjara 36 tahun dan 20 sebatan.

    Terdahulu, peguam Ameerul Aizat Noor Haslan berhujah, 40 tahun keterlaluan dan tertuduh mungkin dibebaskan pada usia 80 tahun.

    Tetapi, Azman memberitahu peguam, anak guamnya hanya perlu dipenjarakan 27 tahun kerana hukumannya akan diringankan satu pertiga, jika berkelakuan baik.

    Ameerul turut meminta 24 sebatan, maksimum sebatan yang dibenarkan bawah undang-undang, dikurangkan.

    “Saya tidak meminta hukuman berjalan serentak kerana kesalahan sama dilakukan terhadap dua mangsa dalam kejadian berbeza,” katanya memetik laporan FMT.

    Timbalan Pendakwa Raya, Fauziah Daud ketika meminta mahkamah mengekalkan hukuman itu berkata, terdapat dua kesalahan berbeza kerana jenayah itu berlaku pada 2017 dan 2020.

    Fakta kes mendedahkan bapa lima anak itu merogol dua anaknya di rumah mereka di Segamat Baru, Segamat, Johor.

    Dia ditahan pada 5 Mei 2020 selepas laporan dibuat ibu saudara gadis itu.

  • ‘Mutaah RM1 juta adalah munasabah’ – Lutfya

    ‘Mutaah RM1 juta adalah munasabah’ – Lutfya

    PELAKON Lutfya menyifatkan tuntutan mutaah RM1 juta terhadap bekas suaminya, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum merupakan nilai yang munasabah, kerana mengambil kira kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

    Pemilik nama Lutfyah Sheikh Omar itu berkata, beliau mengambil tindakan itu kerana perlu merancang untuk hidup bersama anak tunggalnya.

    “Tuntutan RM1 juta adalah permintaan saya sendiri, kerana saya perlu menjaga anak seorang diri, ia bukan sesuatu yang mudah,” katanya selepas prosiding sebutan semula tuntutan mutaah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini.

    Dia yang bergelar ibu tunggal sejak tiga tahun lalu berkata, pengorbanannya selepas berkahwin dengan melepaskan populariti sebagai pelakon, model dan penyanyi merupakan antara alasan kukuh permohonan tersebut dibuat.

    “Sebenarnya, saya ambil masa untuk failkan pemohonan ini, kerana usaha untuk bangkit semula, memerlukan masa yang agak panjang.

    “Saya tak pernah tuntut apa-apa daripadanya,” kata pelakon berusia 38 tahun itu, lapor Sinar Harian.

    Sementara peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hasan yang mewakili Lutfya selaku plaintif berkata, pihaknya telah menyerahkan penyata tuntutan kepada Dr. Muhammad Hafiz yang bertindak sebagai defendan.

    “Hari ini, kita terima penyata pembelaan dan jawapan daripada pihak defendan, sebagai mana yang dinyatakan dalam tuntutan anak guam saya.

    “Arahan seterusnya ialah, kita perlu menyediakan penyata keterangan dan ikatan dokumen,” katanya yang hadir ke prosiding pengurusan kes di hadapan Pendaftar, Rashidah Sapingi @ Shafie.

    Beliau berkata, mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Julai untuk sebutan kes.

    Semasa prosiding itu kelak, beliau berkata, hakim syarie akan menentukan sama ada semua dokumen yang diserahkan adalah teratur atau sebaliknya, sebelum diteruskan dengan sesi perbicaraan.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai ketidakhadiran bekas suami Lutfya, peguam itu berkata, defendan telah diberi pengecualian kehadiran pada prosiding lalu.

    Lutfya dan Dr. Hafiz mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan Laana Haura, 5.

    Mereka kemudian bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam pada pada 17 Jun 2020.

    Selepas tiga tahun bergelar duda, Dr. Hafiz berkahwin dengan pelakon Julia Farhana pada 14 Disember tahun lalu.