Category: Mahkamah

  • Mahkamah benar kerajaan, peguam negara cabar saman LFL terhadap Malaysia, Singapura

    Mahkamah benar kerajaan, peguam negara cabar saman LFL terhadap Malaysia, Singapura

    MAHKAMAH Persekutuan memberi kebenaran kepada kerajaan dan peguam negara untuk membuat permohonan rayuan membatalkan saman kumpulan hak asasi terhadap kedua-dua kerajaan Singapura dan Malaysia.

    Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli berkata, pemohon memenuhi keperluan undang-undang untuk rayuan merit mereka didengar.

    “Kami telah mempertimbangkan hujahan bertulis dan lisan (pihak tersebut). Pada pandangan kami, soal memberi kebenaran yang dikemukakan telah melepasi ambang di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman,” katanya, lapor FMT.

    Hakim Zabariah Yusof dan Hasnah Hashim turut menganggotai panel mendengar permohonan itu.

    Dalam kes sivil, Mahkamah Persekutuan hanya akan mendengar rayuan atas meritnya jika pemohon membangkitkan persoalan undang-undang yang sebelum ini tidak diputuskan oleh mahkamah tertinggi atau melibatkan persoalan penting yang keputusannya akan menguntungkan orang ramai.

    Pada 20 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Lawyers for Liberty (LFL) untuk mengembalikan semula saman pemula yang telah dikeluarkan terhadap Menteri Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam.

    Ini selepas peguam negara berjaya mencelah untuk membatalkan saman itu memandangkan perkara itu pada asalnya dari Mahkamah Tinggi.

    Pada hari sama, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Yaacob Sam juga membenarkan rayuan LFL untuk menyemak satu lagi saman difailkan terhadap kerajaan Malaysia yang bertujuan menghalangnya daripada membantu kerajaan Singapura dalam perkara itu.

    Keputusan Mahkamah Rayuan bermakna Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikehendaki mendengar kedua-dua saman atas merit kes itu.

    Hari ini, mahkamah membenarkan tujuh persoalan undang-undang, antaranya sama ada mahkamah Malaysia boleh menjalankan bidang kuasa mendengar perkara di mana kekebalan kedaulatan terhadap tindakan kerajaan asing dibangkitkan.

    Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili peguam negara dan kerajaan, manakala Gurdial Singh Nijar mewakili LFL.

    Pada 24 Januari 2020, LFL telah memfailkan untuk mencabar ‘arahan pembetulan’ dikeluarkan kerajaan Singapura di bawah undang-undang kontroversi negara itu, Akta Perlindungan daripada Berita Palsu dan Manipulasi Atas Talian (Pofma).

    Kumpulan hak asasi manusia itu berkata, arahan itu dikeluarkan berkenaan dengan perkara diterbitkan LFL mengenai kaedah pelaksanaan hukuman mati yang didakwa mereka ‘kejam dan di luar batas undang-undang’ di Penjara Changi.

    Kenyataan 2020 dikeluarkan kerajaan Singapura di portal rasminya mengatakan dakwaan LFL itu mengandungi ‘kenyataan palsu’.

    Kementerian Dalam Negeri Singapura juga menyifatkan dakwaan itu ‘tidak benar, tidak berasas, dan tidak masuk akal’, sambil menambah bahawa semua pelaksanaan kehakiman di negara itu dilakukan dengan mematuhi undang-undang ketat.

    Saman difailkan LFL adalah untuk memohon pengisytiharan mahkamah bahawa menteri berkenaan atau mana-mana orang bertindak di bawah bidang kuasanya tidak boleh mengambil sebarang tindakan menguatkuasakan mana-mana peruntukan Pofma di luar wilayah terhadapnya di Malaysia.

    Dalam samannya terhadap kerajaan Malaysia, LFL memohon pengisytiharan bahawa ia mempunyai hak menyatakan pendapatnya di Malaysia mengikut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang mengawal hak kebebasan bersuara.

  • Bekas ahli Bersatu, isteri gagal dapat semula hak barangan, kereta mewah

    Bekas ahli Bersatu, isteri gagal dapat semula hak barangan, kereta mewah

    SEORANG bekas ahli Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan isteri gagal mendapatkan semula hak ke atas kenderaan mewah dan barangan yang dirampas pihak berkuasa semasa serbuan dadah, pada 2021.

    Adam Asmuni dan Lyiana Roslee ditahan polis pada 20 Januari 2021.

    Ketika serbuan di rumah banglo pasangan tersebut di Ampang, polis menemui pokok ganja dan botol berisi cecair ganja.

    Barangan lain dirampas termasuk wang tunai, kereta, motosikal, jam tangan mewah, beg tangan, komputer riba, gelang, rantai leher, serta akaun Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

    Pasangan tersebut kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam ganja secara haram.

    Polis juga mengemukakan permohonan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur mengikut Seksyen 32(2) Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakkan Harta) 1988, untuk menyita barangan yang dirampas daripada mereka.

    Adam dan Lyiana mengemukakan tuntutan pihak ketiga untuk mendapatkan semula hak milikan barangan mereka.

    Hakim Nor Hasniah Ab. Razak, bagaimanapun, hanya membenarkan tuntutan untuk wang tunai berjumlah RM3,250 yang dirampas.

    Mahkamah juga memerintahkan RM28,513.97 daripada RM81,468.51 dalam dua akaun ASNB dikembalikan kepada Lyiana. Baki RM52,954.54 dan semua barangan lain bagaimanapun disita kerajaan.

    Hasniah berkata, pasangan itu gagal mengemukakan keterangan melibatkan rampasan kereta BMW X5 dan BMW 328i dibayar oleh syarikat percetakan milik mereka, Percetakan Alfa Gemilang Sdn. Bhd.

    Tiada juga keterangan yang menunjukkan syarikat percetakan tersebut membuat pembayaran bulanan untuk melunaskan pinjaman pembelian kenderaan tersebut, katanya.

    Mahkamah juga mendapati bahawa tiada saksi yang memberi pernyataan jam tangan mewah milik Lyiana dibeli daripada penjual sah.

    Begitu juga tiada ahli keluarga memberi pernyataan mereka memberikan hadiah berbentuk barang kemas kepada Lyiana dan anak perempuannya.

    Hasniah berkata, seorang akauntan bertauliah sepatutnya dipanggil memberi pernyataan sama ada Percetakan Alfa Gemilang membayar pendapatan tertangguh pasangan itu dalam akaun ASB mereka.

    Pasangan tersebut merayu keputusan itu ke Mahkamah Tinggi. Peguam Rafique Rashid Ali memberitahu pengurusan kes ditetapkan pada 15 Jun.

    “Perbicaraan bagi tuduhan mengedar dadah akan didengar bermula 20 hingga 23 November oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ooi Su Ghee di Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya, lapor FMT.

    Tahun lalu, Lyiana mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan untuk memohon agar ketiga-tiga pertuduhan mengedar dadah itu dibatalkan. Namun, tidak berjaya.

  • Rogol remaja hingga lahir anak, lelaki dipenjara 8 tahun, 4 sebatan

    Rogol remaja hingga lahir anak, lelaki dipenjara 8 tahun, 4 sebatan

    SEORANG pekerja pembersihan dihukum penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Tawau hari ini, selepas mengaku bersalah merogol remaja 13 tahun sehingga melahirkan bayi lelaki, November lalu.

    Tertuduh, Muhammad Ali, 47, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Rosli Ahmad selepas membuat pengakuan itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang juga pemegang pasport warga Indonesia didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun ketika kejadian di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit di Semporna, 4 petang, 2 April tahun lalu.

    Mengikut fakta kes, tertuduh disyaki merogol mangsa yang ketika itu sedang tidur bersendirian di rumahnya.

    Tertuduh bagaimanapun ditangkap pada 21 November lalu selepas mangsa mengadu sakit perut sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.

    Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengandung 38 minggu dan selamat melahirkan bayi lelaki sebelum mendedahkan dia telah dirogol oleh tertuduh.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Suhaimi Suriana mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Dalam hujahnya, Suhaimi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam selain kesan trauma dialami mangsa selepas dirogol.

    Katanya, mangsa yang masih bersekolah sepatutnya menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak perempuan lain namun terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu dalam usia yang sangat muda.

    “Laporan daripada Jabatan Kimia juga mengesahkan tertuduh adalah bapa kandung bayi terbabit.

    “Pendakwaan juga mengambil kira faktor tertuduh dalam kes ini adalah warga asing yang masuk ke negara ini sewajarnya dijatuhi hukuman berat selain perlu diusir pulang ke negara asal,” tegasnya, lapor Harian Metro.

    Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman itu dan mengarahkan ia bermula dari tarikh tangkapan selain diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

  • Kesalahan seksual terhadap murid 12 tahun: Bekas guru bahasa Arab dipenjara lapan tahun

    Kesalahan seksual terhadap murid 12 tahun: Bekas guru bahasa Arab dipenjara lapan tahun

    SEORANG bekas guru bahasa Arab mula menjalani hukuman penjara lapan tahun hari ini selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara kerana melakukan kesalahan seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan berumur 12 tahun pada 2018.

    Nor Azlam Ab Rahman, 43, juga akan menerima satu sebatan rotan.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Mohamed Zaini Mazlan sebulat suara menolak rayuan Nor Azlam terhadap sabitan dan hukumannya selepas memutuskan rayuan itu tidak mempunyai merit.

    Dalam penghakiman mahkamah, Hanipah berkata berdasarkan keseluruhan bukti, sabitan kesalahan Nor Azlam adalah selamat.

    Beliau berkata Mahkamah Sesyen telah memutuskan bahawa Nor Azlam gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes pendakwaan, sambil menambah bahawa tiada kesilapan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang memerlukan campur tangan rayuan.

    Hakim itu berkata hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan yang dikenakan terhadap Nor Azlam oleh Mahkamah Sesyen adalah tidak keterlaluan.

    Mahkamah kemudian mengeluarkan waran komital untuk Nor Azlam memulakan hukuman penjaranya mulai hari ini. Nor Azlam sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 sementara menunggu rayuannya selesai.

    Pada 5 Okt 2019, Mahkamah Sesyen mendapati Nor Azlam bersalah kerana melakukan kesalahan seksual dengan menyentuh anggota badan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu dan telah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan. Mahkamah Tinggi menolak rayuannya pada 16 Mei 2022.

    Mengikut kertas pertuduhan, Nor Azlam melakukan kesalahan itu di makmal sebuah sekolah rendah di Kota Bahru, Kelantan pada 2.30 petang pada 4 Ogos 2018.

    Dia diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir.

  • 2 pengarah syarikat direman bantu siasatan kes rasuah Penjana lebih RM400,000

    2 pengarah syarikat direman bantu siasatan kes rasuah Penjana lebih RM400,000

    DUA pengarah syarikat di Pulau Pinang direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya membabitkan nilai lebih RM400,000.

    Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 35 dan 62 tahun itu dikeluarkan Majistret, Mohamad Azlan Basri selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret, kira-kira pukul 10 pagi ini.

    Menurut sumber SPRM, suspek didakwa mengemukakan tuntutan kononnya mengendalikan program pengambilan dan latihan pekerja kepada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagaimanapun ia tidak dilaksanakan meskipun tuntutan kepada kerajaan telah dibuat.

    Kedua-dua suspek yang merupakan pengarah syarikat berkaitan import tekstil dan syarikat barangan lusuh itu diwakili peguam daripada firma guaman, Partibhan & Co. dan Anba & Associates.

    Kedua-dua suspek ditahan menerusi Ops Hire 2.0 iaitu operasi bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan hasil tuntutan palsu yang dibuat oleh pengarah-pengarah syarikat menerusi program insentif pengambilan pekerja dan program latihan (Penjana).

    Terdahulu, media melaporkan seramai 47 individu lagi ditahan SPRM berhubung kes tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya di seluruh negara melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM63 juta.

    Mengikut sumber, kesemua suspek terdiri daripada 33 lelaki dan 14 wanita ditahan menerusi Op Hire yang dijalankan serentak di seluruh negara sejak semalam.

    Kata sumber itu, kesemua tangkapan terdiri daripada pemilik syarikat, pengarah dan pengurus syarikat membabitkan 51 syarikat yang dikenal pasti SPRM melakukan tuntutan dengan nilai keseluruhan RM63 juta.

  • Pendengaran rayuan kes rasuah bekas KSU, anak ditangguhkan

    Pendengaran rayuan kes rasuah bekas KSU, anak ditangguhkan

    PENDENGARAN rayuan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan anaknya terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi pertuduhan rasuah yang dijadualkan hari ini ditangguhkan.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan kedua-dua peguam Datuk Rajpal Singh untuk menangguhkan pendengaran itu selepas beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak sihat dan tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini.

    Beliau berkata, surat telah dikemukakan kepada mahkamah semalam yang memaklumkan Mohd Arif, yang mengalami sakit dada pada Sabtu, menghidap penyakit arteri koronari dan mendapatkan rawatan di hospital manakala anaknya Ahmad Zukhari disahkan positif Covid-19.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar tidak membantah permohonan penangguhan itu.

    Mahkamah kemudian menetapkan 21 Ogos untuk mendengar rayuan itu.

    Pada 14 November 2018, Mahkamah Sesyen mendapati Mohd Arif, 66, didapati bersalah atas tuduhan bersubahat dengan anak sulungnya Ahmad Zukhari menerima rasuah SG$200,000 (RM627,833) ketika beliau masih memegang jawatan KSU Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah daripada Pengarah Syarikat Wazlina Sdn Bhd Mohd Safian Mohd Salleh.

    Beliau didakwa menerima wang itu sebagai suapan bagi kelulusan kementerian bernilai RM57,500,000 melalui rundingan terus (Reka dan Bina) sistem solar hidbrid di empat pulau terpencil di Sandakan, Sabah kepada syarikat sekutunya, Eramaz Sdn Bhd (Eramaz) di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia, Kuala Lumpur dari 4 petang hingga 7 malam pada 23 Ogos 2016.

    Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3 juta atau tiga tahun penjara ke atas Mohd Arif.

    Ahmad Zukhari, 41, ahli perniagaan, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM9.6 juta atau 10 tahun penjara selepas Mahkamah Sesyen mendapati dia bersalah atas empat tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada beberapa projek melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada 2016.

    Rayuan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 23 Mac 2021 menyebabkan mereka memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

  • Bekas guru bahasa Arab dipenjara 8 tahun, lakukan seksual fizikal terhadap murid

    Bekas guru bahasa Arab dipenjara 8 tahun, lakukan seksual fizikal terhadap murid

    SEORANG bekas guru bahasa Arab mula menjalani hukuman penjara lapan tahun hari ini selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara kerana melakukan kesalahan seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan berumur 12 tahun pada 2018.

    Nor Azlam Ab Rahman, 43, juga akan menerima satu sebatan rotan.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Mohamed Zaini Mazlan sebulat suara menolak rayuan Nor Azlam terhadap sabitan dan hukumannya selepas memutuskan rayuan itu tidak mempunyai merit.

    Dalam penghakiman mahkamah, Hanipah berkata berdasarkan keseluruhan bukti, sabitan kesalahan Nor Azlam adalah selamat.

    Beliau berkata Mahkamah Sesyen telah memutuskan bahawa Nor Azlam gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes pendakwaan, sambil menambah bahawa tiada kesilapan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang memerlukan campur tangan rayuan.

    Hakim itu berkata hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan yang dikenakan terhadap Nor Azlam oleh Mahkamah Sesyen adalah tidak keterlaluan.

    Mahkamah kemudian mengeluarkan waran komital untuk Nor Azlam memulakan hukuman penjaranya mulai hari ini.

    Nor Azlam sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 sementara menunggu rayuannya selesai.

    Pada 5 Oktober 2019, Mahkamah Sesyen mendapati Nor Azlam bersalah kerana melakukan kesalahan seksual dengan menyentuh anggota badan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan.

    Mahkamah Tinggi menolak rayuannya pada 16 Mei 2022.

    Mengikut kertas pertuduhan, Nor Azlam melakukan kesalahan itu di makmal sebuah sekolah rendah di Kota Bahru, Kelantan pada 2.30 petang pada 4 Ogos 2018.

    Dia diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir.

  • Banduan liwat rakan dijel 5 tahun, satu sebatan

    Banduan liwat rakan dijel 5 tahun, satu sebatan

    SEORANG banduan dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas kesalahan meliwat rakan lelaki di Pusat Pemulihan Akhlak di Machang pada tahun lalu.

    Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Rohaizad Rosli, 27, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii dengan mangsa yang berusia 33 tahun di sebuah bilik di blok pusat pemulihan terbabit pada pukul 1 pagi pada 26 Jun 2022.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry dan tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pada prosiding itu, Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana kesalahan dilakukan ketika dia menjalani hukuman kes dadah di Pusat Pemulihan Akhlak Machang.

    “Hukuman seharusnya memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak melakukan kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya lapor Sinar Harian.

    Mohammad Rohaizad dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula daripada tarikh dia ditangkap.

  • Clare dapat perbicaraan adil, tiada campur tangan istana – TPR

    Clare dapat perbicaraan adil, tiada campur tangan istana – TPR

    MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu bahawa Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown yang berdepan pertuduhan memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah akan mendapat perbicaraan yang adil sekiranya kes itu dijalankan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

    Timbalan Pendakwa Raya, Noor Haslinda Che Seman dalam hujahannya berkata, ini adalah kerana sepanjang proses pendakwaan kes itu, tiada sebarang campur tangan daripada pihak istana (Terengganu).

    Menurut Noor Haslinda, pegawai mahkamah yang telah dilantik dalam kes itu juga akan menjalankan tugas dengan adil serta saksama, tidak mengira sama ada kes itu melibatkan pihak istana atau kes kepentingan awam.

    “Tidak ada satu keterangan yang konklusif dikemukakan pemohon (Rewcastle-Brown) dalam hujahan mereka yang menunjukkan Mahkamah Majistret berkemungkinan akan bertindak tidak adil dalam pendengaran kes ini.

    “Saya percaya kewibawaan hakim bicara tidak perlu dipertikai kerana ia menjurus kepada penghinaan mahkamah. Saya mohon mahkamah menolak permohonan pemohon,” katanya ketika berhujah dalam permohonan Rewcastle-Brown untuk memindahkan kes mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Sultanah Nur Zahirah melalui buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’, dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

    Selain itu, Noor Haslinda berkata, pemohon sepatutnya memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu bukannya di Mahkamah Tinggi di sini.

    “Pemohon seharusnya membuat permohonan itu kepada Majistret sebagai hakim bicara jika terdapat sebarang isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan bagi rujukan dibuat ke Mahkamah Tinggi sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya dan menambah sebutan kes itu ditetapkan Khamis ini di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

    Mengenai notis waran tangkap terhadap Rewcastle-Brown bagi membolehkannya hadir di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu supaya pertuduhan dibacakan terhadapnya, Noor Haslinda berkata, notis itu diserah melalui Interpol, namun ia gagal diserahkan kepada wanita itu.

    Terdahulu, peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Rewcastle-Brown berkata anak guamnya memohon untuk memindahkan kesnya ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur berikutan beliau bimbang kemungkinan terdapat sikap pilih kasih dalam perbicaraan kes itu.

    “Pemohon tidak mempersoalkan integriti mahkamah rendah tetapi dia mungkin bimbang tidak mendapat perbicaraan yang adil kerana Mahkamah Majistret berada di negeri yang sama dan laporan polis dibuat terhadapnya oleh pihak istana,” kata peguam itu.

    Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim K Muniandy menetapkan 21 Jun ini bagi keputusan sama ada membenarkan permohonan Rewcastle-Brown atau tidak.

    Rewcastle-Brown yang berasal dari United Kingdom didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada 23 Sept 2021 atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Suami isteri didakwa ‘scam’ baju raya

    Suami isteri didakwa ‘scam’ baju raya

    SEPASANG suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung, Lumut hari ini atas pertuduhan gagal membekalkan sehelai baju raya bernilai RM158 kepada seorang wanita Februari lalu.

    Tertuduh, Mohd. Sopri Togil, 47, dan Massuwati Amran, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T. Kavita.

    Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama menyetujui terima bayaran RM158 tanpa mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai bahawa dapat membekalkan sehelai baju kurung kepada Nur Sabrina Aiman Mohd. Rosszi pada 31 Mac lalu.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Lumut, Sitiawan sekitar pukul 4.44 petang pada 13 Februari lalu, lapor Sinar Harian.

    Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pelanggaran mengikut Seksyen 16(c) Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan kesalahan di bawah Seksyen 25(1)(b) Akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding sama, Mohd. Sopri sebagai pemilik tunggal perniagaan yang menjalankan perniagaan baju kurung secara dalam talian didakwa telah gagal mendedahkan maklumat berkaitan nombor pendaftaran perniagaan.

    Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesalahan yang dilakukan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Manjung sekitar jam 1.10 petang pada 12 Mei lalu.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 145(1) Akta Pelindungan Pengguna 1999.

    Sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

    Kavita kemudiannya membenarkan Mohd. Sopri dijamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan manakala Massuwati dibenarkan dijamin RM5,500 dengan seorang penjamin.

    Beliau turut memerintahkan pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan masing-masing diarahkan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali sebulan.

    Mahkamah menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.

    Mahkamah turut dimaklumkan bahawa aset kedua-duanya dibekukan dan kini turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Syazwani Zawawi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam S. Dharmanathan.

    Media sebelum ini melaporkan KPDN menahan pasangan suami isteri bagi membantu siasatan berkaitan gagal membekalkan baju raya secara dalam talian membabitkan transaksi bernilai ratusan ribu ringgit.

    Penahanan dua individu terbabit adalah berkaitan sejumlah 100 aduan mangsa seluruh negara yang tidak menerima baju kurung ditempah sempena hari raya Aidilfitri.