Category: Mahkamah

  • Mahkamah: Keputusan permohonan Rosmah batalkan kes rasuah solar pada 22 Jun

    Mahkamah: Keputusan permohonan Rosmah batalkan kes rasuah solar pada 22 Jun

    DATIN Sri Rosmah Mansor akan mengetahui pada 22 Jun jika mahkamah memberi kebenaran terhadap permohonannya untuk meneruskan cabaran undang-undang bagi membatalkan kes rasuah terhadapnya yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hanipah Farikullah hari ini menetapkan tarikh keputusan rayuan isteri bekas perdana menteri Datuk Sri Najib Razak yang kini meringkuk di penjara, lapor MalaysiaKini.

    Awal pagi ini, panel hakim, yang turut dianggotai hakim Mahkamah Rayuan Che Mohd Ruzima Ghazali dan See Mee Chun, mendengar hujahan lisan daripada pasukan peguam Rosmah serta pihak pendakwaan.

    Rosmah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (sivil) di Kuala Lumpur pada 30 Ogos tahun lalu yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran untuk meneruskan semakan kehakimannya.

    Dakwanya, dari awal lagi, kes solar itu sepatutnya dibatalkan kerana pelantikan mendiang Datuk Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa raya adalah tidak sah.

    Pada 1 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi (jenayah) di Kuala Lumpur mendapati dirinya bersalah dalam kes rasuah itu, dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu, dan rayuan jenayahnya yang berasingan terhadap keputusan bersalah itu ditetapkan untuk dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 22 Jun tahun ini.

    Sekiranya Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran, semakan kehakiman Rosmah akan dikembalikan semula kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh meritnya.

    Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md. Shahid menolak kebenaran kepada Rosmah selepas dia membenarkan bantahan awal oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kerajaan, yang merupakan dua responden yang menjadi sasaran dalam semakan kehakiman itu.

  • Hantuk kepala ke kening isteri, penganggur dipenjara 3 bulan

    Hantuk kepala ke kening isteri, penganggur dipenjara 3 bulan

    GARA-GARA menghantukkan kepala ke kening isteri sehingga cedera dan menerima menerima tujuh jahitan, seorang penganggur dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret.

    Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faizal Maula Azanan, 33, selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Noriza Mohd Nordin, 35, yang juga pembantu pegawai perubatan, dengan menghantukkan kepalanya di kening kanan mangsa.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit Pangsapuri Sri Tioman 2 di Jalan Pertahanan, Setapak, pada jam 4 pagi, Sabtu lalu.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 13 Mei lalu.

    Timbalan Pendakwa Raya, B Sareeka, memohon hukuman penjara setimpal dengan mengambil kira kecederaan dihadapi mangsa sehingga perlu menerima tujuh jahitan.

    Faizal, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman berbentuk denda dikenakan terhadapnya dengan alasan dia menyesal dengan perbuatannya itu.

    “Saya minta maaf kerana telah mencederakan isteri saya. Saya menyesal dengan perbuatan saya dan mohon hukuman denda kerana saya mempunyai anak selain ingin memperbaiki kehidupan saya,” katanya.

  • Curi hampir RM1 juta, tiga sahabat mengaku tidak bersalah

    Curi hampir RM1 juta, tiga sahabat mengaku tidak bersalah

    TIGA sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka atas pertuduhan melakukan pecah masuk ke dalam pejabat dan mencuri wang tunai milik sebuah syarikat bernilai sekitar RM900,000, Februari lepas.

    Md Halman Lagis, Aszemi Dol dan Musliandee Mustapa Kamal yang masing-masing berusia 43 tahun, dituduh melakukan kesalahan tersebut pada 21 Feb lepas, antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi.

    Ketiga-tiga tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas, melakukan kesalahan itu di SRT-EON Security Services Sdn Bhd yang beralamat di Jalan TU2, Taman Tasik Utama Ayer Keroh, di Melaka.

    Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 akta sama kerana bersubahat.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan jika kesalahan kali kedua atau seterusnya, boleh dikenakan denda atau sebat.

    Timbalan Pendakwa Raya J Banusha mencadangkan jaminan RM20,000 dikenakan ke atas setiap tertuduh, namun ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu agar jaminan dikurangkan memandangkan masing-masing hanya bekerja sebagai pemandu lori, pemandu van kesihatan pergigian dan nelayan, selain menanggung keluarga.

    Majistret Mazana Sinin menetapkan jaminan RM6,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.

  • Bekas pengurus MBSB bebas tuduhan jenayah komputer, pecah amanah

    Bekas pengurus MBSB bebas tuduhan jenayah komputer, pecah amanah

    SEORANG bekas pengurus syarikat dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur daripada dua pertuduhan membabitkan jenayah komputer dan satu pertuduhan pecah amanah melibatkan kerugian RM220,000 enam tahun lepas.

    Hakim Datuk M M Edwin Paramjothy membuat keputusan itu terhadap Muhamad Shahrul Md Sabri, 41, yang ketika kejadian merupakan Pengurus Malaysia Building Society Berhad (MBSB), selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

    “Tertuduh dengan ini dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan,” kata hakim itu.

    Mengikut pertuduhan pertama, Muhamad Shahrul didakwa melakukan capaian tanpa kuasa dengan mengeluarkan wang RM220,000 kepunyaan MBSB, menggunakan kata nama dan kata laluan milik orang lain yang menyebabkan kerugian kepada MBSB.

    Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

    Dia juga menghadapi pertuduhan membuat capaian kepada kandungan sistem MBSB Integrated Core Banking (MICOB) dan telah menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap data-datanya melibatkan wang sama, mengikut Seksyen 5(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 5(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

    Muhamad Shahrul turut didakwa melakukan pecah amanah wang sama (RM220,000) mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebat dan denda.

    Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di MBSB di Presint 15, Putrajaya antara 10 Ogos dan 12 September 2017.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ilya Ellyna Nor Azmal manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein dan Nur’ain Shahiera Khalid.

    Seramai 11 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan bermula 2019.

  • Lima lelaki dituduh culik, kurung jurujual demi wang tebusan lebih RM1.12 juta

    Lima lelaki dituduh culik, kurung jurujual demi wang tebusan lebih RM1.12 juta

    LIMA orang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan menculik seorang jurujual bagi mendapatkan wang tebusan beranggaran sebanyak lebih RM1.12 juta, hujung bulan lalu.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh, Suhaimi Mat Zin, 41, Zulkarnain Ramli, 46, Wong Guo Song, 33, Muhammad Azam Hatan, 32, dan Yong Zi Hui, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Choi, pagi ini.

    Mengikut kertas pertuduhan, kelima-lima individu itu didakwa secara bersama-sama dengan maksud menahan, abduksi (culik), dan mengurung seorang lelaki berusia 39 tahun.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan bagi tujuan mendapatkan wang tebusan beranggaran sebanyak RM1,125,550, lapor Utusan TV.

    Lima lelaki dituduh atas kesalahan menculik dan mengurung seorang jurujual bagi mendapatkan wang tebusan lebih RM1.12 juta ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Kelima-lima tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dengan yang masih bebas di Jalan Mesra Ria, Brickfields, Kuala Lumpur sekitar pukul 10.30 malam pada 29 April lalu.

    Justeru kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

    Sabit kesalahan, kesemua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat jika tidak dihukum mati.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sareeka Balakrishnan.

    Sementara itu kesemua tertuduh diwakili oleh peguam Tharamjit Sikh, Azinuddin Karim, Ashraff Mohd. Diah, Izzati Yaacop, Izwan Ariff Ibrahim, dan Nasir Nordin.

    Mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai depan bagi sebutan semula kes.

  • Kes saman Dr Mahathir: Anwar masukkan kehadiran

    Kes saman Dr Mahathir: Anwar masukkan kehadiran

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memasukkan memorandum kehadiran terhadap tuntutan saman yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Memorandum itu difailkan firma guaman Thomas Philip yang mewakili Anwar, pada 16 Mei lalu, yang disahkan peguam, Aliff Benjamin Suhaimi.

    “Pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 31 Mei ini,” kata peguam itu, lapor Sinar Harian.

    Pada 3 Mei lalu, Dr. Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani:’Perlaksanaan Sebuah Idealisme’ yang diadakan pada Mac lepas.

    Dr. Mahathir selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Law Practice of Rafique di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dengan menamakan Anwar selaku defendan tunggal.

    Dalam pernyataan tuntutan, Dr. Mahathir mendakwa pada 18 Mac lepas, Pengerusi Pakatan Harapan itu telah memberikan ucapan di kongres berkenaan di Stadium Melawati, Shah Alam dan telah mengeluar beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasi plaintif.

    Menurut Dr. Mahathir, antaranya termasuk kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.

    Dakwa Dr. Mahathir, kenyataan-kenyataan itu adakah tidak benar dan menjatuhkan imejnya sebagai seorang negarawan dan bekas perdana menteri.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM50 juta, ganti rugi teladan berjumlah RM100 juta dan perintah supaya defendan dengan serta-merta menarik balik kesemua kenyataan-kenyataan fitnah.

    Katanya, program itu juga telah dipaparkan secara siaran langsung di akaun Facebook ‘Anwar Ibrahim’ dan di Saluran Youtube ‘Parti Keadilan Rakyat’ selain klip-klip video atau laporan media mengenai kenyataan-kenyataan defendan telah ditonton atau disebar luas ke pelbagai rangkaian media massa serta media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tiktok dan Youtube.

    Sehubungan itu, beliau turut memohon perintah mahkamah supaya defendan memadamkan kesemua kenyataan di media sosial atau media elektronik selain memohon perintah agar defendan membuat permohonan maaf secara bertulis kepada plaintif dan relif lain yang difikirkan sesuai.

    Kes ditetapkan untuk pengurusan kes menerusi e-Review di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Jamhirah Ali pada 31 Mei ini.

  • Pengasas pusat tahfiz dua isteri didakwa lakukan amang seksual terhadap tiga pelajar lelaki

    Pengasas pusat tahfiz dua isteri didakwa lakukan amang seksual terhadap tiga pelajar lelaki

    SEORANG pengasas sebuah pusat tahfiz warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajar lelakinya sejak tahun lalu.

    Tertuduh Firdaous Abdul Rashif, 40, membuat pengakuan itu sejurus kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd. Sabri Ismail.

    Berdasarkan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajarnya masing-masing berusia 13 tahun 9 bulan, 14 dan 15 tahun.

    Sabit kesalahan tertuduh yang mempunyai dua isteri boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.

    Tertuduh turut didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap dua mangsa sama.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik di rumah guru pusat tahfiz terbabit yang terletak di Tanjung Minyak, Melaka pada 20 Julai 2022 serta pertengahan Mac 2023.

    Terdahulu, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.

    Tertuduh yang diwakili peguam Fahmy Sulaiman merayu mahkamah memberikan jaminan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira tertuduh menanggung dua isteri serta enam anak berusia antara satu tahun setengah sehingga 13 tahun.

    Hakim Darmafikri pada penghakimannya kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi dua pertuduhan dihadapinya, bagaimanapun Mohd. Sabri tidak membenarkan jaminan.

    Mahkamah kemudian turut menetapkan 19 Jun ini ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

    Astro Awani sebelum ini melaporkan, seorang pengasas tahfiz terkenal di Melaka ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian serangan seksual terhadap enam pelajar lelakinya.

    Kejadian terkutuk itu terbongkar selepas pihak polis menerima laporan daripada enam mangsa berkenaan di Balai Polis Batang Tiga.

    Pengasas yang juga mudir pusat tahfiz berkenaan juga dikatakan pernah mempunyai rekod lampau atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal dan liwat pada tahun 2019.

  • Dera anak teman wanita: Tukang kebun didakwa di mahkamah

    Dera anak teman wanita: Tukang kebun didakwa di mahkamah

    SEORANG tukang kebun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh kerana mendera anak teman wanitanya yang berusia empat tahun, sejak April lepas.

    Abdul Rahman Abdullah, 37, didakwa melakukan penganiayaan hingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa, di sebuah rumah di Taman Chateau, di Ipoh.

    Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dibuat di hadapan Hakim Azizah Ahmad dan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya K Darinee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh kemudian mengangguk faham dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut, bagaimanapun Darinee memohon menetapkan satu tarikh baharu bagi melengkapkan fakta kes dan laporan perubatan penuh mangsa.

    Darinee bagaimanapun tidak mencadangkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh bagi mengelak tertuduh mengganggu mangsa.

    Hakim Azizah kemudian menetapkan 19 Jun ini bagi menetapkan hukuman sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

    Mengikut fakta kes tertuduh sejak April telah mula memukul mangsa dengan menampar dan menumbuk di bahagian muka berulang kali, diketuk di kepala dan diterajang di badan kerana menangis dan berbuat bising.

    Ibu mangsa yang juga teman wanita tertuduh berusia 34 tahun yang ada bersama ketika itu cuba menghalang tertuduh namun turut dicederakan.

    Pada 12 Mei tertuduh sekali lagi telah memukul kepala mangsa menggunakan batang besi aluminium menyebabkan wanita itu tekad untuk membuat laporan polis.

    Pasangan kekasih itu berkenalan sejak Februari tahun ini dan tertuduh mengajak mangsa serta dua anaknya untuk tinggal bersama.

  • Hafidz Roshdi fail hak penjagaan dua anak

    Hafidz Roshdi fail hak penjagaan dua anak

    PELAKON, Hafidz Roshdi memfailkan permohonan hadanah iaitu hak penjagaan penuh dan interim dua anaknya iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

    Peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd. Latiff yang mewakili Hafidz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi, 29, berkata, tuntutan hadanah penuh difailkan pada 18 April sementara interim pada Jumaat lalu.

    Katanya, pelakon drama ‘Tundukkan Playboy Itu’ selaku plaintif, menamakan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, sebagai defendan.

    “Hafidz memohon agar diberikan hak lawatan yang tetap memandangkan setakat ini berlaku kesulitan untuk Hafidz berjumpa atau berkomunikasi dengan anak-anak.

    “Sesalinan dokumen mengenai permohonan tersebut akan diserahkan kepada pihak defendan atau peguam syarienya dalam masa terdekat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Walaupun tuntutan adalah melibatkan hak penjagaan penuh, namun beliau berkata, Hafidz terbuka untuk berbincang dengan defendan mengenai syarat lawatan komprehensif.

    Hafidz dan Nurul Shuhada telah memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 27 Februari lalu.

    Keputusan tersebut dibuat selepas mendapat persetujuan daripada kedua-dua keluarga.

    Kes penceraian itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

    Pada 22 Februari, Hafidz dipercayai melafazkan cerai menerusi panggilan telefon terhadap Nurul Shuhada di hadapan ahli keluarganya.

    Kemelut rumah tangga salah seorang finalis Hero Remaja itu mula diperkatakan ramai apabila isterinya mendakwa pelakon itu mempunyai hubungan dengan wanita lain.

    Pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 3.

  • Bekas CEO Audi mengaku salah skandal pelepasan diesel

    Bekas CEO Audi mengaku salah skandal pelepasan diesel

    BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Audi, Rupert Stadler mengaku bersalah ketika perbicaraan mengenai peranannya dalam skandal pelepasan diesel yang dimanipulasi, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Mahkamah Wilayah Munich menawarkan hukuman lebih ringan jika Stadler membuat pengakuan bersalah dan membayar denda 1.1 juta euro (RM5.39 juta).

    Dakwaan itu dikaitkan dengan lebih 430,000 kereta Volkswagen (VW), Audi dan Porsche yang dipasang dengan ‘peranti’ untuk menipu ujian pengeluaran badan pengatur.

    Kereta dengan enjin diesel telah dimanipulasi oleh sistem automatik sehingga mematuhi had pelepasan ekzos ketika ujian, tetapi tidak di jalan raya.

    Stadler tidak dituduh bertanggungjawab memanipulasi kereta, namun mengikut dakwaan, beliau membenarkan penjualan kenderaan terbabit berterusan hingga awal 2018.

    Beliau memberi jawapan balas ‘ya’ dengan mengakui kesalahan menerusi kenyataan yang dibacakan oleh peguam belanya di hadapan mahkamah pada Selasa.

    Kenyataan itu mengakui Stadler mempunyai peluang untuk campur tangan tetapi gagal berbuat demikian, dan menyesali perbuatannya.

    Bekas ketua pembangunan enjin Audi, Wolfgang Hatz dan dua jurutera kanannya mengaku bersalah dalam membantu reka bentuk perisian enjin terbabit.