Category: Mahkamah

  • Mahkamah benar Bersatu cabar pembekuan akaun, sekatan perjalanan Muhyiddin

    Mahkamah benar Bersatu cabar pembekuan akaun, sekatan perjalanan Muhyiddin

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mencabar perintah pembekuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas akaun parti itu dan sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Hakim Ahmad Kamal Shahid membenarkan permohonan kebenaran Bersatu atas alasan bahawa parti itu telah memenuhi keperluan undang-undang untuk mahkamah mendengar semakan kehakiman mereka dalam perbicaraan penuh.

    Pada Mac, Bersatu mengemukakan permohonan untuk mempersoalkan perintah pembekuan terhadap akaun mereka.

    Parti itu mendakwa arahan itu dilakukan dengan niat jahat, lapor FMT.

    Muhyiddin sebelum ini mendakwa sekatan perjalanan dikenakan ke atasnya secara salah dan tidak dimaklumkan mengenainya.

    Bekas Perdana Menteri itu juga berkata larangan berkenaan bertujuan untuk mencemarkan reputasinya dan membuatnya kelihatan seolah-olah telah melakukan jenayah dan cuba melarikan diri.

  • TNB berjaya ketepi perintah bayar ganti rugi RM4 juta

    TNB berjaya ketepi perintah bayar ganti rugi RM4 juta

    TENAGA Nasional Bhd (TNB) berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya membayar ganti rugi RM4 juta kepada sebuah syarikat pembuatan keluli, kerana didakwa berlaku kecuaian berhubung gangguan bekalan elektrik ke kilang itu.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk M Gunalan membenarkan rayuan TNB untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi selepas memutuskan TNB tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap tuntutan syarikat Southern Steel Berhad (SSB).

    Mahkamah juga mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya UEM Construction Sdn Bhd membayar pampasan kepada TNB berjumlah RM2 juta berhubung liabiliti TNB kepada SSB.

    Dalam alasan penghakiman Mahkamah Rayuan bertarikh 3 Mei tahun ini, Hakim Datuk Abu Bakar berkata, tuntutan ganti rugi SSB bagi tort kecuaian tidak boleh bertahan berdasarkan kerugian ekonomi semata-mata.

    “Melihat kepada rayuan itu, tidak dapat dinafikan relif yang dipohon oleh SSB bukan untuk kerugian kewangan akibat kerosakan fizikal terhadap harta benda SSB,” katanya sambil menambah mahkamah akan mempertimbangkan untuk membenarkan ganti rugi kepada SSB jika syarikat itu memohon kerosakan fizikal akibat gangguan bekalan elektrik.

    Hakim Abu Bakar berkata, TNB tidak mempunyai kewajipan untuk membayar ganti rugi RM4 juta kepada SSB.

    Beliau juga berkata, memandangkan TNB tidak bertanggungjawab terhadap SSB, perintah Mahkamah Tinggi terhadap UEM Construction untuk memberi pampasan kepada TNB juga perlu diketepikan.

    Panel itu juga menolak rayuan SSB terhadap kuantum ganti rugi yang diberikan kepada mereka oleh Mahkamah Tinggi. SSB telah menuntut lebih RM8 juta ganti rugi am dan/atau ganti rugi khas terhadap TNB.

    SSB memfailkan saman terhadap TNB mendakwa syarikat utiliti itu gagal membekalkan elektrik ke premis kilangnya dalam tempoh seminggu dari 26 Ogos 2008 hingga 1 Sept 2008.

    Syarikat itu mendakwa mereka tidak dapat menghasilkan keluli dan mengalami kerugian akibat gangguan elektrik.

    Sementara itu, TNB menamakan UEM Construction sebagai pihak ketiga dalam tuntutan saman SBB untuk menanggung sebarang liabiliti kerana TNB mendakwa UEM telah menyebabkan gangguan elektrik ke premis SSB.

    TNB mendakwa gangguan bekalan elektrik itu disebabkan kecuaian pihak ketiga ketika menjalankan kerja-kerja pembinaan yang menyebabkan kerosakan pada kabel TNB yang membekalkan elektrik ke premis SSB.

    Pada 2015, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan SSB terhadap TNB dan memerintah syarikat utiliti itu membayar ganti rugi RM4 juta kepada SSB.

    Ia juga membenarkan tuntutan TNB terhadap UEM Construction dan memerintahkan UEM Construction menanggung separuh daripada RM4 juta tersebut selepas mendapati syarikat berkenaan 50 peratus penyumbang kecuaian terhadap insiden itu yang menyebabkan kerosakan pada kabel TNB yang secara langsung mengakibatkan gangguan bekalan elektrik ke premis kilang SSB.

  • Lelaki didenda RM3,000 tumbuk bekas kekasih

    Lelaki didenda RM3,000 tumbuk bekas kekasih

    SEORANG duda didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di Melaka hari ini atas kesalahan mencederakan bekas kekasih dengan cara menumbuk muka serta merosak telefon bimbitnya.

    Sinar Harian melaporkan, Majistret Mazana Sinin memutuskan hukuman itu selepas Juan Kee Hean, 36, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Seow Li Cha, 34, dengan menumbuk muka dan mata kanan serta siku kiri dalam sebuah kereta Honda City di hadapan rumah, di Jalan Kenangan 1/4, Taman Kenanga Seksyen 1, Melaka, kira-kira pukul 10, malam pada 1 Julai 2022.

    Pendakwaan itu dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kerosakan dan kerugian ke atas telefon bimbit Samsung milik wanita itu, pada tarikh, masa dan di tempat sama dan boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah menghubungi mangsa kira-kira pukul 10 pagi dan memintanya datang ke rumah bagi mengambil anak-anak kerana tiada orang hendak menjaga mereka.

    Bagaimanapun mangsa memberitahu akan datang selepas waktu kerja dan ketika tiba di rumah pada pukul 10 malam, tertuduh menyatakan tidak perlu mengambil anak dan terus masuk ke kereta dan meminta dihantar ke kedainya.

    Pengadu enggan berbuat demikian dan terus menghubungi abangnya sebelum tertuduh bertindak merampas telefon bimbit serta mencampakkan telefon bimbit itu ke luar tingkap.

    Kemudian berlaku pergaduhan antara mereka yang mana tertuduh menumbuk muka, mata kanan dan siku kiri mangsa hingga luka dan mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

    Mangsa menjelaskan dia mempunyai tiga anak berusia 17, 12 dan lapan tahun bersama tertuduh, namun tidak pernah mendaftar perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan baharu dua bulan tinggal berasingan kerana tiada persefahaman.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha memohon hukuman setimpal berdasarkan kecederaan dan kerugian RM240 dialami mangsa.

    Bagaimanapun tertuduh diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab, Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan kerana tertuduh sudah insaf atas kesalahan yang dilakukan terhadap mangsa.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar bagi pertuduhan pertama dan denda RM2,000 atau 12 bulan penjara bagi pertuduhan kedua.

  • Khairy saman Jamal RM1 juta

    Khairy saman Jamal RM1 juta

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memfailkan saman fitnah berjumlah RM1 juta terhadap Ketua UMNO Bahaagian Sungai Besar Jamal Md. Yunos.

    Peguam Khairy memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu, lapor Malaysiakini.

    Writ saman bekas menteri itu berkisar sidang media Jamal ketika Perhimpunan Agung UMNO di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur pada 14 Januari lalu.

    Ketika sidang media itu, Jamal dilaporkan berkata, beliau akan membuat aduan kepada lembaga disiplin UMNO terhadap Khairy berhubung dakwaanya ada usaha untuk membawa ‘pengundi hantu’ ke perhimpunan itu.

    Kemudian, pada 27 Januari, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan Khairy dan beberapa pemimpin lain dipecat berhubung tuduhan melanggar disiplin parti ketika Pilihan Raya Umum ke-15.

    Menurut salinan pernyataan tuntutan saman itu yang dilihat Malaysiakini, Khairy antara lain mendakwa kenyataan Jamal ketika sidang media itu membayangkan beliau sebagai individu yang tiada integriti dan kewibawaan sebagai pemimpin dan terlibat dengan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan anggota UMNO demi kepentingan peribadi.

  • Peniaga didenda RM120,000 jual diesel tanpa lesen

    Peniaga didenda RM120,000 jual diesel tanpa lesen

    MAHKAMAH Seksyen 1 Sungai Petani hari ini menjatuhkan hukuman denda RM120,000 terhadap seorang peniaga setelah mengaku salah menjalankan perniagaan diesel tanpa kebenaran di Sungai Lalang, Sungai Petani, bulan lalu.

    Tertuduh, Lim Soon Ping, 41, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubaha dalam bahasa Hokkien di hadapan Hakim Roslan Hamid, lapor Astro Awani.

    Sekiranya gagal membayar denda, mahkamah mengarahkan tertuduh dihukum penjara selama enam bulan selain hasil jualan diesel yang dirampas bernilai RM60,200 dan dua buah lori diserah dan dilucut hak kepada kerajaan.

    Sebelum itu, tertuduh mengaku salah bahawa dalam kawalannya terdapat barang kawalan sebanyak 28,000 liter minyak diesel dalam dua buah lori tangki.

    Mengikut pertuduhan, perbuatan itu telah menimbulkan syak munasabah bahawa satu kesalahan akan dilakukan iaitu berniaga dengan cara jual runcit atau borong barang berjadual iaitu minyak diesel tanpa suatu lesen yang sah.

    Akibat itu, dia dituduh telah melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan satu kesalahan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh bersama tiga warga Myammar iaitu Than Win Htun, Mg Win Thein dan Win Ko Naing berusia antara 30-an hingga 40-an dituduh bersama-sama pada 10 April lalu lebih kurang jam 1.20 pagi di Kawasan Perusahaan Sungai Lalang.

    Bagaimanapun, ketiga-tiga warga Myammar tersebut mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

    Jika sabit kesalahan mengikut peraturan tersebut, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    Mahkamah menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Muhammad Nizam Amir.

  • Jana Wibawa:Kes rasuah Adam Radlan dipindah ke dua Mahkamah Sesyen

    Jana Wibawa:Kes rasuah Adam Radlan dipindah ke dua Mahkamah Sesyen

    DUA kes rasuah berkaitan Program Jana Wibawa yang dihadapi ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad di Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindahkan ke dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi, mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali supaya pertuduhan menerima rasuah RM2 juta yang dihadapi tertuduh dipindahkan di Mahkamah Sesyen di Shah Alam untuk dibicarakan bersama dengan satu lagi pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

    Terdahulu, Siti Amirah berkata Adam Radlan yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut didakwa atas satu pertuduhan menerima rasuah RM2 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan hakim membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

    “Tertuduh juga telah didakwa meminta rasuah RM2 juta di mahkamah ini. Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon agar kedua-dua kes ini dibicarakan bersama. 

    Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat, Adam Radlan Adam Muhammad (kiri) bersama peguamnya ketika hadir bagi pertuduhan berhubung Projek Inisiatif Jana Wibawa (Jana Wibawa) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kami telah menyerahkan sebahagian dokumen kes itu kepada pihak pembelaan. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan untuk serahan baki dokumen,” katanya.

    Azura menetapkan 14 Julai untuk sebutan kes bagi serahan baki dokumen itu.

    Sementara itu di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali, Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat memaklumkan bahawa kes menerima rasuah RM2.1 juta yang dihadapi Adam Radlan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Natrah Fareha kemudian memohon supaya pertuduhan itu dibacakan kepada Adam Radlan dan ahli perniagaan itu mengaku tidak bersalah dan memohon kes dibicarakan.

    “Kami mohon mahkamah mengguna pakai jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini dan mohon sebutan kes pada 14 Julai,” kata Natrah Fareha.

    Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam mewakili Adam Radlan tidak membantah tarikh sebutan kes itu.

    Siti Aminah membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengguna pakai jaminan itu dan menetapkan sebutan kes pada 14 Julai.

  • Bicara kes komunikasi jelik Lokman Adam bermula September

    Bicara kes komunikasi jelik Lokman Adam bermula September

    PERBICARAAN kes Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan akan bermula September ini, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan menetapkan tarikh 5, 6, 7, 11 dan 18 Sept serta 9,10,11, 23 dan 24 Okt sebagai  tarikh perbicaraan selepas mendengar permohonan daripada Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh pada sebutan kes tersebut hari ini.

    “Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes dan pihak kami dimaklumkan representasi difailkan pihak pembelaan Lokman masih di Jabatan Peguam Negara (AGC).

    “Pada tarikh sebutan seterusnya, pihak kami akan menyerahkan sekali penyataan saksi,” katanya dengan turut memaklumkan pihaknya akan memanggil 10 saksi pendakwaan untuk perbicaraan tersebut.

    Peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman tidak membantah tarikh perbicaraan tersebut.

    Priscilla kemudian menetapkan 1 Ogos ini bagi mengetahui perkembangan status representasi yang difailkan pembelaan. 

    Pada 1 Sept tahun lalu, Lokman, 50, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook atas nama profil ‘Lokman Noor Adam Official’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Mengikut pertuduhan pertama membabitkan bekas Perdana Menteri, Lokman didakwa melakukan perbuatan itu pukul 11.16 malam pada 20 Ogos 2022 yang kemudiannya hantaran itu dibaca pada 8.15 pagi,  24 Ogos tahun sama di Mutiara Villa Jalan Tung Shin, Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

    Bagi pertuduhan kedua pula, Lokman dituduh melakukan perbuatan sama terhadap kerajaan pukul 10.28 malam, 22 Ogos tahun sama dan pautan itu kemudian dibaca pukul 11.30 pagi pada 23 Ogos di sebuah restoran di Jalan Sentul di Kuala Lumpur.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

  • Sebutan kes SRC RM27 juta terhadap Najib ditetapkan 18 Ogos

    Sebutan kes SRC RM27 juta terhadap Najib ditetapkan 18 Ogos

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh baru iaitu 18 Ogos ini untuk sebutan bagi kes pengubahan wang haram SRC International berjumlah RM27 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak.

    Ini kerana rayuan bagi permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi peguam diraja UK Jonathan Laidlaw mewakili Najib dalam kes SRC, dijadualkan pada 10 Ogos ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memberitahu hakim K. Muniandy berkenaan perkara ini ketika sebutan kes hari ini.

    Mohd. Ahsrof berkata, walaupun Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac lalu telah menolak permohonan Najib untuk menyemak sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dalam satu kes lain iaitu kes rasuah SRC RM42 juta, rayuan berkenaan Laidlaw masih berjalan.

    Kes tersebut melibatkan satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

    Kes yang sedang berjalan ini pula melibatkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta.

    Mohd. Ashrof berkata Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 Ogos ini untuk mendengar rayuan berkenaan Laidlaw, maka pihaknya meminta satu tarikh lain untuk sebutan kes tersebut.

    Ketua pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, walaupun pihaknya tiada bantahan terhadap perkara itu, beliau mengingatkan mahkamah bahawa kes tersebut sudah lama tertangguh.

    Beliau berkata, pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta agak terpisah daripada tujuh pertuduhan dalam kes rasuah SRC International RM42 juta.

    Katanya lagi, jika Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Laidlaw, mereka akan memohon mahkamah untuk menetapkan tarikh pendengaran lebih awal untuk kes itu.

    Muniandy kemudian menetapkan 18 Ogos untuk sebutan kes, lapor Malaysiakini.

  • Sarjan polis didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah terima rasuah RM1,500

    Sarjan polis didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah terima rasuah RM1,500

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MAHKAMAH Sesyen Alor Setar hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap seorang sarjan polis setelah tertuduh mengaku bersalah menerima rasuah berjumlah RM1,500, tiga tahun lalu.

    Hakim, Rohatul Akmar Abdullah turut memerintahkan agar tertuduh, Muhamad Fitry Ismail, 32, dipenjara untuk tempoh tiga bulan jika gagal membayar denda ditetapkan itu.

    Bersandarkan kertas pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 18 November 2020, kira-kira pukul 11.34 malam.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di luar pintu utama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, Kedah.

    Wang itu didakwa diterima untuk dirinya sendiri dengan tiada balasan yang mana tertuduh mengetahui bahawa pemberian tersebut, adalah sebagai satu dorongan berhubung dengan kerja-kerja rasminya.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.

    Dalam penghakimannya, Rohatul Akmar berkata, mahkamah telah mempertimbangkan kepentingan awam dan tertuduh sendiri sebelum membuat keputusan tersebut.

    Tertuduh kemudiannya difahamkan membayar denda tersebut.

  • Pekerja kilang mengaku tidak bersalah miliki gambar lucah

    Pekerja kilang mengaku tidak bersalah miliki gambar lucah

    SEORANG pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini atas pertuduhan memiliki 128 gambar lucah dalam telefon bimbit. 

    Mengikut pertuduhan, Saiful Anuar Ab Rani, 27, didakwa memiliki gambar lucah berkenaan dalam telefon bimbit jenama Samsung model Galaxy A20, di alamat No.1949, Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani kira-kira pukul 3 petang pada 1 April 2021.

    Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Majistret Khairatul Animah Jelani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Jun ini sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan serta lantikan peguam.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Nazrul Nizam Mohd Zameri.