Category: Mahkamah

  • Buruh didakwa rogol remaja

    Buruh didakwa rogol remaja

    SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan kira-kira tiga tahun lalu.

    Muhammad Asyraf Majid, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

    Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan hubungan seks dengan seorang remaja perempuan pada ketika kejadian berusia 18 tahun tanpa kerelaan mangsa di sebuah rumah pangsa di Kampung Padang, Pokok Mangga, Melaka pukul 10.30 malam, pada 5 September 2020.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon jaminan tidak dibenarkan namun sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara pihaknya mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

    Tertuduh yang diwakili peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh bagaimanapun merayu jaminan rendah dibenarkan kerana tertuduh bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,500 sebulan dan perlu menyara seorang isteri dan anak yang masih kecil selain dia mengidap darah tinggi.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 Julai depan.

  • Bekas CEO GLC didakwa perdaya RM40,000

    Bekas CEO GLC didakwa perdaya RM40,000

    SEORANG bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas dakwaan memperdaya seorang Eksekutif Operasi Kewangan sebuah syarikat membabitkan kerugian RM40,000 tujuh tahun lalu.

    Tertuduh, Aziedy Abdul Talib, 42, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memperdaya pengadu, Madiani Ab Manaf yang merupakan kakitangan Mutiara.com Sdn. Bhd. dengan memberikan invois palsu bagi perkhidmatan “Kaspersky Antivirus License Renewal Consultation Service” dengan bayaran RM40,000 kepada ATR Resources Enterprise.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Tingkat 14 Menara UMNO, Jalan Macalister dalam daerah Timur Laut, Pulau Pinang, pada 11 Oktober 2016.

    Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Undang-Undang Malaysia Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tempoh lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

    Selain itu, dia turut didakwa dengan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ang Chun Pun.

    Dalam pada itu, Chun Pun memohon supaya jaminan ke atas tertuduh dikurangkan atas faktor anak guamnya perlu menyara isteri, dua anak, ibu bapanya yang sudah uzur dan seorang adik yang tinggal bersamanya.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan dia perlu menyerahkan pasport serta dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

    Kes akan disebut semula pada 26 Jun depan.

  • Pemilik kelab komedi sekali lagi gagal batal tuduhan jenayah siber

    Pemilik kelab komedi sekali lagi gagal batal tuduhan jenayah siber

    USAHA pemilik Crackhouse Comedy Club, Rizal van Geyzel membatalkan tiga pertuduhan jenayah siber berkaitan dakwaan memuat naik kandungan didakwa menyinggung di media sosial ditolak sekali lagi.

    Ketika pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aslinda Che Seman memaklumkan mahkamah, representasi kedua Rizal untuk semakan pertuduhan ditolak Jabatan Peguam Negara.

    Representasi pertamanya kepada Jabatan Peguam Negara ditolak 12 Disember lalu, lapor FMT.

    Peguam M. Pravin berkata, beliau akan mendapatkan arahan Rizal mengenai tindakan seterusnya.

    Mahkamah menetapkan pengurusan kes berikut pada 13 Jun ini.

    Rizal didakwa memuat naik video di tiga platform media sosial berbeza antara 4 hingga 6 Julai tahun lalu yang didakwa menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Kes rasuah Jana Wibawa, Wan Saiful fail permohonan batal tuduhan

    Kes rasuah Jana Wibawa, Wan Saiful fail permohonan batal tuduhan

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang didakwa meminta dan menerima rasuah berhubung inisiatif Jana Wibawa, memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan itu atas alasan ia cacat.

    Wan Saiful yang memfailkan notis usul di Mahkamah Sesyen kelmarin berkata, beliau berhak mendapat pembebasan jika pertuduhan itu dibatalkan.

    Peguam Amer Hamzah Arshad mengesahkan pengurusan kes akan diadakan petang ini.

    Beliau didakwa menerima RM6.9 juta melalui akaun bank CIMB milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank milik Nepturis Sdn. Bhd.

    Wan Saiful juga didakwa meminta jumlah tidak dinyatakan daripada Lian Tan Chuan di Royal Lake Club di Kuala Lumpur pada April tahun lepas untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek Central Spine Road bernilai RM232 juta daripada kerajaan Persekutuan.

    Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan antara Julai dan September tahun lalu dalam usaha syarikat itu mendapatkan surat penerimaan bagi projek terbabit.

    Wan Saiful berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit setiap kesalahan.

    Dalam afidavit menyokong usul itu, bekas Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, pertuduhan dirangka itu tidak mematuhi peruntukan dalam Kanun Tatacara Jenayah kerana tarikh dan masa sebenar kesalahan itu tidak dinyatakan.

    “Peguam saya memaklumkan ini penting bagi saya untuk melakukan pembelaan berkesan, termasuk pembelaan alibi,” katanya sambil menambah pertuduhan itu tidak mempunyai butiran bagaimana dia melakukan kesalahan didakwa itu.

    “Pertuduhan itu tidak mendedahkan sebarang kesalahan kerana membantu mendapatkan projek bukanlah jenayah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.”

    Lebih-lebih lagi, katanya, dirinya tidak mempunyai sebarang jawatan awam dalam pentadbiran kerajaan bagi membolehkannya mempengaruhi pemberian projek kerajaan kepada sektor swasta.

    Wan Saiful berkata, jika kes itu diteruskan, reputasinya akan tercemar, selain perlu menghabiskan banyak masa di mahkamah dan akan mengeluarkan perbelanjaan besar untuk mempertahankan kes itu kerana melibatkan peguam.

    “Saya telah dinasihatkan peguam bahawa pertuduhan cacat boleh menyebabkan perbicaraan terbatal sekiranya kes itu diteruskan,” katanya sambil menambah ia akan membuang masa dan sumber semua pihak, lapor FMT.

    Program Jana Wibawa merupakan inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera. Ia diselubungi kontroversi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kos beberapa projek terlalu tinggi dan diluluskan tanpa proses tender.

    Pakej rangsangan itu dilaksanakan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

  • Anwar dapat lanjutan lagi untuk fail pembelaan saman Tun M

    Anwar dapat lanjutan lagi untuk fail pembelaan saman Tun M

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendapat lanjutan dua minggu lagi untuk memfailkan pernyataan pembelaannya terhadap saman fitnah RM150 juta oleh bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Mahkamah Tinggi di Shah Alam memberikan lanjutan untuk membolehkannya memfailkan pembelaan terhadap tindakan sivil berkenaan.

    Sekiranya Anwar, tidak dibenarkan lanjutan hari ini, defendan perlu memfailkan pernyataan pembelaan hari ini.

    Peguamnya, lliff Benjamin Suhaimi mengesahkan keputusan pengurusan kes di hadapan pendaftar Mahkamah Tinggi awal hari ini.

    “Kami dapat (lanjutan bermula hari ini untuk selama) dua minggu. Perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 7 Julai,” kata peguam itu ketika dihubungi media, lapor Malaysiakini.

    Pada 3 Me lalu, Mahathir memfailkan saman terhadap Anwar berhubung dakwaan bekas perdana menteri itu mengumpul kekayaan untuk kekayaan peribadi semasa berkuasa.

    Tindakan sivil itu adalah berhubung ucapan dasar Anwar selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada kongres kebangsaan khas parti itu pada 18 Mac.

    Melalui tuntutan mahkamah itu, plaintif mendakwa, antara lain, bahawa Anwar membuat kenyataan tidak benar dan tidak berasas dengan niat untuk menimbulkan persepsi negatif terhadapnya

    Mahathir juga mendakwa kenyataan itu bukan sahaja merosakkan imej dan reputasinya tetapi turut memalukan dirinya serta ahli keluarganya.

    Bekas Perdana Menteri itu juga menegaskan bahawa anak-anaknya berjaya dalam dunia perniagaan tanpa campur tangan atau sebarang penyalahgunaan kuasa olehnya sebagai Perdana Menteri ketika itu.

    Plaintif menuntut ganti rugi am RM50 juta dan ganti rugi teladan RM100 juta.

    Mahathir memohon perintah mahkamah agar Anwar mengeluarkan permohonan maaf bertulis dan penarikan serta-merta dakwaan itu.

    Plaintif juga menuntut faedah tahunan lima peratus ke atas ganti rugi yang diberikan untuk dikira dari tarikh memfailkan tindakan sivil sehingga penyelesaian penuh pembayaran pampasan, kos, dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

  • Penganggur didakwa bunuh wanita warga emas

    Penganggur didakwa bunuh wanita warga emas

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas pada 16 Mei lalu.

    Tertuduh Suhaimi Shamsudin, 45, yang tidak bekerja dan tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, V Vanita.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Siti Aminah Mohd. Amin, 67, pada 9 Mei 2023 antara pukul 7.43 pagi sehingga 1.30 petang di sebuah rumah di Batu 8, Jalan Pantai, Teluk Kemang di Port Dickson.

    Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

    Vanita menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes.

    Selain itu tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit jenama Nokia milik mangsa.

    Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Tertuduh dalam rayuannya meminta jasa baik mahkamah untuk merujuknya ke Hospital Permai (Tampoi) kerana ada kes lampau pada tahun 2002.

    “Saya mohon hukuman denda dan ada adik ipar saya yang akan membayar jamin,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh mohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesalahan dilakukan.

    Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM3,000 dan jika gagal menjelaskannya tertuduh berdepan hukuman penjara tujuh bulan.

    Sebelum ini media melaporkan cinta tidak berbalas dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang wanita warga emas.

    Kematian mangsa pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun kertas siasatan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan penahanan suspek berusia 45 tahun pada 16 Mei lalu di sebuah rumah kampung di Kuala Klawang, Jelebu.

  • ‘Konspirasi jahat’ PH-BN punca penyitaan ‘salah’ akan Bersatu 

    ‘Konspirasi jahat’ PH-BN punca penyitaan ‘salah’ akan Bersatu 

    “Konspirasi jahat” antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi alasan utama kepada tindakan penyitaan “salah” dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap akaun bank Bersatu, kata Bersatu

    Bersatu mendakwa perintah penyitaan adalah “ketidakperlembagaan”, “ketaksahan”, “kesumbangan prosedur”, “ketidakrasional”, “penyalahgunaan proses”, “mala fide”, penyalahgunaan proses undang-undang”, “melanggar jangkaan salah”, “songsang” dan “penyalahgunaan kuasa”.

    Portal FMT melaporkan, dalam permohonan kedua kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman difailkan Mahkamah Tinggi, Bersatu memohon membatalkan perintah penyitaan dibuat SPRM.

    Difailkan pada Isnin lalu oleh Suhaimi Yahya bagi pihak parti tersebut, permohonan menamakan Peguam Negara, SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, dan beberapa pegawai, termasuk kerajaan persekutuan sebagai responden.

    “Pada 6 April, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman dan merizabkan keputusan mahkamah pada 17 Mei yang kemudiannya ditunda kepada 30 Mei.

    “Namun, SPRM cuba mengganggu dan mengubah status quo perkara dalam semakan kehakiman dengan mengumumkan penyitaan akaun-akaun Bersatu secara salah selepas pembekuan salah tersebut luput,” kata Bersatu dalam pernyataan difailkan di mahkamah.

    Bersatu berkata, sehingga kini, parti tidak menerima perintah penyitaan tersebut.

    Dalam pernyataan, parti itu mengimbau kembali ketiadaan mana-mana parti memperoleh majoriti mudah susulan PRU15.

    “PH, di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah berkomplot dengan BN yang di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi untuk mendapat lantikan bagi pembentukan satu kerajaan gabungan kononnya dipanggil ‘kerajaan perpaduan Malaysia’,” menurut pernyataan itu.

    Menurut Bersatu, konspirasi antara PH dan BN jelas dipaparkan dalam beberapa perkara selepas PRU15.

    ” (Anwar) pada minggu pertama menjadi Menteri Kewangan, mengumumkan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelewengkan RM600 bilion pakej rangsangan ekonomi, jumlah itu turun menjadi RM530 bilion, kemudian ke RM92.5 bilion, kemudian ke RM4.5 bilion dan jatuh merudum kepada RM300 juta,” kata pernyataan itu.

    Katanya, sehari selepas parti memfailkan semakan kehakiman permulaan, pada 8 Mac, SPRM membuat pendakwaan terhadap Muhyiddin, namun bukan “pendakwaan RM300 juta”, tetapi kononnya “kesalahan penyalahgunaan kuasa”.

    Akaun bank milik Muhyiddin tidak dibekukan. Sebaliknya, akaun Bersatu dibekukan untuk melumpuhkan Bersatu.

    “Sehingga kini, Bersatu tidak dikenakan sebarang pendakwaan,” kata parti berkenaan.

    Bersatu berkata, Anwar dan Zahid berterusan melemparkan fitnah terhadap kepimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional, termasuk mendakwa parti itu mendapat sokongan dari syarikat perjudian.

    “Pada 25 Mei, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said mengeluarkan jawapan bertulis bahawa SPRM menjalankan kajian terperinci dan mengesahkan bahawa tiada satu pun parti PN memperolehi sokongan dana judi,” kata pernyataan itu.

    Sehari selepas itu, Azalina menarik balik kenyataannya di Parlimen dan sebaliknya mengatakan SPRM akan meneruskan siasatan selepas Muhyiddin mendakwa kenyataan sebelum itu menjadi bukti Bersatu dan PN difitnah, kata pernyataan Bersatu.

    “Hal tersebut menunjukkan dengan jelas bahawa (Anwar) dan (Zahid) mengerah siasatan SPRM terhadap Bersatu sehingga mengakibatkan pembekuan salah akaun-akaun bank Bersatu.

    “Sehingga kini, Bersatu tidak pernah dimaklum atau diserahkan dengan sebarang perintah penyitaan salah.”

    Permohonan penangguhan dikemukakan Bersatu akan didengar pada 22 Jun di hadapan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

    Semalam, satu lagi Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Bersatu meneruskan semakan kehakiman berhubung penyitaan dibuat SPRM terhadap akaun Bersatu, termasuk sekatan perjalanan terhadap Muhyiddin.

    Dalam prosiding, peguam Bersatu, Rosli Dahlan, memaklumkan kepada Hakim Ahmad Kamal Shahid dalam pemfailan permohonan dan memohon kedua-dua permohonan didengar bersama.

    Hakim bagaimanapun, berkata, beliau bukan berada pada kedudukan untuk mengarahkan pendaftar mahkamah berbuat demikian.

  • Permohonan Muhyiddin ketepi tuduhan didengar 11 Julai

    Permohonan Muhyiddin ketepi tuduhan didengar 11 Julai

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 11 Julai untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.

    Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu semasa sebutan permohonan berkaitan pagi ini.

    Ahli Parlimen Pagoh itu diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala pihak pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwaraya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

    Mahkamah turut membenarkan tertuduh dikecualikan daripada menghadiri prosiding mahkamah pagi ini, lapor Malaysiakini.

    Bulan lalu, Muhyiddin memfailkan permohonan untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.

    Sebelum ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM232 juta.

    Kes berkenaan dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

    Berdasarkan salinan afidavit sokongan, Muhyiddin sedang mendapatkan perintah mahkamah supaya dibebaskan dan dilepaskan daripada empat pertuduhan salah guna kuasa.

    Pemohon mendakwa bahawa empat pertuduhan itu ‘cacat dan buruk di sisi undang-undang’ kerana kekurangan butiran, serta melanggar Seksyen 354 Kanun Tatacara Jenayah, selain melanggar hak asasinya untuk hidup dan kebebasan peribadi di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

    Muhyiddin mendakwa, empat pertuduhan itu tidak berkait dengan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan undang-undang antirasuah tidak bermaksud perkataan ‘pertubuhan’ dalam akta itu turut merangkumi masyarakat seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Permohonan untuk membatalkan pertuduhan itu menyasarkan pertuduhan predikat (utama), iaitu empat pertuduhan salah guna kuasa. Tiga pertuduhan pengubahan wang haram bergantung pada empat pertuduhan predikat.

    Empat pertuduhan salah guna kuasa dikenakan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, mendakwa Muhyiddin menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu dan Presiden Bersatu untuk dorongan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Tiga syarikat itu ialah Bukhary Equity Sdn. Bhd (Bukhary Equity), Nepturis Sdn. Bhd., dan Mamfor Sdn. Bhd., manakala individu terbabit ialah Azman Yusoff.

    Tiga pertuduhan pengubahan wang haram pula didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

    Muhyiddin, 76, didakwa menerima lebih RM120 juta hasil daripada aktiviti haram Bukhary Equity antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

    Pengubahan wang haram itu didakwa dilakukan dengan menerima wang yang dimasukkan ke dalam akaun Bersatu.

    Presiden Bersatu itu berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan terbabit atau RM10,000, yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

    Bagi kes pengubahan wang haram, dia boleh dihukum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah terbabit atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

    Mengikut undang-undang, pengubahan wang haram adalah proses menukar wang tunai, dana atau harta yang diperoleh daripada aktiviti jenayah menjadi seolah-olah datang dari pendapatan yang bersih.

  • Pukul pelanggan dengan buluh, peniaga lemang didenda RM500

    Pukul pelanggan dengan buluh, peniaga lemang didenda RM500

    SEORANG peniaga lemang didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan memukul pelanggannya selepas dikatakan tidak berpuas hati dituduh menjual juadah mentah.

    Tertuduh, Syamudin Salleh, 41, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Shamuddin Jaamat, 62, kira-kira pukul 8 malam di Gerai Lemang Pak Din, di Jalan Bukit Beruang dalam daerah Melaka Tengah pada 21 April 2023 lalu.

    Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

    Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira faktor mangsa yang merupakan warga emas telah mengalami kecederaan pada tangan dan telinga kirinya.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukumannya diringankan dengan alasan telah menyesali perbuatannya.

    Tertuduh turut mengakui tindakan itu didorong oleh perasaan marah apabila mangsa mencetuskan provokasi menuduhnya menjual lemang mentah.

    Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda sebanyak RM500 atau penjara dua bulan jika gagal berbuat demikian.

    Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang peniaga lemang selepas tular klip videonya memukul pelanggan menggunakan buluh sehingga menyebabkan kecederaan.

    Kejadian dipercayai berlaku pada malam raya itu dikatakan berpunca selepas tertuduh tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa menuduhnya menjual juadah yang tidak masak.

    Dalam kejadian itu, berlaku pertengkaran mulut sebelum suspek turut bertindak memukul mangsa menggunakan buluh lemang lapor Astro AWANI.

  • Datuk rogol cucu tiri dipenjara 10 tahun, 14 sebatan

    Datuk rogol cucu tiri dipenjara 10 tahun, 14 sebatan

    MAHKAMAH Seksyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 14 sebatan ke atas seorang lelaki warga emas atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua cucu tirinya.

    Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 68 tahun itu didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan berkenaan, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia tujuh tahun 11 bulan di sebuah rumah di daerah ini antara pukul 2 petang hingga 7 malam pada Oktober 2022.

    Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan.

    Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan adik perempuannya yang ketika kejadian berusia enam tahun lima bulan di lokasi, waktu dan tarikh sama.

    Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan serta dua tahun penjara dan dua sebatan.

    Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan satu dan dua berjalan serentak manakala hukuman penjara bagi pertuduhan ketiga bermula selepas selesai menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua.

    Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama satu tahun mengikut Seksyen 27 AKSTKK2017 sebaik tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Asaari Salleh.