Category: Mahkamah

  • Bekas kakitangan kerajaan dan kenalan didakwa seludup warga Indonesia

    Bekas kakitangan kerajaan dan kenalan didakwa seludup warga Indonesia

    BEKAS kakitangan kerajaan berstatus kontrak dan seorang kenalan wanitanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyeludup tujuh warga Indonesia.

    Jafperi Noor, 54, dan Rohani, 49, warga Indonesia masing-masing mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Mereka didakwa bersama-sama telah menjalankan penyeludupan migran terhadap enam lelaki dan seorang wanita kesemuanya berumur antara 24 hingga 51 tahun, di sebuah kuarters penjawat awam di Jalan Kasturi P17 (Jalan P17), Presint 17 di Putrajaya pada 10.15 malam, 22 Jun lalu.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, yang boleh dihukum di bawah akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Nor’ Amalina Ismail tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh, kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

    Peguam Farhan Maarof yang mewakili Jafperi memohon jaminan atas alasan tertuduh telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

    “Anak guam saya kini pengusaha kedai runcit di Kelantan dan merupakan bapa kepada empat anak berusia 19 hingga 29 tahun. Anak guam saya juga tidak akan mengganggu mana-mana saksi di dalam kes ini,” kata peguam itu.

    Sementara itu, peguam K. Vijeyini yang mewakili Rohani, tidak membuat sebarang permohonan berhubung jaminan.

    Mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung jaminan dan menetapkan 14 Okt untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

  • Rasuah: Mahkamah tentukan 7 November Abdul Latif bela diri atau tidak

    Rasuah: Mahkamah tentukan 7 November Abdul Latif bela diri atau tidak

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TARIKH 7 November ini akan menjadi penentu kepada bekas Exco Johor, Datuk Abdul Latif Bandi sama ada beliau perlu membela diri atau bebas daripada 37 pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

    Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abu Bakar Katar hari ini selepas selesai mendengar hujahan barisan pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding rayuan kes yang berlangsung selama dua hari.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 21 April 2019 yang membebas dan melepaskan Abdul Latif dan dua lagi tertuduh.

    Terdahulu, Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam hujahannya berkata, Mahkamah Sesyen sebelum ini telah terkhilaf dalam membuat keputusan.

    Beliau berkata, dalam kes tersebut pihak pembelaan iaitu Abdul Latif mengakui telah menerima kesemua wang bernilai RM16 juta tersebut.

    “Cuma beliau mengatakan ia adalah pinjaman daripada Amir (Perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub) yang mana pihak pendakwaan berhujah pinjaman tersebut asal-usulnya daripada pemaju-pemaju perumahan yang ingin mendapat pelepasan bumiputera, yang mana Abdul Latif ada peranannya dalam membuat pelepasan itu.

    “Jika diambil kira hal keadaan kes ini, Abdul Latif bersubahat dengan responden pertama (Amir) dan kami tidak perlu membuktikan responden kedua (Abdul Latif) ada menerima duit, apa yang perlu kami buktikan adanya pakatan jenayah antara Amir dan ada pertolongan daripada Abdul Latif untuk Amir melakukan kesalahan tersebut.

    “Hakim bicara telah terkhilaf dalam pemahaman undang-undang yang ada dan telah tidak mempertimbangkan keterangan-keterangan yang penting dalam alasan penghakimannya,” katanya.

    Pada 21 April 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru melepas dan membebaskan Abdul Latif yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) melibatkan jumlah lebih RM30 juta.

    Anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin turut dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan dikenakan terhadap mereka.

    Pada 14 Jun 2017, Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing dihadapkan dengan empat pertuduhan melibatkan aktiviti pengubahan wang haram mengikut Akta AMLA 2001.

    Sebelum itu, Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing turut menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1)(C) Akta SPRM 2009.

    Selain Wan Shaharuddin, barisan pendakwaan turut disertai Ahmad Akram Gharib; Mahadi Abdul Jumaat; Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zander Lim Wai Keong.

    Manakala tertuduh dibarisi peguam, Datuk Salehuddin Saidin dan Datuk Hasnal Redzua Merican.

  • Pandu lawan arus: Pegawai pemasaran didakwa bunuh 2 remaja

    Pandu lawan arus: Pegawai pemasaran didakwa bunuh 2 remaja

    SEORANG pegawai pemasaran syarikat swasta yang memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh.

    K. Devaaswin, 24, didakwa membunuh Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, di Kilometer (KM) 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur, di Shah Alam pada 1.20 pagi, 12 Sept lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Majistret Nur Faizah Abdul Sani menetapkan 21 Okt untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar manakala Devaaswin diwakili peguam Pushpa Ratnam dan R. Thanuja.

    Media sebelum ini melaporkan dua remaja maut selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki secara melawan arus di Lebuhraya Persekutuan dekat sini.- BERNAMA

  • Pembantu operasi HSA dituduh buat tuntutan palsu

    Pembantu operasi HSA dituduh buat tuntutan palsu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG wanita yang juga pembantu operasi sebuah hospital kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan memperdaya dengan melakukan tuntutan palsu melibatkan jumlah RM7,050 pada 2018.

    Bagaimanapun, Zuraiha Zakri, 38, mengaku tidak bersalah ke atas semua empat pertuduhan tersebut yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pembantu Operasi Gred N11 di Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, didakwa dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu HSA berkaitan dokumen pesanan penghantaran atas nama sebuah syarikat.

    Dokumen itu berhubung penyediaan makanan dan minuman bagi pelaksanaan tiga program di hospital itu yang mana ia tidak dibekalkan seperti dalam dokumen berkenaan yang dipercayai untuk mengelirukan pihak hospital antara Julai hingga Ogos 2018.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, Zuraiha berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

    Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pertuduhan berkenaan tidak memperuntukkan jaminan, namun pihaknya mencadangkan ikat jamin RM20,000 sekiranya dibenarkan.

    Bagaimanapun, peguam tertuduh, Salleh Tugimin memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya masih bertugas dalam pusat yang sama di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan dan mempunyai seorang anak berusia lima tahun.

    Suaminya pula hanya bekerja sebagai kerani, selain mereka turut menanggung ibu bapanya yang sudah tua dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan serta seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes yang ditetapkan pada 21 Oktober ini.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai selain perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Kota Bharu.

  • 4 warga Bangladesh, 1 wanita tempatan dituduh menculik

    4 warga Bangladesh, 1 wanita tempatan dituduh menculik

    EMPAT warga Bangladesh dan seorang wanita tempatan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, Selangor hari ini atas pertuduhan melarikan seorang lelaki warga Bangladesh dan meminta wang tebusan sebanyak 1 Juta Taka Bangladesh (kira-kira RM50,000), Ogos lepas.

    Mereka ialah pasangan suami isteri, Josim, 32, dan Faridah Jeya Sly Ramesh, 27, (wanita tempatan); Md Raihan Hosen, 28; Miah Soraf, 33, serta Nusrat Jahan Bipasha, 26 (wanita).

    Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes tersebut adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mereka didakwa dengan niat bersama bagi mendapatkan wang tebusan sejuta Taka Bangladesh, telah menahan Md Sohel Rana, 39, dengan cara melarikannya secara salah di hadapan sebuah pasar raya, di Jalan Damai Mewah 1A di sini pada 8.30 malam, 27 Ogos lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 7 Okt untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran manakala Md Raihan dan Josim diwakili peguam Tan Cheng Yee dan tiga yang lain tidak diwakili peguam.

    Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki warga Bangladesh diculik hampir seminggu oleh rakan senegaranya dan ditemui dalam keadaan lemah di sebuah rumah di Bandar Teknologi di sini.  – Bernama

  • Guru didakwa 32 pertuduhan seks luar tabii, amang seksual

    Guru didakwa 32 pertuduhan seks luar tabii, amang seksual

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini atas 32 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar lelaki pada tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd Faizal Amir, 32, yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Tapah mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

    Dia didakwa atas 10 pertuduhan dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii kepada tujuh pelajar lelaki berusia 14 hingga 16 tahun.

    Perbuatan itu dilakukan di rumah warden sekolah berkenaan antara 28 Julai hingga 29 September 2020.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat.

    Bapa kepada seorang anak itu juga didakwa dengan 22 pertuduhan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

    Kesalahan yang dilakukan di lokasi, tarikh dan masa yang sama itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Shuh Yuan tidak menawarkan sebarang jaminan namun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Farid Wajdi Hanif memohon agar jaminan RM3,000 dikenakan ke atas anak guamnya bagi setiap kes.

    Hakim Intan Nurul Farena kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap 11 kes dengan jumlah keseluruhan jaminan sebanyak RM55,000 sebelum menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

    Mahkamah juga menetapkan tertuduh untuk melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan dilarang mendekati mangsa.

  • Lelaki didenda RM2,500 kerana hina polis dalam Facebook

    Lelaki didenda RM2,500 kerana hina polis dalam Facebook

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki didenda RM2,500 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini, kerana membuat dan memulakan komunikasi jelik yang menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Facebook miliknya.

    Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhi hukuman itu ke atas Ahmad Mu’min Othman, 34, selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu melalui Facebook menggunakan nama profil ‘Ahmad Mumun’ pada 11.53 pagi, 9 Mac lepas.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 1.59 petang, 24 Mac 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

    Ketika rayuan, peguam Farida Mohammad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Ahmad Mu’min memohon denda minimum atas alasan anak guamnya menyesal dan insaf dengan perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

    Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang  memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. 

  • Kad pengenalan palsu:Tujuh pekerja asing didenda

    Kad pengenalan palsu:Tujuh pekerja asing didenda

    TUJUH warga asing yang bekerja di sebuah kilang tekstil dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.

    Lelaki warga negara Filipina Ridhwan Likung, 26, tiga wanita warga negara Filipina; Nurmina Kipli, 45, Nona Najuk, 45, Masriyah Ismail, 40, dan tiga wanita warga negara Indonesia; Sundari Mahmudi, 29, Salina Husin, 48, dan Mulyani, 47, mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

    Mereka dikenakan denda antara RM3,000 hingga RM6,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

    Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 14 Sept 2021, jam 2 petang di sebuah kilang tekstil Seksyen 26 Taman Perindustrian Hicom di sini.

    Mereka, tanpa kuasa yang sah telah menggunakan kad pengenalan palsu serta salinan pelbagai individu sebagai dokumen pengenalan diri untuk bekerja.

    Kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1) (e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara Zulkarnain Ahmad manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.- BERNAMA

  • Bekas tentera dipenjara 24 tahun rogol,liwat anak perempuan

    Bekas tentera dipenjara 24 tahun rogol,liwat anak perempuan

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini memerintahkan seorang bekas tentera yang didapati bersalah merogol dan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap anak kandungnya lima tahun lepas menjalani hukuman penjara selama 24 tahun berkuat kuasa hari ini.

    Ini bermakna lelaki berusia 45 tahun itu terpaksa merengkok lebih lama dalam penjara selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, sebulat suara memerintahkan hukuman penjara 18 tahun dan enam tahun yang diputuskan berjalan secara serentak oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru sebelum ini, berjalan secara berasingan.

    Perayu yang menghadapi dua pertuduhan, perlu menjalani hukuman penjara 18 tahun terlebih dahulu dan apabila selesai hukuman itu, dia akan menjalani hukuman penjara enam tahun lagi, menjadikan jumlah penjara adalah 24 tahun. 

    Sebelum ini bekas tentera berpangkat sarjan itu dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan serta enam tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 27 Nov 2018 selepas didapati bersalah merogol anak perempuannya yang ketika itu berusia 17 tahun.

    Mahkamah Sesyen bagaimanapun memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak iaitu 18 tahun dengan 15 sebatan dan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 21 Jun 2020 mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

    Hakim Abdul Karim dalam penghakimannya berkata Hakim Mahkamah Sesyen dan Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan hukuman penjara terhadap lelaki itu berjalan secara serentak.

    “Kes rogol dan liwat adalah berbeza dan hukuman sepatutnya berjalan secara berturutan. Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman penjara secara serentak yang diputuskan oleh kedua-dua mahkamah berkenaan,” kata Hakim Abdul Karim selepas membenarkan rayuan silang oleh pihak pendakwaan terhadap hukuman penjara 18 tahun ke atas lelaki tersebut.

    Bagaimanapun, Hakim Abdul Karim, yang bersidang bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Lee Heng Cheong menolak rayuan lelaki itu terhadap sabitan dan hukuman selepas mendapati rayuan perayu tidak mempunyai merit.

    “Kedua-dua hakim Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi tidak melakukan apa-apa kesilapan dari segi undang-undang dan fakta untuk mewajarkan mahkamah ini campur tangan terhadap dapatan kedua-dua mahkamah itu. Oleh itu, rayuan perayu ditolak dan dapatan Hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Hakim Abdul Karim.

    Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru pada 2.30 pagi, pada 15 Mac 2016.

    Bagi kesalahan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan manakala bagi pendakwaan bagi kesalahan persetubuhan di luar tabii dikemukakan mengikut Seksyen 377 (B) Kanun Keseksaan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee manakala peguam Noordin Hussin mewakili lelaki berkenaan.- BERNAMA

  • Perbicaraan Zahid: Hakim tanya peguam kenapa sumbangan tidak dalam cek tetapi tunai

    Perbicaraan Zahid: Hakim tanya peguam kenapa sumbangan tidak dalam cek tetapi tunai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    HAKIM Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, menyoal pasukan pembelaan mengapa sumbangan derma bernilai berjuta ringgit dikatakan daripada Yayasan Al-Bukhari (YALB) kepada Yayasan Akalbudi (YAB) tidak dalam bentuk cek tetapi dalam wang tunai.

    Persoalan itu ditujukan kepada ketua pihak pembelaan, Hisyam Teh Poh Teik apabila beliau berhujah mengapa pertuduhan ke-27 pengubahan wang haram ke atas Ahmad Zahid perlu digugurkan. 

    Sequerah: Semua wang tunai yang disumbangkan Yayasan Al-Bukhari kepada Yayasan Akalbudi akan lebih mudah jika hanya menulis sekeping cek. Mengapa perlu membawa tunai yang penuh dalam sebuah bag?

    Hisyam: Itulah aduan kami Yang Arif.  Pihak pendakwaan tidak menyiasatnya. Ia hanya boleh dijawab oleh Yayasan Al-Bukhari.  

    “Kami bertanya kepada pegawai penyiasat, pegawai penyiasat berkenaan tidak pernah menyiasat. Oleh kerana tiada siasatan, kita tidak boleh kata ia adalah hasil daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang. Hanya dan sehingga mereka menyiasat, hanya dan sehingga mereka memanggil seorang saksi daripada Yayasan Al-Bukhari di hadapan Yang Arif dan memberikan bukti.

    “Tiada siasatan kerana tiada siasatan tidak boleh dikatakan ini adalah hasil daripada kegiatan haram, pertuduhan gugur. Kesimpulannya, kami mencabar dan mengajak pihak pendakwaan menunjukkan kepada kami bukti Yayasan Al-Bukhari tidak pernah memberi sumbangan, “ katanya.

    Pada 27 Julai tahun lepas, seorang saksi Omar Ali Abdullah pengurup wang yang didakwa mengubah wang bagi pihak Ahmad Zahid memberitahu mahkamah, bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu meminta beliau membantu mendepositkan sumbangan kebajikan ke dalam akaun badan kebajikan Yayasan Akalbudi.

    Saksi ke-81 pendakwaan itu berkata beberapa lelaki daripada YALB akan menghubunginya dan bertemu di beberapa lokasi.

    Beliau berkata, apabila menerima panggilan pertama daripada individu yang tidak dikenali dan meminta untuk berjumpanya di Plaza Fahrenheit, Kuala Lumpur, lelaki itu kemudiannya memberikan beliau sebuah bagasi berisi wang tunai. 

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

    Pihak pembelaan akan menyambung penghujahan esok.