Category: Mahkamah

  • Reman suami isteri bantu siasatan kematian ibu dilanjut

    Reman suami isteri bantu siasatan kematian ibu dilanjut

    TEMPOH reman sepasang suami isteri yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang warga emas, disambung enam hari bermula esok.

    Perintah reman hingga 14 Jun terhadap kedua-duanya yang berusia 34 tahun itu dikeluarkan Majistret Siti Nurhaliza Md Ali bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

    Pada 2 Jun, pasangan itu dibenarkan direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kangar untuk membantu siasatan polis.

    Pasangan itu disyaki memukul ibu kepada suspek wanita sehingga meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang, Arau pada 1 Jun.

  • Wanita baru bersalin mengaku tak bersalah curi rantai leher budak

    Wanita baru bersalin mengaku tak bersalah curi rantai leher budak

    SEORANG wanita yang baharu bersalin tiga bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas tuduhan mencuri rantai leher seorang kanak-kanak pada Sabtu lalu.

    Tertuduh, Nor Zannah Andi Baso, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani, pagi ini.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai jurujual didakwa bersama-sama dengan seorang yang masih bebas dengan niat telah mencuri seutas rantai leher emas kepunyaan seorang kanak-kanak.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di tapak Karnival Jom Heboh di Stadium Shah Alam, Selangor pada 3 Jun lalu sekitar pukul 5.30 petang.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan di baca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

    Sabit kesalahan, ibu kepada seorang anak itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zafirah Syed Mustapa mencadangkan agar tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000.

    Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Oon Guo Chen memohon agar mahkamah membenarkan jaminan yang minimum terhadap anak guamnya itu memandangkan tertuduh baru sahaja bersalin.

    Majistret Nur Faizah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 11 Ogos depan sebagai tarikh sebutan dan serahan dokumen, lapor UtusanTV.

    Media sebelum ini melaporkan pihak polis menahan wanita berkenaan selepas menerima aduan daripada pengadu yang merakam kejadian semasa suspek mengambil rantai leher dengan cara memotong menggunakan sesuatu objek lalu menarik rantai tersebut.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau jenayah melibatkan kes curi.

  • Anak saudara, bekas pekerja R. Sivarasa lepas bebas tiga tuduhan rasuah

    Anak saudara, bekas pekerja R. Sivarasa lepas bebas tiga tuduhan rasuah

    ANAK saudara bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa dan bekas pekerjanya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini daripada tiga tuduhan rasuah berhubung tindakan tidak melaporkan mengenai kemasukan pekerja asing kepada pihak imigresen, enam tahun lalu.

    Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membebaskan R. Naveen Kularasa, 51 yang juga pembantu peribadi Sivarasa dan pemandu van, Nico Kam Joo Hoe, 25 selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat bahawa Pejabat Peguam Negara menerima representasi kedua-dua tertuduh.

    Noralis berkata, sehubungan itu pendakwaan menarik balik tuduhan dan melepas tanpa membebaskan Kularasa dan Joo Hoe.

    Bagaimanapun, peguam Ramesh Sivakumar yang mewakili Joo Hoe memohon anak guamnya dilepas dan dibebaskan kerana aduan mengenai kes itu dibuat pada 2017 manakala dia pula dituduh pada tahun lalu yang memakan masa yang lama.

    “Adalah tidak adil untuk membiarkan kedua-dua tertuduh terus dibelenggu dengan pertuduhan itu dan sepatutnya kes berkenaan dibawa kepada pengakhiran,” katanya, lapor Berita Harian.

    Katanya, malah pendakwaan tidak memberikan alasan kenapa mereka tidak harus dilepas dan dibebaskan.

    Selepas mendegar hujahan itu, Azura memutuskan melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh dan memerintahkan wang ikat jamin berjumlah RM10,000 seorang dikembalikan kepada penjamin masing-masing.

    Mengikut pertuduhan pertama, Kularasa dan Joo Hoe didakwa bersama-sama secara rasuah meminta wang tunai RM55,000 bagi diri mereka daripada Mono Miah Siddikur Rahman iaitu lelaki warga Bangladesh.

    Wang itu sebagai dorongan kononnya untuk tidak melaporkan kepada pihak imigresen berkaitan Syarikat Dyna Maintainance Services Sdn. Bhd. milik lelaki itu yang dikatakan membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

    Bagi tuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa dengan niat bersama-sama iaitu secara rasuah bersetuju menerima wang tunai RM45,000 dan RM20,000 bagi diri mereka daripada pemilik syarikat sama melalui tertuduh kedua (Joo Hoe) berhubung perkara sama.

    Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Dalam prosiding itu, Kularasa diwakili peguam M. Puravalen.

  • Peniaga pakaian didakwa buat hantaran hina Islam

    Peniaga pakaian didakwa buat hantaran hina Islam

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENIAGA pakaian didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas 10 pertuduhan membuat hantaran menghina Allah, nabi dan agama Islam dalam laman sosial Facebook, dua bulan lalu.

    Alimuddin Mohd. Hayat, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan dua hakim iaitu Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan V.M. Mabel Sheela.

    Tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang bersifat jelik dan menghina Allah, nabi dan agama Islam menggunakan akaun Facebook miliknya ‘Ali Tikos’, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Hantaran itu telah dibaca di sebuah rumah di Rumah Pangsa Awam Larkin Johor Bahru, pada kira-kira pukul 10 malam, 26 April lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar, Noor Idayu Salim dan S. Thiviya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sebelum itu, Alimuddin merayu kepada mahkamah supaya diberikan denda lebih rendah dengan mengambil kira dia yang telah bercerai dan mempunyai dua anak berusia empat serta lapan tahun.

    Selain itu, berpendapatan tidak menentu sekitar RM300 hingga RM400 sebulan sebagai peniaga baju di Bazar Karat Johor Bahru.

    Ahmad Kamal Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 bagi enam pertuduhan yang dibacakan di hadapannya dan Mabel Sheela pula mengguna pakai jumlah jaminan yang sama memandangkan kes dihadapannya akan dipindahkan ke mahkamah Ahmad Kamal Arifin.

    Kes akan disebut semula bagi lantikan peguam di hadapan Ahmad Kamal Arifin pada 9 Julai depan.

  • Rompak warga emas 3 kali sebulan, 2 lelaki mengaku tak salah

    Rompak warga emas 3 kali sebulan, 2 lelaki mengaku tak salah

    DUA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan merompak warga emas di sebuah rumah di Bercham, bulan lalu.

    M Hari Chandran, 41, dan Lawrence Anthony Das, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad dan memohon kes dibicarakan.

    Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Chan Liew Chan, 72, di No 50, Tasek Timur, Taman Ria pada 3 pagi, 24 Mei lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin mencadangkan agar kedua-dua tertuduh tidak diberikan jaminan kerana mengikut laporan, tertuduh merompak warga emas yang sama sebanyak tiga kali dalam masa sebulan, selain untuk mengelak mangsa diganggu tertuduh.

    Hari Chandran dan Lawrence yang tidak diwakili peguam memohon diikat jamin kerana Hari Chandran akan berkahwin dan menjaga ibu bakal isterinya yang sedang sakit, manakala Lawrence mempunyai seorang anak yang masih bersekolah.

    Ainul Shahrin kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis terdekat dua kali sebulan serta menetapkan 7 Julai untuk sebutan semula kes.

    Sementara itu, di kamar mahkamah berasingan, seorang lagi rakan jenayah tertuduh, M Shashipal Singh, 33, didakwa menyimpan harta curi warga emas terbabit iaitu sebuah telefon bimbit jenama Huawei yang dipercayai hasil rompakan bersama rakan-rakannya.

    Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda.

    Shashipal Singh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad, manakala pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi.

    Azizah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh hendaklah melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali, manakala 7 Julai ditetapkan untuk sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri hidup dalam ketakutan apabila rumah mereka di Regat Tasek Timur 20, Taman Ria Bercham di Ipoh menjadi sasaran pencuri apabila dipecah masuk sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga minggu.

  • Anggota tentera dibelasah rakan setugas menang saman RM48,574

    Anggota tentera dibelasah rakan setugas menang saman RM48,574

    ANGGOTA tentera berpangkat koperal menang saman RM48,574 terhadap rakan setugasnya berkait kes pukul ketika bertugas di Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Desa Pahlawan.

    Hakim Azman Mustapha dalam keputusan di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu hari ini mengarahkan defendan, Muhammad Noor Ridzuan Rashid, 28, membayar ganti rugi am (RM37,500), teladan dan teruk (RM9,375), khas (RM1,699) berserta faedah-faedah serta kos mengikut skala kepada plaintif, Muhammad Helmy Mohamad, 31.

    Azman berkata, defendan tidak menafikan mencederakan plaintif, bagaimanapun mendakwa hanya mempertahankan diri setelah plaintif membuat provokasi mengajak defendan untuk bergaduh.

    “Mahkamah terpaksa menolak pembelaan defendan kerana tidak kosisten dengan hasil siasatan oleh Pegawai Cawangan Siasatan Jenayah Angkatan Tentera Malaysia.

    “Setelah menilai semua keterangan, mahkamah berpuas hati plaintif berjaya membuktikan kesnya di atas imbangan kebarangkalian. Oleh itu, tuntutan plaintif dibenarkan,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

    Muhammad Helmy memfailkan saman melalui Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz dengan diwakili peguam, Shaharuddin Mohamed dan Azhar Ahmad sementara Muhammad Noor diwakili peguam, Siti Nur Zafikah Zulkifli dari Tetuan Abqary & Co.

    Berdasarkan penyata tuntutan, kedua-dua mereka berkhidmat dalam ATM di Kompeni C, Batalion Ke-16, Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Desa Pahlawan.

    Pada 11 April 2022, kira-kira pukul 3 petang, semasa plaintif sedang membuat tugasan rutin di tempat bertugas di kem itu, dia dipanggil oleh defendan untuk bertanyakan beberapa soalan berkaitan penugasan harian.

    Oleh sebab tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan plaintif, defendan menolak dan terus menyepak perut sehingga plaintif jatuh.

    Defendan kemudian menumbuk beberapa kali muka plaintif sehingga berdarah bahagian hidung.

    Perbuatan defendan dileraikan, namun defendan terus menyepak pipi kiri plaintif yang pada masa itu berada dalam kedudukan melutut.

    Muhammad Helmy memfailkan saman melalui Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz dengan diwakili peguam Shaharuddin Mohamed dan Azhar Ahmad manakala Muhammad Noor diwakili peguam Siti Nur Zafikah Zulkifli dari Tetuan Abqary & Co.

  • Mahkamah benarkan 1MDB mulakan tindakan saman sekutu Jho Low

    Mahkamah benarkan 1MDB mulakan tindakan saman sekutu Jho Low

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini, membenarkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya, meneruskan tindakan saman bagi menuntut AS$2.795 (RM12.9 bilion) daripada sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

    Peguam, Siva Kumar Kanagasabai, yang mewakili 1MDB ketika dihubungi media berkata, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Haneefa Arifin memberikan kebenaran itu pada prosiding kes itu hari ini.

    Katanya, 1MDB perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu untuk meneruskan saman terhadap Eric Tan Kim Loong kerana beliau sudah diisytiharkan muflis pada 14 Jun 2022 oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selepas gagal melunaskan cukai pendapatan berjumlah RM68,334,219.01 kepada kerajaan.

    “Permohonan pihak kami ialah supaya 1MDB dibenarkan untuk meneruskan dengan tindakan saman terhadap Kim Loong walaupun beliau sudah muflis.

    “Apabila seseorang itu diisytiharkan muflis, tindakan mahkamah tidak dapat diteruskan kecuali dengan mendapat kebenaran mahkamah …kami berjaya memperoleh kebenaran itu hari ini,” katanya lapor Berita Harian.

    Kim Loong diisytiharkan muflis pada 14 Jun 2022, oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas gagal melunaskan cukai pendapatan RM68,334,219.01 kepada kerajaan.

    Mengikut petisyen pemiutang, kerajaan memohon satu perintah kebankrapan dibuat terhadapnya kerana berhutang dengan kerajaan sebanyak RM68,334,219.01 termasuk faedah dan kos melalui tuntutan cukai pendapatan yang belum dibayar.

    Pada 2 Mei lalu, 1MDB dan anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited menamakan Kim Loong sebagai penghutang penghakiman dan kerajaan Malaysia sebagai pemiutang penghakiman

    Menerusi saman itu, 1MDB mendakwa antara 1 Oktober 2009 dan 7 November 2014, Kim Loong menerima secara tidak jujur dana berjumlah AS$2.795 bilion tanpa sebarang tujuan komersial yang sah, tanpa sebarang hak undang-undang mahupun kepentingan tanpa memberikan sebarang balasan bagi penerimaan berkenaan.

  • 3 beranak bergaduh di tempat awam dihadapkan ke mahkamah

    3 beranak bergaduh di tempat awam dihadapkan ke mahkamah

    TIGA beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town hari ini terhadap pertuduhan bergaduh di tempat awam bulan lepas.

    Oo Teck Yeon, 55, isterinya, Chuah Chew Teng, 54, dan anak mereka, Oo Cheng Sing, 28, didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah, di George Town pukul 11.20 pagi, 8 Mei lepas.

    Semua mereka yang didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil manakala semua tertuduh diwakili oleh Zainal Akram Zainal Azahar.

    Majistret Mohamad Azlan Basri menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 11 Julai untuk sebutan semula kes.

    Sebelum ini, media melaporkan polis menahan enam individu daripada dua keluarga selepas terlibat dalam satu pergaduhan di Tanjung Bungah, yang dipercayai berpunca setelah tidak berpuas hati dengan punca kemalangan.

  • Lans koperal didakwa peras ugut wanita RM200

    Lans koperal didakwa peras ugut wanita RM200

    SEORANG anggota polis berpangkat lans koperal yang videonya tular kerana meminta wang RM200 daripada seorang wanita tempatan berikutan rakannya warga China gagal menunjukkan pasport, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

    Mohamad Ikhwan Mahat, 32, mengaku tidak bersalah selepas didakwa telah menyebabkan ketakutan dengan niat untuk melakukan pemerasan terhadap Lee Log Ling, 26, dengan meminta wang RM200 sekiranya mahu dilepaskan kerana kegagalan rakan wanita itu yang merupakan warganegara China untuk membawa pasport semasa diperiksa.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen, Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 11 malam, 23 Mac lalu mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Purshotaman Puvanendran yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai empat anak yang masih kecil dan memberikan kerjasama kepada pihak polis semasa siasatan dijalankan.

    Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Julai untuk sebutan semula kes.

    Pada 3 April lalu, media melaporkan sebuah video berdurasi satu minit 48 saat tular menerusi aplikasi TikTok memaparkan seorang anggota polis lengkap beruniform melakukan pemeriksaan terhadap individu berlatarbelakangkan Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato Onn.

    Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman, berkata siasatan awal pihak polis mendapati individu yang dirakam telah mendakwa diperas ugut oleh anggota polis berkenaan kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.

  • Ibu, bapa tiri dilepaskan tuduhan cuai cederakan anak

    Ibu, bapa tiri dilepaskan tuduhan cuai cederakan anak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru hari ini melepas tanpa membebaskan pasangan suami isteri atas pertuduhan bertindak cuai terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, dua bulan lalu.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu terhadap S. Nagendran dan A. Sangeetha yang kedua-duanya berusia 23 tahun selepas mendapati terdapat penduaan terhadap pertuduhan yang dikemukakan.

    Mahkamah menetapkan hukuman ke atas pasangan berkenaan dijatuhkan hari ini, namun Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar mengemukakan pertuduhan pindaan.

    Kedua-dua tertuduh kemudian mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dan seterusnya mohon dibicarakan.

    Mengikut kertas pertuduhan, keduanya didakwa mencapai niat bersama bertindak secara cuai terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang berada di bawah pemeliharaan mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka dekat Skudai Villa Apartment, Jalan Aman, Taman Skudai Baru, Johor Bahru, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 28 April lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Nagendran yang juga bapa tiri kanak-kanak berkenaan dan Sangeetha pula ibu kandung kepada kanak-kanak itu diwakili peguam Tuan Nur Izza Natasha Tuan Rosidi.

    Pihak pendakwaan dijangka mengemukakan pertuduhan baharu ke atas dua-dua tertuduh pada esok.