Category: Mahkamah

  • Rosmah tidak pernah gelar diri sendiri wanita pertama

    Rosmah tidak pernah gelar diri sendiri wanita pertama

    DATIN Seri Rosmah Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak pernah menggelarkan dirinya sebagai Wanita Pertama Malaysia (FLOM) dan menafikan bahawa satu bahagian telah diwujudkan khusus untuk beliau dalam Pejabat Perdana Menteri (PMO).

    Rosmah, 69, berkata demikian ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ketiga pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah terhadapnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata gelaran itu adalah untuk ‘tujuan pentadbiran.’

    Sri Ram: Adakah anda bersetuju bahawa Wanita Pertama Malaysia adalah gelaran yang anda gunakan untuk diri sendiri?

    Rosmah: Tidak.

    Sri Ram: Siapa berikan gelaran itu kepada anda?

    Rosmah: Tiada siapa yang berikan gelaran itu kepada saya. Ia hanya untuk tujuan pentadbiran.

    “Isteri-isteri perdana menteri (sebelum ini) tidak begitu aktif dalam aktiviti kebajikan atau projek yang menonjol seperti Permata Negara. Mereka mungkin jarang diundang untuk menyampaikan ucaptama di luar negara. Jadi, ketika suami saya menjadi Perdana Menteri, kehidupan saya menjadi teramat-amat sibuk,” kata Rosmah.

    Sri Ram kemudian menyoal sama ada terdapat bahagian dalam PMO yang dikenali sebagai ‘Wanita Pertama Malaysia’ dan Rosmah menjawab “Saya tidak tahu.”

    “Itu bukan tugas saya. Saya tidak campur tangan dengan PMO,” katanya.

    Rosmah juga berkata beliau tidak tahu sama ada Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, bekas Perdana Menteri keempat iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad pernah digelar sebagai Wanita Pertama Malaysia.

    “Saya tidak tahu. Mungkin di luar (negara) beliau digelar begitu (Wanita Pertama Malaysia),” katanya.

    Rosmah juga berkata, beliau sedia mengorbankan dirinya dan berdepan serangan di media sosial bagi pihak suaminya ketika Najib menjadi Perdana Menteri kerana Najib berkata serangan itu sebenarnya ditujukan kepadanya namun beliau menjadi sasaran mudah di media sosial.

    Pada 18 Feb lepas, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu khasnya, Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek hibrid solar itu secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 21 Okt depan. – BERNAMA

  • Lima kakitangan hospital direman berhubung rasuah pengurusan jenazah

    Lima kakitangan hospital direman berhubung rasuah pengurusan jenazah

    LIMA kakitangan sebuah hospital direman lima hari mulai hari ini selepas disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada ejen sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah di hospital berkenaan.

    Perintah reman kelima-lima suspek yang bermula hari ini sehingga 11 Okt depan itu dikeluarkan Majistret Ellyna Othman di Shah Alam selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Menurut sumber kesemua suspek berusia antara 34 hingga 44 tahun itu dipercayai terlibat dalam kegiatan  rasuah itu sejak 2019 hingga tahun ini membabitkan jumlah suapan RM22,000.

    Kesemua suspek ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam ketika hadir untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

  • Zahid mohon pasport jalani rawatan di Jerman

    Zahid mohon pasport jalani rawatan di Jerman

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah, hari ini memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.

    Peguam Hamidi Mohd Noh mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya itu menderita sakit belakang serta leher dan perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka di Munich.

    “Anak guam saya mengalami sakit belakang dan leher. Beliau pada asalnya dirawat oleh doktor dari Jerman pada 2013, 2014, 2016.

    “Kami membuat permohonan ini untuk membolehkan tertuduh menerima rawatan. Rawatan intervensi di Malaysia tidak mencukupi untuk (mengurangkan kesakitan) beliau,” kata Hamidi.

    Permohonan itu difailkan pada 4 Okt dan hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes.

    Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng yang tidak membantah permohonan itu.

    Hakim kemudiannya menetapkan Isnin ini untuk keputusan permohonan berkenaan.

    Sementara itu Hamidi ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, Ahmad Zahid memohon pasportnya dipulangkan pada 26 Okt dan akan mengembalikannya pada 21 Nov.

    “Kami akan membuat permohonan yang sama (mendapatkan pasport) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada Isnin ini,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, menghadapi 47 tuduhan – 27 kes pengubahan wang haram, 12 membabitkan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah – melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. – BERNAMA

  • Bomoh Tok Wan dipenjara, salah guna barang kemas peniaga

    Bomoh Tok Wan dipenjara, salah guna barang kemas peniaga

    SEORANG bomoh lelaki bergelar Tok Wan dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini selepas mengaku bersalah menyalahgunakan barang kemas bernilai lebih RM20,000 milik seorang peniaga nasi kukus yang diserah untuk ‘dibuang sihir’ pada Ogos lepas.

    Majistret Sarulatha Paramavathar menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Izwan Mohd Ahmid, 34, dan memerintahkan hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 5 Okt lepas.

    Mohd Izwan yang digelar ‘Tok Wan’ didakwa menyalahgunakan harta bukan miliknya iaitu 24 jenis barang kemas emas bernilai RM22,910 yang diserahkan oleh seorang lelaki untuk tujuan rawatan.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Rantau Panjang, Jalan Kapar dekat sini, pada 9.21 pagi, 21 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan dengan sebatan dan boleh juga didenda.

    Berdasarkan fakta kes, mangsa telah menghubungi ‘Tok Wan’ pada 21 Ogos selepas disyaki mengalami gangguan misteri.

    Tok Wan kemudian ke rumah mangsa bersama penolongnya dan meminta semua barang kemas milik keluarga mangsa atas alasan mahu ‘membuang sihir’ pada barang kemas tersebut dan mangsa yang mempercayainya telah menyerahkan kesemua barang kemas itu.

    Pada 21 Sept tertuduh telah sekali lagi ke rumah mangsa dengan membawa satu punjut kain berwarna kuning yang dikatakan mengandungi barang kemas milik keluarga mangsa dan diberi arahan agar membukanya selepas 10 hari.

    Bagaimanapun mangsa telah membuka punjut tersebut pada 28 Sept dan mendapati barang kemas yang terdapat di dalamnya adalah berbeza dan tiruan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifl memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal namun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung isteri dan empat anak selain menghidap penyakit darah tinggi dan masalah prostat. – BERNAMA

  • Dua lelaki berhadapan hukuman mati edar 54.7 kilogram Methamphetamine

    Dua lelaki berhadapan hukuman mati edar 54.7 kilogram Methamphetamine

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini bagi berdepan pertuduhan mengedar dadah seberat lebih 54 kilogram, yang didakwa dilakukan pada hujung bulan lalu.

    Tertuduh, Amiruddin Yaakub, 31, dan Nurzaihan Ismail, 41, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret, Nurul Ainna Ahmad dengan tiada pengakuan direkodkan dari kedua-dua mereka.

    Mengikut kertas pertuduhan, Amiruddin yang bekerja sebagai peniaga dan Nurzaihan yang tidak bekerja, didakwa secara bersama mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 54.7 kilogram.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira 8.10 pagi, 27 September lalu di depan sebuah rumah di Persiaran Amanjaya 10, Bandar Amanjaya di Sungai Petani.

    Pendakwaan dilakukan mengikut seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut seksyen 39B(b)(2) akta sama, dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan tidak kurang 15 sebatan.

    Pertuduhan dikendalikan Pegawai Siasatan dan Perundangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Asisten Superintendan Mohd Fakruzi Ismail dengan Nurzaihan diwakili peguam, Shaharuddin Mohamed manakala Amiruddin pula tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 September depan sementara menanti laporan kimia dengan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

  • Kes pengubahan wang haram Ahmad Zahid sama seperti kes SRC Najib – Pendakwaan

    Kes pengubahan wang haram Ahmad Zahid sama seperti kes SRC Najib – Pendakwaan

    Pendakwaan dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyifatkan bahawa kes terhadap Presiden UMNO itu adalah sama seperti kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd.

    Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong berkata ini kerana kedua-dua tertuduh gagal menentukan sama ada wang yang mereka terima sebagai ‘sumbangan’ adalah dari sumber yang sah atau sebaliknya. 

    Beliau turut membacakan sebahagian penghakiman dalam kes Najib yang menyaksikan bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International.

    Katanya Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah memutuskan bahawa sukar untuk dipercayai bahawa Najib tidak tahu atau tidak mengesyaki bahawa wang yang didepositkan ke dalam akaun banknya adalah hasil aktiviti haram. 

    Harris Ong berkata pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Ahmad Zahid turut berkongsi fakta yang sama dengan kes Najib, contohnya berhubung pemindahan berjuta-juta ringgit daripada akaun Yayasan Akalbudi (YAB) ke akaun pemegang amanahnya iaitu Tetuan Lewis & Co.      

    Beliau berkata tertuduh juga tidak pernah mengadu mengenai tindakan pengurup wang Omar Ali Abdullah yang menukarkan sejumlah RM7,511,250.20 kepada 35 keping cek.

    Semalam, Harris Ong berhujah bahawa Omar Ali sebagai ejen, telah menerima arahan daripada Ahmad Zahid untuk menukarkan wang terbabit dalam bentuk cek dan selepas itu, menyerahkan cek terbabit kepada Tetuan Lewis & Co.

    Beliau juga berkata Ahmad Zahid mempunyai kuasa untuk mengurus dan memanfaatkan wang terbabit dengan membeli saham serta beberapa banglo di Country Height Kajang, Selangor. 

    “Yang Arif, tindakan membeli banglo terbabit tidak ada kena-mengena dengan amal jariah seperti yang didakwa oleh pembelaan.  

    “Tidak ada keterangan yang menunjukkan bahawa wang terbabit telah dibelanjakan untuk tujuan amal kecuali demi kepentingan tertuduh,” katanya ketika menyangkal hujah pembelaan berkaitan 27 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Ahmad Zahid di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

    Menyentuh penglibatan firma guaman yang digunakan untuk ‘mengubah wang’ terbabit, Timbalan Pendakwa Raya itu berkata ia adalah isu yang serius dan tidak hanya berlaku di negara ini. 

    Harris Ong berkata pendakwaan telah mengemukakan bukti boleh dipercayai bagi setiap elemen dalam pertuduhan pengubahan wang haram yang tidak goyah meskipun ketika soalan balas. 

    “Keterangan secara langsung, berdasarkan keadaan persekitaran dan berdokumen yang dikemukakan dalam perbicaraan kes ini mewajarkan tertuduh diperintah membela diri atas semua pertuduhan pengubahan wang haram,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

    Pendakwaan akan menyambung hujahnya pada 11 Okt ini. – BERNAMA

  • ”Ini perbuatan zalim, kejam terhadap saya dan keluarga” – Rosmah

    ”Ini perbuatan zalim, kejam terhadap saya dan keluarga” – Rosmah

    DATIN Seri Rosmah Mansor tidak dapat menahan emosi dan  menangis di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika memberi keterangan dan menyifatkan pendakwaan atas pertuduhan rasuah adalah perbuatan zalim dan kejam terhadap dirinya dan keluarga.

    Rosmah, 69, yang memakai baju kurung hijau dan selendang sepadan, sebak ketika membacakan pernyataan saksinya pada dua halaman terakhir pada hari kedua prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Beliau berkata pihak pendakwaan telah menutup kedua-dua belah mata apabila wujud kesalahan dan ketidakaturan dalam proses tender Jepak Holdings Sdn Bhd yang didalangi Menteri Pendidikan ketika itu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM) ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed serta Datuk Seri Alias Ahmad juga KSU KPM yang menggantikan Madinah.

    Ketiga-tiga mereka adalah saksi pendakwaan (SP) dalam perbicaraan kes itu.

    “Biarpun Mahdzir, Madinah, Alias, pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin (SP17) dan Datuk Rizal Mansor (SP21) sepatutnya diambil tindakan di atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan, namun pihak pendakwaan lebih suka untuk memanggil mereka sebagai saksi di mahkamah sebagai saksi pendakwaan tanpa apa-apa pendakwaan dilakukan ke atas mereka.

    “… agar mereka bersama-sama menunding jari kepada saya, iaitu seorang individu yang tidak ada jawatan dalam kerajaan dan tidak ada kuasa melulus apa-apa projek kerajaan sekalipun, demi menutup aib masing-masing yang kini telah tersingkap ke khalayak umum.

    “Ini adalah perbuatan (pendakwaan) zalim dan kejam terhadap saya dan keluarga saya. Ini juga adalah suatu malicious and selective prosecution (berniat jahat dan pendakwaan terpilih) terhadap saya,” katanya sambil menangis.

    Sejurus selepas itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan bertanya kepada isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu: “Are you ok?” (Anda okey?)

    Rosmah, yang memberi keterangan dari tempat saksi menjawab: “Saya minta maaf Yang Arif, saya telah melalui banyak perkara,”. 

    Beliau juga dilihat mengesat air matanya sebelum meneruskan keterangan dan pihak media yang mengikuti prosiding itu menerusi video link turut terdiam seketika melihat situasi berkenaan.

    Hakikat yang sebenar, katanya adalah pihak pendakwaan tahu bahawa kesemua pertuduhan ke atasnya adalah tidak berasas ditambah pula dengan kesediaan Rizal yang bersekongkol dengan pendakwaan untuk memberikan keterangan palsu di mahkamah bagi membolehkan pertuduhan ke atasnya ditarik balik dan menjadi saksi penting pihak pendakwaan.

    Rosmah juga berkata beliau tidak pernah menerima wang berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi bagi membantu mempercepatkan pemberian projek solar hibrid kepada syarikat berkenaan, kononnya dihantar kepadanya di dua lokasi berbeza di Jalan Langgak Duta dan Seri Perdana.

    Katanya, dakwaan Rizal bahawa wang RM6.5 juta itu yang diletakkan dalam empat buah beg, kononnya dihantar secara berasingan ke kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana pada 20 Dis 2016 dan rumahnya di Langgak Duta pada 7 Sept 2017, adalah pembohongan semata-mata.

    Mengenai penyerahan RM5 juta di Seri Perdana, Rosmah berkata beliau tidak mempunyai pengetahuan bahawa Saidi kononnya berhasrat memberikan wang itu kepadanya.

    “Saya tidak pernah menerima wang RM5 juta yang kononnya diberikan oleh Saidi, melalui Rizal kepada saya di dalam dua beg bagasi di Seri Perdana dan tuduhan Rizal bahawa dua beg bagasi tersebut telah diserahkannya kepada dua butler dan kemudiannya diserahkan kepada saya, adalah tidak benar dan mengaibkan saya,” katanya.

    Sementara itu, berhubung penyerahan wang RM1.5 juta di Langgak Duta, Rosmah berkata Saidi semasa memberi keterangan  menyatakan bahawa beliau (Saidi) tidak pernah menunjukkan atau menyerahkan dua beg galas hitam berjalur oren kepadanya dan Saidi juga tidak pernah membuka atau mengira wang dalam dua beg tersebut.

    Disoal peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakilinya mengenai keterangan Rizal bahawa beliau nampak Rosmah mengarahkan butlernya membawa dua beg galas itu ke dalam ‘bilik beliau’ dan ‘bilik beliau’ merujuk kepada siapa, Rosmah sempat berseloroh: ” Bilik siapa lagi, bilik saya (Rizal maksudkan).

    Rosmah juga berkata pihak pendakwaan telah gagal untuk memanggil butler berkenaan sebagai saksi di mahkamah ini serta gagal untuk menawarkan butler tersebut sebagai saksi kepada pihak pembelaan.

    “Ini adalah satu perbuatan penganiayaan dan keji terhadap saya kerana pihak pendakwaan sengaja enggan memanggil butler tersebut kerana mereka tahu hal tersebut tidak pernah berlaku.

    “Sekiranya memang benar apa yang dikatakan oleh Rizal yang kononnya saya mengarahkan butler untuk mengangkat dua beg hitam berstripe oren ke bilik saya, sudah pasti pihak pendakwaan akan memanggil butler tersebut sebagai saksi penting mereka di mahkamah semasa kes pendakwaan,” katanya.

    Pada 18 Feb lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok dengan pihak pendakwaan akan menyoal balas Rosmah.

  • 5 direman bantu siasatan kes pukul mati rakan

    5 direman bantu siasatan kes pukul mati rakan

    LIMA individu termasuk empat warganegara Kemboja direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini, bagi membantu siasatan kes pukul hingga mati seorang lelaki, kejadian Ahad lalu.

    Mereka yang berusia antara 29 hingga 48 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan lima termasuk seorang wanita warga kemboja direman.

    Menurutnya, kelima-lima suspek itu ditahan semalam di sekitar Kota Bharu.

    “Tahanan reman itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Harian Metro, hari ini.

    Media semalam melaporkan, perselisihan faham mengenai bayaran upah membaiki tandas dipercayai menjadi punca seorang buruh binaan warga Kemboja dipukul hingga mati oleh rakan senegaranya.

    Mangsa, Sovann Arozak, 40, cedera di kepala akibat dipukul dengan objek tumpul kejadian pada 10.45 malam Ahad lalu di rumah mangsa di Kampung Penambang dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada 11 pagi kelmarin.

    Seorang suspek berusia 29 tahun berjaya ditahan di Kampung Bukit Marak pada 11.20 pagi semalam dan susulan itu empat lagi termasuk seorang wanita warga Kemboja dan seorang lelaki tempatan turut ditahan.

  • Mahkamah diberitahu Ahmad Zahid atur gubah wang haram RM7.5 juta

    Mahkamah diberitahu Ahmad Zahid atur gubah wang haram RM7.5 juta

    MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatur skim pengubahan wang haram berjumlah RM7.5 juta menggunakan perkhidmatan pengurup wang untuk mengubah wang menjadi cek dan akhirnya dimasukkan ke dalam pelbagai akaun simpanan tetap.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Harris Ong Mohd Jeffrey Ong berhujah bahawa pengurup wang, Omar Ali Abdullah sebagai ejen, mendapat arahan daripada Ahmad Zahid untuk menukarkan RM7,511,250.20 menjadi 35 cek dan kemudian cek itu diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid).

    Harris Ong berkata, dana itu kemudian dimasukkan ke dalam pelbagai akaun simpanan tetap.

    “Omar Ali atas arahan tertuduh telah menerima wang tunai dari individu yang tidak dikenali. Dia (Omar Ali) menggunakan isterinya, syarikat Kamarunisah Ahmad Shah (Ekares Sdn Bhd) untuk mengeluarkan 35 keping cek kepada Lewis & Co.

    “Dia memasukkan wang tunai ke cek Ekares dan meminta isterinya untuk membuat pengesahan mengenai pembayaran jika diminta oleh bank.

    Dia kemudian mengisi jumlah dan penerima pada setiap cek dan menyampaikan semua cek kepada tertuduh,” katanya sebagai menjawab hujah pembelaan mengenai 27 tuduhan pengubahan wang haram di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Harris Ong berkata, Kamarunisah tidak tahu mengenai kegunaan cek Ekares, jumlah yang tertera di setiap keping cek dan siapa penerima.

    Merujuk kepada isu tunai RM500,000 (sebahagian daripada RM7,511,250.20) yang diterima Omar Ali, TPR itu berkata, ia adalah daripada Yayasan Al-Bukhari (YALB).

    “Wang tunai itu dihantar oleh lelaki yang tidak dikenali kepada Omar Ali menunjukkan bahawa urusniaga itu mencurigakan dan meragukan.

    “Sekiranya benar wang itu berasal dari penderma untuk tujuan amal, mengapa semua wang tunai itu harus ditukar menjadi cek dan berakhir di akaun pelanggan Lewis & Co dan bukannya akaun Yayasan Akalbudi?

    “Tanpa dokumentasi yang tepat, kami mengatakan bahawa semua wang tunai yang diterima Omar Ali berasal dari sumber haram dan bukan YALB. Omar Ali tidak tahu siapa lelaki itu dan tidak ada petunjuk bahawa lelaki itu adalah wakil YALB,” tambahnya.

    Bagi pertuduhan ke-27, Ahmad Zahid dituduh mengarahkan pengurup wang Omar Ali Abdullah menukar wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 menjadi 35 cek yang dibuat kepada Lewis & Co sebagai simpanan tetap di Maybank adalah satu bentuk pengubahan wang haram yang berasal dari sumber tidak sah.

    Sementara itu, Harris Ong berkata, berdasarkan pertuduhan satu hingga 25, Lewis & Co menerima sejumlah 92 cek, berjumlah RM76.9 juta dari pelbagai individu dan entiti yang tidak mempunyai kaitan perniagaan dengan firma itu.

    Beliau berkata, rakan kongsi syarikat itu, B Muralidharan dalam keterangannya memberitahu bahawa dia telah menerima cek dari Ahmad Zahid di rumah bekas Timbalan Perdana Menteri itu atau cek berkenaan diserahkan kepadanya di syarikat tersebut.

    “Cara cek disampaikan oleh tertuduh dan arahan yang diberikan kepada Muralidharan jelas menunjukkan bahawa Ahmad Zahid terlibat secara langsung dalam memberi arahan kepada Muralidharan untuk menyimpan semua cek yang diterima untuk dimasukkan ke dalam 25 simpanan tetap, sebagaimana tuduhan satu hingga 25,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.

    Pendakwaan akan menyambung hujahnya pada Rabu. – Bernama

  • Saya tidak laku apa-apa jenayah, ini fitnah – Rosmah

    Saya tidak laku apa-apa jenayah, ini fitnah – Rosmah

    DATIN Seri Rosmah Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam kes projek solar hibrid, malah sepatutnya menjadi saksi pendakwaan terhadap bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

    Rosmah, 69, berkata Rizal, selaku saksi pendakwaan ke-21 (SP21), dalam keterangan bersumpah di mahkamah, secara terang-terangan mengaku meminta RM25 juta iaitu RM5 juta setahun selama lima tahun daripada Saidi Abang Samsuddin, yang ketika itu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd dan turut mengaku menerima rasuah sebanyak RM500,000 daripada Saidi.

    “Rizal juga mengaku menerima wang rasuah sebanyak RM30,000 daripada Rayyan Radzwill Abdullah (SP16) untuk dibayar kepada Datuk Ahmed Farriq Zainul Abidin (SP9) dan mengaku menerima wang rasuah dalam enam ke tujuh kali daripada Saidi, sekurang-kurangnya RM50,000 setiap kali dan menerima wang rasuah daripada Saidi melalui Rayyan untuk perjalanan umrahnya bersama keluarga.

    “Sedangkan saya pula, tidak pernah sama sekali meminta atau menerima sebarang wang rasuah daripada Saidi mahupun Rayyan, baik secara terus atau melalui Rizal, dan saya tidak pernah membuat atau mengaku berbuat demikian.

    “Saya ingin merekodkan bahawa saya tidak mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu. Yang Arif, saya telah bersumpah dan saya berikrar bercakap benar di sini di mana saya memang tidak melakukan apa-apa jenayah seperti mana pertuduhan-pertuduhan tersebut. Ini adalah fitnah-fitnah terhadap saya,” katanya.

    Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada hari pertama prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Rosmah berkata, beliau juga menafikan meminta RM187.5 juta kepada Saidi semasa disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak pernah dengar atau tahu berkenaan jumlah wang itu daripada Rizal, Saidi dan Rayyan.

    “Tindakan Rizal mengaitkan saya di sini adalah bertujuan untuk mencemarkan nama baik dan kredibiliti saya sebagai isteri mantan perdana menteri, melalui inter alia ‘deal’ yang dibuat olehnya dengan pihak pendakwaan dengan balasan pihak pendakwaan akan menarik balik pertuduhan-pertuduhan ke atasnya dan beliau bertindak menjadi ‘crown witness’ (saksi utama) pihak pendakwaan,” kata Rosmah.

    Pada 8 Jan 2020, Rizal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada empat tuduhan meminta dan menerima suapan untuk dirinya dan Rosmah berjumlah RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak.

    Sementara itu, Rosmah yang tenang semasa memberi keterangan dari tempat duduk saksi berkata Rizal adalah Penolong Pegawai dengan Tugas-Tugas Khas secara kontrak di Jabatan Perdana Menteri dan bukan seorang pegawai khas kepada beliau.

    “Beliau (Rizal) menjalankan tugas sebagai pegawai media di Bahagian First Lady of Malaysia (F.L.O.M) Jabatan Perdana Menteri sepanjang tempoh perkhidmatannya di jabatan itu. Saya ingin tegaskan, saya tidak mempunyai pegawai khas sama sekali,” katanya.

    Rosmah berkata, Rizal bukanlah seorang pekerja yang cekap dan bertanggungjawab dalam menguruskan kerjanya kerana beliau tidak dapat menulis teks ucapan dengan baik.

    “Rizal mempunyai masalah disiplin dalam pekerjaan, di mana beliau sering kali ‘hilang’ semasa bekerja. Saya memang tidak berpuas hati dengan mutu kerjanya, kerana beliau boleh saya gambarkan seperti ‘pahat dengan penukul’, yang bermaksud perlu sentiasa dipantau dan diperiksa untuk mengelakkannya lalai daripada menyiapkan tugasannya.

    “Saya juga selalu mendengar rungutan Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod (pegawai khas F.L.O.M) dan pegawai-pegawai lain berkenaan sikap Rizal yang culas dalam pekerjaannya. Saya tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan Rizal.

    “Komunikasi antara saya dengan Rizal hanya berkenaan urusan kerja sahaja dan kebanyakannya saya akan berurusan dengan Datuk Seri Siti Azizah secara terus,” katanya.

    Sementara itu, Rosmah berkata suaminya, Najib pernah memberi peringatan kepadanya agar tidak berjumpa dengan mana-mana kontraktor dan tidak mencampuri urusan beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu.

    Rosmah berkata beliau juga tidak mahu melayan permintaan Rizal untuk berjumpa dengan Saidi dan Rayyan kerana beliau memang tidak akan membantu mana-mana kontraktor bagi mendapatkan kontrak kerajaan dan tidak akan masuk campur hal berkenaan.

    Wanita itu turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah sama sekali menyuruh Rizal berbincang mahupun berusaha mendapatkan apa-apa ‘sumbangan politik’ daripada Saidi dan Rayyan atau mana-mana individu lain selama tempoh beliau mengenali Rizal.

    Pada 18 Feb lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok. – BERNAMA