Category: Mahkamah

  • Mekanik, isteri ditahan edar dadah

    Mekanik, isteri ditahan edar dadah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEUNTUNGAN yang diperoleh seorang mekanik hasil menjual dadah sejak setahun lalu membuatkan dia mula gelap mata dan menjadikan aktiviti haram terbabit sebagai punca pendapatan tetap.

    Selain itu, dia turut didapati bersekongkol dengan isterinya untuk mengedar dadah namun aktiviti pasangan sebaya berusia 31 tahun itu terbongkar apabila polis menyerbu dan menahan mereka di sebuh rumah Kampung Bukit Rawa Sedim, Karangan, Kulim, semalam.

    Pasangan yang tidak mempunyai anak itu ditahan pukul 6.30 petang susulan daripada tangkapan dua lelaki di Kampung Ulu Dingin, Mahang pada pagi sebelum itu.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, dalam serbuan pertama seorang lelaki berusia 20-an ditahan di ladang kelapa sawit di Mahang pukul 11 pagi dan hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemui enam plastik lutsinar pelbagai saiz berisi heroin dan satu plastik lutsinar berisi syabu dalam beg kuning yang dibawanya.
     

    “Suspek tidak bekerja berusia 20-an itu didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan hasil soal siasat kita berjaya menahan seorang lagi lelaki kira-kira 30 minit kemudian di tepi jalan tidak jauh daripada situ.
     

    “Pemeriksaan lanjut mendapati beg coklat dibawa suspek kedua itu mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi heroin dan satu paket plastik lutsinar berisi syabu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, Kulim, hari ini.
     

    Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek yang juga tidak bekerja itu mempunyai lima rekod lampau bersabit kes dadah dan pernah ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
     

    “Susulan daripada penahan dua suspek terbabit membuatkan polis berjaya membongkar aktiviti pengedaran dadah dilakukan suami isteri yang ditahan ketika berada dalam bilik rumah mereka dalam serbuan pukul 6.30 petang pada hari sama dan berjaya merampas heroin serta syabu selain alat penimbang.
     

    “Ujian air kencing mendapati semua suspek lelaki positif morfin manakala wanita yang juga isteri mekanik berkenaan didapati negatif dan kita percaya mereka ini adalah rangkaian sindiket pengedaran dadah sama,” katanya.
     

    Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai mekanik itu dipercayai hanya membuat ‘wayang’ dengan berselindung sebalik pekerjaannya dan dia kemungkinan bersekongkol dengan isteri untuk mengedar dadah dan menjadikan itu sebagai sumber pendapatan utama yang lebih mendatangkan untung buat mereka.
     

    “Dadah yang dirampas dalam tiga serbuan itu dianggarkan bernilai RM24,000 dan kita turut menyita dua motosikal serta wang yang semuanya bernilai RM5, 340.
     

    “Semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengiktu Seksyen 39B ADB 1952 yang jika bersalah boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.
     

    Menurutnya, sepanjang Op Tapis Khas (tokan Jalanan) yang dilakukan sejak 17 Oktober lalu, pihaknya berjaya menahan 53 individu membabitkan pelbagai kesalahan bersabit kes dadah di daerah ini.

  • Tiga jurujual didakwa sembunyi wang RM2.8 juta

    Tiga jurujual didakwa sembunyi wang RM2.8 juta

    TIGA jurujual mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas 27 pertuduhan menyembunyikan wang berjumlah RM2.8 juta milik syarikat pelaburan tidak wujud pada Jun lalu.

    Ng Kai Sheng, 26; On Hui Lin, 34, dan Low Kheh Sheng, 24, didakwa menyembunyikan wang milik beberapa individu yang dikreditkan ke dua akaun bank yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat antara Mei hingga Jun lalu, di sebuah rumah di Pelindung Height, Kuantan.

    Mereka dituduh mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Peguam Nurul Syafiqa Syeba Atan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili semua tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan rendah kepada anak guamnya atas alasan mereka menanggung keluarga termasuk ibu bapa selain telah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan.

    Pada prosiding di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari, On yang berhadapan dengan sembilan pertuduhan dibenarkan jaminan RM18,000, manakala jaminan RM12,000 dikenakan terhadap Ng yang didakwa atas enam pertuduhan, masing-masing dengan seorang penjamin.

    Majistret Nurul Farahah Mohd Suah membenarkan jaminan terhadap On yang didakwa atas tujuh pertuduhan sebanyak RM14,000, Ng yang berhadapan empat tuduhan dijamin RM10,000 manakala Low yang dituduh dengan satu pertuduhan RM3,000, juga dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

    Sebutan semula kes pada 17 November untuk On dan Ng, manakala 25 November untuk Low.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid. – Bernama

  • Didenda RM3,000 akibat komunikasi jelik di FB

    Didenda RM3,000 akibat komunikasi jelik di FB

    SEORANG pengawal keselamatan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, kerana membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap bekas ahli lembaga penasihat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Rashpal Singh Randhay di Facebook (FB) miliknya, dua tahun lalu.

    Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Alies Abd Manan, 59, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes berkenaan, hari ini.

    Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada lima anak itu menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

    Mohd Alies didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik berkenaan menggunakan laman profil FB ‘Alies Aliesz’ dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 4 Oktober 2019.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Jalan Bukit Seputih Heights di sini pada 6 petang, 5 Oktober 2019.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Mohd Alies, namun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum atas alasan dia hanya berpendapatan RM1,300 sebulan dan perlu menanggung keluarga.

    Berdasarkan fakta kes, pada 6 Oktober 2019, Rashpal membuat laporan polis berhubung video dan kenyataan di FB yang berunsur fitnah terhadapnya selepas menerima video klip daripada kawannya mengenai seorang lelaki sedang menari dan menyerupai dirinya dalam video itu.

    Hasil siasatan mendapati video itu telah dimuat naik oleh OKS. – Bernama

  • 1MDB: Tiada siapa halang Arul Kanda hadiri prosiding PAC

    1MDB: Tiada siapa halang Arul Kanda hadiri prosiding PAC

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa tiada siapa yang menghalang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy daripada menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menjelaskan laporan audit akhir syarikat itu.

    Bekas Pengarah Jabatan Audit Negara (JAN) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, 65, berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh ketua pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Arul Kanda atas tuduhan meminda laporan audit akhir 1MDB.

    Sri Ram: Pada pengetahuan anda, adakah anda atau sesiapa menghalang Arul Kanda daripada menghadiri mesyuarat PAC untuk memberikan penjelasannya?

    Saadatul Nafisah: Tidak.

    Sri Ram: Jadi, anda tidak buat apa-apa untuk menghalangnya?

    Saadatul Nafisah; Ya.

    Bagaimanapun, beliau berkata Arul Kanda menghadiri mesyuarat pada 25 Feb, 2016, iaitu sehari selepas satu mesyuarat yang pegawai kanan kerajaan bersetuju meminda laporan asal 1MDB.

    “Beliau datang dengan laporan meminta pindaan,” kata saksi pendakwaan ketujuh itu, sambil menambah bahawa perkara yang berlaku pada 24 dan 25 Feb 2016 itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat PAC.

    Menjawab soalan lain, Saadatul Nafisah, yang menyifatkan laporan audit 1MDB sebagai laporan audit khusus, berkata laporan audit mengenai projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia 2) juga merupakan laporan khusus.

    Beliau berkata laporan audit khusus mengenai 1MDB dan projek klia2 juga dianggap bersifat siasatan.

    “Ini kerana tidak seperti audit biasa yang dibuat JAN, laporan audit khusus diminta oleh kabinet atau PAC, dan juruaudit diberi kuasa bukan sahaja mendapatkan maklumat daripada pihak diaudit tetapi juga daripada pihak lain,” tambahnya.

    Sri Ram: Anda menyifatkan ini (1MDB) sebagai audit khusus. Adakah ini kali pertama dilakukan (oleh JAN)?

    Saadatul Nafisah: Tidak. Kami telah melakukan beberapa kali sebelum ini. Terdapat permohonan daripada kabinet mengenai projek klia2.

    Beliau berkata audit mengenai projek klia2 dijalankan semasa Najib menjadi perdana menteri tetapi beliau (Najib) tidak meminta salinan laporan ataupun sebarang perubahan pada laporan itu.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelak Ahli Parlimen Pekan itu dikenakan tindakan.

    Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 29 Nov. – BERNAMA

  • Mahkamah benarkan rayuan Shafee saman fitnah terhadap Majlis Peguam

    Mahkamah benarkan rayuan Shafee saman fitnah terhadap Majlis Peguam

    MAHKAMAH Persekutuan di Putrajaya hari ini membenarkan rayuan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung saman fitnahnya terhadap Majlis Peguam dan dua lagi berhubung peranannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Dua lagi responden ialah bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri V.C. George.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli juga mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk penilaian ganti rugi terhadap Majlis Peguam selaku responden ketiga.

    Hakim Abdul Rahman ketika membacakan keputusan sebulat suara itu berkata mahkamah tidak membuat perintah yang sama terhadap Thomas dan George, kerana responden pertama dan kedua mereka bukan badan berkanun yang terikat dengan Seksyen 99(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976.

    Beliau berkata rayuan itu hanya berkaitan dengan persoalan sama ada responden bertanggungjawab dalam tort pelanggaran kewajipan statutori dan bukan untuk sebab-sebab lain tindakan, iaitu fitnah dan konspirasi untuk memfitnah.

    “Rayuan ini juga tidak berkaitan dengan pertanyaan sama ada perayu (Muhammad Shafee) telah atau tidak bersalah atas salah laku. Ia adalah perkara yang perlu ditentukan oleh Lembaga Disiplin dalam prosiding tatatertib yang sedang berjalan terhadap perayu.

    “Seksyen 99(1) LPA (Akta Profesion Undang-Undang) mensyaratkan sebarang aduan mengenai kelakuan peguam bela dan peguam cara harus dibuat secara bertulis dan dirujuk kepada Lembaga Disiplin.

    “Dengan melanggar syarat undang-undang ini, Thomas dan George telah menggerakkan Majlis Peguam di bawah Seksyen 64(6) LPA untuk mendapatkan kelulusan mengutuk perayu ‘dengan tegas’ kerana melanggar disiplin,” katanya dalam keputusan yang disampaikan secara maya melalui Zoom.

    Hakim Abdul Rahman berkata Majlis Peguam telah melakukan pelanggaran undang-undang yang lebih serius apabila menerbitkan usul itu di laman webnya dan membentangkannya untuk diselesaikan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

    “Ini bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi sangat tidak adil dan memudaratkan perayu kerana ini merupakan prasangka terhadap kesalahannya sebelum prosiding tatatertib di hadapan Lembaga Disiplin,” katanya.

    Hakim Abdul Rahman berkata untuk membenarkan ahli Majlis Peguam membuat aduan salah laku melalui usul di bawah Seksyen 64(6) LPA adalah menjadikan Seksyen 99(1) sama sekali tidak mempunyai makna, untuk itu setiap aduan mengenai tingkah laku peguam bela dan peguam cara hanya boleh dibuat kepada Majlis Peguam, dan akan diputuskan secara ringkas dari dewan tanpa perlu merujuk aduan itu kepada Lembaga Disiplin.

    “Ini bukan sesuatu yang akan dikira oleh mahkamah ini kerana ia merupakan pelanggaran undang-undang yang jelas di bawah Majlis Peguam sebagai penjaga LPA. Dalam konteks kes sekarang, badan yang diamanahkan oleh undang-undang untuk menguruskan semua perkara berhubung kelakuan peguam bela dan peguam cara adalah Lembaga Disiplin dan bukan Majlis Peguam.

    “Majlis Peguam tidak mempunyai urusan hakikat dan undang-undang untuk menangani sebarang aduan salah laku oleh peguam bela dan peguam cara, sama ada melalui usul di bawah Seksyen 64(6) atau dengan cara lain,” katanya.

    Hakim Abdul Rahman juga berkata kuasa untuk mendisiplinkan peguam bela dan peguam cara diberikan oleh Lembaga Disiplin dan kuasa ini perlu dilaksanakan oleh Lembaga berdasarkan peraturan yang relevan.

    “Majlis Peguam tahu dengan tepat apakah prosedur yang betul dalam menangani salah laku oleh ahli-ahlinya. Oleh itu ia tidak bertindak dengan baik dalam kes ini dalam membenarkan usul yang dikemukakan oleh Thomas dan George dibentangkan dan diputuskan dari Dewan, sebaliknya merujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan Lembaga,” katanya.

    Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Porres Royan dan Lambert Rasa-Ratnam, masing-masing mewakili Thomas, George dan Majlis Peguam manakala Muhammad Shafee mewakili dirinya sendiri. 

    Pada 19 Ogos 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan Muhammad Shafee merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

    Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah yang difailkan Muhammad Shafee terhadap responden. Mahkamah Rayuan pada 11 Okt 2018, menolak rayuan Muhammad Shafee dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

    Muhammad Shafee yang memfailkan saman itu pada Mac 2015, mendakwa pada 28 Februari 2015, Thomas yang disokong oleh George telah menerbitkan dan menyerahkan usul untuk dibincangkan di AGM Majlis Peguam pada 14 Mac 2015.

    Usul itu berhubung peranan Muhammad Shafee sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rayuan kes liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan, mendakwa beliau (Muhammad Shafee) telah melanggar peraturan profesion undang-undang yang melarang peguam daripada mencari publisiti untuk diri sendiri.

    Usul itu turut mendakwa Muhammad Shafee terlibat dalam jelajah di seluruh negara bagi menghina banduan dan menarik perhatian terhadap peranannya dalam sabitan ke atas Anwar.

    Pada 10 Feb 2015, Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan terhadap Anwar dalam kes liwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara, namun Anwar menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

    Dalam permohonannya, Muhammad Shafee antara lain memohon pengisytiharan bahawa usul itu mala fide kerana tujuan usul semata-mata untuk memalukan beliau dan AGM bukan forum yang sesuai untuk mendengar usul itu. – BERNAMA

  • Pengurus tapak projek didakwa rogol gadis bawah umur

    Pengurus tapak projek didakwa rogol gadis bawah umur

    SEORANG pengurus tapak projek pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas dakwaan merogol kekasihnya yang juga remaja bawah umur di sebuah rumah di Kota Bharu minggu lalu.

    Tertuduh, Syazwan Afiq Shariff, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertudhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan yang ketika kejadian berusia 14 tahun tiga hari.

    Kesalahan dilakukan di sebuah rumah pada jam 5 pagi, 15 Oktober lalu, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, Roshayati Hassan.

    Ahmad Farid bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan serius terhadap remaja bawah umur.

    Sementara itu, Roshayati memohon ikat jamin yang rendah dikenakan terhadap anak guamnya selain tertuduh berjanji tidak mengganggu mangsa sekiranya diberikan jaminan.

  • Dua anggota polis dituduh terima rasuah

    Dua anggota polis dituduh terima rasuah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini, berdepan dua pertuduhan rasuah dengan nilai keseluruhan RM500 yang didakwa dilakukan kira-kira empat tahun lalu.

    Dua individu berkenaan, Shah Erwan Kasa @ Mansor, 41, dan Andinor Zabidin, 37, yang kedua-duanya berpangkat koperal serta koperal sokongan bagaimanapun tidak mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan tersebut dibacakan di depan Hakim, Harmi Thamri Mohamad.

    Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa dengan niat bersama secara rasuah memperolehi untuk diri mereka sendiri wang tunai sebanyak RM300 daripada seorang lelaki.

    Wang suapan itu diberikan oleh lelaki tersebut sebagai dorongan agar kedua-dua anggota polis berkenaan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan bersama-sama seorang lagi wanita yang disyaki berkhalwat dalam sebuah kereta.

    Kesalahan rasuah itu didakwa dilakukan di Jalan Lagenda 3, Sungai Petani pada 26 Mei 2017, kira-kira pukul 12.30 pagi.

    Sementara itu bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua mereka didakwa dengan niat bersama telah secara rasuah memperolehi wang untuk diri mereka sendiri berjumlah RM200 daripada lelaki sama, juga untuk tujuan sama.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 9 malam hingga 9.30 malam di tepi tasik, Jalan Persiaran Perdana Height, Lot 88, dalam daerahh Kuala Muda.

    Pertuduhan bagi kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.

    Jika sabit kesalahan, dua anggota polis tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama iaitu dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

    Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen pada 22 November depan dengan kedua-dua tertuduh masing-masing dibenarkan diikat jamin berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.

  • Reman askar bunuh pesara tentera disambung seminggu

    Reman askar bunuh pesara tentera disambung seminggu

    SEORANG anggota tentera yang dipercayai membunuh pesara tentera di Taman Ngah Ibrahim, Taiping pada 10 Oktober lalu disambung reman selama tujuh hari lagi bermula esok.

    Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Mahkamah Taiping, Nurfarah Syahidah Mohd. Noh terhadap suspek, 34, sehingga 27 Oktober ini bagi membolehkan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

    Harian Metro melaporkan, suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.30 pagi tadi dengan memakai baju lokap berwarna jingga.

    Pada 14 Oktober lalu, suspek yang berkhidmat sebagai Pegawai Waran di sebuah kem tentera di Kamunting, Taiping, direman tujuh hari sehingga hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

    Reman dilaksanakan bagi membolehkan siasatan berhubung kes culik dan bunuh pesara tentera yang mayatnya dijumpai pada 13 Oktober lalu dengan sembilan kesan tikaman pada badan di kawasan terletak kira-kira 60 meter dari tepi jalan di Bukit Sumpitan, Selama.

    Seorang lagi suspek lelaki, 31, yang bekerja sendiri direman sehingga 22 Oktober ini.

    Pada 13 Oktober lalu, pesara tentera berusia 42 tahun ditemukan maut dengan sembilan kesan tikaman iaitu lima tikaman di belakang badan dan empat tikaman di bahagian hadapan.

    Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh tiga hari sebelum mayatnya dijumpai dengan punca kejadian dipercayai akibat cemburu apabila mangsa dituduh mempunyai hubungan sulit dengan isteri suspek.

    Pada 11 Oktober lalu, polis menerima laporan daripada anak saudara mangsa yang tinggal bersebelahan memaklumkan bapa saudaranya dilarikan dari kediaman di Taman Ngah Ibrahim, secara paksa oleh dua suspek bersenjatakan besi pukul 3 petang.

  • Zahid tahu penyalahgunaan dana Yayasan Akalbudi

    Zahid tahu penyalahgunaan dana Yayasan Akalbudi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, diberitahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengetahui berlaku penyalahgunaan dana Yayasan Akalbudi sejak 2014.

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, berhujah tertuduh juga mengetahui mengenai kegunaan cek Yayasan Akalbudi dan pengeluaran deposit tetap daripada akaun yayasan berkenaan.

    Katanya, terdapat bukti jelas menunjukkan tertuduh menyalahgunakan dana Yayasan Akabudi dalam akaun semasa dan tujuh akaun deposit tetap yang diamanahkan kepadanya.

    Berdasarkan semua bukti dan keterangan, pihak pendakwaan berhujah satu kes prima facie berjaya diwujudkan membabitkan semua 12 kesalahan pecah amanah terhadap tertuduh.

    “Sehubungan itu, Ahmad Zahid wajar dipanggil membela diri bagi 47 tuduhan membabitkan pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram,” katanya.

    Pada prosiding itu, pendakwaan turut menyentuh mengenai kredibiliti saksi ke-90 pendakwaan (SP90) iaitu bekas setiausaha eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang dicabar pihak pembelaan.

    Raja Rozela berkata, Mazlina adalah saksi yang dipercayai, malah tindak-tanduknya adalah konsisten sebagai tentera yang mematuhi arahan pegawai atasannya.

    “Penggunaan cop tandatangan oleh Mazlina juga mendapat kebenaran tertuduh untuk pembayaran kad kredit.

    “Sekiranya beliau bertindak sembarangan seperti dicadangkan pembelaan, beliau (Mazlina) boleh menggunakan cop itu ke atas semua 43 cek tanpa perlu menunggu tandatangan tertuduh,” katanya.

    Raja Rozela berhujah demikian pada prosiding hujahan di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

    Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

    Prosiding hujahan bersambung Rabu ini.

  • Rasuah: Mahkamah Rayuan kekal sabitan, hukuman bekas sarjan polis

    Rasuah: Mahkamah Rayuan kekal sabitan, hukuman bekas sarjan polis

    SEORANG bekas sarjan polis yang diserang angin ahmar semasa menjalani hukuman penjara setahun, gagal dalam percubaan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan menerima rasuah RM700 sebagai dorongan bagi mengubah keputusan ujian air kencing seorang lelaki.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said menolak rayuan Rijali Solah, 60, selepas memutuskan bahawa ia tidak mempunyai merit.

    “Tiada alasan untuk campur tangan berkaitan dapatan mahkamah rendah yang mensabitkan perayu. Kami mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen,” katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Ravinthran Paramaguru dan Datuk M Gunalan.

    Pada Disember 2017, Rijali yang sudah berkhidmat lebih 30 tahun dalam pasukan keselamatan itu telah dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar.

    Bagaimanapun, tertuduh dibenar menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

    Pada 22 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak rayuannya dan mengarahkan Rijali menjalani hukuman penjara.

    Ketika ditemui pemberita, peguam G Ravi Shankar berkata, anak guamnya telah membayar denda serta selesai menjalani hukuman penjara pada tahun lepas dan memfailkan rayuan itu dengan harapan akan dibayar tunggakan gaji, pencen selain wang denda dikembalikan.

    Rijal yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Yan didakwa menerima rasuah itu sebagai dorongan untuk mengubah keputusan ujian air kencing Mohd Hizzam Hussin, 38, di Restoran Kak Chaq Ikan Bakar, Kuala Muda, Kedah pada 12 Mei 2014.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya How May Ling hadir bagi pihak pendakwaan.

    Mengikut fakta kes, Rijali meminta rasuah daripada Mohd Hizzam sebagai balasan mengubah keputusan ujian air kencingnya daripada positif kepada negatif. – Bernama