Category: Mahkamah

  • Buruh tak mengaku salah rogol, liwat 3 anak berusia 9-13 tahun

    Buruh tak mengaku salah rogol, liwat 3 anak berusia 9-13 tahun

    SEORANG buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas tujuh pertuduhan merogol dan meliwat tiga anaknya dalam kejadian antara Oktober 2022 sehingga Mei tahun ini.

    Tertuduh berusia 38 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan hubungan seks dengan anaknya yang berusia 12 tahun di sebuah rumah di Batu Rakit, Kuala Nerus kira-kira jam 12 hingga 1 tengah hari pada Mac tahun lalu.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama ke atas mangsa pukul 11 pagi di lokasi dan tarikh yang sama.

    Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama ke atas mangsa antara pukul 10 hingga 11 pagi pada Disember 2022 di lokasi yang sama.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

    Tertuduh turut berdepan dakwaan merogol anaknya yang berusia 13 tahun antara pukul 2 hingga 3 petang di lokasi sama antara Oktober hingga November tahun lalu.

    Dia juga didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa antara jam 2 petang pada Mei tahun ini di lokasi yang sama.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan dikenakan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Selain itu, tertuduh berdepan dua lagi pertuduhan liwat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan terhadap seorang lagi anaknya yang berusia sembilan tahun.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 10 malam hingga 6 pagi pada Februari 2022 dan kira-kira pukul 1 tengah hari pada Mac lalu di lokasi yang sama.

    Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 12 Julai depan untuk tarikh sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Sementara itu, dalam prosiding berasingan, tertuduh berdepan pertuduhan memukul isteri berusia 30-an dengan kuali di Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah mereka di Batu Rakit, Kuala Nerus gara-gara isterinya tidak memasak sarapan.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
    Majistret Mazrinie Mahmud tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Julai depan bagi sebutan semula kes.

  • Dakwa Zainab isteri Latif : Rafizi tak bercadang mohon maaf

    Dakwa Zainab isteri Latif : Rafizi tak bercadang mohon maaf

    RAFIZI Ramli menolak kata dua diberi Zainab Mohd Salleh selepas dia membuat dakwaan wanita terbabit adalah isteri kepada bekas menteri yang dikaitkan dengan isu kapal tempur pesisir (LCS).

    Peguam Rafizi, Razlan Hadri berkata, kenyataan dibuat Menteri Ekonomi itu tidak menyasarkan Zainab sebaliknya yang menjadi isu utama ialah mengenai cara kontrak LCS yang dikatakan tidak wajar diberikan oleh kerajaan terdahulu.

    Razlan berkata walaupun diakui bahawa Zainab bukan isteri Abdul Latiff Ahmad – yang sebelum ini menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri – Rafizi tidak akan meminta maaf kepada wanita terbabit.

    Katanya penegasan itu dibuat kerana kenyataan Rafzi adalah berdasarkan kepada laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung isu LCS.

    “Kenyataan Rafizi bukan fitnah (terhadap Zainab) kerana ia tertumpu kepada prosedur kerajaan dan perolehan yang dikaitkan dengan projek (LCS)..

    “Jika dia masih mahu menyaman, saya ada arahan (daripada Rafizi) untuk menerima penyerahan kertas kausa (dokumen mahkamah untuk sebarang tuntutan mahkamah yang mungkin difailkan),” kata Razlan baru-baru ini, lapor Malaysiakini.

    Sementara itu, ketika dihubungi baru-baru ini, Peguam Zainab, Yusfarizal Yussoff, berkata beliau “serius mempertimbangkan” untuk membawa Rafizi ke mahkamah sivil atas dakwaan memfitnah.

    Peguam itu berkata pendirian semasa mereka adalah berikutan maklum balas ahli parlimen Pandan terbabit terhadap surat tuntutannya yang dikeluarkan pada 23 Mac.

    Dalam surat tersebut Rafizi yang juga timbalan presiden PKR diberi tempoh 14 hari untuk meminta maaf kepada Zainab.

    Melalui surat tuntutan itu Zainab menafikan dia adalah isteri Latiff, justeru mengeluarkan kata dua kepada Rafizi.

    Dia juga mendakwa Rafizi menerbitkan enam kenyataan berunsur fitnah antara 22 Ogos dan 1 Nov tahun lepas di blognya, serta akaun TikTok miliknya.

  • Warga emas dituduh cuba bunuh, amang seksual kanak-kanak

    Warga emas dituduh cuba bunuh, amang seksual kanak-kanak

    SEORANG warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas dua pertuduhan cubaan membunuh dan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, 26 Mei lalu.

    Tertuduh, Ashaari Othman, 71, yang juga Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan cubaan bunuh dengan niat menyebabkan kematian ke atas kanak-kanak itu dengan cara memukul menggunakan kayu bersaiz 49 sentimeter (cm) di kawasan semak bersebelahan sebuah bengkel baiki kereta yang tidak bernombor di Kampung Permatang Keriang, Penaga di sini, 26 Mei lalu.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan kanak-kanak itu kira-kira pukul 5 petang sehingga 8 malam di Eco Park Pantai Robina pada hari sama.

    Pendakwaan dibuat mengikut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Zulhazmi menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan kes.

    Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Ashaari mengaku bersalah di hadapan Majistret Rosnee Mohd. Radzuan atas pertuduhan menculik kanak-kanak itu kira-kira pukul 1 tengah hari di Taman Kuala Muda, Penaga, 26 Mei lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani dan ketika prosiding, beliau meminta tiada jaminan ditawarkan susulan bimbang tertuduh akan menimbulkan bahaya kepada mangsa kerana mangsa merupakan jiran tertuduh.

    Rosnee menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan kes.

    Pada 28 Mei lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun hilang selepas keluar bermain berhampiran kediamannya.

    Mangsa ditemui orang awam jam 6 petang tadi kira-kira 2.4 kilometer dari lokasi rumahnya dalam keadaan tidak bermaya.

    Polis kemudiannya menahan seorang warga emas dua hari kemudian bagi membantu siasatan susulan pemeriksaan doktor mengesahkan ada kesan kecederaan berunsurkan jenayah ke atas kanak-kanak berkenaan.

  • Anwar bantah permohonan Sanusi berkaitan pengampunan diraja

    Anwar bantah permohonan Sanusi berkaitan pengampunan diraja

    DATUK Seri Anwar Ibrahim membantah permohonan difailkan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya Mahkamah Tinggi menentukan persoalan undang-undang berkaitan pengampunan diraja yang diberikan kepada Perdana Menteri itu, lima tahun lepas.

    Permohonan tersebut dikemukakan berikutan saman fitnah Anwar terhadap Menteri Besar Kedah itu berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

    Menurut Anwar, permohonan Muhammad Sanusi mengenai pengampunan diraja yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadapnya (Anwar) pada 16 Mei 2018 adalah di luar bidang kuasa mahkamah.

    Presiden PKR itu berkata berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 181, memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan adalah kuasa yang tetap dan tidak terjejas.

    “Terdapat pelbagai kes di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang mendukung prinsip perundangan itu dengan memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh mengesahkan atau mevariasikan apa-apa keputusan Yang di-Pertuan Agong.

    “Ia termasuk keputusan untuk memberikan saya pengampunan, secara langsung membuktikan bahawa mahkamah tidak mempunyai apa-apa bidang kuasa untuk berbuat demikian,” katanya menerusi afidavit jawapan yang difailkan pada 25 April lepas menerusi Tetuan S.N. Nair di Mahkamah Tinggi Alor Setar, lapor BERNAMA.

    Anwar menegaskan bahawa permohonan Muhammad Sanusi adalah tidak relevan, remeh, mengaibkan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah untuk membuat keputusan ke atas perkara-perkara yang tidak boleh diputuskan.

    “Selaras pengampunan diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018, saya diampunkan secara penuh dan segala keburukan ke atas diri saya termasuk rekod-rekod mahkamah adalah diketepikan dan apa-apa kenyataan menyentuh perkara sama adalah fitnah serta boleh diambil tindakan,” kata Anwar menerusi afidavit itu.

    Pada 31 Mac lepas, Muhammad Sanusi memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk menentukan beberapa persoalan undang-undang antaranya sama ada pengampunan diraja diberikan kepada Anwar pada 16 Mei 2018 adalah satu pengampuan penuh yang boleh mengetepikan sabitan kes jenayahnya.

    Permohonan itu difailkan Muhammad Sanusi antaranya atas alasan berdasarkan rekod-rekod yang dirujuk olehnya, tidak terdapat sebarang bukti bahawa pengampunan tersebut secara efektif mengakas kesemua atau sebahagian sabitan jenayah serta memadam kesemua rekod sabitan jenayah lampau Anwar.

    Sementara itu, peguam Yusfarizal Yusoff, yang mewakili Muhammad Sanusi ketika dihubungi Bernama berkata pengurusan kes ditetapkan pada 28 Jun ini di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

    Pada 13 Dis tahun lepas, Anwar selaku plaintif menyaman Muhammad Sanusi, berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

    Anwar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

    Menurut plaintif kenyataan-kenyataan itu dibuat dengan berniat jahat bertujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov tahun lepas.

  • Lelaki kasari pemandu wanita dipenjara 7 hari

    Lelaki kasari pemandu wanita dipenjara 7 hari

    MAHKAMAH Majistret Tapah hari ini menjatuhi hukuman penjara tujuh hari ke atas seorang lelaki yang mengasari seorang pemandu wanita dalam insiden di Lata Iskandar, yang tular Isnin lepas. 

    Majistret Siti Hanum Mohmad Sah menjatuhkan hukuman itu selepas Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dan mengugut  mangsa, Amiera Atiqah Shahrizan, 24.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh, yang berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan iaitu hari ini, lapor BERNAMA.

    Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Zaim Faiz didakwa menakutkan secara jenayah terhadap mangsa dengan kata ugutan “pecah muka kau sat lagi” di Lata Iskandar Kilometer 22 Jalan Tapah-Cameron Highlands pada 5.33 petang 5 Jun lalu.

    Penyelia mesin itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa di lokasi dan masa sama.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya JS Geetha memohon hukuman setimpal dijatuhkan ke atas tertuduh kerana perbuatan tertuduh memaki hamun, mengugut dan menampar dahi mangsa adalah tidak wajar dan tidak rasional. 

    “Ia juga bagi memberi mesej kepada masyarakat di luar sana supaya jangan mengambil tindakan sewenang-wenangnya dan mengambil pengajaran daripada  kes ini,” katanya. 

    Mohamad Zaim Faiz bagaimanapun merayu hukuman paling ringan kerana mempunyai seorang anak dan isteri yang sedang sarat mengandung. 

    Mohamad Zaim Faiz memberi alasan tindakannya itu kerana terlalu marah akibat nyawanya dan keluarga terancam kerana tindakan pemanduan wanita berkenaan. 

    Siti Hanum bagaimanapun menasihatkan tertuduh supaya selepas ini berfikir sebelum bertindak. 

    “Kerana setiap tindakan bukan hanya memberi kesan kepada diri sendiri sahaja, tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat. Kes sudahpun tular, mahkamah perlu membuat keputusan sewajarnya,” katanya. 

    Mengikut fakta kes pada hari kejadian, pengadu Amiera Atiqah bersama adiknya menaiki kereta Myvi yang dalam perjalanan ke Cameron Highlands mengaku cuba memotong kereta Persona dinaiki tertuduh. 

    Namun tiba di Lata Iskandar, KM22 Jalan Tapah-Cameron Highlands tertuduh memberhentikan kereta dan datang ke arah cermin kereta pengadu dan memaki hamun mangsa dengan kata ugutan “pecah muka kau sat lagi” dan menampar dahi mangsa dengan kuat. 

    Pengadu kemudian membuat laporan polis dan dirujuk ke Hospital Tapah, hasil pemeriksaan perubatan terhadap pengadu, pengadu mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian muka. 

    Video berdurasi 59 saat tertuduh mengasari pengadu tular di media sosial pada Isnin sebelum tertuduh ditahan polis di sekitar Serdang, Selangor pada Selasa. 

  • Pengurus stor didakwa amang seksual remaja

    Pengurus stor didakwa amang seksual remaja

    PENGURUS stor didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terenggan hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap rakan wanitanya, Mei lalu.

    Harian Metro melaporkan, tertuduh, Pong Yi Ziang, 19, mengaku tidak bersalah sebelum memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Pong didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 13 tahun 11 bulan di sebuah bilik hotel di Kuala Terengganu, pada 9 pagi 21 Mei lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

    Mahkamah kemudian menetapkan 11 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Warga emas didakwa rogol anak tiri usia 11 tahun

    Warga emas didakwa rogol anak tiri usia 11 tahun

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, atas pertuduhan merogol anak tirinya.

    Tertuduh berusia 63 tahun dihadapkan di hadapan Hakim Nooriah Osman atas tuduhan merogol mangsa berusia 11 tahun di sebuah rumah di daerah ini, antara pukul 5.30 pagi hingga 6.30 pagi pada April lalu.

    Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Lelaki berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebelum mahkamah menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin, lapor Berita Harian.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Ahli perniagaan didakwa subahat palsukan dokumen RM13.8 juta

    Ahli perniagaan didakwa subahat palsukan dokumen RM13.8 juta

    SEORANG ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas 12 pertuduhan bersubahat bagi memalsukan invois dan pesanan pembelian bernilai RM13.8 juta, tiga tahun lepas.

    Ng Shih Chiow, 50, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Bagi pertuduhan pertama hingga ke-10, Shih Chiow didakwa bersubahat dengan Cheng Choon Choon iaitu pengurus syarikat Accucom Solutions PLT dan Golden Infor Services dengan memalsukan 10 invois bernilai RM8.7 juta untuk tujuan menipu.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Wisma Revenue, No 12, Jalan Udang Harimau 2, Kepong Business Park di Kuala Lumpur, antara 22 Mei 2020 hingga 8 Ogos 2022.

    Bagi pertuduhan ke-11 dan ke-12, tertuduh juga didakwa bersubahat dengan Choon Choon yang juga pengurus syarikat Omega Dynasty Sdn Bhd dengan memalsukan dua pesanan pembelian bernilai RM5.1 juta untuk tujuan menipu di lokasi sama, antara 7 April hingga 12 Mei 2022.

    Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Allan Suman Pillai mencadangkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

    Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa pasport anak guamnya berada dalam simpanan pihak SPRM untuk siasatan lanjut.

    Beliau turut memohon wang jaminan dijelaskan sehingga esok atas alasan anak guamnya menghadapi masalah dengan pihak bank kerana akaun dibekukan ketika siasatan selain memaklumkan isteri serta adik tertuduh hadir di mahkamah hari ini sebagai penjamin.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melapor diri sebulan sekali di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sehingga kes selesai dan menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan semula kes.

  • Pekebun dipenjara 5 tahun, 3 sebat kerana samun wanita

    Pekebun dipenjara 5 tahun, 3 sebat kerana samun wanita

    PEKEBUN sayur dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kangar hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak dan mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita.

    Hakim Musyiri Peet menjatuhkan hukuman itu terhadap Som Phong Chem, 26, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada wanita berumur 22 tahun itu, berhampiran Pam Air Kampung Kok Klang, Jalan Felda Chuping, Arau pada 5.30 petang 4 Jun lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong memohon hukuman berat dan sebatan terhadap tertuduh agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

    Som yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Ahmad memohon hukuman ringan kerana tertuduh telah mengaku bersalah dan dia juga menjaga ibu yang kurang sihat.

  • Dera budak lelaki: Suami isteri didakwa semula di mahkamah

    Dera budak lelaki: Suami isteri didakwa semula di mahkamah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PASANGAN suami isteri yang dibebaskan tanpa dilepaskan semalam atas pertuduhan pindaan berkait kes penderaan kanak-kanak lelaki, April lalu, didakwa tuduhan baharu hari ini.

    Kedua-duanya dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan baharu kerana kecuaian yang menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak berkenaan.

    S. Nagendran dan A. Sangeetha yang sedang mengandung tiga bulan, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim VM Mabel Sheela.

    Pasangan berusia 23 tahun itu didakwa dengan mencapai niat bersama bertindak secara cuai yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal kepada anak mereka berusia 4 tahun.

    Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di Skudai Villa Apartment, Skudai Johor Bahru, pukul 12.30 pagi, 28 April lalu.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen sama, dibaca bersama seksyen 34.

    Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda RM50,000, atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang dengan penjamin.

    Suami isteri terbabit turut diarahkan untuk melaporkan diri sebulan sekali di Balai Polis terdekat.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya manakala mereka tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 9 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

    Terdahulu pada 3 Mei, mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pertuduhan mencapai niat bersama menganiayai kanak-kanak yang berada di bawah pemeliharaan mereka itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

    Bagaimanapun semalam, mereka dilepaskan tanpa dibebaskan apabila pihak pendakwaan gagal mempertahankan pertuduhan pindaan selepas pasangan itu menukar pengakuan kepada mengaku tidak bersalah.