Category: Mahkamah

  • Peguam sakit gout, bicara Zahid hanya berlangsung 30 minit

    Peguam sakit gout, bicara Zahid hanya berlangsung 30 minit

    PERBICARAAN kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini hanya berlangsung kira-kira 30 minit berikutan peguam yang mewakilinya mengalami sakit gout.

    Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan kepada mahkamah bahawa pergelangan kakinya bengkak disebabkan gout, namun beliau bersedia untuk menyambung hujahan hari ini.

    “Saya tidak menyangka akan diserang (mendapat) gout, saya mengalami sakit yang amat sangat dan saya ada temu janji dengan doktor pada 1.30 tengah hari,” katanya.

    Beliau berkata demikian sebelum berhujah dalam perbicaraan di akhir kes pendakwaan Ahmad Zahid, yang berdepan 47 pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan Hamidi untuk memulakan hujahannya dan meminta peguam itu memaklumkan kepada mahkamah jika beliau berasa tidak selesa dan sakit.

    Selepas berhujah kira-kira 20 minit dalam keadaan berdiri, Hamidi kemudian meminta untuk duduk dan berehat kerana sakit yang dialaminya.

    Namun, ketika sesi penghujahan bersambung, peguam itu memohon prosiding ditangguhkan kerana beliau tidak mampu untuk menahan kesakitan walaupun Hakim Sequerah membenarkannya duduk ketika berhujah.

    “Saya rasa tidak mampu meneruskan hujahan pada peringkat ini. Saya mohon untuk menangguhkan kes hari ini kerana ketika ini saya sakit,” kata peguam itu.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran tidak membantah permohonan pembelaan untuk mendapatkan rawatan.

    Hakim Sequerah kemudian membenarkan permohonan Hamidi dan menetapkan perbicaraan bersambung Rabu ini.

    Terdahulu, Hamidi dalam hujahannya berkata Ahmad Zahid tidak boleh dituduh melakukan pecah amanah kerana jutaan ringgit yang telah dikeluarkan daripada YAB sebenarnya telah dimasukkan ke dalam akaun pelanggan firma guaman.

    “Wang itu masih menjadi milik YAB dan tidak dipindahkan kepada pihak ketiga yang lain,” katanya.

    Hamidi juga berkata Ahmad Zahid tidak mempunyai pengetahuan mengenai pengeluaran jumlah cek daripada dana YAB kerana bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly mempunyai kawalan dan penguasaan terhadap cek-cek itu.

    “Beliau (Mazlina) menggunakan cap tandatangan untuk mengeluarkan cek. Kami mendapati dia cuai, dia tidak tahu bagaimana cek dan kad kredit berfungsi.

    “Kami menegaskan bahawa tiada siapa yang menggunakan cap tandatangan untuk cek dan hanya digunakan untuk kad Hari Raya,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit wang milik YAB. – BERNAMA

  • 4 kakitangan RELA didakwa buat tuntutan palsu RM59,520

    4 kakitangan RELA didakwa buat tuntutan palsu RM59,520

    Oleh RIZQI ZABIDI

    EMPAT kakitangan tetap Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini bagi berdepan pertuduhan membuat tuntutan palsu elaun penugasan rondaan keselamatan berjumlah RM59,520, dua tahun lalu.

    Kesemua tertuduh iaitu Mohd. Khairul Anuar Maliki, 32; Idrus Zakaria, 47; Siti Munirah Abdul Rahim, 35; dan Sahrol Miza Samad, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

    Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat tertuduh secara bersama telah menggunakan dokumen tuntutan dengan niat hendak memperdaya prinsipal mereka iaitu RELA negeri Kedah.

    Dokumen tersebut didakwa mengandungi butiran matan palsu berkenaan bayaran berjumlah RM59,520 berkaitan perakuan tertuduh, kononnya terdapat anggota RELA menjalankan penugasan rondaan keselamatan sempena Bulan Kemerdekaan 2019 Daerah Kulim.

    Seorang daripada tertuduh diiring Pegawai SPRM untuk membayar wang jaminan di Mahkamah Alor Setar, hari ini.

    Penugasan itu bagaimanapun didakwa tidak dilaksanakan seperti dinyatakan dalam tuntutan tersebut.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 10 September 2019 di Pejabat RELA negeri Kedah, Aras 4, Fasa 2B, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Bandar Muadzam Shah, dekat Alor Setar.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.

    Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 27 Disember depan.

  • Jurujual, bekas kekasih terlepas hukuman gantung

    Jurujual, bekas kekasih terlepas hukuman gantung

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG jurujual telefon bimbit dan bekas kekasihnya terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskan mereka atas lima pertuduhan mengedar dan memiliki dadah pada 2017.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan tersebut selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap Goo Woei Tye, 33, dan Yang Wendy, 25, pada akhir pendakwaan kes terhadap bekas pasangan kekasih itu.

    Woei Tye menghadapi satu pertuduhan memiliki dadah jenis 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) atau ekstasi seberat 2.78 gram.

    Kedua-dua tertuduh juga secara bersama-sama menghadapi tiga pertuduhan mengedar dadah jenis 3,4 MDMA seberat 91.22 gram dan 71.33 gram serta ketamin seberat 14.89 gram.

    Selain itu, kedua-duanya secara bersama-sama turut didakwa memiliki dadah jenis 3,4 MDMA seberat 40.14 gram.

    Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah pangsapuri di Jalan Dato’ Abdullah Tahir, di sini jam 6.45 petang pada 12 November 2017.

    Bagi pertuduhan mengedar dadah, mereka didakwa dibawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala bagi pertuduhan memiliki didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta yang sama.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noor Hadi manakala kedua-dua tertuduh diwakili Mohd. Daud Ismail dan R.K. Menon.

  • Dijel enam tahun guna wang palsu

    Dijel enam tahun guna wang palsu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG pekerja binaan dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kluang, hari ini kerana menggunakan wang palsu untuk berbelanja, dua minggu lalu.

    Hakim Mujib Saroji menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Lim Lai Kok, 53, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan wang kertas RM100 untuk membeli sebuah beg kulit berharga RM30 di sebuah kedai kasut di Taman Sri Tengah di Kluang pada 3.30 petang, 7 November lalu.

    Pemilik kedai yang menyedari wang RM100 diberi adalah wang palsu kemudian bertindak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan pemeriksaan lanjut mendapati tertuduh turut memiliki satu lagi RM100.

    Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan wang palsu RM100 untuk membeli dakwat mesin pencetak di Jalan Lambak, Kluang pada 1.24 petang hari yang sama.

    Untuk kedua-dua pertuduhan terbabit, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun jika disabit kesalahan.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Farah Nabihah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Dalam rayuannya, Lim berkata, dia terpaksa melakukan perbuatan tersebut kerana terdesak akibat ketiadaan wang untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya selain keadaan kesihatan yang tidak baik.

    Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dihukum tiga tahun penjara di atas setiap pertuduhan dan hukuman berjalan dari tarikh dia ditangkap.

  • Anggota tentera cabul wanita di kedai vape dituduh

    Anggota tentera cabul wanita di kedai vape dituduh

    SEORANG anggota tentera yang ditahan kerana disyaki mencabul kehormatan seorang pekerja wanita di sebuah kedai vape di Taman Keramat, Kuala Lumpur, 7 Oktober lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Ampang, pagi esok.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 26 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

    “Polis telah mendapat kebenaran daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa suspek dan dia akan dituduh esok,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Kuala Lumpur, hari ini.

    Pada 5 Oktober lalu, mangsa yang berusia 18 tahun telah didatangi seorang lelaki berpakaian tentera mahu membeli barangan vape di kedai itu.

    Lelaki berkenaan keluar dari kedai selepas selesai membeli barangan vape namun masuk semula ke kedai berkenaan.

    Ketika mangsa menyerahkan pod vape kepada lelaki itu, lelaki berkenaan dipercayai mengambil kesempatan memegang tangan mangsa dan kemudian turut menjilat jari mangsa. – Bernama

  • Kontraktor didakwa atas tuduhan jual darjah kebesaran negeri palsu

    Kontraktor didakwa atas tuduhan jual darjah kebesaran negeri palsu

    SEORANG kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas kesalahan menjual darjah kebesaran negeri yang tidak diiktiraf pada 2017.

    Sinar Harian melaporkan, Nik Hasyidat Nik Daut, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

    Mengikut pertuduhan pertama, Nik Hasyidat didakwa menerima suapan berjumlah RM1,000 melalui akaun bank miliknya di Bank CIMB, Jalan Tunku Ibrahim di Alor Setar pada pukul 3.37 petang, 15 Jun 2020 yang dimasukkan penama, Ahmad Nazri Ibrahim, 57, sebagai dorongan untuk mendapatkan pemberian anugerah tidak diiktiraf.

    Bagi pertuduhan kedua, pada pukul 1.39 tengah hari, 27 Julai 2020 tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM5,000 melalui akaun bank miliknya yang dimasukan penama sama sebagai dorongan untuk mendapatkan pemberian anugerah tidak diiktiraf melalui bank sama.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Khairul Azreem Mamat dan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurul Suhaila Baharin, manakala tertuduh diwakili peguam, Nazri Awang.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes manakala tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan.

  • Rasuah polis: Jurutera dan pengurus warga India didakwa di mahkamah

    Rasuah polis: Jurutera dan pengurus warga India didakwa di mahkamah

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TIGA lelaki warganegara India yang juga bekas pengurus dan jurutera cuba memberi suapan sebanyak RM2,922 kepada seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, hari ini.

    Ketiga-tiga mereka berdepan pertuduhan itu selepas memberi rasuah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang setelah ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP), September lalu.

    Tertuduh, Kansara Sanjay Bhojabhai, 42; Chavda Narendrakumar Ranjitsinh, 35 dan Patel Gaurangkumar Hasmukhbhai, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamil Arifin Ismail.

    Bagaimanapun, Ahmad Kamil mengarahkan kesemua tertuduh yang merupakan bekas pekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, dekat sini untuk melantik jurubahasa dalam bahasa ibunda mereka.

    Hakim turut memerintahkan kes disebut semula pada 22 Disember ini setelah ragu-ragu ketiga-tiga lelaki itu faham akan implikasi pengakuan yang dibuat serta hukuman yang boleh diambil terhadap mereka.

    Mengikut kertas pertuduhan, Kansara, Chavda dan Patel telah merasuah anggota polis berpangkat Lans Koperal sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang undang ke atas mereka yang berhimpun di premis dalam kawasan tempatan jangkitan bagi tujuan sosial mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Perbuatan itu dilakukan mereka pada pukul 10.16 malam di Balai Polis Sentral, Jalan Meldrum, di sini, pada 3 September yang lalu.

    Bagi perbuatan itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Raya, Ikhwan Ihsan Jalaludin, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, K. Bharathi.

    Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 seorang dengan dua penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh selain mengarahkan pasport diserahkan dan melapor di Pejabat SPRM Johor Bahru pada setiap bulan.

    Ia selepas pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 dengan dua orang penjamin terhadap tertuduh serta syarat tambahan berkenaan.

    Bharathi memohon supaya anak guamnya diberikan jaminan yang minimum memandangkan mereka telah diberhentikan kerja pada 24 September lalu selain ketiga-tiga tertuduh mempunyai tanggungan isteri dan anak.

  • Najib tandatangan surat sokongan kerajaan tanggung hutang 1MDB USD3 billion

    Najib tandatangan surat sokongan kerajaan tanggung hutang 1MDB USD3 billion

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Kerajaan Malaysia akan mengambil tanggungjawab untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejumlah US$3 bilion, jika syarikat itu gagal berbuat demikian.

    Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail, 57, berkata demikian ketika merujuk kepada surat sokongan kerajaan kepada 1MDB bertarikh 14 Mac 2013 yang ditandatangani Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan ketika itu.

    Beliau berkata surat itu  menyatakan kerajaan Malaysia telah mengambil maklum bahawa anak syarikat 1MDB, iaitu 1MDB Global Investment Ltd (1MDB GIL) akan menerbitkan bon sebanyak US$3 bilion yang akan dibayar sepenuhnya pada 2023.

    “Dokumen (surat) ini menjelaskan, sekiranya peminjam 1MDB GIL tidak dapat membayar atau terdapat kekurangan dalam membayar hutang ini, syarikat 1MDB akan memberikan bantuan kewangan untuk memenuhi tanggungjawab membayar hutang itu.

    “Selain itu, sekiranya 1MDB gagal untuk membayar hutang berkenaan, maka kerajaan Malaysia akan mengambil tanggungjawab itu untuk membiayai 1MDB untuk membayar hutang ataupun secara langsung membayar hutang itu sehingga selesai.

    “Dalam erti kata lain, surat sokongan ini adalah seperti sokongan kuat dari kerajaan Malaysia untuk membayar US$3 bilion bon berserta ‘interest’ yang diwujudkan oleh 1MDB melalui 1MDB GIL,” katanya sambil menambah surat sokongan itu dikeluarkan oleh kerajaan dengan kadar yang sangat cepat.

    Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

    Ismee yang membacakan pernyataan saksi setebal 111 muka berkata, kelulusan untuk membuat ‘fundraising’ sebanyak US$3 bilion telah dicapai pada Resolusi Ahli Lembaga Pengarah (DCR) bertarikh 12 Mac 2013 manakala surat sokongan dikeluarkan pada 14 Mac 2013.

    Saksi itu berkata, hampir kesemua keputusan yang dicapai oleh 1MDB bagi menjayakan ‘fundraising’ US$3 bilion itu adalah melalui DCR dan Special Right Redeemable Preference Shareholders Resolution (SRR).

    “Sepatutnya, sesuatu keputusan yang ingin dicapai boleh dibuat sama ada melalui mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) atau melalui DCR dan SRR. Bagaimanapun sekiranya sesuatu keputusan diperlukan dengan kadar segera maka lazimnya ia akan dibuat melalui DCR dan SRR.

    “Saya mengesahkan bahawa, kuasa Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi penasihat lembaga 1MDB adalah melangkaui BOD 1MBD berdasarkan peruntukan di bawah Artikel 117 Memorandum dan Artikel (M&A) berkaitan urusan kewangan dan pelaburan syarikat yang melibatkan kepentingan negara hendaklah dibuat keputusan oleh PM (Najib),” kata Ismee.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – Bernama

  • Budak 5 tahun maut terjatuh dari tingkat 16

    Budak 5 tahun maut terjatuh dari tingkat 16

    JABATAN Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak, semalam.

    “Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, mangsa dipercayai bermain berhampiran tingkap yang tidak berjeriji sebelum terjatuh.

    “Mangsa dan adiknya yang berusia empat tahun ditinggal bersama ibu saudara mereka yang berusia 36 tahun.

    “Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil yang berada di tepi tingkap dan dipercayai terjatuh dari tingkap tersebut,” ujar Ketua JSJ Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal ketika dihubungi.

    Beliau berkata, siasatan lanjut akan dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Gombak di bawah Seksyen 31(1)(5b) Akta Kanak-kanak 2001 berkaitan kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

    Dalam pada itu, ibu saudara kanak-kanak itu Fauziah Hanum Cik Ros, 36, berkata, beliau mendapat tahu bahawa anak saudaranya itu terjatuh di koridor tingkat dua selepas dihubungi oleh ibu mangsa, yang dimaklumkan orang ramai bahawa ada kanak-kanak dikesan di tempat berkenaan.

    Menurutnya, anak saudaranya itu merupakan seorang yang aktif dan mempunyai seorang adik lelaki berusia empat tahun yang ketika kejadian turut berada di rumah.

  • Jho Low berada di sebalik tabir 1MDB – Ismee

    Jho Low berada di sebalik tabir 1MDB – Ismee

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Low Taek Jho atau Jho Low berada di sebalik tabir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana pihak pengurusan syarikat itu sentiasa menerima e-mel berkaitan pelaburan dan pembangunan yang akan dijalankan oleh 1MDB daripada ahli perniagaan dalam buruan itu.

    Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, 57, bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu atas kapasiti apa Jho Low menghantar e-mel tersebut dan tahap penglibatan beliau dalam syarikat itu.

    “Apa yang saya dan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB tahu, bahawa Jho Low mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Disebabkan hubungan baik Jho Low dan Datuk Seri Najib, BOD tidak mengabaikan langsung cadangan Jho Low, tetapi apa yang saya lihat dalam BOD, setiap perkara itu mestilah melalui arahan yang betul dan mengikut prosedur,” katanya.

    Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi setebal 111 muka surat pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

    Ismee berkata, Jho Low juga menggunakan nama Najib dalam percakapan serta cadangannya sebagai ‘bos’ atau ‘PM’ dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

    TIA adalah syarikat pelaburan strategik yang kemudian dikenali sebagai 1MDB.

    Menurut Ismee, apa yang beliau nampak ketika Jho Low berada dalam Jawatankuasa Pemandu TIA adalah lelaki itu berperanan sebagai penasihat kepada Najib.

    “Jho Low hanya dilantik secara rasmi dalam Jawatankuasa Pemandu TIA sahaja dan tiada cadangan untuk melantiknya dalam 1MDB,” katanya.

    Ismee berkata perkenalannya dengan Jho Low adalah ketika pelantikan Jawatankuasa Pemandu di Istana Terengganu pada awal tahun 2009 apabila lelaki itu memperkenalkan diri secara santai kepadanya.

    Saksi itu berkata beliau tidak mengetahui atas kapasiti apa Jho Low hadir dalam majlis berkenaan (pelantikan Jawatankuasa Pemandu) tetapi beranggapan dan berpandangan bahawa lelaki itu adalah penasihat kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

    Ismee juga memberikan contoh bahawa, Jho Low mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak Abu Dhabi dan ia dapat dilihat ketika beliau mengikuti Najib untuk lawatan rasmi ke Abu Dhabi.

    “Tujuan lawatan ini adalah untuk melihat model masjid yang akan dibina di Malaysia atas usaha sama antara syarikat Aabar dengan 1MDB. Semasa lawatan itu, sambutan dari Abu Dhabi yang diberikan kepada Najib adalah tinggi dengan pertunjukan udara tentera dan lain-lain lagi.

    “Ada satu ketika, ketika musim haji, Jho Low pernah membantu mendapatkan kuota tempatan haji sebanyak 10,000 orang bagi rakyat Malaysia,” katanya.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – BERNAMA