Category: Mahkamah

  • Rosmah mohon pasport sementara ke Singapura

    Rosmah mohon pasport sementara ke Singapura

    DATIN Seri Rosmah Mansor sekali lagi memohon Mahkamah Rayuan untuk pelepasan sementara pasportnya agar dia boleh ke Singapura untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa Najib.

    Peguamnya Datuk Akberdin Abdul Kader baru-baru ini mengesahkan dengan Malaysiakini berhubung pemfailan permohonan itu pada 2 Jun lalu.

    Pada masa ini, pasport Rosmah ditahan mahkamah sementara permohonannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kes rasuahnya berjalan.

    Pelepasan sementara pernah diberikan kepadanya pada 15 Oktober 2021 untuk Rosmah ke Singapura ketika Nooryana bersalin serta pada 21 Mac tahun ini untuk dia melawat Nooryana dan cucunya yang tidak sihat.

    Menurut permohonan terbaru ini, Rosmah memohon pelepasan semantara untuk di ke Singapura pada 6 Jun hingga 7 Julai tahun ini.

    Dalam afidavit bagi menyokong permohonan itu, Rosmah mendakwa dia ingin melawat Nooryana yang kini tinggal di republik itu bersama-sama suaminya, Daniyar Kessikbayev.

    “Atas dasar ini, saya dengan rendah diri ingin memohon kepada mahkamah suatu kebenaran untuk membenarkan pasport antarabangsa saya diambil oleh saya untuk membolehkan saya menggunakannya bagi melawat anak perempuan saya dan keluarganya di Singapura,” katanya.

    Katanya lagi, dia telah dinasihati peguamnya bahawa permohonan itu dibuat secara teratur dan pihak pendakwaan tiada sebarang bantahan berdasarkan surat-menyurat antara pendakwaan dan peguamnya yang bertarikh 26 Mei dan 1 Jun lalu.

    “Saya sedar akan natijah sekiranya saya ingkar dan/atau enggan menuruti perintah mahkamah untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan dan perbicaraan.

    “Saya sehingga hari ini tidak pernah gagal dan/atau cuai untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan dan perbicaraan tanpa sebab dan/atau alasan yang munasabah,” katanya lagi, lapor MalaysiaKini.

    Rosmah juga berjanji akan menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah, selewat-lewatnya seminggu setelah dia pulang dari Singapura nanti.

    Malaysiakini sedang menghubungi pihak pendakwaan berhubung permohonan ini.

    Permohonan ini dijangka akan didengar di Mahkamah Rayuan esok.

  • Tukang urut tak mengaku lakukan seks tanpa kebenaran

    Tukang urut tak mengaku lakukan seks tanpa kebenaran

    SEORANG tukang urut tradisional dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan melakukan hubungan seks dengan seorang gadis tanpa kebenaran, bulan lalu.

    Tertuduh, Nor Muhamad Ahmad, 57, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati melakukan perhubungan seks dengan cara memasukkan jari ke dalam kemaluan seorang gadis berusia 21 tahun tanpa kebenaran.

    Perbuatan itu dilakukan pada 30 Mei lalu lebih kurang jam 10.30 malam bertempat di ruang tamu dalam rumah di Kuala Klawang, Jelebu.

    Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

    Jika disabitkan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 30 dan sebat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

  • Bekas kontraktor mengaku tak bersalah kemuka dokumen palsu mesin perah susu

    Bekas kontraktor mengaku tak bersalah kemuka dokumen palsu mesin perah susu

    SEORANG bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tujuh pertuduhan mengemukakan pesanan penghantaran dan invois mengandungi pernyataan palsu berhubung pembekalan mesin pemerah susu serta lembu bernilai RM3.7 juta.

    A. Dominic Antoni, 52, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa mengemukakan dua pesanan penghantaran yang mengandungi pernyataan palsu kepada penolong pegawai veterinar membabitkan pembekalan bekas pemerah susu dan mesin penyejuk susu lembu bernilai RM1.55 juta sedangkan ia tidak pernah dibekalkan.

    Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, dia didakwa mengemukakan pesanan penghantaran dan invois yang mengandungi pernyataan palsu berhubung pembekalan 441 lembu yang mana 171 lembu daripadanya bernilai RM1.96 juta tidak pernah disediakan.

    Pertuduhan ketujuh pula, tertuduh didakwa mengemukakan pesanan penghantaran yang mengandungi pernyataan palsu berhubung pembekalan tempat memerah susu bernilai RM350,000 padahal ia tidak dibekalkan.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia di Wisma Tani, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, antara 16 April 2015 dan 5 September 2017.

    Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(2) akta sama, membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat sementara tertuduh diwakili peguam, Karthigesan Shanmugam.

    Semasa prosiding, Irwan Shah mencadangkan, tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kedah sekali sebulan.

    Bagaimanapun, Karthigesan yang merayu agar kadar itu dikurangkan kerana Dominic tidak mempunyai pekerjaan tetap dan melakukan kerja rencam.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin diikat jamin sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu melapor diri di ibu pejabat SPRM Sungai Petani, setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • ‘Kantoi’ kahwin lain, warga emas didakwa pukul isteri pertama

    ‘Kantoi’ kahwin lain, warga emas didakwa pukul isteri pertama

    SEORANG akauntan warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan memukul isteri selepas rahsia berpoligami diketahui mangsa.

    Norazlan Md. Ali, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap isterinya, Zaharah Mustapa, 58, dalam sebuah kenderaan jenis BMW XI di kawasan lampu isyarat Bukit Katil di Melaka kira-kira pukul 5.30 petang pada 25 Mac lalu.

    Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa mendapat tahu dirinya telah dimadukan dan berlaku ‘perang mulut’ antara mangsa dan tertuduh sebelum tertuduh didakwa memukul mangsa.

    Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan dia yang tidak lagi tinggal bersama mangsa dan perlu menanggung keluarganya termasuk enam anak.

    Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan 20 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Gelandangan marah tak dipanggil ‘baby’ kena denda RM300

    Gelandangan marah tak dipanggil ‘baby’ kena denda RM300

    SEORANG gelandangan didenda sebanyak RM300 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini kerana mengamuk di sebuah kedai makan di Subang Jaya, awal bulan lalu.

    Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Asri Abdullah, 50, mengaku bersalah.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Darlis Nasi Dagang di Putra Heights, Subang Jaya sekitar jam 9 pagi pada 4 Jun lalu.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman manakala tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.

    UtusanTV sebelum ini melaporkan seorang pelanggan mengamuk selepas permintaan untuk memanggil dirinya abang atau ‘baby’ tidak dilayan pekerja sebuah kedai makan.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki itu bertindak agresif dengan menjerit, memaki hamun, mengugut serta membuat kacau selepas pelayan di kedai itu tetap memanggilnya dengan gelaran pakcik.

    Suspek juga telah membaling bungkusan makanan dan minuman panas ke dalam ruang restoran lalu terkena anak pengadu berusia empat tahun.

  • Pemilik kelab komedi fail permohonan baharu semak tuduhan jenayah siber

    Pemilik kelab komedi fail permohonan baharu semak tuduhan jenayah siber

    PEMILIK bersama Crackhouse Comedy Club Rizal van Geyzel memfailkan permohonan baharu kepada Jabatan Peguam Negara untuk menyemak tiga tuduhan jenayah siber yang dihadapinya.

    Ini berhubung tindakannya memuat naik kandungan yang didakwa menyinggung perasaan dalam media sosial.

    Timbalan Pendakwa Raya Noor Aslinda Che Seman memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa pihak pendakwaan menerima surat representasi ketiga pihak pembelaan pada Rabu lepas.

    “Kami masih meneliti isi kandungan surat itu,” katanya, lapor FMT, hari ini.

    Hakim Mahkamah Sesyen Priscilla Hemamalini Nadarajan menetapkan 26 Jun untuk pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah tentang keputusannya menyemak tuduhan Rizal.

    Rizal diwakili M. Pravin selaku peguam.

  • Renjer Perhilitan mati ditembak: Mahkamah arah bayar ganti rugi RM281,807

    Renjer Perhilitan mati ditembak: Mahkamah arah bayar ganti rugi RM281,807

    MAHKAMAH Sesyen Seremban memerintahkan empat defendan termasuk kerajaan Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara(Perhilitan) membayar ganti rugi berjumlah RM281,807.20 kepada keluarga renjer yang maut selepas terkena tembakan rakan setugas dalam operasi membasmi kera dalam hutan di Kampung Durian Daun di Rembau pada 2018.

    Hakim, Datin Surita Budin membuat keputusan itu semalam berhubung tuntutan saman yang dibuat isteri mendiang Cyril Quing iaitu, Winnona Simon serta dua anak, Callista Wanda Cyril dan Calliandra Wenzel Cyril pada tahun 2020.

    Keluarga mendiang memfailkan saman terhadap empat defendan iaitu ketua operasi, Mohamad Hakim Mohamed Khairuddin, 35, Pengarah Perhilitan, Ketua Pengarah Perhilitan dan kerajaan Malaysia.

    Peguam, Ahmad Nabilimran Ahmad Halimi yang mewakili keluarga mendiang berkata, mahkamah memutuskan pihak plaintif berjaya membuktikan tuntutannya di mana defendan pertama bertanggungjawab dalam menyebabkan kematian mendiang.

    “Ini kerana, ketika operasi itu, mendiang berada di bawah jagaan dan tanggungjawab defendan untuk memastikan keselamatan dalam operasi yang melibatkan senjata api.

    “Mahkamah juga memaklumkan defendan kedua, ketiga dan keempat turut bertanggungjawab atas kecuaian defendan pertama,” katanya kepada media hari ini, lapor Sinar Harian.

    Ujarnya, mahkamah menetapkan bayaran RM165,307.20 untuk kehilangan tanggungan, RM10,000 untuk kedukaan, RM6,500 untuk kos pengebumian dan RM100,000 untuk kerosakan yang lebih teruk.

    Beliau berkata, mahkamah turut membenarkan faedah lima peratus untuk ganti rugi am dari tarikh penyampaian saman sehingga penghakiman dan 2.5 peratus untuk ganti rugi khas dari tarikh kejadian (29.8.2018) sehingga tarikh penghakiman.

    Selain itu ujar beliau, lima peratus ke atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta kos tindakan secara global sebanyak RM30,000.

    Media pada 29 Ogos 2018 melaporkan kematian Cyril Quing, 35, ketika dia bersama 16 rakan setugas terbabit dalam operasi diadakan.

    Bagaimanapun ketika operasi berkenaan, mangsa secara tiba-tiba berlari keluar hutan dan meminta bantuan rakan setugas lain kerana dia terkena tembakan di bahagian bahu kanan.

    Mangsa kemudian dibawa tiga rakannya ke Klinik Kesihatan Rembau untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.

  • Pelakon Kuza, Kunie diarah fail pembelaan terhadap saman fitnah bekas abang ipar sendiri

    Pelakon Kuza, Kunie diarah fail pembelaan terhadap saman fitnah bekas abang ipar sendiri

    PELAKON adik-beradik, Kuza dan Kunie diarahkan Mahkamah Sesyen Sivil hari ini untuk memfailkan pembelaan terhadap saman fitnah dikemukakan bekas abang ipar mereka yang juga Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar dan anak lelakinya.

    Perkara itu dimaklumkan peguam, Aizul Rohan Anuar, yang mewakili Kuza atau nama sebenarnya Tengku Sariza Tengku Mohd. Muzani dan adiknya, Tengku Sariwani atau Kunie selaku defendan pada pengurusan kes hari ini.

    “Mahkamah mengarahkan supaya pembelaan itu difailkan sebelum atau pada 5 Julai ini. Kes ditetapkan untuk pengurusan kes pada 21 Julai ini,” katanya ketika dihubungi selepas prosiding secara dalam talian di hadapan Hakim, Azian Othman.

    Sementara itu, Datuk Adnan Seman selaku peguam yang mewakili plaintif, Rizalman dan anak lelakinya, Nik Muhammad Hakimi, mengesahkan perkara itu.

    Tambahnya, mahkamah turut mengarahkan pihak plaintif untuk memfailkan afidavit balasan terhadap pembelaan yang akan difailkan defendan pada 20 Julai ini.

    Writ saman itu menamakan Kuza dan Kunie sebagai defendan pertama dan kedua, lapor Berita Harian.

    Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Rizalman yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan Nik Muhammad Hakimi mendakwa dua beradik itu (Kuza dan Kunie) mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka melalui laman sosial Instagram dan TikTok sekitar Februari lalu.

    Kenyataan yang dikatakan fitnah itu berkaitan kakak mereka, Tengku Sarina Tengku Mohd Muzani atau Kuna pada majlis perkahwinan Nik Muhammad Hakimi yang juga anak Rizalman dan Kuna, sebelum pasangan itu bercerai pada 5 Disember 2001.

    Menurut penyataan itu, plaintif kedua, Nik Muhammad Hakimi berkahwin dengan anak Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd. Zain, pada 17 Februari lalu.

    Sehari sebelum majlis persandingan, satu raptai diadakan memandangkan tetamu jemputan kehormat majlis sebenar turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

    Pada majlis raptai itu, Kuna turut dijemput untuk persiapan majlis, bagaimanapun selepas majlis raptai selesai, pihak pengantin lelaki dan perempuan dimaklumkan oleh pihak Istana Negara hanya dua wakil bagi setiap keluarga dibenarkan untuk berada di dalam bilik menunggu yang menempatkan pasangan diraja itu bagi tujuan bergambar.

    Pada majlis diadakan pada 17 hingga 19 Februari lalu, Kuna ditempatkan semeja dengan Rizalman dan isterinya yang turut menempatkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan isteri, Timbalan Menteri Pertahanan bersama isterinya dan beberapa kenamaan lain.

    Kuza dan Kunie juga hadir dan ditempatkan di meja kenamaan serta diberi layanan istimewa selaku keluarga terdekat plaintif kedua.

    Bagaimanapun, pada 26 Februari lalu, Kunie didakwa mengeluarkan kenyataan di Instagram miliknya mempertikaikan mengapa kakaknya, Kuna, tidak dibenarkan berada di bilik menunggu bersama-sama kenamaan lain dan mendakwa kejadian itu berlaku kerana pelakon itu berstatus janda.

    Kenyataan itu turut disokong oleh Kuza yang turut mengeluarkan komen berbaur fitmah di bahagian komen dan turut mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur fitnah di laman Instagram miliknya sendiri.

    Kunie juga didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah melalui video yang diterbitkan di laman Instagram miliknya dan video sama disiarkan semua di laman Instagram milik Kuza.

  • Dua-beradik, remaja bawah umur antara 11 tidak mengaku jadi ‘scammer’

    Dua-beradik, remaja bawah umur antara 11 tidak mengaku jadi ‘scammer’

    SERAMAI 11 individu termasuk dua beradik dan remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menipu tujuh individu yang membabitkan kerugian sebanyak RM45,534.74, sejak April lalu.

    Tertuduh ialah Muhammad Ikmal Rizal Hamdan, 22; dan adiknya Muhamad Haiqal Hamdan, 19; Yap Soon Lin, 23; Muhamad Faizal Abdullah, 22; Sharifah Nur Natasha Syed Mohd Hata, 21; Yap Zhen Xiang, Teong Wai Keat dan Goh Chun Rong, 19; Lee Yih Hong, 18; dan dua remaja bawah umur berusia 17 tahun.

    Kesemua tertuduh yang didakwa atas tujuh pertuduhan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nabilah Nizam, lapor Astro Awani.

    Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang dengan memperdayakan tujuh individu sehingga mangsa menyerahkan wang bernilai keseluruhan RM45,534.74.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Taman Cheng Perdana dalam daerah Melaka Tengah sejak 11 April sehingga 20 Mei lalu.

    Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 120(b)(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan hendaklah dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

    Kesemua tertuduh yang diwakili peguam Joel Chua bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan kepada setiap anak guamnya.

    Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM26,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 31 Julai depan sebagai sebutan semula kes.

  • Lelaki didakwa bunuh bekas teman wanita

    Lelaki didakwa bunuh bekas teman wanita

    SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini kerana membunuh seorang wanita di sebuah kedai di pusat beli belah dua minggu lalu.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Chung King Fung, 32, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.

    Tertuduh juga mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, lapor Sinar Harian.

    Menurut kertas pertuduhan, tertuduh antara pukul 12 tengah hari hingga 12.20 tengah hari 29 Mei lalu, bertempat di sebuah kedai di sebuah pusat beli belah di Jalan Haji Saman, Kota Kinabalu telah membunuh Nurul Ain Silien, 21.

    Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Kelvan Elson Maik dan ahli keluarga mangsa diiringi peguam pemerhati dari Hamid & Co, Nabila Norsahar manakala tertuduh diwakili peguam, Chun Teck Ming dan Jul Hamri Jumhani.

    Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 11 Julai depan selepas laporan forensik diperoleh daripada Jabatan Kimia.

    Tertuduh juga tidak dibenarkan untuk diikat jamin dan kekal berada di penjara Kapayan, Kota Kinabalu.

    Sementara itu, di luar pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu, ibu mangsa, Datuk Siti Aminah Jabarkhan mengesahkan kepada pemberita bahawa suspek dan mangsa iaitu anaknya tidak mempunyai hubungan sebagai tunang.

    “Mereka bukan bertunang, secara rasminya tiada. Mereka kenal kurang daripada setahun,” katanya.

    Warta Rakyat pada 30 Mei lalu melaporkan seorang wanita dibunuh dengan lapan tikaman selepas suspek cemburu dan tidak berpuas hati kerana pertunangan mereka diputuskan.