Category: Mahkamah

  • Mengaku tampar pelayan restoran, lelaki tunjal kepala wanita dihukum penjara lagi

    Mengaku tampar pelayan restoran, lelaki tunjal kepala wanita dihukum penjara lagi

    LELAKI yang dihukum penjara tujuh hari kerana mengugut dan memukul kepala seorang wanita seperti tular dalam satu video baru-baru ini, dijatuhi hukuman penjara sembilan hari lagi, hari ini.

    Keputusan dibuat Mahkamah Majistret Cameron Highlands selepas tertuduh, Mohamad Zaim Faiz Tarmizi, 29 tahun, mengaku salah terhadap dua pertuduhan menampar dua pelayan restoran.

    Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman turut mengenakan hukuman denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan, atau penjara sembilan hari jika tertuduh gagal membayar denda.

    Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak bermula tarikh tangkapan, pada Khamis,. lapor Astro Awani.

    Mengikut pertuduhan, Mohamad Zaim yang bekerja sebagai penyelia kilang di Serdang, Selangor, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua pelayan restoran, Samir Das dan V. Dennis Pillai.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran steamboat di Tanah Rata, kira-kira pukul 4.20 petang, 4 Jun lalu.

    Bagi kedua-dua tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, tertuduh sebak sambil dilihat mengesat air mata apabila merayu agar hanya dikenakan denda minima kerana isterinya akan bersalin hujung bulan ini, di samping mempunyai seorang anak kecil.

    Tertuduh juga mengakui telah insaf selepas menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan sebelum ini dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa hadapan.

    Timbalan Pendakwa Raya S. Punitha bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal bagi memberi pengajaran, selain kes tersebut tular di media sosial.

    Pada 9 Jun, Mahkamah Majistret Tapah menjatuhi hukuman penjara tujuh hari selepas tertuduh mengaku bersalah mengugut dan memukul kepala seorang pemandu wanita.

  • Sarjan Polis Marin didakwa 21 pertuduhan rasuah RM2,530

    Sarjan Polis Marin didakwa 21 pertuduhan rasuah RM2,530

    SEORANG anggota polis marin berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 21 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,530 daripada seorang individu, enam tahun lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh, Che Ani Ramli, 56, yang masih bertugas di Markas Pasukan Polis Marin, Wilayah Satu, Batu Uban, Pulau Pinang mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan ke atasnya itu yang dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu berkhidmat sebagai Koperal Polis YA3 di Gerakan Polis Marin, Batu Uban didakwa menerima suapan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Perikanan 1985.

    Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Maybank Berhad Cawangan Plaza MWE, Georgetown dan Agrobank Taman Seri Indah, Balik Pulau antara 19 Mac 2017 sehingga 21 Mei 2019.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Irwan Syafiq Nor Ridzuan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Che Ani kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana masih menanggung isteri dan tiga daripada empat anak yang masih bersekolah.

    Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport sehingga perbicaraan selesai dan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 1 Ogos depan.

  • Kontraktor perabot dilepas, dibebaskan tuduhan edar dadah

    Kontraktor perabot dilepas, dibebaskan tuduhan edar dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG kontraktor perabot dan renovasi dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini daripada hukuman gantung atas tiga pertuduhan mengedar dadah pelbagai jenis, lima tahun lalu.

    Wong Shee Kay, 53, dibebaskan dan dilepaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

    Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar dalam penghakiman berkatm, pihkanya menimbangkan secara maksima semua keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan sepanjang perbicaraan dan menghalusi penghujahan bertulis atau lisan.

    “Pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan atau jagaan ke atas dadah yang dijumpai dalam bonet kereta nombor pendaftaran JQJ3692.

    “Fakta tertuduh dikatakan mempunyai kunci kereta belum mencukupi bagi mengaitkan pemilikan dadah dengan tertuduh tanpa keterangan yang lainnya.

    “Pendakwaan gagal memanggil pemilik kereta bagi menutup kelompangan yang ada berkaitan akses kepada kereta tersebut.

    “Mahkamah ini berpendapat memandangkan pemilikan dadah gagal dibuktikan, anggapan pengedaran dadah di bawah Seksyen 37 (da) Akta Dadah berbahaya 1952 gagal diaktifkan,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau berkata, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri.

    Mengikut ketiga-tiga kertas pertuduhan, Shee Kay didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 84.44 gram (g), Monoacetymorphines 116.1g dan Methamphetamine 1.7 kilogram.

    Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 6.30 petang dalam sebuah kereta Perodua Kembara di hadapan sebuah kedai di Jalan Permatang 8, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di Johor Bahru pada 31 Oktober 2018.

    Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.

    Seramai enam saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang prosiding kes itu berlangsung. 

    Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd. Daud Ismail dan Hang Lee Ying. 

  • Puteri Sarah reda bercerai dengan Syamsul, harap tiada lagi persengketaan

    Puteri Sarah reda bercerai dengan Syamsul, harap tiada lagi persengketaan

    PELAKON Puteri Sarah Liyana, 38, reda apabila dia kini sah sudah bercerai dengan pengarah Syamsul Yusof di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur tengah hari tadi.

    Puteri Sarah berharap hubungannya dengan Syamsul, 39, selepas ini baik dan tiada persengketaan.

    “Alhamdulillah semua selesai. Semalam kami ada berjumpa dan sudah selesaikan semuanya dari A hingga Z (perkara yang melibatkan dua pihak).

    “Harapan saya agar selepas ini tiada lagi persengketaan dan kita berbaik macam biasa. Macam kita dah berjanji,” katanya menurut Astro Awani yang memetik laporan portal hiburan Gempak, sebaik sahaja selesai prosiding pengesahan perceraian itu.

    Ditanya momen ketika bersalaman buat kali terakhir dengan Syamsul, Puteri Sarah tersenyum.

    “Biar saya seorang saja tahu,” jawabnya ringkas.

    Sementara itu, hak jagaan anak-anak sepenuhnya diberikan kepada Puteri Sarah.

    Apabila ditanya mengenai hak penjagaan anak, Puteri Sarah memberitahu meskipun diberikan sepenuhnya kepada dia, namun tetap terbuka untuk membenarkan Syamsul melawat pada bila-bila masa.

    “Hak penjagaan anak-anak dekat saya. Tapi Syamsul boleh jumpa tanpa halangan.

    “Tiada jadual untuk Syamsul untuk berjumpa dengan anak-anak. Saya rasa tak perlulah,” ujarnya.

    Terdahulu sebelum melafazkan cerai itu, Puteri Sarah dan Syamsul dilihat bersalaman dan masing-masing kelihatan tenang.

    Pada 25 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Lumpur dimaklumkan tiada ruang untuk Syamsul dan Puteri Sarah untuk berdamai dalam kemelut rumah tangga mereka.

    Ini kerana Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang telah dibentangkan di mahkamah mengesahkan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) pada pasangan itu dan kewujudan pihak ketiga.

    Dalam prosiding hari ini, Puteri Sarah diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul diwakili peguam syarie Azmi Mohd. Rais.

    Pada 24 Mac lalu, selepas proses JKP berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Kuala Lumpur, Puteri Sarah mengatakan proses itu gagal menemui jalan penyelesaian.

    Kemudian pada 18 April lalu, pasangan itu sepatutnya merekodkan persetujuan penyelesaian yang dikatakan telah dicapai dalam satu pertemuan yang mana Syamsul juga akan melafazkan talak terhadap Puteri Sarah pada hari tarikh tersebut.

    Bagaimanapun saman terhadap Ira Kazar dan pengurangan jumlah tuntutan nafkah anak antara yang menjadi penghalang kepada penceraian antara Puteri Sarah dan Syamsul.

    Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

  • Bercerai dengan Puteri Sarah: “Tiada dendam, ini ujian hidup, saya reda” – Syamsul

    Bercerai dengan Puteri Sarah: “Tiada dendam, ini ujian hidup, saya reda” – Syamsul

    PENGARAH dan pelakon, Syamsul Yusof menyifatkan perceraiannya dengan pelakon Puteri Sarah Liyana sebagai ujian dalam hidupnya.

    Dia reda dengan apa yang berlaku dengan harapan ia akan membawa kebaikan kepada kedua-dua belah pihak.

    “Saya anggap ini ujian hidup, kami pun bukan muda lagi jadi kami perlu kuat untuk menghadapinya.

    “Alhamdulillah pengakhirannya baik. Saya berharap Sarah dapat teruskan kehidupan dengan baik, begitu juga saya.

    “Kami masing-masing mendoakan satu sama lain, walaupun sudah berpisah tapi tiada dendam antara kami,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.

    Katanya, mereka memilih untuk mengambil keputusan yang tidak akan memberi implikasi negatif terhadap anak-anak.

    Dua anak pasangan itu, Shaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4, berada di bawah jagaan Puteri Sarah, namun tiada halangan untuk Syamsul datang melawat atau bertemu pada bila-bila masa.

    Sementara itu, Puteri Sarah berharap tiada lagi persengketaan dan hubungan baik dapat terus terjalin demi kebaikan anak-anak.

    “Saya berharap tiada lagi persengketaan dan kami berbaik seperti dijanjikan.

    “Sambut hari raya pun macam biasa, kami akan sambut bersama keluarga. Saya tetap berbaik dengan keluarga mentua, masih pergi ke rumah mereka dan tidur di sana,” katanya.

    Sementara itu, Puteri Sarah enggan mengulas lanjut tentang isteri Syamsul, Ira Kazar namun memberi bayangan segalanya sudah selesai.

    “Tiada komen. Mengenai kes dengan Ira, saya tak boleh dedahkan lebih lanjut,” katanya.

    Dalam pada itu, peguam Syamsul, Azmi Rais mengklasifikasikan kes pasangan itu sebagai ‘penyelesaian penuh’.

    “Saya tak boleh komen secara terperinci tetapi apa yang boleh dikatakan mereka capai penyelesaian secara baik, tiada lagi dakwa-dakwi antara kedua belah pihak.

    “Cuma sekarang kena ke Mahkamah Tinggi, ada terma yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi, untuk merekodkan berdasarkan perjanjian yang telah ditangani pada 13 Jun antara kedua-dua belah pihak,” ujarnya, lapor Astro Awani.

  • ‘Tabib Adam’ asal Singapura didakwa buat hantaran jelik

    ‘Tabib Adam’ asal Singapura didakwa buat hantaran jelik

    SEORANG pengasas perubatan Islam jarak jauh terkenal di Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan membuat hantaran jelik di YouTube mengaitkan agensi agama dengan dajal, pada pertengahan tahun lalu.

    Warga Singapura. Adam M. Isa, 65, yang dikenali ‘Tabib Adam’ mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan saluran YouTube miliknya, ‘Tabib Adam M. Isa’ secara sedar membuat hantaran yang jelik sifat menggunakan perkataan dajal dengan niat menyakiti Muhammad Abdullah, 57, yang melihat video itu di alamat MT 606, Lorong Bilal, Masjid Tanah, Alor Gajah.

    Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin dan N. Sivashangari tidak menawarkan sebarang jaminan namun sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminan, pihaknya mencadangkan jaminan RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

    Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

    Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Mohd. Tajuddin Abdul Razak merayu jaminan rendah dikenakan dengan alasan tertuduh warga emas dan mempunyai lapan orang anak termasuk dua masih bersekolah menengah.

    Malah isteri tertuduh bekerja secara dalam talian dengan pendapatan tidak tetap dan hadir dengan membawa wang jaminan RM8,000 sahaja.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 serta bersetuju dengan semua syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

    Mahkamah turut menetapkan 18 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

    Media semalam melaporkan pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan selepas pengadu iaitu pegawai hal ehwal Islam negeri ini telah membaca dan melihat video berdurasi sembilan minit 57 saat mengenai seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai tabib.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, siasatan dalam video berkenaan mendapati, tabib berkenaan mengaitkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dipergunakan dan dipengaruhi oleh orang awam untuk mengambil tindakan terhadapnya serta mengatakan dajal bekerja daripada pihak JAIM dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

    Malah media pada 29 Jun tahun lalu pernah melaporkan individu itu ditahan selepas disyaki berkhalwat dengan pekerjanya dalam sebuah rumah di Masjid Tanah.

    Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, serbuan pada pukul 11.30 malam itu dilakukan hasil maklumat awam mengenai kegiatan tidak bermoral warga emas terbabit yang turut mempunyai ribuan pengikut termasuk mempunyai saluran YouTube sendiri.

  • Warga emas didakwa bunuh dua lelaki

    Warga emas didakwa bunuh dua lelaki

    SEORANG lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan membunuh dua lelaki dalam kejadian di Jalan Song Ban Kheng di Bukit Mertajam, pada 6 Jun lalu.

    Tertuduh, Tan Chew Heng, 66, hanya menganguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

    Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama, Chew Heng didakwa membunuh Tu Soon Ee, 79, di Lot 521, Jalan Song Ban Kheng dalam Daerah Seberang Perai Selatan di Bukit Mertajam antara pukul 1.45 petang hingga 6.30 petang.

    Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa membunuh M. Murugasan, 58, di lokasi sama antara pukul 1.45 petang hingga 8 Jun 12.01 tengah malam.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik dan kimia.

    Sebelum ini media melaporkan, mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditikam dengan senjata tajam di kawasan semak berhampiran Jalan Son Ban Kheng, di Bukit Mertajam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, lelaki berusia 70-an itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam pukul 7.45 malam sebelum melaporkan penemuan itu kepada pihak polis.

    Menurutnya, bertindak atas maklumat, pihaknya telah menahan dua lelaki berusia 50-an dan 60-an yang disyaki terlibat dengan kes berkenaan.

  • Amang seksual kanak-kanak lapan tahun lelaki dipenjara 7 tahun, sebat

    Amang seksual kanak-kanak lapan tahun lelaki dipenjara 7 tahun, sebat

    SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Tawau hari ini, atas kesalahan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, dalam sebuah kereta, Oktober lalu.

    Hakim Rosli Ahmad, membuat keputusan itu selepas tertuduh Jumaidi Abdillah Adi Basar, 40, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia lapan tahun dalam sebuah kereta di tepi jalan, belakang sebuah bangunan restoran makanan segera, di Tawau kira-kira pukul 8.30 malam, 20 Oktober lalu.

    Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau didenda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Suhaimi Suriana, manakala tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh pada hari kejadian dilihat menghampiri mangsa yang ketika itu berada di tepi jalan sebuah kedai runcit sebelum menarik mangsa masuk ke dalam kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna putih yang dipandunya.

    Tertuduh kemudiannya membawa mangsa menuju kawasan belakang bangunan sebuah restoran makanan segera dan melakukan amang seksual terhadap mangsa sebelum meninggalkan mangsa dalam keadaan lemah di kawasan itu, lapor BH.

    Mangsa yang ditemukan oleh orang awam dibawa ke hospital dan hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati empat kesan koyakan baharu pada selaput dara mangsa.

    Hukuman penjara ke atas tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 22 Oktober 2022

  • Syamsul ceraikan Puteri Sarah dengan talak satu

    Syamsul ceraikan Puteri Sarah dengan talak satu

    PELAKON dan pengarah sensasi, Syamsul Yusof dan isteri yang juga pelakon, Puteri Sarah, sah bercerai dengan talak satu.

    Talak itu dilafaz di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan tepat jam 12.23 tengah hari di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas.

    Lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Hakim Syarie, Akmalluddin Ilyas selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

    Akmallluddin kemudian mensabitkan berlaku perceraian dan memerintahkan Puteri Sarah menjalani tempoh edah selama tiga bulan dan mendaftarkan perceraian mereka.

    Terdahulu, sebelum melafazkan cerai, Syamsul dan Puteri Sarah dilihat bersalaman dan masing-masing kelihatan tenang, lapor Berita Harian.

    Pada 25 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah, di Kuala Lumpur, dimaklumkan tiada ruang untuk Syamsul dan Puteri Sarah berdamai dalam kemelut rumah tangga yang dihadapi sejak empat tahun lalu.

    Ini kerana Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dibentangkan di mahkamah mengesahkan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) dan kewujudan pihak ketiga.

    Dalam prosiding hari ini, Puteri Sarah diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul diwakili peguam syarie, Azmi Mohd. Rais.

    Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

  • Trump mengaku tak bersalah 37 pertuduhan dokumen sulit kerajaan

    Trump mengaku tak bersalah 37 pertuduhan dokumen sulit kerajaan

    BEKAS presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengaku tidak bersalah pada Selasa atas 37 pertuduhan yang difailkan oleh pendakwa raya persekutuan berkaitan dakwaan dia menyimpan dokumen sulit kerajaan selepas penggal pentadbirannya berakhir.

    Trump membuat pengakuan itu seperti yang dijangka semasa perbicaraannya di mahkamah persekutuan di Miami, Florida, menurut beberapa laporan.

    Dia dijadual menyampaikan ucapan umum pada malam Selasa dari kelab golfnya di Bedminster, New Jersey, menurut Agensi Anadolu.

    Trump dilihat duduk sambil menyilangkan tangannya sepanjang perbicaraan dan tidak bercakap melainkan berbisik kepada Todd Blanche, seorang peguam yang mewakilinya, menurut akhbar The Washington Post.

    Hakim Daerah AS Jonathan Goodman memaklumkan Trump bahawa dia akan mengarahkan bekas presiden agar tidak berinteraksi dengan mana-mana saksi kes atau defendan bersamanya Walt Nauta.

    Dalam pada itu, kekecohan tercetus semasa Trump meninggalkan kamar mahkamah, dengan penunjuk perasaan — kedua-duanya penyokong dan penentang — bergegas ke hadapan konvoi bekas presiden itu.

    Dia didakwa atas 34 pertuduhan memalsukan rekod perniagaan, kata peguam daerah Manhattan pada petang Selasa, lapor Xinhua.

    Trump menjadi bekas presiden pertama AS yang didakwa dengan kesalahan jenayah selepas didakwa di sebuah mahkamah Florida minggu lalu. Dia berdepan pertuduhan di negeri berasingan berkaitan urusan perniagaannya di New York.

    Sebanyak 37 pertuduhan dihadapi Trump itu termasuk 31 pertuduhan sengaja menyimpan maklumat pertahanan negara, kebanyakannya berhubung kait dengan dokumen yang dirampas FBI semasa mengeledah kediaman di estet Mar-a-Lago miliknya pada 8 Ogos tahun lalu.

    Sejumlah 11 lagi pertuduhan berkaitan dengan dokumen yang diserahkan kepada penyiasat FBI oleh peguam Trump pada Jun.

    Sementara itu, Trump mengulangi dakwaan bahawa pertuduhan ke atasnya bermotifkan politik bagi menjejaskan reputasinya.