Category: Mahkamah

  • Bekas calon PRK Port Dickson didakwa bunuh suami

    Bekas calon PRK Port Dickson didakwa bunuh suami

    SEORANG suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Seremban, Negeri Sembilan hari ini  atas pertuduhan membunuh suaminya yang ditemukan maut di dapur rumah mereka selepas dipercayai ditikam pada 23 Januari lepas.

    Lau Seck Yan, 55,  yang merupakan bekas calon bebas Pilihan Raya Kecil Port Dickson 2018, didakwa membunuh Poh Seng Hiap, bekas akauntan syarikat swasta di rumah berkenaan di Jalan TK 6/2 Rasa Kemayan Golf & Country Township, Seremban, antara 3.30 petang hingga 4.30 petang.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    “Saya tidak sanggup didakwa di bawah seksyen tersebut, kebenaran bukan begitu…tidak harus dituduh di bawah akta tersebut,” kata Lau.

    Norzaliza memberitahu tertuduh bahawa dia perlu berbincang dengan peguam yang dilantik sekiranya terdapat perkara yang ingin dimaklumkan kepada mahkamah.

    Peguam Ng Kian Nam yang mewakili Lau memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin dan turut memaklumkan kes itu berkaitan hal keluarga. 

    Beliau juga memohon supaya anak guamnya dirujuk ke hospital untuk menjalani rawatan psikiatri.

    Mahkamah tidak membenarkan wanita itu dilepaskan dengan ikat jamin dan turut menolak permohonan peguam untuk merujuk tertuduh ke hospital atas alasan tiada keperluan untuk berbuat demikian pada waktu ini serta  menetapkan 25 Februari untuk sebutan semula kes.

    Terdahulu, pekarangan mahkamah kecoh dengan jeritan tertuduh ke arah wartawan ketika dia diiringi anggota polis pada 9.30 pagi.

    Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemukan maut di dapur rumah mereka selepas dipercayai ditikam dua kali di bahagian dada dan pinggang menggunakan senjata tajam oleh isterinya.

    Pasangan itu mempunyai empat anak dan ketika kejadian anak ketiga dan keempat merupakan saksi kejadian. – Bernama

  • Shafee berniat lengah tuntutan saman cukai pendapatan RM9.41 juta – LHDN

    Shafee berniat lengah tuntutan saman cukai pendapatan RM9.41 juta – LHDN

    LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menggantung prosiding kes saman berhubung tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta, atas alasan peguam itu sememangnya berniat untuk melengah-lengahkan tuntutan saman berkenaan.

    Perkara itu dinyatakan di dalam afidavit jawapan yang diikrarkan oleh Ketua Penolong Pengarah di Unit Kawalan, LHDN Shamsul Effendi Khamis, yang diperoleh pihak media menerusi carian sistem mahkamah.

    LHDN yang memfailkan afidavit itu pada 26 Jan lepas bagi pihak kerajaan Malaysia selaku plaintif mendakwa Muhammad Shafee juga telah menyalahgunakan proses mahkamah.

    “Sekiranya perkara ini berlaku (penggantungan prosiding dibenarkan) hak plaintif dan rakyat Malaysia akan dinafikan serta diprejudiskan secara serius.

    “Ini adalah kerana kerajaan memerlukan hasil yang secukupnya untuk pembangunan dan kelancaran pentadbiran negara selain untuk menjaga kebajikan rakyat serta menangani impak pandemik COVID-19 yang menyebabkan krisis kesihatan dan ketidaktentuan ekonomi kepada negara,” menurut Shamsul Effendi dalam afidavit berkenaan.

    Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Noordura Mohamed Din secara dalam talian pada 16 Feb ini.

    Pada 3 Nov tahun lepas, Muhammad Shafee memfailkan permohonan untuk menggantung prosiding kes saman itu sementara menunggu pelupusan rayuannya di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Malaysia, antara lain atas alasan wujud keadaan istimewa untuk menggantung prosiding berkenaan.

    Peguam itu berkata permohonan itu juga difailkan sementara menunggu permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN didengar di Mahkamah Persekutuan pada 16 Feb ini.

    Pada 27 Sept 2021, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus iaitu mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan. Permohonan itu masih belum didengar mahkamah.

    LHDN memfailkan saman itu pada 6 Mei 2021 mendakwa sehingga kini, peguam tersebut masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.

    Muhammad Shafee yang merupakan peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN. – BERNAMA

  • Pekerja khidmat pelanggan didakwa hantar bahan lucah di Twitter

    Pekerja khidmat pelanggan didakwa hantar bahan lucah di Twitter

    SEORANG pekerja khidmat pelanggan di sebuah syarikat swasta didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, Putrajaya hari ini atas pertuduhan menghantar komunikasi lucah di laman aplikasi Twitter pada 2019.

    Tertuduh, Amisyar Ashman Zamriyazul, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.

    Noorhisham kemudian menetapkan jaminan RM1,000 terhadap Amisyar dengan seorang penjamin manakala tarikh sebutan kes ditetapkan pada 10 Februari 2022 selepas kertas pertuduhan dibacakan.

    Tertuduh membayar wang jaminan RM1,000 yang diwakili abangnya.

    Sementara itu MCMC diwakili Pegawai Pendakwa, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim.

    Tertuduh sebelum ini didakwa atas kesalahan menyebar kandungan lucah pada tahun 2019.

    Ketika melakukan kesalahan itu, pengikut Twitternya berjumlah kira-kira 39,000 orang.

    OKS dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat dan memulakan penghantaran kandungan yang bersifat lucah.

    Sekiranya sabit kesalahan beliau boleh didenda RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 233 (3)akta sama 1998.

  • Bekas CFO 1MDB nafi terima rasuah daripada Goldman Sachs

    Bekas CFO 1MDB nafi terima rasuah daripada Goldman Sachs

    BEKAS Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir hari ini menafikan bahawa beliau telah menerima rasuah daripada Goldman Sachs bagi membolehkan syarikat itu mengaut keuntungan besar daripada bon US$1.75 bilion yang dikeluarkan pada Oktober 2012 oleh 1MDB Energy (Langat) Limited (1MELL).

    Azmi, 49, menafikan perkara itu semasa disoal balas oleh peguam Tania Scivetti, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu berhubung kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa kegagalannya merundingkan kadar faedah lebih rendah bagi 1MELL telah memberi manfaat kepada institusi kewangan tersebut yang membolehkan ia mengaut keuntungan besar daripada kadar faedah lebih tinggi yang dikenakan, selain turut menafikan menerima rasuah daripada Tim Leissner (bekas pengurus bank Goldman Sachs).

    Scivetti: Saya katakan kepada awak, kegagalan merundingkan kadar faedah lebih baik untuk 1MDB iaitu tugas yang diamanahkan kepada awak, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abd Rahman telah membolehkan Goldman Sachs mengaut keuntungan besar daripada 1MDB, dan sebagai balasan, Leissner serta Goldman Sachs telah memberi rasuah kepada beberapa pegawai 1MDB iaitu awak, Shahrol Azral, Mohd Hazem dan individu lain dalam pengurusan 1MDB.

    Azmi: Saya tidak setuju. Saya tidak tahu dengan yang lain tetapi saya tidak setuju.

    Shahrol Azral adalah Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dari 2009 hingga Mac 2013 manakala Mohd Hazem menyandang jawatan itu sehingga Januari 2015.

    Scivetti: Awak pasti tahu bahawa Tim Leissner telah mengaku merasuah para pegawai 1MDB?

    Azmi menjawab “Sebab itu saya katakan saya tidak tahu dengan yang lain tetapi bagi saya, saya tidak setuju.”

    Scivetti: Malah pegawai 1MDB dalam kes Leissner dan pegawai Goldman Sachs mengaku memberi rasuah itu adalah awak, Shahrol Azral dan Mohd Hazem. Azmi menjawab “Tidak, saya tidak setuju.”

    Saksi itu turut menafikan bahawa beliau telah bersubahat dengan Leissner, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low serta pegawai tinggi lain dalam 1MDB berhubung pemindahan US$790 juta (RM3.3 bilion) daripada 1MELL kepada Aabar Investments PJS Ltd.

    Azmi juga tidak bersetuju bahawa beliau dan individu terbabit telah bersubahat untuk memanipulasi dan mengelirukan Lembaga Pengarah 1MDB serta Najib, yang merupakan pemegang saham pada ketika itu, berhubung urus niaga US$790 juta itu.

    Scivetti: Awak tahu tak, 16 pekerja Goldman Sachs telah didakwa berhubung skandal 1MDB tetapi meskipun menjadi pengarah 1MELL dan menandatangani semua dokumen terbabit, awak tidak didakwa?

    Azmi: Betul.

    Scivetti: Shahrol Azral, awak dan Mohd Hazem tidak didakwa. Saya katakan kepada awak bahawa awak tidak didakwa kerana memberikan keterangan terhadap Najib.

    Azmi menjawab “Saya tidak pasti.”

    Scivetti: Saya tanya awak.

    Azmi: Saya tidak setuju.

    Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 14 Mac. – BERNAMA

  • Zizie Izette layak terima RM2.8 juta

    Zizie Izette layak terima RM2.8 juta

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini diberitahu isteri Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta memandangkan pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, berkata, bayaran wang pengenalan yang diberikan kepada Zizie Izette itu adalah strategi pemasaran pihaknya apabila wanita itu turut memperkenalkan seorang pegawai kanan Felcra untuk membuat pelaburan sama.

    “Saya menghubungi Datin Seri (Zizie Izette) mengatakan pelaburan dibuat Felcra (RM150 juta) sudah berjaya dan pada masa sama, saya mendapat komisen daripada pelaburan itu. Saya kemudian beritahu kepada Datin Seri yang saya ingin memberikannya wang pengenalan itu.

    “Saya pakar (pelaburan) dalam menceritakan kepada rakyat Malaysia mengenai kehebatan unit amanah tetapi saya tidak boleh masuk ke dalam syarikat besar yang tidak tahu mengenai apa saya buat,” katanya.

    Saksi pendakwaan ke-25 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Menyentuh mengenai komisen yang diperoleh selepas berjaya mendapatkan pelaburan (RM150 juta) itu, Norhaili berkata, beliau dan Madhi Abdul Hamid, 43, yang juga ejen (Public Mutual) masing-masing memperoleh komisen RM2.9 juta.

    “Apabila mendapat komisen itu, saya dan Madhi berbincang mengenai pengurusan komisen itu dengan mengambil kira faktor seperti pengurusan pelaburan Felcra dan kos operasi jangka panjang kerana pelaburan ini mengambil tempoh lebih tujuh tahun untuk matang dan kami juga ambil kira kos cukai untuk diuruskan dalam tempoh berkenaan,” katanya.

    Semasa disoal Law mengapa Zizie Izette perlu dibayar RM2.8 juta, saksi itu berkata, Zizie Izette layak menerima wang pengenalan itu setelah mengambil kira segala perbelanjaan kos, cukai dan faedah bulanan selagi pelaburan Felcra di bawah jagaannya.

    “Kalau saya…saya tidak nampak jumlah itu besar tetapi saya melihat penjagaan akaun Felcra untuk jangka panjang. Ia (wang pengenalan) layak untuk Datin Seri Zizie Izette.

    “Seingat saya pembayaran wang pendahuluan RM2.2 juta itu dalam bentuk cash (tunai) di Public Bank di Melawati diuruskan oleh Madhi, selebihnya RM800,000 dimasukkan semula ke dalam Public Mutual Berhad atas nama Datin Seri Zizie Izette,” kata Norhaili.

    Ditanya Law mengapa pihak Public Bank hanya membayar RM2.2 juta sedangkan RM2.8 juta sepatutnya dibayar Zizie Izette, saksi itu berkata: “Pada waktu itu Public Bank tidak mempunyai wang tunai yang mencukupi dan saya juga telah menasihatkan Datin Seri (Zizie Izette) untuk membuat pelaburan di Public Mutual Berhad.

    “Saya juga menasihatkan Datin Seri Zizie Izette untuk melabur antara RM600,000 hingga RM800,000 dan ia diuruskan oleh Madhi dan seorang lagi konsultan Public Mutual,” kata Norhaili.

    Bagaimanapun, saksi itu tidak dapat mengingati berapa jumlah cek yang telah dikeluarkan namun cek itu tertera nama Public Mutual Berhad dan nombor kad pengenalan Zizie Izette.

    Dalam prosiding itu, Norhaili berkata, tiada elemen rasuah dan permintaan rasuah daripada Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette manakala wang RM2.8 juta yang diberikan kepada pelakon itu bukan rasuah, sebaliknya adalah wang pengenalan.

    Norhaili akan menyambung keterangannya pada 14 Februari ini.

    Pada prosiding itu, peguam Datuk K. Kumaraendran mewakili Zizie Izette dan M. Athimulan bertindak bagi pihak Bung Moktar.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar, 64, yang adalah Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

    Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

    Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – Bernama

  • Sarjan polis hampir pencen berdepan 42 tuduhan rasuah

    Sarjan polis hampir pencen berdepan 42 tuduhan rasuah

    SEORANG anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas 42 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM11,600, selama dua tahun mulai 2017.

    Bagaimanapun, Abdul Ghafa Harun, 57, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang mengambil masa 30 minit untuk dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

    Dia didakwa melakukan perbuatan rasuah itu antara 2 Jan 2017 hingga 3 Dis 2019 melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank miliknya yang diketahuinya berkaitan dengan tugasnya sebagai anggota polis trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

    Bapa kepada tiga anak itu dituduh menerima suapan sebanyak RM600 daripada seorang lelaki sebanyak lapan kali, manakala bakinya didakwa diterima daripada seorang wanita dengan setiap transaksi melibatkan bayaran RM200.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nadzirah Zahari menawarkan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, mengambil kira jumlah pertuduhan dan nilai yang terlibat.

    Bagaimanapun, peguam Fakhrul Redha Paridul Adras yang mewakili Abdul Ghafa memohon jumlah itu dikurangkan atas faktor kesihatan anak guamnya yang menghidap penyakit jantung dan kencing manis.

    “Tertuduh telah berkhidmat selama 38 tahun iaitu sejak berusia 19 tahun dan mempunyai rekod cemerlang termasuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada 1999 dan 2015 selain turut menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara pada 2019 atas sumbangannya semasa situasi darurat.

    “Anak guam saya kini bertugas di Unit Pameran IPK Pahang dengan pendapatan bersih RM2,000 sebulan dan telah dimaklumkan akan digantung tugas selepas ini dengan bayaran gaji dipotong separuh,” katanya dan menambah tertuduh telah memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan.

    Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Beliau kemudiannya menetapkan 9 Mac depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • SUV terhumban ke laut, bekas pekerja salon dipenjara 3 tahun, denda RM10,000

    SUV terhumban ke laut, bekas pekerja salon dipenjara 3 tahun, denda RM10,000

    BEKAS pekerja salon, M. Vaitheswaran, 23, dihukum penjara tiga tahun dan denda RM10,000 selepas didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban dari Jambatan Pulau Pinang, tiga tahun lalu.

    Hakim Mahkamah Majistret Bukit Mertajam yang bertindak sebagai Majistret, Ahzal Fariz Ahmad membuat keputusan itu hari ini selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

    Selain itu, mahkamah turut memerintahkan lesen memandu Vaitheswaran digantung selama lima tahun.

    Terdahulu, Vaitheswaran diperintah membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

    Pada 2019, Vaitheswaran didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Moey Yun Peng selepas SUV yang dipandu mangsa di Jambatan Pulau Pinang terhumban ke dalam laut pada 20 Januari 2019.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,00 dan boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam K. Paramanathan.

    Dalam kejadian pukul 2.54 pagi itu, kereta jenis Toyota Vios yang dipandu Vaitheswaran berlanggar dengan SUV yang dipandu Yun Peng sehingga hilang kawalan dan terjunam ke laut di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai.

    Pasukan penyelamat mengambil masa lebih 24 jam dalam usaha mengeluarkan kenderaan itu dari dasar laut iaitu pukul 6.07 petang, 22 Januari 2019 dengan mayat Yun Peng yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang.

  • Saman Ambank: Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Najib

    Saman Ambank: Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Najib

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mengembalikan semula saman sivil terhadap AmBank Islamic Bhd dan dua lagi berhubung dakwaan salah urus akaun banknya.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara menolak rayuan Najib dan memerintahkan beliau membayar kos RM40,000 kepada AmBank Islamic serta AMMB Holdings Bhd dan kos RM35,000 kepada bekas pengurus perhubungan pelanggan Joanna Yu Ging Ping yang merupakan responden dalam rayuan itu.

    Hakim Yaacob yang menyampaikan keputusan mahkamah berkata, pertuduhan jenayah yang dihadapi Najib dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC) bukan disebabkan oleh AmBank Islamic, AMMB Holdings dan Yu.

    “Ia adalah soal kuasa budi bicara tunggal atau tidak terikat oleh Peguam Negara, sebagai pendakwa raya untuk memulakan sebarang prosiding pertuduhan jenayah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,” katanya.

    Beliau berkata, isu dalam saman sivil Najib dan kes jenayah SRC Internationalnya adalah hampir serupa, jika tidak sama sepenuhnya.

    Hakim Yaacob berkata, mahkamah berpendapat bahawa beliau (Najib) berusaha untuk meneruskan saman sivilnya untuk menjejaskan prosiding jenayah dan penemuan oleh Mahkamah Tinggi Jenayah dan Mahkamah Rayuan dalam kes jenayah SRC International.

    Yu adalah seorang daripada saksi pendakwaan dalam perbicaraan yang dihadapi Najib atas tujuh pertuduhan berkaitan dakwaan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

    Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mensabitkan kesalahan serta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes jenayah SRC International.

    Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Dis 2021. Najib memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman di Mahkamah Persekutuan.

    Najib juga mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 yang membatalkan samannya terhadap bank itu dan Yu, yang beliau dakwa antara lain telah melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya dengan mendedahkannya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

    Dalam keputusan mahkamah yang disampaikan secara dalam talian, Hakim Yaacob berkata, saman sivil yang difailkan Najib terhadap bank itu dan Yu bukan bertujuan untuk menuntut ganti rugi tetapi hanya ‘serangan kolateral’ terhadap apa yang telah berlaku dan diselesaikan di hadapan mahkamah jenayah dalam kes SRC International.

    Serangan kolateral bermaksud tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan dalam kes lain.

    Hakim Yaacob berkata, beliau bersetuju dengan hujahan peguam responden bahawa pentadbiran keadilan akan menjadi huru-hara jika pengisytiharan tidak bersalah atau dibebaskan daripada sebarang salah laku jenayah diperoleh daripada mahkamah sivil, yang akan menceroboh domain mahkamah jenayah.

    Beliau berkata, adalah tidak wajar isu yang sama diadili oleh mahkamah sivil dan mahkamah jenayah.

    “Perlu diambil perhatian bahawa perayu (Najib) didapati bersalah atas pertuduhan jenayah tersebut oleh Mahkamah Tinggi dan selepas rayuan oleh perayu, dapatan dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan,” katanya.

    Hakim Yaacob berkata, dalam penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes SRC International, mahkamah bersetuju dengan keputusan mahkamah Tinggi mengenai isu pengetahuan Najib berkaitan operasi akaun banknya.

    Berikutan keputusan itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah beliau akan membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

    Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar mewakili Yu, manakala peguam Yoong Sin Min dan Benjamin John Dawson bertindak bagi pihak bank. – BERNAMA

  • Penolong akauntan PPK mengaku salah seleweng RM95,205

    Penolong akauntan PPK mengaku salah seleweng RM95,205

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG penolong akauntan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah dengan menyeleweng dana PPK itu berjumlah RM95,205.

    Anuar Saat, 50, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

    Mengikut pertuduhan pertama, Anuar didakwa mulai Mei 2016 hingga Disember 2016 di CIMB Bank Berhad di Kota Tinggi melakukan pecah amanah membabitkan dana RM21,294.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mulai Februari 2017 hingga Disember 2017 di CIMB Bank Berhad di Kota Tinggi melakukan pecah amanah membabitkan dana RM46,404.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mulai Januari 2018 hingga Julai 2018 di CIMB Bank di Kota Tinggi melakukan pecah amanah membabitkan dana RM27,507.

    Semua tiga pertuduhan itu, Anuar didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun, sebatan dan boleh didenda.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala Anuar tidak diwakili peguam.

    Ahmad Kamal Arifin mencadangkan untuk tidak menjatuhkan hukuman pada hari ini, sebaliknya mencadangkan Anuar melantik peguam.

    Beliau juga mencadangkan Anuar memohon peguam Yayasan Bantuan Guaman sekiranya tidak mampu melantik peguam.

    Terdahulu, Suhaili mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dan menyerahkan pasport antarabangsa tertuduh kepada mahkamah.

    Bagaimanapun, Anuar memohon supaya jaminan dikurangkan dengan alasan dia digantung kerja dan hanya bergantung kepada pendapatan isteri yang bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM50 sehari.

    Anuar mendakwa mengalami masalah jantung bengkak dan menanggung empat cahaya mata termasuk bayi berusia tujuh bulan hingga anak sulung berusia 19 tahun.

    Anuar menyatakan hanya mampu membayar jaminan RM3,000 dan tidak mampu melantik peguam.

    Ahmad Kamal Arifin menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan 27 Februari depan sebagai tarikh sebutan kes bagi membolehkan Anuar melantik peguam bela.

  • Saya bukan jumpa Jho Low tepi jalan, beliau wakil Najib – Azmi

    Saya bukan jumpa Jho Low tepi jalan, beliau wakil Najib – Azmi

    BEKAS Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau bukan berjumpa dengan Low Taek Jho atau Jho Low di tepi jalan dan percaya ahli perniagaan itu adalah wakil Datuk Seri Najib Tun Razak dalam 1MDB.

    Azmi, 49, berkata, ini kerana Jho Low telah diperkenal kepada beliau oleh bekas Setiausaha Sulit Najib iaitu Allahyarham Datuk Azlin Alias. Azlin meninggal dunia dalam insiden helikopter terhempas pada 4 April 2015.

    Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Datuk Hariharan Tara Singh pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu dalam kes membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Hariharan: Sebagai CFO ketika itu, adakah anda tidak terfikir bahawa adalah tidak wajar bagi anda menerima arahan daripada Jho Low yang bukan merupakan sebahagian daripada syarikat (1MDB)?

    Azmi: Tidak. Semua orang percaya beliau adalah wakil sah yang mewakili Datuk Seri Najib. Saya bukan berjumpa dengan beliau di tepi jalan, beliau telah diperkenal kepada saya oleh Allahyarham Azlin.

    Saksi pendakwaan ke-12 itu juga berkata mesyuarat pada 15 Dis 2013 dengan KPMG Malaysia di kediaman Najib diadakan susulan ketidakpuasan hati KPMG terhadap penjelasan dan dokumen tidak lengkap yang diberikan berhubung pelaburan besar syarikat itu sebanyak US$2.3 bilion dalam dana tidak diketahui iaitu Bridge Global SPC, yang dibuat menerusi Brazen Sky Ltd, sebuah syarikat tujuan khas 1MDB.

    Azmi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman serta bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin turut hadir bersama dengan Jho Low dan Najib.

    Hariharan menyoal Azmi mengapa beliau tidak mengesahkan kesemua pemindahan ini ketika bertemu Najib pada mesyuarat itu dan saksi tersebut berkata berdasarkan pengalaman lalu, beliau sepatutnya berbuat demikian namun berasakan ia bukan masa yang sesuai untuk membangkitkan perkara itu.

    Kepada soalan lain, saksi itu bersetuju dengan cadangan bahawa Jho Low telah mendapat manfaat daripada pergerakan dana daripada 1MDB kepada syarikatnya iaitu Good Star Ltd.

    Azmi bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa beliau adalah sebahagian daripada rancangan Jho Low untuk menyeleweng dana 1MDB dan berkata, beliau telah melaksanakan arahan ahli perniagaan dalam buruan itu tanpa menyoalnya.

    Ahli Parlimen Pekan itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA