Category: Mahkamah

  • Pecah amanah RM6.6 bilion : Permohonan Najib, Mohd Irwan dilepas tanpa dibebas ditolak

    Pecah amanah RM6.6 bilion : Permohonan Najib, Mohd Irwan dilepas tanpa dibebas ditolak

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, untuk dilepaskan tanpa dibebaskan daripada enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion membabitkan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dihadapi mereka.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam keputusannya berkata mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan tersebut, mengambil kira faktor pihak pendakwaan telah bersedia dengan perbicaraan.

    “Tarikh perbicaraan selama 32 hari pada September 2021 sudah ditetapkan sebelum ini, namun telah dilapangkan atas permohonan pihak pendakwaan dan ia tidak dibantah oleh pihak pembelaan.

    “Permohonan untuk dilepaskan tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah hanya boleh dibenarkan jika pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes,” katanya dan menetapkan 1 hingga 4 April 2023, 8-11 April dan sepanjang Mei tahun depan sebagai tarikh perbicaraan baharu kes tersebut.

    Najib, 68, dan Mohd. Irwan, 63, memohon dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu hari ini, semasa pengurusan kes berkenaan atas alasan mereka telah dituduh sejak 2018 namun masih belum dibicarakan sehingga kini.

    Terdahulu, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib berhujah walaupun selepas didakwa empat tahun lepas, kes terhadap anak guamnya masih tergantung dan perbicaraan belum lagi bermula.

    “Pada masa sama, kami memohon beberapa dokumen daripada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah, tetapi ia masih belum dilengkapkan. Oleh itu, kami pohon satu perintah lepas tanpa bebas diberikan kepada anak guam kami,” katanya.

    Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd. Irwan berkata, pihaknya tidak meragui proses mahkamah atau pihak pendakwaan, tetapi kes yang dihadapi anak guamnya masih lagi tergantung dan disebut sebanyak 14 kali di mahkamah sejak Oktober 2018.

    “Kes ini telah tergantung kerana tiada kesesuaian tarikh bicara berikutan tertuduh pertama iaitu Datuk Seri Najib sedang dibicarakan di beberapa mahkamah berbeza, dan pihak kami mendapat makluman daripada peguam beliau, tarikh yang masih tersedia hanyalah pada tahun 2023.

    “Sekiranya Yang Arif membenarkan permohonan ini (lepas tanpa bebas), pihak pendakwaan boleh mengemukakan semula pendakwaan pada bila-bila masa,” katanya.
     
    Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi bagaimanapun membantah permohonan itu, atas alasan tidak adil bagi mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan pada peringkat ini (sebelum perbicaraan).

    Beliau berkata, pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes, di mana sudah tiga kali serahan dokumen dibuat mengikut Seksyen 51A  dan mengikut peruntukan undang-undang, mereka boleh mengemukakan dokumen tambahan jika ada sebelum perbicaraan.

    “Pendakwa raya mewakili 34 juta orang awam yang ingin melihat kes ini dibicarakan, bukan boleh dilepas tanpa dibebaskan begitu sahaja. Kami bersedia untuk membuktikan tuduhan terhadap kedua-dua tertuduh,” katanya.

    Pada 24 Oktober 2018, Najib dan Mohd. Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada IPIC.

    Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – Bernama

  • Lokman Adam nafi fitnah Khairy, hanya mahu penjelasan

    Lokman Adam nafi fitnah Khairy, hanya mahu penjelasan

    DATUK Lokman Noor Adam menafikan beliau memfitnah Khairy Jamaluddin berhubung isu vaksin COVID-19, sebaliknya meminta Menteri Kesihatan itu memberi penjelasan kepada masyarakat berkaitan perkara berkenaan kerana ia merupakan kepentingan awam.

    Lokman, 49, menerusi pernyataan pembelaan difailkan semalam (2 Mac) mendakwa beliau bukanlah seorang antivaksin dan pernyataan-pernyataan yang dikeluarkannya mempunyai justifikasi dan komen yang adil.

    “Saya menegaskan bahawa pernyataan-pernyataan yang dipersoalkan oleh plaintif (Khairy) bukanlah fitnah kerana ia hanya untuk menggesa beliau memberi penjelasan dan penerangan berkenaan isu viral yang mana terdapat rakaman video menunjukkan vaksin yang ingin diberikan kepada penerima vaksin telah tamat tempoh luput,” dakwa Lokman menerusi pernyataan pembelaan itu bagi menjawab saman yang difailkan Khairy terhadapnya.

    Lokman selaku defendan mendakwa beliau mempunyai tanggungjawab secara sosial dan moral untuk memaklumkan kepada orang ramai berkenaan isu vaksin itu bagi mengelakkan kejadian sama berlaku.

    Pada 25 Jan lepas, Khairy, 46, yang memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman telah memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di laman Facebook Lokman Noor Adam Official pada 6 Jan lepas, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan YouTube Lokman Adam pada 10 Jan.

    Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa, kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa telah diberi vaksin COVID-19 serta menerima dos ketiga selain memalsukan maklumat berkaitan status vaksinasi.

    Khairy mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integriti beliau terjejas teruk selain mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasi beliau direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

    Pada 3 Feb lepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan injunksi ex-parte oleh Khairy antaranya supaya defendan memadam kenyataan dan video bersama-sama kapsyen, tajuk dan komen dalam tempoh 24 jam serta injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula hantaran itu.

  • Percubaan kedua Rosmah mohon hakim tarik diri satu penyalahgunaan proses mahkamah

    Percubaan kedua Rosmah mohon hakim tarik diri satu penyalahgunaan proses mahkamah

    PIHAK pendakwaan dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan percubaan kedua beliau untuk memohon Hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes berkenaan adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

    Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang juga mengetuai pendakwaan dalam kes itu,  Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata memandangkan Mohamed Zaini telah menolak permohonan sama supaya beliau menarik diri daripada mendengar perbicaraan itu sebelum ini, ia hanya percubaan ulangan ke atas apa yang gagal tahun lepas.

    “Tetuan Geethan Ram memfailkan permohonan supaya hakim menarik diri itu sebelum ini dan kini permohonan sama difailkan oleh firma berbeza dan bermakna pada masa akan datang kami akan menyaksikan permohonan sama daripada firma lain. 

    “Ia merupakan penyalahgunaan proses mahkamah, Yang Arif sudah mengeluarkan keputusan ke atas permohonan sama Disember tahun lepas. Permohonan ini tidak boleh diteruskan,” kata Sri Ram.

    Ini adalah kali kedua isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan sama selepas Mohamed Zaini  yang merupakan hakim sama di dalam perbicaraan kes hibrid solar Rosmah telah menolak permohonan Rosmah supaya beliau menarik diri daripada mendengar perbicaraan itu pada 14 Dis lepas.

    Dalam keputusannya pada 14 Dis itu, Mohamed Zaini berkata berkata beliau berhati-hati untuk memastikan beliau tidak berprasangka terhadap Rosmah dalam kes pengubahan wang haram apabila merujuk kepada kenyataan dalam kes hibrid solar kerana seorang hakim perlu membuat pertimbangan secara berasingan dan bebas terhadap bukti ke atas tertuduh. 

    “Sebarang dapatan yang saya peroleh dalam kes solar kekal di sana.  Ia tanggungjawab saya yang berat atau kepada mana-mana hakim untuk memastikan tertuduh dibicarakan secara adil sebagaimana termaktub dalam Perkara 5  Perlembagaan Persekutuan, katanya.

    Sementara itu, peguam Rosmah Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata hujah pendakwaan yang menekankan permohonan ini tidak boleh dikatakan sebagai menyalahgunakan proses mahkamah kerana ia berdasarkan faktor yang berbeza.

    “Peranan Hakim Mohamed Zaini dalam beberapa kes jenayah berkaitan keluarga Rosmah termasuk Najib mungkin menyebabkan hakim itu tidak boleh menjalankan fungsi kehakimannya tanpa membuat pengadilan terlebih dahulu ke atas isu-isu, maka ini mengundang bahaya sebenar, iaitu berat sebelah kepada anak guam saya. 

    Kelemahan manusia adalah faktor penting untuk dipertimbangkan malah apabila ia menyentuh mereka yang dilatih supaya mempunyai minda adil dan bebas kerana seorang hakim tetap juga seorang manusia,” katanya.

    Firoz berkata penglibatan Mohamed Zaini dalam pelbagai kes melibatkan Rosmah mungkin mendedahkan anak guamnya kepada kesilapan mahkamah dan natijahnya mungkin mengurangkan keyakinan orang ramai ke atas badan kehakiman.

    Mohamed Zaini kemudian menetapkan 21 Mac ini untuk membuat keputusan permohonan itu.

    Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. – Bernama

  • Ibu Allahyarham Jamaludin Jarjis berjaya ketepi perintah penggantungan bersyarat

    Ibu Allahyarham Jamaludin Jarjis berjaya ketepi perintah penggantungan bersyarat

    IBU Allahyarham Tan Sri Jamaludin Mohd Jarjis hari ini berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah penggantungan bersyarat diperoleh dua cucunya yang antara lain melarang beliau mendedahkan maklumat berkaitan akaun Rantai Wawasan Sdn Bhd kepada pihak ketiga.

    Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Yaacob Md Sam sebulat suara membenarkan rayuan Aminah Abdullah, 87, untuk mengetepikan perintah penggantungan bersyarat yang diberikan Mahkamah Tinggi pada September tahun lalu kepada Nur Anis Jamaludin dan Ikwan Hafiz Jamaludin.

    Dalam penghakimannya, beliau berkata, mahkamah membuat perintah itu berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Kosma Palm Oil Mill Sdn Bhd dan lain-lain menentang Koperasi Serbausaha Makmur Bhd yang memutuskan pemohon perlu membuktikan terdapat keadaan khas sebelum penggantungan dibenarkan.

    “Kami berpandangan tiada keadaan khas mewajarkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya yang bersidang dengan Datuk Supang Lian dan Datuk Nazlan Mohd Ghazali.

    Yaacob berkata, terdapat merit dalam rayuan Aminah, justeru mahkamah membenarkannya dengan kos RM10,000 terhadap Nur Anis dan Ikwan Hafiz.

    Dalam saman difailkan pada 3 Januari 2019, Aminah mendakwa Nur Anis dan Ikwan Hafiz sebagai pentadbir bersama harta pusaka peninggalan Jamaludin, gagal memasukkan saham Rantai Wawasan, Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insight Sdn Bhd sebagai harta pusaka dalam senarai aset dalam surat kuasa mentadbir selepas Allahyarham meninggal dunia pada 4 April 2015, dan juga gagal memasukkan saham itu sebagai liabiliti sejak 6 Julai 2017.

    Penyataan tuntutan Aminah mendakwa kedua-dua defendan berbuat demikian dengan niat untuk menafikan hak dan kepentingannya sebagai waris.

    Pada 13 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Aminah mendapatkan deklarasi bahawa tiga juta saham Rantai Wawasan dimasukkan sebagai harta pusaka peninggalan arwah.

    Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Aminah untuk mengisytiharkan enam juta saham Alpine Motion dan dua juta saham Ivory Insight adalah sebahagian daripada harta pusaka anak lelakinya.

    Pada 20 September tahun lalu, Nur Anis and Ikwan Hafiz memperoleh perintah penggantungan bersyarat daripada Mahkamah Tinggi sementara menunggu pelupusan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa saham Rantai Wawasan dimasukkan sebagai sebahagian harta pusaka Jamaludin.

    Perintah penggantungan bersyarat itu antara lain melarang Aminah atau peguamnya daripada menunjukkan atau mendedahkan dan menyediakan afidavit berkaitan akaun terbabit atau mana-mana bahagian daripadanya kepada pihak ketiga serta mengehadkan afidavit berkaitan akaun terbabit kepada Aminah atau peguamnya, Tetuan Wan Merican Hamzah & Sheikh sahaja.

    Aminah turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya mendapatkan deklarasi saham dua lagi syarikat dimasukkan sebagai sebahagian daripada harta pusaka.

    Rayuan berhubung isu itu dijadualkan didengar Mahkamah Rayuan pada 14 Mac depan.

    Jamaluddin yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, terbunuh dalam tragedi helikopter terhempas pada 4 April 2015.

    Peguam Wan Zafran Pawancheek dan Pawancheek Marican mewakili Aminah pada prosiding hari ini yang berlangsung secara maya, manakala peguam S Suhendran mewakili Nur Anis serta peguam Frank Wong mewakili Ikhwan Hafiz.– Bernama

  • Akaun dibekukan: 9 individu, 3 syarikat saman CIMB

    Akaun dibekukan: 9 individu, 3 syarikat saman CIMB

    SEMBILAN individu dan tiga syarikat yang merupakan pemegang akaun CIMB Bank memfailkan saman terhadap bank itu berhubung pembekuan akaun simpanan dan akaun semasa mereka pada Januari lepas atas alasan disyaki terlibat dalam kegiatan haram serta mencurigakan melibatkan akaun-akaun tersebut.

    Kesemua plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Nazmi Zaini Chambers di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam dengan menamakan CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad selaku defendan pertama dan kedua.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif-plaintif yang merupakan pendeposit akaun simpanan dan akaun semasa yang disediakan oleh defendan-defendan itu mendakwa mereka mengetahui akaun-akaun tersebut dibekukan oleh kedua-dua defendan pada 26 Jan hingga 28 Jan 2022.

    Mereka mendakwa, setelah mengetahui hal tersebut, pada 31 Jan hingga 4 Feb 2022, mereka telah menghubungi cawangan kedua-dua defendan bagi mendapatkan penjelasan dan telah dimaklumkan bahawa mereka disyaki terlibat dalam kegiatan haram serta mencurigakan yang melibatkan akaun-akaun tersebut.

    “Plaintif-plaintif juga dimaklumkan bahawa jumlah (wang) yang dibekukan adalah sebahagian daripada transaksi terapung sementara menunggu penyelesaian transaksi tersebut dan kesemua plaintif dimaklumkan sistem perbankan atas talian defendan-defendan dalam proses penyelenggaraan teknikal,” dakwa kesemua plaintif.

    Plaintif-plaintif pada setiap masa yang material mendakwa mereka tidak pernah terlibat atau menjalankan transaksi yang membenarkan defendan-defendan untuk membekukan atau menahan akaun-akaun tersebut.

    “Tindakan defendan-defendan membeku atau menahan akaun-akaun tersebut tanpa sebarang alasan yang dibenarkan di dalam Klausa 7, Terma dan Syarat Akaun Simpanan dan Terma dan Syarat Akaun Semasa adalah suatu kemungkiran kontrak antara plaintif-plaintif dan defendan-defendan.

    “Tindakan pembekuan atau penahanan akaun-akaun tersebut oleh defendan-defendan, menyebabkan kesemua plaintif mengalami kesukaran, kesulitan dan kepayahan apabila tidak boleh mengguna pakai akaun-akaun tersebut,” dakwa mereka.

    Selain itu, kesemua plaintif mendakwa defendan-defendan mempunyai tanggungjawab dan tugas berhati-hati untuk memastikan sebarang tindakan pihak ketiga tidak menjejaskan hak serta kedudukan mereka sebagai pendeposit kepada institusi kewangan itu.

    Dakwa plaintif, defendan-defendan telah mengabaikan tugasnya apabila membenarkan kecuaian pihak ketiga yang menyediakan perkhidmatan kiriman wang yang menjejaskan hak dan kedudukan mereka sebagai pelanggan dan pendeposit.

    Kesemua plaintif memohon antaranya deklarasi bahawa defendan-defendan telah memungkiri terma dan syarat akaun simpanan serta akaun semasa apabila tindakan defendan-defendan membekukan akaun-akaun tersebut tanpa sebab yang dibenarkan di sisi undang-undang.

    Sementara itu, peguam Nazmi Mohd Zaini yang mewakili kesemua plaintif ketika dihubungi pemberita berkata, pengurusan kes itu ditetapkan 15 Mac ini secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi S. Malarselvi. – BERNAMA

  • 1MDB: Leissner dedah penglibatan dua bekas setiausaha sulit Najib

    1MDB: Leissner dedah penglibatan dua bekas setiausaha sulit Najib

    BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner memberitahu, dua setiausaha sulit bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dalam urusan penerbitan bon ketiga di bawah Projek Catalyze yang bernilai AS$3 bilion (RM12.6 bilion) untuk 1MDB.

    Leissner yang mendedahkan perkara itumenjadi saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah melibatkan bekas rakan sekerjanya, Roger Ng di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu yang berdepan tuduhan melanggar undang-undang antirasuah dan pengubahan wang haram.

    Dia menjelaskan bon ketiga itu bergantung kepada surat sokongan daripada kerajaan Malaysia dan bukan berdasarkan jaminan daripada International Petroleum Investment Companya (IPIC) seperti dua bon yang pertama yang dirujuk sebagai Projek Magnolia dan Projek Maximus.

    Leissner memaklumkan dia mengadakan beberapa pertemuan dengan Azlin Alias ​​dan seorang lagi setiausaha sulit bekas perdana menteri itu, Amhari Efendi Nazaruddin selain Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan untuk tujuan mendapatkan surat sokongan tersebut.

    Menurutnya, satu pertemuan turut diadakan bersama-sama Najib di pejabat rasminya di Putrajaya untuk memperoleh surat sokongan yang ditandatangani oleh beliau.

    Jelasnya, Low Taek Jho atau Jho Low juga memaklumkan kepadanya dan Roger Ng bahawa mereka tidak akan menerima sebarang ‘imbuhan’ seperti dua projek pertama atas alasan dana dikumpulkan Projek Catalyze akan digunakan untuk Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13).

    “Jho Low mendakwa dana yang dikumpulkan Projek Catalyze perlu digunakan untuk membiayai pilihan raya tersebut. Dia juga nyatakan memberi ‘sumbangan’ kepada pengundi sebagai ‘amalan biasa’ di Malaysia.

    “Saya tidak tahu ke mana aliran sebenar wang tersebut atau sama ada ia diterima secara peribadi oleh Najib,” ujarnya sambil menambah tentang penglibatan Azlin apabila Goldman Sachs berusaha melupuskan bon AS$700 juta (RM3 bilion) yang tidak dapat dijual firma itu selepas transaksi Projek Catalyze.

    Leissner dan Roger Ng turut menghubungi Jho Low untuk melihat sama ada dia boleh membantu menjual beberapa bon tersebut kepada institusi berkaitan kerajaan di Malaysia seperti Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

    Difahamkan, salah satu bukti yang dikemukakan dalam kes itu ialah bebenang e-mel yang dipanjangkan Leissner kepada Roger Ng pada 6 November 2013 yang turut mengandungi e-mel pertama yang telah dihantar oleh Jho Low kepada Azlin.

    Leissner turut mendedahkan bahawa dia dan Roger Ng masing-masing menerima ‘imbuhan’ berjumlah AS$17.5 juta (RM73.4 juta) untuk penglibatan mereka dalam terbitan bon pertama di bawah Projek Magnolia bernilai AS$1.75 bilion (RM7.34 bilion).

    Dia turut berkata mereka telah menerima ‘imbuhan’ untuk bon kedua di bawah Projek Maximus, juga bernilai AS$1.75 bilion (RM7.34 bilion) walaupun dia tidak menyatakan jumlah sebenar yang diterima oleh mereka.

    Ketika terlibat urus niaga ‘skim haram’ itu, Leissner mengakui dia bimbang dengan persepsi negatif media, namun berada sedikit lega selepas Najib menang pada PRU13. – Agensi

  • Saman Najib terhadap kerajaan serangan sampingan dalam kes jenayahnya

    Saman Najib terhadap kerajaan serangan sampingan dalam kes jenayahnya

    KERAJAAN Malaysia mendakwa saman RM1.9 juta yang dikemukakan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap kerajaan dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas adalah satu tindakan yang menyalahgunakan proses mahkamah dan wajar dibatalkan.

    Saman terbabit berkaitan dakwaan bekas perdana menteri itu bahawa Thomas melanggar kuasa dalam jawatan awam apabila mendakwanya di mahkamah dengan tuduhan membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Dalam afidavit jawapan difailkan kerajaan bagi membatalkan saman Najib yang diikrarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, menyatakan bahawa tuntutan saman sivil Najib itu adalah satu serangan sampingan terhadap perbicaraannya di mahkamah jenayah.

    “Saya sesungguhnya percaya tindakan plaintif (Najib) ini menyalahgunakan proses mahkamah bertujuan sebagai serangan sampingan terhadap pertuduhan jenayah terhadapnya, yang dibuat dalam bidang kuasa berbeza (mahkamah sivil),” kata Ahmad Akram dalam afidavit itu yang difailkan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili kerajaan.

    Menurutnya, dakwaan Najib bahawa terdapat perkembangan baharu dalam skandal penyelewengan dana 1MDB, perlu dibangkitkan dalam perbicaraan jenayah dan bukannya melalui saman.

    Pada 22 Okt tahun lepas, Najib memfailkan saman terhadap Thomas dan kerajaan berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta.

    Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

    Beliau mendakwa, pada 2015, Thomas telah bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan-kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB dan turut menasihati Dr Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam 1MDB.

    Sementara itu, Thomas dalam afidavit jawapannya pada 3 Feb lepas, menegaskan beliau menetapkan pertuduhan berkaitan 1MDB terhadap Najib selepas yakin bahawa ada kes yang kukuh.

    Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyiasat dan menyediakan kertas siasatan mengikut undang-undang dan amalan sedia ada.

    “Itulah sahaja pertimbangannya… Dakwaan bahawa saya membentuk pendapat mengenai Najib sudah bersalah sebelum saya memegang jawatan sebagai Peguam Negara lagi, adalah tidak benar.

    Beliau berkata, dalam apa jua keadaan, ia juga tidak relevan dengan kuasa budi bicaranya (untuk menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding mengenai suatu kesalahan) di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

    “Begitu juga dalam apa jua keadaan, pendapat peribadi saya tidak relevan dengan penggunaan budi bicara saya untuk menetapkan pertuduhan terhadap beliau, salah satunya di mana beliau sudah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan,” dakwa Thomas.

    Mahkamah Tinggi menetapkan 15 April untuk pengurusan kes itu. – BERNAMA

  • Tuduhan ‘pendakwaan salah’ terhadap Najib tidak berasas – Tommy

    Tuduhan ‘pendakwaan salah’ terhadap Najib tidak berasas – Tommy

    BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan kerajaan menafikan cuba menghalang perbicaraan mahkamah mengenai dakwaan salah laku terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Najib menyaman Tommy dan kerajaan Malaysia atas dakwaan membuat pendakwaan salah dalam beberapa kes jenayah.

    Antara kes itu adalah kes rasuah RM2.28 bilion melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes pecah amanah RM6.64 bilion melibatkan International Petroleum Investment Corporation (IPIC).

    Dalam pemfailan mahkamah berasingan yang dilihat oleh Malaysiakini, Tommy dan kerajaan mengulangi bahawa tindakan sivil itu tidak mempunyai asas undang-undang.

    Mereka juga berkata, ia adalah percubaan untuk mengganggu kes jenayah yang sedang dijalankan terhadap Najib.

    Menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Februari lalu, Tommy menafikan dakwaan cuba menghalang perbicaraan mahkamah terhadap saman Najib.

    “Defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Najib kerana, antara sebab lain yang dinyatakan dalam afidavit pertama saya, bahawa Najib tidak mempunyai tuntutan yang sah mengikut undang-undang Malaysia,” dakwanya.

  • Kes SRC: Najib mohon tangguh prosiding rayuan

    Kes SRC: Najib mohon tangguh prosiding rayuan

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon menangguhkan prosiding rayuan berkaitan bukti baharu dalam usahanya untuk mengetepikan sabitan dalam kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac di Mahkamah Persekutuan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang mengesahkan perkara itu berkata, peguam Najib telah menghantar surat kepada Mahkamah Persekutuan untuk meminta tarikh perbicaraan rayuan itu dilapangkan.

    “Pasukan pembelaan memohon penangguhan kerana mereka masih berusaha mendapatkan semua nota, bukti dan dokumen daripada perbicaraan SRC di Mahkamah Tinggi, untuk menyediakan penghujahan bertulis bagi rayuan bukti tambahan itu.

    “Bagaimanapun, mahkamah akan memaklumkan secara rasmi keputusan (penangguhan) kepada pihak-pihak terlibat dalam beberapa hari lagi,” katanya kepada media selepas prosiding secara maya yang dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Siti Hajar Mustaffa.

    Beliau berkata, mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 8 April untuk peguam Najib mengesahkan tarikh permohonan Peguam Diraja (QC) akan dibuat.

    Pada 25 Jan, 2022, firma guaman Tetuan Shafee & Co menghantar sepucuk surat enam halaman kepada sekretariat Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung hasrat Najib untuk melantik QC dari United Kingdom bagi membantu bekas perdana menteri itu dalam isu dan persoalan perundangan yang kompleks dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

    Pada 7 Dis 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dengan memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman secara kumulatif bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.

    Sehari selepas itu, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

    Najib kemudiannya memfailkan notis rayuan dke Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

  • Saman KJ: Lokman Adam diarah fail pernyataan pembelaan

    Saman KJ: Lokman Adam diarah fail pernyataan pembelaan

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Datuk Lokman Noor Adam memfailkan pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 3 Mac ini dalam saman yang difailkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin terhadap beliau berhubung isu vaksin COVID-19.

    Peguam, Norfazilah Jaafar, yang mewakili Lokman, ketika dihubungi pemberita berkata, mahkamah juga mengarahkan Khairy memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan itu pada 17 Mac.

    “Selain itu, kedua-dua pihak perlu memfailkan permohonan interlokutari (jika ada) pada 21 Mac,” katanya selepas prosiding pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar, Puteri Nursheila Rahimi hari ini.

    Pada 17 Feb lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Khairy supaya injunksi ex-parte yang diperolehnya pada 3 Feb 2022 dilanjutkan hingga tarikh pendengaran injunksi inter-parte pada 10 Mei depan.

    Khairy, 46, yang menfailkan saman terhadap Lokman pada 25 Jan lepas, memohon perintah injunksi supaya defendan memadam kenyataan dan video bersama-sama kapsyen, tajuk dan komen dalam tempoh 24 jam serta injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula hantaran itu.

    Beliau juga memohon perintah mahkamah agar defendan memadam kenyataan fitnah yang diterbitkan semula di semua portal berita dan akaun media sosial dalam tempoh 24 jam.

    Ahli Parlimen Rembau itu, yang memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman telah memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di laman Facebook Lokman Noor Adam Official pada 6 Jan lepas, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan YouTube Lokman Adam pada 10 Jan.

    Khairy berkata kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa telah diberi vaksin COVID-19 serta menerima dos ketiga selain memalsukan maklumat berkaitan status vaksinasi.

    Khairy mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integriti beliau terjejas teruk selain mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasi beliau direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras. – BERNAMA