Category: Mahkamah

  • Mekanik mengaku tidak bersalah memandu melulu sebabkan kematian empat sekeluarga

    Mekanik mengaku tidak bersalah memandu melulu sebabkan kematian empat sekeluarga

    SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga di Lebuhraya Sultan Iskandar, bulan lepas.

    Aliff Asyraf Abu, 27, yang memakai pendakap leher dan bertongkat mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

    Aliff Asyraf didakwa memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dengan melulu atau kelajuan yang berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian kepada pemandu C.Tinisha, 31; dan tiga penumpang iaitu P. Milan Damani, 32; Ishaan Ivaan Damani, 4; dan Rihaan Ivaan Damani, 3; pada 11.20 pagi, 27 Feb lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

    Peguam Muhammad Izzat Hasizan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan selepas kejadian anak guamnya tidak bekerja kerana kudratnya tidak kuat seperti sebelum ini selain telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan walaupun terlantar di hospital.

    “Ini kesalahan pertama tertuduh dan dia bukan penjenayah tegar yang perlu dikenakan jaminan tinggi,” katanya dan menambah bahawa tertuduh bukan di bawah pengaruh alkohol ketika memandu.

    Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai dan menetapkan 28 April untuk sebutan kes.

    Pada 27 Feb  lepas, media melaporkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu dari arah Mahameru menghala Jalan Tun Razak, terbabas di selekoh sebelum melanggar pokok yang berada di pembahagi jalan.

    Kenderaan tersebut masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta jenis pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex, yang dinaiki empat sekeluarga dan akibat rempuhan itu pasangan terbabit dan dua anaknya meninggal dunia di lokasi kejadian.

    — BERNAMA

  • Ketua Balai Bomba Peramu Pekan dipenjara, didenda

    Ketua Balai Bomba Peramu Pekan dipenjara, didenda

    MAHKAMAH Sesyen Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 180 bulan dan denda RM194,062.10 terhadap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu di Pekan selepas didapati bersalah atas 10 pertuduhan memberi kontrak pembekalan makanan bernilai RM36,279.69 kepada syarikat milik isterinya.

    Sinar Harian melaporkan, Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

    Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak dan ini bermakna tertuduh, Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 57, akan menjalani hukuman penjara selama 18 bulan bermula tarikh sabitan.

    Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lima tahun, jika gagal Sheikh Hassan membayar denda.

    Bapa kepada tiga anak itu didapati bersalah menggunakan kedudukannya mencadangkan syarikat Puncak Cahaya Azam Enterprise, milik isterinya bagi pembelian dan penyediaan makanan untuk pelbagai program serta operasi melibatkan anggota bomba di balai tempat dia berkhidmat.

    Kesalahan itu dilakukan olehnya antara Mac 2014 dan 3 Ogos 2015 dengan setiap satu kontrak bernilai RM1,075 hingga RM7,500.

    Antara kontrak itu penyediaan makanan untuk anggota bomba yang terlibat dengan operasi pembinaan semula rumah terbakar, operasi memadam kebakaran hutan dan bencana banjir.

    Tertuduh yang beralamat di Jalan Kampung Jawa di Kuantan didapati bersalah mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum menerusi Seksyen 24 akta sama, iaitu boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Ahmad Zamzani berkata, keputusan sabitan dan hukuman dibuat selepas menilai keterangan 18 saksi pendakwaan dan tiga saksi mewakili pembelaan, bukti-bukti serta hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak.

    Pada prosiding itu, Ahmad Zamzani turut membenarkan permohonan peguam G. Ravishankar yang mewakili Sheikh Hassan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di mahkamah tinggi.

    “Rayuan ini perlu difailkan dalam tempoh 14 hari oleh tertuduh dan jaminan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000,” tegasnya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Sarah Zainal Abiddin dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

  • Mahkamah Tinggi semak hukuman kes lelaki tetak kepala, tangan peguam

    Mahkamah Tinggi semak hukuman kes lelaki tetak kepala, tangan peguam

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini akan menyemak hukuman kes seorang lelaki yang didenda RM5,000 kerana menetak bahagian kepala dan tangan kiri seorang peguam menggunakan parang selepas berang ditegur kerana tidak memakai pelitup muka baru-baru ini.

    Pada Rabu, ditetapkan untuk pendengaran semakan kes itu di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, namun M Samasiveng, 57, tidak hadir ke mahkamah dan gagal dikesan oleh peguam T P Aravind Raj, yang sebelum ini mewakili lelaki itu pada prosiding kes di Mahkamah Majistret Selayang.

    Semakan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk memanggil rekod prosiding mahkamah rendah dan menyemaknya.

    Aravind yang hadir pada prosiding berkata, beliau telah cuba menghubungi lelaki itu tetapi panggilannya tidak dijawab malah tidak mendapat arahan sama ada untuk mewakili Samasiveng dalam prosiding semakan ini.

    “Saya baru sahaja mendapat notis berhubung perbicaraan semakan ini dan saya akan cuba menghubungi Samasiveng berhubung perkara ini. Mohon maaf atas segala kesulitan,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Isa Mohamed memaklumkan kepada mahkamah bahawa rayuan berhubung kes tersebut difailkan di mahkamah oleh Pejabat Pendakwaan Negeri Selangor.

    Sequerah kemudian mengarahkan pendakwaan membantu pihak polis bagi mengesan lelaki berkenaan dan menetapkan 18 Mac ini untuk pengurusan kes.

    Pada 11 Mac lepas, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas Samasiveng selepas mengaku bersalah mencederakan Gurcharan Singh, 60, menggunakan sebilah parang yang mungkin menyebabkan kematian terhadap mangsa di sebuah pasar raya di Taman Bersatu Rawang, Gombak pada 9 Mac lepas.

    Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 11 bulan jika dia gagal membayar denda tersebut. Dia membayar denda itu.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu. – Bernama

  • Permohonan rayuan Najib masukkan bukti baharu ditolak

    Permohonan rayuan Najib masukkan bukti baharu ditolak

    RAYUAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir melibatkan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd ditolak Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, hari ini.

    Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan memberitahu, Mahkamah Rayuan tidak melakukan sekarang kekhilafan dan tiada sebarang kesalahan yang membolehkan ia dirayu, lapor Astro Awani.

    Pada 8 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

    Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

    Pada 25 Januari lalu, Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon dibenarkan untuk diwakili seorang Queen’s Counsel (QC).

    Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang dikatakan sangat kompleks membabitkan isu dan persoalan perundangan baharu bukan sahaja di bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.

    Mahkamah Persekutuan dijangka mendengar permohonan Najib untuk menerima masuk QC antara 20 dan 24 Jun ini.

    QC ialah peguam kanan dan berpengalaman dari United Kingdom (UK) yang diberikan tauliah khas oleh Ratu Elizabeth.

    Mahkamah Persekutuan juga sebelum ini menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding rayuan berkaitan bukti baharu dalam usahanya untuk mengetepikan sabitan kes melibatkan dana SRC International, pada 15 Mac dan 16 Mac ini .

  • Mahkamah batal rayuan Peter pindah ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu

    Mahkamah batal rayuan Peter pindah ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu

    MAHKAMAH Rayuan membatalkan rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony untuk memindahkan kesnya berhubung pemalsuan surat kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

    Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu pada prosiding hari ini.

    “Ini adalah keputusan sebulat suara, rayuan dibatalkan,” kata Nor Bee yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

    Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir berkata, Peter tidak pernah hadir ke mahkamah sepanjang pengurusan kes itu.

    “Saya memohon kepada mahkamah untuk menetapkan satu tarikh akhir bagi perayu hadir ke mahkamah,” katanya sambil memaklumkan bahawa Peter hanya memfailkan notis rayuan namun petisyen rayuan belum difailkan sejak tahun lalu.

    Peter dan peguamnya tidak hadir prosiding pada Rabu.

    Beliau memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Mac tahun lalu yang menolak permohonannya untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

    Peter, 51, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Pada 14 Disember 2021, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Peter membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

    Pada 18 Februari lalu, pembelaan telah menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi termasuk Peter dan mahkamah menetapkan 31 Mac untuk mendengar hujah kedua-dua pihak sebelum memutuskan sama ada tertuduh disabitkan atau dilepaskan daripada pertuduhan itu. – Bernama

  • Penganggur bunuh pesara polis terlepas hukuman mati

    Penganggur bunuh pesara polis terlepas hukuman mati

    MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu hari ini melepaskan seorang penganggur terlepas daripada hukuman mati atas pertuduhan membunuh pesara polis empat tahun lalu, selepas mahkamah memutuskan tertuduh gila ketika kejadian.

    Berita Harian melaporkan, Mohd. Rozani Yahaya, 43, yang memakai kemeja putih dan berseluar jeans kelihatan tenang selepas keputusan mahkamah itu dibaca.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Ab. Halim Che Yusoff yang berusia 69 tahun ketika kejadian di tepi rumah di Kampung Apa-Apa Bunut Susu, Pasir Mas pada 12 tengah hari, 25 Januari lalu 2018.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

    Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam Zameri Mat Nawang.

    Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika membacakan penghakiman di akhir pembelaan berkata, berdasarkan kepada keterangan pakar perubatan, tertuduh didapati tidak siuman ketika kejadian pada 25 Januari 2018.

    “Mahkamah mendapati tertuduh tidak bersalah kerana ketika kejadian lelaki itu didapati gila.

    “Mahkamah mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 348 (2) Kanun Prosedur Jenayah supaya Mohd. Rozani diletak di bawah penjagaan selamat di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, dekat Perak sehingga mendapat perintah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V,” katanya.

    Wan Ahmad Farid memaklumkan Mohd. Rozani mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) mental sejak 2004 selepas dirawat di wad sakit jiwa Hospital Raja Perempuan Zainab II.

    Menurutnya, pihak hospital mengesahkan tertuduh mengalami masalah mental kerana pengambilan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

  • FBI dakwa Najib terima AS$756 juta dana 1MDB yang dicuri

    FBI dakwa Najib terima AS$756 juta dana 1MDB yang dicuri

    EJEN Biro Penyiasatan Persekutuan, Eric Van Dorn memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, menerima AS$756 juta (kira-kira RM3.2 bilion) melalui transaksi bon diuruskan Goldman Sachs untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    BH Online melaporkan Van Dorn turut menyebut beberapa nama lain sebagai penerima wang sama termasuk ahli perniagaan kontroversi yang kini menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low yang menerima AS$1.42 bilion (kira-kira RM5.97 bilion).

    Turut disebut penyiasat FBI itu dalam perbicaraan rasuah bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng di mahkamah Amerika Syarikat (AS) di sini, ialah bekas Pengarah Urusan Abu Dhabi’s International Petroleum Investment Company, Khadem al-Qubaisi yang menerima AS$472.8 juta (kira-kira RM199 bilion), selain bekas pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner serta anak tiri Najib, Riza Aziz, yang masing-masing menerima AUS$73.4 juta (kira-kira RM308.8 juta) dan AS$238 juta (kira-kira RM1 bilion).

    Van Dorn turut memberi keterangan bahawa Ng menerima AS$35.1 juta (kira-kira 147.68 juta) melalui dua daripada tiga bon transaksi.

    Beliau berkata, mereka yang dinamakannya itu antara 16 individu yang dikesan beliau ketika penyiasatan dilakukan terhadap dana 1MDB yang hilang.

    Ng berdepan tuduhan menerima sogokan jutaan dolar kerana membantu melarikan dana daripada 1MDB dan memohon dibicarakan atas dakwaan berkonspirasi terhadap pengubahan wang dan melanggar undang-undang antirasuah.

    Tuduhan itu susulan satu daripada skandal kewangan terbesar dalam sejarah, di mana pendakwa raya AS mengatakan AS$4.5 bilion (kira-kira 18.93 bilion) daripada AS$6.5 bilion (kira-kira 27.35 bilion) bon dikumpulkan Goldman Sachs untuk 1MDB dipindahkan kepada pegawai kerajaan, jurubank dan rakan sekutu mereka secara rasuah dan sogokan.

    Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didapati bersalah pada Julai 2020 atas tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan RM42 juta dana SRC International yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

    Pada 7 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukumannya dengan panel hakim menyifatkan transaksi ke dalam akaun Najib sebagai ‘memalukan negara’.

    Najib kini dalam proses rayuan kesnya di Mahkamah Persekutuan.

  • Gaya hidup Jho Low ‘tak ingat dunia’ jadi tumpuan perbicaraan kes Najib

    Gaya hidup Jho Low ‘tak ingat dunia’ jadi tumpuan perbicaraan kes Najib

    KEHIDUPAN mewah ahli perniagaan kontroversi yang kini menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang diibaratkan seolah-olah ‘tidak ingat dunia’ menjadi tumpuan dalam perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

    Dalam prosiding hari ini, peguam bela Najib, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah mengemukakan kepada mahkamah yang kemudian menayangkan rakaman video memaparkan pesta arak yang dianjurkan oleh Jho Low.

    Pesta itu dihadiri oleh bintang serta selebriti Hollywood yang membabitkan perbelanjaan jutaan dolar.

    Muhammad Shafee yang menyoal balas saksi pendakwaan ke-12 iaitu bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir, turut menyentuh mengenai percutian mewah Jho Low di atas kapal layar mewah dan berpesta arak di sebuah kelab malam di St Tropez yang turut disertai selebriti Paris Hilton, selain membeli beberapa penthouse di Singapura.

    Muhammad Shafee yang bertalu-talu menyoal Azmi mempersoalkan mengapa tindakan Jho Low yang hidup dengan bermewah-mewahan dan menjalani kehidupan seperti seorang taikun itu tidak menimbulkan perasaan curiga atau sebarang kebimbangan langsung kepada Lembaga Pengarah 1MDB untuk segera bertindak.

    Peguam itu berkata, beliau mempersoalkan perkara itu kerana Azmi sendiri dalam keterangannya menyatakan bahawa Jho Low adalah individu yang menguruskan syarikat dari belakang tabir, dan adalah jelas ia sepatutnya menimbulkan kebimbangan syarikat kerana tindakannya itu menjerumuskan 1MDB ke arah kehancuran.

    Azmi yang menjawab persoalan itu berkata, kehidupan peribadi Jho Low dan hal ehwal mengenai syarikat adalah dua perkara berbeza.

    “Itu adalah kehidupan peribadi dia, kami tidak tahu dari mana datangnya sumber kekayaan dia dan kebimbangan kami adalah mengenai transaksi dalam syarikat, bukannya kehidupan peribadi dia.

    “Ia adalah dua perkara yang berbeza sebab kehidupan dia bukannya masalah, saya hanya bimbang mengenai transaksi penipuan dalam 1MDB. Gaya hidupnya tidak ada kaitan dengan syarikat.

    “Pada waktu itu saya tidak merasa curiga kerana jika dia mempunyai wang, dia boleh hidup mewah dan lembaga pengarah tidak mempersoalkannya” katanya.

    Sementara itu, Azmi menafikan cadangan Muhammad Shafee bahawa dia dan pihak pengurusan berdiam diri dan tidak membangkitkan kegusaran berhubung kehidupan mewah Jho Low serta tidak memaklumkan kepada lembaga pengarah disebabkan beliau menerima rasuah daripada ahli perniagaan itu.

    Muhammad Shafee juga mencadangkan bahawa Jho Low tidak akan menjalani hidup mewah jika Azmi tidak meluluskan transaksi pembayaran AS$790 juta daripada 1MDB Energy Langat Limited kepada Aabar Investments PJS Ltd (syarikat palsu), bagaimanapun dinafikan oleh saksi.

    Azmi berkata, beliau tidak mengetahui jika ada terdapat urusan lain di belakang, tetapi semua transaksi adalah berdasarkan perjanjian perniagaan.

    Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan esok bagi pengurusan kes untuk menentukan tarikh perbicaraan selanjutnya.

  • Tiga termasuk ‘Datuk Seri’ didakwa pecah amanah wang sewa pejabat

    Tiga termasuk ‘Datuk Seri’ didakwa pecah amanah wang sewa pejabat

    TIGA  individu termasuk seorang pengarah syarikat hartanah bergelar ‘Datuk Seri’ dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan bersubahat membabitkan wang sewa sebuah unit pejabat berjumlah RM52,000, tahun lepas.

    Datuk Seri Chua Eng Wan, 48, Teh Guat Wei, 31, dan Chua Jia Meng, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman dan Kamarudin Kamsun.

    Di hadapan Sabariah, Eng Wan didakwa sebagai pengarah di sebuah syarikat diamanahkan dengan penguasaan wang berjumlah RM52,000 yang merupakan wang sewa sebuah unit pejabat di Arkadia Desa Park City Kepong, telah melakukan pecah amanah dengan menggunakan wang tersebut.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Arkadia Desa Park, Sentul pada 11 Okt 2021 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

    Di hadapan Kamarudin, Teh dan Jia Meng masing-masing didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Eng Wan bagi melakukan pecah amanah terhadap sebuah unit pejabat sama dengan jumlah sewa RM52,000, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Aqilah Ishak menawarkan jaminan RM10,000 terhadap Chua manakala TPR Zulaaikha Mohd Apandi menawarkan jaminan masing-masing RM15,000 ke atas Teh dan Ji Meng namun peguam Felix Saw Chia Hui yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak akan melarikan diri dan akan hadir ke mahkamah.

    Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 dan 20 April depan untuk sebutan semula kes.

    — BERNAMA

  • Penjual besi buruk tetak mangsa didakwa

    Penjual besi buruk tetak mangsa didakwa

    SEORANG penjual besi buruk tidak mengaku bersalah Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki dengan sebilah parang pada minggu lalu.

    Tertuduh, Mohamad Shahzrie Sham Sabudin, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Astro Awani melaporkan, mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohd Faain Adha Azliza, 30, dengan menggunakan sebilah parang.

    Kesalahan itu dilakukan olehnya di Sungai Bechah, Gunong, Bachok pukul 12.10 tengah malam pada 8 Mac lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Sekyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau boleh dikenakan sebat.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan atas kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh.

    Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 13 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

    Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.