Category: Mahkamah

  • Pegawai bomba berdepan lima tuduhan rasuah

    Pegawai bomba berdepan lima tuduhan rasuah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pegawai bomba mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan rasuah dihadapinya di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini, berkaitan urusan penyelenggaraan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis pada 2020.

    Tertuduh, Mohd. Basri Othman, 48, membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di depan Hakim, Harmi Thamri Mohamad.

    Menerusi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan berupa wang tunai berjumlah RM437 dan RM1,025 dari seorang lelaki pada 7 Oktober 2020 dan 10 Oktober 2020.

    Rasuah tersebut yang didakwa diterima pegawai bomba terbabit di Maybank Cawangan Sungai Petani, didakwa sebagai upah buat tertuduh kerana memberikan kerja-kerja menyelenggara kenderaan JBPM Perlis yang diuruskannya, kepada sebuah syarikat yang memiliki bengkel di Kangar, Perlis.

    Dalam tiga lagi pertuduhan dihadapinya, Mohd. Basri didakwa menerima rasuah berjumlah RM1,000, RM1,500 dan RM2,000 menerusi tiga transaksi ke dalam akaun Maybank miliknya daripada individu sama, dengan tujuan yang sama.

    Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan pada 2 November 2020, 29 Oktober 2020 dan RM27 Oktober 2020 di lokasi sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dengan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut nilai yang mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan dihadapi.

    Hakim menetapkan 26 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dengan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM12,000.

    Tertuduh yang diwakili peguam, Pyara Singh difahamkan membayar ikat jamin ditetapkan itu.

  • Edar syabu: Penguat kuasa, nelayan berdepan hukuman mati

    Edar syabu: Penguat kuasa, nelayan berdepan hukuman mati

    SEORANG anggota penguat kuasa dan seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mengedar dadah seberat 5.3 kilogram, pada awal bulan ini.

    Tertuduh, Ahmad Fadhil Ghazali, 34, dan rakannya, Mohamad Firdauz Ishak, 29, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, R Salini.

    Namun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

    Menurut kertas pertuduhan, Ahmad Fadhil dan Mohamad Firdauz didakwa mengedar dadah jenis syabu seberat 5,377.32 gram di Forest City, Iskandar Puteri pada jam 9 malam, 6 Mac lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1980) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta disebat tidak kurang 15 sebatan.

    Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Mei ini untuk menunggu keputusan laporan kimia.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat.

    Difahamkan, kedua-dua tertuduh itu merupakan antara ahli sindiket pengedaran dadah yang ditumpaskan polis pada 15 Mac lalu, melibatkan penahanan sembilan penguat kuasa dalam serbuan berasingan di sekitar Johor dan Putrajaya.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, modus operandi sindiket itu adalah menjual 50 kg dadah jenis syabu yang dirampas dalam satu operasi di perairan Selat Melaka yang cuba diseludup oleh sindiket bergerak aktif di Banting, Selangor untuk pasaran di Dumai, Indonesia.

  • Rasuah: Bekas majistret dipenjara 58 tahun, denda RM1.05 juta

    Rasuah: Bekas majistret dipenjara 58 tahun, denda RM1.05 juta

    MAHKAMAH Sesyen Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 58 tahun dan denda RM1.05 juta terhadap bekas majistret selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta dan menerima suapan daripada seorang peniaga, kira-kira dua tahun lepas.

    Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain juga memerintahkan Mohamad Amin Shahul Hamid, 41, menjalani hukuman penjara tambahan 72 bulan, jika tertuduh yang sebelum ini berkhidmat di Lipis dan Raub, gagal menjelaskan denda tersebut.

    Bagaimanapun, Ahmad Zamzani membenarkan semua hukuman penjara berjalan serentak, bermaksud tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun, selain membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda, kerana ingin merayu ke Mahkamah Tinggi.

    Bagi tujuan itu, mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dinaikkan menjadi RM50,000 selain syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dilanjutkan sehingga selesai rayuan.

    Pada penghakimannya, Ahmad Zamzani berkata pembelaan tertuduh yang diberikan secara bersumpah hanya berbentuk pemikiran semula dan penafian kosong yang gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap semua pertuduhan.

    Mahkamah, menurut beliau setelah meneliti keterangan dan hujahan pihak terlibat memutuskan keterangan kesemua 15 saksi pendakwaan terutamanya saksi terakhir iaitu peniaga Hassan Basri Ahmad Sutan Modo (SP15) yang didakwa memberi suapan itu, sebagai saksi boleh dipercayai dan utuh.

    “Keterangan tertuduh bahawa dia berada dekat dengan kedai SP15 pada 22 Okt 2019 untuk membeli air adalah kali pertama didengari mahkamah di peringkat pembelaan. Perkara ini tidak pernah dicadangkan atau dibangkitkan pada mana-mana saksi pendakwaan.

    “Keterangan kecederaan dialami tertuduh juga tidak pernah dibangkitkan atau dicadangkan kepada pegawai penyiasat. Mahkamah juga dapati hujahan pembelaan bahawa keterangan lisan tertuduh tidak pernah bersetuju meminta atau menerima rasuah adalah tidak berasas, tidak munasabah dan tidak diterima,” katanya.

    Tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Okt 2019, yang didakwa sebagai dorongan untuk hanya mengenakan hukuman denda dan bukan penjara terhadap lelaki itu yang didakwa memiliki rokok seludup.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, peguam S. Meheraj yang hadir mewakili peguam tertuduh RSN Rayer, merayu mahkamah menjatuhkan hukuman minimum atas alasan tertuduh telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM selain tidak memiliki rekod kesalahan lampau dan menghidap asma.

    “Tertuduh juga telah digantung kerja dari 2019 dan kini menerima separuh gaji. Bagi menampung kehidupan, dia membantu bapa saudaranya mengusahakan bendang di Sungai Petani, Kedah,” katanya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menghujahkan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran perlu diberikan kerana kes itu melalui perbicaraan penuh, selain tertuduh telah membuat persediaan untuk melakukan jenayah.

    Selain itu, sikap tertuduh yang tidak menggunakan orang tengah, sebaliknya berjumpa sendiri SP15 untuk mengutip wang menunjukkan dirinya tidak mempunyai perasaan ‘segan’ selain tamak kerana melihat peluang untuk memeras ugut mangsa, selepas mengetahui SP15 dituduh buat kali kedua.

    “Tertuduh sanggup menelefon SP15 dan menjual nama Pengarah Pendakwaan Pahang dan mengugut SP15 akan dipenjarakan jika tidak membayar suapan. Tertuduh boleh diibaratkan sebagai ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Tertuduh telah memalukan sistem kehakiman dan penjawat awam,” katanya. – BERNAMA

  • Buruh tetak peguam dipenjara setahun, denda RM10,000

    Buruh tetak peguam dipenjara setahun, denda RM10,000

    SEORANG buruh yang sebelum ini didenda RM5,000 kerana menetak bahagian kepala dan tangan kiri seorang peguam menggunakan parang selepas berang ditegur tidak memakai pelitup muka, hari ini diperintah menjalani hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut mengenakan denda RM10,000 ke atas M. Samasiveng, 57, selepas membuat semakan terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Selayang pada 11 Mac lepas.

    “Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan menyemak hukuman yang dijatuhkan sebelum ini, mahkamah mendapati hukuman yang dijatuhkan tidak mencukupi.

    “Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman Mahkamah Majistret dan mengenakan hukuman penjara setahun bermula hari ini dan denda RM10,000 atau 12 bulan penjara, jika gagal membayar denda,” kata hakim itu.

    Sebelum ini, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas Samasiveng selepas mengaku bersalah mencederakan Gurcharan Singh, 60, menggunakan sebilah parang yang mungkin menyebabkan kematian terhadap mangsa di sebuah pasar raya di Taman Bersatu Rawang, Gombak pada 9 Mac lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Isa Mohamed berhujah tertuduh sebagai rakyat Malaysia, seharusnya lebih peka dengan keadaan negara yang dilanda COVID-19 dan tidak membuka pelitup mukanya dan merokok di tempat awam.

    “Mengikut fakta kes, tertuduh juga telah menunggu mangsa di kaki lima pasar raya selepas ditegur, dan ini menunjukkan jenayah yang dilakukan adalah terancang.

    “Tertuduh telah mengambil senjata iaitu parang dari keretanya selepas bertengkar mulut dengan mangsa dan ini menunjukkan penggunaan senjata bukanlah bertujuan mempertahankan diri. Serangan dengan parang boleh menyebabkan kematian kepada mangsa,” katanya.

    Peguam T.P Aravind Raj, yang mewakili Samasiveng merayu hukuman ringan atas alasan Mahkamah Majistret telah mengambil kira faktor umur mangsa yang sudah tua dan perlu menjaga isteri serta cucunya.

    “Punca kejadian ini adalah perbalahan mulut selepas mangsa menegur anak guam saya yang sedang merokok dan tidak memakai pelitup muka. Ia bukanlah kejadian yang dirancang kerana ketika kejadian dia hanya membeli barangan runcit bersama isteri dan cucunya,” kata peguam itu.

    Prosiding hari ini turut dihadiri peguam pemerhati dari Badan Peguam Malaysia Nicholas Cheoh. – BERNAMA

  • Pelajar kolej dituduh memandu mabuk sebabkan kematian warga emas

    Pelajar kolej dituduh memandu mabuk sebabkan kematian warga emas

    SEORANG penuntut sebuah kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja subkontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabtu lepas.

    Mengikut pertuduhan, Lo Yen Hue, 24, didakwa memandu kenderaan jenis Toyota Sienta di bawah pengaruh alkohol sebanyak 184 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah.

    Ia melebihi 134mg alkohol daripada had yang ditetapkan iaitu 50mg alkohol dalam 100ml kandungan darah, yang tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan itu dan menyebabkan kematian Yap Kwee Chee, 74, di Jalan Kuching menghala ke Batu Caves di sini, pada 3.15 pagi, 12 Mac lepas.

    Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000 dan hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh disabitkan kesalahan, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam K.A Ramu yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

    Majistret Amanina Mohamad Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei untuk sebutan kes.

    Pada 12 Mac lepas, media melaporkan pekerja subkontraktor DBKL itu yang sedang melakukan kerja-kerja memotong pokok maut dirempuh pemandu mabuk dan mangsa yang berusia 74 tahun itu mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian. – BERNAMA

  • Penarik kereta dilepas, dibebas daripada tuduhan bunuh kontraktor

    Penarik kereta dilepas, dibebas daripada tuduhan bunuh kontraktor

    MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu, Kelantan hari ini melepas dan membebaskan seorang penarik kereta atas pertuduhan membunuh seorang kontraktor, 11 tahun lepas.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan tersebut ke atas Syaiful Afikin Mohd Firus, 46, selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan di akhir pembelaan.

    “Mahkamah juga mengambil maklum bahawa pendakwaan mengambil masa tujuh tahun sebelum memutuskan untuk mendakwa tertuduh, malah tiada keterangan forensik baharu diperoleh selepas tertuduh dilepaskan dari reman antara 2011 dan 2018 apabila berlaku pendakwaan ke atas tertuduh,” katanya.

    Sehubungan itu, mahkamah memutuskan Syaiful Afikin dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan, katanya.

    Mengikut pertuduhan, Syaiful Afikin didakwa membunuh Saw Yew Siang yang ketika itu berusia 56 tahun bersama seorang lagi yang masih bebas di Kampung Pak Jah, Tumpat lebih kurang  8 hingga 10 malam, 3 Okt 2011.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Itah Abu Bakar Adli manakala Syaiful Afikin diwakili peguam Azura Ghazali.

    Terdahulu, mahkamah turut melepas dan membebaskan tertuduh terhadap pertuduhan memiliki kerambit tanpa kebenaran selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

    Bagi kes itu, tertuduh didakwa memiliki senjata itu di hadapan kedai runcit, Jalan Rambutan Rendang, Panji, Kota Bharu kira-kira 3.30 pagi pada 11 Jun 2018.

    Syaiful Afikin didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Bernama

  • Mahkamah perintah media tidak dedah nama, gambar anak-anak Loh

    Mahkamah perintah media tidak dedah nama, gambar anak-anak Loh

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan semua media arus perdana dan sosial tidak mendedahkan serta menerbitkan nama dan gambar ketiga-tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong berkuat kuasa hari ini.

    Pesuruhjaya Kehakiman Evrol Mariette Peters memutuskan demikian selepas peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memohon secara lisan supaya identiti dan gambar tiga anak itu tidak didedahkan bagi menjaga kebajikan anak-anak berkenaan.

    Mohamed Haniff ketika dihubungi pemberita berkata, hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes secara dalam talian yang turut disertai dua lagi peguam MAIPs Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Aidil Khalid, manakala Loh diwakili Sri Murugan dan Dr Shamsher Singh Thind.

    Beliau berkata dengan perintah itu, diharap pihak media memberi kerjasama untuk tidak mendedahkan gambar, nama dan identiti anak-anak berkenaan semasa membuat liputan.

    “Mahkamah juga menetapkan tarikh pendengaran permohonan MAIPs untuk mencelah dalam petisyen penceraian antara Loh dan Muhammad Nagahswaran Muniandy pada 29 April, 10.30 pagi secara fizikal,” katanya.

    Dalam petisyen penceraian tersebut, Loh, 34, diberi hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal ke atas anak mereka berumur 10 dan 14 tahun.

    MAIPs memfailkan permohonan mencelah dalam petisyen tersebut pada 7 Mac lalu, supaya badan agama itu mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk membuat permohonan variasi ke atas terma-terma perintah jagaan tunggal yang dimiliki Loh.

    Permohonan itu dibuat antaranya atas alasan selepas pemelukan Islam responden (Muhammad Nagahswaran) dan kesemua kanak-kanak tersebut, bakal pencelah (MAIPs) telah bertindak dan bertanggungjawab sebagai penyelia bagi memastikan orang-orang yang baharu masuk Islam, para mualaf, mendapat panduan dan pendidikan diperlukan berkenaan dengan Islam.

    MAIPs dalam permohonannya berkata pada 2017, Perlis memfatwakan pasangan bukan Islam yang salah seorang daripada mereka memeluk Islam, maka hak hadhanah (hak jagaan anak) tidak dinilai berdasarkan kepada agama ibu atau bapa, sebaliknya diserahkan kepada sesiapa lebih dapat menjamin kemaslahatan anak dari sudut perkembangan moral, emosi dan tumbesarannya, dan dalam masa sama ibu bapa yang Muslim bertanggungjawab memperkenalkan Islam kepada anak.

    Menurut MAIPs, kanak-kanak itu juga telah menzahirkan iktikad dalam keazaman melalui perbuatan dan tingkah lakunya untuk terus berada dalam agama Islam.

    Pada 21 Feb lepas, tiga beradik yang berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan serta merta kepada Loh, selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

    Dalam notis usul difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Feb lepas, Loh menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.

    Loh memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden dan dikembalikan kepadanya.

    — BERNAMA

  • Suri rumah didakwa bunuh anak berusia dua tahun

    Suri rumah didakwa bunuh anak berusia dua tahun

    SEORANG suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini atas pertuduhan membunuh anak perempuannya minggu lalu.

    Tertuduh, Thang Pui Ling, 33, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim K. Rajeswari.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes melibatkan hukuman mati adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, Thang didakwa membunuh Heng Jing Yi yang berusia 23 bulan di Taman Seri Iskandar, Hutan Melintang di sini pada 2 pagi, 9 Mac lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimah Che Ismail manakala peguam Chuah Shyue Chien mewakili tertuduh.

    Mahkamah kemudian menetapkan 9 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital selepas wanita itu menghantar anaknya ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana mendakwa anaknya mengalami sesak nafas.

    — BERNAMA

  • Ketua balai polis didakwa minta, terima rasuah

    Ketua balai polis didakwa minta, terima rasuah

    SEORANG ketua balai polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas lima pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM21,800.

    Sinar Harian melaporkan, tertuduh, Abdul Halim Alias, 59, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

    Berdasarkan dua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dia didakwa secara rasuah meminta suapan wang tunai sebanyak RM8,000 dan RM1,000 secara bulanan.

    Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemilik pusat hiburan atas kesalahan melanggar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

    Dalam prosiding yang sama, tertuduh yang berpangkat Sub Inspektor turut berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) iaitu secara rasuah bersetuju memperoleh wang tunai sebagai dorongan bagi tidak mengambil tindakan terhadap pemilik pusat hiburan itu atas kesalahan melanggar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Restoran The Stage Music Lounge Plt, Kota Shahbandar dan Balai Polis Tengkera di antara 4 hingga 11 Ogos 2020.

    Kesemua kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka.

    Tertuduh yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya SPRM.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka setiap bulan sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 20 April sebagai sebutan semula kes.

  • ‘Datuk Seri’ didakwa tipu pelaburan cecah RM2.2 juta

    ‘Datuk Seri’ didakwa tipu pelaburan cecah RM2.2 juta

    SEORANG ahli perniagaan yang menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas 12 pertuduhan menipu 12 individu berhubung pelaburan Planetrade yang tidak wujud mencecah RM2.2 juta, tahun lalu.

    Sinar Harian melaporkan, Kyairul Syahirin Ahmad, 46, mengakut tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan Datin Sabariah Othman.

    Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa menipu 10 wanita dan dua lelaki, dengan mempercayai bahawa dia akan menjalankan pelaburan melalui Bursa Saham Malaysia.

    Ia mendorong mangsa-mangsa memindahkan sejumlah RM2.2 juta ke akaun bank syarikat milik tertuduh antaranya Planemax Essentials Sdn Bhd, Planetrade Holdings Sdn Bhd, Planeworld Flexi Sdn Bhd, Planetrade Premier Sdn Bhd yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya, jika tidak diperdayakan sedemikian.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Intisari, Desa Park City antara 2 Februari hingga 28 November 2021.

    Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun hingga 10 tahun, sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, seorang lagi ahli perniagaan wanita, Rozana Mohamed, 54, mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan bersubahat dengan Kyairul Syahirin untuk menipu 12 individu sama, berhubung pelaburan dan nilai sama di lokasi serta tarikh serupa.

    Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama dengan peruntukan hukuman sama.

    Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi dan Nur Aqilah Ishak.

    Kyairul Syahirin diwakili peguam, Ashok Athimulan manakala Rozana diwakili Arik Zakri Abdul Karim.

    Bagi kesemua pertuduhan, mahkamah membenarkan Kyairul Syahirin diikat jamin sebanyak RM120,000 manakala Rozana RM90,000 dengan seorang penjamin.

    Mereka juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan passport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 April dan 3 Mei depan.

    Pada dua minggu lalu, media melaporkan sindiket penipuan pelaburan Planetrade membabitkan kerugian RM3.32 juta, didalangi lelaki yang menggunakan gelaran Datuk Seri palsu, berjaya ditumpaskan dalam serbuan berasingan di ibu negara, Selangor dan Pulau Pinang.