Category: Mahkamah

  • Guru muzik dituduh pandu secara berbahaya hingga sebabkan kematian wanita

    Guru muzik dituduh pandu secara berbahaya hingga sebabkan kematian wanita

    SEORANG guru muzik sambilan berusia 28 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita pada 8 Mei lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh, Oo Cheng Sing, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab di Mahkamah Majistret Jenayah.

    Mengikut pertuduhan, Cheng Sing didakwa memandu sebuah kereta secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang wanita.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Loh Poh Heng, 8 Mei lalu, kira-kira pukul 10.20 pagi.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu lima tahun jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun, peguam tertuduh, Zainal Akram Zainal Azahar memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya akan memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 26 Julai depan untuk sebutan semula kes.

    Dalam kejadian kemalangan yang tular di media sosial pada 8 Mei lalu itu, seorang penunggang motosikal wanita dilaporkan maut selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta yang kemudiannya menyebabkan insiden pergaduhan di lokasi kejadian.

    Susulan kejadian itu, polis menahan enam individu bagi membantu siasatan termasuk ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.

  • Mahkamah tolak saman fitnah Guan Eng terhadap Naib Presiden MCA

    Mahkamah tolak saman fitnah Guan Eng terhadap Naib Presiden MCA

    MAHKAMAH Tinggi di Georgetown hari ini menolak saman fitnah oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng terhadap Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng dan akhbar berbahasa Inggeris The Star.

    Menurut laporan FMT, Hakim Quay Chew Soon memutuskan bahawa artikel yang ditulis Tan dalam akhbar itu mengenai Lim dan pembiayaan untuk sekolah Cina tahun lepas, adalah komen yang adil dan bukan fitnah.

    Lim diperintah membayar kos RM20,000 kepada Tan, dan RM30,000 kepada The Star.

    Lim menyaman Tan dan The Star tahun lepas berhubung artikel yang disiarkan yang mendakwa Lim sebagai menteri kewangan ketika itu telah menuntut SJK(C) Kuek Ho Yao menukar nama dengan pertukaran RM4 juta dana kerajaan.

    “Ini adalah palsu dan tidak benar. RM4 juta telah diserahkan walaupun pembinaan belum dimulakan.

    “Sebagai menteri kewangan, saya tidak pernah menetapkan syarat SJK(C) Kuek Ho Yao mesti menukar namanya untuk menerima peruntukan saya sebanyak RM4 juta,” kata Lim ketika itu.

    Menurut peguam Lim, K. Simon Murali, anak guamnya akan merayu keputusan hari ini.

    SJK(C) Kuek Ho Yao merupakan sebuah sekolah baru di Johor Bahru yang ditubuhkan pada zaman pentadbiran BN. Ia dinamakan sempena mendiang Kuek, yang merupakan seorang dermawan.

  • 1MDB: Firma bekas penulis ucapan Najib terima lebih RM22 juta

    1MDB: Firma bekas penulis ucapan Najib terima lebih RM22 juta

    BEKAS penulis ucapan Datuk Seri Najib Razak memberi keterangan bahawa dia menerima lebih RM22 juta daripada bekas perdana menteri itu, melalui 39 keping cek, dalam tempoh tiga tahun dari 2011 hingga 2014.

    Pengasas Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd., Mohd. Omar Mustapha memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa dia menerima cek yang ditandatangani Najib semasa pertemuan bersemuka mereka di pejabat menteri kewangan ketika itu antara Mac 2011 hingga April 2014.

    Semasa perbicaraan rasuah 1MDB membabitkan penyelewengan bernilai RM2.28 bilion hari ini terhadap Najib, saksi pendakwaan ke-45 Omar memberi keterangan bahawa syarikatnya telah dibayar jumlah tersebut untuk perkhidmatan menulis ucapan bahasa Inggeris dan kerja-kerja berkaitan media antarabangsa, lapor Malaysiakini.

  • Bapa rogol anak kandung dijel 30 tahun, enam sebatan

    Bapa rogol anak kandung dijel 30 tahun, enam sebatan

    SEORANG bapa dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Gua Musang semalam atas lima pertuduhan termasuk merogol anak kandungnya dan memiliki video pornografi.

    Sinar Harian melaporkan, tertuduh yang berusia 45 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

    Pada masa sama, tertuduh turut mengaku salah terhadap tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya ketika mangsa berusia 12 tahun di sebuah rumah di daerah ini sejak Jun 2020.

    Kali terakhir tertuduh melakukan perbuatan terkutuk itu pada 30 Mei lalu.

    Tertuduh berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan yang mana masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara serta tiga sebatan bagi setiap pertuduhan.

    Bagi pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 292(B) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Selain itu, tertuduh turut mengaku memiliki video lucah dalam telefon bimbit jenis Realme dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan dari tarikh tangkapan dibuat.

    Bagi pertuduhan keempat dan kelima, masing-masing pertuduhan mengikut Seksyen 8 (A) dan 14 (D) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Terdahulu, pada 4 Jun 2023, mangsa telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bertam, selepas tertuduh bertindak meraba mangsa pada 30 Mei lalu.

  • Mahkamah Rayuan lepaskan bekas penuntut kolej dari tali gantung

    Mahkamah Rayuan lepaskan bekas penuntut kolej dari tali gantung

    SEORANG bekas penuntut kolej dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah, menangis sejurus dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun atas kesalahan menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkan.

    Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Mohamed Zaini Mazlan, hari ini secara sebulat suara mengarahkan Nur Izzati Adi, 26, dibebaskan serta-merta.

    Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan dan peguam Nur Izzati sebagai perayu bersetuju supaya sabitan dikenakan mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan (KK) berbanding Seksyen 302 KK sebelum ini yang memperuntukkan hukuman gantung.

    Hadhariah meminta wadar Jabatan Penjara membuka gari Nur Izzati bagi membolehkan wanita berkenaan dibebaskan.

    Perayu disabitkan di bawah Seksyen 309A KK yang boleh dihukum di bawah Seksyen 309B KK (hukuman penjara maksimum 20 tahun) dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun dari tarikh tangkap, 30 Mac 2017.

    “(Nur Izzati) boleh berjalan keluar dari mahkamah dengan lapang dada, sudah bebas,” katanya.

    Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 14 Jun 2020 menjatuhkan hukuman mati terhadap wanita berkenaan selepas didapati bersalah kerana membunuh bayi lelaki, namun diperintahkan menjalani hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan.

    Pada 10 April 2017, bekas penuntut kolej itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi lelaki di tandas kolej, pada 30 Mac tahun sama.

    Tertuduh, Nur Izzati, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Fadrina Zulkhairi, namun tiada pengakuan direkodkan.

    Berdasarkan pertuduhan, Nur Izzati didakwa menyebabkan kematian ke atas seorang bayi dengan tekupan atau kelemasan di tandas perempuan aras tiga Kolej Pertanian Malaysia Bukit Kayu Hitam pukul 5.20 petang pada 30 Mac 2017.

    Terdahulu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Mokhzani Faris Mokhtar berkata, peguam Izzati menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 11 April lalu, sebelum pihaknya menawarkan pendakwaan kes itu di bawah Seksyen 309A KK yang boleh dihukum di bawah Seksyen 309B KK.

    “Saya percaya pihak peguam sudah berbincang dengan keluarga (Nur Izzati) dan mereka bersetuju untuk menerima tawaran balas berkenaan,” katanya.

    Susulan itu, peguam bela Nur Izzati, Datuk Amirul Ridzuan Hanif, mengesahkan mengenai persetujuan berkenaan.

    “Benar, setelah berbincang dengan perayu (Nur Izzati) dan keluarganya, mereka bersetuju terima tawaran itu.

    “Kami mencadangkan hukuman yang sesuai penjara selama sembilan tahun bermula tarikh tangkap 30 Mac 2017. Itu adalah cadangan pihak perayu demi menyelesaikan kes pada hari ini,” katanya lapor Berita Harian.

    Mohammed Mokhzani Faris tidak membantah cadangan berkenaan.

  • Pemandu treler tidak mengaku salah sebabkan kematian Siti Nur Alia Saffiyah, Siti Mazurah

    Pemandu treler tidak mengaku salah sebabkan kematian Siti Nur Alia Saffiyah, Siti Mazurah

    PEMANDU treler dihadapkan ke Mahkamah Khas Trafik, hari ini, atas pertuduhan memandu tanpa cermat sehingga menyebabkan kematian dua beradik di Jalan Kuantan-Segamat, Kuantan pada 13 Jun lalu.

    Tertuduh, Muhammad Noor Azwan Abd Saman, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran persimpangan lampu isyarat Felda Lepar Hilir, di Kuantan pada 11 malam, 13 Jun lalu.

    Tertuduh didakwa memandu treler tanpa cermat dan menyebabkan kematian Siti Nur Alia Saffiyah Zulkifli, 18, dan Siti Mazurah Zulkifli, 30.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87 – Pindaan 1999).

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhlin Hani Khairon manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

    Selain itu, lesen memandu diendors oleh mahkamah, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun dari tarikh sabitan.

    Jika sabitan kedua dan seterusnya, hilang kelayakan selama 10 tahun.

    Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM15,000 terhadap tertuduh.

    Namun, tertuduh dalam rayuannya memohon jumlah itu dikurangkan kerana pendapatannya hanya RM3,000 sebulan dan menanggung isteri, tiga anak dan ibunya.

    Majistret kemudiannya menetapkan jumlah ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan turut menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai.

    Tarikh sebutan semula kes pada 21 Julai depan.

    Media sebelum ini melaporkan dalam kemalangan kira-kira jam 11 malam itu, Siti Mazurah dan Siti Nur Alia Saffiyah yang menaiki Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian.

    Siasatan awal mendapati treler tangki membawa muatan petrol dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu memasuki laluan bertentangan lalu melanggar Proton Wira terbabit.

  • Amang seksual anak tiri, pemotong rumput dipenjara 7 tahun, 6 sebatan

    Amang seksual anak tiri, pemotong rumput dipenjara 7 tahun, 6 sebatan

    SEORANG pemotong rumput dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun serta enam sebatan di Mahkamah Sesyen di Muar, hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya.

    Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 38 tahun mengaku bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan itu terhadap anak tirinya berusia 12 tahun, awal bulan ini.

    Tertuduh yang berhadapan dua pertuduhan pindaan sebelum itu merayu supaya mahkamah meringankan hukuman kerana perlu menanggung keluarga serta anak masih kecil.

    “Saya harap, kamu balik nanti (selesai jalani hukuman), jadilah orang baru. Sepatutnya kamu menjaga anak tiri kerana ia satu amanah,” kata Abu Bakar sebelum menjatuhkan hukuman tersebut, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Kluang-Batu Pahat dekat sini pada jam 12 tengah hari, 3 Jun lalu.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang dibawa bersama Seksyen 16.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh sekali lagi mengulangi perkara sama pada pukul 4 pagi, 11 Jun lalu, dengan semua kejadian berlaku di rumah sama.

    Mengikut Seksyen 14 (a), tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan manakala Seksyen 16 yang juga tambahan hukuman, dia boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali.

    Abu Bakar kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama manakala, lima tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

    Selain itu, mahkamah juga mengenakan hukuman tambahan bagi kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 16 iaitu masing-masing dua tahun penjara dan dua sebatan.

    Semua hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan iaitu 13 Jun lalu, kecuali hukuman Seksyen 16 dijalankan secara berasingan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman dan Muhammad Hidayat Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Bakar al-Quran: Mahkamah arah penganggur jalani pemeriksaan mental

    Bakar al-Quran: Mahkamah arah penganggur jalani pemeriksaan mental

    SEORANG penganggur yang didakwa membakar al-Quran dan sejadah di sebuah masjid diarahkan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini untuk menjalani rawatan mental di hospital psikiatri.

    Hakim Nooriah Osman memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Nabihah Hizamul-Din agar Mohd. Ridzuan Mohd Kamal, 33, menjalani pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Tertuduh sebelum itu mengaku tidak bersalah atas dakwaan membakar al-Quran dan sejadah di sebuah masjid di Batu Rakit, Kuala Nerus.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membakar empat naskhah al-Quran dan tiga helai sejadah, lapor Sinar Harian.

    Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di tepi sebuah pusat hemodialisis di lokasi sama pukul 10.50 pagi pada 12 Jun lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 26 Julai depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri dari Hospital Permai, Tampoi di Johor Bahru.

  • Radzi Jidin kekal MP Putrajaya selepas Hakim tolak bantahan UMNO

    Radzi Jidin kekal MP Putrajaya selepas Hakim tolak bantahan UMNO

    MAHKAMAH Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menerima bantahan awal terhadap cubaan mencabar keputusan PRU-15 bagi Parlimen Putrajaya sekali gus mengekalkan kedudukan penyandangnya, Datuk Dr. Radzi Jidin.

    Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman berkata, rayuan terhadap keputusan mahkamah tiada merit kerana pempetisyen gagal memplidkan butir-butir yang mencukupi.

    “Tiada merit dalam rayuan (terhadap keputusan sebelum ini) memandangkan kurang butiran dalam rayuan pempetisyen,” katanya yang turut disertai hakim Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

    Hakim turut memerintahkan Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim yang memfailkan petisyen itu membayar kos RM30,000 kepada Radzi.

    Pada 10 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Faizah Jamaludin mengarahkan Ahmad Faisal membayar kos RM20,000 kepada Radzi selepas membatalkan petisyen sama dikemukakan Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.

    Faizah membenarkan bantahan awal yang dibuat oleh Radzi dalam memetik petisyen yang difailkan Ahmad Faisal sebagai cacat kerana ia tidak mempunyai butiran tertentu berkaitan dakwaan rasuah yang berlaku dalam pilihan raya.

    “Saya juga mendapati petisyen itu defektif (cacat) kerana gagal mematuhi Peraturan 4 (1) (b) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya.

    “Dengan itu, petisyen berkenaan dibatalkan dan kos sebanyak RM20,000 perlu dibayar (Ahmad Faisal) kepada responden (Radzi),” katanya.

    Ahmad Faisal memfailkan petisyen itu pada 26 Januari lalu antara lain mendakwa ada bayaran RM150 diberikan pihak calon Perikatan Nasional (PN) itu sebagai balasan mengundi Radzi pada PRU-15.

    Beliau mendakwa, bayaran itu diserahkan pekerja PN kepada seorang lelaki dan pengundi di kawasan Parlimen sama yang tersebar dalam kumpulan WhatsApp pada 4 Januari lalu memaklumkan pengundi luar menerima imbuhan.

    Terdapat juga beberapa pengundi lain dikatakan diberikan wang demi untuk mendapatkan undi bagi pihak responden.

    Pada PRU-15 lalu, Radzi yang juga bekas Menteri Pendidikan berdepan saingan enam penjuru, tetapi meraih 16,002 undi, berbanding saingan terdekat daripada Barisan Nasional (13,692 undi); Pakatan Harapan (5,988); Pejuang (878); serta dua calon Bebas masing-masing memperoleh 63 dan 20 undi.

    Sementara itu, mahkamah sama hari ini memerintahkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU-15 Parlimen Gua Musang dibicarakan secara penuh apabila barisan hakim mendapati terdapat kekhilafan dalam keputusan lalu.

    “Ada butiran lengkap dalam rayuan bagi petisyen untuk merit kes didengar,” katanya, lapor Agenda Daily.

    Beliau turut mengarahkan petisyen itu didengar oleh hakim baharu dan tarikh pengurusan kes ditetapkan 26 Jun 2023.

    Pada 26 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen mencabar keputusan PRU-15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang yang dimenangi calon PN, Datuk Mohd Azizi Abu Naim.

    Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar dalam keputusannya berkata mahkamah menolak ketiga-tiga alasan bagi petisyen yang difailkan Mohd. Azmi Mahmood, seorang pengundi di kawasan itu bagi pihak calon Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah.

    Roslan berkata petisyen yang difailkan pada 3 Januari lalu telah melepasi bilangan hari yang dibenarkan untuk petisyen difailkan, yang mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 tidak boleh melebihi 28 hari.

    Beliau berkata pelantikan peguam bagi pempetisyen juga tidak mengikut Seksyen 38 akta sama.

    Pada PRU-15, Tengku Razaleigh gagal mempertahankan kerusi Gua Musang yang disandangnya selama 11 penggal apabila tewas kepada Mohd Azizi dengan majoriti tipis 163 undi.

    Mohd Azizi yang mewakili Pas memperoleh 21,826 undi diikuti Tengku Razaleigh (21,663 undi); Asharun Uji (Pakatan Harapan – 4,517 undi) dan Dr Samsu Adabi (Pejuang – 371 undi).

    Percubaan Tengku Razaleigh untuk pengiraan semula telah ditolak.

  • Pembantu tadbir didenda naikkan jumlah peserta dalam invois KPKT

    Pembantu tadbir didenda naikkan jumlah peserta dalam invois KPKT

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman denda RM5,500 terhadap seorang pembantu tadbir yang menerima RM4,797.50 daripada pekerja syarikat pembekalan makanan untuk menaikkan jumlah peserta dalam invois Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

    Nurul Azirah Kamaruddin, 37, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin.

    Mahkamah memerintahkan penjawat awam ini menjalani hukuman penjara selama sebulan, jika gagal membayar denda tersebut.

    Mengikut pertuduhan, ibu kepada lima anak, iaitu pembantu tadbir perkeranian dan operasi, didakwa menerima wang itu daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya, di Maybank Desa Jaya, Kepong, di Kuala Lumpur, pada 21 April 2018.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mengikut fakta kes, tertuduh telah menerima pertolongan daripada seorang pekerja sebuah syarikat pembekalan makanan bagi menaikkan jumlah peserta Bengkel Akta Pengurusan Strata anjuran KPKT di Langkawi, Kedah daripada 34 kepada 85 peserta, dalam invois syarikat tersebut.

    Pada 12 April 2018, syarikat itu kemudian telah menerima bayaran daripada KPKT untuk perkhidmatan pembekalan makanan bagi bengkel itu dan tertuduh mengaku telah menerima wang itu daripada jumlah bayaran tersebut.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat mencadangkan, tertuduh dikenakan hukuman setimpal, dengan mengambil kira tertuduh merupakan penjawat awam, seharusnya menjaga nama baik sektor kerajaan.

    Sementara itu, peguam, Hamzah Hamdan yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman dalam bentuk denda yang ringan.

    “Dia perlu menyara lima anak yang masih bersekolah sementara anak bongsunya merupakan seorang autisme.

    “Tertuduh telah dikenakan tindakan disiplin di jabatannya di KPKT dan dia mungkin dibuang kerja,” katanya, lapor Sinar Harian.